Monday 25 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini -11,12


ILHAM tidak menghubungi Maisarah untuk tempoh beberapa hari. Sejak melihat gadis itu menangis tempoh hari, dia berasa bersalah. Dia membiarkan gadis untuk bertenang untuk seketika. Namun dia tetap menghantar mesej. Risau juga hatinya walaupun dia dengan gadis itu bukan siapa-siapa.
Dia termenung di jendela. Ada sesuatu yang bermain dibenaknya. Ia berkaitan Maisarah. Maisarah gadis yang ‘blur’ namun penuh humor. Dia termenung memikirkan situasinya dengan gadis itu. Persoalan demi persoalan. Perlukah dia melepaskan Maisarah saat ini. Menghentikan rancangannya yang sudah hampir kepenghujungnya. Hatinya galau.
Dia membuka laci mejanya. Sebuah kotak kecil diambil. Di situlah tersematnya cincin Lavender. Sengaja dibelikan sebuah kotak agar cincin itu tersisip kemas di dalamnya. Takut juga jika cincin itu tiba-tiba hilang. Jika tidak, maunya dia kena bersoal jawab dengan Maisarah.
Dia mengambil dan membeleknya untuk seketika. Dia mengeluh perlahan. Perlukah barang itu dikembalikan kepada pemiliknya dan seterusnya menoktahkan segala-galanya. Arghh..Tak mungkin..
‘Ilham..Itu janji kau. Kau mesti tepati. Kau hanya pinjam dia untuk seketika. Pernahkah kau fahami akan hatinya. Di sebalik senyumannya. Di sebalik tawanya. Di sebalik cebikan bibirnya…Marahnya..Rajuknya..dan juga di sebalik air matanya.’ Sepertinya ada suara yang membisikkan kata-kata itu ditelinganya.
‘Itu memang aku tak tahu. Apa yang aku tahu,  aku gembira disampingnya untuk tempoh yang sesingkat ini. Aku gembira disebalik senyumannya..Tawanya…Cebikan bibirnya..Marahnya..Rajuknya…tapi…aku..aku..tak gembira disebalik air matanya.’ Ilham menjawab kata bisikan itu.
‘Ilham …buatlah satu keputusan.’
‘Keputusan?? Keputusan akal ataupun hati?’
‘Kedua-duanya. Kau perlukan kedua-duanya.’
‘Keputusan akal mungkin akan merelakan..tetapi keputusan hati….’
‘Tanyalah sama perasaan hati kau.’
‘Hati..Aku tanya ni..Apa keputusan kau..Adakah kau rela atau tidak dengan keputusan akal.’
            ‘Aku..Aku tak rela..’
            ‘Kenapa?
            ‘Sebab..Sebab.. aku suka dia. Aku gembira dengan kehadirannya. Aku gembira jika dia gembira.’
            ‘Hanya sebab itu?’
            Aku tak pasti..Sepertinya ada satu benih perasaan yang aneh. Aku tak tahu apa perasaan itu. Kau tahu ke apa perasaan tu?’
            ‘Aku tak mampu menjawab soalanmu wahai hati. Aku takut andai salah meneka.’
 Ilham mengeluh perlahan. Dia masih tidak punya keputusan. Dia bertanya pada akalnya pula.
            ‘Lepaskanlah dia. Kembalikanlah haknya.’ Akalnya memberi jawapan.
            ‘Akal..Kenapa kau berkata begitu?’
            ‘Aku berkata begitu sebab itulah jalan yang terbaik. Aku tahu dia akan gembira dengan keputusan itu. Bukankah kau mahu dia gembira.’
            ‘Memang…Memang itu yang aku inginkan. Aku ingin dia gembira.’
            ‘Kalau begitu…noktahkanlah segalanya. Dia pasti gembira.’
            ‘Tapi..kata hati….’
            ‘Hati memang begitu. Dia merasa. Tak salah dia kata begitu. Tapi, buatlah keputusan denganku. Abaikanlah kata hati.’
            ‘Tak..Tak boleh.Aku tak boleh lupakan hati dalam hal ni. Dia harus ada dalam membuat keputusan ini.’
           ‘Kalau begitu pujuklah hati. Bicaralah dengan keikhlasan. Biarlah hati faham. Aku pasti, hati akan memahami. Dia sangat lembut walaupun adakalanya sensitif. Dia menyimpan sejuta perasaan. Apa yang aku tahu, dia juga sangat tulus dalam berbicara.’
            ‘Hati…Apakah keputusanmu…’
            ‘Aku…aku akan  merelakan. Aku gembira andai hati di sana juga gembira. Itulah keputusanku.’
            Ilham menarik nafas panjang. Menoktahkan segalanya. Ya. Itulah keputusan yang dipilih. Menoktahkan kisah Lavender.Dia tidak sanggup untuk melihat air mata gadis itu terus jatuh. Maisarah pasti gembira dengan keputusannya itu.Cincin itu kembali disematkan di dalam kotak.
*****
“AM, bila nak bawak Maisarah jumpa ayah dan ummi.” Ujar Sofea Jasmin tatkala mereka sekeluarga duduk bersantai menonton televisyen.
            “Kelmarinkan ummi dah jumpa.”
            “Itu kelmarin. Itu pun kebetulan je. Ummi pun tak sempat nak berborak panjang dengan dia. Lagipun, ayahkan belum jumpa dia lagi. Minggu depan bawaklah dia jumpa kami. Kita makan malam sama-sama.” Suara Sofea Jasmin menusuk pendengaran Ilham.
“A’ah, Am. Ayah tak jumpa pun lagi bakal menantu ayah tu.” Tambah Badrulhisham pula.
            Ilham terdiam. Bagaimana dengan keputusannya tadi. Permintaan ayah dan umminya, menjerat keputusan yang telah dibuat tadi.
            “Am tak boleh janjilah ummi. Kadang-kala Maisarah sibuk.” Ilham terpaksa memberi alasan.
            “Beritahulah dia awal. Beritahu dia tentang hajat ummi dengan ayah ni. Ingat, Am. Apa yang ummi cakap sebelum ni.” Sofea Jasmin seolah-olah mengugut anaknya.
            “Tapi, ummi. Kami kan dalam tempoh kenal mengenali. Perlu ke Am bawa dia jumpa ummi dan ayah. Takkan cepat sangat kut. Baru je nak kawan-kawan. Bukan dah bercinta pun.” Ilham masih mencipta alasan.
            “Kami lebih senang kalau kami juga mengenali siapa Maisarah. Walaupun Am kata sekarang ni dia tu kawan biasa je, kami tak kisah. Ummi tahu, Am serius dengan dia. So, tak salahlah kalau kami nak kenal siapa bakal menantu kami tu. Kami tak kisah siapa dia. Tapi yang kami inginkan ketulusan hati dia. Benarkah dia cintakan Am. Jika betul, bawaklah dia jumpa kami. Jika tidak, ummi tetap akan dengan keputusan ummi. Ummi nak jodohkan kamu dengan Maira.”
            Ilham meraup muka. Dia kebuntuan. Dia perlu membawa Maisarah bertemu ummi dan ayahnya. Ilham memejam mata, mencari solusi.
Dia tahu memang Maisarah tak cintakan dia. Tapi, jika dia tidak memperkenalkan Maisarah, maknanya dia nak di jodohkan dengan Maira. Lagilah dia tidak mahu. Sekurang-kurangnya, dengan Maisarah dia masih boleh mengawalnya. Maira?? Hmm…Susah nak kautim dengan dia. Keras kepala.
“Aku tetap akan teruskan dengan rancangan aku. Aku mesti paksa Maisarah jumpa ummi dan ayah. Aku tidak boleh menoktahkannya sekarang. Kalau tak….”          
‘Am…Keputusan kau tadi…’
“A..Aku…Aku terpaksa abaikan keputusan aku tadi. Aku..tak dapat menoktahkannya sekarang. Maisarah mesti berjumpa keluarga aku dulu sebelum aku noktahkan segalanya. Mungkin ada perkara yang lebih baik berlaku di sebalik pertemuan itu.
___________________________________________________________________________

“MAI..jangan lupa esok hari penting. Ummi dan ayah aku nak interview kau. Ganbatte” Kata-kata itu mungkin kedengaran ceria di bibir Ilham, namun ia seakan membawa duka di hati. Janji tetap janji. Jika selama ini Maisarah bertahan untuk menuntut kembali haknya dan esoklah penamatnya, mana mungkin dia mementingkan diri hanya kerana rintihan hatinya sendiri.  Jika esok Maisarah mengotakan janjinya, maka dia juga harus mengotakan janjinya. ‘Mai..mungkinkah esok membawa episod baru dalam cerita kita, cerita Lavender yang aku angan-angankan..atau ia akan bernoktah tanpa dakwat.’
“Aku nak semuanya berjalan lancar. Aku tak nak sebab kau, semuanya hancur. Ingat!” Suara Ilham sedikit keras. Ia sepertinya satu amaran kepada Maisarah. Panggilannya diputuskan. Maisarah yang mendengar disebalik talian hanya meneguk liur. Dia mengomel sendirian. Dia masih tidak dapat memahami Ilham sehingga ke akhirnya kerana sikap lelaki itu sering berubah-ubah. Adakalanya terlalu baik,suka bergurau dan adakalanya ‘mood’nya berubah sekelip mata. Keluhan nafasnya dilepaskan.
“Aku harap esok adalah penamat kepada semua in,” bisik hati Maisarah.
*****
MAISARAH sedang bersiap. Dia memilih blouse berwarna merah jambu dipadankan dengan skirt labuh bewarna hitam. Tudungnya pula berwarna putih krim. Padanan yang dirasakan sesuai. Dia hanya mengenakan make-up ringkas tidak berlebih-lebihan. Secalit gincu dan wangian One Drop Perfume juga tidak ketinggalan. Matanya sempat menjeling jam di dinding. Seketika itu telefon bimbitnya berbunyi.
“Aku dah sampai ni. Kau dah siap ke belum. Jangan lambat sangat tau.” Suara itu sedikit tegas. Ilham mematikan talian. Ilham tersandar di tempat duduk. Stereng keretanya diketuk-ketuk perlahan sementara menanti Maisarah. Bibirnya pula bernyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan lagu yang berkumandang di radio.
Maisarah mengurut dada. Panggilan telefon itu membuatkan jiwanya menjadi gundah. Dadanya berdebar kencang. Dia berkira-kira untuk pergi. ‘Aduhai, dah sampai pulak mamat ni. Aku rasa macam tak nak pergi je. Betul ke apa aku buat ni. Fuhh…Calm down Maisarah…Hai, jantung. Mengapa kau semakin kuat berdebar. Cuak aku jadinya.’ Maisarah sempat melihat dari cermin tingkap nako yang sedikit terbuka. Kereta Ilham telah sedia terpakir di situ.
‘Makin dup, dap,dup, daplah jantung aku ni.’ Maisarah mengurut dada. Keluhan di lepaskan. Akhirnya di gagahi juga langkahnya turun menuju ke parkir mendapatkan Ilham. Kebetulan hari ini tiada sesiapa di rumah, maka tiada mulut yang bertanya kepadanya ke manakah dia akan pergi pada malam ni.
‘Isy, mana pula budak Maisarah ni. Lambat betul. Bikin hati gua panas je.’ Ilham mengeluh di dalam hati. Dia menjeling jam di tangan. Sudah menghampiri jam 8.30 malam.  Tidak lama selepas itu, dia sudah melihat Maisarah menuju ke keretanya. Terpalit juga senyuman di bibirnya.
Ilham hanya membisu sebaik saja Maisarah masuk ke perut kereta. Jelingan tajammnya jatuh pada wajah Maisarah. Sengaja dia berbuat begitu agar Maisarah melihat keseriusannya kini. Dia bukan main-main.
“Kenapa lambat sangat.” Nada itu kedengarannya sedikit keras. Namun, Maisarah berpura-pura tidak mendengar.
‘Kau nak marah-marahlah. Aku peduli apa. Kalau kau tak suka, aku boleh blah je. Tak payah ikut plan mengarut kau ni. Menyusahkan aku je. Dengan senang hati aku boleh keluar dari kereta kau ni, kau tau.’ Maisarah berbisik di dalam hati. Terpatri juga rasa gembira di hatinya andai itu yang berlaku. Cuma…kalau dia berbuat begitu.. maknanya..cincin Lavender tidak akan kembali kepadanya. Itulah masalahnya.
Ilham sempat menjeling, melihat penampilan Maisarah.
“Apa jeling-jeling.” Pantas sahaja bibir Maisarah mengambur kata. Menjadi sedikit garang.
Ilham hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum di dalam hati.
Ilham terus memerhatikan Maisarah. Gadis itu hanya mengenakan make-up ringkas tidak berlebih-lebihan. Berbeza sedikit daripada selalu tanpa sebarang mekap. Dreesingnya juga berbeza. Lebih ayu daripada selalu. ‘Cantik juga rupanya Maisarah ni ye. Awek aku tu.’ Omel hati kecilnya. Hatinya berbunga riang untuk seketika. Kemudian, wajahnya kembali bertukar kelat. Itu hanyalah angan-angan yang berterbangan. Dia perlu sedar statementnya tadi itu salah.
 Dalam perjalanan, mereka terus membisu seperti orang asing. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sesekali Maisarah mengelus lembut pipi dan dahinya yang terasa berpeluh. Walaupun di dalam kereta itu terpasang aircond, namun keadaan di dalamnya terasa panas. Tetap membahang. Ditambah pula dengan degupan jantungnya yang tidak normal. Dia memang rasa tidak selesa. Ada cabaran besar yang harus ditempuh sebentar lagi.
Ilham menekan-nekan hon apabila kereta di hadapannya terlalu perlahan dan tersenguk-senguk. Entah mengapa, cepat saja darahnya mendidih.
“Jalanlah cepat sikit. Pastu tak beri singnal pulak. Hangin betul aku!”Marah Ilham. Terdengar juga keluhan kasar nafasnya.
           Maisarah yang sejak tadi membisu, tiba-tiba bersuara. “Sabarlah sikit. Tak lari gunung di kejar. Jadi orang biarlah bersabar. Rasanya kau pernah beritahu aku sebelum ni, kan. Aku tahulahkau ni jenis yang moody. Tapi, janganlah marah orang sesuka hati. Yang peliknya, selalu kau okey je. Kenapa tetiba hari ni nak marah-marah pulak.” Lancar saja mulut Maisarah memuntahkan kata. Lagaknya seperti seorang penasihat. Kedengaran Ilham mendengus perlahan. Namun hatinya tersenyum kerana Maisarah memberi respons.
“Yelah, tuan puteri. Hamba menjunjung perintah.” Ilham menjawab sekadarnya. Tetapi wajah itu masih tetap tidak ceria.
‘Apa keslah mamat ni. Aku dahlah makin nervous, dia pulak buat lawak bodoh. Tapi, kenapa aku tengok dia ni semacam je. Hangin tak tentu pasal. Muka tak happy je. Selalu bukan main lagi. Hmm..Lantak kaulah. Janji hal ni settle.’ Maisarah sempat menjeling ke arah Ilham sebelum memalingkan wajahnya memandang suasana di luar tingkap.
Di dalam suara yang tidak keluar, dia melayan lagu kegemarannya. ‘Kaho Na… Pyar Hai.’ Hanya patah kata itu yang diulang-ulang. Kaho Na… Pyar Hai…..Kaho Na… Pyar Hai. Ia sekadar menghibur hati sendiri.
Ilham menjeling. Dia dapat juga mendengar alaunan irama itu. Hatinya tersenyum. Namun, riak wajahnya tetap seperti biasa.
Maisarah terpersan akan lirikan mata Ilham. Dia terpaksa berbuat tidak tahu. Nyanyian di hati di matikan. ‘Sibuk jelah dia ni. Aku ni saje je nyanyi sebab nak hilangkan rasa cuak aku ni. Dia pula sibuk nak jelling-jeling.’
Ilham menguatkan sedikit volume radio. Hmm…Rasa nak tersedak sendiri. Kebetulan je lagu Kaho Na.. Pyar Hai..mengisi ruang. Radio ni macam saje je nak peril aku. Aku tahulah aku nyanyi tak sedap.
Kereta Myvi itu terus di pandu laju. Tidak lama selepas itu, ia membelok ke tempat parkir berhampiran sebuah restoran.
‘Alamak, dah sampai ke?’ Maisarah menyoal diri sendiri.
Dada Maisarah semakin berdebar kencang. Kakinya terasa menggigil pula saat ini. Dia hanya mampu meneguk liur sendiri. Hanya berdoa di dalam hati. ‘Tenang…Tenang…’
Ilham keluar dari perut kereta. Telefon bimbitnya yang berbunyi pantas di jawab. Panggilan daripada umminya.
Maisarah juga turun dari perut kereta dengan seribu macam perasaan. Dia membetulkan dreesingnya. Tudung yang herot di betulkan dan peluh yang terasa di lap lembut dengan sehelai tisu. Sekali lagi nafasnya di tarik dalam, mencari kekuatan. Setelah puas hati, dia berjalan mendapatkan Ilham.
 Ilham memandangnya dari atas ke bawah. Kemudian tersenyum menyerlahkan wajahnya. Wajahnya yang tadi kelat, kini bertukar ceria.
“Cantik kau hari ni. Macam tuan puteri.” Puji Ilham ikhlas. Sebenarnya sejak tadi dia memang telah mengakui kecantikan gadis itu, cuma tidak berbicara terus.
Maisarah hanya tersenyum kelat. ‘Ntah ikhlas ke tak mamat ni. Ni nak kelentong aku lah ni.’ Hatinya berbicara.
“Aku ikhlaslah puji kau. Kau cantik hari ni. Tak sama macam selalu. Nice.” Jawab Ilham seperti mendengar suara hati Maisarah. Maisarah hanya mengetap bibir. Mukanya merona merah. Malu. Tersenyum juga dia akhirnya walaupun tawar.
“Jom kita masuk,” ujar Ilham sambil mengunjukkan tangannya kepada Maisarah. Sepertinya seorang putera yang ingin membawa seorang puteri di dalam pimpinan tanganya.
“Tu apa tu?” Maisarah bertanya soalan bodoh. Dia mengunjuk kepada tangan Ilham.
“Hmmm..Tanganlah. Aku bukan nak pimpin kaulah. Aku persilakan kau  masuk.” Selamba Ilham menjawab. Merah juga muka Maisarah. Bengang lagi.
“Jomlah kita masuk.” Ujar Ilham lembut. Terasa damai hati yang mendengar. Mereka berjalan beriringan. Sebelum tiba ke meja yang di tuju, Ilham sempat membisikkan sesuatu ke telinga Maisarah.
 “Rileks. Jangan nervous. Buat macam biasa je. Parents aku okey. Lagipun kau dah jumpa ummi aku, kan? Yang penting, senyum. Okey.” Ilham memberi kata-kata akhir. Moral support.
‘Cehh, cakap senanglah. Aku ni yang kena berlakon tau. Kerja gila. Dengan mak bapak kau pula tu.Haishhh..’ Maisarah mengomel lagi. Hatinya kian tidak tenteram. Maisarah menarik nafas dalam-dalam. Membiarkan perasaannya menjadi sedikit lega.
“Hmm..Kau cakap ajelah apa yang kau nak cakap. Aku tak kisah. Tapi tolong rahsiakan pasal hubungan rahsia kita ni. Aku minta tolong dengan kau ni.” Ilham seakan memberi satu arahan. Maisarah tidak menjawab.
Mereka berdua kemudian jalan beriringan menuju ke meja yang telah di tempah. Puan Sofea Jasmin, Encik Badrulhisham dan Farisya telah sedia menanti mereka. Dari jauh juga Maisarah sudah terlihat senyuman mereka.
Ilham memperkenalkan Maisarah kepada kedua ibu bapanya, Puan Sofea Jasmin dan Badrulhisam serta Farisya adik kesayangan.
“Ummi, Ayah…Err..nilah Mai..sarah.” Bicara Ilham sedikit teragak-agak. Gementar juga rasa hatinya. Untuk pertama kali dalam hidupnya dia membawa seorang perempuan bertemu ibu bapanya. Tetapi yang tak bestnya, ia hanya satu pendustaan. Kalau ikutkan hatinya, ingin sekali ia adalah satu realiti yang berlaku dengan keikhlasan dua hati. Tapi sayangnya, bukan itu yang terjadi kini. Hmm..Agaknya kalau itu yang terjadi, rasanya tahun depan dia dah boleh dukung anak sendiri. Haishh…Mimpi hanya mimpi Am.Jangan nak berangan lebih.
Ilham memandang Maisarah seraya menguntum senyum. Sempat juga dikenyitkan mata agar Maisarah memainkan peranan seterusnya. Take over the theater..
Maisarah memang pernah berjumpa dengan puan Sofea Jasmin sebelum ini, namun dalam suasana tidak formal. Kini, ia lebih mendebarkan hatinya. Macam jumpa bakal mak dan bapa mertua. Itulah yang dia rasa untuk pertama kali dalam hidupnya. Perghh..memang nervous.
Maisarah menyapa dan mencium lembut tangan wanita yang lebih mesra dengan panggilan ummi itu. Dengan ayahnya Ilham pula, dia menyapa dan menunduk sedikit sebagai tanda hormat, menggambarkan adab sopannya di hadapan orang tua.  Cuma dia agak gementar melihat wajah ayah Ilham yang agak serius. Macam garang je pada pandangan matanya. Isya pula di tegur ramah dan pipi si adik Ilham itu dicium lembut membuatkan kanak –kanak itu tersenyum gembira.
“Ooo… Jadi, inilah tuan puteri yang membuatkan Am mengigau selalu tu,” usik Badrulhisham. Ilham sudah menjeling ayah dan umminya.
Maisarah hanya tertunduk. Terasa segan apabila di puji begitu. Merona merah mukanya. Dadanya berdebar kencang entah untuk kali yang ke berapa. Dia memang tidak sempat untuk menghitungnya. ‘Hmm..Tuan Puteri…Hehe..rasa nak ketawa pulak. Tapi, takkanlah dia selalu mengigaukan aku..Gila apa…Aku tak pernah pun jumpa dia kat dalam mimpi…’ Maisarah menarik nafas dalam dan melepaskannya.
Maisarah memandang kepada kedua-dua wajah di hadapannya kini. Keikhlasan wajah kedua orang tua Ilham itu membuatkan Maisarah di rundung rasa bersalah kerana perlu ber’drama’ dengan dua orang insan di hadapannya kini.
“Pandai Am cari. Ingatkan anak ayah ni takde buah hati sampai ke tua.”Ujar Encik Badrulhisham sambil menepuk lembut bahu anaknya itu. Sengaja mengusik. Ilham hanya tersenyum. Memang berbunga hatinya saat ini. Namun, dia tahu ia hanyalah sebuah mimpi yang tidak menjadi kenyataan. Dia hanya pinjam Maisarah untuk seketika.
Ilham terus menjadi pemerhati. Dia melihat kemesraan Maisarah dan keluarganya. Tiada yang janggal. Maisarah memang pandai melayan mereka. Kalaulah Maisarah benar-benar menjadi sebahagian daripada hidupnya, dia pasti bahagia. Setianya pasti hanya akan pada pada gadis itu. Hatinya juga diburu rasa bersalah.
“Mai ada berapa adik-beradik?” soal Sofea Jasmin ingin mengetahui lebih lanjut tentang perihal anak gadis itu.
“Tiga orang je, ummi. Semua perempuan. Tapi yang sulung dah takde.”
“Oh. Uncle pun ada anak tiga orang je. Yang sulung takde kat sini. Yang tinggal kat sini, nilah dua orang budak bertuah ni. Si Am nilah. Bila entah nak kahwin. Kalau tak agaknya sekarang ni uncle dah timang cucu dah agaknya.” Tersenyum wajah lelaki separuh abad itu mengenangkan anak terunanya.
“Alah, ayah ni. Belum ada jodohlah. Takde yang sudi.” Ilham membalas kata ayahnya.
“Bukan takdeyang sudi. Kamu tu yang taknak cari. Tapi tak sangka pula dalam diam-diam dah ada juga. Hmm..Baguslah. Biar serius. Jangan main-main.” Kata-kata itu seakan menebak jantung Maisarah. Dia tahu maksud kata-kata Encik Badrulhisham merujuk kepada dirinya dengan Ilham. Maisarah menjeling Ilham yang duduk bertentangan dengannya.
“Kalau ada jodoh, adalah. Doakanlah yang terbaik untuk kami.” Ilham menguntum tersenyum, berbicara dengan lagak tenang.  Memang pandai dia menyusun kata. Itulah jawapan yang dirasakan terbaik. Namun begitu hatinya juga sudah tidak keruan. Dari bicara ayahanya dia tahu ayahnya mengharapkan Maisarah menjadi menantu mereka. Begitu juga ummi. Kini dia terperangkap sendiri. Sanggupkah dia melukakan hati keluarganya sendiri, sedangkan hati Maisarah juga perlu dijaga. Janjinya dengan Maisarah juga harus di kotakan.
Maisarah juga semakin tidak keruan.Rasa bersalah menebal dalam hatinya, namun dia masih cuba bersikap tenang. Bibirnya sentiasa mengukir senyum.
Banyak juga celotehnya bercerita. Apabila dia memberitahu bahawa dia adalah anak FELDA, Encik Badrulhisam rancak sahaja bercerita perihal ladang. Bertanya perihal kelapa sawit. Almaklumlah, pasaran kelapa sawit menjadi antara topik yang popular untuk diperkatakan. Dia menjawab sekadar apa yang dia tahu. Sempat juga dia bercerita tentang pengalamannya membantu abahnya di ladang sawit. Rupanya, ayah Ilham seorang yang peramah. Persepsi awalnya tadi, nyata tersilap.
Puan Sofea Jasmin kemudian sibuk bercerita tentang butiknya. Maisarah hanya menjadi pendengar setia. Hanya sesekali berbicara. Dia akui, Puan Sofea Jasmin memang peramah orangnya.
“Kalau senang nanti,Mai ajaklah Am pergi butik ummi ye. Tengok-tengoklah. Mana tahu ada yang  berkenan,”ujar Sofea Jasmin.
“Alah, ummi ni. Sibuk pula nak promote butik dia,”balas Ilham.
“Iyalah. Ummi mesti promote kat bakal menantu ummi dulu.”
“Mai ni ummi, baju dia semua dia nak jahit sendiri.  Dia ni pandai menjahitlah ummi.” Ilham mempromote ‘kepandaian’ Maisarah.
‘Ewah-ewah mamat ni. Lebih-lebih pulak dia. Kau ingat aku ni reti ke bab jahit-menjahit ni. Setakat sembat tu bolehlah. Baju aku ni pun mak aku yang buatkan, tau. Dia pula yang memandai.’ Maisarah mengomel di dalam hati. Zahirnya, bibirnya tetap menguntum senyum.
“Betul ke Mai?” soal Sofea Jasmin sepertinya percaya dengan kata-kata anak terunanya itu.
“Takdelah, ummi. Am ni memandai je. Selalu baju Mai mak yang buatkan. Mak memang ambil tempahan menjahit. Mai ni reti sikit-sikit je. Tolong sembat je bolehlah.” Maisarah jujur berterus terang. Ilham hanya tersenyum.
“Okeylah, ummi. Nanti Am ajak Mai pergi sana.” Dia sempat menjeling Maisarah. Maisarah tetap membalas senyuman. Terpaksa cover kerana situasi kini dia berada di hadapan kedua orang tua Ilham. Jika tidak, sudah lama jelingan mautnya hinggap ke wajah Ilham.
Maisarah mula mengalihkan perhatian kepada Farisya. Dia seperti perasan, anak kecil itu juga ingin perhatian darinya. Sejak tadi dia merengek manja dengan umminya.
“Isya nak apa. Isya nak suruh kakak suapkan ea. Meh sini.” Farisya tersenyum kerana mendapatperhatian dari Maisarah. Wajah comel itu menggeleng.
“Taklah, kakak. Sebenarnya…abang tu yang nak suruh kakak suapkan. Cuma abang malu nak cakap.” Kali ini, Farisya pula ‘menembak’ abangnya. Dia perasan, abangnya itu tidak terkelip mata memandang wajah Maisarah sewaktu wanita itu leka berbual dengan ummi dan ayahnya. Pulak tu senyum je.
Ilham yang pada waktu itu sedang mengunyah makanan sudah tersedak. SeIamat tidak tersembur. Segera diteguk air di hadapannya, mencari kelegaan. Ia mengundang ketawa mereka sekeluarga termasuk Maisarah.Ilham membuat muka. Wajah Maisarah pula merona merah. Terasa malu. Namun, hatinya tertawa juga melihat telatah Ilham. Kelihatan comel bila dia membuat mimik muka begitu.
Farisya sempat menjelir lidah, mengejek Ilham.
“Ummi tengok adik ni. Main ejek-ejek pula. Padan muka kau Isya. Nanti lidah kau tu tak boleh masuk, terjelir je macam tu. Padan muka kau jadi badut.”Ilham sengaja menakut-nakutkan adiknya.
“Betul ke, ummi?” soal Farisya ingin tahu.
“Ha’ah. Sebab tu, tak baik ejek-ejek orang macam tu. Lagipun tak cantik, kan. Lain kali jangan ejek-ejek orang, jelir lidah macam tu.” Puan Sofea Jasmin membalas lembut memberi nasihat kepada anak gadisnya itu. Ilham tersenyum puas hati. Ia turut mengundang senyuman dibibir Maisarah.
Pertemuan itu kini hampir ke penghujung. Mereka bangun meninggalkan ruang restoran.
“Okey Mai, kami balik dulu. Kalau ada masa ajaklah Am pergi butik ummi ye.” Satu kucupan lembut singgah di pipi Maisarah. Maisarah terasa segan. Begitu baik Puan Sofea Jasmin terhadapnya. Keramahan dan keterbukaan pemikiran ummi dan ayah Ilham, membuatkan Maisarah terasa senang berbual dengan mereka. Dia tidak merasa kekok kecuali di awal pertemuan tadi. Farisya juga ceria dengan keletahnya. Maisarah semakin dijentik rasa bersalah. Bersalah yang teramat sangat.
Pertemuan keluarga itu telah berakhir. Kini, hanya tinggal Maisarah dan Ilham.
“Mai, aku tengok kau macam dah biasa je dengan parents aku. Macam dah satu keluarga dah,”ujar Ilham dalam nada tawa, seakan berlawak. Wajah Maisarah dipandang. Gadis itu hanya berdiam diri, tidak memberi respons. Dia berpura-pura tidak mendengar butir bicara Ilham.
Ilham memandang wajah Maisarah tenang. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran gadis itu.
“Sebenarnya, aku nak ucapkan terima kasih bebanyak pada kau. Kau pandai layan keluarga aku. Aku suka tengok dia orang gembira. Aku pun suka tengok kau hari ini. Tapi sayang, kita ni hanya berlakon je, kan. Kalau betul-betulkan best. Tak payah aku nak cari orang lain. Parents dan adik aku pun suka kau. Bukan tu je, aku ni pun lama-lama dah mula sayang kat kau.” Ilham masih cuba tersenyum. Namun, nada suaranya kendur bercampur kekesalan.
Maisarah terasa seram apabila mendengar kata-kata yang termuntah dari mulut lelaki itu. Lelaki itu mengakui mula menyayanginya. ‘Ngerinya aku dengar.Tak mungkin…Tak mungkin. Hmm..Aku tahu. Lelaki ni mulut je manis. Lain di mulut, lain pula di hati.’
“Kau jangan nak mengarut yang bukan-bukan boleh tak. Aku tak suka.” Maisarah menekan suara. “Hal ni dah setlle, so aku nak kau pulangkan balik barang aku tu. Please.Aku taknak ada kena mengena dengan kau lagi. Itu janji kau dengan aku, kan.” Suara Maisarah seakan mendesak. Dia tidak sanggup untuk terus berada di dalam situasi itu. Perasaannya juga berbelah bahagi. Keadaannya kini tersepit dalam perangkap Ilham. Kini,rasa bersalah semakin menguasai dirinya. Kenapa dulu dia sanggup mengikut rencana Ilham? Mengapa? Ya Allah, ampunkanlah hambaMu ini. HambaMu ini bersalah, Ya Allah.’
“Belum tamat lagi cik puteri oii. Ummi dah offer gi butik dia tu. Takkan kau tak nak pergi pulak. Tak logiklah tetiba kita putus. Kata kisah drama. Mesti ada plotnya..permulaan..pastu klimaks dan peleraian.” Ilham masih bermain kata dalam selorohnya. Seolah-olah dia tidak merasa bersalah dengan apa yang telah di lakukan. Namun hakikatnya, hanya di hatinya yang merasa.
 Maisarah menjeling tajam. Padanya itu bukan lawak, sebaliknya suatu yang bakal mengundang masalah. Dia tahu jika dia terus bersama Ilham, dirinya akan terus tersepit dengan keadaan yang memaksa.
Pleaselah, Ilham. Aku tak nak terlibat lagi dalam rancangan kau ni. Tolonglah faham. Aku cuma nak barang aku semula. Itu je.” Maisarah memohon pengertian lelaki itu.
“Aku ingat janji aku tu. Aku tak lupa. Lagipun sekarang ni bukan aku bawa pun barang kau tu. Ada kat rumah. Ke…kau nak pergi rumah aku ambil sekarang. Aku tak kisah.” Ilham ketawa sendiri. Sengaja berlawak di waktu-waktu genting begini.Namun dia tahu Maisarah tidak akan ketawa dengan lawak bodohnya itu. Sebenarnya, hatinya juga telah dilanda perasaan sebak, namun ditahan. Terpaksa dicover di sebalik senyumannya dan kata selorohnya. Sebenarnya, cincin itu ada bersamanya kini. Dia terpaksa membatalkan keputusannya. Memungkiri janjinya dengan Maisarah.
“Kau jangan nak buat lawak pula. Aku nak kau pulangkan barang aku secepat mungkin. Aku dah tak nak ada kena mengena dengan kau lagi. Tolonglah faham.” Suara Maisarah sedikit tegang. Rasanya kini dia tidak perlu lagi berlembut dengan Ilham. Dia mesti menuntut haknya. Entah mengapa baru kini dia berani memperkatakannya.
“Minggu depan je lah ye. Kita pergi butik ummi, nanti aku bawa sekali, okey ke?”Ilham masih lagi cuba bermain kata.Sebenarnya, dia masih mencuba mencari peluang untuk bersama Maisarah. Dia sebenarnya tidak mahu berpisah dengan Maisarah.
“Tak. Aku nak esok juga! Kau jangan nak main-mainkan aku boleh tak. Kau dah janji, kan.” Kini bicara Maisarah serius.Tegas. Dia tidak suka dengan dolak-dalih Ilham.
“Okey..okey. Aku janji esok aku pulangkan. Tapi, minggu depan kita pergi butik ummi tau. Please..” Pinta Ilham.
“Aku tak nak. Itu masalah kau…” Pantas saja Maisarah menjawab. Dia menjadi lebih berani sekarang.Rasanya tidak perlu dia bertolak ansur dengan Ilham. Mata Maisarah sudah berkaca. Dia jadi sebak sendiri. Entah mengapa dia jadi begitu.
“…aku harap esok hari terakhir kita jumpa.  Aku..aku taknak kau ganggu hidup aku lagi. Aku harap kau dapat jelaskan hal sebenar pada parents kau. Aku tak nak mereka salah faham.”Maisarah meluahkan rasa. Hatinya sudah menangis. Air matanya juga sudah mahu tumpah. Sebenarnya hati dan bicara katanya seakan tidak sehaluan.
“Tapi, Mai…”
“Takde tapi-tapi lagi Am. Kau sendiri dah janji akan lepaskan aku bila aku setuju jumpa parents kau. So, sekarang dah settle, kan.”
“Tapi.. hal ni belum settle sepenuhnya, Mai. Takkan kita nak cakap kita dah ‘clash’. Sekurang-kurangnya berilah masa, Mai.Aku taknak kecewakan diaorang Mai.”Suara itu kendur dan kecewa.
“Kecewa? Kecewakan dia orang. Kalau macam tu, kenapa kau tak fikir awal-awal dulu. Kenapa kau sanggup tipu mereka, yang aku ni kekasih kau. Kenapa kau paksa aku masuk dalam rancangan kau. Kenapa? Kenapa Am? Kalau kau sayangkan mereka, kau mesti boleh fikir hal ni masa awal-awal dulu? Kenapa sekarang kau nak teruskan penipuan ni? Aku tak sanggup perbodohkan mereka, perbodohkan diri aku sendiri. Aku sedar, aku pun salah dalam hal ni. Aku terlalu lemah sampai terpedaya dengan ugutan kau. Itu memang silap aku…” Maisarah menahan sebak yang semakin mencucuk tangkai hatinya. Air matanya terasa ingin tumpah. Sudah tidak tertanggung rasanya. Segera diseka daripada terus jatuh berguguran ke pipi.
“Aku kasihankan mereka, Am. Mereka memang baik. Aku tak sampai hati. Aku tak nak mereka kecewa. Biarlah mereka tahu sekarang. Kalau dah lama nanti, lagilah mereka kecewa. Kalau kau tak nak beritahu hal sebenar, tak mengapa. Biar aku sendiri jelaskan padamereka. Biarlah apa mereka nak kata. Yang penting hal ni selesai. Aku pun tenang. Aku taknak hidup aku diselubungi serba salah, Am. Aku tertekan.Tolonglah, Am. Tolong faham. Aku tak tahu nak cakap apa lagi …Aku cuma harap kau faham.” Suara Maisarah yang tegang semakin sayu.
Ilham yang mendengar juga sudah terasa sebaknya. Memang masalah berpunca daripadanya.
“Okey..Okey. Aku faham tu. Aku akan jelaskan hal sebenar pada mereka, tapi bukan sekarang. Aku kena ambil masa sikit. Aku taknak mereka terkejut.” Ilham menghela nafas. Dia juga sudah buntu.
“…Ntahlah, Mai. Aku pun tak tahulah. Aku ni pentingkan diri je. Tak pernah fikir apa perasaan kau sebenarnya. Aku paksa kau ikut cakap aku. Menipu keluarga aku sendiri. Aku memang jahat. Aku minta maaf.” Bicara itu terlalu sayu dipendengaran. Ia adalah bicara penyesalan.
Air mata Maisarah tumpah lagi.  Segera diseka tanpa terlihat Ilham kerana dia hanya memandang ke luar tingkap sejak tadi. Dia tidak tahu mengapa hatinya sebak mendengar kata-kata itu.
Ilham menahan perasaan hatinya. Dia tahu Maisarah sudah menangis walaupun dia tidak melihat. Suara gadis itu telah membuktikan segalanya. Suara dalam tangis yang tertahan-tahan.
Sebenarnya dia juga terasa amat bersalah kerana membuatkan gadis itu terlibat dalam rancangannya, namun dia terpaksa. Dia sedar, dia tersilap percaturan. Percaturan yang urut sama menjerat perasaannya. Andai waktu boleh di undur kembali, pasti dia tidak membuat keputusan sebodoh itu. Tapi..itu tak mungkin berlaku. Hanya takdir yang menentukan segalanya. Waktu yang telah berlalu, takkan berulangan kembali.
“Dahlah. Aku dah taknak dengar apa-apa lagi. Aku nak barang aku tu esok.” Maisarah tetap dengan keputusannya. Dia mencuba mengeraskan hatinya sendiri disebalik kesedihan hati yang menghimpit.
Ilham hanya mampu terdiam tanpa suara.
Mereka hanya melayan perasaan sendiri. Hanya lagu di radio yang bernyanyi menemani perjalanan mereka hingga ke rumah sewa Maisarah.
“Okey, Mai. Esok aku janji akan pulangkan barang kau tu. Tapi aku tak boleh janji, sama ada esok pertemuan terakhir atau tak.” Lemah bicara Ilham seakan meminta dimengerti. Hanya itu yang mampu dibicarakan saat ini.
Maisarah hanya membisu dan terus berlalu pergi tanpa berkalih padang kepada Ilham. lham hanya memandang sepi langkah itu pergi sehingga hilang dari pandangan. Sedih. Ya, hatinya sedih.
*****
“BAIK budak Maisarah tu ye. Sopan…Peramah...Pandai Am pilih. Ummi dengan ayah suka kalau dia jadi menantu kami.” Sofea Jasmin tersenyum gembira. Ilham pula hanya mampu tersenyum kelat. Kalau diikutkan hatinya, memang itu yang dia mahu. Dia mahu Maisarah menjadi menantu ummi dan ayahnya. Tapi….
“Alah, ummi. Kita orang kawan biasa je lah. Kitaorang belumlah sampai tahap bercinta. Silap-silap hari bulan ‘clash’ juga.Bukannya tahu ummi. Ummi janganlah harapkan apa-apa.” Suara itu hanya acuh tidak acuh. Sebenarnya ia merupakan keluhan kekecewaan.Dia tahu dia dan Maisarah memang akan ‘berpisah’ secara rasmi dan mungkin esok adalah harinya. Tetapi dia sangat mengharap agar ia tidak terjadi.Dia di dalam dilema.
“Ish..budak ni. Ke situ pulak dia. Sekarang ni memang kawan, lepas tu…manalah tau kan…Kalau cepat lagi bagus. Am bincanglah dengan Mai. Bila-bila masa pun ummi dengan ayah boleh pinangkan dia untuk Am.” Ceria benar wajah Sofea Jasmin tika ini. Memang beruntung kalau dia dapat bermenantukan Maisarah. Dia memang tiada halangan.
“Entahlah ummi….”Ilham menjawab lemah.
”Am tu seriuslah sikit.Mai tu baik. Rugi kalau lepaskan dia. Ummi perhatikan Mai tu, ada keserasian dengana Am. Nampak sepadan je.”
 Ilham hanya berdiam diri.Dia mengeluh panjang. Memang rasa bersalah menebal dalam dirinya. Namun dia belum bersedia menceritakan hal sebenar. Dia tahu umminya mengharap. Jika umminya tahu akan hal itu, sudah pastinya air mata umminya itu akan berguguran.
“Kalau tuan puteri kayangan dah turun ke bumi, takde lagi la ‘Prince of Charming’ mengigau sebut nama tuan puteri.” Sofea Jasmin sengaja mengusik anaknya itu. Ilham pula hanya tersenyum kelat. ‘Yelah. Prince of Charming yang hanya bermimpi disiang hari.’
Ilham memandang kelibat umminya yang semakin menghilang di sebalik langsir. “Ummi, maafkan Am.” Hanya itu yang mampu dibicarakan dengan hati.
*****
ILHAM menghenyakkan tubuh  ke katil. Wajah Maisarah yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya ditatap lama. Itulah satu-satunya gambar Maisarah yang dia ada. Gambar yang ditangkap sewaktu Maisarah terleka termenung dan tersenyum. Hari di mana air mata Maisarah jatuh kerana kepedasan tergigit cili. Bila dikenang apa yang berlaku waktu itu, memang hatinya akan tersenyum sendiri.
‘Kenapa kita bersua untuk seketika.. Benci sangatkah kau dengan aku? Jahat sangatkah aku? Tiada ke sedikit ruang di hati kau untuk aku. Kau buat aku gembira. Kau buat aku ketawa. Kau seperti seorang puteri di mata aku Maisarah.’ Ilham melayan perasaan hatinya. Nyatalah hatinya sudah ada benih cinta pada Maisarah. Itulah perasaan hatinya yang sebenar.
‘Memang aku yang bersalah. Aku yang membuatkan engkau benci pada aku. Aku berharap sangat agar engkau maafkan aku, Mai. Andai dulu kita bersua tanpa sengketa, mungkinkah kini kita bahagia. Tapi, jika dulu kita tidak bersengketa, mungkinkah sekarang ini kita mengenal antara satu sama lain. Mungkin itu aturan takdir untuk menemukan kita. Cuma…cuma aku yang tersilap pecaturan. Aku akuinya, Maisarah. Memang aku yang bersalah.’
‘Aku ingin kau ada dekat dengan aku. Itu yang aku inginkan. Tapi..janji aku dengan kau…Aku tersepit Maisarah. Kenapa diwaktu sesingkat ini, hati aku mula menaruh perasaan kepada kau. Hati aku mula terasa sakit. Hati aku mula menangis. Mengapa Maisarah? Mengapa? Mengapa perasaan ini perlu ada pada aku? Kenapa aku rasa sangat sakit untuk membenarkan kau pergi. Mengapa?’
‘Ilham…Noktahkanlah sekarang. Jangan seksa hati dan perasaan itu. Ia hanyalah benih kecil yang mahu bercambah. Janganlah biar ia tumbuh. Janganlah sirami ia dengan air kasih dan sayang. Janganlah baja ia dengan cinta. Biarlah ia mati. Mati sebelum ia berakar. Jika ia telah berakar, maka ia akan mencengkam. Ia akan menjadi bertambah kuat. Jika pada waktu itu kau ingin membuangnya, pasti ia akan membuatkan kau semakin sakit dan terluka. Ia memang pedih. Sangat pedih. Noktahkanlah ia sekarang. Itu yang terbaik.’
Ilham mengambil cincin Lavender yang tersisip kemas di dalam kotaknya. Dia merenung pada cincin itu. Di telitinya bersungguh-sungguh cuba mencari rahsia di sebalik cincin Lavender itu. Selama ini dia tidak pernah kisah. Padanya ia hanya sebuah tulisan yang terukir indah. Apakah Lavender itu mempunyai maksudnya yang tersendiri. Puas ditenung dan difikir, tetapi hampa. Tiada jawapan untuk persoalannya itu. Mungkin hanya Maisarah yang mengetahui rahsia itu. Oleh sebab itu, cincin itu seakan menjadi nyawanya. Ilham meletakkan kembali cincin itu ke tempatnya.
‘Mungkin ini kebahagian kau, Maisarah. Kebahagian yang aku rampas dan permainkan. Mungkinkah cincin ini pemberian dari seseorang yang kau cintai dan aku adalah pembunuh cinta kau dalam diam. Maafkan aku, Maisarah. Maafkan aku.’
‘Terima kasih sebab selama perkenalan kita, kau buat aku gembira. Mungkin perkenalan  kita hanya untuk seketika. Adakah hari esok menjadi hari terakhir antara kau dan aku? Aku harap tidak. Tapi.. mungkin bagi kau. Aku cuma berharap, hari esok menjadi hari yang gembira untuk kau Maisarah. Aku janji.’
Ilham hanya merenung pada cincin yang sedia tersemat di dalam kotak itu, kemudian menutupnya. Cerita Lavender aku sudah hampir ke noktahnya. Ilham hanya tersenyum kelat.
‘Noktahkanlah ia. Aku membenarkannya walau tanpa benar-benar rela. Aku sedar siapa aku. Kau tak perlu sirami aku dengan kasih dan sayang. Juga dengan baja cinta. Tetapi cukuplah dengan memberikanku sedikit sinar cahaya untuk seketika sebelum aku mati. Aku lebih rela begitu.Tapi…untuk sesingkat waktu yang ada, aku ingin gembira bersamanya. Untuk aku kenang dalam hayatku.’
“Ya Allah. Dikala ini aku mohon keampunan kepadaMu, Ya Allah. HambaMu ni hamba yang lemah. Hamba yang sering melakukan kesilapan dan sering terleka. Ya Allah sesungguhnya engkau Maha Mengetahui segala-galanya. Ampunlah diri ini Ya Allah.” Ilham berdoa di tikar sembahyang. Dia tahu hanya itu cinta yang lebih agung. Cinta kepada Penciptanya.
*****
MAISARAH masih termenung sendirian di biliknya. Fikirannya buntu. Air matanya terus jatuh tanpa di seka. Dia tidak tahu mengapa dia begitu sedih. Adakah dia bersedih kerana kerana hatinya juga sudah mula suka pada Ilham. Tak.. Itu tak mungkin terjadi. Dia menafikan sekeras-kerasnya apa yang terdetik di hatinya.
 Di kala ini dia harus memikirkan perasaan ibu bapa Ilham. Hatinya merasa begitu sedih dan syahdu. Menipu mereka..hmmm..ia memang satu dosa yang berat. Bagaimana dia ingin menjelaskan kepada mereka akan hakikat yang sebenar bahawa dia dan Ilham hanya berlakon semata-mata.Adakah dia berani untuk berhadapan dengan kedua-dua mereka. Memang dia takut. Tapi..dia harus lakukan juga. Tetapi, bagaimana?
‘Ilham…Mengapa kau bertindak sejauh ini. Mengapa aku yang kau jadikan mangsa. Aku buntu Ilham. Adakah aku harus menerima kau agar apa yang berlaku antara kita bukan satu penipuan. Bukan satu dusta. Adakah aku harus terima kau semata-mata untuk membuktikan apa yang kita bicarakan pada keluarga kau bukan suatu lakonan palsu. Haruskah aku menerima kau untuk menjadikan ia sebuah realiti. Hmm..tidak. Itu tidak mungkin. Lagipula, aku tidak tahu apa yang tersimpan dalam hati kau.’
‘Hati aku masih setia untuk seseorang. Seseorang yang terlalu jauh di mata aku, tetapi ia terlalu dekat di hati aku. Aku tidak akan mengorbankan perasaan aku hanya kerana perkara sebodoh ini. Aku masih punya maruah. Cuma, aku ini terlalu lemah kerana tunduk kepada ugutan kau. Aku ingin cincin Lavenderku kembali. Aku ingin duniaku kembali.’
Lamunan Maisarah terhenti apabila telefon bimbitnya memberi isyarat ada mesej yang masuk.
+Aku akan pulangkan cincin kau esok. Maybe juga pertemuan terakhir.
Lega hati Maisarah apabila membaca bait mesej tersebut. Dia akan mendapat barangnya kembali setelah ia berada dalam simpanan Ilham hampir sebulan. Ia juga adalah pertemuan terakhir. Baguslah. Memang itulah yang diharapkan. Memutuskan hubungan dengan lelaki yang bernama Ilham.
‘Ilham..Mengapa nama kau masih meniti dibibir aku hingga saat ini. Sedangkan, aku tak ingin engkau dekat dengan hatiku. Mengapa sejak dikau hadir tanpa diundang dalam hidup aku, aku hampir terlupa akan nama orang yang aku nantikan kepulangannya. Mengapa? Mengapa nama Iman seakan tenggelam disebalik nama kau dibibir aku.’
‘Ilham…Aku memang marah dan benci dengan kau. Itu yang aku rasa. Tetapi mengapa kemarahan dan kebencian aku sering menjadi kegembiraan kau. Mengapa begitu? Bukankah sepatutnya kau akan bertambah marah dan benci dengan aku.’
‘Aku tidak tahu mengapa kata-kata kau tadi begitu mengusik jiwa sensitif aku. Aku tiba-tiba jadi sebak. Aku sepertinya dapat merasa apa yang kau rasa. Aku tahu, diwaktu itu kau berbicar jujur. Mungkin disebabkan itu, hati aku dapat merasa kerana ia bicara yang lahir dari hati.’
‘Ilham…Aku juga tidak dapat menipu diriku sendiri. Kehadiran kau sebenarnya sedikit sebanyak membuatkan aku gembira. Entah mengapa? Mungkinkah kerana sikap kau yang natural, suka menyakat aku. Tapi, kau juga tahu bahawa aku dan kau hanya dalam satu situasi yang tidak natural. Aku harap cerita antara kita akan berakhir. Esok adalah noktah cerita Lavender. Muktamad. Aku harap esok adalah hari yang gembira untuk aku dan juga kau.’
Maisarah menyeka hujung matanya. Nampaknya, masih ada mutiara jernih yang menemani setiap bicara hatinya. Dia akhirnya terlena tanpa beralaskan bantal.


No comments:

Post a Comment