Monday 25 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 1


Di awal semester pengajian di universiti
“MAI, temankan aku keluar boleh tak. Aku nak jumpa kawan akulah. Jomlah. Kita jalan-jalan sekali. Takkan nak duduk dekat bilik je hari minggu macam ni. Boring tu. Jomlah, Mai.” Reena bersungguh mengajak Maisarah keluar bersamanya. Maisarah pula pada waktu itu sedang sibuk menyidai pakaian di ampaian di hadapan bilik hostelnya, di blok Kasturi.
“Hmm, takpelah Reena. Lain kalilah ye.” Maisarah menolak lembut. Dia sebenarnya ingin berehat. Sejak mula menjejakkan kaki ke bumi Serdang ini, dia berasa agak letih. Terasa penat benar. Di samping itu ia juga mungkin dipengaruhi faktor cuaca. Di sini cuacanya terasa terlalu panas berbanding dengan kampungnya yang nun jauh di selatan tanah air. Dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu walhal sudah masuk minggu kedua dia di sini.
“Alah, bosannya. Jomlah. Masa awal-awal ni je kita free. Next time, tak tahu lagi dapat keluar jalan-jalan ke tak. Mestisibuk dengan assignment. Jomlah, Mai. Lagipun takkan kau nak terperuk je dekat bilik ni. Sesekali kena juga mengenal dunia luar. Kau takkan tak teringin nak jalan-jalan pusing bandar. Kau sendiri kata, kau baru je first time datang sini. So, inilah masanya. Kau tengok budak-budak lain, awal-awal lagi dah keluar.” Reena Aqasha berusaha memujuk Maisarah. Dia bersandar ditembok batu berhampiran ampaian jemuran. Dia masih menanti jawapan teman sebiliknya itu.
“Takpelah, Reena.”    
“Hmm..Kau takde ke barang-barang lain yang nak dibeli. Aku tengok barang kau sikit je.” Reenamenyambung kata. Dia seboleh-bolehnya mengajak Maisarah keluar bersamanya.
“Dah cukup semua, Reena. Aku memang tak bawa banyak barang pun”. Maisarah meneruskan kerjanya. Dia sempat memandang wajah Reena Aqasha di sampingnya. Wajah itu monyok, tidak ceria. Maisarah tersenyum sendiri. Kesian juga dia melihat teman barunya yang beriya-iya benar mengajaknya keluar.
“Hmm..Aku sebenarnya rasa macam malas. Tapi, sebab kesian tengok muka comel kau tu tiba-tiba monyok, aku okey ajelah. Takut nanti kau nangis pulak. Siapa pulak nak pujuk, kan. Tapi janganlah balik lewat sangat tau. Kau nak plan ke mana. Aku ikut je. Aku bukannya tahu tempat-tempat yang kau nak pergi.” Maisarah akhirnya memberikan persetujuan.Sempat juga dia berseloroh dengan temannya itu. Mungkin benar kata Reena. Mungkin hanya awal waktu ini mereka punya kesempatan. Hari kemudian, pasti sudah sibuk dengan kuliah dan assignment.‘Hmm…Betul gak ek..’
Reena akhirnya tertawa.“Eleh, Mai ni. Ada  ke cakap macam tu. Nak merajuklah macam ni.” Dia pula bergurau mesra.
“E’eh dia ni. Itu pun nak merajuk ke. Ni..nak pergi ke…nak merajuk. Baik pilih sebelum aku ubah keputusan.” Balas Maisarah yang masih lagi berdiri di tepi ampaian menjemur kain batiknya.
“Alah, Mai ni. Mestilah nak pergi. Hmm..Kalau gitu kita jalan-jalan, makan, lepas tu tengok wayang. Okey ke?”
“Tengok wayang?”
“Yelah. Hmm…Kau tak pernah pernah tengok wayang ke?”soal Reena.
Maisarah menggeleng kepala.
“La, kesiannya kau. Takpe. Nanti kita pergi tengok wayang. Syok tu tengok cerita dekat panggung. Nanti aku belanja kau, okey.”
Maisarah hanya tersenyum.“Biasalah. Aku ni, kan budak jakun. Hmm..Pukul berapa nak pergi?”
“Kejap lagilah. Nanti kawan aku ambil naik kereta. Kau dah mandi ke?”
“Dah. Dah siap jemur kain pun. Kau tu je yang belum mandi lagi, cik Reena oii.” Maisarah tersenyum menampakkan gigi ‘Mammie Monster’nya.
“Yelah. Okey. Aku pergi mandi dulu.” Reena bergegas mengambil barang-barangnya dan menuju ke bilik air.
Sementara menunggu Reena, Maisarah sempat mengemas bilik. Memang dia suka mengemas. Biliknya kelihatan bersih dan ceria. Tidak lupa juga disembur pewangi agar aliran udara lebih menyegarkan. Seketika kemudian, barulah dia mempersiapkan diri. Hanya mengenakan pakaian ringkas yang sedia ada. Reena  pula masih belum selesai mandi.
‘Hmm..Lama betul minah ni mandi. Mandi sauna ke apa minah ni. Aku ni sampai dah siap kemas bilik dah.’ Maisarah kemudian membancuh Nesvita Nestum berperisa coklat untuk dirinya dan Reena. Cukup sekadar mengisi perut di pagi hari.
Deringan telefon bimbit milik Reena bernyanyi riang. Semakin panjang dan semakin nyaring bunyinya. Maisarah serba salah untuk menjawabnya. Dia hanya membiarkan sahaja. Lagipun Reena tidak meninggalkan pesan kepadanya untuk menjawab panggilan yang masuk. Minumannya Nesvitanya diteguk perlahan. Terasa segar apabila minuman bijirin yang terasa panas itu masuk ke perut.
Reena baru sahaja muncul di pintu bilik. Maisarah segera memberitahu akan panggilan yang masuk. Risau jika ia panggilan yang penting.
“Kenapa tak angkat, Mai?” Reena segera mengambil telefon bimbitnya.
“Maaflah. Kau tak pesan tadi. Takkan aku nak memandai pula. Lagipun handphone kau tu canggih sangatlah, Reena. Aku tak reti. Nanti karang tersalah picit, habis rosak pulak handphone kau.” Maisarah jujur memberitahu.
Reena hanya ketawa. “Tak mengapa, Mai. Sini aku ajar.” Reena menunjukkan beberapa punat dan fungsi telefon bimbitnya.Maisarah mula memahaminya. Rupanya begitu mudah. Hanya mindanya saja yang menjangkakannya susah. Dia juga punya telefon bimbit tetapi yang biasa-biasa aje. Itu pun pemberian Kak Ija. Hadiah sebab dia dapat masuk ‘U’. Kiranya, baru dua minggu dia memilikinya. Hmm…Jakun lagi.
“Kawan aku tengah on the way. Dalam lima belas minit lagi sampailah, kut. Kau dah siap ke?” Reena masih mencari baju ingin dipakai.
“Dahlah. Dari tadi dah siap. Aku pakai baju ni ajelah. Kenapa? Tak okey ke?” tanya Maisarah.
“Eh, takdelah. Okeylah tu. Aku ni yang pening. Tak tahu nak pakai baju mana. Banyak sangat baju. Kau pilihkan, boleh?”
“Ish, kau ni. Aku tak retilah. Aku tengok baju kau semuanya cantik. Kau pun cun je. Pakai jelah mana-mana pun tetap cantik.” Maisarah ikhlas memuji. Dia sedar teman sebiliknya itu memang seorang yang cantik. Wajahnya bersih dan berkulit sawo matang. Rambutnya pula panjang melepasi bahu. Sedikit kerinting dihujungnya. Memang wajah cantik itu sesuai dengan namanya, Reena  Aqasha.
Sebuah kereta Honda Civic bewarna putih sudah sedia menanti di bahu jalan berhampiran pintu pagar. Maisarah diperkenalkan dengan Haykal dan Aiman. Haykal adalah teman lelaki Reena, manakala Aiman adalah teman kepada Haykal. Tidak terlintas langsung difikiran Maisarah bahawa kawan yang dimaksudkan Reena adalah lelaki. Pada sangkaannya adalah perempuan. Maisarah terasa sedikit tidak selesa. Dia lebih banyak mendiamkan diri. Hanya membiarkan Reena yang menjawab bagi pihaknya.
Selepas makan, Reena memberitahu dia ingin mencari barang dan meminta Haykal menemaninya. Akhirnya, Maisarah ditinggalkan berdua dengan Aiman. Maisarah menjadi semakin tidak keruan. Hatinya sedikit kesal. Sepertinya, Reena sengaja meninggalkannya berdua bersama Aiman. ‘Aduhai..Ni yang tak gemar ni. Tetiba je jadi ‘double date.’
Maisarah hilang bicara. Aiman kelihatanya duduk berdiam diri. Lebih senang melayan lagu bersama MP4 bewarna hijau epalnya. Riak wajahnya juga tidak ceria mungkin kerana tidak sihat atau tidak suka dengan kewujudannya di situ. ‘Dia ni semacam je aku tengok. Hmm…Mesti menyampah tengok aku kat sini.’
Maisarah tidak punya idea untuk berbicara. Hanya matanya melilau pandangan. Tengok itu..Tengok ini..Jeling-jeling sikit kat si Aiman yang ala-ala kerek ni. ‘Hurmm…Boringnya. Aku nak buat apa ni. Takkan dok macam tunggul berdua kat sini je. ‘
Suasana hening tanpa bicara. Maisarah berasa tidak selesa dengan keadaan yang berterusan begitu. Dia memaniskan mulut berbicara.“Err..awak tak sihat ke?” soal Maisarah perlahan, olok-olok mesra. Dia menanti reaksi Aiman.
Aiman memandang Maisarah sekilas. Dia tidak berminat untuk menjawab. Dia membalas jawapan dengan gelengan. Dia sememangnya tiada hati dengan Maisarah. Dia hanya terpaksa menemani gadis itu. Oleh itu dia bersikap acuh tak acuh sahaja. Pada pandangannya Maisarah terlalu naïf dan ‘blur’ orangnya. Sepertinya dia memperlekehkan Maisarah yang berada di hadapannya kini. Biasalah budak kampung baru datang bandar. Nampak sangat kekampungannya.
Maisarah mengangguk perlahan. Dia memahami jawapan itu. Dalam hatinya menggerutu. ‘Ish, dia ni. Berlagak semacam je.’Maisarah sedar Aiman tidak suka padanya. Mungkin kerana dia hanyalah budak kampung yang kelihatan ‘blur’.Terasa ada tembok pemisah di antara mereka berdua.
Maisarah melihat jam di tangan. Sudah menghampiri jam 2.00 petang. Dia masih belum bersolat Zohor. Matanya melilau pandang melihat sekeliling. Dia cuba mencari penanda arah surau. Tetapi ia tidak kelihatan. Maisarah agak berat mulut untuk bertanya kepada Aiman mengenangkan lelaki itu seakan malas melayannya. Hanya bersikap acuh tak acuh dan terpaksa.
Maisarah bangun dari tempat duduknya.
“Kau nak ke mana?” Soal Aiman tanpa memandang. Nada suaranya tak mesra di pendengaran.
“Err..Saya nak cari surau. Err..Awak..tahu tak surau dekat sebelah mana?” tanya Maisarah sedikit teragak-agak.
Aiman terdiam dan terkedu. Matanya menjeling Maisarah.
‘Alahai, jeling-jelinglah pulak mamat ni. Pandang ajelah. Tak tergoda pun.’
Aiman menunding jari menunjuk arah. Maisarah terdiam. Dia blur. Dia tidak memahami petunjuk yang diberitahu oleh Aiman. ‘Aiyaa..Dia ni. Gitu pulak dah. Robot ke apa. Pakai tunjuk-tunjuk je. Mana aku faham.’
“Maaf. Saya tak berapa fahamlah. Lagipun saya tak biasalah dengan tempat ni,”jawab Maisarah lembut. “Err..Takpelah. Saya cari sendiri.” Maisarah mula mengatur langkah. Aiman hanya memerhati. Dia kemudian turut bangun. ‘Aii, bangun pulak. Ingatkan tak nak tolong tadi.’
‘Isy, budak ni. Tak faham ke apa aku cakap. Lembab betullah. Menyusahkan aku.Terpaksa aku pergi. Karang hilang budak ni lagi menyusahkan aku.’ Aiman hanya marah di dalam hati. Jika tidak, pasti Maisarah akan berkecil hati jika mendengar bicaranya itu.
Maisarah menuruti langkah Aiman. Aiman terus berjalan di hadapannya tanpa suara. Senyum, jauh sekali. ‘Hmm…Macam dah ikut belakang robotlah pulak.’Go straight don’t belok-belok. Epp…Mana boleh go straight je. Adalah belok-beloknya. Karang tak pasal,langgar tiang. Tergolek pulak.
Mereka menuju ke tingkat dua. Maisarah terus memerhati sekeliling, cuba mengingati setiap kawasan yang dilalui. Dia menggeleng kepala. Terasa pening dengan keadaan bangunan yang luas itu. Sukar untuk dia mengingati dengan jelas. ‘Perghh..Jakun aku. Kat kampung mana ada macam ni.’ Langkah Aiman terus dituruti.
“Tu suraunya. Sebelah kanan, surau perempuan. Aku tunggu kat sini je. Cepat sikit. Aku ni tak suka tunggu orang lama-lama.” Suara Aiman membingitkan telinga Maisarah. Dia dapat merasakan mood lelaki itu. Mungkin marah.
‘Hmm..Buat amal yang baik macam ni pun nak marah-marah. Tak ikhlaslah tu’
“Err..Awak tak pergi solat sekali ke?”Maisarah bertanya lembut. Ada sedikit keberanian untuk bertanya. Dan sebenarnya, mengingatkan akan perintah Allah S.W.T yang Maha Esa.
Pertanyaan itu membuatkan Aiman terkelu lidah. Dia tidak menjawab.
“Takpelah. Saya pergi solat dulu ye.” Maisarah terus berlalu pergi seraya menguntum senyum.
Maisarah keluar setelah menunaikan tuntutan fardhu. Pandangannya melilau mencari kelibat Aiman, namun dia tidak terjumpa akan bayang lelaki itu. Dia mengetap bibir.
‘Aduhai, mana pula dia ni. Confirm dia tinggalkan aku. Tempat ni dahlah besar. Aku nak tuju ke mana pun aku tak tahu.’ Maisarah menggaru kepala yang tidak gatal. Dia blur. Retina matanya masih berusaha mengesan kelibat Aiman. Toleh kanan..Toleh kiri..Toleh depan..Toleh belakang… Tapi, tidak juga terlihat akan bayang Aiman. Maisarah baru terfikir untuk menelefon Reena Aqasha.Telefon bimbitnya di keluarkan. Tit..Tut..Tit…Baru tekan keypad lock.
“Ehem…Nak call siapa tu?” Satu suara mengejutkannya dari belakang. Maisarah menoleh kepada empunya suara. Ternyatalah orang itu ialah Aiman. Lega hatinya.
“Err..Takdelah. Saya nak call Reena. Nak tanya dia kat mana sekarang ni?” Maisarah menjawab sekadarnya.
“Cakap ajelah awak takut saya tinggalkan awak. Saya tunggu kat sini tadi. Tapi, awak lambat sangat. So, saya jalan-jalanlah dulu.”Suara itu kedengaran agak angkuh pada pendengaran Maisarah. Namun begitu dia dapat melihat sebaris senyuman di bibir lelaki itu. Senyuman yang tidak dapat dimengertikan.
‘Alolo…Kerek betul mamat ni.’
“Maaflah. Saya lambat sikit. Kebetulan ramai orang. Terima kasihlah sebab tunggu saya ye.” Maisarah berbicara lembut. Sebenarnya dia agak terasa dengan kata-kata Aiman. Dia merasakan lelaki itu menyindirnya. ‘Hmm..First time aku jumpa orang macam ni.’
“Maaflah kalau kau terasa dengan kata-kata aku.”Aiman meminta maaf. Entah mengapa butir bicara itu yang keluar dari bibirnya.
Maisarah hanya mengangguk. Dia cuba mengerti lelaki itu.‘Hurmm…Pandai juga nak jaga hati orang. Ingatkan tak reti langsung. Dia minat maaf. Okey… Kurang juga rasa kecil hati ni.’
Aiman terus berjalan menuju ke escalator. Maisarah hanya menuruti langkah lelaki itu. Aiman sudah tidak jadi seperti robot lagi. Dia seakan membenarkan Maisarah berdiri di sampingnya. ‘Ceh..Macam couplelah pulak.’
Dag..Dig..Dug…Hai jantung ni. Berlagu dangdut Haiza pula dia. Orang tengah nervous ni.Tak faham betul.
“Nak pergi mana ni?” Maisarah bertanya tujuan sebenar lelaki itu. Takut juga bagi dirinya jika lelaki itu membawanya melencong ke arah lain. Lagi pula, dia baru beberapa jam yang lalu mengenali lelaki itu sekadarnya. Masih tidak dapat mempercayai lelaki itu sebaiknya.
“Kita pergi tengok wayang. Dia orang dah tunggu kita dekat sana,”jelas Aiman. Bicaranya sedikit mesra berbanding sebelumnya.
Langkah terus diatur, namun masing-masing mengunci bicara. Akhirnya mereka bertemu Reena dan Haykal. Maisarah tersenyum lega. Segera dia mendapatkan Reena. Kelihatan temannyaitu sudah tersenyum simpul sambil menarik lengannya membawa jauh sedikit daripada Aiman dan Haykal.
“Ehemm..Ehemm..Mesra je aku tengok kau dan dia tu. Ada apa-apa ke?”bisik Reena perlahan.
“Mana ada. Kau tu memandai je.”Maisarah menjawab acuh tidak acuh. Dia agak rimas dengan soalan sedemikian. Sebenarnya soalan itu sudah dapat diagak.
“Ye ke takde apa-apa. Aku tengok bila korang berjalan berdua tadi nampak sweet je. Nampak sepadan.”
“Apa yang sepadan. Sempadan adalah. Aku dengan dia ada gap tau.”
Reena hanya ketawa. “Alah, kau ni Mai. Janganlah serius sangat. Aku gurau ajelah. Kalau ye pun, apa salahnya.”
Dalam masa yang sama, Haykal berbual dengan Aiman. Topiknya juga menjurus kepada mereka berdua.
“Korang ni pergi dating dekat mana?”tanya Haykal kepada Aiman.
“Surau.”Iman menjawab pendek. Dia tersenyum.
“Kau pergi surau?” soal Haykal seakan tidak percaya.
“Yelah. Pergi sembahyang. Kau dah sembahyang ke belum? Baik kau pergi sebelum wayang start.”
“Ish, pelik aku. Tetibaje kau pergi surau. Selalunya tak. Ni mesti sebab budak tu, kan.” Haykal melirik pandang pada Maisarah yang masih leka berbual dengan teman wanitanya itu.
“Tepuk dada, tanya iman,”balas Aiman pendek.
Haykal tersenyum sinis. Dia hanya menjungkit kening.“Aku cabar kau. Amacam ada berani ke?”Sengaja dia mencabar Aiman agar membuat Maisarah jatuh cinta dengannya.Biasalah lelaki.
“Aku tak nak sahut cabaran kau. Aku tak berminat benda-benda macam ni. Bukan cara aku. Lainlah kau, Mat Macho a.k.aPlayboy.” Jawab Aiman tegas.
Haykal ketawa. “Kau berminat kat dia ke….” Duga Haykal.
“No komen. Dahlah. Aku malas nak cakap lagi. Kata tadi nak tengok wayang. Untung aku dah teman kau keluar ea. Kalau tahu macam ni, aku tak teman kau. Baik aku tidur je kat rumah tu. Aku ni dahlah nak demam. Merayap ikut kau pulak. Dah..Lepas tengok wayang ni, aku nak balik.”
Haykal ketawa.” Okey..Okey..Janganlah emosi, bro. Sejak bila ni…”
Setelah menonton, mereka mengisi perut di francais KFC.Namun, Aiman tidak menyertai. Dia meminta diri selepas menonton wayang. Katanya, ada hal.
 ‘Hmm..Dah nak balik dah si robot MP4 hijau epal ni. Hihi…Dan..Dan..je aku kasi gelaran macam tu.’ Maisarah tersenyum di dalam hati.
 Setelah itu, Haykal menghantar mereka pulang ke hostel.
“Macam mana mamat tu? Okey ke?” tanya Reena ingin tahu. Sibuk benar dia ingin mengetahui jawapan Maisarah.
“Tadi, kan dah tanya.”
“Ni yang lebih terperinci. Tadi tu bunga-bunga je.”
“Hoho. Pandai juga kau buat lawak ek. “Entahlah. Macam sombong je. Tak sukalah aku. Kau tu pun satu, kenapa tinggalkan aku dengan dia?  Haishh..Aku tak biasa dengan hal-hal macam ni tau. Tak suka.” Suara Maisarah sedikit menekan.
“Alah, Mai. Sorrylah. Aku cuma nak kau kenal orang lelaki ni macam mana. Kau tak teringin ke nak ada boyfriend?”Reena masih cuba mempertahankan tindakannya. Dia tahu Maisarah masih single berdasarkan cerita yang dikongsi bersama. Menurut Maisarah dia juga masih belum pernah berkawan rapat dengan mana-mana lelaki. Hatinya masih belum ke arah itu. Dia lebih senang untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Rasa lebih tenang dan selesa. Apa yang penting tidak menyerabutkan fikirannya.
“Kau ni. Kita ni masih belajar lagi tau. Aku tak fikir pun bab-bab nak cari boyfriend ni. Aku nak belajar. Aku tak nak fikir hal tu. Nanti makin sakit kepala aku. Aku bukannya apa Reena, kawan-kawan aku selalu juga cerita masalah dia orang pada aku. Semuanya kisah boyfriend dia orang. Yang okey tu, baguslah. Yang tak okey tu…aku sendiri tak tahu nak cakap apa. Siap ada yang nak telan sabun pun ada, kau tahu. Kalau macam tu jadinya, aku tahu kau pun faham. Sebab aku rasa kau lebih arif dalam hal ni.”Maisarah berbicara panjang lebar meluahkan rasa hatinya. Adakalanya jika dia berpeluang bercakap, memang berjela-jela panjangnya.
“Sorrylah, kalau kau kecil hati dengan apa yang aku cakap ni. Aku bukannya nak salahkan kau pun, tapi….cuma nak kau faham je. Aku bukan taknak berkawan dengan lelaki ni, aku kawan je dengan siapa-siapa,  tapi untuk hal yang lebih serius,  sekarang ni bukan masanya. Lagipula kau tinggalkan kita orang berdua macam tu je. Tak beritahu pun kau orang nak ke mana. Tu yang buat aku rasa macam nak marah pada kau. Dia tu pula nak tak nak je bercakap dengan aku. Kerek gila.”Maisarah berhujah lagi.
“Sorrylah, Mai. Aku faham. Sekarang aku boleh agak, kau ni orangnya macam mana. Hmm..aku minta maaf ye. Mungkin kau tak suka cara aku. Aku ni memang agak sosial sikit. Tapi, takdelah buat perkara yang tak senonoh.”
“Aku tahu. Cara kau mungkin lain Reena. Kau memang hidup dengan cara bandar. Aku lain. Aku ni baru je dua minggu datang sini. Semuanya baru bagi aku. Aku tak nak terjebak dengan benda-benda yang tak baik. Kalau kau nak tahu, ni first time aku duduk berdua dengan lelaki. Kalau mak aku tahu Reena, habis aku. Tadi pun aku buat-buat berani je tau.”Maisarah  menyambung lagi.
“Sorrylah, Mai. Okey. Next time aku takkan tinggalkan kau. Aku janji.” Reena menunjukkan jari kelingkingnya sebagai simbol ikatan janji. Maisarah mengangguk.
“Sorry.Aku ni tetiba cakap macam beremosi ek. Kesian kau. Aku tahu kau kecil hati dengan apa yang aku cakap. Sorry ea. Aku cakap ni untuk kebaikan bersama.”
“Alah, aku tak terasa pun. Sekurang-kurangnya kau mengingatkan aku. Terima kasih sebab temankan aku tadi. Hmm..Tak sabar rasanya nak tengok kau bercouple dengan dia.Sweet je aku tengok tadi.”
“Aii..Ke situ pulak dia. Aku baru je berhujah tadi.”
Mereka akhirnya ketawa.
Mereka kemudian mengambil posisi di katil masing-masing. Agak penat setelah berjalan hampir seharian. Maisarah memeluk bantal empuk miliknya. Tatkala matanya hampir terlelap, ada mesej yang masuk ke peti masuk telefon bimbitnya. Setelah dibaca, dia pasti siapa penghantar mesej tersebut walaupun tanpa nama. Dia pasti Reena Aqasha yang memberikan nombornya kepada lelaki itu.Mesej itu segera dipadam. Tiada langsung niat di hatinya untuk membalas. ‘Jangan singgah dalam mimpi ea robot MP4 hijau epal. Selamat malam.’
*****
Beberapa bulan kemudian..
“KAU kenapa Reena?” soal Maisarah apabila melihat wajah temannya itu seperti dirundung masalah. Apa yang mengejutkannya, Reena menangis.
“Tak ada apa-apalah, Mai. Aku okey je. Kau tidurlah.” Suara Reena masih dalam serak tangis.
“Reena, kalau kau ada masalah beritahulah aku. Manalah tahu aku boleh tolong.”Maisarah berbicara lembut. Dia memang agak terkejut apabila melihat teman sebiliknya itu menangis. Ini kali pertama dia melihat temannya begitu. Reena ada masalah apa agaknya? Masalah keluarga atau boyfriend? Maisarah tidak punya idea. Ingin bertanya lebih-lebih, takut pula Reena tidak suka. Lagi pula dia sedang menangis. Maisarah hanya membiarkan sahaja sahabatnya itu. Dia kembali berbaring. Matanya masih tidak mampu lelap. Dia masih risau dengan keadaan teman sebiliknya itu.
Kini, telefon bimbitnya memberi isyarat mesej. Ada mesej yang masuk. Maisarah agak terkejut setelah membaca mesej tersebut.
+Mai..Awak tolong beritahu kawan awak si Reena tu. Jangan cari saya lagi. Kita orang dah clash – Haykal.
Maisarah terdiam seribu bahasa. Dia pasti Reena menangis kerana hal itu. Namun dia berasa agak pelik. Kenapa Haykal mesti memberitahunya akan hal itu kepadanya. Sepatutnya ia menjadi rahsia antara mereka. Maisarah mengeluh perlahan. Dia melihat Reena yang sudah terlena. Kasihan dia melihat temannya itu. Kalau betul itu yang berlaku, dia memang simpati dengan Reena Aqasha.
*****
“REENA, aku nak tanya kau sesuatu boleh tak?”Maisarah duduk dibirai katil menghadap Reena yang sedang menghadap laptopnya bermain game. Dia tahu Reena sepertinya tiada mood pada pagi itu. Matanya juga bengkak kerana menangis semalam.
“Kau nak tanya apa?” suara Reena sedikit serak-serak basah. Pandangan tidak terkalih pada Maisarah. Masih memberi tumpuan kepada skrin laptop. Bermain game sedikit sebanyak melupakan kesedihan hatinya.
“Kenapa… kau nangis semalam?” soal Maisarah perlahan. Manalah tahu, jika Reena ingin berkongsi masalah dengannya. Dia tidak kisah. Memang itu yang dia inginkan. Mungkin dengan itu ia dapat melegakan hati dan perasaan temannya itu.
Reena tidak menjawab. Dia hanya menjongket bahu. Sepertinya dia malas melayan pertanyaan Maisarah. Maisarah perasan dengan keganjilan sikap Reena. Reena seakan acuh tidak acuh melayannya. Kenapa??
Maisarah mengangguk. Dia faham.“Tak mengapa. Aku faham. Tapi…aku ada sesuatu nak beritahu kau ni. Aku pun serba salah nak beritahu sebenarnya. Aku pelik kenapa dia hantar mesej ni pada aku.” Maisarah bangun dan mengambil telefon bimbitnya di bawah bantal. Kemudian ia diberikan kepada Reena. Mesej semalam masih belum dipadam. Dia tidak mahu merahsiakan hal itu. Dia rasa tidak tenang. Biarlah Reena tahu agar ia tidak wujud salah faham.
Reena membaca sepintas lalu. Kemudian menyerahkan kembali kepada Maisarah.
“So..Ni je kau nak beritahu aku.” Maisarah terdiam. Terkejut dia mendengar suara Reena yang kedengaran agak kasar dan menekan. Dia terpaksa menelan liur sendiri. Terus sahaja detak jantungnya berdegup kencang.
“Maaflah.” Maisarah sudah kehilangan kata. Dia agak menyesal dengan tindakannya sendiri. Nyatalah dia tersilap waktu.
“Mai..Kau jangan nak sibuk hal aku boleh tak. Semua ni pasal kau. Pasal kau tahu tak. Menyesal aku bawa kau hari tu. “ Reena membentak kasar. Wajahnya merah dalam kemarahan.
Maisarah menelan liur lagi. “Reena…Kenapa kau cakap macam tu. Aku….” Maisarah kehilangan kata.
“Mai, kau jangan nak berlakon dengan aku boleh tak. Aku bukan tak tahu, kau dengan si Haykal tu ada hubungan. Kalau keluar dengan aku dia mesti sebut nama kau. Selalu bandingkan aku dengan kau. Tu kau nak menafikan lagi. Aku ‘clash’ ni semua sebab kau tau. Sebab kau..” Marah Reena mula berapi. Suaranya mula terjerit melepaskan rasa marah.
“Reena…Apa kau cakap ni. Aku tak pernah pun berhubung dengan si Haykal tu. Ni je sekali dia mesej aku. Aku pun tak tahu, macam mana dia boleh ada nombor aku. Kau salah faham dengan aku Reena.” Maisarah memberi penjelasan. Dia perlu mempertahankan dirinya daripada salah faham Reena Aqasha. Mengapa sedemikian Reena Aqasha melemparkan tuduhan kepadanya sedangkan dia tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Dia tersepit dengan keadaan. Dia menjadi mangsa. Namun, dia masih cuba bersabar.
“Kau jangan nak tipu akulah, Mai. Sekali aku dah tak percaya orang, sampai mati aku takkan percaya tau. Huh...Aku benci tengok muka kau. Benci! Benci!”Jerit Reena Aqasha dengan seribu kebencian. Dia terus sahaja menutup laptopnya. Kemudian bangun dan mencapai beg tangannya. Pintu bilik dihempas kuat. Dia terus keluar meninggalkan Maisarah keseorangan.
Maisarah terpempan. Dia terduduk di birai katil. Terkejut dengan apa yang berlaku. Kenapa Reena Aqasha tiba-tiba marah dengannya? Perasaannya mula sebak.Terasa permata jernih gugur ke pipi tanpa dipaksa. Dia menangis sendirian. Bagaimana dia ingin terus bertahan jika teman sebilik membencinya. Inilah pertama kali hal seperti ini berlaku pada dirinya. “Ya Allah…kuatkan semangatku ni.” Maisarah masih terisak perlahan. Hanya kepada Allah dia berserah.
*****
REENA AQASHA telah menuju ke bilik Sally di blok bangunan sebelah. Sally adalahrakan sekolahnya dahulu. Kebetulan Sally tinggal keseorangan kerana teman sebiliknya pulang ke kampung. Sebenarnya, di zaman persekolahan dahulu dia tidak  rapat dengan Sally, namun sejak akhir-akhir ini Sally selalu menjadi penemannya keluar.
“Kau ni kenapa. Muka tu dah macam mayat hidup. Mata bengkak macam tu. Kau nangis?” Sally melepaskan kata. Dia ketawa sendiri melihat keadaan diri Reena Aqasha.
“Diamlah!” Tempelak Reena Aqasha. Sally tersenyum mengejek.
“Kau gaduh dengan Haykal ke..dengan budak kampung bilik kau tu?” Kata-kata Sally seolah-olah sengaja memanaskan hati Reena Aqasha yang ternyata sedang membara. Sepertinya, dia tahu apa yang sedang berlaku.
“Aku clash dengan Haykal. Si Haykal tu pulak, ada ke patut dia mesej budak kampung tu beritahu yang kita orang clash. Memang bodoh dia tu. Jantan tak guna. Geram betul aku dengan budak kampung tu.”
“Haykal yang salah, tapi…kenapa kau marah-marah dengan si Maisarah tu. Dia kan baik budaknya.Tak macam kita ni….” Sally sengaja ‘mencucuk’ Reena Aqasha dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Maisarah menjadi mangsanya.
“Baik konon. Aku rasa dia ada hubungan dengan si Haykal tu. Kalau tak macam mana si Haykal syok kat dia. Kalau keluar dengan aku, mesti dia ada sebut nama Maisarah tu. Dia tu budak baiklah, sopanlah..tak macam aku ni. Dia boleh puji Maisarah tu depan aku. Siap suruh kirim salam lagi. Dia ingat aku ni apa. Tunggul kayu. Sikit-sikit Maisarah. Dia beri aku hadiah, tapi dia belikan sekali hadiah untuk Maisarah. Cuba kau fikir. Macam mana aku tak marah. Sampai mati aku takkan maafkan diaorang tu. Pergi mampus...Benci! Benci!” Reena Aqasha membaling bantal ke dinding. Memang hatinya sedang terbakar dengan nafsu amarah.
“Habis tu kau kasi ke hadiah tu kat budak kampung tu.” Sally masih mencucuk duri pada hati yang terluka.
“Bodohnya soalan kau tu. Aku buanglah. Sebab tulah aku gaduh dengan si Haykal tu. Tu semua sebab si budak kampung yang berlagak baik tulah. Eeeee..Geram aku!!” Reena Aqasha meluah kata yang terpedam di hatinya.Hatinya berkobar-kobar melepaskan rasa marah.
“Owhh…Aku pun rasa macam tu. Maisarah tu tengok je baik. Aku rasa dia memang ada hubungan dengan Haykal. Ntah-ntah dengan jantan lain pun ada. Sebelum ni aku ada nampak dia keluar dengan lelaki. Kau jangan tak percaya.” Sally mula membuat cerita. Nampaknya rancangannya untuk memburuk-burukkan Maisarah berjalan lancar.
“Hmm..Memang dia tu mulut manis. Bukan main nasihat aku. Rupanya dia sama je. Perempuan tak guna. Biar dia dengan Haykal tu pergi mampus.” Mata Reena merah menyala. Dia menghambur kata dengan rasa marah. Bara hatinya bertambah panas apabila Sally mencurahkan cerita bohong laksana api.
“Aku akan balas dendam dekat dia orang. Biar dia orang rasa apa yang aku rasa.”
“Aku rasa kau tak payahlah balas dendam dekat si Haykal tu. Sekarang ni punca utamanya si Maisarah tu. Aku tahu Haykal tu sayang kat kau. Cuma..kalau tak kerana Maisarah mesti dia tak jadi macam tu. Aku kenal dia dah lama okey. Aku tahu dia tu takkan boleh lupakan kau. Kau percayalah cakap aku. Nanti aku tolong kau dapatkan Haykal semula. Kalau aku tengok kau dengan Maisarah tu..huh…rasa macam langit dengan bumi. Budak tu apa ada. Mungkin budak kampung tu ada buat guna-guna kat Haykal kut. Sebab tu Haykal suka kat dia.” Sally terus meracun fikiran Reena Aqasha. Ternyata, racunnya meresap ke jiwa Reena Aqasha yang sedang ditusuk onak duri yang berbisa. Bisanya makin terasa apabila terkena racun.
Sementara itu, di bilik 2-104…
Maisarah segera megeringkan air matanya apabila pintu biliknya diketuk seseorang.Nafasnya ditarik dalam mencari kelegaan. Kemudian barulah dia bangun dan membuka pintu.
“Assalamualaikum, Mai. Sorrylah ganggu kau,” ujar empunya diri.
“Oh, kau rupanya Sam. Ingatkan siapa tadi.” Suara itu menjadi sedikit ceria.
“Oh. Tu mesti ingat pakwelah tu. Takkanlah pakwe kau nak ‘terjongol’ depan pintu ni. Karang heboh satu kolej ni tau.” Ibtisam ketawa ceria. Pemilik wajah tembam ini sedikit sebanyak melegakan perasaan Maisarah.
“Apalah kau ni. Ke situ pula dia. Jomlah masuk,” pelawa Maisarah. Setelah Ibtisam masuk, dia kembali mengunci pintu biliknya.
“Kenapa aku tengok mata kau merah je. Nangis ke?Takkan ‘homesick’ kut.” Ibtisam sudah duduk di birai katil Maisarah.
“Ish, takdelah. Merepek je kau ni. Kau ada hal apa nak jumpa aku ni. Ada cerita best ke?” Maisarah menguntum senyuman ceria.Dia tidak ingin Ibtisam tahu akan hal sebenar. Dia kemudian melabuhkan punggung di kerusi belajarnya.
“Eleh, taknak ngakulah tu. Hmm..Takdelah. Sebenarnya aku datang nak kasi ni je. Kebetulan tadi aku pergi print, so..ni aku singgahlah sekali bilik kau.”Ibtisam menghulurkan salinan slaid nota MGM-Pengurusan Organisasi kepada Maisarah. Sebenarnya Maisarah meminta tolong Ibtisam untuk membuatkan satu salinan untuknya.
Mengenang kepada perkenalan mereka, suatu hari mereka ditakdirkan duduk sebelah-menyebelah. Mereka mula berbual mesra. “Kau kan yang selalu pergi jalan kaki pergi kelas. Sorang-sorang je. Kalau sampai, mesti kau yang sampai dulu. Lebih cepat daripada kita orang yang naik bas. Aku selalu nampak kau.” Maisarah mula mesra berbicara bersama Ibtisam.
“A’ah. Kalau tunggu bas jenuh. Lambat. Lepas tu ramai yang dah beratur panjang.  Bersesak-sesak kat dalam bas. Kemudian,  pusing pula satu kampus. Sebab tu lambat. Lagipun  jalan kaki pagi-pagi best. Sejuk je. Kiranya senaman pagilah.” Ibtisam membalas bicara.
“A’ahkan. Macam best je dengarnya. Kau selalu sorang-sorang je kan. Kalau aku nak joint sama boleh tak. Aku ni sebenarnya nak hilangkan ngantuk. Setiap kali masuk kelas pagi, aku ngantuk je. Masalah betul. Manalah tahu kalau aku jalan kaki pergi kelas, ngantuk aku hilang.”Maisarah meluahkan masalahnya.
“Okey je. Aku tak kisah. Lagipun kelas kita sama je kan.”
“Okey, set.” Maisarah memberikan persetujuan. Sejak itu, Maisarah mula ‘kamceng’ dengan Ibtisam.
“Eh, Mai, aku nak tanya ni. Kau jangan marah ea.” Teguran Ibtisam mematikan lamunan Maisarah.
“Tanyalah,”balas Maisarah sambil menyimpan kertas nota tadi ke dalam fail.
“Err..Kau ada masalah dengan Reena ke?” perlahan sahaja nada bicara Ibtisam seakan berbisik. Ibtisam memandang wajah sahabatnya itu meminta jawapan.
Maisarah terdiam. Dia tidak tahu untuk memberi jawapan. Kemudian dia tersenyum nipis. “Hmm..tiada apa-apa. Okey je. Kenapa?”soal Maisarah kembali.
“Takde apa-apalah. Saja je tanya. Tadi aku terserempak dengan dia dekat bawah. Semacam je muka dia aku tengok. Sebab tulah aku tanya kau.” Ibtisam pasti Maisarah menyembunyikan sesuatu daripadanya. Masakan tidak. Dia amat terkejut apabila Reena memarahinya apabila dia bertanyakan Maisarah sewaktu terserempak di bawah tadi.
“Eii, kau nak cari dia ada apa, hah. Tak payah tanya aku. Pergilah tengok sendiri dia ada ke tidak. Menyusahkan orang je. Berlakon baik konon.” Reena melepaskan kemarahnnya pada Ibtisam. Ibtisam hanya mampu terdiam.
“Apa masalah budak ni. Nak marah orang tak tentu pasal.” Geram juga dia dengan sikap Reena Aqasha yang memarahinya membuta-tuli. Ibtisam terfikir sendiri. ‘Gaduh dengan Maisarah ke?’
“Eh, Mai. Jom kita turun beli makanan. Dah pukul 11 lebih ni.” Ajak Ibtisam. Dia mengubah mood bicara. Dia tidak mahu Maisarah bersedih hati kerana dia pasti memang berlaku sesuatu antara Maisarah dan Reena Aqasha beberapa waktu lalu.
“Hmm…Okey. Aku pun dah lapar ni.” Maisarah tidak menolak.
Selepas membeli makanan di Food Court, mereka kembali balik ke blok. Kebetulan, mereka berselisih jalan dengan Reena dan Sally di pintu pagar.
“Hai…Perampas. Tak keluar dating ke hari ni.” Tajam nada suara Sally begitu jelas di pendengaran Maisarah dan Ibtisam. Reena pula sempat menjeling tajam ke arahnya. Mereka terus berjalan pergi.
“Perampas? Dia maksudkan siapa tu?” Ibtisam tidak mengerti. Maisarah juga tidak tahu. Takkanlah dirinya yang di katakan perampas oleh Sally. Rampas siapa?
“Mai…Aku tengok si Sally dan Reena tu lain macam je tengok kau. Apa yang sebenarnya berlaku ni? Aku tak faham.”
Maisarah menggeleng.
“Kau ada selisih faham denga Reena ke? Kau ceritalah dengan aku Mai. Aku ni kesian kat kau. Aku tahu kau ni baik. Aku tak nak dia orang buli kau. Cerita ea. Aku tahu, kau sembunyikan sesuatu dari aku.” Ibtisam memujuk kata.
Maisarah tertunduk. Dia akhirnya bercerita jua.“Aku, tak tahulah Sam. Aku sedih sangat. Sampai hati dia tuduh aku macam tu. Aku rasa tertekan. Aku tak sangka hal ni boleh terjadi pada aku. Aku tak nak ni semua berlaku, Sam. Aku tak nak. Aku tak sanggup.” Air matanya terus jatuh ke pipi. Apabila mengingatkannya, jiwanya dilanda sebak.
Ibtisam nyata terkejut. Begitu kisahnya.“Sabar, Mai. Sekurang-kurangnya kau berkongsi dengan aku. Aku rasa si Sally tu penghasutnya. Aku kenal siapa Sally. Dia dulu bekas pelajar sekolah aku. Dia memang banyak kes. Aku tak sangka pula minah tu dapat sambung study kat sini juga. Takpe, Mai. Kau sabar ye.” Ibtisam memberi kata semangat.
“Dahlah, jom kita makan. Makan lagi best dari memikirkan ‘minah’ dua ekor tu. Jom, Mai.” Ibtisam bertindak mengubah suasana. Dia tidak mahu temannya itu terus bersedih. InsyaAllah semuanya akan baik nanti.

2 comments: