Tuesday 14 December 2021

BAB 5 - MY SWEET JODOH

 Bab 5

DI KEJAUHAN itu, terlihat seorang wanita sedang melambai-lambai tangan kepada mereka. Suri pincing anak mata ke arah tersebut. Dia ingin melihat siapa gerangan kedua ibu bapa lelaki itu. Jika lelaki itu hadir atas pakej hari keluarga Naufa, pastilah ibu atau bapanya dari kalangan kelompok pekerja yang dia kenal juga.

Membawa langkah terus kehadapan, retinanya mula dapat menangkap raut wajah figura yang melambai ke arah mereka tadi. Selajur itu terbit kerutan di dahinya. Riak wajahnya terus berubah.

 “Awak. Puan Sofi tu ke mama awak?” soal Suri dengan perasaan yang mula tidak tenang. Mula dah datang balik rasa cemas dan gementarnya tadi. Jika betul lelaki itu adalah anak Puan Sofi, ini bermakna lelaki yang bersamanya kini itu adalah anak majikannya. Ahh..Cari penyakit betul!

“A’ah. Kenal ke?”

“Mahunya tak kenal. Dah tentu saya ni pekerja dia. Kenapa awak tak cakap awal-awal?”

“Dah awak tak tanya.” Senang betul jawapan yang diberi Putra.

Suri telan liur berkali-kali. Dahinya kembali merenek peluh. Tangan pun dah rasa nak mengigil semula.

“Awak…Awak cakap kat mama awak, awak tak kenal saya tau. Cakap aje yang saya ni sebenarnya tengah tunjukkan awak jalan ke sini.” Terus Suri beri idea menipu. Rasa tak sanggup pula nak berhadapan dengan majikannya kut.

“E’eh, nak ajar saya menipu pula. Relakslah.”

“Saya seganlah dengan Puan Sofi.”

“Nak segan buat apa. Ke…awak takut? Ada buat salah dengan mama saya ke?”

“Taklah.”

“Dah tu? Awak jangan risau. Saya just kenalkan awak sebagai kawan saya, okey. Kawan biasa, bukan kekasih. Lagipun kita ni memang baru nak berkawan, kan. Dah jom. Jangan tiba-tiba nak berhenti kat sini pula. Tangan tu kalau gigil sangat, sini biar saya pegang.” Putra terus berura-ura nak capai tangan itu. Cepat-cepat Suri sorok tangannya ke belakang.

Putra menyengih. Saja mengusik. Dia kemudian melangkah pergi. Mahu tidak mahu Suri bawa juga langkahnya menyaingi empunya diri.

Kian mendekat, kelihatan kedua-dua mereka tersenyum lebar melihat gerangan anak teruna mereka datang bersama seorang gadis di sisi.

“Assalamualaikum, mama, papa. Ni Putra kenalkan, kawan Putra. Suri namanya.” Seperti janjinya tadi, dia memperkenalnya gadis itu sebagai kawan.

Lega rasa hati Suri mendengarnya. Sejurus itu Suri turut memberi salam. Lantas dia menundukkan sedikit kepalanya dan menyalami wanita yang sedang duduk di bangku santai itu. Ucapan salam turut diberi kepada Encik Luqman yang sedang membelek gajet di tangan.

“Dah kenapa muka tu Suri? Macam ada yang tak kena aje.” Riak wajahnya mudah dibaca oleh wanita yang bergelar majikannya itu.

“Dia takut nak jumpa mama dan papa.” Laju terus patah kata itu keluar dari mulut Putra mencelah kata di antara mamanya dan Suri.

“Hah? Takut?” Puan Sofi tiba-tiba ketawa.

“Dia tak tahu yang Putra ni anak mama.” Putra yakin itulah alasan mengapa si gadis kelihatan cuba nak mengelak dari terus berjumpa dengan ibu bapanya.

“Oh, sebab tu.” Bibir Puan Sofi masih berbaki senyum.

  “Maaf, puan. Saya segan sebenarnya. Saya tak tahu yang Encik Putra ni anak puan.”

“Buat apalah nak segan. Marilah, duduk sini.” Puan Sofi lantas mempersilakan si gadis duduk di bangku kosong di sebelahnya.

Tak mampu menolak, Suri turutkan permintaan itu. Rasa janggal saja duduknya. Putra pula mengambil tempat di bangku kosong di sebelah papanya.

“Bila Suri kenal dengan Putra ni?” soal Puan Sofi ingin tahu.

Err…Sebenarnya kami baru aje kenal tadi, puan. Kebetulan saya tumpang kereta Encik Putra datang ke sini sebab kereta Kak Hanis dah penuh.” Suri memberitahu sebaiknya. Tidak mahu wanita itu salah faham dengan hubungan mereka berdua.

“Oh, macam tu ke. Ingatkan dah kenal lama. Rupanya tak sampai satu hari pun lagi. Tapi kat atas tadi tu nampak kamu berdua mesra aje. Nampak serasi.” Puan Sofi kalih wajah ke arah anak terunanya.

“Habis tu ma, tak kan nak masam-masam muka. Kan Suri kan? Sebenarnya tadi plan nak suruh Suri berlakon jadi kekasih Putra. Tapi last minit tadi kita orang dah declare nak jadi kawan. So, kiranya Putra tak tipu mamalah kan.”

‘Amboi ayat orang sebelah. Bila masa aku declare jadi kawan dia. Ayat awal tu memang dah nampak jujur dah, tapi hujung ayat tu menipu gak. Hampeh betullah.’

“Dah tu cara cakap kat telefon tadi macam beriya sangat. Jadi apa salahnya mama nak jumpa. Tapi tak apalah. Mama pun gembira. Nampaknya kamu dah lebih dulu bertindak dari mama.”

“Apa maksud mama?”

“Sebenarnya, mama memang berniat nak kenalkan kamu berdua. Sebab tu mama beriya minta kamu join sama. Bila kamu kata datang dengan kekasih, mama dah terkecewalah juga. Sebab tu mama nak tengok siapa orangnya. Tapi bila kamu kenalkan Suri ni sebagai kawan kamu, legalah hati mama.” Nampak riak gembira di wajah wanita itu apabila keinginannya untuk memperkenalkan si gadis kepada anak terunanya itu terlaksana sebelum sempat dia bertindak.

“Betul ke ma?”

Emm…Mama sebenarnya berkenan kat Suri ni.” Terus Puan Sofi buka rahsia.

Suri tertelan liur.  Alamak…Krikk…Krikk…pula ayat Puan Sofi ni. Berkenan kat dia? Betul ke?

“Suri ni sebenarnya pernah tolong mama, masa mama pengsan dekat pejabat sebelum ni. Rasanya mama ada cerita kat kamu. Tak tahulah kamu ingat ke tak. Sejak tu mama selesa dengan Suri. Teringin juga nak jadikan anak angkat. Tapi, teringatkan kamu yang masih bujang, terus mama plan nak kenalkan kamu berdua. Manalah tahu dapat ikat hubungan baru. Kalau kamu berdua nak serius, mama bagi lampu hijau terus. Mama tengok kamu berdua pun okey aje. Ngam, walau baru kenal. Mana tahu hujung tahun ni mama dan papa boleh dapat menantu. Kan, bang?” Lengan suaminya itu dicuit lembut.

Encik Luqman dilihat mengangguk saja. Dia memang tidak kisah. Jika anaknya turut berkenan, bahagialah juga dia rasa. Dia pun kenal dengan Suri. Salah seorang pekerja yang rajin dan berpotensi di syarikatnya. Tingkahnya juga bersopan. Rasanya ramai aje yang teringin nak jadikan gadis itu menantu.

Mendengar bicara Puan Sofi, terus jantung Suri bagai direnjat elektrik. Puan Sofi berkenan nak jadikan dia menantu ke? Ah. Ini bermakna, dia kena kahwin dengan Putra dan jadi isteri lelaki itu?  Tak semena, terus dirasakan dahinya berpeluh. Cepat-cepat dia cari tisu di dalam begnya. Nak lap dengan hujung. tudung nampak sangat macam tak beradab. Debar di dada memang tak usah dicakap. Dia punya dup…dap…tu macam berlari marathon sekampung. Tingkahnya juga jadi tak senang.

  So, macam mana Suri? Nak serius dengan saya tak? Kita kawan dulu. Lepas tu, sebulan kemudian kita ikat, biar tersimpul rapi.” Seselamba itu juga Putra bercakap. Depan-depan mama dan papanya.

“Amboi anak mama. Berani betul. Depan-depan mama dan papa lamar Suri.”

“Nak buat macam mana, ma. Hati dah tertawan. Patutlah sejak kebelakangan ni Putra mimpi beri cincin kat sorang awek ni. Rupanya jodoh Putra dah sampai. Dah ada depan mata pun.”

“Ya, aje kamu ni.”

“Ya, ma. Tak tipu. Sebenarnya tadi pun Putra dah acah-acah lamar Suri ni. Tapi dia tak nak pun ma. Tak sudi kut dekat Putra ni. Ni sajalah tanya depan-depan mama dan papa. Kut…Kut lah keputusan dia berubah.” Putra bercakap tanpa memikirkan perasaan empunya diri. Maka terpaksalah Suri menahan muka bengang sambil ketap bibir kuat-kuat.

Hesy, mamat kepala otak tak betul ni kan. Mahunya aku lempang mulut kau tu laju-laju. Cakap agak-agaklah. Kau tu dahlah baru kenal aku beberapa jam aje. Sekarang ni kau sengaja cakap depan-depan mama dan papa kau dengan harapan aku terimalah tu kan. Ingat aku tak tahu helah kau.’

“Suri… Suri okey ke ni?” Puan Sofi tahu bicara anak terunanya itu agak berlebihan. Mungkin sedikit sebanyak membuatkan gadis di sebelahnya itu rasa tidak selesa.

 Suri angguk saja berteman senyuman palsu. Kalau ikutkan hati mahu saja dia terus angkat kaki dari situ. Memandangkan dia bersama Puan Sofi dan Encik Luqman, maka terpaska dilupakan hasratnya itu.

“Kamu ni pun, Putra. Janganlah macam tu. Cakap terang-terang macam tu ingat semua orang suka ke. Suri…Suri jangan ambil hati ya. Sebenarnya si Putra ni tak pernah pun macam ni. Agaknya lepas jumpa Suri wayar dia ada putuslah tu kut. Shot kat mana-mana.” Puan Sofi hanya ketawa. “Tapi, Suri fikir-fikirkan jugalah. Mana tahu lepas ni Suri sudi jadi anak mama. Mama pun mengharap juga ni.”

Suri terpaksa bersikap sopan saja. Angguk sebagai memahami. Dalam pada itu dia lihat lelaki itu kenyit mata padanya. Dan dia hanya mampu tahan rasa di hati. Geram. Ni mamat kepala otak tak betul ni punya pasallah ni. Sengaja buat dia dalam kedudukan serba salah.

 

“KENAPA awak malukan saya depan mama dan papa awak?”

“Saya tak ada niat nak malukan awak pun. Okay. Saya minta maaf. Salah saya. Tapi, kita boleh cuba, kan. Mama saya pun mengharap awak jadi menantu dia. Pertemuan kita ni satu takdir Suri. Saya yakin, semua ni jawapan atas mimpi saya tu. Awak jodoh hati saya.”

“Awak. Kita ni baru kenal kut.  Nak faham hati budi seseorang bukan mudah. Nak bina sesuatu hubungan bukan hanya berlandaskan kata-kata aje. Lagilah hubungan yang awak nak, hubungan yang mengikat. Awak nak ke kerana sikap terburu-buru awak nanti membawa kecewa di hati awak. Saya sendiri, saya pun tak nak dikecewakan.”

“Faham. Saya faham apa yang awak cakap tu. Sebab tu tadi saya cakap tempoh kita berkawan sebulan. Masa tulah kita akan ambil masa untuk kenal antara satu sama lain.”

“Awak rasa cukup ke sebulan tu, Encik Putra?”

“Bergantung kepada kitalah. Jadinya sekarang ni kita perlulah kenal, more and more. By the way, saya nak phone number awak. Nanti kita boleh advancekan perkenalan kita, kenal hati budi semua. Tak jumpa pun tak apa. WhatsApp dan video call pun boleh, kan?”

So, inilah trick awak nak nombor saya. Sorry. Saya tak nak kasi.”

“Kedekutlah awak ni. Dah tu macam nak kita nak kenal?”

“Tak payah kenallah. Cukup setakat ni aje. Saya rasa hubungan kita tak boleh pergi jauh pun.”

“Atas sebab apa? Sebab awak tak sukakan saya? Rasa suka tu boleh dipupuk Suri. Andaikanlah kalau awak tetap ditakdirkan kena kahwin dengan saya, walau hati awak menolak, macam mana? Takkan selamanya awak nak buat bodoh dengan saya? Takkan awak sanggup hancurkan hubungan macam tu saja.”

Ya Tuhan. Dia masuk kisah kahwin paksa pula. Memang bengonglah kepala otak si Putra ni. 

“Dahlah awak. Kita lupakan ajelah. Saya tak nak stresskan diri sekarang ni. Saya minta diri dulu. Mungkin kita boleh bincang lain kali. Saya nak check-in.” Sememangnya pada pandangan mata, lelaki yang bernama Putra itu bukanlah teruk sangat pun. Mungkin kalau dikenal hati budinya dengan lebih jelas, pasti dia juga boleh menerima. Nak kata dia benci sangat kat lelaki tu, tidaklah kut. Cuma rasa macam menyampah sikit aje dengan perangai tu. Lagilah dengan mulut ‘nakal’ empunya diri. Rasa…grrrr…geram!

Suri terus telefon Fatin, teman rapatnya. Mujur juga berangkat. Setelah tahu nombor dan kedudukan bilik itu, dia mohon diri.  

“Saya pergi dulu.”

“Awak fikir-fikirkan tau.”

Suri tidak menjawab. Dia terus berjalan pergi.

Putra hanya memandang langkah yang kian menjauh itu.

“Ya Allah. Izinkan daku mengikat kasih dengannya. Takdirkanlah dan jadikanlah dia pasangan hidupku yang sebenar. Aamiin….”

Dia kemudian kembali ke kereta mengambil beg bajunya. Kunci biliknya telah diserahkan oleh mama sebelum dia meminta diri.

Sementara Suri menapak menuju ke bilik penginapannya di tingkat dua, telefon bimbitnya berbunyi. Tatkala dilihat, nama Mak Su terpampang di skrin segera dijawab panggilan itu.

“Ya, Mak Su, kenapa?”

“Suri. Berkenaan dengan pinangan Kamal tu Mak Su dah tolak. Tapi…” Bicara Puan Rosiah terhenti, sepertinya ada hal yang tidak beres.

“Tapi apa Mak Su? Ada yang tak kena ke?”

“Sebelum tu Mak Su nak minta maaf dulu. Tadi, dekat Haji Dollah dan Hajah Som tu Mak Su cakap yang kamu dah ada calon sendiri. Tapi lepas tu Mak Su tak sengaja cakap yang kamu bakal bertunang tak lama lagi.”

“Hah? Bertunang?”

EmmmSorrylah Suri. Mak Su terover acting tadi. Mulut ni sedap aje bercakap.”

Suri terdiam seketika. Nafasnya ditarik dalam. Dalam kes ni takkan dia nak marahkan Mak Su.

“Tak apalah Mak Su. Mak Su pun dah tolong Suri. Nampaknya memang Suri kena cari calon cepat-cepatlah ni.” Suri sekadar gelak.

Setelah berbalas ucapan salam, talian dimatikan. Kepala yang tak gatal digaru. Agak pening kepala otaknya sekarang ni. Selesai satu masalah, masalah lain pula timbul. Nasib kaulah Suri. Sekarang ni siapa yang boleh jadi calonnya? Takkan Encik Putra kut. Hurmm….

Kini langkahnya tiba di bilik penginapan. Pintu diketuk, dan ia dibuka dari dalam. Menjongol saja dirinya di muka pintu, Fatin terus tarik tangannya membawa dia duduk di birai katil. Tak menyempat betullah Fatin ni. Tunggulah dia buka kasut dulu.

“Alhamdulillah, Suri. Kau sampai juga. Aku risau gila tahu tak.”

“Apa yang berlaku sebenarnya Fatin? Kenapa aku kena tinggal tadi? Betul ke Kak Hanis ambil adik dia?” Terus ditanya soalan yang satu itu. Yalah. Boleh pula main tinggal-tinggal. Kalau tiba-tiba dia kena culik, siapa nak bertanggungjawab? Kalau tinggalkan dia berdua, lainlah juga. Ada teman.

“Tulah yang aku nak cakap ni. Sebenarnya, Kak Hanis memang sengaja tinggalkan kau.” Fatin terus buka cerita.

“Oh. Jadi betullah instinct aku. Kiranya yang dia cakap nak ambil adik dia tu, kira dia tipu akulah kan?”

“A’ah. Dia tipu kau, Suri. Tapi aku minta maaf sangat dekat kau. Aku tak dapat nak tolong. Kak Hanis ugut nak turunkan aku kat tengah hutan belantara tu kalau aku beritahu kau. Terpaksalah aku kunci mulut. Aku nak mesej, kebetulan telefon aku pula time tu habis bateri.”

“Macam tu ke? Tak sangkanya. Dengki betul dia kat aku. Mujurlah mamat JTR tu baik. Aku dah terbengang juga masa naik kereta dia. Last-last, dia tumpangkan aku sampai sini. Kalau tak, aku memang dah plan nak balik dah.” Diceritakan juga apa yang berlaku. Namun dirahsiakan identiti lelaki yang menjadi hero penyelamatnya itu.

“Sebenarnya masa kau telefon tadi, kita orang pun baru check-in. Sebab tu aku baru dapat cas telefon aku ni. Kalau tak, kau call pun tak dapat. Kak Hanis tulah. Kata tahu jalan. Tak nak ikut GPS. Kata lagi cepat sampai. Last-last terlajak ke mana entah. Jenuh pusing balik. Lepas tu sibuk membebel salahkan kita orang.”

“Betul tu Kak Suri. Dia punya bebel tu, geram aje kita orang dengar.” Pia yang ada turut menokok sama. “Pia kebetulan tak ada nombor Kak Suri. Kalau tak, Pia dah mesej diam-diam.”

“Tak apalah Pia. Lagipun bukan kau orang tak kenal Kak Hanis tu. Macam dia aje yang betul semua. Emm…Selain kita, siapa lagi dah sampai?” Suri sekadar bertanya.

“Buat masa ni, kita ajelah yang dah sampai. Sebab tadi Kak Hanis ada semak nama masa ambil kunci. Kalau ada pun keluarga Puan Sofi aje kut. Dia datang anak beranak.”

Lega Suri dengarkan jawapan itu. Ini bermakna tiada rakan sekerjanya yang nampak pertemuannya tadi dengan Puan Sofi bersama anak teruna wanita itu. Jika tidak, ia pasti menjadi buah mulut di kalangan mereka.

*****

 ** Pembelian boleh dibuat terus dengan pihak penerbit melalui link di bawah.

https://wa.link/32ozeo

https://wa.link/yqgckl

Atau,

Melalui shopee penerbit

https://shopee.com.my/EBOOK-My-Sweet-Jodoh-IsmeAna-Nur-i.119080445.14200819324?sp_atk=f8d525ab-d69e-493c-8cd9-e5cd1c73639d

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 4 - MY SWEET JODOH


 Bab 4

“PUTRA. Dah sampai ke?” Suara Puan Sofi hadir lembut di sebalik talian.

“Dah, ma. Tengah tunggu Suri. Dia pergi bilik air sekejap.”

“Oh, Suri ke nama kawan Putra tu. Bakal Suri hati ke ni?” Nampaknya suara mamanya berbaur gurauan.

Maybe…”

Emm…really?”

“Mama tengok dululah. Berkenan tak.”

“Okay. Mama dengan papa tunggu ni. Dekat tepi kolam tau.”

Putra terus tampar mulut sendiri. Kenapalah dia gatal mulut sangat cakap pada mamanya part berkenan tu. Kalau mamanya tiba-tiba berkenan, sah-sahlah macam dia saja nak cari nahas dengan Suri. Ah, lantaklah! Tengok gaya si Suri tu pun bukan berani sangat. Ugut sikit mesti menyerah punya. Silap haribulan, jadi isteri paksa tak relanya. Hahaha…Sempat dia gelak jahat memperkecilkan gadis itu.

Putra kemudian berjalan pergi. Biarlah dia menanti si gadis di tempat yang lebih dekat. Takkan dia nak berdiri di tepi kereta aje. Lagipun nanti tidak perlulah si gadis itu berpatah balik. Buang masa saja.

Keluar dari bilik air, Suri sudah terlihat figura kacak itu. Empunya diri dilihat sedang tersenyum ke arahnya. Tersenyumkan apa, tak tahulah. Tapi senyuman itu nampak manis. Dia suka melihat senyuman itu. Eh, suka?

“Dahlah. Jom. Parents awak tunggu dekat mana?”

“Macam tak sabar aje nak jumpa parents saya.” Putra sudah tertawa kecil.

“E’eh, awak ni. Cepat saya jumpa, cepatlah saya balik.”

“Awak nak balik ke mana? Kita stay sini kan.”

“Memanglah. Tapi lepas tu saya nak ambil barang saya dari Kak Hanis. Nak check-in bilik.”

“Tak nak check-in kat hati saya ke?” Nampaknya gurauan nakal Putra memaksa si gadis memberi jelingan kepadanya.

Tak beragak pula mamat sorang ni. Nak guna ayat pick-up line tak kena waktu. Tahu tak perasaan dia masih berkecamuk sekarang ni. Dup..Dap..Dup..Dap…jantungnya masih jelas terasa tau.

 

“Jangan nak melebih-lebih. Saya nak tolong awak ni dah kira untung. Ni pun sebab awak dah berbaik hati tumpangkan saya tadi. Kalau tak, memang taklah. Dah, cepat. Saya tak nak kantoi dengan dia orang semua. Nanti tak memasal dia orang ingat saya ni ada skandal dengan awak pula.” Suri cuba tunjuk tegas.

“Alah. Gurau ajelah. Janganlah sentap sangat. Saja nak test hati awak.” Putra tersenyum nakal. Suri sudah tarik muka masam.

“Jangan tayang muka macam tu kat parents saya, eh.”

“Tahulah. Hesy, dia ni. Tu lah. Siapa suruh janji bukan-bukan kat mama awak tu. Tak ada kekasih, mengaku konon ada kekasih.”

“Awak ni. Janganlah cakap macam tu. Umpama saya ni tak laku pula. Saya ni bukan tak laku tau. Ada aje perempuan kejar saya. Cuma, saya yang tak nak. Pintu hati saya tak terbuka. Tapi yang magiknya hari ni, mangga pintu hati saya macam dah ada orang yang buka.”

“Dah. Awak jangan nak sambung mengarut. Ingat saya tak faham ayat pick-up line awak tu!” Hati Suri sedikit berangin. Dia sebenarnya geram dengan lelaki itu. Tolonglah jangan buat dirinya kian tidak selesa.

“Oh, faham eh. Ingatkan tak faham. Kalau faham baguslah. Dahlah, jom. Parents saya kata dia orang tunggu kat tepi kolam hujung sana tu. Layankan adik-adik saya.”

Kini mereka berjalan seiring.

“Saya sebenarnya pelik tengok awak ni, Suri.”

“Pelik?” Hampir bertaut kedua keningnya apabila dirinya dikatakan pelik oleh lelaki itu.

“Yalah. Kat kereta tadi punyalah awak gelabah gila. Siap gigil-gigil tangan tu saya tengok. Ni, tunjuk garang pula. Confuse saya?”

“Awak. Saya garang ni sebab nak lawan rasa gelabah saya. Dengan awak buat pick-up line entah apa-apa. Ingat hati saya ni boleh tenang ke?”

“Oh. Kiranya awak buat-buat garanglah ni. Kelakarlah. Ada juga orang macam awak ni ya.” Putra lepas gelak perlahan.

Suri mendecit. Geram juga bila lelaki tu gelakkan dia. Tolonglah faham keadaan dia sekarang ni.

Melihatkan tingkah Suri, Putra jadi tersenyum.

“Awak ni kenapa eh? Senyum-senyum.”

“Entahlah awak. Saya pun tak tahu. Nak kata sedekah kat awak, rasanya tak, kut. Sebab tahu awak tak sudi pun nak terima.”

 “Jawapan awak tak kelakar, okey.”

Putra hanya kulum senyum. Sejujurnya dia rasa bahagia. Sweet aje rasa. Aneh...Memang aneh. Hatinya terfeeling cinta ke apa ni? Andai benar-benar cinta…wah, syoknya! First time kut dia rasa jatuh cinta. Adakah ini dinamakan cinta pandang pertama?

Kini mereka masing-masing senyap. Putra berjalan santai sambil tangannya berada di poket seluar. Suri pula berjalan sambil peluk tubuh. Bukan jalan sebab nak tunjuk lagak megah, tapi dia sedang tenangkan hati sendiri.

Hurmm…Tadi awak ada cakap fasal adik, kan. Adik awak kecil lagi ke? Umur berapa tahun?” Suri lencong topik bicara. Dia tidak mahu lelaki itu terus bermanis mulut beri ayat pick-up line kat dia. Tahu tak dek ayat manis meleting lelaki itu debar di hatinya tak reda-reda. Sudahlah nak kena berlakon jadi kekasih lelaki tu sekejap lagi. Entah bagaimana nanti jadinya dia pun tak tahu. Mampukah dia bersuara apabila bertemu keluarga lelaki itu? Atau hanya mampu terdiam dan tertunduk seribu bahasa?

“Adik saya baru je umur enam tahun.”

“Oh, kecil lagi. Mesti cutekan.”

“Yup. Cute macam saya ni.”

“Celah mana cutenya awak ni?”

“Oh, tak cute, eh. Kalau tak cute, confirm saya ni handsome kan?”

“Perasan!” Tersugging juga senyuman di bibir Suri dek perasannya lelaki itu dengan diri sendiri.

“Sekurang-kurangnya pujilah sikit.”

“Oh, suruh puji ke? Okay. Awak ni handsome sangat wahai Encik…emm…nama awak apa tadi. Lupa dah.”

“Putra.”

“Oh, Putra. Okey. Awak ni handsome sangat wahai Encik Putra. Dahlah handsome, sado, senyuman menawan, nampak pun macam stok hero-hero novel. Ala-ala pelakon Korea pun ada. Haa…Puas hati?”

Putra terus lepas tawa tak bercover. “Ya. Puas hati. Puas hati sangat. Lagi-lagi awak yang memuji.”

Entah mengapa Suri turut tertawa. Namun, dicover tawanya dengan telapak tangan. Ada juga orang yang minta dipuji begitu. Hai, macam-macam betul perangai. Dia pun sajalah puji lebih-lebih sikit. Saja juga bergurau. Mungkin dengan bergurau begitu, dia boleh cover sedikit resah gelisah hatinya.

“Pandai juga awak bermanis mulut puji saya, kan.” Tertayang muka bangga lelaki itu.

“Jangan nak kembang sangat hidung tu boleh tak.”

“Eh, hidung saya tak kembanglah. Yang kembang hati saya yang kat dalam ni haa. Kembang setaman kut. Siap mekar dengan bunga-bunga cinta lagi.” Putra letak tangannya di dada. “Awak nak tahu tak bunga cinta tu macam mana bentuknya? Taraa…Ni dia.” Terus ditunjuk mini love kepada si gadis.

Hurmm…Mulalah tu nak melalut lagi. Saya sebenarnya tak expect pun fiil awak macam ni.”

So, awak expect macam mana? Cool…Macho…Macam tu ke?”

Maybelah.”

Putra menyengih. Dia tahu kebanyakan orang mempunyai tanggapan yang sama seperti gadis itu. Namun orang tak tahu, dia ni jenis nakal juga orangnya. Time bengong, bengong juga. Dia tak retilah nak jadi orang yang acah-acah control macho. Tak kena dengan jiwa. Tapi, sejujurnya dia nakal berlebih-lebih ni pun sebab Suri. Sebab sekarang ni dia dah nekad nak mulakan misi hati untuk tackle gadis itu. Seawal mimpinya itu dikatakan berkaitan jodoh, terus dia aim gadis itu sebagai jodoh hatinya. Kira acilah tu kut. Lagipun hatinya tak memberontak atau menegah bila dia cuba menyakini gadis tu jodohnya. Mungkin itu memang suratannya.

Sebenarnya kata-kata manis gadis itu tadi secara tak langsung turut meransang jiwa lelakinya. Yalah. Awek yang puji kut. Tak boleh nak tipu. Dirasakan jiwanya terbuai indah. Lagilah nada suara itu kedengaran manja dan manis di telinganya. Gila tak cair hati dia.

“Awak kalau nak puji saya, jangan puji lebih-lebih sangat. Saya ni cepat perasan tau.”

“Awak tu pun tak payah nak over perasan ya. Saya puji tak ikhlas pun tadi tu.”

“Laa, ya ke? Ah, tak kisahlah ikhlas atau tak, cumanya saya nak ingatkan nada tu jangan manja sangat. Nanti jiwa lelaki saya ni kacau.”

So, kena cakap ganas-ganaslah ni. Kau-aku macam tu? Aku okey aje. Sebab dengan kawan lelaki lain aku memang beraku-kau aje. Tapi jumpa kau ni entah kenapa berbaik sangat lidah aku ni nak bersaya-awak.”

Lelaki itu dilihat terdiam. Suri jadi tersenyum. Jika begini, taklah hatinya berdebar selalu. Tapi sejujurnya dia juga terasa kekok nak beraku-kau dengan lelaki itu. Kenapa? Entahlah.

Dalam berjalan seiringan berdua, ekor mata Suri mula menderhaka. Degil juga nak curi-curi menjeling pandang wajah itu. Namun curi-curi pandangnya itu turut dicuri lelaki itu.

“Awak curi pandang kat saya kan?”

“Perasan!”

“Memang pun. Saya memang perasan yang awak curi pandang kat saya. Jangan tak mengaku ya.”

Mendengarkan bicara itu, terpaksalah Suri buat-buat tak tahu. Asyik nak merah muka aje, penat rasanya.

Maka, melebarlah senyuman di bibir Putra. Nafasnya dihela lembut. Selembut bayu yang menyapa mukanya tika ini.

 “Rasa bahagia pula berjalan berdua dengan awak ni, Suri. Kalau halal, rasanya dah lama saya pimpin tangan awak.” Putra luah bicara perlahan.

“Awak cakap apa?” Gegendang telinga Suri seakan tertangkap namanya di dalam bicara lelaki itu.

“Eh, tak ada apa-apalah.” Terus Putra cover bicaranya. “Saya cakap, adik saya kembar sepasang. Kalau ada anak pun saya teringin juga nak anak kembar sepasang. Sorang pimpin kanan, sorang pimpin kiri.”

“Yalah tu. Nampak benar menipu.”

“Eh, mana saya ada tipu.”

 “Kenapa saya macam ada terdengar nama saya aje tadi?”

“Perasaan awak aje tu. Saya mana ada sebut nama awak.” Putra hanya beriak selamba. “Dengan umur saya sekarang ni, saya sebenarnya teringin tau nak ada anak sendiri. Tapi tulah. Isteri pun tak ada lagi.” Putra tiba-tiba meluah rasa. Acah-acah minta simpati. Padahal, itulah tricknya. Dia ingin tahu respon gadis itu.

“Kalau tak ada, carilah. Takkan dia nak datang sendiri kat awak.”

“Awak…tak nak?” Wajah Putra berkalih kepada gadis di sebelahnya itu.

“Tak nak? Apa yang tak nak?” Suri tiba-tiba blur. Tidak dapat menangkap maksud tersirat di sebalik soalan itu.

“Tak nak ke jadi isteri saya. Nanti boleh ada anak dengan saya.”

“Amboii, awak ni kan. Tak beragak. Kenal baru dua tiga jam, ale-ale offer jadi isteri. Huh! Tak pernah dibuat orang. Awak ni terdesak sangat ke apa, Encik Putra? Memang mengarut betullah! Berlakon jadi kekasih ni pun saya tak pass lagi, ni siap offer jadi isteri. Memang sorry to saylah.”

“Alah, awak. Pernah ada lah orang tu kenal satu jam aje dengan pasangan dia, esok tau-tau dah nikah jadi suami isteri. Benda tu tak mustahil pun. So, macam mana? Saya rasa jodoh kita kuat tau. Saya rasa, mimpi saya tu memang berkait dengan awak. Takdir jodoh hati saya.”

“Tengok tu. Balik-balik cakap fasal jodoh. Tolonglah jangan percaya sangat dengan mimpi tu. Nonsense! Sekali lagi awak cakap, lepas tu saja nak kait-kait dengan saya, siap awak!” Suri beri amaran.

“Siap apa? Siap sedia hantar rombongan meminang ke? Bila tu? Esok?”

“Hey, awak!” Menggunung tinggi terus lahar panas di hati Suri.

“Kenapa awak melenting? Ke…bila saya cakap fasal jodoh ni sebenarnya awak dapat rasakan yang saya ni juga memang jodoh di mahligai hati awak tu. Tapi, awak sengaja krik...krikk…nafikan. Yalah. Sepanjang kita kenal ni, takkanlah kat hati awak tu tak rasa sesuatu langsung kat saya yang kacak ni. Entah-entah awak pun berangan nak berjodoh dengan saya.”

Eee…Tolonglah. Tak ingin pun nak berjodoh dengan awak. Awak kacak ke, tak kacak ke, apa saya heran.”

“Eleh. Tak heran konon. Tadi curi-curi pandang juga kat saya.”

Suri bengang. Kenapalah dia ditakdirkan bertemu lelaki itu? Sudahnya nak bergaduh aje pula. Ni versi jodoh gaduh dulu sebelum suka ke ni?

“Encik Putra. Kalau kat sebelah saya ni ada kolam, rasanya tak teragak-agak saya nak tolak awak tau.”

“Tolaklah. Tak ada hal. Saya pandai berenang. Awak tu pandai berenang ke? Silap-silap, kalau awak terjatuh nanti saya juga yang selamatkan.” Putra hanya sengih tayang gigi.

“Dahlah. Malas nak gaduh dengan awak. Tak ada faedah pun.” Terpaksalah Suri pendam lahar panas di hatinya. Terus dia berjalan laju mendekati tangga.

“Awak. Jalan tu janganlah laju sangat. Hati-hati sikit. Tangga tu licin.” Putra sempat memberi pesan memandangkan dilihat gadis itu turun menonong saja.

“Tahulah. Macamlah kita ni budak kecik.” Degil juga mulutnya nak menjawab.

“Saya cakap aje. Saya tak nak awak jatuh. Tapi, kalau jatuh hati kat saya tak apa. Saya rela aje sambut.” Sempat lagi diusik nakal gadis itu dengan ayat pick-up linenya.

Suri sempat toleh dan menjeling. Tak suka betul dia dengan angin gatal lelaki itu. Tapi nak jadi cerita, entah dimana silap langkahnya, langkahnya sedikit tergelincir di mata tangga paling akhir. Maka,

Gedebuk!

Dia sudah terduduk bagai nangka busuk di situ. Mengaduh juga dia menahan kesakitan di punggung yang terhentak mencium lantai batu itu,

Terus Putra menerpa ke arah si gadis yang dilihat sedang berusaha untuk bangun.

“Awak. Awak okey tak ni. Macam mana boleh jatuh ni. Aduhaii…Baru aje cakap tadi.” Putra sedikit kesal.

“Okey..Okey..” Terpaksa dijawab ‘okey’ walaupun sebenarnya tak berapa okey. Sakit kut punggung dia. Itulah. Mulut degil sangat. Sudahnya ia memakan diri. Cash dia dapat.

Cuba berlagak selamba, dia bangun dan terus berjalan laju. Umpama tak ada apa-apa yang berlaku. Takkan nak gosok punggung kat situ, walau terasa juga sengallnya. Karang, percuma aje lelaki tu tumpang tenung asetnya itu.

Putra hanya geleng kepala.

“Awak. Salah jalan tu. Sebelah sinilah.” Suara itu memanggil.

Aduh! Sekali lagi dia malu. Tulah. Punyalah nak cover muka ‘malu’nya. Malu plus malu dia dapat.

Kembali menyaingi langkah itu, Putra tunjuk simpatinya.

“Awak kalau tak okey beritahu saya tau. Bahaya sebenarnya jatuh macam tu. Boleh kena slip disc. Tadi tu kaki dah terpelecok. Ni jatuh macam ni pula. Lain kali hati-hati ya.”

Suri hanya mengangguk. Ternyata, lelaki itu prihatin dan mengambil berat juga perihal dirinya.

 

    *****

** Pembelian boleh dibuat terus dengan pihak penerbit melalui link dibawah.

https://wa.link/32ozeo

https://wa.link/yqgckl

Atau,

Melalui shopee penerbit

https://shopee.com.my/EBOOK-My-Sweet-Jodoh-IsmeAna-Nur-i.119080445.14200819324?sp_atk=f8d525ab-d69e-493c-8cd9-e5cd1c73639d