Monday 24 August 2020

BAB 3 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG





IFTITAH sengaja menunggu di dalam kereta apabila melihat masih ada tiga orang pelanggan sedang beratur di gerai itu. Sengaja dia biarkan keadaan lengang dahulu. Jadi tidaklah nanti selepas membeli dia terburu-buru untuk pergi. Bukan senang nak menghadap wajah itu di depan mata. Kalau boleh dia nak tatap lama-lama. Dan kalau boleh juga, dia nak curi gambar wajah itu agar dapat ditatap dan ditenung setiap masa. Padanya semalam itu satu rezeki apabila dapat berbual dengan si gadis.

Kini Iftitah keluar dari perut kereta dan mendatangi gerai itu. Kaca mata hitamnya disangkut dipangkal hidung. Itu gaya kegemarannya. Lagipun niat sampingannya nak menilik wajah si gadis. Jika berkaca mata hitam begitu tidaklah si gadis perasan akan perbuatan nakalnya itu.

Dari jauh Iftitah melihat Fatehah sedang melayan pelanggan terakhir yang berada di situ. Sewaktu dia kian mendekati, Fatehah sudah bergerak ke arah van yang terparkir di belakang gerai. Mungkin mengambil air minumannya barangkali. Jadi sewaktu dia sampai, abahnya Fatehah sudah mengambil posisi Fatehah tadi. Aduh, kecewanya rasa!

“Selamat petang, pak cik.” Diramahkan juga mulutnya menegur berteman roman wajah yang sengaja dimaniskan. Mana tahu hormat lebih dapat kredit lebih. Nak tackle hati anak mesti kena tackle hati bapak dulu. Betul tak?

“Ya, petang. Anak nak beli apa? Eh! Pak cik macam kenal aje kamu ni. Haa..Teha. Ni Abang Jambang Hensem kamu ni nak membeli.” Mendengarkan bicara itu, Fatehah yang tika itu sedang meneguk air mineral dari dalam botol terus tersedak. Aduhai abah ni. Selamba aje mulut dia. Sememangnya Fatehah memberitahu abahnya tentang lelaki itu. Yalah. Lagipun duit empunya diri masih ada pada abahnya. Kalau tak diberitahu karang blur pula abahnya.

        “Abah ajelah layan,” ujar Fatehah yang masih duduk di dalam van di sebelah tempat duduk pemandu.

           “Alah. Layanlah kejap. Abah tengah goreng cendawan ni.” Abdul Fattah sudah menyengih. Suka pula dia nak kenakan anaknya dengan lelaki itu. Padahal boleh aje tinggalkan sekejap cendawan di kuali tu. Dan perasaan Iftitah semestinya meloncat gembira. Bakal bapak mentua sengaja beri green light ke ni?  Wah, tak sangka!

        Fatehah turun dari van di sebelah pemandu dan datang ke depan bersua muka dengan empunya diri. Melihatkan bibir lelaki itu mengukir senyum, senang hati juga dirinya membalas. Ohemgee..Boleh cair hati bila melihat senyuman tu tau. Siap meleleh lagi. Senyuman ni tak macam semalam. Nampak lebih teruja. Berkocak terus hati dan perasaan si anak dara bernama Fatehah. Aii, gedik!

            “Assalamualaikum, Dik Fa.” Lembut suara itu menegur.

“Ya, waalaikumussalam.” Terus Fatehah terbatuk-batuk. Apahal tiba-tiba tekak rasa gatal aje ni. Macam manja sangat kut cara panggil tu.

“Boleh ke saya datang nak membeli ni?” ulah suara itu sedikit nakal.

Fatehah mengangguk dan bersama lorekan senyum. Apa-apalah mamat sorang ni. Ada tujuan lain ke selain nak membeli? Takkan datang sini sebab nak ‘membawang’? Dengan siapa? Abahnya? Eh, tak ke pelik tu?

“Ya, boleh. Abang nak beli apa?”

“Pisang lima ringgit, cempedak lima ringgit. Tu aje.”

Fatehah terus membungkus apa yang diminta. Nilainya itu nanti akan ditolak terus dari baki wang lelaki itu yang ada pada abahnya.

Iftitah yang masih menanti, kekal merasakan debaran hebat di dadanya tatkala dia berhadapan dengan gadis itu. Ya..Selama tiga hari berturut-turut itulah perasaan yang mengganggu jiwa lelakinya. Dan wajah polos gadis di hadapannya sangat enak dijamu mata. Punya pesona sendiri. Memang boleh buat jiwa lelakinya terbuai dan terleka. Malah boleh menggetarkan tulung rusuk kirinya.

‘Ya Tuhan. Inikah jodoh hatiku yang kau telah tuliskan selama ini? Bila mana hatiku terasa suka dan lapang melihat dia.’

“Bang..oo..Bang..Dah siap dah ni.” Suara lembut Fatehah menjengah gegendang telinga.

Oh, sorry. Terberangan jap.” Iftitah tertawa sendiri. Boleh pula layan lamunan hati di situ.

“Oh, sempat berangan eh?” Saja juga Fatehah mengusik dalam tawanya.

Terus muka Iftitah memerah sedikit. Malu.

Hehe…Sorry.” Fatehah pinta maaf. Semalam sudahlah dia juga mengalami situasi itu.

Mata mereka bersabung untuk seketika. Lalu mereka sama-sama tertawa.

            Bungkusan kini bertukar tangan.

            “Terima kasih, bang. Nanti datang lagi ya.”

        “Ya. InshaAllah. Hmm…” Iftitah sepertinya ingin bertanya sesuatu. Namun, tiba-tiba dia jadi terkelu apabila melihatkan abahnya si gadis itu sepertinya tidak ralit memandangnya membuatkan dia jadi segan. Sudahnya dia segera minta diri. Dapat melihat gadis itu dalam tempoh yang agak singkat begitu membuatkan hatinya rasa tidak puas.

            Selajur lelaki itu pergi…

           Eham..Eham… Dehaman dari Abdul Fattah membuatkan Fatehah menoleh.

            “Kenapa bah?” soal Fatehah sedikit blur.

            “Rasa gatal pula tekak abah ni.”

         “Oh! Ingatkan apalah tadi. Sekejap. Teha ambilkan abah air.” Lantas Fatehah kembali ke bahagian tempat duduk pemandu mengambil air mineral untuk abahnya.

        “Tak faham rupannya budak ni.” Abdul Fattah hanya menyengih. Dalam pada itu dia melihat kereta mewah itu meluncur pergi. Sebenarnya semalam dia sempat melihat kelibat lelaki itu. Hatinya seakan membisikkan sesuatu. Lelaki itu datang bukan semata-mata untuk membeli jualannya, tetapi juga membeli jiwa si anak gadis suntinya. Dia pernah muda kut. Tahulah trick yang diguna pakai. Jadi, tunggu dan lihat.


DI DALAM kereta Iftitah tersenyum sendiri. Tersenyum apabila mengingatkan kembali lamunan hati yang terhenti apabila di tegur si gadis. Ya..tentang jodoh hatinya. Walaupun si gadis itu hanyalah seorang gadis penjual di gerai kecil itu, ia bukan satu alasan untuk dia menolak jodoh hatinya. Harta bukanlah ukuran, tetapi hati dan jiwa yang membahagiakan itulah pilihan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 2 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 


BIBIR Fatehah automatik mengoyak senyum apabila melihat gerangan empunya diri yang keluar dari kereta Audi yang terpakir berdekatan dengan gerainya. Nampaknya ia lelaki yang sama semalam. Cuma kali ini naik kereta lain pula. Wah! Memang kayalah ni kut. Bertukar-tukar kereta. Alhamdulillah. Pastinya cempedak goreng semalam membawa ke igauan mimpi lelaki itu. Makanya hari ini datang mencari lagi. Of courselah kan. Cempedak goreng yang dijual memang umphhh rasanya. Lagilah dengan kerangupan tepung bancuhan emaknya. Sekali cuba pasti nak lagi!

          “Assalamualaikum..” Iftitah datang dan memberi salam. Untuk menjalankan misi hatinya dia harus menjadi sedikit mesra walupun dia rasa otot senyumnya masih tidak memberi kerjasama.

“Waalaikumussalam..” Salam itu dijawab Fatehah sebaiknya berteman segaris senyuman. Wow! Rasa lain pula aura lelaki ini berbanding semalam. Positif! Bisik Fatehah sendiri. Mungkin semalam tengah bad mood, sebab tu nak tak nak saja menjawab pertanyaannya. Sempat juga ditilik penampilan lelaki itu. Kali ini kelihatannya hanya bert-shirt dan berseluar jeans. Oh, pastinya kerana hari ni adalah hari cuti. Jadi santai sahaja.

“Abang nak beli cempedak ke?” soalnya ramah. Sekadar mengagak akan apa yang ingin dibeli lelaki itu. Seperti biasa senyuman tetap tidak lekang di bibirnya.

Iftitah mengangguk tanpa suara. Lidahnya rasa terkelu. Mungkin terpana dek senyuman yang terhidang di depan matanya. Otot senyumnya…emm nampaknya juga ikut terpana. Kejung. Kerana tu masih tak mampu membentuk senyum balas.

“Boleh tunggu sekejap? Dalam kuali lagi ni. Tengah goreng.” Berbahasa Fatehah menutur bicara.

Iftitah mengangguk lagi. Dah macam ayam belatuk. Bila ditanya, mengangguk saja. Hakikatnya dia masih terkelu bahasa. Nak menjawab ‘hmm’ atau ‘ya’ pun terasa susah. Untuk menunggu, memang dia tidak kisah. Mungkin satu bonus untuknya. Dikesempatan itu bolehlah dia mencuri-curi pandang wajah comel nan ayu itu. Sejak semalam, dirasakan ada aura daripada gadis itu yang membayanginya sehingga dia menyakini hatinya telah jatuh hati kepada empunya diri. Kerana itu, hari ini dia kembali datang ke sini. Ya. Demi sekeping hati.

Wajah itu terus menjadi santapan. Walaupun gadis itu nampak tidak bersolek, namun keaslian kecantikan itu sangat terserlah. Kulit nampak bersih dan gebu. Suara pula, aduh lemak merdu rasanya. Senyuman..Lagilah. Dup..Dap..Dup..Dap..Itulah rentak irama percuma yang dia dapat sejak semalam. Ingatkan tengok untuk kali ke dua ini tiada lagi irama itu. Namun semakin rancak pula rentaknya bermain di dada. Maka, dia semakin yakin untuk menjalankan misi hatinya.

Retina matanya terus melatari melihat sekitar itu. Nampaknya gadis itu hanya berseorangan. Sebab semalam rasanya ada seorang lelaki yang agak berumur bersama gadis itu. Kalau dia tidak salah meneka, pastinya lelaki semalam itu adalah bapa kepada si gadis. Ringan terus mulutnya untuk bertanya. Takkan nak terus berdiam diri pula. Rugi pula rasanya.

“Awak berjual sorang aje ke hari ni?”

Mendengarkan pertanyaan itu semerta Fatehah toleh wajah kepada empunya diri.

“Berdua dengan abah saya. Tapi abah saya pergi ke klinik atas tu sekejap ambil ubat dia.” Fatehah jujur dengan jawapannya. Sambil itu tangannya lincah membalikkan gorengan cempedak di kuali.

“Oh. Abah awak sakit apa?” Iftitah mula tunjuk sikap prihatin.

“Semput.” Fatehah jawab sekadarnya.

Iftitah hanya mengangguk. Arwah papanya juga menghidap penyakit yang sama. Namun sewaktu meninggal arwah disahkan terkena serangan jantung.

Fatehah kemudian mengangkat gorengan cempedak yang telah masak lalu diletakkan di dalam dulang yang tersedia. Panas dari kuali.

“Abang nak berapa ringgit ya?” soal Fatehah kepada pelanggannya itu. Di tangannya sudah bersedia dengan penyepit dan kertas pembungkus makanan.

“Lima ringgit cukuplah. Untuk makan sendiri aje pun.”

 Fatehah membungkus sejumlah cempedak yang diminta. Seringgit dua biji, maka lima ringgit sepuluh biji. Lalu not kertas lima puluh ringgit diterima daripada lelaki itu sebagai bayaran.

“Tak ada duit kecil ke bang? Besar sangat ni.” Dengan nilai sebesar itu agak sukar baginya untuk memulangkan baki bayaran. Lagi pula lelaki itu adalah pelanggan pertama yang berkunjung ke gerai mereka pada petang itu. Duit yang sedia ada pun tidak mencukupi untuk memulangkan baki sebanyak itu. Abahnya pula kebetulan tiada ketika ini.

“Tak adalah awak.”

“Abang tak boleh pecahkan dulu ke?”

“Duit ni duit kertaslah awak. Macam mana nak pecahkan. Kalau koyakkan, bolehlah.” Mesra saja Iftitah bergurau kata berteman segaris senyuman edisi terhadnya. Okey. Nampaknya otot senyumnya dah mula nak beri kerjasama.

Fatehah turut membalas senyuman itu. Melting sangat senyuman yang diberi. Haaa..Kan betul. Dah cakap dah semalam. Confirm senyuman tu boleh cairkan hati. Haihh..Saja nak kasi hati ni terpesona ke wahai encik jejaka yang kacak? Berdebar juga yang di dalam ini.

“Maaf, bang. Sebabnya duit yang ada ni tak cukup lagi nak pulangkan baki duit abang. Esok ajelah abang bayar,” ujar Fatehah sebaik kata.

“Tak apa. Abang tak nak berhutang. Awak simpan aje dulu bakinya. Esok-esok dan hari-hari seterusnya abang akan singgah ke sini dan ambil cempedak goreng dengan awak. Boleh ke macam tu?” Iftitah memberi saranan. Sebenarnya sengaja dia menggunakan taktik itu agar esok dan hari seterusnya dapatlah dia datang ke situ dan menjamu matanya melihat cik gadis. Tidaklah gadis itu terperasan apa-apa. Bernas tak ideanya? Dia pun tanpa sedar telah membahasakan dirinya abang. Tak tahulah si gadis di hadapannya itu perasan atau tidak.

“Nanti tulis dalam buku 555. Abang dah beli berapa ringgit. Senang sikit nak kira,” ujar Iftitah lagi.

“Okey. Tapi nama abang ni siapa ya?”

Panggil aje Abang Jambang Hensem.” Iftitah menguntum senyum yang paling menawan. Waktu inilah dia perlu ambil kesempatan untuk perkenalkan diri. Lagilah dengan nama ala-ala sweet sebegitu walaupun bukan nama sebenar. Harapnya ia mampu menarik perhatian cik gadis. Lagipun dia memang dianugerahkan rupa paras yang elok. Kategori terlajak handsome. Part ni dia memang tak menipu. Acilah kut kalau sesekali dia nak tunjuk perasan sikit. Sebenarnya dia guna nama tu pun sebab secara tak sengaja teringatkan nama yang pernah disebut oleh si gadis berbaju merah jambu sebelum ini. Macam syok juga guna nama tu. Sesuai sangat dengan dirinya.

Fatehah angguk berteman ukiran senyum di bibir. Dengar macam kelakar, ala-ala angkat bakul juga, tapi abang jambang tu tak tipu. Wajahnya memang handsome kut. Boleh bawa ke igauan mimpi juga. Lagilah bila dia bergurau dengan pakej senyum begitu. Terus ada debar-debar nak menyinggah di dada. Wait! Sebenarnya apabila bercakap pasal Abang Jambang Hensem dia secara tak sedar teringat kisah lebih sebulan lalu di AzaCafe. Rasanya dia pernah sebut akan nama itu. Macam manalah si abang kacak ni boleh guna nama tu juga ya. Eh..Jangan-jangan Abang Jambang Hensem ni….

OMG! Dia ke? Terus Fatehah pandang tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu. Menilik sebaiknya sambil cuba mencari kembali gambaran wajah di masa lalu. Tanpa sedar beberapa saat telah berlalu.

“Awak…” Iftitah petik jari di hadapan wajah ayu itu, cuba mematikan pandangan yang sukar dimengertikan itu. Kenapa gadis itu tilik wajahnya? Di dalam hati terus dia melebar senyum. Dirasakan gadis itu memang sudah terpesona dengan wajah dan senyuman membunuhnya. Maka wajah kacaknya menjadi ratahan mata si gadis. Emm..Tertelan liur dibuatnya.

Fatehah merah muka. Namun tetap bertindak selamba untuk cover muka bengang.

Hehe..Sorry…Teringatkan wajah seseorang.” Fatehah sudah garu hujung keningnya.

“Siapa?” Iftitah menyoal sambil jungkitkan kening. Juga berteman lorekan senyum.

“Rahsia.” Fatehah hanya tersenyum. “Emm..Kalau macam tu duit abang ni saya simpan dulu ya.” Terus Fatehah kembali kepada topik asal. Kepingan not lima puluh itu terus disimpan di dalam bekas duit.

“Okey, terima kasih. Hmm…Sekejap. Boleh abang minta nombor telefon awak tak? Mana tahu kalau lepas ni abang nak order banyak, abang telefon aje awak terus. Mudahkan macam tu. Orang kata waktu mesyuarat petang sedap juga makan cempedak atau pisang goreng ni semua kan?”

“Boleh.” Fatehah lalu memberikan nombor telefonnya. Sememangnya ada saja orang yang meminta nombor telefonnya untuk tujuan yang sama.

“Nama awak?” soal Iftitah yang masih menanti dengan iPhonenya di tangan. Itulah yang paling diharapkan. Dia ingin tahu nama si gadis.

Dalam masa yang sama…

“Kak Fa…Ibu suruh beli cendawan tiga ringgit.” Suara Fariha si anak kecil yang baru datang itu lebih dulu menusuk ke gegendang telinga lelaki itu.

“Oh, nama awak Fa. Okey. Abang save nama awak Dik Fa ya.”

Fatehah hanya tersenyum sahaja. Terus dilayankan Fariha yang membeli. Sememangnya dia telah lama mengenali si anak kecil itu kerana setiap hari pasti si ibunya akan menyinggah di situ.

 “Okey, terima kasih Dik Fa. Jumpa lagi.” Iftitah kemudian berlalu pergi sambil mencangking bungkusan cempedak goreng yang telah dibelinya.

Fatehah sempat memandang kepada langkah yang kian pergi itu. Terasa comel pula dipanggil Dik Fa? Haha..Dik Fa pun Dik Fa lah. Sedap juga bunyinya. Lagilah orang kacak yang memberi gelaran itu. Berbunga juga rasa hati.


TANGAN kanan Iftitah masih melekap di dada. Helaan nafas juga dikawal sebaiknya. Cuba ditenangkan degup jantungnya yang berirama tanpa iringan lagu itu. Apa yang pasti ia berdegup dengan kadar yang tidak normal dari kebiasaan.

Bibirnya kini meleret senyum. Nampaknya sejak tadi hingga kini otot senyumnya berfungsi dengan baik. Dirasakan gadis itu juga sudah tertarik dengannya. Ah…Bahagia rasanya. Lagilah apabila dapat berbalas senyum begitu. Seumpama hati saling merasa.

‘Abang Jambang Hensem.’ Mengenangkan nama itu, senyuman kembali mekar. Macam poyo aje kan kenalkan nama sebegitu kepada si gadis. Paling tak disangka, senang pula lidahnya nak membahasakan dirinya ‘abang’. Wah! Nampaknya dia harus beri kredit kepada diri sendiri. Good job, Iftitah!

 

 

 

 

 

 

Wednesday 19 August 2020

BAB 1 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



HARI ini cuaca agak panas. Lebih panas dan membahang berbanding selalu. Peluh yang merecik di dahi, Fatehah lap saja dengan hujung kain tudungnya. Air mineral yang dibawa tadi diteguk saja menghilangkan rasa haus ditekaknya. Ekor matanya melihat ada sebuah kereta berlambang BMW sudah berhenti dan memakir di bahu jalan tidak jauh dari gerainya. Model apa memang dia tidak arif. Melihat empunya diri yang keluar dari kereta dan mendatangi kedainya, dia jadi tersenyum.

“Beli bang..Cempedak goreng ada.. Pisang goreng ada..Keledek ada..Panas-panas lagi ni bang.” Seperti biasa itulah dialog menarik pelanggan. Sementara belum mendapat kerja tetap selepas tamat belajar, dia gembira menolong abahnya berniaga di tepi jalan.

 “Beri saya cempedek goreng ni lima ringgit,” ujar lelaki berparas wajah elok itu. Jari telunjukknya sudah menujuk kepada longgokan gorengan cempedak di dalam dulang yang tersedia. Sememangnya aroma cempedak goreng itu sangat menggoda nafsu. Memang sedap dimakan panas-panas.

Fatehah tetap memberi senyum walaupun pelanggannya itu macam tak ada hati pun nak senyum. Kacak juga sekali pandang dengan penampilan berkemeja dilipat hingga ke paras siku. Siap berkaca mata hitam lagi. Nampak smart. Kalau padang dua kali, emm..memang terserlah kekacakannya kut. One more..Berjambang. Tidak tahu sejak bilalah dia asyik dipertemukan dengan lelaki berjambang. Dan..Dan juga dia mula jatuh minat kepada lelaki ada jambang. Tapi yang berjambang pun yang nipis-nipis aje, bukan yang tebal macam bhai jual karpet tu.

First time ke abang singgah sini? Tak pernah nampak pun sebelum ni.” Fatehah ramah bertanya walaupun tengok pada cara lelaki tu macam tak ada gaya nak berbual dengannya. Boleh dikatakan dia dapat mengecam pelanggan yang sering hadir. Jadi yang seorang ni rasanya memang baru pertama kali dia nampak. Lagilah dengan muka yang tak reti nak senyum tu. Siap gaya berpeluk tubuh bagai.

 Hmm..” Hanya menjawab sekadarnya, retina mata yang terlindung di sebalik kaca mata hitam itu seakan tidak ralit memandang wajah gadis di hadapannya itu.

Fatehah terus saja membungkus sejumlah cempedak goreng seperti yang diminta pelanggannya itu. Walaupun tidak mendapat jawapan yang diharapkan, it’s okay. Biasalah. Pelanggan ni ada bermacam-macam ragam. Mungkin juga baru pulang dari kerja, penat. Tambahan pula dengan perut yang lapar. Memang mood nak berbual pun tak ada.

“Ni bang cempedaknya.” Bungkusan itu sudah dihulurkan berteman segaris senyuman. Namun, lelaki di hadapannya itu seakan terleka. Ya. Terleka dengan keindahan ciptaan makhluk tuhan yang nampak suci raut wajahnya itu. Juga senyuman yang dirasakan mampu menggocang hati seorang lelaki.

“Bang..” panggil Fatehah lagi.

Tersedar dari kelekaan, not lima ringgit terus dikeluarkan dari dompet sebagai bayarannya. Lelaki itu kemudian terus berlalu pergi sambil mencangking bungkusan cempedak goreng yang telah dibeli.

Fatehah hanya memerhati langkah lelaki itu menuju ke keretanya yang terpakir tidak jauh dari situ. Walaupun kian menjauh, namun empunya diri masih dipandang tanpa leka. Melihatkan kereta yang dinaiki lelaki itu nyatalah lelaki itu bukan biasa-biasa. Namun dia rasa bersyukur, lelaki itu sudi untuk singgah membeli cempedak goreng di gerainya yang tak seberapa itu. Cuma itu lah. Muka taraa senyum. Kalau senyum tu confirm melting habis.

Sementara itu…

“Teha..Kok berangan. Ada pelanggan lagi tu.” Teguran si ayah membuatkan Fatehah tersedar. Terleka kerana asyik memerhati empunya diri yang kini sudah pun memandu keretanya pergi.

Opss..Maaf, kak. Akak nak beli apa?” Terus dia melayan pelanggan yang datang sambil berbual mesra. Pelanggan terus datang dan pergi. Rasa sekejap sahaja berjual hari ni. Jualannya laku keras.

“Alhamdulillah. Sukanya Teha hari ni, bah. Makanan kita jual hari ni semuanya habis. Licin!” Fatehah berasa puas hati. Sambil itu tangannya lincah membantu abahnya mengemas kembali pekakas jualan ke dalam van milik abahnya.

“Alhamdulillah. Rezeki Allah.”

 

IFTITAH termangu. Sesekali dia mengeluh. Betulkah apa yang dia rasa? Dia dah terjatuh hati kepada si gadis gerai? Ah..Tak mungkin! Takkanlah hanya melihat sekejap waktu, dia boleh terjatuh hati. Namun, itulah persoalan yang bermain di benaknya sejak di dalam kereta petang tadi. Hakikatnya dia merasakan ada debaran hebat yang menyinggah perasaannya, malah, retina matanya juga seakan nakal dan terleka untuk terus memerhati wajah comel nan ayu itu. Tidak pernah pula dia berperangai sebegitu sebelum ini tatkala melihat perempuan-perempuan lain di luar sana.

        Raut wajah si gadis kembali terlayar di mata. Juga ukiran senyuman itu. Ya. Senyuman yang tenyata telah menggocang dan menggugat hati lelakinya. Malah tika membayangkan kini juga hatinya terasa bergetar. Ya Tuhan. Memang hebat kuasa senyuman gadis itu. Cuma sedikit dikesalkan, dia tidak mampu membalas senyuman itu. Mungkin kerana otot senyumnya belum sempat diajar untuk bertindak pada waktu yang sepatutnya. Ah..Pasti si gadis itu sempat mengutuk dirinya sombong sebab tak reti nak senyum.

Kembali termenung, soalan yang sama terus dipersoalkan. Serius ke dia dah terjatuh hati?

Nampaknya dia masih tidak percaya. Tetapi untuk menafikan, dia tidak tegar. Rasanya memang dia dah terjatuh hati kepada empunya diri. Buktinya, sekeping hati miliknya kini tidak memberontak sama sekali apabila dia cuba mengakuinya.

Dia kini bersandar di sofa sambil kedua belah tangannya menjadi alas kepala.

So…nak buat apa ya?” Soalan cepuemas itu terpacul keluar dari bibirnya.

Tacklelah. Bisik hatinya memberi jawapan.

Tackle?” Perkataan itu cuba dihadam sebaiknya.

Terus ingatannya terbang mengingat peristiwa di AzaCafe sebulan yang lalu. Ternyata kata-kata si gadis berbaju merah jambu itu masih melekat di kotak ingatannya. Tika itu juga dia sudah memberi ingatan kepada diri sendiri. Nak tackle awek jangan tayang muka ketat sangat der. Nanti awek tak suka.

Ya. Itulah yang akan dilakukan kini. Dia harus tackle gadis itu agar hati mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Syaratnya..Jangan tayang muka ketat.

Jemari Iftitah kini bermain dengan jambang nipisnya. Untuk menjayakan misi hatinya, langkah pertama yang seharusnya dia buat ialah dengan cuba melatih otot senyumnya menjadi lebih mesra. Padanya, senyuman edisi terhad a.k.a killer smilenya itu mampu menjadi kunci pemula kepada sesi perkenalan dua hati. Lalu dia bawa diri ke hadapan cermin, melihat biasan diri sendiri yang nampak kacak dan sedap mata memandang. Tapi kenyataannya, wajah itu tiada seri memikat kerana hilangnya segaris senyum. Nampak sombong dan berlagak. Ya..memang dia akuinya.

Beberapa kali Iftitah cuba melentur senyum di bibir. Senyum segaris dua saat, senyum manis sekadarnya, malah senyuman lebar hingga ke telinga juga cuba dipraktikkan. Namun rasa janggal. Ahh..Bagaimanakah senyuman sebenar yang di damba oleh si gadis?

Akhirnya dia ketuk kepala berkali-kali. Aneh dengan sikap sendiri yang tiba-tiba terkeluar dari norma kehidupan biasa. Agaknya beginilah ragam seorang lelaki apabila jatuh hati kepada seorang perempuan. Nampak impossible. Tapi itulah kenyataan.

Tekadnya esok dia akan kembali ke gerai itu atas dua sebab. Satu, kerana tekaknya memang menginginkan cempedak goreng gadis itu. Dan satu sebab lagi pastilah untuk misi hatinya. Andai debaran itu tetap ada, dia takkan lepaskan peluang itu.