Monday 25 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 7

MAISARAH mengelamun melayan perasaan. Otaknya cuba berfikir secara waras. Dia dan Ilham akan bertemu malam ini. Sesuatu yang langsung tidak pernah terfikir olehnya. Mengapa dia harus bertemu dengan lelaki itu? Mengapa? Adakah hanya kerana inginkan kembali sebentuk cincin platinum, dia harus bertemu lelaki itu. Jika lelaki itu tidak bertindak mengambil cincinnya waktu itu, pasti kini dia tidak perlu berhadapan dengan situasi seperti ini.
            Ilham meletakkan syarat. Dia harus memilih antara dua. Satu sudah di ketahui, namun dia sebolehnya tidak akan menerima syarat pertama kerana dia akan kehilangan cincin kesayangannya. Dia masih menanti syarat ke dua. Syarat kedua yang masih belum diputuskan oleh Ilham. Malam ini adalah malam penentu. Dia harus memilih antara dua.
“Kau ni kenapa Mai? Ada masalah ke? Termenung je aku tengok,” tegur Zulaika teman sepejabatnya. Lamunan Masiarah terhenti. Dia berkalih pandang ke arah wajah temannya itu.
“Taklah. Aku saje je melayan perasaan. Berangan.” Jawab Maisarah sambil tersenyum.
“Kau berangan? Berangan apa? Jumpa putera kayangan.” Zulaika bergurau kata.
“Taklah. Aku tak naklah jumpa putera kayangan. Jumpa putera katak pun kira okey apa.” Maisarah meleret senyum. Saja bergurau.
“Iyalah tu. Kau ni memang. Suka benor merepek yang bukan-bukan. Kira oraitlah juga putera katak. At least, akhirnya berubah jadi putera hensem.” Zuliaka menyambung kata.
“Yelah kan. Boleh transform pulak ye. Dah jadi macam Transformers lah pulak. Ntah apa-apa je cerita dongeng kan.”
“Dah namanya pun cerita dongeng cik Maisarah oii. Nah. Ambik ni. Cuba kau stop dulu melayan fantasi dongeng kau tu. Ni ha. Kerja sudah mai..Esok Puan Sharifah nak tengok drafnya.” Zulaika menghulurkan satu salinan persediaan laporan yang dikehendaki.
“Mak oii. Nak esok ke ni. Perghh..”
Maisarah mula bertekun membuat kerjanya. Dia pasti akan cuba siapkan kerja tersebut di pejabat. Dia tidak berapa gemar untuk membawa kerja pejabat untuk dibuat di rumah, melainkan terpaksa atas kengkangan waktu. Dia begitu asyik dengan kerjanya. Sewaktu makan tengahari juga dia tidak turun makan. Misi utamanya mesti di capai. Draf laporan itu mesti siap hari ini juga. Esok senang. Tinggal submit je.
“Mai, aku balik dulu ye.” Ujar Zulaika yang sudah siap sedia bersama tas tangannya.
“Okey. Aku pun sat lagi baliklah. Ni tinggal sikit je ni. Alang-alang pulak.”
Maisarah terus menyiapkan kerjanya.
“Alamak dah 6.30 lah. Baru aku perasan. Aku tak boleh lambat ni. Karang nak menunggu bas satu hal. Dahlah malam ni nak kena jumpa mamat tu. Karang lambat, takut hal lain pulak yang jadi. Mahluk asing betullah. Tiba-tiba je muncul dalam hidup aku.” Maisarah segera mengemas apa yang patut. PC nya di padam, dan telefon bimbitnya di dalam laci segera di sumbat ke dalam beg. Dia hanya turun berseorangan dari lif tingkat 25.
Maisarah segera menuju ke perhentian bas. Suasana sesak dengan orang ramai yang masih menanti bas untuk pulang ke rumah. Bas yang dinanti masih tidak kunjung tiba. Dia hanya mampu menunggu, dan menunggu.
…Aku menunggumu…
Sempat juga dia bernyanyi sendiri lagu Chrisye feat  Peterpan sekadar menghiburkan hati.
Akhirnya bas yang di tunggu tiba. ‘Hmm…Sampai pun.’ Namun dia terpaksa mematikan niat untuk menaiki bas tersebut kerana terlalu padat dengan manusia. Macam tin sardin bergerak. Penantian demi penantian. Dia tetap menanti. Memang dia seorang penanti yang setia.
…Ku Menantimu….
Dia menyanyi pula lagu entah siapa bagi mengisi penantian waktu yang terbuang begitu sahaja.
Akhirnya…Ye..Akhirnya bas pun tiba. ‘Pergh..Dah lenguh kaki aku berdiri baru nak sampai. Ni selamat dapat naik. Tapi berdiri juga. Berdiri pun berdirilah…’
Maisarah masih keletihan selepas pulang dari kerja. Jenuh dia menunggu bas, ditambah pula dengan terpaksa berdiri di sepanjang perjalanan. Dia akhirnya membuat keputusan menghantar mesej kepada ‘Ilham Budak Kerek’. Dia ingin meminta pertemuan malam ini dibatalkan. Dia tidak larat. Terasa terlalu penat dan letih. Namun, jawapan yang di terima memaksanya untuk melupakan permintaannya itu.
“Jangan sengaja nak cari alasan.” Itu jawapan Ilham. Perghhh..Mamat ni. Dushh..Aku belasah baru tahu.
Dalam kepayahan, Maisarah terpaksa bersetuju dengan permintaan tersebut. Tatkala ini Ilham ibarat musuhnya. Kehendaknya mesti di turuti. ‘Hari tu kata Son Goku..Son Goku patutnya baiklah..Lainlah Bezita..Memang keras hati…Ish…Time ni pulak masuk cerita Dragon Ball..Selamat tak keluar naga time ni…Mai..Mai…Mengarut je kau ni.’Maisarah berbicara dengan hati sendiri. Berfantasi je kerjanya.
“Nak ke mana Mai?” soal Ziha teman serumah. Agak pelik kerana Maisarah jarang keluar malam. Lagipula dia melihat wajah Maisarah agak keletihan waktu itu.
“Kawan aku nak jumpa. Dia baru call tadi. Tu yang kelam kabut. Dia dah nak sampai.” Dengan lagak tenang Maisarah menjawab.Sekuntum senyuman di hadiahkan buat Ziha teman serumah. Sebenarnya Ziha juga teman sekerjanya, namun berlainan tempat bertugas. Dia bertugas di Sentral, manakala Ziha pula di DC (Distribution Center). Sebenarnya dia ada seorang lagi teman serumah, Hani. Hani sudah bertunang. Dia selalunya akan keluar dengan tunangnya selepas balik kerja. Maka di waktu ini, Hani tiada di rumah.
“Ye ke kawan. Ntah-ntah pakwe,” usik Ziha sekadar bergurau.
“Ewah..ewah. Mulut tu. Main sedap je cakap ye.” Maisarah hanya tertawa. Dia memang tidak terasa hati. Biasalah bergurau. Lagipun dia sudah biasa diusik begitu.
“Okey. Bebaik tau.” Ziha malas bertanya banyak saat itu kerana yakin dengan Maisarah. Lagipun apa haknya nak menghalang Maisarah keluar berjumpa kawannya. Kalau pakwenya pun, apa yang dia kisah
 Maisarah terpaksa menuruni bangunan lima tingkat itu dengan meniti anak tangga. Memang kakinya terasa begitu letih. Hampir saja kakinya terseliuh, namun dia bernasib baik.
Maisarah kini berada di bawah. Tangannya ligat menekan punat telefon bimbitnya mencari nama ‘Budak Kerek’ iaitu gelarannya untuk Ilham. Belum pun sempat dia membuat panggilan, telefon bimbitnya telah terlebih dahulu berbunyi. Ada mesej masuk. Ilham memberitahu bahawa dirinya telah tiba dan menanti di ruang parkir.
Maisarah segera menuju ke tempat parking mencari kereta yang dimaksudkan. Dalam hatinya sudah menyumpah-nyumpah. ‘Aiyaa..mamat ni. Mana dia parking daa. Kereta dahlah banyak yang ‘sepesen’ je semua. Lainlan kalau kereta dia tu bawa Lamborgini ke…Bugati ke…Confirm senang aku nak cari.’
Deretan kereta yang banyak dikawasan parking itu membuatkannya tercari-cari kereta yang di maksudkan. Dalam pencariannya itu, sebuah kereta MyVi memberi isyarat dengan menghidupkan lampu signal keretanya. Seraya itu, Maisarah dapat melihat dengan jelas kereta yang dimaksudkan tidak jauh dari tempatnya berdiri. Kini Maisarah sudah ada di sisi kereta itu. Ilham yang berada di dalam perut kereta menjeling sekilas wajah Maisarah. Riak wajahnya serius. ‘Hoho..Serius gila mamat ni. Kerek betul.’
“Masuklah. Takkan nak suruh aku bukakkan pintu pulak.” Suara Ilham membingitkan telinga Maisarah dari sebalik tingkap yang terbuka. Nada suara itu di rasakan sungguh menyampah.Dengan perasaan geram dan hatinya yang panas, Maisarah masuk ke perut kereta. Kemudian pintu kereta itu dihempas kuat. Melepaskan rasa marahnya. Sebenarnya dia hanya terpaksa, di tambah dengan rasa letih yang mencengkam diri. Oleh itu moodnya tidak berapa baik.
“Oii. Apa kes kau nak marah-marah dengan kereta aku. Aku jaga kereta aku baik-baik tau. Kau pulak nak jahanamkannya.” Marah Ilham di sisinya.
“Kau nak apa sebenarnya. Cakaplah cepat.” Maisarah menyoal tanpa mempedulikkan kata-kata Ilham. Nada suaranya juga agak tinggi. Dia beremosi.
“Aku tak nak cakap kat sini. Kita bincang kat tempat lain.” Tegas Ilham. Keretanya sudah diundur keluar.
“Ni nak ke mana?” soal Maisarah mula bimbang.
“Ikut suka hati akulah.” Pintu sudah di’lock’. Keretanya dipandu keluar. Maisarah tidak tahu ke mana arah tuju sebenar lelaki itu.  Nyatalah dia sudah terperangkap.
Maisarah terdiam. Dia meneguk liur sendiri. Hatinya terasa berdebar. Takut. Disaat ini, mindanya baru terfikir. Situasi sekarang dia bersama musuhnya di dalam kereta. Orang yang tidak dikenali secara jelas. ‘Aduhai..Macam nilah jadinya. Buat tanpa berfikir dulu.’
“Kalau dia buat sesuatu kat aku macam mana. Aduhh. Menyesal aku terlepas cakap tadi,” detik hati kecil Maisarah. Namun dia berusaha bersikap tenang, cuba menyembunyikan perasaan takutnya ketika ini. Dia hanya mampu berdoa dan berdoa. Janganlah Ilham berbuat sesuatu yang tidak baik padanya.
“Kenapa diam? Takut? Tadi macam berani sangat,” jerkah Ilham. Namun di hujung bicaranya terdapat senyuman. Senyuman sinis yang mengejek.
Maisarah melemparkan pandangan ke luar tingkap. Cuba menenangkan perasaanya ketika itu.Jiwanya sudah tidak tenteram. Mindanya juga ligat berfikir. “Kalau dia buat hal, aku sembur mata dia dengan serbuk lada ni. Selamatlah memang ada dalam beg.” Tangan Maisarah terkuit-kuit mencari barang yang tersimpan dalam begnya. Sememangnya botol serbuk lada itu ada di dalam begnya. Itulah langkah berjaga-jaga yang diambil.
Ilham seperti perasan dengan tindakan Masiarah. Dia tersenyum di dalam hati. Gelihati juga dia melihat kekalutan gadis itu.
“Cari apa tu?” soal Ilham sekadar bertanya. Namun nadanya keras. Sengaja menakutkan Maisarah.
“Takde apa-apa.” Nafi Maisarah sambil menggeleng kepala. Dia berpura-pura mencari sapu tangannya dan mengelap peluhnya. Memang peluhnya sudah merembes di dahi. Walaupun di dalam kereta itu terpasang air-cond, namun langsung tidak di rasa oleh Maisarah. Tetap panas membahang. Kemudian matanya liar memerhatikan ruang kereta itu, mencari aksesori tambahan yang boleh di gunakan untuk mempertahankan diri andaikata dirinya terancam.
“Aku lapar ni. Kita pergi makan dulu. Lepas tu.. baru kita bincang.” Bicara Ilham yang tiba-tiba membuatkan Maisarah terkejut.
“Haa.. apa?” Maisarah menyoal kembali. Dia tidak mendengar dengan jelas apa yang dibicarakan Ilham. Dia memang begitu. Adakalanya menjadi ‘blur’. Lagipula fikirannya melayang ke tempat lain.
“Hish, budak ni. Mengelamunlah tu. Takkan pekak, kut.” Ilham sempat berbisik dengan hatinya.Dia mengulang bicara.
“Cik Maisarah. Kita..pergi..makan..dulu..Okey.” Ilham memberitahu sepatah demi sepatah. Nada suaranya juga agak lembut sedikit berbanding tadi. Ada juga leret senyum di bibir lelaki itu walaupun hanya dua saat.
Maisarah merasa sedikit terkejut. Aneh juga apabila nada bicara Ilham tiba-tiba berubah. Tiba-tiba macam jadi orang baik je. Maisarah hanya mengangguk.Dia hanya mengiyakan saja. Jika di bantah, takut lain pula jadinya. Kata orang, musuh jangan di cari. Tetapi sekarang ni dia bersama musuhnya. Bukan dia yang mencari, tetapi dia yang dicari.
Kereta yang dipandu Ilham sudah memasuki ruang parkir di hadapan deretan-deretan kedai. Ilham keluar dari keretanya. Maisarah juga berbuat demikian. Dia hanya membuntuti langkah Ilham. Kedai Makan Aseef menjadi pilihannya.
“Nak makan apa?”tanya Ilham.
“Haa, apa.” Maisarah masih seperti tadi. Seakan tidak mendengar bicara Ilham. Mindanya telah merawang memikirkan bermacam perkara.
“Nak makan apa? Berangan ke apa kau ni. Kalau kau nak tembak aku dengan serbuk lada pun, nanti-nantilah. Ni time nak ‘mencekik’ tau. Aku dah lapar ni.” Ilham berbicara dengan nada serius walaupun sebenarnya dia membuat lawak bodoh dengan Maisarah.
Maisarah terkulat-kulat menundukkan kepala. Ilham tahu rahsianya. ‘Perghhh..Dia tahu ke aku ada serbuk lada ni. Mampus. Ni, nak mencekik pula tu. Dia ni Vampire ke apa nak mencekik. Habislah aku.’ Sempat juga mindanya berfantasi yang bukan-bukan.
“Oii, kau nak makan apa ni. Aku dah tanya banyak kali ni?” Suara Ilham yang keras tetapi slow menusuk pendengaran Maisarah.
Maisarah hanya menggeleng kepala. Dia tidak mahu makan. Tekaknya rasa tidak berselera. Dia hanya memesan Milo Ais sebagai penghilang dahaga.
“Takkan minum je. Tak lapar ke? Baik kau makan. Jangan menyesal pula. Aku belanja ni,”ujar Ilham. Walaupun bicaranya agak keras, namun niatnya tetap baik.Maisarah menggeleng lagi.
Ilham memesan menu.
“Aku nak kau makan juga. Aku tak kira.Tipulah kalau kau kata tak lapar. Aku tahu kau mesti tak sempat makan tadi. Takkan diet kut. Badan dah kurus macam ni pun nak diet juga ke. Atau kau tak selera sebab kena dating dengan aku sekarang ni?” Wajah Ilham serius. Namun begitu nada suaranya kedengarannya seperti melawak. Sebenarnya dia cuba bermesra, namun sengaja bertindak begitu.
            Maisarah hanya berdiam diri. Kata-kata itu langsung tidak terasa lawak pada pendengarannya.
“Mamat ni dah kenapa. Tetiba je baik. Adalah yang tak kena ni. Apa agaknya niat dia yang sebenar.”Maisarah berbisik dengan hatinya. Dia cuba menilai Ilham yang kini duduk di hadapannya.
Wajah Ilham dipandangnya sekilas. Pandangan mata mereka hampir bertentang, namun segera di larikan ekor matanya. Ilham tetap membuat muka serius. “Kenapa tengok aku macam tu? Nak cari gaduh ke?” sergah Ilham. Namun hatinya sudah tersenyum. Okey gak dia ni. Tapi blur-blur sikit. Fikir Ilham sendiri.
Maisarah kembali menundukkan muka. “Dia kata aku nak cari gaduh. Apekehal. Dia tu yang sebenarnya nak cari gaduh. Apa daa..” Maisarah hanya berdiskusi dengan hati sendiri. Dia cuma berharap agar dirinya selamat walaupun kita dia berada di bawah kawalan Ilham.
Sementara menanti hidangan, mereka hanya membisu. Tiada bicara yang termuntah keluar. Ilham hanya menyibukkan diri dengan bermain game di telefon bimbitnya. Padahal,  otaknya sedang ligat berfikir dan menyusun ayat untuk berbicara. Maisarah pula tidak senang duduk. Tidak selesa dengan keadaan sekarang. Dia meramas-ramas jari-jemarinya di bawah meja. Matanya pula menyelinap pandang sekitar kawasan kedai. Takut juga mereka yang dikenali, terlihat dia berdua di situ. Dia sangat berharap agar dapat pulang cepat.
Tidak lama kemudian hidangan mereka sampai.Ilham menikmati makan malamnya dengan penuh berselera. Maisarah pula hanya merenung hidangan yang terhidang. Memang tekaknya tidak berselera.
“Makanlah,” ujar Ilham sedikit lembut. Dia menjeling makanan di pinggan Maisarah yang masih tidak terusik. Tiba-tiba menjadi begitu prihatin.
“Tak berapa seleralah.”Maisarah menjawab acuh tak acuh. Perutnya memang terasa lapar, namun tekaknya seakan terkunci. Aroma yang menusuk hidungnya langsung tidak mampu mempengaruhi nafsu makannya. Selera makannya hilang sama sekali. Mungkin situasi yang dihadapinya sekarang ini membuatkan dirinya dilanda kerisauan. Jika selalu, pantang baginya makan tidak habis. Pasti licin. Lagi-lagi mi goreng mamak.
“Takpe. Kau makan dulu. Sikit pun takpe. Kalau tak habis nanti bungkus je.Tak baik membazir tau. Niat aku baik nak belanja kau. Aku tahu kau lapar sebenarnya. Ke kau nak yang lain. Aku orderkan. Nak?” Ilham memandang wajah Maisarah di hadapan. Dia tahu apa yang bermain di dalam fikiran gadis itu. Tapi, terpaksa juga dia buat dek. Apa yang penting, isi perut dulu. Karang kalau dah berbicara soal yang menyakitkan hati…hmmm..habislah jawabnya. Lagilah kalau perut tengah lapar. Memang cari nahaslah. So…perut mesti kenyang.
“Tak payahlah. Takpe. Aku makanlah ni.” Maisarah menjawab lemah.
“Rilekslah. Ni kita makan-makan dulu. Jangan campur adukkan hal kita yang seterusnya…Time makan, kita makan.. Okey.” Ilham tersenyum. Indah senyumannya kerana mempunyai lesung pipit di sebelah kanan. Mungkin dengan senyuman itu juga ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada Maisarah.
Bicara dan tingkah Ilham membuatkan Maisarah berfikir. Siapakah Ilham sebenarnya.  Dia ni jahat ke baik? Kejap tengok macam jahat. Kejap tengok macam baik..Hmm..Ilham boleh berubah sekelip mata. Baik benar layanan Ilham kepadanya tatkala ini. Apakah muslihat Ilham yang sebenar. Maisarah masih buntu memikirkannya. Namun tatkala ini dia cuba mengikut rentak Ilham.‘ Budak Kerek yang Misteri’.Tiba-tiba Maisarah tersenyum sendiri. Namun, senyumannya tidak terlihat oleh Ilham.
“Bila pandang betul-betul, baru aku perasan mamat ni muka dia macam pelakon indon, Baim Wonglah. Pergh…hensem juga mamat ni rupanya ek. Hmm..Next time bolehlah aku cakap kat Ibtisam, aku jumpa Baim Wong. Mesti jeles gila minah tu. Ha..ha..Dia kan peminat setia Baim Wong.” Sempat juga dia berbisik dengan hati sendiri. Sekurang-kurangnya dia dapat melegakan sedikit keresahan hatinya walaupun apa yang difikirkan kini sekan tidak logik sama sekali.
“Oii..Kau berangan apa tu. Sudah..sudahlah tu. Makanlah cepat. Lepas ni kita ada hal penting.” Teguran Ilham mematikan lamunan Maisarah. Maisarah terus menyua mee goreng mamak ke mulut. Sesudu..Dua sudu..Tiga sudu…Hmm..Akhirnya…Habis juga dia mencekik. Lambat tak lambatlah Ilham tu menunggu. Dia tak marah pun.
“Aikk, tadi kata tak selera. Ni aku tengok habis gak..Hmm..Baguslah. Tak membazir. Membazir tu amalan syaitan.” Ilham tersenyum memandang Maisarah.Dia kemudian bangun membayar harga makanan.
Maisarah hanya menanti Ilham membayar di kaunter. “Aik, dia ni. Perli aku ke apa? Tadi beriya suruh aku makan, bila aku dah makan..bercakap-cakap pulak dia. Hmm..Pergh..tak sangka juga. Tadi punyalah rasa tak selera…tapi bila terbayang muka dia macam Baim Wong terus je selera. Gila ah..” Maisarah terkekeh-kekeh ketawa sendiri di dalam hati.
“Okey, jom kita chow.”
Mereka sudah masuk ke dalam perut kereta.
“Alamak..Dah kenyang ni automatik aku ngantuk.” Maisarah berbisik sendiri.
“Okey…Sekarang ni kita bincang hal kita pula.” Ilham kembali serius. Misinya belum lagi terlaksana. Tapi yang penting, perutnya sudah kenyang.
Maisarah membetulkan duduknya. Tiba-tiba degup jantungnya berdetak kencang. Sempat juga dia melekapkan tangan ke dada, merasai detak jantungnya yang tidak keruan. Dia menarik nafas dalam. Inilah situasi yang harus dihadapi sekarang. Situasi bersama Ilham dalam lagak serius. Ilham hanya mengunci mulut. Keretanya terus di pandu laju. Destinasinya, Maisarah tidak tahu. Dia hanya mampu berserah. Berserah..berserah juga. Tapi, sekurang-kurangnya, dia telah siap sedia dengan serbuk lada di dalam beg.
Maisarah melabuhkan punggung di bangku yang sedia ada menghadap tasik. Indah benar suasana di tasik itu di malam hari. Lampu-lampu neon yang terpasang, membuatkan suasana di situ begitu indah dan mendamaikan. Mungkin juga wujud suasana romantik bagi pasangan-pasangan bahagia yang ada si situ. Bagi Maisarah pula ia adalah sebaliknya. Dia bukan dalam suasana romantik kerana dia sedang berperang dengan keadaan. Keadaan yang dia sendiri tidak mengerti. Dia hanya menanti Ilham berbicara. Apa yang dia tahu, dia harus membuat pilihan. Pilih antara dua. Namun bukan pilih antara hidup atau mati.
Maisarah berpura-pura tenang melihat liuk lintuk alunan air tasik apabila Ilham membaling batu ke dalam tasik itu.Dia kemudian berdiri tidak jauh dari tempat Maisarah duduk sambil tangannya memeluk tubuh. Nafasnya dihela panjang.
Ilham mula berbicara. Bicaranya serius. Syarat kedua yang diberikan Ilham membuatkan Maisarah terkedu. Mengapa harus lelaki itu meletakkan syarat sedemikian rupa.
“Okey, apa keputusan kau. Kau pilih yang mana?” tanya Ilham sambil memandang wajah Maisarah yang agak kelat.
Maisarah berdiam diri. Matanya masih melayan liuk lentuk air tasik yang kelihatannya tenang di suluh cahaya malam. Dia menarik nafas panjang. Dia masih berfikir akan syarat  Ilham. Pilih antara dua.
“Aku just nak kau pilih. Ni kira untung aku nak berdiplomasi dengan kau tau tak,”tambah Ilham lagi. Suaranya ditekan sedikit menggambarkan keseriusan kata-katanya. Dia memang serius. Bukan main-main.
Maisarah masih berdiam diri tanpa jawapan. Sebenarnya dia tidak dapat berfikir apakah keputusan yang harus di buat. Dia perlu membuat pilihan dalam masa sesingkat ini. Hanya ini waktu yang dia ada untuk berfikir.Memang susah. Hmmm..Macam pekse lisanlah pulak. Dahlah muka pegawai pemeriksa macam Baim Wong. Lagi susah nak menjawab.
Bicara Ilham direview kembali di otak untuk ditafsir. Pilihan pertama, dia tidak perlu membayar ganti rugi, tetapi cincinnya tidak akan dipulangkan. Pilihan kedua pula, cincinnya akan dipulangkan tanpa sebarang ganti rugi, namun dia perlu menerima syarat untuk berlakon sebagai kekasihnya Ilham. Perghh…Maisarah bungkam. Dia cuba untuk berfikir secara rasional, namun di saat ini fikirannya buntu. Matanya juga sudah mula mengantuk, tapi terpaksa di tahan sahaja. Di saat-saat genting seperti ini pun dia masih sempat rasa mengantuk. Parahlah macam ni. Maisarah menepuk-nepuk pipinya beberapa kali. Kemudian menarik nafas panjang. Dia masih cuba untuk meraih simpati Ilham. Manalah tahu jika lelaki itu tiba-tiba menjadi baik hati.
“Aku akan bayar ganti rugi tu. Tapi aku minta masa sikit. Aku nak cincin aku balik. Aku tak nak terima syarat kau tu. Dua-dua aku tak nak.” Maisarah berbicara dengan sedikit keberanian.
Ilham mendengus marah apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulut Maisarah. Rancangannya gagal. Maisarah menolak kedua-dua syaratnya. “Hish dia ni. Blur-blur pun keras kepala juga. Ingatkan senang nak cucuk. Oo, kau ingat kau senang-senang je boleh rosakkan rancangan aku. Tak begitu mudah. Kau belum kenal siap aku.” Ilham marah di dalam hati.
“Okey, kalau itu jawapan kau, aku terima. Tapi kau mesti bayar dua kali ganda nilai barang tu. Itu pun aku dah diskaun. Aku nak kau serahkan seminggu dari se..ka..rang.” Suara Ilham kini bertegas. Dia sengaja menekan Maisarah dengan ungutan itu. Dia pasti Maisarah tidak akan mampu memenuhi permintaan tersebut.
Maisarah terdiam tidak terkata. Di mana dia ingin mendapatkan duit itu dalam masa yang singkat. Ingin dipinjam dari teman serumah, dia sendiri yakin mereka juga agak keberatan untuk memberi pinjam. Hujung bulan masing-masing tengah sesak.
“Macam mana ni. Aku nak korek dari mana. Duit simpanan aku pun tinggal baki-baki je. Minggu lepas baru je keluarkan untuk bayar bil hospital Kak Ija. Aduhh..masalah ni. Terpaksalah aku merayu dengan mamat ni lagi. Mamat ni pun ngada-ngada pula tu. Problem betullah. Nak je aku cekik-cekik leher dia.”Hanya hati kecil Maisarah berbicara. Dia sudah tidak punya pilihan.
“Tolonglah. Aku merayu ni. Aku tak nak terlibat dengan rancangan bodoh kau tu. Kau carilah orang lain. Kenapa mesti aku. Ramai lagi perempuan cun kat luar sana. Aku cuma mohon kau beri aku masa. Aku akan jelaskan ganti rugi tu.Pleaselah. Please…” Maisarah masih merayu meminta simpati.
No way. Aku dah beri kau pilihan. Kau jangan buang masa aku boleh tak. Sekarang kau pilih cepat. Pilih antara tiga. Aku apa heran kau cun ke tak cun.” Suara Ilham seakan menjerit dan mendesak. Dia mula menunjukkan kemarahannya. Terdengar rengusan kasar nafasnya.
Maisarah menelan liur sendiri. Takut juga dia melihat wajah yang mula berubah mood itu.Tetiba nak mengamuk pula dia ni. Monster betul. Kalau comel macam animasi Monster Inc. tu, takpelah jugak. Boleh gak cubit-cubit pipi dia. Ni…macam dot..dot..dot..je. Isy, geram aku.’
Maisarah mengaru kepala yang tidak gatal. “Hmm..yelah..yelah. Aku ikut kau je.Kau ni ngada-ngada betullah. Menyusahkan orang. Hidup kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke. Tapi janji, lepas ni pulangkan balik barang aku tu. Please. Kau jangan nak tipu aku pula,” jawab Maisarah dalam keterpaksaan. Dia tahu ia bukanlah satu keputusan yang bijak. Pasti ada impaknya.
Ilham tersenyum lebar. Yesss…Misinya berjaya. ‘Ha..ha.. Ugut sikit je dah menyerah. Memanglah. Perempuan sekarang ni lemah. Hmm..Tapi aku memang berterima kasihlah kat kau Maisarah. Aku buat ni pun terpaksa je tau. Nasib kaulah.’ Hatinya sempat berbisik sendiri.
“Bagus. Itulah yang aku nak dengar. Pasal cincin kau tu, kau jangan risau.  Aku janji akan pulangkan. Kalau macam tu, start malam ini aku isytiharkan kita couple. Couple kita ni ala-ala teman tapi mesra je. Berlakonlah katakan. Kita jumpa time-time tertentu je. Ikut time aku. Kalau aku nak jumpa, aku contact kau. Waktu lain aku tak kisah, kau nak buat apa. Tu kau punya hallah. Lepas hal ni dah settle, aku relakan kau pergi. Okey, deal.”
Ilham terseyum lebar sambil merenung ke arah Maisarah. Moodnya juga berubah 180 darjah. Dia kembali tersenyum.
Maisarah masih tertunduk. Dia pasrah. “Hmm..” Jawapan Maisarah kedengarannya acuh tak acuh. Dia hanya mengangguk. Fikirannya berserabut. Dia bersetuju kerana Ilham telah memberikan jaminan kepadanya.Dia berharap agar Ilham berpegang pada janji. Sebenarnya jawapan yang keluar dari bibirnya bertentangan dengan suara hatinya. Sepertinya dia menjual maruah dirinya sendiri. Maisarah menggeleng kepala. Ya Allah. Apa aku dah buat ni.
“Okey. Terima kasih atas kerjasama kau.  Jom aku hantar kau balik. Mata kau tu dah tak boleh ‘blah’ aku tengok.”
“Tau tak pe. Kau yang ambik aku, kau lah hantar. Kalau tak aku nak naik apa malam-malam macam ni. Takkan aku nak jalan kaki.”Getus suara hati Maisarah. Dia sudah bangun dari tempat duduknya.
Di dalam kereta, Ilham bernyanyi-nyanyi riang mengikut alunan melodi lagu yang terpasang. Di saat itu, wajah itu kelihatannya begitu gembira. Mood cerianya bertambah 180 darjah, maka apabila ditotalkan memang cukup 360 darjah. Gila happy. Maisarah di sebelah, tidak diendahkan.
Maisarah yang duduk di sisi hanya menjadi pemerhati. Malas melayan mamat di sebelahnya itu. Dia bersandar mencari keselesaan. Matanya terasa mengantuk yang amat sangat. Kepalanya juga mula terasa berat. Seketika itu pandangannya menjadi kelam. Gelap. Sunyi. Dia akhirnya terlelap.
Ilham memandang Maisarah sekilas. Kemudian, di pandangnya sekali lagi. Dia ketawa gelihati.
“Apa keslah budak ni. Boleh pulak dia tidur. Ni betul-betul ngantuk ni.” Ilham menggeleng kepala. Volume radio diturunkan sedikit. Dia terus bernyanyi perlahan mengikut alunan lagu. Dia tidak mahu menganggu lena tuan puteri di sebelahnya.
Wajah Maisarah ditatapnya seketika. Wajah itu sememangnya keletihan namun wajah itu seperti ada auranya tersendiri. Nampak tenang tatkala tidur.
“Kalau tengok betul-betul, dia ni comel jugakrupanya. Kalau dia betul-betul jadi awek aku pun takpe. Memang nasib kaulah jumpa dengan aku.”Ilham berbicara sendiri. Dia hanya membiarkan  Maisarah terus terlena. Kasihan juga melihat gadis itu yang agak keletihan.
Kereta milik Ilham sudah sampai di kawasan parkir kawasan tempat tinggal Maisarah. Maisarah masih lagi terlena. Mungkin kerana terlalu mengantuk.
            “Uit, bangun. Dah sampai ni!” Ilham menguit-guitkan telefon bimbitnya ke lengan Maisarah. Dia berharap agar Maisarah terjaga. Namun, Maisarah masih belum terjaga.
Biar betul budak ni. Takkan pengsan pulak kut. Sakit ke apa dia ni.  Terdetik kata-kata itu di hati Ilham. Risau juga.
“Oiii, banguunlahhh…! ” Jerit Ilham.
“Opocot kau…laki aku, suami aku…”Maisarah melatah tanpa sedar kata-katanya. Dia terkejut. Terpisat-pisat dia menggosok matanya. Pandangannya ditoleh ke kanan. “Kat mana ni?” tanya Maisarah. Dia masih mamai.
“Kat kereta lagi, yang oii. Kenapa?”
Pandangan mata Maisarah bertemu mata Ilham.
“Gulpp.” Maisarah menelan liur. Terkebil-kebil matanya. Dia segera menutup mulut dengan kedua belah tangannya. Terus saja dia melarikan pandangannya.Terkejut. Malu bukan kepalang. Mukanya merona merah. Aduh…bengangnya aku. Macam mana aku boleh tertidur pula ni. Melatah pulak tu. Selamat tak meleleh air liur. Argh…Malunya…Malunya..Adehh..Mana nak letak muka ni.Kocek?Alolo..Kocek pun takde.Ngee..
Suasana hening seketika. Hanya suara radio yang bernyanyi perlahan.
Wajah Ilham di hadapannya juga seakan terkejut. Kemudian, deraian ketawa Ilham berderai memecah suasana.
“Ya Allah, budak ni. Terkejut aku. Kau ni buat lawaklah. Dahlah kau landing lentok baik punya. Aku tak sangka, kau ni melatah rupanya. Aduhh… kau ni. Sejak bila pula aku jadi suami kau ni? Baru je declare jadi awek terus je mimpi dah berlaki. Kau ni kemaruk nak kahwin ke hah?” Ilham masih lagi ketawa. Terasa gelihati. Memang ketawanya tidak dapat di cover. Terkekeh-kekeh dia ketawa. Kata-kata dan ketawa Ilham membuatkan Maisarah bertambah malu. Malu yang teramat sangat. Dia menyalahkan dirinya sendiri.Dia ingin segera melarikan diri. Tidak tahu mana nak di sorokkan mukanya. Mukanya terasa tebal 10 inci. Panas membahang.Tangannya ingin membuka pintu, namun malangnya pintu itu masih ber’lock’.
“Nak lari ke, Mai. Rilekslah.” Ilham sengaja tidak membuka ‘lock’ pintu. Masih ada tawa dalam bicaranya.
“Oii, bukalah!” pinta Maisarah. Suaranya separuh menjerit.
Rilekslah, sayang.”
“Apa sayang..sayang. Aku kata bukak, bukaklah... Kau ni pekak ke. Bukaklah…” Maisarah sudah mula menjerit  marah.
 “E’eh, marah pula dia. Wei, dengar sini. Aku ada benda nak cakap lagi ni!” Nada suara Ilham kembali serius. Mimik mukanya juga berubah. Namun dalam hati masih ingin ketawa.
Maisarah diam.
Sorry, aku ketawa lebih-lebih.Tapi, aku memang tak tahanlah bila kau buat lawak macam ni. Kau jangan risau, ni rahsia antara kita berdua. Aku janji. I keep my promise.” Beritahu Ilham sambil  jari kelingkingnya di tunjukkan ke arah Maisarah sebagai tanda janji. Suaranya sedikit kendur tapi masih ada tawanya.
Maisarah mengetap bibir. Pandangannya terarah keluar tingkap. Tidak sekali-kali dia memandang wajah Ilham. Dia mencuba mengawal perasaannya ketika itu.Tangannya di genggam kejap-kejap
. Ilham menyambung bicaranya.
“Wei, aku nak cakap ni. Kalau aku cakap, kau mesti pandang aku.” Ilham menekan suaranya. Serius kembali. Maisarah memalingkan muka. Terpaksa juga dia berhadapan dengan Ilham. Ilham merenung segenap wajah Maisarah. Wajah itu masam mencuka. Ilham pula tersenyum sumbing.
“Okey, aku minta maaf. Hmm…Aku tau kau mesti menyampah dengan aku kan. Aku tak kisahlah kau nak anggap aku ni apa, musuh ke, pakwe ke, suami ke… I don’t care. Tapi, aku just nak cakap ajelah. Ni kiranya nasihat dari aku. Kau ni perempuan tau. Hati-hatilah sikit. Ni selamatlah kau dengan aku, kalau dengan orang lain….ntahlah. Selamat kau melatah tak terpeluk aku kan. Kalau tak naya je. Aku ikhlas nak beri nasihat kat kau ni tau…Ye la kan. Manalah tau tiba-tiba kita kena tahan, dia orang ingat ada apa-apa. Tak naya ke namanya. Tup-tup, …kau paham-paham je lah sendiri.” Ilham menyambung kata-katanya.
Maisarah kembali memalingkan muka. Dia mengetap bibir. Hatinya mula terbakar. Kau cakap tu memanglah betul. Tapi masalahnya sekarang kau tak sedar, kau tu sebenarnya tengah pedajal aku tau tak. Kata-katanya itu tidak termuntah keluar, hanya tersekat dikerongkong. Dia menggenggam buku limanya. Sememangnya dia tengah menahan geram. Tapi dia sedar, dia juga salah. Dia tidak sedar, dia terlena di dalam kereta Ilham. Memang bahaya. Tapi selamatlah Ilham tidak berbuat sesuatu yang tidak elok padanya.
“Maisarah…oo Maisarah…mengapa kau masam muka…” Ilham menyanyi gembira mengikut melodi lagu ‘Farhana’ nyanyian kumpulan Jinbara.  Sengaja dia memanaskan hati gadis itu.
“Oii,diamlah!” Marah Maisarah hampir menjerit. Ilham hanya ketawa. Semakin galak ketawanya.
“Lantak akulah nak nyanyi,” balas Ilham.
Maisarah merengus marah. “Oii, Bukak pintulah. Aku nak keluar!” jerit Maisarah lagi.
“Okey, tuan puteri sayang. Kita jumpa lagi esok untuk sesi perkenalan.” Maisarah mencebik muka. Kata-kata itu terasa janggal, menyampah dan memeritkan pendengarannya.
‘Boleh ‘blah’ lah kau punya tuan puteri sayang tu. Bencinya aku..Bencinya aku..dengan mamat ni.’ Maisarah hanya mampu menjerit di dalam hati. Sumpah seranah sudah bergunung dalam hatinya. Ilham akhirnya membuka ‘lock’ pintu.
“Okey, take care. Naik tangga tu, hati-hati. Nanti tergolek, aku tak tolong.” Sempat Ilham memberi nasihat. Namun akhir bicaranya menyakitkan hati. Maisarah terus keluar tanpa berpaling. Laju langkahnya meninggalkan Ilham.
Ilham hanya tersenyum. Pandangannya terus terarah pada gadis itu sehingga hilang dari pandangannya.Dia berlalu pergi dengan seribu kegembiraan. “Sorrylah Maisarah. Nasib kaulah. Tapi, kau memang buat aku gembira malam ni. Ntah apa-apa ajelah kau ni.”
Maisarah baru sahaja tiba dimuka pintu. Sedang dia mencari kunci, daun pintu telah pun di buka dari dalam.
            “Laa, kau belum tidur lagi ke Ziha?” Maisarah masuk dan terus mengunci pintu tersebut. Maisarah menukar mimik mukanya. Tidak mahu Ziha perasan dengan wajahnya yang bengang dan tegang.
            “Belum. Tak ngantuk lagi. Ni tengah layan cerita Jackie Chan. Best juga,” ujar Ziha seraya kembali mengambil posisi di hadapan televisyen.
Maisarah terduduk di sofa. Tudungnya di buka. Power kipas angin dikuatkan sedikit supaya lebih dingin dan menyejukkan hatinya yang panas. Dia mengeluh perlahan. “Esok, jangan haraplah aku nak jumpa kau. Biar padan muka kau.” Kata-kata itu hanya terbuku di hatinya. Setelah sekian lama menyejukkan diri, dia mula tenang.
            “Hani mana?”
“Lama dah terbongkang tu. Kau ni kenapa? Tension je muka. Takkan gaduh dengan kawan kau?”soal Ziha tatkala melihat riak wajah Maisarah. Dia tahu Maisarah sedang menghadapi masalah..
Maisarah hanya menjungkitkan bahu. Malas menjawab pertanyaan Ziha.
“Gaduh dengan someone ke?” Ziha sekadar meneka. Dia menjungkit kening.
“Mana ada. Aku mana ada pakwe. Takkan tetiba je nak gaduh kut. Kau ni merepek je lah.”
“Hmm..ye la tu. Orang tak cakap pun pakwe, tapi dia sendiri yang cakap. So, betullah tu.”
“Eh, mana ada.” Maisarah berusaha menafikan. Tiba-tiba mulutnya gatal pula nak menyebut perkataan itu.
 “Alah..jangan tipulah Mai. Habis tu, siapa pula mamat yang bawak kereta MyVi yang hantar kau balik tu. Kau ingat aku tak nampak ke?  Aku tak sengaja ter‘skodeng’ tadi.”
“Ishhh..kau ni Ziha.  Janganlah cakap pasal mamat tu. Menyampah aku dengar. Panas je hati ni tau. Panas..panas…nak terbakar dah ni.” Terluah juga kata-kata itu walaupun tadi cuba di cover.
“Cakap je menyampah. Ntah-ntah dalam hati suka. Mulut cakap lain, tapi hati siapa yang tahu.”
“E’eh budak ni. Melebih-lebih pula dia.”
“Hmm.. Mai. Siapa dia tu? Sharelah dengan aku. Aku tak nampak sangat muka dia. Tapi, macam hensem  je.”
Hensem ke.. tak ke…bukan masalahnya. Isy..ntahlah...Malaslah nak layan kau. Aku dah ngantuk ni. Aku nak tidur. Esok nak kerja tau.” Maisarah terus bangun dan berlalu pergi ke bilik meninggalkan Ziha keseorangan. Dia menghenyak tubuhnya ke katil. Mukanya di tekup dengan bantal, mengelak Ziha daripada terus bertanya. Maisarah terus memejam mata.
*****
ILHAM  terus pulang ke rumah setelah menghantar Maisarah. Dia tersandar seketika di dalam keretanya. Tersenyum sendiri. Telefon bimbitnya di ambil.  Dia ingin menghantar mesej selamat malam kepada Maisarah, kekasih Lavendernya itu. Sejak dah declare ni, rasanya tak salah untuk dia berbuat demikian. Sekurang-kurangnya adalah gaya nak jadi pakwe yang baik. ‘Tapi….hmm…bukan ke aku dengan dia ni olok-olok je..berlakon..Alah..tak kisahlah..Aku peduli apa..Kredit aku..bukan kredit dia pun…’
Ilham terkejut apabila ada suatu isyarat berbunyi di dalam keretanya. Isyarat mesej. Namun kemudian terus senyap sepi. Puas dia mencari akhirnya dia menjumpai sesuatu di lantai tempat duduk sebelah pemandu. “Handphone?” Dia tertawa sendiri. “Awek aku tercicir handphone rupanya. Kesian. Mesti menangis budak ni.” Telefon bimbit itu kini telah tidur, mungkin telah kehabisan bateri. “Mai..Mai..Mesti  kau menjajau cari telefon kau ni.”
Ilham kini berada di dalam bilik. Memang kebetulan telefon bimbityanya juga model Sony Ericsson, dan chargernyajuga sama versi untuk handphone Maisarah. Ilham segera mengecaskan handphone tersebut.
“Hai, budak ni. Barang penting macam ni pun boleh tercicir. Siapa yang susah. Aku juga.” Ilham membebel sendiri. Ilham menghenyak tubuh di atas katil. Lega rasanya dapat menegangkan ototnya apabila berbaring. Dia tersenyum sendiri mengenang memori lucu yang berlaku tadi. Terasa gembira dan terhibur dengan lawak Maisarah yang tidak disengajakan itu. Lama sudah dia tidak rasa segembira tadi. Ketawa hingga keluar air mata. Malam ini pasti tidurnya terasa lena. Mai…Mai…
Terkenang kembali ingatannya sewaktu ‘accident’ yang berlaku antara dirinya dengan Maisarah. Dulu marahnya berkobar, lebih-lebih lagi apabila mendapat hadiah penampar percuma daripada Maisarah. Pipinya dipegang. Dia ketawa sendiri. “Kesian pula kalau aku nak balas dendam dekat dia. Takkan nak tampar pipi dia kut. Tak sampai hati aku. Lagipun, buat apa nak berdendam.Hmm..just see apa yang bakal berlaku seterusnya.”
Sebenarnya dia membeli bunga pasu kristal itu untuk dihadiahkan kepada umminya. Namun, hajatnya untuk memberi tidak kesampaian. Sebab itu dia begitu marah. Dia berasa amat kecewa. Namun, disebalik apa yang berlaku ada hikmahnya.
*****
MAISARAH tersedar dari lenanya. Dia tersedar kerana masih belum bersolat Isyak. Tangannya meraba-raba sesuatu. Dia tercari-cari telefon bimbitnyanya di sisi bantal kerana di situlah ‘port’ biasa telefon bimbitnya beradu. Disebalik samar-samar sinaran cahaya, dia terus mencari. Poket seluarnya di seluk. Beg kecilnya juga di selongkar. Dia mengaru-garu kepala sendiri cuba mengingati di mana dia meletakkannya. Seingatnya telefon bimbit comel itu sentiasa menjadi temannya ke mana sahaja.
“Aduh…mana pulak handphone aku ni. Takkan terbang kut. Sejak bila pulak ada sayap. Takkan ada yang ambil. Tension, tension. Aku dah selongkar habis-habisan dah. Mana ek?’ Gerutu hatinya sendiri.
“Kau cari apa gelap-gelap ni? Risau je aku tengok,” soal Ziha yang turut terjaga dari lenanya. Dia melihat  Maisarah sedang mencari sesuatu.
Handphone aku. Kau ada nampak tak. Aku tak tau la aku letak kat mana.  Tadi aku terus je terbongkang dekat katil. Bila aku bangun ni ghaib pula dia. Aku dah cari dah. Tak jumpalah.”
“Boleh tak kau misscall phone aku, Zi.” Pinta Maisarah.  Dia risau. Ziha hanya menuruti. Dia terus membuat panggilan ke telefon bimbit Maisarah. Namun tiada sebarang bunyi di kesan di dalam ruang bilik itu. Maisarah tampak kerisauan.
“Kau keluar pergi mana tadi. Ntah-ntah tercicir kat mana-mana.” Ziha juga turut mencari.
Maisarah memerah otak mengingatkan sesuatu. Dia memang keluar dengan Ilham. Mereka keluar makan dan berbual di taman tepi tasik. Tapi dia tidak menolak kebarangkalian telefon bimbitnyaitu tercicir di sana, atau mungkin… di kereta Ilham. Aduh…parah ni.
“Kau boleh tak terus miscall phone aku lagi. Aku rasa phone aku tu tercicir kat kereta mamat tu la. Manalah tau kut-kut dia terdengar ke.” Permintaan Maisarah tidak ditolak. Matanya melihat pada jarum jam di dinding. Sudah hampir 2.30 pagi. Pastinya Ilham sudah tidur. Kalau tidak tidur pun pasti dia di dalam rumah, mana mungkin dia masih di keretanya. Tapi, manalah tau. Sekadar mencuba. Kalau ada rezeki, adalah. Maisarah bermonolog sekadar menyedapkan hati. Tapi gerak hatinya yakin, handphone itu tercicir di dalam kereta Ilham.
“Takpe la, Zi. Menyusahkan kau je. Pergilah sambung tidur tu. Aku nak sembayang ni. Pasal handphone tu, redha je la.” Maisarah bersuara apabila melihat Ziha sudah mula menguap beberapa kali.








No comments:

Post a Comment