Saturday 21 November 2020

BAB 10 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG



“ABAH. Hari ni Teha ikut abah berjual tau. Dah seminggu kerja ni, tak dapat tolong berjual rasa tak syok pula.” Fatehah sudah bersuara sambil membantu emak dan abahnya memunggah perkakas untuk jualan ke dalam van milik abahnya.

“Kamu tak penat ke. Waktu cuti ni lah kamu baru dapat berehat. Biar Syira aje ikut abah.”  Suara Abdul Fattah lembut masuk ke pendengaran. Bukan apa. Dia kasihankan anaknya itu. Sejak Fatehah bekerja dia memang nampak anaknya itu agak keletihan. Sebab kerja pejabat ni orang kata banyak kena berfikir. Otak jadi penat. Secara tak langsung badan pun jadi letih.

“Tak ada penatnya abah. Berjual macam ni otak lagi rasa lapang. Boleh hilangkan stress. Dapat beramah mesra dengan orang.”

“Ikut suka hati kamulah Teha. Nanti penat jangan nak ngadu dekat abah pula.”

“Alah, abah ni. Penat apanya. Hari ni biarlah Syira rehat. Tengok gaya pun macam nak demam tu. Mak ada nak kirim apa-apa tak? Balik nanti boleh singgah beli sekali.” Sebelum berlalu pergi sempat ditanyakan kepada emaknya.

“Mak nak buah pelam muda. Nanti kamu carikan ya,” ujar Fatimah.

“Mak mengidam ya. Wah, syoknya! Teha bakal dapat adik ke ni?” Saja Fatehah usik-usik emaknya.

“Amboi, mulut dia!” Laju saja tangan tua itu mencubit pipi anak tirinya itu.

“Umur kamu ni dah tak payah berangan nak adiklah. Kamu tu ha. Dah boleh ada anak sendiri. Emak dan abah ni dah teringin nak cucu tau.” Sampuk Abdul Fattah dalam tawanya.

Pap! Kena setepek. Padan muka kau Fatehah. Mulut degil sangat.

“Tak fikir pun lagi. Calon pun tak ada.”

“Dekat tempat kerja kamu tu tak ada ke lelaki bujang. Tak pun kamu ushar-usharlah orang yang datang dekat gerai tu. Ramah-ramahlah mulut tu bertanya. Kalau lelaki, tanyalah dah kahwin belum. Kalau yang makcik-makcik pula, tanyalah ada anak bujang tak. Tapi mak tak nak menantu tua tau.” Fatimah sudah menyengih.

“Makkk…” Fatehah sudah buat muka. “Takkan Teha nak jadi perigi cari timba. Abah..Abah tengok mak ni bah.”

“Betul juga apa yang mak kamu cakap tu. Kalau kamu yang tak ushar, abah rasa ada aje orang yang datang situ ushar kamu. Sebelum ni abah perasan ada yang sorang tu memang lain benar bila tengok kamu.”

“Hah? Biar betul bah? Eee..Ngeri!” Fatehah sudah tunjuk gaya peluk tubuh bercampur geli-geleman. Memang takut bila dengar kenyataan yang keluar dari mulut abahnya.

Abdul Fattah dan Fatimah hanya ketawa melihat telatah si anak. Kononlah tu geli-geleman bagai.

“Dah, jom. Lambat pula nanti. Takut dah ada yang menunggu.” Abdul Fattah sudah masuk ke dalam perut van di bahagian pemandu.

“Okey, mak. Teha pergi dulu.” Tangan emaknya terus dicium kasih. Kemudian dia masuk ke bahagian penumpang di sebelah kiri bersebelahan pemandu. Pintu van kini ditutup. Lantas itu abahnya memandu pergi.

Di dalam perjalanan..

“Kenapa senyap aje ni?” soal Abdul Fattah yang sedang memandu. Namun dia perasaan dengan tingkah si anak gadisnya itu. Selalu bukan main kepoh bercerita itu ini.

“Entahlah, bah. Perasaan Teha ni  tiba-tiba berdebar semacam. Tak tahu kenapa?”

Hmm..Nak jumpa jodoh kut. Tu yang berdebar lebih.”

“E’eh, abah ni. Tak habis lagi. Abah ni sama aje macam mak.”

“Alah. Abah saja gurau. Tu pun nak ambil hati. Kamu doa ajelah yang baik-baik Teha.”

Fatehah hela nafas. Dia berselawat di dalam hati. Semoga diberi ketenangan hati.

Seperti biasa, sampai di tempat jualan Fatehah membantu abahnya mendirikan khemah. Setelah siap menyusun meja dan perkakas, barulah kerja-kerja menggoreng dilakukan dengan tepung bacuhan yang sedia ada dibuat emaknya.

Tika ni saja sudah ada lima orang pelanggan beratur menanti gorengan panas itu. Lincah saja Fatehah membuat kerja sambil melayan pelanggan-pelanggannya. Apa yang pasti hatinya gembira.

Setelah pelanggang-pelanggan itu beredar, ada sebuah kereta berhenti tidak jauh dari gerainya itu. Melihat akan kereta itu, Fatehah sudah telan liur. Alamak! Si Gagak Hitam nak beli cempedek goreng ke? Hatinya mula rasa tak senang.

Iftitah dilihat sedang berjalan menghampiri gerainya. Fatehah buat biasa-biasa aje. Tapi dia tak boleh tipu dirinya, perasaannya kian berdebar tak tentu pasal. Extreme sangat. Inilah agaknya jawapan di sebalik rasa debar tadi kut. Aduhai.. Lemas rasa.

“Assalamualaikum, Fa.” Suara garau-garau macho lelaki itu menembus gegendang telinga.

‘Hai…Dan..Dan panggil aku Fa pula. Sebelum ni baik benar ada kata pangkal ‘Dik’ depan nama tu. Huh! Acah-acah mulut manis.’ Hati di dalam tetap berkata-kata.

“Waalaikumussalam. Err..Encik nak beli apa?” Memang tidaklah dia nak panggil lelaki itu dengan panggilan abang seperti sebelum ini. Cuba bayangkan kalau di pejabat dia memanggil lelaki itu dengan panggilan sebegitu, haa..mahunya lelaki tu terkejut sambil beri jelingan maut dekat dia. Lepas tu confirm dia kena hukum tulis 1000 kali perkataan tu di hadapan empunya diri.

“Eh, tiba-tiba berencik pula dengan saya. Bukan sebelum ni awak panggil saya abang ke? Sajalah tu.” Sengaja juga dia beri leretan senyuman yang paling umphh. Hakikatnya dia rasa teruja kerana kebetulan hari ni dia dapat bertentangan mata dengan si gadis idaman. Nampaknya hari ini adalah hari bertuahnya.

Fatehah hanya tersengih. Itu pun dibuat-buat. Tak ada hati dah nak membalas senyuman itu seperti sebelum ini. Namun begitu dia terasa pandangan mata lelaki itu tepat menikam wajahnya. Lagilah kini lelaki itu tidak memakai kaca mata hitamnya.

“Lama kan kita tak jumpa.”

Aii..Dua minggu aje kut. Bukannya dah setahun tak jumpa. Lagipun nak jumpa aku buat apa.’ Hati kecil Fatehah sibuk juga nak membisik kata.

“Saya kan dah kerja. Jadi cuma dapat tolong abah waktu cuti ni aje.” Fatehah memberitahu juga sebagai menjawab soalan yang ditanya.

“Kerja di mana? Mana tahu sesekali kita boleh keluar lunch sama. Bolehlah borak panjang.”

Err..” Fatehah sudah garu kepala yang berlitup tudung. Tak mungkin dia akan beritahu tempatnya bekerja. Silap-silap hari bulan, tiap-tiap hari dia kena temankan si Gagak Hitam tu keluar lunch. Haha..Perasan!

“Rahsia ke? Oh, okey. Tak apa. Ni mesti ada sesuatukan sampai nak berahsia-rahsia dengan abang. Hmm..Kalau macam tu bungkuskan abang pisang, cendawan dengan cempedak semua ni lima ringgit ya. Duit yang sebelum ni dah tolak habiskan?”

Fatehah mengangguk mengiyakan. Kelmarin Insyirah ada memberitahu bahawa lelaki itu membeli cempedak dan pisang goreng sejumlah baki duit yang ada. Banyak tu kut. Takkanlah nak makan sendiri. Mesti bagi-bagi dekat oranglah tu. Baguslah. Berkongsi rezeki.

Fatehah terus lincah membungkus pesanan lelaki itu. Degup jantungnya yang menyesakkan dada kian hebat beraksi. Namun rasa itu terpaksa diabaikan dulu. Tangan yang tiba-tiba jadi ‘Parkinson’ sedaya upaya dicover agar tidak ketara gigilnya. Apa yang pasti, tingkahnya diperhatikan dengan seulas senyuman.

“Gigil aje tangan tu kenapa?”

“Entahlah. Parkinson kut.” Fatehah tergelak jua. Senyuman yang terlukis di bibir lelaki itu lagilah buat dia gelabah. Lagilah dengan pandangan penuh pesona itu. Maka terpaksa dia buat-buat selamba sambil menahan debaran hebat di dada. Dekat pejabat jangan haraplah nak lihat senyuman edisi terhad itu. Muka manis tapi saja tayang masam macam jeruk kedondong plus cuka epal dah nak expired. Menyampah!

“Lima belas ringgit ya, encik.” Bungkusan yang telah siap itu diletakkan di atas meja.

“Encik lagi. Panggillah abang.” Gurau lelaki itu sambil menghulurkan bayarannya dengan not merah dua keping. Pandangan matanya sempat menyinggah ke wajah Fatehah yang sedikit tertunduk.

 “Tak perlu pulangkan baki. Fa ambil aje buat beli top up ya.” Pesan lelaki itu sebelum mengambil bungkusan yang telah disiapkan untuknya di atas meja.

 “Err..Okey.Te..Terima kasih, encik.”

“Encik lagi?”

“Ya, aa..abang. Terima kasih.” Fatehah jadi segan sendiri. Mukanya pula tiba-tiba rasa berbahang semacam bertemankan degup jantung kian rancak berirama. Aisemennn..Rasa terseksa pula nak menghadap lelaki yang sorang ini.

“Fa..Malam ni kalau abang nak mesej Fa boleh?”

“Hah??” Fatehah sedikit terkejut. Terus dia angkat kepala memandang wajah kacak yang penuh pesona itu. Terkebil-kebil matanya untuk beberapa saat.

Iftitah terus buat isyarat jari telunjuk di bibir memandangkan di belakang itu ada abahnya Fatehah.

“Kalau abang mesej jangan tak balas ya.” Bicara itu sedikit berbisik sambil mengepung mulut dengan tangannya. Sempat beri kenyitan mata, terus lelaki itu berlalu berteman senyuman yang membahagiakan. Fatehah terpempan. Sejenak itu barulah dia mampu menelan liur sambil urut-urut dada sendiri.

‘Alamak! Kenapa kau siap kenyit mata dekat aku ni Encik Iftitah oii? Weh, scary tahu tak. Wait! Hari tu yang dia cakap dia dah ada orang yang dia suka tu sebenarnya merujuk pada aku ke? Fa? Matilanak oii…Macam mana ni?’ Fatehah terasa dirinya kini dilanda masalah besar. Umpama negara dilanggar garuda gamaknya.

“Kenapa dengan Abang Jambang kamu tu Teha? Abah tengok lain macam aje? Kamu pun tiba-tiba jadi gagap kenapa?” soal Abdul Fattah yang tika itu sedang duduk membasuh keledek. Cuping telinganya mendengar saja perbualan anak gadisnya dengan pelanggan ‘special’nya yang satu itu.

“Abah dengar ke?” Terus pandangan Fatehah terkalih kepada abahnya.

“Abah ni belum pekak Teha.”

Fatehah sudah garu pipi.

 “Err..Kalau abah nak tahu, Abang Jambang tu sebenarnya bos Teha, bah. Takkan Teha nak panggil dia abang. Sebelum ni tak kenal, memang Teha pakai sebut aje. Sekarang bila dah tahu, tergeliat terus lidah ni nak menyebut. Segan gila. Rasanya dia tak cam muka Teha. Sebab dekat pejabat dia baru pernah jumpa Teha dua kali aje. Itu pun tegur-tegur biasa. Lagipun dekat pejabat Teha kan pakai cermin mata. Make-up sikit. Dekat luar ni tak pakai. Lepas tu pakai macam ni. Nampak tak semenggah. Mungkin sebab tu dia tak berapa cam kut.”

“Oh, macam tu. Rasa macam kelakar pula. Apa yang dia bisik-bisik dekat kamu tadi. Tengok gaya macam dia nak ngorat kamu aje tadi.” Abdul Fattah sudah tergelak dalam bicara.

“Eh, abah ni. Ke situ pula. Mengorat apa. Dia tu garanglah bah.”

“Garang? Kamu pernah kena marah dengan dia ke? Abah tengok manis aje mukanya? Sejuk mata memandang.” Abdul Fattah sudah tersenyum.

“Amboi, abah. Memuji nampak. Dekat luar nampak manislah, dekat pejabat muka dia serius bah. Memang tayang muka ketat aje. Rasa macam berlagak pun ada.”

“Mungkin lebih bersikap tegas dalam kerja. Ada orang memang macam tu. Kalau tunjuk baik sangat karang orang bawahan pijak kepala pula.”

Hmm.. Tiba-tiba rasa abah ni macam nak menangkan dia pula.”

“Lah..Abah cakap dari padangan mata abah je. Abah rasa dia tu okey je.”

“Abah ‘scan’ dia ke?”

Of courselah. Mana tahu boleh jadi calon menantu abah. Sebenarnya dialah orang yang abah maksudkan tu. Pandangan dan senyuman dia tu pada kamu memang lain macam. Abah rasa dia suka dekat kamu tu.”

Eee…Takkanlah!” Fatehah cuba menyangkal kenyataan abahnya.

“Kamu tak percaya ke? Tapi abah percaya dengan gerak hati abah. Kamu tunggu ajelah. tengok apa dia buat lepas ni. Silap-silap lepas ni dia datang melamar kamu pula. Abah terima aje.”

“Abahhh..”

 

MALAM itu Fatehah rasa sedikit gelisah. Perasaannya tiba-tiba berdebar. Namun dia tidak tahu kenapa. Diurut-urut saja dadanya bagi menenangkan perasaan itu. Isyarat telefon berbunyi menandakan ada kiriman mesej dari seseorang. Apabila dibuka, matanya terbuka luas. Percaya atau tidak mesej itu adalah dari bosnya sendiri versi Abang Jambang Hensem.

Abang Jambang ~ Hai, Fa. Buat apa tu? Busy ke?

Fatehah sudah teguk liur sendiri. Tidak disangka bahawa lelaki itu benar-benar ingin berbalas mesej dengannya. Agaknya kerana itulah perasaannya berdebar semacam sejak tadi.

Persoalannya…Perlukah dia membalas mesej itu?

Eee…Macam menakutkan aje nak berbalas mesej dengan dia ni.”

Mesej itu tidak dibalas, malah ia terus dipadam.

“Serius ke dia sukakan aku? Cara abah cakap tu macam iya tak iya aje. Tapi, takkan abah nak tipu kut. Abahkan lelaki. Mesti dia tahu isi hati seorang lelaki kan. Sebab Encik Iftitah tu sendiri pernah mengaku dia sukakan seseorang. Tengok pada gaya, memang macam akulah orang yang dimaksudkan. Buktinya, kalau dia datang ke gerai sebelum ni tengok aku pun terlebih senyum kut. Hakikatnya dekat pejabat tak macam tu pun. Memang macam ada sesuatu. Hurmm.. Aku ke awek yang malang tu?” Fatehah sudah ketuk kepala sendiri. Seolah-olah apa yang dia cakap sebelum ini terkena pada batang hidung sendiri.

 

BAB 9 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



“AWAK ni ke budak yang nama Fatehah tu?” Lontaran suara Iftitah kedengaran tegang. Tenungan tajam matanya memang tunjuk rasa tidak puas hati. Angin marah seakan menguasai diri. Namun hakikatnya sewaktu Fatehah masuk ke bilik pejabatnya tadi perasaannya berdebar tak tentu pasal. Tak tahu kenapa. Tetapi, dia cuba abaikan saja.

Err..Ya saya, Encik Iftitah. Saya Fatehah.” Fatehah menjawab sambil tegak berdiri ala-ala menerima arahan ketika perbarisan kawad. Tergagap-gagap juga dia jadinya apabila terpaksa berhadapan dengan lelaki itu. Nampaknya inilah kali kedua dia masuk ke bilik itu.

Tatkala Tasya datang memanggilnya tadi dia sudah tak senang duduk. Mengapa lelaki itu memanggilnya? Apakah kesalahannya?

 “Ada hal apa ya Cik Tasya saya kena panggil?” sempat juga Fatehah bertanya tatkala wanita itu datang ke mejanya. Manalah tahu dia boleh bersedia lebih awal jika di soal jawab.

I don’t know. Sendiri buat, sendirilah tanggung. Dah, pergi. Karang I pula yang kena.” Hanya itu yang dijawab Cik Tasya sebelum berlalu meninggalkan dirinya terkontang-kanting. Apa yang pasti dia terperasan jelingan dan senyum sinis wanita itu.

Fatehah kini tundukkan wajah. Tidak mampu rasanya nak terus mengangkat kepala menghadap wajah kacak yang masam mencuka itu. Debar di dada kini sangat menyeksakan. Tubuh pula rasa seram sejuk. Dia masih tidak tahu alasan apa yang membawanya ke sini. Berkenaan laporan yang dia buat kah? Kalau silap, memang terpaksalah dia menerima teguran daripada lelaki itu.

Fatehah tarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak mahu lelaki itu melihatnya gelabah. Apa yang pasti kedua-dua telapak tanganya sudah rasa berpeluh.

 “Awak tahu sebab apa awak kena panggil ke sini?” Iftitah tetap pamer gaya lagaknya. Tangan bersilang ke dada sambal menyandar di kerusi empuknya dengan gaya megah.

Fatehah menggeleng.

“Boleh awak jawab pasal kertas ni?”

Kertas ronyok berwarna merah jambu kini dicampak di atas meja di hadapan Fatehah. Fatehah tersentak. Lalu tanpa mengerti akan apa yang sebenarnya berlaku, dia mendekati meja itu. Mengambil kertas yang telah ronyok itu lalu dibaca isi tulisannya. Ia hanya dibaca di dalam hati. Matanya terus membulat.

“Saya nak awak baca apa yang tertulis atas kertas tu.”

Fatehah telan liur. Wajah Iftitah dipandang.

“Tengok saya kenapa? Saya kata baca!”

Fatehah sedikit terkejut apabila dijerkah begitu.

“Baca!” Iftitah menghentak meja.

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Terus laju Fatehah membaca. Namun perlahan sahaja suaranya.

“Kuat sikit!”

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Kini suara Fatehah lebih kuat berbanding tadi.

One more! Baca sambil pandang saya.”

Gulpp! Rasa kering terus tekak Fatehah mendengar arahan yang tak masuk akal itu. “Saya..Saya..” Memang rasa tak terkeluar suara apabila memandang wajah yang mencuka itu. Tangan pula tu bersilang ke dada.

“Awak dengar tak arahan saya!” Sekali lagi suara tu menerjah tajam ke pendengaran.

“Ya..Ya..Saya dengar.” Fatehah kemudiannya membetulkan sedikit kedudukan cermin mata di puncak hidung. Nafasnya ditarik dalam cuba mencari sedikit kelegaan. Seperti yang diarah, terpaksa juga dia mengulang baca ayat yang tertulis sambil anak matanya memandang wajah ketat dan tegang di hadapannya itu. Ternyata itu bukanlah sesuatu yang mudah baginya.

“Saya.. suka awak, Encik Iftitah.” Ton suara Fatehah lembut sahaja.

Iftitah memandang balas wajah Fatehah.  Fatehah pula terus tertunduk memandang lantai.

“Saya nak cakap ni, tolong padang saya!”

Mendengar suara itu cepat-cepat Fatehah angkat kembali wajah memandang empunya diri.

“Sekarang ni saya nak awak jelaskan apa tujuan sebenar awak tulis memo tu dan beri kepada saya! Awak nak tackle hati saya ke?” Tenungan mata Iftitah menyambar mata bundar di sebalik cermin mata itu. Fatehah lantas menggeleng.

“Jawab dengan suara!”

“Maaf, Encik Iftitah. Ni bukan saya yang tulis. Saya tak tahu apa-apa.” Sedaya upaya Fatehah bersuara cuba memberi penjelasan.

“Jangan nak menipu!” Iftitah sudah tepuk meja. Berdentum juga bunyinya. Fatehah agak terperanjat sehingga memaksa bahunya terangkat sedikit.

“Saya..Saya cakap yang betul Encik Iftitah. Ni bukan tulisan saya. Nampak hampir sama, tapi bukan saya yang tulis. Tulisan saya tak bulat-bulat sangat macam ni.” Berani juga Fatehah menjawab walau dalam takut-takut. Sememangnya bentuk tulisan yang tertulis itu berbentuk sedikit bulat. Tidak sama seperti tulisannya.

“Berani betul awak menjawab depan saya ya!” Anak mata Iftitah kian mencerlung memandang wajah Fatehah.

“Saya tak bermaksud melawan encik. Saya cakap yang benar. Lagipun saya memang tak suka dekat encik. Takkan saya nak tulis macam ni. Sumpah!” Fatehah tunjuk keberanian sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu, bukti dia bersumpah.

Jadi, awak tak suka saya?” Timbul juga kerutan di dahi lelaki itu.

“Tak.” Fatehah menjawab sambil menggeleng kepala.

Iftitah jadi terdiam sambil hembus nafas kasar. Pincingan anak matanya masih merenung wajah si gadis yang bercermin mata di hadapannya itu.

“Sebab apa awak tak suka saya?”

Kini giliran Fatehah pula terdiam. Terkelu untuk menjawab soalan itu.

“Saya tanya sebab apa awak tak suka saya?” ulang Iftitah lagi dalam jerkahan suaranya.

Fatehah terpaksa tarik nafas lagi. Kali ini lebih dalam.

“Jawab!”

“Dia orang kata encik ni garang.” Keluar juga ayat dari mulut Fatehah. Jujur dan berani.

“Garang? Saya ni garang ke?” Renungan tajam Iftitah masih jatuh pada seraut wajah cuak Fatehah.

Fatehah jongket bahu.

Jadi, awak dengar orang lain cakap saya garang awak pun tak suka sayalah.”

Fatehah diam lagi. Tak reti nak menjawab. Hanya terpaksa telan liur sendiri sambil kepala kembali tertunduk menekur lantai. Sedih rasa hati. Apalah nasib. Baru seminggu masuk kerja, dah kena marah-marah dengan bos sendiri. Rasa nak menitik juga air matanya saat ini. Namun ia ditahan sahaja. Dia tidak mahu dilihat cenggeng oleh lelaki itu.

Suasana jadi sepi.

Iftitah hela nafas kasar. Ditenangkan diri seketika. Kemudian dia mengambil kertas memo pelbagai warna di dalam laci mejanya. Dia meleraikan bahagian yang bewarna merah jambu dan ditolak ke hadapan Fatehah. Fatehah hanya memandang. Keliru.

 Iftitah kemudian meneliti setiap inci tulisan yang ditulis Fatehah.

Hurmm.. Rasanya ada satu lagi yang saya nak awak tulis atas kertas ni.” Kesemua kertas bewarna itu kembali ditolak ke hadapan Fatehah. “Saya nak awak tulis…Hastag nama awak. Tak kisahlah nak tulis nama panjang ke…nama pendek ke…Pastikan awak tulis di setiap helaian kertas. Itu aje. Tak susah kan?”

Fatehah sudah telan liur. Nak kena tulis lagi ke? Aduhai. Kenapalah tak cakap awal-awal tadi. Kan senang. Tak jadi dua kali kerja.

“Kenapa? Ada sebarang bantahan ke, Cik Fatehah?” Iftitah menyoal sambil menjungkit kening.

Fatehah diam. Malas untuk memanjangkan kata. Dia akur saja dengan arahan itu. Pen yang berada di atas meja itu kembali diambil dan tangannya mula menulis seperti yang dikehendaki. Apabila dibaca kembali apa yang telah ditulis dia terasa bulu romanya meremang sendiri. Sebabnya ada nama dia dia bawa ayat itu.

 

SAYA SUKA AWAK, ENCIK IFTITAH

#Teha

 

‘Ya ampunnn…Macam betul-betul terasa aku yang kasi memo cinta ni pada dia. Dia ni pun satu. Apa motif suruh tulis nama dekat bawah tu pula.’ Lagilah bila part lirik yang tersesat satu tu.

 

JANGAN PISAHKAN AKU DAN DIA

TUHAN TOLONGLAH KU CINTA ENCIK IFTITAH

#Teha

 

Ah, dengki betullah dia ni!

Setelah selesai, Fatehah menyerahkan kesemua helaian kertas itu kepada empunya diri.

Lelaki itu melihat setiap helaian secara rawak sahaja.

So, Teha ni nama manja awak? Hmm..Nice.” Sempat dia memuji. Rasanya nama panggilan itu memang comel pun. “Confirm awak dah tulis semua?”

“Ya. Tapi apa tujuan encik suruh saya tulis nama saya? Saya tak bersalah tau dalam hal ni.” Fatehah masih mempertahankan dirinya.

“Rasanya awak tak perlu persoalkan tindakan saya ni. Lagipun awak dah tulis banyak-banyak tu tak rasa membazir ke bila tak letak nama awak. Sekurang-kurangnya saya tahulah semua ni daripada awak.”

Fatehah berkerut dahi. Keliru. Opss..Mungkin saja Encik Iftitah suruh tulis nama tu untuk bezakan mana yang dia tulis dengan suspek seterusnya. Boleh jadi macam tu kut. Tiba-tiba Fatehah berfikir sebegitu. Harapnya macam itulah.

 “Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dululah encik.”

“Okey. Tapi ingat. Apa yang berlaku di dalam bilik ini, dan apa hukuman awak terima ini adalah rahsia. Kunci mulut awak. Kalau orang lain tanya, cakap aje saya tegur laporan awak. Jangan nak buka apa-apa cerita. Sebab kes ni dalam siasatan. Kalau dia orang tahu, siaplah awak!” Iftitah kembali tujuk ketegasannya.

Fatehah mengangguk. Dia sangat berharap agar lelaki itu mampu menyiasat siapakah dalang di sebalik apa yang berlaku. Kalaulah dia tahu siapa yang buat angkara, pastinya diganyang-ganyang orang tu sampai lumat. Tak pun tomoi aje sampai pengsan. Puas hati!

Selepas dia bangkit dari kerusi dan melangkah pergi, Fatehah tiba-tiba menghentikan langkah dan kembali berpaling wajah mengadap lelaki itu. Dia ingin berbicara sesuatu.

Err..encik…”

“Ya. Kenapa?” Tangan Iftitah masih bersilang di dada menghadap empunya diri.

“Maaf ya fasal termelatah abang kau hijau hari tu.”

Tenungan tajam Iftitah kembali tepat menikam ke wajah Fatehah. Fatehah cepat-cepat mengatur langkah pergi. Ah, lantaklah. Janji dah minta maaf untuk kesekian kalinya. 

            “Nanti!”

        Terhenti terus langkah Fatehah apabila suara itu tepat menyapa gegendang telinga. Dia kembali pusingkan tubuh.

            “Ya, encik.”

Iftitah kekal memerhatikan gadis itu untuk seketika sambil mengelus jambang nipisnya.

          “Saya terima permohonan maaf awak tu. Tapi ada syarat.”

            “Err..Apa syarat tu encik?”

“Saya nak awak bancuhkan kopi untuk saya. Perlu diingat. Saya tak nak kopi bunuh orang yang macam awak bancuh hari tu.” Lelaki itu berbicara sinis.

         Fatehah telan liur. Nampaknya lelaki itu sudah tahu bahawa dia adalah gadis pembancuh kopi itu.

            “Baik. Ada apa-apa lagi encik?”

            “No.”

           Fatehah terus keluar dari bilik itu dan menuju ke pantri. Sejak kes hari tu banyak pula stok kopi tu di kabinet almari. Jadi dia bancuh saja. Lalu dibawa kepada Kak Nori yang berada di mejanya.

       “Kak..Minta tolong ya hantar kepada Encik Iftitah. Terima kasih.”

           Memang taklah dia nak masuk bilik tu lagi. Abang Jambang Hensem berlagak. Malas nak layan. Huh! Benci! Tak jadi dah nak suka.