Monday 25 March 2013

NOVEL -Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 13



TELEFON BIMBIT Maisarah sudah bernyanyi. Maisarah tahu siapa pemanggilnya. Dia segera turun ke bawah.Ilham pula sudah sedia menanti bersama Myvinya di parkir.
“Assalamualaikum,” sapa Maisarah lembut tatkala mendapatkan Ilham. Pertemuan ini mungkin untuk yang terakhir kalinya. Itulah yang diharapkan.
“Hai,puteri.” Suara Ilham yang lembut dan ceria itu menerjah ke cuping telinga Maisarah. Kedengarannya gembira. Maisarah tersenyum walaupun tawar. Dia dapat merasakan mood Ilham saat ini. Sepertinya kisah semalam seakan tidak berlaku langsung dalam diari hidupnya. Hakikatnya, Ilham hanya berpura-pura ceria. Hatinya menangis dalam diam.
“Jawablah salam tu.Tak baik tau, tak jawab salam. Orang doakan untuk dia, dia buat-buat tak tau je.”Maisarah juga cuba menghadirkan mood ceria itu walaupun hatinya juga tidak seceria itu. Dia tidak tahu mengapa hari ini dia masih cuba bermesra-mesra dengan Ilham. Hatinya juga seakan berduka. Sepertinya, ia juga tidak mahu Ilham bersedih dengan perpisahan mereka.
“Errr…lupalah pulak. Waalaikumsalam, wahai tuan puteri Maisarah,” jawab Ilham dengan senyuman. Masih juga cuba untuk bergurau.
Maisarah hanya tersenyum mendengar bicara Ilham itu. “Apa puteri..puteri..” ujar Maisarah seakan marah. Namun sebenarnya tidaklah marah. Bukan Ilham tidak pernah memanggilnya begitu.
“Saje jelah. Kan, comel.” Ilham tertawa menampakkan lesung pipitnya. Hmm..memang boleh terpikat.
Ilham merenung Maisarah. Dia tersenyum melihat gadis itu yang berpura-pura marah. Biarlah dia menatap lama wajah itu. Dia tidak mahu merindu wajah itu apabila semuanya berakhir. Maisarah perasan dengan tindakan Ilham. Renungan itu terlalu dalam dan sukar dimengertikan.
“Oii, kau ni kenapa?” Teguran Maisarah membuatkan renungan Ilham terhenti.
“Cantiknya bahasa. Dengan aku sedap je kau panggil oii. Ingat orang takde nama ke? Mai..Mai. Gadis Melayu macam kau ni, mana elok berbahasa macam tu. Bicaralah lembut-lembut. Gunakan nama sebagai pengganti diri, lagi sedap dengarnya. Macam cerita Melayu dulu-dulu tu.” Ilham mengulum senyum. “Aku nasihat je.” Sambung Ilham lagi.
Maisarah membuat muka. Hingga saat ini dia masih menjadi mangsa. Tapi bukan salah siapa, salah sendiri.
“Tengok tu. Buat muka juga.” Ilham membebel lagi. Maisarah sudah terdiam tidak terkata. Hanya mengomel sendiri di dalam hati. Namun, dia tidak dapat menipu dirinya sendiri. Dia rasa sedih. Selepas ini dia pasti tidak akan mendengar bebelan seperti itu. Bebelan yang membuatkan dia sakit hati, namun sebenarnya ia satu nasihat.
‘Haish. Kenapa aku jadi sedih pulak. Patutnya aku gembiralah. Lepas ni aman sikit telinga aku. Hati aku ni pun, taklah terbakar je. Kalau ikutkan, dah berapa karung guni dia mengata aku.’ Maisarah kembali mencari mood.
“Kita pergi makan dulu nak? Tempat mula-mula kita pergi. Kat kedai Aseef tu?”
“Taknaklah. Aku cuma nak cincin aku tu je. Kau jangan nak mungkir janji pula. Aku malas dah nak dengar cakap kau lagi. Bak sini cincin aku.” Maisarah bertegas.
“Aku bawalah ni. Takut sangat. Jomlah.Aku belanja. Kalau kau tak nak, aku tak nak pulangkan cincin kau tu,” ugut Ilham. Ugutan itu juga hanya sekadar gurauan.
“Kau ni memang macam ni ke? Memang sengaja nak cari pasal? Kau jangan nak ngada-ngada eh.”
“Eleh, macamlah tak kenal aku. Kita memang tak lama kenal, tetapi kau pun tahu aku macam mana, kan. Jomlah.” Ilham membuat trademark pistolnya. Memang kena dengan gaya dan ditambah pula dengan ada lesung pipit di pipi. Aduhai..rugi tak sempat nak ambil gambar.Cute. Kogoro Mauripan dengan pistolnya. Ala-ala Si Luncai dengan labu-labunya.
“Tak payahlah. Aku pakai baju buruk je ni. Seganlah.”
“Okeylah tu. Cantik je aku tengok.”
Maisarah menggeleng kepala. Tetap dengan keputusannya.“Tak nak.” Tegas Maisarah.
“Nak.”
“Tak nak.”
“Nak.”
“Tak mau.”
“Tak maulah konon. Tak mau sudah. Aku pun tak mau kasi cincin kau.”
“Mau.”
“Mau? Okey. Naiklah.”
Maisarah mencebik.
“Please…”pinta Ilham sambil membukakan pintu untuk Maisarah. Dia mengukir senyum.
Maisarah jadi serba salah. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
“Yelah. Disebabkan ni hari last kita, aku setuju. Tapi mana cincin aku tu. Bak sini dulu.”Maisarah akur bersyarat.
“Eh, siapa kata hari ni last day kita. Habis tu nanti kita kena pergi butik ummi, kan?” Ilham masih mengambil peluang.
“Semalam kan kau kata hari ni yang terakhir.”
“Mana ada. Aku tuliskan maybe..Mungkin..Tak pasti lagi…”
“Lantak kaulah. Kau yang memandai sendiri. Itu pepandai kaulah. Aku tak masuk campur. Apa yang aku tahu, ni hari last kita.”
Pleaselah. Aku janji itu yang terakhir.” Ilham masih meminta. Wajahnya terukir mimik sedih.  Sengaja membuat muka kasihan, minta dikasihani.
“Itu aku tak boleh janji melainkan kau dah jelaskan semuanya pada keluarga kau. Mana dia cincin aku?  Bak sini.” Maisarah masih memberi ruang kepada Ilham.Dia masih berbelas kasihan apabila melihat mimik wajah lelaki itu. Sebenarnya dia hampir tertawa melihat wajah  Ilham. Apa yang lucu, dia sendiri tidak tahu.
“Kau janji dulu. Kalau tak aku tak nak kasi.” Ilham masih sempat mengugut. Dia hanya berharap persetujuan Maisarah. Dia bukannya apa, hanya menagih waktu bersama Maisarah.
“Iyalah. Haa, mana dia cincin aku?” Maisarah sudah menghulurkan tangannya meminta cincin Lavendernya. Namun, suaranya agak kuat tika itu, membuatkan ada orang yang memandangnya. Perghhh..Bengang.
Ilham sudah ketawa. “Tulah. Kalau iya pun, masuklah dalam kereta dulu.”
Maisarah akhirnya menurut kata.
“Mai..Mai…Sampai ke akhir, kau tetap buat lawak juga.” Ilham masih ketawa.
“Dahlah, wei. Tak payah ketawa. Mana cincin aku.” Maisarah sempat menjeling Ilham.
Ilham kemudian menghulurkan sebuah kotak kecil kepada Maisarah. Maisarah menerimanya sambil mengulum senyum.Dia rasa berterima kasih Ilham mengotakan janji. Lagipula, itu haknya.
“Aii..siap berkotak bagai.” Maisarah sepertinya sudah mengetahui akan isi di dalamnya. Sebentuk cincin Lavender yang setia menemani penantiannya.
“Ye lah..takkan nak kasi macam tu je. Tak best la. Kalau kasi macam ni, rasa istimewa sikit.Romantiklah katakan.” Ilham masih sempat berseloroh, Kotak kecil itu kini di buka. Maisarah terdiam. Pandangannya pada cincin itu beralih kepada Ilham. Renungannya tajam.
“Oiii, lesung. Mana cincin aku. Ni cincin mainan mana kau sumbat ni. Kau sengaja nak jadi Mr. Bean. Sengaja nak panaskan hati aku. Aku baru je ber’mood’ baik hari ni. Kau ni memang nak cari nahas agaknya.” Maisarah tidak bertindak apa-apa. Marahnya hanya pada bicara. Amarahnya boleh dikawal.
“Yeah…Mai terkena.” Ilham tergelak sakan. Gembira melihat Maisarah terkena dengan gurauannya. Mungkin itu gurauan terakhirnya.
“Ingat orang sukalah tu. Macam tak matang je perangai tu.” Maisarah mengetap bibir. Dia telah berpeluk tubuh. Hatinya sudah panas. Dia cuba menenangkan perasaannya sendiri. ‘Bengkek gila aku dengan mamat ni. Boleh pulak dia kenakan aku. Hampeh betul. Apa kes aku asyik kena buli dengan dia ni. Last day pun aku juga yang kena. Kalau ikutkan hati, aku dah tujal-tujal kepala mamat ni. Selamatlah tangan aku ni baik.’ Maisarah mengomel sendirian di dalam hati. Memang panas hatinya tatkala itu.
“Sorry…Saje je nak buat lawak. Nanti dah tak boleh buat ‘lawak pandai’ macam ni lagi,”ujar Ilham sambil menjungkit kening. Wajah itu tetap tersenyum. Maisarah hanya diam. Dia faham maksud kata-kata Ilham. Entah mengapa, bicara Ilham itu kembali membuatkan hatinya dijentik sayu. Namun dia berusaha untuk tidak tenggelam dalam kesayuan hati itu. Biarlah hari ini menjadi hari yang gembira. Dia bukan membenci Ilham sepenuh hati, cuma geram dengan sikapnya. Suatu yang penting, dia mesti memutuskan hubungannya dengan Ilham. Itu pasti.
Ilham mengambil sesuatu dari poket bajunya. Barang itu diserahkan kepada Maisarah. Kotak comel berikat reben itu dibukanya perlahan. Nyatalah itu cincin Lavender miliknya.Wajah Maisarah yang kelat, kini berseri kembali. Cincin itu kini berada kembali di tangannya.Cincin yang sangat bermakna buat dirinya. Cincin itu segera disarung di jari manisnya. Alhamdulillah, kini haknya dikembalikan.
Thanks”ujar Maisarah tanpa menoleh ke arah Ilham yang sedang memandu. Ucapan itu dibalas anggukan. Ilham tersenyum, namun hatinya sebak apabila melihat senyuman Maisarah. Senyuman yang tulus dari hati gadis itu. Sepertinya selama ini dia yang meragut kegembiraan dan kebahagian gadis itu.
‘Senyum seindah suria..Yang membawa cahaya..Senyumlah dari hati..Duniamu berseri..’Memang  benaruntaian kata-kata lagu itu. Ia seperti senyuman Maisarah sekarang. Tulus dari hatinya. Ilhamhampir terleka memandang Maisarah.
“Cuma satu janjilah aku tak dapat penuhi. Itupun kalau kau masih ingat.” Kata-kata Ilham membuatkan Maisarah berkalih pandang kepadanya.
“Janji? Janji apa?” Soalnya Maisarah menyingkap persoalan.
“Takkan kau dah lupa kut. Dulu kan aku pernah cakap pada kau, akusendiri yang akan sarungkan cincin tu pada kau, kan.. At the end, nak buat macam mana kan, ada orang yang tak sudi.”Ilham ketawa dalam bicaranya.Sekadar bergurau mesra tetapi menyeksa jiwa.
Maisarah hanya tersenyum.Dia juga sepertinya telah mengingati bait-bait kata itu. Kata-kata yang amat menyakitkan hatinya sewaktu itu. Kerana kata-kata itu jugalah, tangannya hinggap ke pipi Ilham.
“Kau tu lah. Geram betul aku. Aku pun tak tahulah macam mana aku boleh beri cincin ni pada kau. Ntah-ntah masa tu kau main pukau, tak. Ni selamat kau pulang balik pada aku, kalau tak, siaplah kau.” Maisarah masih menunjukkan rasa marahnya.
“Kalau masa tu kau tak kasi cincin tu pada aku, tak jadilah cerita Lavender kita ni.”
“Mengarut je kau ni.”
“Itulah jodoh namanya.”ujar Ilham.
“Jodoh??” Maisarah keliru dengan kata-kata Ilham.
“Lambatlah kau ni. Ni mesti fikir lain. Mesti fikir jodoh kahwin punya. Maksud aku, jodoh untuk kita bertemu dan berkenalan. Kalau tak, sekarang ni kita tak kenal. Betul tak? Aku tak kenal kau, kau pun tak kenal aku. Siapa dia Ilham, dan siapa dia Maisarah. Siapa dia Puteri Beradu dan siapa dia Kogoro Mauripan.” Ilham merungkai kata.
Maisarah hanya menjongket bahu. Malas untuk terus berbicara hal itu. Namun hatinya sempat juga berbisik. ‘Kalau tak kerana cincin ni, aku juga takkan kenal siapa dia Baim Wong Malaysia yang kerek dan cute ni.’ Maisarah sempat tersenyum. Sudah-sudahlah Maisarah. Kembalilah ke dunia realiti. Memikirkan perkara yang bukan-bukan aje kerjanya.
“Sebenarnya siapa yang kasi cincin tu?Mesti someone special,kan?”soal Ilham berbasa-basi ingin mengorek rahsia Maisarah. Terasa ingin tahu tentang rahsia disebalik cincin.
Maisarah yang sejak tadi merenung cincin itu hanya menjawab pendek. “Adalah. Rahsia.”
“Alahai, jawapan kau. Poyo je. Hmm..Lelaki ke perempuan?” Ilham masih menyambung soalan. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan pendek itu.
“Kenapa nak tahu. Sibuk je.”Maisarah menjeling Ilham sekilas.
“Alahh…tak cakap pun orang boleh agak la. Of course lelaki. Pakwelah tu. Kalau tak, takdenya bersusah payah macam ni.”
“Kalau dah tahu tu, tak payahlah tanya. Buang air liur je,”ujar Maisarah.
“Agaknya, kalau akulah orang yang kasi cincin tu…rasanya kau bersusah payah macam ni tak.” Ilham memandang Maisarah. Keningnya dijungkitkan sedikit. Bibirnya mengulas senyum.
“Poyo je soalan kau.” Maisarah malas melayan soalan Ilham. Dia hanya memandang ke luar tingkap menyaksikan pemandang alam.
Ilham hanya ketawa dengan tingkah Maisarah. Memang dia sudah faham benar dengan cara Maisarah.
“Alah, Mai. Aku saje je. Hmm..Siapa ek nama dia. Tak nak kenalkan kat aku ke? Manalah tau aku kenal.” Bicara Ilham sekadar ingin menarik perhatian Maisarah. Sebenarnya dia terperasan akan sesuatu. Walaupun bibir gadis itu mengukir senyum, namun dia dapat melihat gadis itu hanya merenung kosong ke arah cincin yang sedia tersarung di jarinya. Sepertinya ada yang tersirat di sebalik renungan matanya itu.
“Eh, banyak tanya pula mamat ni. Malaslah aku nak layan. Sibuk je nak jaga tepi kain orang.” Jawab Maisarah sedikit keras. Dia berpeluk tubuh.
“Nak tahu mestilah kena tanya? Hmm…Lavender tu apa ye? Macam ada rahsia je. Penat dah aku fikir. Yang aku tahu Lavender tu nama bunga.” Tutur Ilham diiringi senyuman nipis dibibir.
Maisarah malas melayan pertanyaan Ilham. Ilham sedikitpun dia tidak ambil hati. Seketika tadi, jernih renungan mata Maisarah dapat dilihat. Kenapa sinar mata itu seakan suram? Sepertinya ia menahan kesedihan.
“Aii, tiba-tiba je takde mood. Awal tadi okey je. Ceria je aku tengok. Lepas aku dah pulang cincin ni, sedih pulak. Kenapa? Sedih nak berpisah dengan aku ke?” Ilham sudah ketawa sendiri.
“Jangan perasan boleh tak.”
Ilham ketawa lagi. Dia terus tenang memandu.
 “Kenapa ni..Macam sedih je? Rindu dengan orang tu, ke?” Ilham bertanya seperti seorang kekasih yang sangat mengambil berat masalah kekasihnya. Nadanya juga lebih lembut dan mendamaikan jiwa.
“Mestilah. Walaupun jauh dimata tapi dekat di hati.” Maisarah cuba menceriakan wajah. Dia menguntum senyum, seolah-olah kesedihan tidak melanda hatinya tatkala ini. Dia tidak mahu Ilham tahu dan tidak mahu lelaki itu terus mengorek rahsia daripadanya. Semakin di tanya, semakin sedih hatinya.
Ilham hanya mampu tersenyum tawar. Dia tahu memang hati Maisarah milik orang lain.Tapi, haruskah dia mengalah?
‘Ilham…Apa keputusan kau sebelum ini. Adakah kau melawan keputusan akal dan hati kau.Sudah-sudahlah tu Ilham. Nanti ia semakin menyeksa kau.’
‘Aku tetap akan merelakan ia. Cuma sekarang ini aku hanya menggunakan waktu yang ada untuk bersamanya. Berbicara dan bergurau untuk hari yang terakhir. Aku janji, bermula hari esok aku takkan kacau dia.’
Sewaktu makan, mereka juga tidak banyak berbicara. Masing-masing berbicara dengan hati sendiri. Sesekali, Ilham mencuri pandang melihat wajah Maisarah. Begitu juga Maisarah. Sesekali juga dia mencuri pandang wajah Ilham. Dia tahu, kini adalah saat-saat terakhirnya bersama Ilham. Terasa juga sedih bermukim di hati, namun itu yang terbaik.
Selepas makan, Ilham tidak terus menghantar Maisarah pulang.
“Kau ni nak bawak ke mana? Jangan jangan main-main ea. Aku nak balik.”Tutur Maisarah agak cuak kerana laluan yang dilalui Ilham bukan menuju ke rumahnya.
“Kita pergi butik ummi jap. Aku tahu next time kau mesti tak nak punya. Sorry. Kita pergi sekejap je. Buat syarat.”Ilham menoleh ke arah Maisarah yang mula tidak senang duduk. Kelihatan cemas.
“Wei, apa ni. Aku nak baliklah.”
“Kata hari ni hari last. So..kenalah penuhi tuntutan ummi dulu. Baru, cukup syarat, kan. Sekurang-kurangnya bila ummi tanya, kita taklah tipu. Biasanya time macam ni ummi takde. Kita datang buat tunjuk muka je kat sana. Kalau ummi ada, nanti susahlah kita. Ummi mesti sibuk tanya itu ini. Okey.” Jelas Ilham.
Maisarah hanya mengangguk. Dia mengerti. Terpaksa juga dia mengikut saranan Ilham yang tidak berapa bijak itu.
Kereta Ilham kini mula memasuki kawasan parkir. Ilham mencari-cari ruang kosong di celah-celah kebanyakan kereta. Akhirnya masih ada ruang kosong untuk mereka.Mereka berjalan menuju ke butik Mawardah, butik milik Puan Sofea Jasmin.
Kehadiran mereka di sambut mesra oleh Irda, pembantu butik. Menurut Irda, Puan Sofea Jasmin telah keluar dan masih belum pulang. Hmm..memang itu yang diinginkan. Biar mereka tidak bertemu umminya. Tetapi, mulutnya tetap manis berbicara dengan Irda.
“Oh, ye ke? Takpelah. Kita orang tunggu kejap. Kalau ummi lambat sangat, kita orang terpaksa gerak dululah. Saja je ajak Mai ni. Ingat nak jumpa ummi.”
“Kenapa encik Ilham tak telefon Puan dulu.”
“Saje nak buat surprise untuk ummi.”
“Tu teman wanita encik Ilham ke?” tanya Irda. Tangannya memberi isyarat ke arah Maisarah yang sedang leka melihat busana-busana yang tergantung di situ.
Ilham hanya tersenyum.
“Owh. Tak lama lagi bolehlah saya makan nasi minyak encik Ilham.” Gurau Irda mesra.
“Dia kawan saya je Ir. Dia dah ada pakwe pun. Melepas saya tau.”Ilham juga sempat berseloroh dengan Irda. Tertawa dia menampakkan baris giginya.
Irda juga turut tertawa. Senang hati dia melihat Ilham begitu. Berbeza sewaktu dia bertemu dahulu. Ilham tidak banyak bercakap. Susah untuk melihatnya senyum.
Ilham melabuhkan punggung disalah sebuah sofa di situ. Tangannya mencapai majalah yang sedia ada di meja tamu itu, membelek sekadarnya. Maisarah pula masih berjalan ke segenap ruang butik itu melihat busana yang di sedia tergantung. Memang semuanya cantik-cantik belaka. Butik itu memperagakan busana Muslimah tidak terkecuali untuk hari perkahwinan. Maisarah tersenyum. Mungkin mindanya juga berangan-angan untuk berpakaian seperti itu di hari perkahwinannya.
Ilham yang berpura-pura membaca, sesekali menjeling Maisarah. Dia hanya tersenyum melihat gadis itu.
“Aii, Mai. Takkan tengok je. Taknak test ke? Jom Mai, kita test. Pastu ambil gambar sama-sama,”ujar Ilham sambil tesenyum nakal.
“Gila kau. Kau ingat aku nak ke?”Mata Maisarah sudah menjeling Ilham. Begitu tajam renungannya.
“Acilah tu. Kiranya kita jadi model untuk butik ummi ni. Barulah gempak. Best tak idea aku,”
“Kau nampak ni?” Maisarah sudah menunjukkan buku limanya.
“Alah,Mai.Setakat penumbuk kau, aku tak heranlah.”Ilham hanya ketawa, dan Maisarah pula bermasam muka. Irda yang menjadi pemerhati hanya tersenyum.
“Mai, jom. Kita kena pergi sekarang.” Maisarah segera mendapatkan Ilham.
“Okey, Ir. Kalau ummi sampai, kirim salam jelah. Saya ada hal. Tak dapat nak tunggu lama.” Ujar Ilham. Maisarah pula sudah berjabat tangan dengan Irda.
Mereka menapak keluar. Namun…
“Sorry, my dear. Ummi pergi jumpa Auntie Khaty. Kenapa tak beritahu nak datang.”
‘Alamak..’ Hanya itu yang mampu terdetik di hati Ilham. Dia terlambat beberapa saat. Ilham memandang Maisarah. Maisarah hanya menjongket bahu. Nampaknya mereka perlu berhadapan dengan puan Sofea Jasmin. He..He..Apa pula nak kelentong ni.
Ilham terpaksa berlagak selamba.
“Saja. Nak buat surprise. Mai kata dia rindukan ummi.” Ilham sempat berseloroh.Memang Maisarahlah mangsanya. Maisarah hanya menjeling wajah lelaki itu.
‘E’eh, mamat ni. Aku juga yang kena. Siaplah kau. Lepas ni aku cerita kat ummi, baru padan muka kau. Tu baru surprise. Tapi, macam mana aku nak cerita ye. Takut pula jadinya. Kalau ada persediaan awal tu, okeylah juga. Ada juga rasa berani sikit. Sekarang ni..tetiba jelah pulak. Berani ke aku nak cakap.’Maisarah mengeluh di dalam hati.
Maisarah segera mendapatkan puan Sofea Jamin. Tangan wanita itu diraih lembut. Senyuman tetap menghiasi bibir walaupun ditemani degupan jantung yang berdegup kencang. Dup..dap..dup..dap…
Apabila melihat wajah tulus seorang ibu di hadapannya, Maisarah menjadi serba salah.Mampukan dia berterus terang hal sebenar pada wanita itu. Adakah dia punya keberanian untuk menjelaskan perkara sebenar. Jika ia dirungkai, pastinya wanita itu merasa kecewa. Pasti jatuh air mata seorang ibu.
“Mai rasa macam mana dengan butik ummi ni?” tanya Sofea Jasmin sekadar ingin mendapat pendapat Maisarah.
“Cantik. Mai suka.” Puji Maisarah ikhlas. Dia seakan teruja dengan semangat Puan Sofea Jasmin membuka butik tersebut. Dia sedar kini terlalu banyak persaingan. Namun, strategi perniagaan itu penting dalam memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya. Jenis perniagaan itu juga amat mempengaruhi jatuh bangun sesebuah perniagaan. Sofea Jasmin tersenyum menerima pujian Maisarah.
Tatkala itu Ilham menerima panggilan daripada seseorang.
‘Hmm…Selamatlah dalam keadaan sekarang ada orang yang telefon aku. Boleh aku lari. Tapi, Mai…macam mana pulak. Terpaksalah aku tinggalkan dia.’
“Ummi, Am ada hallah. Erry nak jumpa. Urgent. Hmm….Am tinggalkan Mai dengan ummi dulu ye. Takpe ke Mai?”
Maisarah mengangguk perlahan.‘Aduhai…Terpaksa juga aku berhadapan dengan puan Sofea sendirian. Mampukan aku lakukan.’
‘Mai..Inilah masanya. Kau jangan fikirkan Ilham sebab ini last day antara kau dan dia. So, kau tak perlu takut.’ Hatinya membisikkan kata.
“Borak-boraklah dengan ummi ye. Nanti Am datang sini balik,”ujar Ilham sebelum berlalu pergi. puan Sofea Jasmin hanya tersenyum melihat mereka berdua.
“Macam mana Mai dengan Am?” soal Sofea Jasmin sejurus Ilham berlalu pergi. Maisarah terdiam.Tidak segera menjawab. Dia dapat merasakan sememangnya itulah soalan yang bakal ditanya kepadanya.
“Okey,” jawab Maisarah pendek.
“Okey je.” Soal Sofea Jasmin kembali sepertinya tidak puas hati dengan jawapan gadis itu. Namun wajahnya tetap kelihatan tenang.Maisarah hanya mengangguk. Dia tetap menguntum senyum. Senyum menyembunyikan kegundahan perasaanya ketika ini.
“Cincin tu…Am yang beri ke?” Kini soalan Sofea Jasmin membuatkan Maisarah terbungkam kata. Mata wanita itu jelas terarah pada cincin yang tersarung dijari manisnya. Sememangnya ia menjadi perhatian kerana cincin itu tiada di jari manisnya sewaktu pertemuan semalam. Maisarah menggeleng. Dia tidak mahu menipu wanita itu.
“Oh, ingatkan Am yang beri,” ujar Sofea Jasmin lembut.
“Mai, mari. Kita berbual didalam,”pelawa Sofea lembut.
Maisarah hanya membuntuti langkah wanita itu ke ruang sebuah bilik rehat. Bilik itu kelihatan kecil, namun agak selesa. Sofea Jasmin mempersilakan Maisarah duduk. Maisarah hanya menurutinya tanpa banyak bicara. Degup jantungnya semakin tidak stabil. Semakin kencang. Sepertinya dia sedang menghadiri temuduga di butik itu. Terasa cuak. Dia berusaha mengawalnya. Mindanya ligat berfikir tentang apakah yang bakal dibicarakan oleh wanita itu. Maisarah membetulkan duduknya. Dia masih berkira-kira untuk menjelaskan perkara sebenar.
“Mai, ada masalah dengan Am ke?”soal Sofea Jasmin inginkan kepastian.
Maisarah hanya menggeleng. Tidak terkeluar suaranya untuk berbicara.
“Hmm..Kalau tiada masalah,baguslah. Ummi plan nak tunangkan Mai dengan Am secepat mungkin.Kalau Mai setuju, minggu depan kami nak hantar rombongan merisik.” Wajah puan Sofea Jasmin serius, menggambarkan keseriusan kata-katanya. Hakikatnya, kata-katanya itu membuatkan jantung Maisarah hampir gugur. Mahu rasanya dia terpengsan di situ. Dia terkejut. Dia hanya mampu menelan liur kelat. ‘Ya Allah. Betul ke apa yang aku dengar ni. Arghh..Tak mungkin..Tak mungkin…Macam cari nahas je aku ni.’
“Err…tapi…”
“Tapi kenapa, Mai?” Wajah Maisarah dipandang.
Maisarah terdiam. Ingin berbicara tetapi terasa takut. Sofea Jasmin hanya memerhatikan tindak tanduk Maisarah. Gadis itu tidak senang duduk. Sebenarnya itu adalah trick Sofea Jasmin supaya gadis itu membuka mulut.
“Mai setuju ke?” soal Sofea Jasmin lagi. Sengaja menekan gadis itu dengan soalan demikian.
Maisarah meminta bantuan akal warasnya memikirkan jawapan.
“Mai…” panggil Sofea Jsmin lagi apabila dia melihat gadis di hadapannya itu seakan mengelamun jauh. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.
Maisarah menggeleng sebagai memberi jawapan. Dia tertunduk memandang lantai.
“Kenapa?” Lembut sahaja bicara wanita separuh umur itu.
“Hmm..” Maisarah terdiam lagi. Dadanya semakin kencang berdebar. Takut untuk membuka rahsia. Andai Ilham tahu, apakah yang Ilham akan lakukan kepadanya.
‘Mai..kau tak perlu takut semua itu. Kau kena berterus terang. Jika tidak hati kau takkan tenang.’ Akal warasnya memberikannya saranan.
“Emm..macam mana nak cakap erk..” Maisarah kehilangan kata-kata. Dia mula menjadi sedikit berani walaupun masih takut-takut.
“Mai..”Kedengaran suara Sofea Jasmin lembut memanggilnya. Namun seakan mendesak.
Maisarah mendongak melihat wajah seorang ibu di hadapannya. Namun anak matanya tidak memandang tepat wajah tu. Segaja dilarikan.
“Mai ada rahsiakan sesuatu dari ummi ke?” Sofea Jasmin meminta jawapan. Tindak-tanduk gadis itu dapat dimengertikan. Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan Maisarah daripada pengetahuannya.
Maisarah terkelu lidah untuk  berbicara. Sofea Jasmin sepertinya dapat membaca fikirannya  dan apa yang terpedam di lubuk hatinya kini.
“Sebenarnya Am dengan Mai tipu ummi, kan?” Tenang sahaja tutur bicara itu keluar dari mulut Sofea Jasmin. Kata-kata itu benar-benar membuatkan Maisarah terkesima.Wajah wanita itu dipandang tepat. Kata-kata itu tidak mampu disangkal lagi.
“Ummi… maaf..kan Mai...” tutur Maisarah tersekat-sekat. Perlahan sahaja butir bicaranya. Seakan payah untuk dilontarkan. Bagaimana ummi boleh mengetahuinya. Maisarah semakin tidak keruan.
“Ummi sebenarnya…Mai dengan Am…” Maisarah akhirnya nekad membuka cerita. Kini ia bukan lagi rahsia. Lega perasaannya apabila meluahkan kata yang tersimpan dan menyesakkan dadanya selama ini.
“Betul ke macam tu Mai?” Sofea Jasmin masih inginkan kepastian. Maisarah mengangguk. Di pipinya sudah mula ada permata hangat berguguran perlahan.
“Mai, minta maaf ummi. Mai terpaksa. Mai pun tak sanggup nak lukakan hati ummi. Mai tahu, mesti ummi kecewa.” Pohon Maisarah lagi. Air matanya terus jatuh.“ Ummi..maafkan Mai.” Pinta Maisarah lagi.
Tubuh Masiarah dipeluk erat. Kasih seorang ibu meresap ke jiwanya. Syahdu benar.
Sofea Jasmin mengelus lembut bahu anak gadis itu. Dia tidak mampu menyalahkan Maisarah di dalam hal ini.
“Ummi, maafkan. Dahlah, Mai. Jangan nangis lagi.”
Maisarah mengeringkan air matanya. Dia kembali mencari kekuatan setelah tangisan melanda jiwanya. Dia perlu tenang kembali. Dia perlu menghilangkan kesan matanya yang merah kerana menangis. Dia tidak mahu Ilham melihatnya nanti. Dia menarik nafas panjang. Kekuatannya diraih semula. Syukur, Puan Sofea Jasmin memahami situasinya.
“Tak mengapalah Mai. Sebenarnya, ummi dah tahu dah. Kebetulan Mai datang sini, jadi ummi nak dengar juga dari mulut Mai sendiri. Ummi tak marahkan Mai. Mai janganlah bimbang.”
“Betul ke, ummi?” soal Maisarah seakan tidak percaya. Nyatlah dia terkejut. Wanita  itu sudah mengetahuinya. Tahu daripada siapa? Ilham? Ilham ke yang beritahu?
Sofea Jasmin hanya mengangguk.Dia menjelaskan segalanya. Sebenarnya dia ada pengintip sendiri. Dia mengupah orang untuk memerhatikan gerak-geri Ilham. Sejak nama Maisarah menjadi sebutan Ilham, dia dapat merasakan sesuatu.
Sewaktu mengemas bilik Ilham, tergerak hatinya membuka laci meja bersebelahan katil. Apa yang dijumpai adalah sebentuk cincin platinum di dalam sebuah kotak. Penemuan sehelai kertas kecil yang sudah ronyok di dalam laci itu semakin membuatkan Sofea Jasmin musykil. Lebih-lebih lagi ia tertulis nama dan alamat Maisarah. Sepertinya ia ada rahsia yang tersirat. Dia hanya mendiamkan perkara itu. Dia ingin tahu apakah tindakan Ilham seterusnya.
“Ummi memang kecewa dengan apa yang berlaku, tapi ummi tak salahkan Mai. Memang Am yang bersalah. Mai terperangkap. Dia tak patut buat Mai macam tu.Ummi memang tak sangka dia boleh lakukan sejauh tu. Ummi minta maaf ya, Mai. Harap Mai dapat maafkan Am juga.” Sofea Jasmin turut rasa bersalah. Dia mengeluh perlahan.
“Ntahlah, Mai. Ummi pun tak tahu kenapa dia sanggup buat macam tu. Memang ummi ada cakap, dalam tempoh sebulan ni kalau dia tiadasesiapa lagi, ummi nak jodohkan dia dengan Maira. Dia tu dulu pernah kerja dengan ummi. Si Maira tu budaknya memang kasar sikit tapi baik. Si Am tu tak suka. Tapi, takkanlah sebab tu dia boleh paksa Mai menyamar jadi teman wanita dia pula. Semata-mata tak nak si Maira tu. Hisy..entahlah Mai. Budak-budak sekarang ni pelik-pelik je perangai. Buat sesuatu tak fikir panjang.” Sofea Jasmin berkongsi rasa dengan Maisarah.
Maisarah hanya mengangguk. Hmm…Kini persoalan yang dulu bermain difikirannya telah terjawab.
“Tapi sejak kebelakangan ni, ummi tengok Am tu happy je. Tak macam sebelum ni. Time moodnya tak okey memang takde siapa yang berani tegur dia. Ntahlah Mai. Bila tengok dia gembira, ummi lega. Mungkin semuanya kerana ada Mai. Memang ummi perasan dengan perubahan dia. Tiap-tiap pagi muka dia ceria je. Tiap-tiap pagi juga ummi dengar dia nyanyi lagu kegemaran dia tu. Kadang-kadang ummi pun jadi pelik. Dah macam angau pun ada.” Dia tersenyum sendiri mengenangkan anaknya itu. Dia tahu anaknya itu banyak berubah sejak kehadiran Maisarah.
Maisarah yang menjadi pendengar setia, seakan tidak percaya dengan cerita Puan Sofea Jasmin. Benarkah Ilham begitu..Adakah ia kerana dirinya…Maisarah tiada jawapan.
Mengikut cerita Puan Sofea Jasmin, Ilham adalah seorang yang penyayang walaupun sikapnya kadangkala dingin dan baran. “Dia memang degil, Mai. Dulu dia suka gaduh dengan orang. Kalau zaman sekolah dulu pun, ramai yang kenal dia sebab dia tu degil. Ummi pun tak tahu nak cakap macam mana, Mai. Tetapi ummi kenal anak ummi tu. Dia tu penyayang orangnya. Cuma kadang-kala di tak dapat nak kawal perasaan.”
Maisarah tenang mendengar cerita. Dia sedar, sepanjang dirinya di bawah ‘tawanan’ Ilham, dia tidak pernah di kasari. Sebaliknya lelaki itu memberi nasihat secara tidak langsung dan menjaganya sebagai seorang perempuan. Menyakatnya memang tak boleh nak cakap. Tapi dia tahu ia lebih kepada gurauan semata. Lagaknya juga seperti seorang abang yang menjaga adiknya. Cuma silapnya Ilham bertindak keterlaluan pada awalnya serta menjerat dirinya dengan ugutan untuk lakonan palsu mereka. Ia membuatkan tersemat rasa marah di hati Maisarah. Tetapi dia sedar, dia juga silap. Dia terlalu menyerah dengan ugutan Ilham.
“Ummi nak minta tolong sesuatu dari Mai, boleh?”pinta  Sofea Jasmin.
“Apa dia ummi. Kalau boleh bantu, Mai bantu.” Maisarah berlapang dada untuk membantu, itupun jika dia mampu untuk memenuhinya. Dia cukup berterima kasih kerana wanita itu memahaminya.
“Ummi minta ni bukan nak pentingkan diri, Mai. Tapi ummi buat ni sebab ummi sayangkan anak ummi. Ummi juga sayangkan Mai.Ummi pun anggap Mai macam anak sendiri. Kalau boleh, ummi nak Mai terus berkawan dengan Am. Ummi harap Mai dapat lupakan apa yang dia dah buat kat Mai. Ummi berharap sangat.”Puan Sofea Jasmin berbicara penuh harapan. Maisarah berdiam diri tanpa reaksi. Dia cuba membuat pertimbangan. Wajah wanita itu dipandang. Lama juga dia berfikir.
            “Mai tak tahu nak cakap apa ummi. Mai tahu, Am sebenarnya baik. Cuma…”Maisarah tidak mampu meneruskan bicara. Dia masih terfikir, adakah dia haruskan membenci Ilham hanya kerana kesilapan itu. Tetapi lelaki itu juga sebenarnya baik padanya, malah lelaki itu juga telah mengakui kesilapannya.
“Taraaa…” Ilham sudah berada di belakang mereka. Dia menutup mata umminya dengan kedua belah tangan. Suka benar dia bergurau dengan umminya begitu.
“Kau ni, Am. Buat terkejut orang je. Selamat ummi ni takde sakit jantung. Bertuah punya budak.” Sofea Jasmin mengurut dada. Ilham hanya ketawa.
Maisarah menoleh kepada empunya suara. Dia terdiam.Itulah yang dia takutkan.Dia sebenarnya takut untuk terus berada dekat dengan Ilham. Takut hatinya tiba-tiba beralih arah kepada lelaki itu. Sedangkan dia masih menanti seseorang yang dikejauhan. Jauh tanpa terlihat olehnya. Menanti tanpa satu jawapan yang pasti. Dia pasrah.
“Aii, Mai. Tak melatah pulak kau ye. Selalu, kalau terkejut mesti melatah, kan.”Ilham sempat mengusik apabila melihat perubahan pada air muka Maisarah.
Maisarah hanya mampu memandang Ilham dengan pandangan yang kosong. Dia cuba untuk tersenyum. Sebenarnya dia tidak sempat untuk terkejut. Fikirannya di awang-awangan memikirkan lelaki itu. Lelaki yang banyak membuatnya marah dan juga tersenyum.
“Kau ni, Am. Ada je yang kau nak sakat si Maisarah ni. Hmm..cepatnya sampai. Baru berapa minit. Kata ada hal penting.” Sofea Jasmin memandang Ilham yang baru sahaja duduk di sebuah bangku bersebelahan Maisarah.Maisarah sudah terdiam tanpa kata.
“Dah settle dah. Tak sempat pun nak pergi. Hmm..Mai bual apa dengan Ummi. Macam best je.”Ilham masih dengan kemseraannya. Dia masih tidak tahu, ummi telah pun mengetahui segala-galanya.
“Kau ni Am. Sibuk je. Ni cerita orang perempuanlah.”Selamat Puan Sofea Jasmin menjawab balas untuknya.
“Ummi..tadi Mai kata kan, dia nak jadi model pengantin untuk butik ummi.” Ilham mula sibuk menjadi mat kepoh. Sengaja berseloroh apabila melihat wajah Maisarah yang seakan mendung tidak ceria.
“Kau jangan nak kelentong ummi, Am. Mai tak cakap pun. Kau ni kalau tak sakat Maisarah tak boleh ke? Hmm..kalau selalu macam ni, ummi yang jadi perempuan pun tak tahan. Asyik kena je. Mana aci macam ni.” Sofea Jasmin membalas kata anaknya.
“Mai je lah yang tahan dengan Am, kan. Mai, kan.” Ilham menjungkit kening pada Maisarah.
“Itupun tahan terpaksa.” Pantas Maisarah menjawab. Selamba. Dia tidak mahu Ilham mengesyaki apa-apa. Jawapan itu mengundang tawa Puan Sofea Jasmin dan Ilham.
 Puan Sofea Jasmin memerhati tingkah mereka berdua. Sepertinya mereka serasi bersama, dan dia ingin kedua-duanya bahagia. Namun dia tahu, keputusan ada di tangan Maisarah. Dia tidak mahu memaksa. Dia tahu selama ini Maisarah yang merasa. Di sudut hati kecilnya dia berharap agar Maisarah masih memberi peluang kepada Ilham bukan hanya sebagai kawan, tetapi lebih daripada itu.
“Okeylah, ummi. Am hantar Mai balik dulu ye.”
Kucupan mesra Puan Sofea Jasmin menjadi hadiah buatnya sebelum mereka berpisah. Sayu hati melanda Maisarah.
Kini mereka berada di dalam kereta.
“Apa yang ummi bualkan tadi. Tak nak cerita ke?”soal Ilham sebaik sahaja Maisarah memasuki perut kereta. Maisarah hanya menggeleng. Dia hanya mampu tersenyum kelat. Hakikatnya, hatinya merintih sendiri. Sesekali matanya menjeling Ilham yang nampak gembira sambil bernyanyi kecil mengikut rentak lagu yang terpasang di radio. Sesekali dia melihat lelaki itu membalas mesej yang masuk. Wajahnya tersenyum ceria. Maisarah kembali melayan perasaan sendiri. Pandangannya tetap terarah keluar tingkap. Dia dalam persimpangan dilema kerana permintaan Puan Sofea Jasmin. Dia pasrah.
Dia memang tidak kisah untuk terus berkawan dengan Ilham, tetapi dia takut lama-kelamaan hatinya berubah. Sedangkan orang yang dinantikan tiada di depan matanya. Dia takut lama-kelamaan hatinya tergoda dengan kebaikan dan perhatian Ilham kepadanya. Adakah dia ingin menguburkan penantiannya yang panjang begitu sahaja. Benar kata orang. Penantian itu menyeksakan. Namun, penantian itu adalah bukti kesetiaan.
“Kau ni kenapa Mai? Berangan pakai baju pengantin ke?” Usik Ilham apabila melihat Maisarah sepertinya mengelamun jauh. Jauh entah ke mana. Dia tahu Maisarah pasti sedang memikirkan sesuatu.
Maisarah menggeleng lagi. Ia memang tidak terlintas langsung di mindanya. Maisarah memandang Ilham.
“Kau ni dari tadi aku tanya asyik geleng kepala je. Kau ada benda nak cakap dengan aku ke?” tenang sahaja bicaranya Ilham.
Maisarah menganguk. Dia mencari keberanian untuk bersuara. Biarlah dia berterus-terang. “Sebenarnya…aku dah beritahu pada ummi tentang kita.”Ujar Maisarah perlahan. Dia tertunduk sambil meramas-ramas jari-jemari sendiri. Agak takut sebenarnya.
Ilham memandang Maisarah. Kebetulan Maisarah juga membalas pandangan itu. Apa yang terlihat olehnya ialah renungan tajam mata Ilham terhadapnya.
Maisarah menelan liur sendiri.
Ilham hanya senyap, tidak berkata apa-apa. Sepertinya dia menahan rasa marah yang berkobar-kobar.Namun, tak sanggup untuknya memarahi Maisarah walaupun kecewa dengan apa yang telah diperkatakan oleh gadis itu.
“Aku minta maaf. Aku terpaksa cerita. Lagipun, ummi dah tahu hal sebenar. Selama ni…ummi upah orang perhatikan gerak-geri kita.” Maisarah menjelaskan perkara sebenar. Dia terpaksa memberanikan diri supaya Ilham memahami situasinya..
Ilham nyata terkejut. Benarkah apa yang dibicarakan oleh Maisarah. Ilham cuba menenangkan dirinya kembali. Rupanya selama ini….
Ilham terpaksa mengukir senyum. Nampaknya, dia telah kalah dengan umminya.
“Mai….” Lembut suara itu memanggil.
Maisarah memandang. Namun masih agak takut-takut.
Ilham kemudian menguntum senyum dan ketawa.
“Kau ni kenapa? Tiba-tiba aku tengok macam takut kat aku je? Rilekslah. Kan hal ni dah settle.” Suara tawa Ilham menusuk ke gegendang telinga Maisarah.
“Kau tak marah kat aku ke?” soal Maisarah. Agak terkejut apabila Ilham tersenyum dan ketawa. Padahal sebelum ini dia tidak mahu perkara itu terbongkar.
“Lah, buat apa nak marah. Ummi, dah tahu sendiri. Tak boleh nak kata apa.” Ilham pasrah.
“Betul ke kau tak marah? Tapi, tadi kenapa kau tengok aku semacam. Macam nak makan orang. Takut aku tau.”
“Aku saje je. Habis tu kau nak suruh aku marah kau ke? Kiranya hal ni dah settlelah kan. Okeylah tu. Aku pun dah tahu.”
Maisarah tersenyum juga akhirnya. Bicara Ilham itu benar-benar melegakan hatinya.
“Owh, jadi tadi kau tipulah ea. Kau kata, kau keluar sebab ada hal. So, kau curi dengar apa yang aku bual dengan ummi kau ye. Pandai kau ea. Patutlah masa kau masuk tadi, rileks je. Tertipu aku.” Maisarah menduga disebalik kejadian yang berlaku. Dia kembali mendapat mood cerianya. Dia rasa tertipu. Pandai betul Ilham berlakon.
“Tengoklah, otak siapa yang bijak.” Ilham tertawa jua. Sepertinya, mengiyakan apa yang difikirkan oleh Masiarah. Sebenarnya bukan itu yang berlaku. Dia memang tidak tahu apa-apa. Dia memang sangat terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Maisarah. Rupanya selama ini, ummi memerhatikan gerak-gerinya.Ummi ada spy sendiri. Mana mungkin dia menyalahkan Maisarah.
            “Meremang bulu roma aku tadi tengok muka kau. Menakutkan.”
            “Kenapa pulak.”
“Kau nak tahu tak. Semalam aku mimpi kau nak bunuh aku pasal rahsia kita ni dah terkantoi. Kelakar betul.”
“Aku mimpi kau cekik aku. Kau nak bunuh aku.” Sambung Maisarah lagi. Beriya-iya dia bercerita.
“Aii, macam tu sekali ke. Aku pulak yang jadi Vampire. Kau ni Mai…” Ilham hanya mampu ketawa mendengar kata-kata Maisarah itu.
“Kenapa tiba-tiba aku nak cekik kau pulak?” soal Ilham lagi. Dia ingin tahu perjalanan mimpi Maisarah.
“Kau marahkan aku pasal ummi dah tahu pasal penipuan kita tu.Tapi bukan aku yang beritahu. Ummi yang tahu sendiri. Kau terus je marah aku. Pastu kau nak bunuh aku…” Maisarah bercerita.
Ilham sudah ketawa gelihati.
“Mai..Mai.Buat lawaklah kau ni. Takpelah Mai. Sekurang-kurangnya hal kita dah settle. Tapi, cuma aku ni jelah kena bebel dengan ummi nanti. Yang kau, siap mimpi kena cekik pulak. Aduhaii..Kau terlalu memikir hal ni, sebab tu siap termimpi-mimpi.”
“Terima kasih ea.” Ucap Maisarah perlahan. Lega hatinya.
“Terima kasih untuk apa?”
“Terima kasih kerana kau kotakan janji kau.”
Ilham menguntum senyum.“It’s okey. Rasanya biar kita settle cara baik. Cuma tulah. Aku kena berhadapan dengan ummi aku.”
Maisarah tersenyum. Lega. Aman dunianya.
Telefon bimbit Ilham tiba-tiba berbunyi. Ilham ingin mengambilnya, namun ia telah terjatuh ke lantai kereta. Dalam pada itu, Ilham tiba-tiba hilang kawalan stereng keretanya.
“Ammm…” Jerit Maisarah kuat apabila kereta Ilham mula masuk ke laluan bertentangan.
Screeeeet…Ilham berusaha membrek keretanya bagi mengelak kereta yang datang bertentangan. Malangnya, ia tergesel di penghadang jalan dan ….
Kereta mereka mula menjunam ke gaung.
Maisarah menjerit. Kepalanya terasa pening seribu. Terasa sakit kerana terhentak di tempat yang keras. Dia terdiam. Dia berusaha membuka mata walaupun agak payah.
“Ammmm…” panggilnya perlahan. Ditoleh ke kanan dan juga ke kiri mencari Ilham. Dilihat juga ke atas. Hanya syiling  putih memayunginya. “Kat mana aku ni.” Terkebil-kebil dia beberapa kali. Dia mulai sedar. Itu adalah syiling rumah sewanya. “Allahuakbar. Aku mimpi ke.” Maisarah menggosok-gosok kepalanya yang terasa sakit menyembab lantai simen. Dia hanya mampu beristighfar.
Dilihatnya jam dinding yang tergantung bersebelahan pintu. “Ya Allah. Dah tengah hari rupanya. Berapa lama aku tertidur ni.” Maisarah masih mamai. Dia mengaru kepala
Dalam masa yang sama, Ilham juga baru tersedar dari lenanya. “Allahuakbar..Aku ni bermimpi ke.” Kepalanya di picit-picit perlahan. Dia kini tersandar di tepi katil. Dia mengimbau mimpinya yang panjang. Mimipi yang seakan realiti. Dia beristighfar.
Telefon bimbitnya kemudian dicapai. Untuk beberapa ketika, dia merenung kosong pada telefon bimbitnya itu. Akhirnya, dia menaipkan beberapa patah kata. Butang send ditekan.
Tit..Tit…Telefon bimbitnya memberi isyarat ada mesej yang masuk. Maisarah mengambil telefon bimbitnya, sambil menggosok kepalanya yang masih sakit. Benjol sikit.
+Jumpa malam ni kol 9. Aku pulangkan barang kau.
Maisarah menghela nafas dalam. Dia terduduk seketika mengenang mimpinya tadi. Panjang benar perjalanan mimpinya. Macam cerita Bawang Merah Bawang Putih pulak dah. Adohai….Hmm..Malam nanti baru nak jumpa Ilham. Aku siap mimpi dah. Over excited nak jumpa dia ke? Apa yang penting cincin aku tu. Tapi…apa yang berlaku nanti macam mimpi ni gak ke?

No comments:

Post a Comment