Monday 25 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 10


“CIK PUTERI, jom kita pergi makan.”Suara lunak Ilham menerjah ke cuping telinga tatkala talian bersambung.
“Malaslah. Kau makan ajelah dekat rumah. Aku malas nak keluarlah. Ngantuk. Tak pun pi je la sorang. Kenapa ajak aku.”Suara Maisarah agak tegang. Dia letih.Terasa malas memenuhi permintaan Ilham. Dia ingin berehat.Paling penting dia ingin tidur.
“Aii, tuan puteri marah ke? Kalau marah nanti kena jual.”Ilham berseloroh.
“Eh, kau. Kau ingat ni cerita Tiga Abdul ke? Nak main jual-jual orang. Kau nak makan, ajaklah awek kau. Kenapa aku?”
“Sebab kau awek akulah, aku ajak kau. Dah lupa ke? Hmm..kalau taknak, takpelah. Cincin kau aku simpan kat peti besi je la ye. Biar aku simpankan untuk kau sampai bila-bila.”
“Eh, kau ni…”
“Jomlah puteri. Sekejap lagi aku sampai.” Ilham mematikan talian.
Maisarah merengus marah. ‘Ngada-ngadal betullah mamat ni.’
            “Hai,puteri. Macam tak ikhlas je keluar dengan aku.Kenapa? Tuan puteri masih nak beradu ye? Agak-agaklah sikit. Dah pukul berapa ni. Mentang-mentanglah kau jauh dari mak kau. Mak kau tak nampak,. Tahunya nak membuta je.” Ilham sengaja memerli Maisarah. Dia sudah ketawa.
Maisarah hanya memekakkan telinga. ‘Geramnya aku dengan mamat ni. Sempat juga dia nak kenakan aku.Lantak akulah. Sibuk je. Dia bukan laki aku pun. Hishh…Geram.’
“Puteri..puteri..Apalah kau ni. Anak dara tak baik tau membuta sampai ke tengah hari. Rezeki tak masuk.” Ilham terus berceloteh panjang seperti orang tua menasihati anak sendiri.
“Kau ni dari tadi asyik  puteri..puteri je apa hal? Gatal telinga aku,”omel Maisarah.
Ilham hanya ketawa. “Saje je. Tak boleh ke. Aku rasa gelaran puteri tu lebih sesuai untuk kau. Puteri Melayu untuk gadis Melayu.Bunyinya indah.Comel. Tak gitu.Lagipun kau awek aku. Lagi satu..kalau takde gelaran puteri tu, macam mana nak panggil kau Puteri Beradu, kan. ” Ilham merungkai jawapan. Masih lagi sempat memerli Maisarah.
“Eh, kau ni kan. Kalau tak perli aku tak boleh ke.”
“Terasa ke? Pedas ke….pahit?” Ilham terus ketawa. Memang suka dapat mengenakan Maisarah.
“Kenapa kau suka cari pasal dengan aku, hah. Aku rasa macam nak cekik-cekik kau je tau tak.” Maisarah meluahkan apa yang terbuku di hati. Memang dia geram dengan Ilham. Sejak mengenali Ielaki itu, rasanya memang cepat darahnya naik.
“Lah, nak jadi Vampire pula. Ni dah boleh jadi cerita Twilight versi Melayu ni. Vampire yang mencekik orang sambil tidur. Fulamak…mesti best ni. Boleh pecah panggung RM50 juta ni.” Ilham ketawa lagi. Sudah bergunung-gunung dia mengenakan Maisarah.
“Eh, kau. Berhentikan kereta sekarang. Aku nak turun!” Arah Maisarah. Dia sudah tidak tahan mendengar kata-kata Ilham yang asyik mengenakannya. Hatinya panas.
“Jangan nak buat kerja gilalah. Kereta  tengah banyak tu. Lagipun dah nak sampai ni. Aku minta maaf. Mulut aku ni memang kekadang macam ni. Tapi masalahnya dengan kau je. Dengan orang lain tak pulak. Aku pun pelik. So….”
“Eh, tu kau punya pasallah. Wei, aku kata berhentilah!”
“Alah, Mai. Aku dah anggap kau macam awek aku tau. Sebab tu aku suka sangat usik-usik kau. Saja nak mesra-mesra. Takkan itu pun tak boleh. Janganlah marah sangat. Ni untung aku nak bemesra-mesra dengan kau, kalau aku ikut fiil aku yang sebenar, hmm…kau takkan merasa nak bermanja-manja dengan aku macam ni tau. Nak merajuk. Tapi, entah ek. Bila dengan kau ni kan, fiil aku pun berubah. Aku rasa, aku ni dah jadi lembut hati sikit.” Ilham tersenyum sendiri. Hakikatnya, itulah yang berlaku.
“Dah. Kau jangan nak mengarut. Kita ni berlakon je tau.” Maisarah memeluk tubuh. Dia cuba menenangkan hatinya yang masih berlahar. Panas. Dia kemudian membetulkan duduk yang mula terasa tidak selesa. Mamat ni tersampuk apa agaknya. Anggap aku betul-betul awek dia. Buang tebiat ke apa. Dahlah berputeri-puteri bagai. Pulak tu aku jadi puterinya. Puteri Beradu pulak tu. Tahulah aku ni kuat tidur. Pastu,dia kata aku Vampire. Lagilah tak tahan. Menakutkan betul.Dia ni mesti terjebak dalam dongengan dunia fantasi. Lepas tu kata, dia dah jadi lembut hati sebab ada aku. Haha..Lawaklah pulak. Hmm..agaknya, lepas ni apa pulakdia kata aku. Aiyaa…memang nasiblah ni.
“Alang-alang dah berlakon tu, biar betul-betul. Err..jangan salah faham ye. Maksud aku, tu sebagai penyedap cerita kita je.Lagi satu, kalau kita dah ‘clash’ nanti, sekurang-kurangnya adalah memori terindah untuk dikenang. Tapi kalau nak serius pun, apa salahnya, kan.” Ilham ketawa nakal.
“Ikut suka hati kau lah.Aku malas nak fikir. Yang penting kau pulangkan barang aku tu,” ujar Maisarah. Dia malas melawan cakap lelaki itu. Bila di tanya pasti ada sahaja jawapannya. Semakin di layan semakin menjadi-jadi pula. Masalahnya nanti terkena pada dirinya juga.
“Ye ke, kau tak kisah. Kalau gitu, aku sarungkan cincin terus je lah.Family aku mesti setuju punya. Tunggu green light pihak kau je lah. Nanti kau inform, bila aku boleh hantar rombongan. Acikan macam tu.” Ilham sudah mengenyit mata seraya ketawa.
Maisarah mencebik bibir. “Kau jangan nak mengarut pula ea. Ni dah jauh dah ni.” Ilham terus ketawa. Sejak berjumpa Maisarah, memang dia selalu gembira.
“Biasalah, Mai. Itukan angan-angan. Lagipun, bukan kau je suka berangan. Aku ni pun penuh angan-angan juga. Tapi tak semua angan –angan kita tercapai, kan.  Hmm..cuma satu ni kiranya dah tercapailah.”
Maisarah memandang Ilham. Ingin juga dia tahu apakah angan-angan lelaki itu yang kini  telah tercapai. Dia nak cerita, so…dengar je lah.
“Aku pernah cakap dengan abang aku dulu. Kalau aku dah ada awek, aku nak panggil awek aku tu dengan gelaran ‘Puteri’. Tak sangka kau orangnya. Tapi, nak buat macam mana, kita ni olok-olok je. Tak kisahlahkan. Kiranya angan-angan dah tertunai juga. Lagipun, abang aku takde kat sini.So, tak dapatlah dia jumpa kau. Takpe next time, kalau dia balik sini aku boleh kenalkan kau kat dia walaupun masa tu kita dah ‘clash’.” Ilham tetap tersenyum comel.
Maisarah tersenyum kelat. Tak sangka ungkapan puteri itu sebenarnya satu angan-angan  Ilham. Ntah apa-apa je lah mamat ni. Pelik. Kenapa mesti ada kaitan dengan dirinya. Kenapa bukan orang lain. Maisarah mengeluh lagi. Puteri pula tu…Hmmm..macam Nora Dansih kat siri Puterilah pulak.
“Apa pula angan-angan kau? Tak nak shareke?” tanya Ilham berbasa basi. Dia tahu Maisarah pasti tidak  mahu memberitahu.
Maisarah menguntum segaris, dua saat. Dia menjongket bahu. Malas untuk berkongsi dan rasanya ia tidak perlu dikongsikan dengan Ilham.
Ilham ketawa sendiri. “Dah agak dah. Mesti tak nak beritahu. Tapi aku tahu apa angan-angan kau. Angan-angan kau mesti nak jadi Vampire, kan. Nanti boleh cekik aku. Betul tak?”
 “Dahlah, kau ni. Jangan asyik nak kenakan aku je. Aii, tadi kata dah nak sampai. Kenapa tak sampai-sampai lagi?”Maisarah sudah kembali tenang.
“Tadi aku tipu kau je. Lambatlah kau ni.” Ilham tersenyum nakal.
Maisarah menjeling Ilham. Bengkek betul.
“Kau tengok Mai. Bila ada kau je mesti aku gelak-gelak punya. Awet mudalah aku macam ni. Agak-agak kau lah, kau rasa umur aku ni berapa?”
“Kenapa tanya?”
“Kita bertanya sebab nak tahu. Kalau tak tanya tak tahu. So..kau rasa…”
“Hmm..ntah. 20 kut.” Maisarah hanya ‘menembak’ sahaja. Dia tahu umur Ilham lebih daripada itu.
“Ye ke. Alamak, mudanya aku. Hmm..sebenarnya kau tahu tak umur aku berapa sekarang ni.”
Maisarah menjongket bahu. Dia memang tidak tahu, dan  malas ingin mengambil tahu.
“Tak tahu ke? Baguslah tak tahu. Aku pun tak nak beritahu. Ha..Ha..” Ilham ketawa lagi.
Tiba-tiba Maisarah terperasankan sesuatu. “Tak beritahu pun aku dah tahu. 27, tapi belum cukup umur lagi.” Maisarah menjawab selamba. Yakin. Dia tersenyum di dalam hati.
“Fulamak, terror nya. Sejak bila jadi detektif ni. Ni mesti minat anime Detektif Conan, kan. Macam mana kau tahu.” Soal Ilham sedikit kehairanan.
“Kata detektif. Mestilah tahu.” Maisarah menjawab bangga. Terasa kembang sedikit hidungnya.
“E’eh. Tak nak beritahu pula dia. Hmm…Detektif Beradu. Kita nak tanya sikit boleh tak.” Ilham membuat suara ngada-ngada.
Maisarah sudah mencebik. “Eh, kau ni kan.”
“Kenapa marah. Betullah. Takkan aku nak panggil kau Kogoro Mauri pula. Detektif yang terlena tu.” Ilham sudah terkekeh-kekeh ketawa. Nampaknya, Maisarah terkena lagi.
“Diamlah kau Kogoro Mauripan.” Maisarah membalas. Ilham ketawa.
“La, rupanya kita ni sama-sama detektif. Memang berjodoh betul.”
Maisarah membuat muka bengang. Tak tahu mengapa begitu jadinya.
“Aku tahu, macam mana kau tahu. Mesti kau tengok aku punya tag ni kan.” Ilham menjungkit kening sambil menunjukkan tag namanya  yang sedia tergantung di dalam kereta.
 “Mai, kau nak join tak kelab MDC ni. Best tu.” Ilham memberi cadangan.
‘Hisy..mamat ni. Nak buat promosilah pulak.’
“Kelab apa tu. Tak pernah dengar pun.” Maisarah bertanya acuh tidak acuh.Hmm..Dengar bunyinya macam best juga.
“MDC tu singkatan ‘MalayDiecaster Club’. Kelab peminat ‘diecast’. Banyak model ‘diecast’ kau boleh tengok.Kecik ke..besar ke…yang kau tak pernah tengok pun ada.Kau mesti excited punyalah. Hari tu aku ada nampak kau masuk Toy City. Aku tengok, kau macam minat je mini collection kat situ.So, kau rasa macam mana. Nak tak joint. Joint saja- saja pun takpe. Nak ramaikan ahli. Next time, kalau ada perjumpaan aku ajak kau.”
“Taknaklah.” Maisarah menolak. Cadangan Ilham belum mampu mempengaruhinya untuk turut serta.
“Jomlah.” Ilham mengajak, namun tidak mendesak.
“Bila kau nak pulangkan cincin aku.” Maisarah mengubah topik. Dia masih menuntut haknya.
“Alamak, tukar topik pulak dia ni. Itu aku ingatlah. Takut betul.”
Maisarah mencebik bibir. Sempat juga dia menjeling Ilham. “Pulangkan je lah. Apa susah.”
“Susah, weh. Nanti, aku tak dapat dating dengan kau lagi. Tak bestlah.” Ilham membalas dengan senyuman.
“Hmm..Jawapan poyo.”
“Okey..Kita dah sampai.” Ilham mula memasuki kawasan sebuah hotel.
“Makan dekat sini ke? Bukan tadi kata nak makan kat tempat dulu tu ke,” tanya Maisarah. Dia agak kebingungan. Tak terfikir langsung dimindanya Ilham akan membawanya ke situ.
“A’ah. Tak nak ke. Sesekali kita makan dekat ini. Sebelum ni kita makan kat kedai mamak je kan. Takpelah. Sesekali tukar angin. Jom.” Ilham berbicara lembut. Memang seperti seorang kekasih melayan kekasih. Lagipula Ilham sendiri mengaku dalam tempoh ini dia menganggap Maisarah seperti ‘awek’ sendiri. Maisarah hanya mampu menggeleng kepala. Dia hanya menuruti. Maisarah memerhati kawasan sekitar. Tempat ni….
“Dulu aku selalu juga makan kat sini dengan family. Kekadang pergi dengan abang aku. Lepas dia pi oversea, aku dah lama tak makan kat sini. Ni, sekarang aku ajak kau pulak.
Ilham mencari posisi berdekatan sebuah cermin besar. Di situ mereka dapat melihat persekitaran luar yang cantik. Terdapat juga sebuah pancuran air pancut di situ. Memang indah mata memandang.
Maisarah hanya berdiam diri. Hatinya sedikit terusik. Sepertinya ada sesuatu menggamit memorinya di situ.
“Kenapa? Tak Suka ke tempat ni.” tegur Ilham tatkala melihat seraut wajah Maisarah yang agak suram di hadapannya.
“Takde apa-apalah. Okey je.” Maisarah segera memaniskan muka. Dia menguntum senyum.
“Awak..awak nak makan apa?” soal Ilham sambil mengulurkan menu kepada Maisarah. Suara itu kedengaran lemak merdu.Sengaja bermanja-manja.
“Eii..Apa awak..awak ni. Kau akuje lah.” Maisarah menekan suara seakan tidak suka dengan panggilan yang lembut begitu.
“Panggil lembut-lembut macam tu pun tak suka. Apalah kau ni. Aku saje je nak ala-ala romantik sikit. Tak boleh ke? Kau rasa aku ni romantik tak.” Ilham memandang Maisarah sambil menjungkitkan keningnya. Bibirnya mengukir senyum.
Maisarah menutup mulut menahan gelak. “Soalan kau ni peliklah.”
“Apa yang pelik.”
“Kenapa kau tanya macam tu. Macam tak logik je. Lawak.”Maisarah masih menahan tawa.
“Ye ke. Hmmm..Okey.” Ilham kembali membelek menu di tangannya.
Maisarah hanya tersenyum. Tak sampai hati pulak nak ketawa lebih-lebih, walaupun Ilham selalu berlebih-lebih ketawakannya. Coverlah sikit, kan. Dia sudah mula mengerti cara Ilham. Kadang-kadang lawak juga dia ni.
Ilham memerhatikan tingkah Maisarah. Dia dapat melihat senyuman gadis itu. Mungkin sedang melayan perasaan. Hatinya berbunga riang.
“Mai..aku tengok dah tembus kau tenung menu tu. Berangan ke. Siap senyum sorang-sorang lagi.” Ilham mengusik.
Maisarah seperti baru tersedar dari lamunan. Tetapi, tetap cover cun.
Ilham sudah ketawa dengan tingkah Maisarah.
“Nak makan apa?” soal Ilham.
“Hmm..Tak tahulah. Aku ikut kau aje lah.” Memang itu kelemahan Maisarah. Bila part pilih memilih ni, dia memang fail. Mesti jawapannya tak tahu.
“Hmmm..okey.” Ilham kemudian memesan menu.
Maisarah pula memandang keluar cermin. Pandanagan matanya asyik melihat pancuran air pancut sambil menongkat dagu. Mindanya melayang teringatkan seseorang.Dia tersenyum sendiri.
Ruang waktu itu hanya menyaksikan mereka berdua berdiam diri. Maisarah terus dengan lamunannya.Ilham pula hanya menjadi pemerhati. Membiarkan Maisarah melayan blues sendiri. Sesekali dia tidak perlu kacau. Itu lebih baik.
Enjoy your meal,” ujar pelayan yang datang membawa hidangan.
Menu yang terhidang adalah Nasi Tomyam dan daging black pepper.Maisarah tersenyum. Aroma itu sungguh menyelerakan.Sepertinya hari ini mengulang ceritanya bersama seseorang. Tempat yang sama, dan menu yang sama. Cuma, mungkin ceritanya seterusnya berbeza.
Tiba-tiba Maisarah tertunduk.
Ilham perasan gadis itu meyeka air mata. Nangis ke?
“Mai, kau kenapa?” tanya Ilham agak terkejut melihat Maisarah yang sudah merah mata.
“Aku tergigit cili.” Maisarah menekup mulut. Air matanya telah jatuh,menahan kepedasan dan kepijaran yang terasa. ‘Fuhh..Kaw..Kaw...pedasnya.’ Dia memandang keluar tingkap sambil mengelap air matanya yang masih gugur. ‘Aduhai…bengang betul aku. Boleh pulak nangis time ni. Buat malu je.’
“La, kesiannya. Kenapa tak cakap tak tahan pedas. Kalau tak aku boleh suruh dia kurangkan cili. Aku ingatkan kau nangis sebab apa.”
Ilham kemudian memesan air masak, sebagai bantuan menghilangkan kepedasan yang di hadapi masalah.
            Maisarah hanya tersenyum nipis. “Takpe. Sikit lagi okeylah. Cuma rasa pijar je.”
“Takpe Mai. Belajar makan pedas. Nanti, kalau kau dah kahwin susah juga kalau dapat laki yang suka makan pedas. Betul tak?” Ilham tersenyum menampakkan baris giginya yang tersusun cantik. Maisarah masih menyedut minumannya. ‘Hai..mamat ni. Aku dah nangis ni, dia sempat lagi nak buat lawak.’
Maisarah memicit hidungnya. Menarik nafas kembali.
“Aku rasa kau ni bukannya kenyang makan nasi, tapi kenyang minum air je kan. Tengok tu. Luaknya sikit je,” usik Ilham.
“Memanglah. Aku baru tengah syok-syok makan, tetiba tergigit cili. Mana tak. Aku ni bukannya tahan pedas. Kau tu lainlah.” Maisarah masih menekup mulut menahan pijar.Suara dah jadi seperti orang selsema. Mata..Hmm..Merah. Dah macam orang menangis di tinggalkan pakwe.
“Takpe. Kau makanlah. Aku setia menunggu.” Ilham menguntum senyum. Kemudian tangannya mencapai piring yang terisi daging black pepper di hadapan Maisarah. Nampaknya ia baru terluak sedikit. Setelah dipotong-potong kecil, dia kembali meletakkannya di hadapan Maisarah.
Maisarah mengucapkan terima kasih. Pandangan matanya jatuh pada Ilham. Kemudian dia tertunduk. “Kenapa tatkala ini apa yang kau buat mengingatkan aku kepada seseorang.”Hati Maisarah sedikit terusik. Dia kembali menyeka tubir matanya.
Maisarah kemudian terus menyambung menikmati hidangannya. Ilham pula sudah habis makan. Dia hanya menyedut minumannya yang masih berbaki. Seketika itu mesejnya berbunyi.
Maisarah leka memerhatikan tingkah Ilham yang asyik membalas mesej. Wajah itu tetap tenang dan ceria. Sebenarnya, raut wajah itu juga mengingatkannya kepada seseorang. Ia seakan mirip sekali pandang. Angin rindu membuai perasaannya. Terbit sebaris senyuman di bibirnya.
Dalam kelekaan Maisarah, Ilham sempat mengambil gambarnya. Berjaya juga akhirnya.Shoot yang cantik.
“Wei..kau ambil gambar aku ea.” Suara Maisarah sedikit kuat tanpa sempat di cover. Dia terlupa di mana dia berada. Ramai pula mata yang memandang ke arahnya. Maisarah segera menekup mulut. Wajahnya terus tertunduk memandang meja. ‘Aduh, malunya. Terkuat pulak.’
“Kau punya pasallah ni Am. Buat malu aku je.” Maisarah berbicara perlahan seakan berbisik. Ilham menahan tawa. Ha..Ha..Maisarah buat lawak.
“Sorry. Dahlah tu. Tak payah nak marah. Habiskan makanan tu.”
“Dah kenyanglah. Kau tolonglah habiskan. Yang sebelah situ aku tak sentuh pun.” Maisarah terpaksa meminta bantuan. Sayang melihat makanannya yang masih banyak berbaki. Perutnya memang sudah kekenyangan air. Jika tidak pedas dia pasti akan menikmatinya sehingga licin.
“Aku pulak yang kena habiskan. Ada ke patut.”
“Alah, tolonglah.Sayang tu. Membazir je.” Maisarah kemudian menolak pinggannya
kepada Ilham.
“Apa? Sayang?” Ilham mengusik kata.
“Jangan nak ngada-ngada ea.”
Ilham tersenyum lagi.Memang murah senyumannya apabila bersama Maisarah. Gembira betul dia melayan kerenah Maisarah.
“Kau ni Mai. Macam budak kecik. Yelah..Yelah. Kau tak kisah ke, aku berkongsi pinggan dengan kau ni. Orang kata kalau kita kongsi-kongsi ni, jadi makin close. Betul ke?” Ilham sekadar bertanya. Nak tak nak dia juga yang menjadi mangsa untuk menghabiskan makanan tersebut.
 “Tiba-tiba aku rasa jadi romantik pulak kongsi-kongsi makanan dengan kau ni. Kau ni sengaja nak adakan memori-memori indah dengan aku, kan. ” Ilham tertawa. Wajahnya memandang Maisarah.
Maisarah membalas pandang.
“Mesti diaorang ingat kau ni…..” llham sengaja tidak menghabiskan bicaranya.
Maisarah sudah merenung tajam wajah Ilham di hadapannya. Dalam kotak fikirannya mengagak bahawa Ilham akan menyambung dengan salah satu perkataan berikut. Awek…Tunang…atau ..Isteri..
“Vampire.” Ilham menuju kata kepada Maisarah. Selamba sahaja bicaranya.Dia tertawa.Sebenarnya dia hanya bergurau.
Nampaknya Maisarah terpaksa menahan  amarahnya. Ada ke dia kata aku Vampire. Melampau betul. Aku juga yang kena. Mana tak panas je hati aku ni bila keluar dengan dia. Tak sudah-sudah nak kenakan aku.’
Selesai makan, mereka kembali ke kereta.
Tiba-tiba…Maisarah terpelecok. Sudah tentunya dia terlatah. “Eh, opocot adik aku, sayang aku….”
Ilham ketawa. “Mai..Mai..Kau ni buat lawak ajelah.Tak tahan betul aku. Rasa nak berguling-guling dah.”
“Diamlah kau.” Marah Maisarah. Di dalam kereta dia terus senyap melayan perasaan sendiri. Masih terasa bengang dengan apa yang berlaku. Eiii…Marahnya pada Ilham juga ada.
“Mai, lepas ni kita nak pergi mana?” soal Ilham sambil tangannya mencari-cari siaran radio yang menepati citarasanya. Senyuman dan tawanya di simpan. Dia kembali berlagak seperti biasa. Kesian pula nak ketawakan Maisarah. Tapi…ia suatu yang menggembirakan hatinya.
“Baliklah. Nak ke mana lagi.” Mendatar sahaja suara itu kedengaran. Maisarah hanya membuang pandang keluar tingkap sejak tadi. Malas untuknya memandang wajah Ilham. Geramnya masih berbaki. Biarlah disejukkan hatinya sendiri..
Ilham terus memandu keluar keretanya. Alunan lagu di radio meniti di bibirnya. Maisarah pula sudah tersandar, melayan perasaan hati. Ilham terus memandu tenang. Saat ni juga dia seperti tiada kata untuk dibicarakan dengan Maisarah. Hanya hati menjadi teman bicara.
‘Mai..Aku tak sangka pertemuan kita yang tidak disengajakan dulu membawa perubahan dalam hidup aku. Aku perangkap kau, tetapi aku sendiri terperangkap. Aku rasa, aku dah mula sukakan kau. Aku tak pasti ia hanya sebuah ilusi atau hanya satu perasaan yang aku sendiri tidak faham. Terlalu abstrak untuk aku mengertikan. Kenapa aku rasa semakin dekat dengan kau dalam tempoh ruang waktu sesingkat ini. Aku tak mengerti Maisarah. Tapi..janji aku pada kau, haruskah aku mungkiri. Mai, tolonglah mengerti perasaan aku Mai…Tolonglah beri jawapan kepada apa yang berlaku sekarang.’Ilham menghela nafas. Dia terus memandu keretanya menuju ke Alamanda, Putrajaya.
“Wei, kau nak ke mana pula ni?” Maisarah terkejut apabila Ilham tidak menghantarnya pulang ke rumah. Dia baru tersedar Ilham sudah melencong jalan lain.
“Hmm..Mai. Tengok wayang jom. Cerita ‘Transfomers 3,” ujar Ilham tiba-tiba. Sebenarnya ia langsung tiada dalam planningnya.Dia sengaja mengambil peluang ini untuk bersama Maisarah.
“Ha, ye ke.” Maisarah tiba-tiba menjadi sedikit excited. Dia memang teringin untuk menonton cerita tersebut. “Okey..okey.” Maisarah memberi kata putus.
“Aii, betul ke? Macam tak percaya je. Betul ke ni? Tak kisah?” Ilham bertanya kembali. Hari tu beriya-iya gadis itu menolak, sekarang lain pula ceritanya. Takkan sebab Transfomers kut.  Ilham tertawa di dalam hati. Haha…Gila Transfomers ke budak ni.
            Jika sebelum ini Maisarah memang mengelak untuk menonton dengan Ilham, kini lain pula jadinya. Semuanya kerana Transfomers. ‘Alamak aku dah terlepas cakaplah. Tu lah excited sangat. Hisy..Transfomers punya pasallah ni.’
“Betullah kut.” Maisarah serba salah untuk menarik balik kata-katanya. Lagipun dah sampai ke destinasinya. On je lah..
“Okey. Wayang pukul dua. Jomlah. Kita cari surau dulu. Lagipun dah nak waktu.”
“Okey.” Lega hati Maisarah mendengar bicara Ilham. Nampaknya Ilham tidak lupa akan tuntutan fardhu. Alhamdulillah.
Maisarah berasa serasi dengan Ilham walaupun kadang-kala dia rasa marah dan geram dengan lelaki itu. Dia juga kekadang pelik dengan sikapnya sendiri. Namun dia berharap agar ‘drama’nya dengan Ilham segera tamat. Dia takut jika semakin lama dia dengan Ilham, lain pula jadinya.
“Sampai bila kita nak kena berdrama macam ni. Kerja gila kau tau. Apa yang tak settle lagi. Aku dah malaslah. Aku nak cincin aku balik.”Rungut Maisarah. Mukanya agak kelat. Ilham hanya tersenyum mendengar rugutan itu.
“Aku tak suruh kau berdrama pun. Aku pun layan kau pun natural je.Cuma kita ni dalam situasi yang ting..tong..ting..tong..sikit.. Hmm..Kalau kau rasa nak cerita kita ni habis cepat dan tak memeningkan kepala, aku idea best punya. Apa kata, kita dot..dot..je.” Ilham  masih cuba bergurau walaupun dia tahu Maisarah serius. Itulah maksud hatinya walaupun sebenarnya tidak serius. Sebenarnya dia sudah mula menaruh hati pada Maisarah, kekasih tawanannya itu. Padanya, tidak kisah jika tidak bercinta. Bercinta selepas kahwin pun orait apa. Lagipula, jika hal ini dikhabarkan kepada umminya, pasti wanita itu gembira, kerana itulah apa yang diinginkannya. Tapi….itulah masalahnya. Maisarah…Hmm..pasti dia menolak.
Maisarah menggaru kepala yang tidak gatal, berpura-pura tidak memahami maksud bicara Ilham. “Tak fahamlah dot..dot.. kau tu. Apa maksud kau sebenarnya ni. Cuba explain sikit.” Soal Maisarah ingin kepastian.Dia membetulkan duduknya.
“Kenapa la awek aku ni naif sangat. Blur je. Takkan itu pun tak faham. Sudah terang lagi bersuluh la pulak. Ke sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Maksud aku, kau kahwin aje lah dengan aku. Settle. Tak berlakon dah. Cincin kau aku pulangkan. Aku kasi cincin lain lagi. Amacam. Setuju ke..” Ilham tersenyum dalam  berbicara. Matanya memandang tepat wajah Maisarah yang duduk bertentangan dengannya. Sengaja melihat reaksi gadis itu.
“Kau jangan nak ngada-ngada ek.Aku tak naklah.”
“Aku doa je. Manalah tahu, doa dimakbulkan.”
Maisarah membalas jelingan tajam. Dia mengetap bibir.
“Pandang-pandang, jeling-jelinglah pulak. Jelingan tu menakutkanlah. Macam Vampire, tapi senyuman tu….mengancam. Boleh tahan. Tak boleh tidurlah aku malam ni.” Ilham masih dengan usikannya. Derian tawanya membingitkan telinga Maisarah.
“Banyaklah kau.” Maisarah terasa panas hati dengan usikan Ilham. Dia memeluk tubuh, menyilangkan tangannya ke dada.
Ilham menjungkit kening. Jari telunjukknya di letakkan di dagu. Dia berpura-pura berfikir. “Apa yang banyak. Aku rasa aku kat sini ada sorang je. Kau takkan tak nampak. Mata ada empat tu.” Ilham terus menekan Maisarah dengan lawak bodohnya.
“Ishh..Geramnya aku dengan kau ni. Malas nak layan.” Maisarah mula menarik muka.
“Okey, never mind. Itu selingan je. Saja gurau-gurau. Tak sukalah tengok kau asyik tarik muncung je. Lama-lama panjang macam tapir. Siapa yang susah, aku jugak. Senyum la sikit. Sekuntum senyuman, seharum lamunan dan sesegar kenangan. Barulah terserlah keayuan di wajahmu. Tak gitu. Sedap tak kata-kata aku. Silap-silap boleh buat iklan promosi lipstick kan.” Ilham tertawa sendiri. Maisarah akhirnya turut tersenyum. Tergelitik juga hatinya dengan lawak Ilham. Marah-marah juga, tapi lawak Ilham mengatasi marahnya.
“Banyak mulut juga aku ni, kan. Aku ingat aku ni seorang yang pendiam.” Ilham menilai dirinya sendiri.
Maisarah sudah tergelak dengan kata-kata Ilham. “Tau takpe.Sedar diri pun kau.Kau tu memang lelaki mulut murai. Pot pet, pot pet je dari tadi. Sakit telinga aku dengar. Kau nak klasifikasikan diri kau tu pendiam, memang lawaklah.” Maisarah membalas kata-kata Ilham. Dia tersenyum senang. Ilham pula hanya tersenyum simpul.
“Cute.” Ilham berkata sepatah.
“Apa yang cute?” Soal Maisarah tidak mengerti.
“Senyuman kau dan lesung pipit aku.Hehe.” Ilham membuat trade-mark pistol dan mengacukan kepada Maisarah pada jarak jauh. Sebelah matanya dikenyitkan sebagai tanda membidik sasaran. Itulah trade-mark kegemarannya. “Bang. Bingo!” Maisarah membalas dengan cara yang sama. Kemudian ia diikuti dengan trademark Peace.
“Aii. Tiru. Tak aci la macam ni.”
“Kebetulan je sama. Kau tak daftar sebagai harta intelek, so kau tak leh salahkan orang lain.”
“Pandainya.”
Akhirnya mereka sama-sama ketawa.
Maisarah mematikan tawanya. Seketika tadi dia berasa sangat teruja apabila bergurau dengan Ilham. Seakan Ilham bukan orang yang dibencinya.Pandangannya jatuh pada seraut wajah Ilham yang masih berbaki tertawa. Dia cuba menilai lelaki itu seadanya. Tawa lelaki itu mengingatkannya pada seseorang. Ilham serta-merta senyap ababila melihat Maisarah sudah terdiam dan tertunduk. Ilham memandang Maisarah dengan seribu macam persoalan.
“Pisttt..kenapa?”soal Ilham.
Maisarah menunjukkan tanda ‘peace.’Hanya berselindung.
Ilham memandang lagi wajah Maisarah. Dia tenang melihat wajah itu. Padanya Maisarah istimewa. Tapi, dia harus ingat. Siapa Maisarah.
“Mai..Terima kasih sebab sudi tengok wayang dengan aku. Kau dah penuhi angan-angan aku yang kedua,” tutur Ilham lembut.
“Terima kasih sebab belanja.”Ujar Maisarah pula.
“Alah. No hal punya. Kau punya pasal, aku tak kisah. Kau kan awek aku.”
Maisarah membuat muka kelat. Kemudian tersenyum jua. Malas dia bergaduh kata dengan Ilham. Dia tahu lelaki itu hanya bergurau. Sebenarnya best juga melayan Ilham ni.
Ilham menghantar Maisarah pulang.
“Oh,lupa pula aku. Kalau tak salah aku, ni barang kau, kan?” Ilham mengambil satu bungkusan biru di tempat duduk belakang dan menyerahkan kepada Maisarah.
“Apa benda ni?”soal Maisarah sewaktu bungkusan itu bertukar tangan.
“Kalau tak salah aku, ni barang kau yang tercicir masa kita ‘accident ‘dulu. Kau tengoklah betul ke tak? Kalau bukan, takpelah. Aku boleh hantar kat masjid. Sekurang-kurangnya orang yang tercicir barang ni dapat juga pahala.” Ilham masih tidak terkalih memandang wajah Maisarah.
Maisarah hanya mampu terdiam melihat isi bungkusan itu. Memang ia miliknya. Tak sangka selama ini ia berada dalam simpanan Ilham. Tiba-tiba dia menjadi sebak. Ia adalah kain telekung bersulam yang diinginkan Kak Ija. Permintaan yang tak dapat di penuhi. Di kala ini Maisarah teringat kembali akan tangan Kak Ija yang sejuk lesu. Wajah yang pucat dan sekujur tubuh yang diselimuti kain kafan. Ya Allah. Wajah itu masih terus terbayang dalam mindanya.
“Kenapa ni?” Ilham agak terkejut dengan tingkah Maisarah. Dia terperasan akan kolam mata Maisarah mula berkaca. Baru seketika tadi wajah itu ceria kini seakan ada duka yang melanda.
Maisarah hanya membalas dengan gelengan kepala.“Terima kasih sebab pulangkan balik barang ni.”. Tatkala itu hatinya memang terasa sebak. Matanya sudah merah.
“Mai. Kalau takde apa-apa, kenapa kau nangis?” teguran Ilham membuatkan hati Maisarah semakin sayu. Maisarah tidak dapat membendung air matanya. Ia akhirnya tertumpah jua.“Mai..” panggilnya.
Maisarah hanya menggeleng. Hanya itu yang dia mampu.“Aku naik dulu.” Maisarah bersuara dalam nada suara serak yang tertahan-tahan. Dia terus keluar dan berlalu pergi meninggalkan Ilham dengan seribu persoalan.
Ilham  hanya mampu terdiam. Dia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Mengapa Maisarah menangis hanya kerana sehelai telekung? Dia keliru. Sebenarnya inilah kali pertama dia melihat Maisarah menangis. Dia semakin serba salah kerana selama ini telekung itu berada dalam simpanannya. Adakah dia punca sebenar kepada apa yang berlaku. Dia tidak pasti. Dia tersandar. Keluhannya dilepaskan.
Malam itu Ilham berusaha untuk menghubungi Maisarah. Namun, ia sengaja tidak dijawab. Ilham mengeluh dalam nafas sesak di dada.












No comments:

Post a Comment