Thursday 7 February 2013

Cerpen - Doaku Untukmu




Hari ini merupakan hari pertama Amira memulakan kerjanya. Walaupun hanya bekerja sebagai tea lady, dia amat bersyukur.Sekurang-kurangnya dia mempunyai pekerjaan dan akan beroleh wang untuk keperluannya dan juga simpanan untuk hari mendatang. Amira baru sahaja habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dan kini dalam ruang masa menanti keputusannya keluar. Ruang waktu yang agak panjang membuatkan dia terasa kebosanan. Dia meminta izin ibu bapanya untuk bekerja. Puan Misah dan Pak Hamid akur walaupun pada mulanya mereka seakan tidak bersetuju.
“Mak, Abah. Izinkan Mira kerja, ye. Mira janji akan jaga diri. Mira ingin berdikari. Mira sedar, Mira tidak sempurna seperti orang lain, tapi kecacatan Mira ni takkan mempengaruhi Mira. Kecacatan Mira ni cuma sedikit je. Niat Mira nak bantu keluarga kita je. Boleh ye, Mak…Abah,”pinta Mira bersungguh-sungguh.
Amira bersyukur kerana dia diterima bekerja. Dia tetap diberi kesempatan walaupun cacat. Dia tersenyum sendiri. Terasa hidupnya begitu bererti. Ia menganggapnya sebagai cabaran. Lagipun tempat kerjanya tidak terlalu jauh dari rumahnya, kira-kira 45 minit perjalanan dengan pengangkutan awam. Dia memanjat syukur ke atas rezeki Allah S.W.T kepadanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.
Imran yang baru hadir segera mendapatkan Amira, seakan mengetahui si empunya diri adalah pengganti Amy, tea lady sebelum ini. Amy kembali ke kampungnya di seberang lautan. Amira dan Imran saling memperkenalkan diri. Amira tidak lokek menghadiahkan senyumannya. Senyumannya berbalas. Imran kelihatannya seorang yang mesra.
“Assalamualaikum, Encik Imran,”ujar Amira lembut. Ucapan salamnya bersambut. Sesungguhnya ucapan salam itu merupakan satu doa dan senyuman itu adalah sedekah yang terindah.
“Amira. Sekejap lagi encik Amir sampai. Nanti awak hidangkan air untuk dia. Okey, Amira. Selamat bekerja.”
“Baik, encik Imran. Saya faham.” Amira menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.
Amira mengucapkan salam kepada encik Amir yang baru memunculkan diri di ruang pejabat. Dia yakin itulah empunya diri yang bernama Amir Asraf yang menduduki posisi kedua tertinggi di organisasi berkenaan, manakala Imran yang baru dikenali tadi merupakan pembantunya. Amira menguntum senyuman manisnya. Dia memang tidak lokek dengan senyuman, kerana dengan senyuman itulah dia dapat menggembirakan hatinya setiap kali bertemu orang lain.
Amira terdiam, tidak bersuara menanti reaksi majikannya itu. Dia sedikit hampa kerana ucapan salamnya tidak bersambut. Begitu juga senyumannya tidak berbalas. Namun Amira tetap mempamerkan wajahnya yang ceria. Mungkin encik Amir menjawab salamnya di dalam hati. Lelaki itu juga berkemungkinan sukar untuk mempamerkan senyumannya. Amira hanya meneka sendiri di dalam hati. Dia tidak berasa kecil hati.
“Eii, awak. Tolong buatkan saya air. Apa yang tercegat lagi kat sini!” Ujar Amir kedengaran sedikit kasar. Dia terus melangkah meninggalkan Amira. Amira menurut perintah. Segera dia ke pantry membancuh minuman.
Amira menghidangkan minuman seperti yang di minta. Diletakkan secawan minuman tersebut dengan berhati-hati, namun agak malang baginya apabila air tersebut tertumpah sedikit di atas meja.
“Hei,..Macam mana awak kerja ni. Awak ni nak kerja ke tak nak. Buat kerja tu betul-betul la. Kalau tumpah dekat dokumen saya ni macam mana. Lap cepat,”herdik Amir. Dia mendengus marah.
Amira terkejut. Dia segera mengucapkan kata maaf atas kecuainnya itu Dia tidak sangka diherdik begitu. Kasar benar bicara Amir padanya. Segera di lap air yang tertumpah itu. Jelingan tajam Amir menerpa seraut wajah Amira yang sedikit ketakutan. Amira tertunduk. Hatinya kesal.
Amira kembali meminta maaaf. Amir memaafkannya, namun dengusan nada suaranya jelas menunjukkan dia tidak ikhlas. Dia terus berbicara dengan penuh kesombongan, langsung tidak mesra. Perintahnya agar Amira membersihkan biliknya setiap hari. Susun atur barang-barangnya juga mesti sama seperti sebelumnya, jangan di ubah sesuka hati. Dia tidak suka barang-barangya di ubah susun aturnya. Hakikatnya, tugasan itu bukanlah di bawah tanggungjawab Amira. Amira akur menerima arahan itu.
“Awak boleh keluar sekarang.” Amir mengisyaratkan tangannya meminta Amira keluar. Wajah Amira tidak di pandang langsung. Ketegasan suara Amir dan caranya itu membuatkan Amira kecewa. Amira menapak keluar. Kakinya terdengkut-dengkut mengatur langah. Dia menutup pintu kaca itu dengan sesenyap bunyi.
Amira kembali meneruskan tugasnya. Dia menarik nafas mencari kelegaan. Dia menerima apa yang berlaku sebagai ujian dan cabaran untuknya. Dia mengukir senyuman sendiri sebagai kekuatan dan penawar untuk menghadapi kesedihannya. “Semoga hatinya tidak sekeras batu.” Dalam hatinya dia berdoa agar encik Amir berubah sikap. Teringin dihatinya untuk melihat wajah itu mengukir senyuman. Pasti wajah itu kelihatan lebih menarik dan mendamaikan hati.
Di suatu ketika, Amira terlihat lelaki itu melirik senyuman sewaktu berbual dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Kalbunya meruntun kasih. Dia tidak tahu mengapa perasaanya begitu, walaupun tadi dia telah diherdik kasar oleh Amir.
****
Sudah hampir sebulan Amira bekerja di organisasi itu. Hatinya gembira, walaupun terpalit sedikit kekecewaan. Namun kekecewaan itu tidak pernah ditunjukkan, sebaliknya kecerian wajah senantiasa menemani langkah hidupnya. Hatinya ikhlas mendoakan yang terbaik untuk orang yang berada di sisinya.
Setiap hari apabila mengemas bilik encik Amir, Amira akan menitipkan cebisan kertas putih  bercoretkan ucapan salam. “Selamat sejahtera ke atas kamu, semoga dirahmati Allah.” Titipan doa itu sengaja di selitkan di bawah bekas pena milik encik Amir. Majikannya itu tidak pernah langsung mempersoalkan tindakannya itu.  Dia pasti encik Amir menyimpan titipan itu kerana dia tidak pernah langsung menjumpai cebisan kertas itu di dalam bekas sampah di bilik kecil itu. Cuma dia kecewa, majikannya itu sering menyalahkannya atas perkara yang remeh-temeh.
Di suatu hari yang damai, terpalit kelukaan yang membawa kepada episod sedih kehidupan. Amira melangkah keluar dari bilik Amir sambil memegang pipinya yang masih terasa hangat dek tamparan yang tidak di duga itu. Tidak tersangka olehnya encik Amir tergamak menampar pipinya gara-gara dia terlambat masuk ke pejabat. Permata hangat hadir menemani perasaan hatinya yang sedih bercampur kecewa itu. Di sekanya permata itu agar tidak terus berguguran.
Imran terkejut apabila telinganya menangkap suara kemarahan Amir. Dia segera mendapatkan Amira yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut, tetapi gadis itu terus melangkah pergi.  Imran tercengang. Dia segera masuk menagih jawapan daripada Amir.
Imran bertanyakan situasi sebenar. Mengapa Amir sanggup menampar Amira dan atas kesilapan apa gadis itu diperlakukan sedemikian rupa. Sebesar mana kesilapannya sehingga penampar hinggap ke pipi gadis yang mulus itu. Adakah ia tindakan yang wajar. Imran mempersoalkan.
Amir berang dalam berbicara. Dia mempersoalkan akan kelewatan Amira ke ruang pejabatnya. Sedangkan Amira sepatutnya hadir lebih awal daripadanya. Namun dari nada bicara Amir, dia sepertinya tidak menunjukkan rasa bersalah akan kekasaran sikapnya itu. Dia masih menatap komputer riba di hadapannya, menekan papan kekunci menaip sesuatu. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Imran berasa marah dengan tindakan Amir. Padanya cara Amir melampaui batas, kerana tindakan itu bukan hukuman yang beretika. Hukuman itu tidak tersenarai langsung dalam undang-undang dan peraturan di dalam organisasi itu. Dia tahu Amir menghukum Amira dengan emosi.
Imran menjelaskan situasi sebenar Amira. Amir harus tahu akan sebab kelewatan gadis itu ke pejabat. Kesihatan Amira agak kurang baik, maka dengan itu dia meminta izin untuk pergi ke klinik tidak jauh dari pejabat berkenan. Sungguh pun begitu, Imran memberikan pelepasan kepada Amira supaya pulang ke rumah, namun gadis itu tetap berkeras.
Wajah Imran bertukar kelat. Dia kecewa kerana Amir seakan sengaja acuh tidak acuh mendengar bicaranya. Harapannya agar lelaki itu mengakui kesilapannya.
 “Yelah tu. Kau sengaja nak membela dia. Aku tak heranlah kalau dia tak kerja kat sini. Tak rugi pun. Setakat tea lady je. Dahlah jalan tempang.” Hina Amir dengan kebencian hatinya.
Imran beristighfar. Tak tersangka olehnya Amir sanggup berkata sekasar itu. Amir sanggup menghina makhluk ciptaan Allah yang indah itu, walaupun secara zahirnya tidak sempurna pada mata yang melihatnya. Imran sedaya upaya mempertahankan Amira. Sejak Amira bekerja di sini, dia dapat mempelajari banyak perkara dari gadis itu.  Walaupun dia hanya gadis belasan tahun, tetapi kematangannya berfikir melebihi orang yang lebih berusia darinya.
“Kau jangan hina dia sebegitu, Mir. Walaupun dia tu cacat, tapi hati dia baik. Dia tabah menempuh hidup dia. Sepatutnya kau sokong dia. Bukan hina dia. Mir. Kecacatan dia kau nampak, hakikatnya kita semua ni tak sempurna, Mir. Kau jangan ingat diri kau tu baik sangat, sempurna walaupun kau berharta. Itu bukan jaminan hidup kita di dunia ni. Di sisi Allah, kita tetap sama. Kita hanya hambaNya yang kerdil. Kau sedarlah, Mir.”
Amir terus memekakkan telinga.
 “Kau tahu tak Mir, Amira tu selalu doakan yang baik-baik untuk kau. Kau pula maki dia tak tentu pasal. Aku tak tahu apa yang kau fikirkan. Aku perasan kau sepertinya tidak suka dengan Amira tu, tapi aku pelik, kau tak pula pecat dia. Kalau kau tak suka, mesti kau dah singkirkan dia sejak awal-awal lagi, kan.”
“Lagi satu aku perasan, cara kau berubah selepas kehadiran Amira di sini. Kenapa Mir? Kenapa kau sering marah-marah dia, tapi tidak pula dengan orang lain. Amira pula selalu bersabar dengan kau. Tidak pula dia buruk-burukkan kau. Apa yang selalu dia kata pada aku, dia akan doakan yang terbaik untuk orang berada di sisinya termasuk kau kerana kita semua bersaudara. Kau cubalah buka hati kau.  Hilangkan kebencian tu.” Imran berbicara panjang lebar.
Amir merengus marah. Telinganya terasa panas dengan bebelan Imran yang semakin panjang. Pandangannya kini di lempar pada Imran dengan sisa kemarahan.
Imran kini duduk di kerusi berhadapan Amir tanpa di pelawa. Dia mesti menasihati kawannya itu. Tidak mungkin dia akan membiarkan kawannya itu terus-terusan membeci seorang insan yang cacat seperti Amira. Di mana hak Amira jika dia sebagai saudara sesama Islam tidak mempertahankan.
Nada suara Imran berubah. Ia lebih kendur berbanding tadi. Dia mengharapakan bicaranya dapat memujuk hati Amir yang masih diseliputi bara yang masih bernyala walaupun sedikit. Semoga bicaranya menjadi air yang lama-kelamaan akan berupaya memadam bara itu.
“Aku tak bermaksud nak tinggikan suara dengan kau, Mir. Aku hormat kau sebagai majikan dan kawan. Aku kecewa dengan sikap kau. Cuma nak beritahu kau. Aku harap kau sedar apa yang kau dah buat pada Amira. Minta maaf dengan dia. Harapan aku sama seperti Amira. Harapannya agar kau berubah sebab dia percaya seseorang itu boleh berubah kalau dia mahu.” Imran berbicara lembut. Harapannya tinggi, setinggi harapan Amira.
Amir merengus marah. Tangannya kuat menghentak meja. Imran terkejut. Gara-gara Amira, mereka berdua bertegang urat.
“Aku tak tahu apa jampi budak Amira, si cacat tu dekat kau, sampai kau terpengaruh dengan dia. Kau jangan nak nasihatkan aku, Im. Kau, kalau dah jatuh cinta dengan budak tu cacat tu, kau pergilah bercinta dengan dia. Aku tak kisah pun. Tapi, kau ingat. Jangan cari aku lagi,” marah Amir. Dengus nafasnya kasar. Dia keluar meninggalkan bilik pejabatnya itu meninggalkan Imran keseorangan terpinga-pinga.
“Mir…”pangil Imran.
Amir tidak mengendahkan. Dia keluar. Pintu biliknya di hempas kuat.
****
Amir memecut laju keretanya. Kelopak matanya bergenang. Hakikatnya, bicara Imran mengusik hati kecilnya. Namun dia terlalu ego untuk mengakui kesilapannya.Nama Amira di sebut berulang kali. Terasa menyesal dengan tindakannya. Namun apabila di pertengahan jalan dia terpandang kelibat seorang gadis perempuan terdengkut-dengkut menyusun langkah kakinya yang tempang. Dia yakin itulah Amira. Dia sangat mengenali susuk tubuh yang genit itu. Apabila terlihat akan Amira, bisikan jahat kembali mengatasi sekutum rasa kasih yang mula berputik di hatinya. Bisikan syaitan itu kembali menyuntik kebenciannya pada Amira. Hatinya keras kembali, memaksa terus membenci.
“Ooo, budak cacat ni rupanya. Kau terimalah padahnya. Di sebabkan kau, aku bergaduh dengan kawan baik aku sendiri.”
 Amir menekan pedal minyaknya. Keretanya menluncur laju. Namun tatkala itu kepalanya terasa sakit yang amat. Pandangannya kian kabur. Muncul wajah Amira mengukir senyum. Bibirnya berbicara. “Selamat sejahahtera ke atas kamu, encik Amir.” Ungkapan Amira itu membuatkan Amir terkejut. Kakinya pantas menekan brek.
“Screeeet…..”berdecit bunyi tayar keretanya.
Pandangannya gelap.
Amir meracau-racau memanggil nama Amira. Berulangkali nama itu meniti di bibirnya. Setelah itu baru dia tersedar dari pengsannya. Dia memerhati sekeliling dengan pandangan yang masih berbalam-balam. Kabur. Pandangannya kian jelas.
“Im…”ucapnya perlahan. Imran mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana Amir selamat.
Amir berterus-terusan bertanyakan Amira tanpa mempedulikan dirinya yang masih berkeadaan lemah. Imran berusaha menenangkan sahabatnya itu. Amira baru di pindahkan dari unit kecemasan, ICU. Itulah jawapan terkini yang di terima dari Dr. Zain yang juga merupakan temannya.
Keadaan Amir kian tidak tenteram. Dia memeluk tubuhnya yang terasa mennggigil. Di peluk tubuhnya erat-erat. “Aku dah langgar dia, Im. Aku dah langgar Amira.” Ujar Amir separuh menjerit. Wajahnya kian takut. Imran terkejut.
“Apa yang kau cakapkan ni, Mir. Kau tu yang kena langgar, kau tahu tak. Selamatlah kau tak apa-apa.” Wajah gusar Amir di pandang,
“Habis tu Amira. Siapa yang langgar Amira?” Amir masih merintih jawapan. Suaranya terketar-ketar hampir menangis.
Imran menjelaskan cerita sebenarnya. Hakikatnya bukan Amir yang melanggar Amira, namun kejadian malang itu berpunca dari sebuah kereta Honda yang di percayai terbabas memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar kereta yang di pandu Amir. Dalam pada itu, kereta terbabit berpusing beberapa kali sebelum melanggar Amira di bahu jalan.
Amir menangis tiba-tiba. “Tapi, aku memang ada niat nak langgar dia, Im. Tapi, aku….”kendur Amir meluahkan kata-kata. Dia tidak mampu menghabiskan bicaranya. Dia kembali menangis.
“Astaghfirullahalazim, Mir.” Imran mengucap panjang. Hanya itu yang mampu terlafaz dari bibirnya tatkala mendengar niat Amir itu.  “Mungkin ini petunjuk Allah kepada kau, Mir,”ujar Imran seraya memandang wajah nan sayu yang masih berbaki air mata itu.
Amir berlari menuju ke wad yang menempatkan Amira. Masih ternanti di situ seorang perempuan di pertengahan usia senja bersama seorang gadis belasan tahun. Dia yakin itulah ibu dan adik kepada Amira.
“Mak cik ni ibu Amira ke? tanya Amir sambil menatap wajah sugul di hadapannya. Perempuan tua itu mengangguk perlahan.
“Maafkan saya, mak cik…Sa..ya..saya…bersalah pada Amira…” Amir berterus-terang.Nada suaranya kendur melempiaskan rasa kesedihan di hati. Hatinya turut berduka.
Wajah yang sugul itu kini berubah wajah. Air mukanya seakan terkejut dan marah.”Kau..Kau…Sampai hati kau…” Suara Puan Misah tersekat-sekat.Perasaannya bergoncang marah.  
“Ampunkan saya makcik...ampunkan saya. Saya yang bersalah.”rayu Amir memohon pengertian dan kemaafan.
“Pergi…Pergi. Jangan kau datang sini. Aku tak nak tengok muka kau. Pergi…Kau nak apa lagi. Kau bunuh anak aku…Kau bunuh anak aku. Tergamak kau. Pergi…aku tak nak tengok muka kau dekat sini….Pergi…Pergi…” jerit Puan Misah. Lama-kelamaan suaranya kian sayu ditenggelami suara tangisannya.
Suara sayu itu menyentap hati dan perasaan sesiapa yang mendengarnya. Hatinya remuk bercampur marah. Dia tidak dapat menahan emosinya. Kelukaan hatinya dihambur kepada Amir. Tangisannya meruntun perasaan. Hancur hati seorang ibu apabila anak yang disayangi kini terbaring kaku namun masih belum putus nafas. Koma dia atas katil.
“Mak cik ampunkan saya, mak cik. Saya benar-benar minta maaf,”rayu Amir lagi. Puan Misah memaling muka. Tidak sanggup melihat orang yang membuatkan anaknya hampir hilang nyawa.
 “Pergi..Aku takkan maafkan kau..” ujar Puan Misah lagi. Parut lukanya tidak mungkin sembuh sesingkat waktu itu.
“Mak cik, ampunkan saya..Saya rayu pada mak cik. Saya sedar saya yang salah. Saya yang salah, mak cik..Ampunkan saya makcik.” Amir melutut di situ meminta belas kasihan ibu tua itu agar memaafkannya. Dia tidak mempedulikan pandangan orang lain yang melihatnya. Imran cuba menenangkannya, namun Amir seakan tidak mempedulikannya.
“Aku kata pergi…pergi…”suara Puan Misah hampir tidak kedengaran. Suara tangisannya masih terhambur seakan sukar untuk diempang. Dia memeluk anak gadisnya yang masih setia menemaninya di situ. Gadis itu tetap berusaha memujuk ibunya. “Sabarlah, bu. Kita doakan kakak selamat.”
Tolonglah makcik. Kalau mak cik tak maafkan saya, sekurang-kurangnya izinkanlah saya berjumpa Amira. Saya ingin minta maaf dengan Amira.”Amir masih merayu.
Kini, terdengar derapan kaki yang kian menghampiri. Seorang lelaki berkopiah putih merenung wajah sugul nan sayu yang masih melutut di situ. Wajah tua itu kelihatan suram, namun bibirnya masih mahu menguntum sebaris senyuman kepada Amir. Tangan tua itu mengelus lembut bahu Amir. “Bangun nak. Bangunlah.” Suara lembut itu membuatkan Amir terkesima. Sentuhan kasih lelaki itu membuatkan hatinya sayu.
Amir bangun dan menatap wajah tua di hadapannya itu. “Saya bersalah pak cik…Saya yang menyebabkan Amira jadi begini..Ampunkan saya, pak cik. Kalau apa-apa terjadi dengan Amira,pak cik hukumlah saya.” Suara Amir sayu. Dia dicengkam rasa bersalah. Dia pasti akan menyalahkan dirinya sendiri dengan kejadian yang berlaku.
Lelaki tua itu menggeleng perlahan. “Anak…Mintalah ampun dengan Allah. DIA itu Maha Pengampun. Pak cik ni juga hanya manusia biasa. Pak cik tidak punya kuasa nak hukum kamu. Memang pak cik kesal dengan apa yang berlaku, tetapi pak cik yakin dengan kamu. Pak cik yakin kamu dah sedar dan insaf. Kamu berani berterus terang dengan kami itu pun sudah memadai. Pak cik maafkan kamu, nak. Pak cik maafkan.”
“Terima kasih, pak cik. Terima kasih..”ucap Amir. Dia merangkul erat tubuh lelaki tua yang kian melidi itu.Tidak tersangka olehnya keikhlasan lelaki tua itu memaafkannya. Kolam matanya kembali bertakung. Rasa sungguh terharu.
“Tapi,mak cik….”Amin sedih dalam bicara. Rasa bersalah masih bersarang di hati. Dia juga perlu mendapatkan kemaafan dari Puan Misah.
“Biarkanlah dulu. Mak cik pasti maafkan kamu, nak. Sekarang ni dia masih tidak boleh terima dengan apa yang berlaku pada Amira. Dia masih terkejut. Bersabarlah nak, ye.” Ujar Pak Hamid seakan memujuk hati anak muda yang masih menanti kemaafan itu.
Amir mengangguk mengerti. Dia sangat mengharapkan kemaafan itu. Kemaafan dari seorang wanita yang bergelar ibu serta Amira sendiri dan yang paling utama ialah keampunan daripada Allah. “Ya Allah….ampunkanlah dosa hambaMu ini.. Ya Allah… HambaMu ini khilaf, Ya Allah…”Doa dari sekeping hati yang mengharapkan keampunan. Mutiara jernih kembali  menemani perasaan sayu di hatinya.
“Pak cik…Boleh saya bertemu dengan Amira.”Pinta Amir sambil meyeka titisan air matanya yang masih berbaki.
“Boleh nak. Nanti. Sekejap lagi waktu melawat ye, nak. Anak duduklah dulu,” ujar Pak Hamid lembut.
Pak Hamid melangkah perlahan-lahan dan mengambil posisi bersesebelahan isterinya. Langkahnya yang tempang mengejutkan Amir. Sedari tadi dia tidak perasan akan kecacatan lelaki tua itu. Sebegitu insan yang cacat, namun mempunyai hati yang murni. Amir meraup muka.
“Ya Allah…ampunkan hambaMu ini, Ya Allah.” Rintihnya berkali-kali. Selama ini dia terlalu memandang hina insan yang cacat, terutamanya Amira.
“Amira, maafkan saya Amira” ucapnya dalam kesedihan.
Amir melihat sekujur tubuh yang ‘terlena’ di pembaringan. Lenanya begitu panjang. Semangat juangnya untuk bangkit seakan terkulai. Dia tidak mampu. Hanya mampu untuk terlena  dan terus terlena. Amira koma setelah kejadian malang itu menimpanya.
Air mata Amir berguguran. Sebak. Di sekanya berulang kali, namun ia masih terus gugur. Tatkala menatap sayu wajah yang lesu itu, Bibirnya tidak jemu memohon kemaafan dari Amira. Dia sedar dia yang bersalah.
“Salam sejahtera ke atas kamu, Amira.” Ucap Amir perlahan dalam sebaknya yang tertatahan-tahan. “Saya rindukan doa kamu Amira.”sambungnya lagi.
Tubuh lesu Amira tidak memberi sebarang tindak balas. Kekal kaku seakan memencilkan diri dan tidak mahu diganggu.
Amir mengalirkan air mata. Hatinya sebak. Dia sangat mengharap agar Amira sembuh seperti sedia kala. Suatu yang penting ialah kemaafan dari insan itu. Dia pasti hidupnya tidak akan tenang selagi kesalahannya tidak dimaafkan. Suara sebak nan sayu Amir kembali memenuhi ruang wad kecil itu.
“Doakanlah untuk dia, nak. Dia mengharap doa kamu. Semoga dengan berkat doa kamu, dia akan kuat untuk terus berjuang demi hidupnya.” Pujuk Pak Hamid terhadap anak muda yang berduka itu.
Hampir setiap hari Amir datang melawat Amira. Kadang kala dia di temani Imran. Sahabatnya itu setia menemani.  Ucapan pertama Amir untuk Amira adalah doa untuk kesejahteraan insan itu, sama seperti titipan doa Amira untuknya.
“Salam sejahtera ke atas kamu, Amira. Semoga dirahmati Allah.” Itulah ucapan yang terzahir dari mulutnya setiap kali dia menziarahi dan menatap sayu wajah yang lesu itu. Empunya diri masih terlena dalam mimpi yang panjang.
****
“Abang…”Panggil satu suara. Suara lembut nan sayu itu membuatkan Amir terkesima. Dia mencari-cari empunya suara itu. Namun tiada sesiapa di situ. Hanya dia keseorangan. Dia memeluk dirinya yang kedinginan. Dia terus berjalan mencari arah suara yang masih memangggil-manggilnya. Kayuhan kakinya semakin perlahan. Dia terhenti. Kakinya tidak mampu untuk terus berjalan. Akhirnya dia melutut jua di bumi Allah. Nafasnya tercungap-cungap. Terasa kehangatan manik-manik jernih berguguran dalam kesyahduan hatinya. Amir terasa sebak.
“Abang…”panggil suara itu lagi. Suara itu kian jelas dipendengaran Amir. Dia mendongak melihat empunya diri yang hadir di hadapannya. Seorang gadis. Dia sama sekali tidak mengenali wajah itu kerana terlidung di sebalik kain kerudung yang dipakainya.
“Selamat sejahtera ke atas kamu, Abang.” Tutur empunya diri. Sebaris senyuman indah di hadiahkan kepada Amir.
“Aaa…mira.” Ucap Amir perlahan. Tangannya ingin mengapai huluran yang masih belum bersambut itu. Namun, ia kian kelam dan hilang dari pandangan. Amir sebak. Air matanya tidak tertanggung kini. Ia terus berguguran membasahi pipi.
Kini, seruan azan Isyak berkumandang sayu di corong radio, menuntut Muslimin dan Muslimat menghambakan diri kepada Maha Penguasa Alam. Amir terjaga. Rupanya dia bermimpi. Setelah terlena selepas sembahyang Maghrib.
Terasa kolam matanya masih bersisa syahdu air mata. Dadanya berdebar kencang berbaki sebak. “Astaqfirullahal’azim.”Ucapnya berulang kali. Mukanya di raup perlahan mencari kelegaan.
“Ya Allah, ampunkan hambaMu ini, Ya Allah.” Amir merintih dalam kesyahduan emosi. Air matanya terus gugur.
Suara azan masih berkumandang. Amir masih membeku diri. Dia memeluk tubuh di sofa. Bibirnya terkunci bicara. Hanya mendengar seruan azimat itu sehingga ke penghujungnya.
Amir kini duduk di tikar sembahyang. Dia baru selesai merendahkan diri kepada Yang Maha Esa, tuhan Pencipta Alam Semesta. Sudah lama rasanya dia tidak bersembahyang. Mindanya masih menginggati bait-bait suci Kalam Allah, namun kadang kala lidahnya seakan kelu untuk melafazkannya. Dia berdoa mengharapkan keampunan Allah.
****
“Abang…”suara Amira kedegaran perlahan. Air matanya mengalir perlahan dari kelopak matanya. Dia baru tersedar dari lenanya yang panjang. Keadaanya terlalu lemah. Matanya memerhatikan keadaan sekeliling. Wajah-wajah orang yang disayang setia menanti di sisinya. Dia mencari seseorang. Namun tidak kelihatan walaupun dirinya selalu mendengar suara itu mengucapkan salam padanya.
Amir menerima panggilan daripada hospital. Berita menggembirakan. Amira telah sedar. Amir mengucapkan syukur. Bergegas dia menuju ke hospital. Dikala itu hujan turun renyai-renyai membasahi bumi.
Amir memecut laju keretanya. Dia ingin segera sampai ke hospital. Lama-kelamaan pandangannya terasa kabur dan kian gelap.
“Allah…Allah...” Ucapnya berkali-kali. Nafasnya terhenti. Kemalangan yang berlaku itu benar-benar mengerikan.
Amira hanya mampu menangis dan menangis. Wajahnya mendung tatkala menerima diari Amir yang diserahkan oleh Imran. Dia membaca coretan itu dengan linangan air mata. Sebak hatinya tidak mampu ditahan. Mendung diwajahnya kini mula mengundang hujan yang kian lebat. Murah benar air matanya dikala itu. Helain corertan itu basah dihujani air mata. Ia cuab diseka, namun masih juga gugur. “Abang…”ucapnya dengan penuh kesyahduan.

Amira…
Terasa ingin benar mendengar Amira memanggil diri ini Abang. Andai diberi kesempatan untuk memilih, pasti Abang akan memilih Amira menjadi adik abang. Pasti Abang jaga Amira sebaiknya. Adik yang baik, mentaati perintah Allah dan Rasul serta ibu bapa. Harapan Abang agar Amira menjadi insan yang solehah. Itulah doa abang untukmu, Amira.

Abang gembira setiap kali menerima titipan doa Amira setiap pagi. Doa Amira sentiasa menemani hidup abang setiap hari. Setiap titipan doa Amira  abang simpan.“Salam sejahtera ke atas kamu, encik Amir. Semoga dirahmati Allah.”Itulah titipan doa Amira untuk abang.

Kini, disaat kamu terlena dalam pembaringan, terasa sedih dihati ini, Abang bersalah pada kamu, Amira. Abang menafikan kasih abang pada kamu, dan sebaliknya memilih kebencian yang membawa luka di hati. Abang berdosa kerana pernah berniat untuk membunuh kamu. Abang khilaf…Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Abang kini sedar dan insaf.
Abang akan senantiasa mendoakan kamu sepertimana kamu senantiasa mendoakan abang. Abang sangat berharap agar kamu kuat untuk sembuh dan sihat seperti dahulu.“Salam sejahtera juga ke atas kamu, Amira. Semoga Allah memberkati kamu.”

Ucapan salam itu mungkin biasa, namun pada Abang ucapan itu amat bermakna. Ucapan salam itu adalah doa yang ideal. Ucapan yang saling mendoakan antara satu sama lain. Ucapan yang mengikat kasih sesama Islam, sama seperti ungkapan cinta yang berbalas. Indahnya jika setiap hati menghayati ucapan salam itu, seperti menghayati indahnya cinta.

Adikku, Amira…
Abang rindukan senyuman kamu kerana membuatkan hati ini damai. Namun setiap kali abang berhadapan dengan kamu, senyuman abang menjadi kelat. Maafkan Abang, Amira. Semoga dikau segera sembuh dan kembali membahagiakan hati ini. Hati ini benar-benar merindukan kamu. Maafkan Abang. Semoga doa Abang akan sentiasa mengiringi hidup kamu.

Coretan itu sebenarnya adalah luahan hati Amir di dalam diari miliknya. Imran menjumpainya di dalam laci di bilik Amir, di pejabat. Bersama diari itu adalah helaian-helain titipan coretan doa Amira untuknya. Amira terus menangis. Kini, insan yang ingin di panggil abang itu telah bersemadi di perut bumi.

****
Sekeping foto lama yang masih tersimpan kemas di dalam diari Amir membuka satu rahsia baru. Coretan diarinya amat menyentuh kalbu, iaitu keinginannya untuk berjumpa ibu kandungnya yang telah terpisah. Ternyata Puan Misah, ibu Amira amat mengenali wajah di dalam foto itu. Dia terduduk lemah. Hanya air matanya yang mengalir. Dia yakin Amir adalah anak kandungnya.
Kisah dahulu, Khamisah telah melahirkan seorang bayi lelaki. Namun bayinya itu telah di bawa pergi oleh suaminya meninggalkan dirinya terkontang-kanting seorang diri. Akhirnya dia dipertemukan dengan Hamid seorang lelaki tempang yang sangat baik hati dan banyak menolongnya. Akhirnya mereka bernikah. Amira lahir cacat seperti bapanya. Amiralah menjadi pengubat sedih di hatinya setelah kehilangan anak lelaki yang tidak langsung diketahui namanya.
Amir pula telah dibawa pergi oleh ayah dan neneknya berhijrah ke luar negara.  Amir kembali ke tanah air dengan tekad untuk menjejak ibu kandungnya. Namun, hasratnya masih belum tercapai.
“Amira… Amir itu abang kamu, nak.” Kata-kata ibunya itu membuatkan Amira terkejut. Tidak mampu berkata-kata. Adakah ia suatu berita gembira atau menyedihkan.
“Seandainya abang Amir masih ada, dia pasti gembira mendengar berita ini. Bertemu dengan insan yang ingin dibelai dan dikasihi, serta seorang insan yang ingin di panggil adik.” Amira hanya mampu berbicara dalam hatinya. Namun dia redha. Itu adalah takdir.
Amira menadah tangan berdoa ke hadrat Ilahi. Dia mendoakan kesejahteraan insan-insan yang disayangi. Tidak terkecuali untuk Amir.“Ya Allah. Ampunilah dosa abangku. Semoga dia di tempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.”
“Abangku Amir. Adikmu ini akan sentiasa mengirimkan doa untukmu.”  

TAMAT
Hak Cipta Terpelihara : Isme_Ana Nur
 Karya 2 tahun lepas. Hihi…

 

Tuesday 5 February 2013

Cerpen - Potret Kasih


ZAHRAH ALWANI merenung sepi pada sekeping foto lama di dalam album gambar miliknya.Gambar tersebut dikeluarkan dan ditatap tanpa rasa jemu. Wajah seorang perempuan muda berselendang kuning keemasan menyerlahkan keayuan rupa parasnya. Zahrah Alwani tersenyum menampakkan lekukkan di sudut pipi kanannya.Lesung pipitnya terserlah.
“Cantiknya ibu semasa anak dara ya, Mak Long. Tapi kenapa muka Ara tak macam muka ibu.Kulit ibu putih, kulit Ara ni gelap,” ujar Ara sambil melentok manja di bahu Mak Longnya. Mak Long Piah hanya tertawa mendengar bicara anak saudaranya itu.
“Mak Ara tu suka sangat minum air soya.Sebab tulah kulit dia putih bersih aje. Si Ara pula suka sangat makan kicap.Tu yang gelap, tak cerah-cerah,” gurau Mak Long Piah sambil mencubit lembut pipi mulus Ara. Ara tertawa gembira.
“Betul ke Mak Long?  Tapi, kicap juga diperbuat daripada soya, kan. Ara pun suka makan tempe. Soya juga tu,” jawab Ara kembali. Kepalanya masih tersandar dibahu Mak Longnya. Itulah tempat bermanjanya.
“Isy, budak ni. Ada saja jawabnya.”
Ara hanya tersengih-sengih.
“Tapi, ibu dah lama pergi. Ara masih rindu nak bermesra dan bermanja dengan ibu.” Suara Ara bertukar nada. Kedengaran sayu dipendengaran. Mak Long Piah terdiam. Dia tahu kesedihan hati anak saudaranya itu. Ara adalah anak satu-satunya kepada adiknya yang bongsu, Siti Musliha yang telah meninggal dunia hampir 0 tahun lalu. Sejak itu dialah yang membesarkan Ara seperti anak sendiri.
“Arakan masih ada Mak Long, Pak Long dan Kak Anis. Mak Long pun sedih apabila ibu Ara meninggal.Tapi Mak Long redha. Mak Long tak sanggup nak lihat penderitaan ibu Ara. Ara pun kena redha. Arakan dah belajar. Kita mesti yakin dengan Qada’ dan Qadar Allah,” jelas Mak Long Piah sambil mengelus lembut rambut Ara yang kian terjuntai menutupi sebahagian dahinya yang agak luas itu.
Ara mengangguk. Kini dia sememangnya mengerti dan tidak sekali-kali menyalahkan takdir. Cuma dahulu dia masih belum mencapai tahap untuk mengerti akan semua itu. Ibunya pergi sewaku dia masih bersekolah darjah satu sekolah rendah.Hidupnya pada waktu itu masih asyik dengan dunia kanak-kanak. Dia juga tidak langsung mengetahui derita yang ditanggung ibunya. Akibat menanggung derita barah hati, ibu si ratu hatinya, akhirnya pergi meninggalkan dirinya untuk selama-lamanya. Dia menangis dan terus menangis.Menangisi pemergian insan tersayang.Hampir setiap hari hanya mutiara panas jatuh ke lembah pipinya.
Ara menyeka kelopak matanya yang bergenang. Peristiwa lalu mengusik jiwanya.Sebelum sempat mutiara panas itu gugur ke pipi, pantas tangannya menyeka dengan hujung jari.
Ara mula terkenangkan satu nama. “Ayah.”
Ya..Dia langsung tidak mengenali wajah insan yang bergelar ayah kandungnya sendiri. Apabila ditanya kepada ibu sewaktu hayatnya, di mana ayah, ibunya pasti akan menyepi diri. Suram wajah ibu setiap kali soalan itu diajukan kepadanya. Wajah comel Ara pasti dicium lembut. Pelukannya erat merantai dua hati. Kadang-kala wanita kesayangannya itu menangis, dia akan turut menangis.
 “Ayahmu telah pergi jauh. Dia telah meninggal kita, nak.” Seringkali pertanyaan itu diajukan, dia pasti menerima jawapan yang sama daripada ibunya. Mak Long juga bilang begitu. Akhirnya Ara mengerti.Dia sudah tidak punya ayah.
            “Muka Ara tak iras arwah ibu, agaknya muka Ara ni pasti mirip ayah, ya Mak Long?” Bicara Ara sedikit menyentuh hati tua Mak Long Piah.
“Betul ke ayah dah meninggal, Mak Long ?” aju Ara kepada insan tua yang sudah meniti usia itu.“Dulu, Ara yakin dengan apa yang ibu cakap, tapi sekarang ni Ara rasa macam ada sesuatu. Ara dapat rasakan, ayah masih ada. Hati Ara selalu menjerit memberitahu yang ayah masih ada, cuma…” Wajah tua di sisinya dipandang. Terkelu lidah wanita itu. Dia juga tidak punya kata untuk dibicarakan.Jernih renungan mata Ara meminta secebis pengertian. Riak wajah wanita lebih separuh abad itu nyata berubah. Sedikit mendung. Mata Mak Long Piah jadi berkaca. Hatinya turut dijentik rasa sebak.Dia tahu anak saudaranya terlalu merindu. Merindu insan yang berpertalian kasih dengannya.
Lembaran sejarah lalu dibuka menjadi ingatan.Kisah duka terpalit dalam kamus kehidupan. Badai ombak menjadi sumpahan. Perginya sang suami tanpa pesan. Anugerah cinta pula masih baru berusia dua bulan di dalam kandungan. Terpanah hati si isteri dengan seribu kelukaan yang dalam.
Sejuk sang angin seawal pagi mengiringi kudrat seorang lelaki turun ke laut bersama kolek nan uzur sebagai teman berjuang. Lautan terbentang menjadi sumber mata pencarian. Namun, rencana takdir tiada siapa mampu menghalang. Hari itu membawa kepada suara tangisan seorang insan bergelar isteri dan juga bakal ibu kepada anak yang dikandungnya kini. Detik waktu bermula dengan suram wajah alam yang tiba-tiba berubah. Ribut melanda. Samudera pula menggila. Namun, ia bukan tsunami yang meragut ribuan nyawa. Si nelayan disahkan karam di lautan. Lebih memilukan hati, mayatnya tidak dijumpai walaupun banyak usaha telah di akukan.Logik akal memberitahu tiada yang bisa selamat akibat kejadian itu.
Si isteri bernama Siti Musliha menanggung derita. Doanya kepada Maha Pencipta Alam tidak pernah putus.Dia sangat berharap agar suaminya masih hidup dan kembali kepadanya.Hampir setiap hari dia akan pergi menanti suaminya di pesisir lautan. Dia tidak berputus asa dan tidak akan menerima kematian suaminya selagi jasadnya tidak bersemadi di tanah. Namun, penantian dan harapannya hanya tinggal mimpi. Semangatnya kian pudar. Dia sangat terkilan. Tangisannya syahdu berkumandang  mengenangkan anaknya lahir ke dunia tanpa sempat mengenali bapa kandung. Setulus kasihnya tumpah pada insan comel yang menjadi pengikat cinta mereka.Hanya air mata duka menemani saban waktu, sehinggalah pintu hatinya terbuka menerima hakikat takdir. Siti Musliha sedar dan meyakini suaminya telah meninggal dunia dan tidak mungkin akan kembali lagi. Dia redha dengan qada’ dan qadar Allah.
Dugaannya bertambah berat apabila rumahnya pula terlibat dalam kebakaran. Mujurlah anaknya selamat. Siti Musliha membawa puterinya berpindah mengikut Sapiah, kakak sulungnya. Di sana dia membina hidup baru. Dia bekerja keras, cuba melupakan kisah sedihnya. Namun, rencana takdir tidak mampu diduga dek akal manusia.Dugaan menjadi ujian kepada orang-orang yang diuji olehNya. Siti Musliha telah disahkan menghidap penyakit barah hati. Sewaktu Siti Musliha pergi mendapatkan rawatan penyakitnya di hospital bandar, dia telah tersua dengan seorang lelaki mirip suaminya.Dia adalah insan yang paling dirindui dalam hayatnya.Wajah itu takkan mudah hilang dari lipatan ingatannya walaupun lapan tahun telah memisahkan mereka.Namun hatinya kecewa.
Langkahnya laju ingin mendapatkan insan itu.Namun langkahnya mati tatkala melihat lelaki itu berjalan diiringi seorang wanita di sisi sambil memimpin seorang budak lelaki.Sewaktu langkah mereka berselisih dan pandangan mereka bertemu, lelaki itu hanya bereaksi biasa. Dari riak wajahnya, lelaki itu seperti langsung tidak mengenalinya.Hampa hati Siti Musliha. Mungkin wajah itu hanya pelanduk dua serupa. Namun, tiada yang mampu menipu hatinya.Dia yakin bahawa lelaki itu adalah suaminya berdasarkan tanda lahir yang ada di hujung kening lelaki itu.
Sapiah puas memujuk. Mungkin Siti Musliha tersilap orang kerana derita jiwanya terlalu merindui.Siti Musliha terduduk menangisi. Akhirnya dia pergi jua menghadap Ilahi.
Ara tenang mendengar lembaran kisah lalu yang diceritakan oleh Mak Long Piah.
“Semasa kejadian dahulu, mayatnya memang langsung tidak dijumpai. Mungkin dia terselamat sewaktu kejadian tu dan hanyut ke tempat lain. Wajah orang yang Siti Musliha jumpa di hospital itu sebenarnya memang mirip ayah Ara.” Bicara Mak Long Piah bersandar harapan. Sepertinya sekarang dia juga meyakini dan berharap ayah Ara masih hidup.
"Mungkin waktu itu ayah mengalami masalah ingatan.” Ara membuat andaian. Dia cuba membina harapan sendiri.Dia menyimpan tekad. Andai benar ayahnya masih hidup,pasti dia akan menjejaki lelaki itu. Dia ingin ayahnya mengenali bahawa dirinya adalah lambang kasih antara ibu dengan ayahnya.Doanya dipinta kepada Penguasa Alam Yang Maha Agung.

****
ARA mengambil buku lukisannya.Dia tersandar di kerusi sambil merenung foto arwah ibunya. Foto itu menjadi subjek untuk dilukis. Foto arwah ibunya ditenung, cuba memahami dan menghayati keayuan wajah itu untuk dlukis di atas kertas lukisan yang masih putih bersih. Tangannya mula melentur perlahan.Lakaran asas mula terpalit sediki demi sedikit.
Ara terus memberi fokus. Lentikan alis, keredupan pandangan mata yang bundar, hidung yang sedikit mancung, lirikan senyuman bibir yang mendamaikan perasaan terus dipandang tanpa terkalih. Raut wajah ayu itu dihayati mendalam.Tangannya bergerak seiring pandangannya.Dia bersungguh-sungguh melukis persis pelukis professional. Dia tenang melukis.Ketelitiannya dalam melukis amat mengkagumkan.Apabila ada kesilapan, ia pasti diperbaiki sehingga dia berpuas hati.
Ara tersandar sejenak. Nafasnya ditarik panjang. Dia menggeliat merehatkan ototnya yang mula menegang.Tangannya terasa lenguh. Ruas jari-jemarinya dipicit hingga berbunyi. Dia kemudian bangun dan berjalan menuju ke jendela. Matanya direhatkan.Pepohon hijau di luar jendela menjadi santapan mata untuk seketika. Liuk lentok angin yang damai seakan menjadi irama kepada pepohon hijau menari-nari mengikut temponya. Ara kembali menarik nafas, mencari kedamaian hati.
Ara kembali melabuhkan punggungnya di kerusi. Potret separuh siap yang dilukisnya ditenung. Dia tersenyum sendiri. Foto arwah ibunya diambil dan diletakkan sebelah menyebelah dengan lukisan hasil seni tangannya.Dibandingkan sejenak agar kelihatan serupa. Dia mengeluh perlahan. Lirikan senyuman arwah ibunya itu masih sukar diterjemahkan oleh lenggok seni tangannya. Masih kelihatan kaku. Dia tersandar. Foto arwah ibunya kembali ditatap.Hatinya meruntun sayu.Wajah kaku di dalam foto itu kekal merenung dengan pandangan yang redup dan lirikan senyuman yang menzahirkan perasaan hatinya, penuh cinta dan kasih sayang.
“Ibu…Ara rindukan ibu. Ara sangat sayangkan ibu.Tapi Ara tahu, Tuhan lebih menyayangi ibu.” Ara hanya berbicara dengan hati. Suaranya tidak terzahir keluar.Terasa sebak bertandang.
“Ara, mari makan cekodok ni,” laung Mak Long Piah dari dapur.Panggilan itu mematikan monolog hatinya.
“Sekejap lagi ya, Mak Long,” sahut Ara. Foto arwah ibunya kembali diletakkan di atas meja. Tangannya pantas mengambil pensil nan sebatang yang terbaring di sebelah getah pemadam. Dia kembali menyambung lukisannya.Dia terus mencuba mengekspresikan lirikan senyuman ibunya. Beberapa kali dipadam apabila kelihatan canggung pada pandangan mata. Lama kelamaan, sentuhannya menjadi juga. Sentuhan seni tangannya begitu yakin, menjadikan lukisan potret itu tampak iras dengan gambar di dalam foto. Ara tersenyum sendiri.Terasa girang di hati. Pensil nan sebatang dipusing-pusingkan dicelah jari-jemari. Bermain seketika dengan pensil, terasa begitu asyik.
Ruas jari-jemarinya kembali dipicit-picit mencari kelegaan.Raut wajah bujur sireh milik ibunya terus menjadi tatapan mata. Jalinan rambut yang kehitaman serta lentukan kain kerudung yang dipakai terus dilukis dengan penuh ketelitian. Andai tersilap , pasti dipadam dengan penuh hati-hati agar tidak terjejas bahagian yang lain. Dia ingin menghasilkan potret wajah ibunya dengan sepenuh hati, semurni perasaan cinta dan kasih sayang pada si ratu hatinya itu.
“Tak siap lagi ke melukis, Ara? Jenuh Mak Long tengok. Tak berhenti sejak tadi.” Suara Mak Long Piah menerjah ke cuping telinga.Ara menoleh pada wajah si tua yang datang kian menghampirinya. Mak Long Piah membawa bersamanya sepinggan cekodok berserta secangkir air teh O, beralaskan dulang kecil. Hidangan itu diletakkan di atas meja berhampiran tempat Ara menyiapkan kerjanya.
“Rehatlah dulu Ara, oii. Makan cekodok yang Mak Long dah buat ni sementara panas. Nanti dah sejuk tak sedap pula.” Ujar Mak Long Piah lembut. Dia berdiri di sebelah Ara. Lirikan matanya jatuh pada seraut wajah yang dilukis oleh anak saudaranya itu.
“Terima kasih, Mak Long. Sekejap lagi Ara makan. Tinggal sikit sahaja lagi.Lagipun esok dah nak kena hantar. Hmm..Iras tak Ara lukis muka ibu?”soal Ara inginkan pandangan wanita yang kini menjadi  tempat dirinya menumpang kasih.
“Hmm. Cantik. Ada iras. Tapi, hidungnya nampak macam kemek aje.Tak mancung pun macam dalam gambar. Bahagian lain Mak Long tengok okey aje. Kira jadilah.” Komen Mak Long Piah, memberi pandangan. Dia tahu Ara begitu bersungguh-sungguh melukis.
“Ye ke, Mak Long. Itu nanti Ara ubah sikit. Lagipun ni tak siap lagi. Pembayangnya pun Ara belum buat lagi. Lepas ni kalau dah siap, Mak Long berilah markah. Agak-agaknya berapa percent Ara dapat,” balas Ara dalam senyuman.Dia mengambil keputusan berhenti seketika. Aroma cekodok pisang begitu menggoda tekak dan perutnya.
Air di cangkir diteguk sedikit menghilangkan rasa haus. Cekodok pisang yang masih terasa hangat diambil dan dikunyah perlahan. Satu persatu menjadi habuan perutnya.Apabila dihintung hampir sepuluh butir kesemuanya.Air di cangkir dihabiskan tanpa bersisa.Terasa kenyang.Alhamdulillah, ucapnya.
Ara kembali mengambil pensil nan sebatang. Mata pensil yang kian tumpul itu diasah mejadikannya tajam sebelum kembali menyambung lukisannya.Bahagian yang kelihatan canggung seperti kata Mak Longnya, diperbaiki sebaik mungkin.Bahagian yang memerlukan pembayang, diletakkan pembayang agar tampak lebih berekspresi seperti di dalam foto.Digosok perlahan-lahan dengan hujung jari agar kelihatan rata dan tidak comot. Akhirnya potret ibunya siap dilukis. Ara  tersenyum bangga. Tidak sangka dia mampu melukisnya dengan baik.

*****
“CANTIKNYA lukisan awak, Ara. Lepas ni bolehlah awak lukis gambar saya,” ujar Durratul Aini sambil menatap lukisan temannya itu.Lukisan potret yang dilukis Ara turut menjadi perhatian teman-teman sekelas.
“Awak ni.Ada-ada sajalah.Sengaja nak puji saya lebih-lebih. Tapi, saya pun tak sangka dapat lukis sebaik ni,”balas Araterhadap sahabat barunya itu.Baru sebulan lebih Durratul Aini berpindah ke sekolahnya dan mereka bersahabat baik.
“Ni gambar siapa, Ara?” soal Durra cuba mengorek rahsia. Ara membalas dengan senyuman.“Gambar ibu saya. Ni gambar sewaktu dia masih anak dara dulu,” tutur Ara tanpa selindung. Durra mengangguk mengerti. Dia berdiam diri seketika.Terkenang juga nasib dirinya yang tidak langsung mengenali siapakah ibu dan ayah kandungnya.Hanya menumpang kasih di rumah anak yatim sebelum diambil menjadi anak angkat keluarga Puan Eliza dan Encik Razlan.
Ara sengaja menyigung siku sahabatnya itu apabila melihat reaksi Durra yang tiba-tiba berdiam diri. “Kenapa Durra?” soal Ara inginkan kepastian.Terasa aneh dengan tingkah sahabatnya itu.Durra hanya menggeleng kepala.Dia melirik senyuman.
            Di dalam kelas, Zahrah Alwani memang dikenali sebagai pelajar ‘tangan seni.’ Dia adalah antara pelajar yang mempunyai bakat melukis yang boleh dibanggakan. Bagi teman-teman sekelas, mereka memang tidak hairan jika Ara dapat melukis dengan baik sekali. Ara pernah beberapa kali menyertai pertandingan melukis sama ada di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri. Pernah sekali Ara menyertai pertandingan melukis landskap peringkat Negeri Joho rbagi kaegori Menengah Rendah. Walaupun hanya mendapat tempat ketiga, namun ia cukup membanggakan kerana ia turut menaikkan nama sekolahnya.
            Ara memang dianugerahkan bakat seni dalam melukis. Namun begitu, dia kurang berminat dalam melukis potret wajah kerana ia lebih rumit dan memerlukan ketelitian serta kesabaran yang cukup tinggi. Dia lebih cenderung melukis citra pemandang alam yang mendamaikan jiwa dan perasaannya. Jika tidak kerana tugasan PSV (Pendidikan Seni Visual) yang diberi Cikgu Hamzah, pasti dia juga tidak punya waktu untuk meluangkan masa melukis seperti itu.Namun sekarang dia mula menyemai cinta terhadap lukisan potret wajah.
Mengikut kata Cikgu Hamzah, tujuannya adalah untuk mengasah bakat pelajar bagi menyertai pertandiang melukis potret wajah-wajah pejuang kemerdekaan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menyusul akan datang. Maka, untuk tugasan, dia meminta agar pelajar-pelajarnya melukis potret tanpa mengira siapa subjek yang menjadi pilihan, sama ada diri sendiri, artis mahupun sesiapa sahaja. Ara telah memilih untuk melukis potret ibunya di kala muda belia. Dia begitu teruja. Secara tidak langsung ia juga sebagai latihan unuk mengasah bakatnya yang masih mentah. Oleh itu dia membuatnya dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya tampak cantik dan menyakinkan.
Lukisan beberapa rakan yang lain turut mendapat pujian daripada Cikgu Hamzah. “Okey, Ara. Lepas ni awak boleh bingkaikan poret ni kat rumah. Manalah tahu, suatu hari nanti awak punya galeri seni sendiri.” Seloroh Cikgu Hamzah. Ara pula hanya tersenyum.
Tengahari itu..
“Ara, saya nak mintak tolong awak sikit boleh tak?” ujar Durra sewaktu berjalan mengiringi langkah sahabatnya itu menuju ke perpustakaan. Pandangan Ara jatuh pada Durra. Durra terus sahaja meluahkan hasratnya hatinya.Niatnya meminta jasa baik Ara untuk melukis potret kedua ibu bapanya.Dia ingin menghadiahkan lukisan potret itu bersempena ulangtahun perkahwinan mereka.
Ara terdiam seketika. Akhirnya dia tersenyum. Dia menyatakan persetujuannya. “Baiklah. Lagipun secara tak langsung bolehlah saya practise tangan ni. Tapi kalau tak berapa menjadi, saya minta maaflah. Saya ni bukannya professional. Baru sahaja nak berjinak-jinak melukis potret wajah ni,” balas Ara seraya menguntum senyuman. Mereka berdua terus melangkah menuju ke perpustakaan.Kebetulan Ara bertugas dan Durra pula berpuasa.
Di waktu pulang..
“Okey, Durra. Esok jangan lupa bawa gambar tu. In Shaa Allah, saya pasti siapkan sebelum dateline,” ujar Ara. Di luar pagar sekolah, Durra sempat memperkenalkan Ara dengan abangnya, Ilham yang kebetulan menjemputnya pada hari itu.

****
ARA menetapkan frekuensi radio yang sedikit terganggu. Dia mencari hiburan untuk santapan halwa telinganya.Kemudian, dia mengambil posisi di tempat belajarnya.Kerja sekolahnya sudah terhidang di atas meja, hanya menanti masa untuk disiapkan. Ara menguap beberapa kali.Terasa mengantuk walaupun masih belum memulakan apa-apa kerja.Dia menyelongkar sesuatu dari dalam begnya. Gambar yang diserahkan oleh Durra, ditatap seketika.Dia tersenyum.
“Hmm. Terasa gian pula nak melukis. Tapi, banyak pula kerja sekolah.” Gumam hatinya sendiri. Ara mematikan niatnya.Kerja sekolah menjadi keutamaan. Dia tahu, andai ditangguhkan pasti ia lebih membebankan. Dia juga tahu, andai dia telah mula melukis, pasti tumpuannya tidak terkalih pada yang lain.
Setelah disiapkan segala kerja sekolahnya, Ara mengambil buku lukisannya. Diselak bahagian yang masih kosong. Pensil nan sebatang dan getah pamadam berjenama ‘Faber Castell’ menjadi keutamaannya. Lakaran asas menjadi titik mula. Gambar sepasang suami isteri itu menjadi tatapan matanya.Gambar si suami yang berkaca mata dan si isteri yang bertudung litup.Cuba dihayati wajah itu. Terasa agak rumit untuk dipotretkan di atas kertas. Ara termangu seketika. Terfikir-fikir akan kemampuannya. Namun dia telah berjanji dengan Durra. Rasa bersalah andai memungkiri janji. Pasti Durra kecewa. “Belum cuba, belum tahu.Kalau tak cuba, mana nak lihat hasilnya,” gumam Ara sendirian. Dia cuba menaikkan semangatnya sendiri.
Ara mula melakar.Subjek pertamanya ialah wajah si ayah.Riak wajahnya sedikit garang mengambarkan ketegasan empunya diri. Sorotan matanya juga agak menggerunkan. Ara terus memberi fokus.Pandangan mata dan gerakan tangannya kian seiring. Apabila melukis gambar ayahnya  Durra, dia terkenang andai wajah yang dilukis itu adalah wajah ayahnya sendiri.Terasa begitu asyik. Lenturan tangannya terasa mudah.Diperincikan setiap bahagian dengan teliti.Perut jari telunjukknya kian kehitam-hitaman apabila dia memperhalusi setiap sudut yang memerlukan pembayang.Begitu teliti dia dengan karya seninya. Dia tidak akan berpuas hati selagi lukisannya tidak mempunyai feel untuk dihayati. Dia akan berusaha supaya potret yang dilukis mirip dengan gambar. Andai tidak, dia akan berusaha memperbaikinya.
Hari-hari seterusnya…
Ara bijak mengurus masanya. Dia akan melukis apabila terdapat kelapangan waktu. Kerja sekolahnya pasti diurus lebih awal, tidak mahu ia mengganggu konsentarasinya melukis. Setelah wajah si ayah siap dilukis, wajah si ibu pula menjadi taruhan bakatnya. Dia merasa lega apabila dapat menyiapkannya sebelum dateline.
Ara mencari-cari gambar Durratul Aini dalam album gambarnya. Hanya ada beberapa keping dalam simpananya, iaitu gambar semasa mereka pergi keluar ke bandar. Ara berniat untuk melukis gambar Durra dan menghadiahkan kepada temannya itu. Dia pasti Durra akan gembira. Dia akan menyerahkannya bersama-sama tempahan potret yang diminta Durra sebagai hadiah sebuah persahabatan.
“Hai, Ara. Apa lagi yang dilukis tu. Khusyuk benar Mak Long tengok. Dah sembahyang ke belum ni?” tanya Mak Long Piah tatkala melihat anak saudaranya masih tidak berganjak sejak tadi.
“Terkejut Ara, Mak Long. Ara dah sembahyang tadi. Ni baru aje mula nak ambil feel. Belum lukis pun lagi.”
“Lukis gambar siapa? Kelmarin kata dah siap lukis?” ujar Mak Long Piah lagi.
“Kelmarin tu gambar yang Durra suruh lukis. Sekarang ni, Ara nak cuba lukis gambar Durra pula. Nak beri surprise pada dia,” jawab Ara kembali.
            Dalam kekhusyukannya melukis, dia diganggu dengan panggilan telefon dari seseorang.Dia terkejut kerana pemanggil tersebut adalah Ilham, abang Durra. Tujuannya ingin berkenalan dan sekadar ingin berbual kepada teman adiknya. Ara hanya acuh tidak acuh melayan.
****
“ARA, terima kasih, ya. Saya sayang awak sangat-sangat,” ucap Durra dengan penuh kegembiraan.Dipeluk sahabatnya itu erat.
“Kenapa ni Durra.Terharu saya dibuatnya. Kenapa awak gembira sangat ni,”soal Ara mencari jawapan. Terasa pelik dengan tingkah sahabatnya.
Durra menyeka air matanya yang gugur. “Saya gembira sangat Ara. Ayah…Ayah suka dengan hadiah saya. Saya bahagia sangat. Awak tahu, selama ni saya sering terpinggir dari kasih ayah. Saya tahu selama ni, ayah tak dapat terima saya. Tapi semalam, ayah dah berubah. Awak tahu Ara, sejak kecil lagi saya tak dapat perhatian ayah. Entahlah Ara. Mungkin selama ni saya salah anggap pada ayah. Mungkin ayah tak tunjukkan kasih sayang dia pada saya.Semalam impian dan doa saya termakbul.”
Ara mengangguk mengerti.Dia tahu sahabatnya itu gembira, dan dia pasti tumpang gembira.Hatinya terharu.Sebaknya bertandang.Tanpa disedari air matanya turut berguguran ke pipi.Terkenang dia pada si ayah. Apabila mengenangkan Durra, dia tahu dirinya lebih beruntung.
Jika tidak kerana abang Ilham yang bercerita, dia pasti tidak akan tahu perihal sahabatnya itu. Durra seorang yang pandai menyimpan rahsia. Dia sentiasa menujukkan keceriaan dalam hidupnya, seakan tiada kesedihan yang dirasa. Hati Ara turut menangis apabila diberitahu bahawa Durra penghidap penyakit barah hati, penyakit sama yang meragut nyawa ibunya. Air mata Ara kembali gugur. Dia tidak sanggup kehilangan sahabatnya itu. Namun dia tahu, ajal maut di tangan Tuhan. Dia pastikan akan mendoakan agar sahabatnya itu segera sembuh.
Durra adalah anak yatim piatu yang menumpang kasih di rumah kebajikan.Dirinya tiada mengenal siapakah ayah dan ibu kandungnya.Nasib dirinya begitu sedih untuk dikenang, kerana sejak dirinya masih bayi, di tepi tong sampahlah tempat dia ditinggalkan. Mujurlah dirinya masih bernyawa dan dia diserahkan kepada rumah kebajikan. Apabila dia menginjak usia lima tahun, dirinya diambil menjadi sebahagian daripada keluarga Abang Ilham. Namun, ayah angkatnya seakan sukar menerima dirinya.Dia sukar menerima insan kecil itu atas kemungkinan lahir dari hubungan terlarang.Mungkin itu adalah penyebabnya.Namun, dia terpaksa akur dengan keinginan isterinya yang telah disahkan tidak boleh mengandung lagi.Hanya Puan Eliza dan Ilham yang menjadi penjalin kasih sayang kepada Durra.
“Durra, saya sangat terharu dengar kisah awak. Syukurlah. Setiap manusia yang disayangi pasti akan diuji sebelum mendapat sesuatu yang lebih baik untuk dirinya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penyayang dan Dialah yang berhak mencatur takdir hamba-hambaNya.” Ara kembali memeluk erat sahabatnya itu.Jalian kasih antara mereka bertaut erat dan tidak mungkin dapat dipisahkan andai itu bukan kehendak takdir.
Kelopak mata Durra masih berbaki air mata. “Ayah dan ibu saya puji lukisan awak. Mereka kata sentuhan tangan awak penuh dengan nilai kasih sayang. Mungkin begitu juga perasaan ayah sewaktu saya memberikannya hadiah itu. Tak sangka hati ayah tersentuh dengan hadiah potret itu.Terima kasih, Ara. Saya pun tak sangka awak hadiahkan untuk saya juga.” Terang Durra. Bicaranya masih bertemankan suara yang tersekat-sekat kerana menahan sebak. Jernih matanya menggambarkan kegembiraan hatinya saat ini. Ara tersenyum.Sentuhan potret kasihnya membawa kepada kebahagiaan seorang teman.
Ara duduk di serambi sambil melempias kasih pada buku lukisannya.Tangannya pantas melakar sesuatu.Pokok jambu air yang merendang menjadi penyeri di sisi rumahnya menjadi subjek lukisannya.Pandangannya terganggu apabila sebuah kereta memasuki perkarangan rumahnya.Dia terkejut kerana tetamunya itu adalah Durra dan abangnya.
Khabar gembira itu segera disampaikan kepada Mak Long dan Pak Long yang kebetulan ada di rumah. Rupanya kedatangan mereka membawa kejutan untuk ulangtahun hari lahirnya. Ara menerima gambar potret daripada Durra dan Abang Ilham.Dia tersenyum.Gembira merantai jiwa.
“Cantik.” Puji Ara ikhlas.
“Gambar ni bukan saya yang lukis, Ara. Saya suruh Abang Am. Saya ni tiada bakat melukis. Kaku.Kalau saya yang lukis, nanti awak terkejut. Rupa siapa pun saya tak tahu.”Ujar Durra dalam tawa.Tidak tersangka oleh Ara, Abang Ilham juga berbakat seni.
Durra berbisik sesuatu kepada Ara. “Abang memang pandai lukis. Tetapi, dia selalu sahaja sibuk. Tidak punya masa katanya.Tapi, apabila saya suruh lukis gambar awak, dia terus sahaja terima tanpa banyak alasan.Saya tak tahulah kalau dia sebenarnya suka pada awak.” Ara yang  mendengar hanya tergelak kecil.
Ilham tidak dapat mendengar butir bicara mereka.Dia hanya menjadi pemerhati terhadap keakraban dua orang sahabat itu, yang nyata seperti isi dengan kuku

****
“ARA, awak tak teringin ke nak berjumpa dengan ayah kandung awak. Awak tak boleh samakan kes awak dengan saya. Kes saya ni lain. Saya pun tak tahu mereka tu masih ada atau tidak. Andai mereka ada, saya tak pasti sama ada saya boleh terima mereka atau tidak. Macam awak, Mak Long awak pernah kata dia pernah jumpa ayah awak tu. Awak juga pernah beritahu tentang naluri hati awak. Awak sendiri dapat rasakan dia masih hidup, kan. Besar kemungkinan memang ayah awak masih ada, cuma kita tak tahu dia ada di mana.” Bicara Durra menusuk ke cuping telinga sebelum pergi di bawa angin bayu. Ara hanya berdiam diri. Tidak berkata-kata.Pandangannya dilemparkan pada gulungan semangat ombak Tanjung Leman yang menghempas ke pesisiran.Nafasnya ditarik panjang.
Sejak sekian lama, ini barulah pertama kali dia pergi menghadap seluas lautan yang terbentang.Dulu dia seakan fobia.Dia sering terbayangkan kerakusan ombak yang membelah lautan telah memisahkan dirinya dari ayah.Namun tidak sekarang. Mengapa dia perlu prejudis pada ombak dan lautan sedangkan ia juga mengikut percaturan alam. Suatu kerugian baginya kerana selama ini tidak membuka hati untuk menghayati dan menyelami keindahan ciptaan Tuhan ini.
Deruan ombak adalah alunan irama bagi pantai. Tanpa ombak, pantai beralun sepi.Tanpa pantai sebagai sandarannya, ke mana ombak ingin menghempas diri. Ombak dan pantai tak mungkin dapat dipisahkan.
Setelah berdiam diri agak lama, Ara mula berbicara. Wajah Durra dipandang. “Saya memang teringin Durra. Saya sangat berarap agar ayah masih ada.Tapi, saya tidak tahu nak cari di mana.Dari mana patut saya mula, saya pun tidak tahu.Mak Long pun tiada simpan sebarang alamat atau gambar ayah saya.Dulu rumah kami terbakar, tiada apa yang tinggal. Sekarang ni saya mengharapkan keajaiban sahaja, Durra.” Ara berbicara dalam suara yang sayu.Dia kembali menghadap irama pantai.
****

Beberapa tahun kemudian..
ARA dan Durra kini menyambung pengajian mereka. Rezeki berpihak kepada mereka berdua apabila dapat belajar di universiti yang sama, cuma berbeza bidang pengajian. Kesibukan belajar sedikit sebanyak mengubat penantian Ara kepada hadirnya sang ayah. Dia selalu berdoa, andai ayahnya masih hidup, pertemukanlah mereka dan andai benar ayahnya telah tiada, dia redha menerimanya.
Ara kini di tahun akhir pengajiannya.Dia agak sibuk, dan destinasi pilihannya selepas kuliah ialah perpustakaan. Dia perlu mencari rujukan untuk tesisnya.Dia berjalan laju membelah rintik gerimis yang mula berguguran.
“Opsss..Maaf, Kak Long.” Ujar Arman yang nyata tidak sengaja terlanggar Ara.
“Tidak mengapa. Saya tahu awak tak sengaja,” balas Ara memaniskan bicara.Dari riak wajah lelaki itu, Ara seperti dapat menduga sesuatu.Dia perasan budak lelaki itu kelihatan agak kalut dan seperti mencari sesuatu.
“Err..Kak. Boleh saya tanya? Bangunan perpustakaan di sebelah mana ya? Rasanya tadi saya tersilap turun.” Ujarnya tersengih-sengih.
Ara tersenyum. Dia menunjukkan arah.  Sememangnya bangunan perpustakaan mempunyai warna yang hampir sama dengan warna bangunan fakultinya. Kadang-kala memang ada pelajar baru yang tersilap.
“Awak pelajar baru ya?”soal Ara kembali.
“Ya. Saya junior baru.Pelajar second intake.Baru sahaja masuk semalam. Saya tidak biasa lagi kawasan di sini.Itu yang jadi kelam-kabut,” jawabnya sedikit mesra.
Akhirnya mereka menuju ke sana bersama-sama. Dapat juga dia berbual dan menunjukkan serba sedikit kepada Arman kawasan-kawasan di universiti itu.
Sejak hari itu mereka bersahabat. Ara tertawa sendiri apabila Arman memanggilnya dengan gelaran Kak Long.Namun, lama-kelamaan dia sendiri sudah terbiasa.Dia lebih selesa dengan gelaran itu apabila bersama Arman.
****

Beberapa tahun kemudian…
HARI ini merupakan hari bersejarah buat Zahrah Alwani dan Durratul Aini. Acara berkembar, pembukaan galeri seni Alwani dan pelancaran novel sulung Durra, Potret Kasih bakal berlangsung.Riak gembira wajah mereka jelas terpancar.Setelah sekian lama merancang, kini impian yang dibina terealisasi sudah. Rata-rata mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka berdua. Acara yang diatur berjalan lancar. Mereka mendedikasikan penghargaan dan kejayaan kepada insan-insan yang tersayang. Mereka yang banyak membantu dan menyokong sehingga kejayaan itu dikecapi bersama.
Ara mempertaruhkan pelbagai lukisan seninya untuk tatapan pengunjung termasuklah karya yang paling disayangi, iaitu ‘Potret Kasih’. Novel Durra juga berjudul Potret Kasih yang sengaja diilhamkan bersandarkan kisah hidup mereka berdua.Ia berkisahkan kerinduan seorang anak mencari bapa kandung yang hilang ditelan ombak. Bersama dengannya seorang sahabat yang sentiasa menjadi pencetus semangat.Kebahagian akhirnya menjadi milik mereka berkat sentuhan potret kasih.
Ara mengucap syukur tidak terhingga kerana nilai sentuhannya turut mendapat perhatian dan penghargaan.Ada juga yang menawar harga untuk membeli hasil seninya.Dia begitu teruja.Ara turut menerima pujian melabung dari ‘sifu’nya, Cikgu Hamzah.Tidak tersangka lelaki itu hadir bersama keluarga memberi sokongan.Dia sangat berterima kasih kerana bakatnya banyak diasah oleh insan itu.Andai memiliki bakat, tetapi tidak diasah sebaik mungkin, pasti tidakmenjadi juga.
“Tahniah, Kak Long.” Ara tersenyum lebar tatkala bertemu muka dengan insan itu.Siapa lagi gerangannya kalau bukan Arman, satu-satunya orang yang memanggil dengan gelaran itu.
“Maaf, terlambat datang. Man datang dengan ayah. Ayah teringin nak ikut sama. Nanti Man kenalkan Kak Long dengan ayah,” ujar Arman seraya melempar pandang mencari kelibat ayahnya di antara hadirin yang hadir.
Ara turut melempar pandangan mencari, walaupun langsung tidak mengenali raut wajah dan susuk tubuh insan itu.Pandangan Ara jatuh pada seorang lelaki tua yang berkemeja batik berwarna biru. Dia tidak dapat melihat wajah itu kerana menghadap karya ‘Potret Kasih’, iaitu nama khas yang diberi kepada lukisan potret wajah ibunya.  Potret itu adalah hasil karya pertamanya dibangku sekolah. Potret yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa dan raga dan jalinan kasih sayang yang begitiu mendalam seorang anak kepada si ratu hati.
Kelihatan Arman menghampiri susuk tua itu. Ara yakin itulah ayah Arman.Dia menyusun langkah merapati mereka berdua.Tangan tua itu mengelus lembut wajah yang terlukis itu dengan sentuhan yang sukar dimengertikan.Seakan menghayati pandangan dan riak wajahnya.Jantung Ara berdegup kencang, seakan merasakan sesuatu.
“Liha…” ujar lelaki itu sayu. Ara tersentak. Terkejut mendengar nama yang di sebut itu. Begitu juga Arman. “Ayah kenal ke orang ni?” soal Arman.
 “Liha.” Itulah jawapan yang kembali didengar oleh Ara. Hatinya jadi sebak. Mana mungkin ayah Arman mengenali ibunya.Liha itu memang panggilan ibunya.
“Pak cik.” Panggil Ara. Pandangan mereka bertemu. “Benarkah pak cik kenal perempuan ni. Siapa Liha itu pak cik.” Ara cuba mencungkil rahsia. Perasaannya berdebar.Dia ingin menagih jawapan dari insan tua itu kerana mengenali Musliha, ibunya.
Lelaki itu terdiam seketika. Mata bundar milik Ara direnung sayu seakan menyampaikan suara hatinya. “Musliha. Wajahnya seindah purnama. Senyumannya mendamaikan jiwa. Matanya bersinar bak mentari pagi.” Itulah kata-kata yang keluar dari bibir tua itu.
“Pak cik kenal dia?”soal Ara lagi.
“Dia…Dia ada dihati pak cik, nak. Dia pernah menjadi sebahagian dari hidup pak cik.Tetapi, pak cik tidak tahu mengapa kami tidak bersama kini.Pak cik terkejut mengapa wajahnya dipotretkan di sini. Anak tahu siapa yang lukis gambar ni? Kenapa dia lukis gambar ini? Pak cik ingin jumpa dia.” Tutur bicaranya penuh pengharapan.Ia semakin sayu dipendengaran. Kelopak mata tua miliknya kelihatan bergenang air mata.
            “Ayah..Inlah orangnya.Semua lukisan di sini dialah yang lukis.Inilah Kak Long yang selalu Man ceritakan kepada ayah.” Arman memandang wajah ayahnya. Begitu juga wajah Ara. Dari riak wajahnya, dia juga seakan keliru dengan situasi yang sedang berlaku.
Nyatalah riak wajah lelaki itu terkejut. Orang yang melukis gambar Musliha ada bersamanya sejak tadi. “Adakah anak kenal perempuan dalam gamabar ni? Anak ini siapa sebenarnya?” Soalan lelaki itu seakan membawa kepada sebuah solusi. Andai kenal, apakah kaitan antara mereka.
Ara terdiam. Jiwanya semakin sebak. Matanya mula berkaca. Seakan permata jernih bakal gugur ke pipi. Perasaannya dapat merasakan sesuatu yang sukar digambarkan. Benarkah…benarkah lelaki ini ayah kandungku.Nafasnya di tarik dalam sebelum memberi jawapan.
 “Ya saya kenal. Saya memang mengenali wanita ini.Dia ada di dalam hati saya sejak dahulu dan untuk selamanya. Tidak mungkin saya akan lupakan dia di sepanjang hayat saya. Sebab itu saya lukis gambar dia, dan saya beri nama ‘Potret Kasih’ sebagai lambang kasih saya kepada dia.” Air mata Ara sudah gugur. Dia tidak dapat menahan perasaan hatinya. Dia seakan yakin siapa gerangan orang yang kini berdiri di hadapannya.
“Aaa..anak ini….” Tutur bicara lelaki tua itu tidak bersambung.
“Saya…anak kepada perempuan dalam gambar ini, pak cik. Saya anak Siti Musliha.” Ucap Ara penuh emosi. Mak Long Piah sudah datang menghampiri.Bisikan suara Mak Long menyakini hati Ara. Lelaki dihadapannya kini mempunyai tanda lahir dihujung kening, sama seperti gambaran Mak Long Piah tentang ayahnya. Air mata Ara sudah mula merintik gugur.
“Benarkah kau anak Liha? Benarkah?”
Ara mengangguk tidak menafikan. “Adakah benar kau ini anak pak cik?” Jari tuanya yang kasar mengelus lembut pipi mulus Zahrah Alwani yang telah dibasahi air mata. Zahrah Alwani menyerahkan cincin peninggalan arwah ibunya. Ia kembali membawa kepada lipatan sejarah lalu.
“A..ayah.” Ujar Ara. Air matanya jatuh tanpa empangan. “Ayah…Saya Ara, ayah. Saya anak ayah.” Ujar Ara lagi dalam sayup-sayup suara tangisan.Naluri hatinya membenarkan keyakinan itu.Tanda lahir di hujung kening lelaki itu juga menjadi satu bukti, mengukuhkan keyakinannya.
“Aku yakin kau anak Liha, nak.” Lelaki itu lantas memeluk erat gadis yang diyakini adalah darah dagingnya sendiri.Cincin peninggalan Musliha yang ditunjukkan Ara memaksa dia tidak menafikan hubungan yang terjalin antara mereka.Tautan kasih terikat erat.Simpulan silaturrahim kembali bersatu.
“Maafkan ayah,nak..Maafkan ayah..”Ucapnya ayahnya berulang kali. Air mata mereka terus gugur.Pertemuan kasih itu turut mengundang sebak bagi mereka yang hadir di situ.Jejak kasih dua beranak itu berlangsung penuh emosi.Ciuman dan pelukan kasih antara mereka, melempias kasih dan kerinduan yang tidak terucap.
“Ayah…Kak Long.” Hanya itu yang mampu di ucapkan oleh Arman.Kelopak matanya turut bergenang air mata. Dia sendiri tidak percaya. Apakah yang berlaku di hadapannya kini adalah ilusi atau realiti?Seorang perempuan yang gemar dipanggil Kak Long, nyatalah saudaranya sendiri.Kehadiran dirinya pada hari ini bersama ayahnya telah membawa kepada pertemuan yang tidak diduga.
“Ya Allah.HambaMu ini mengucapkan syukur. Dikau makbulkan doa hambaMu ini. Kami bersatu kembali atas limpah kasih sayangMu, Maha hebat rencanaMu, Ya Allah...Sesungguhnya KAU berhak ke atas setiap hamba-hambaMu.
Pertemuan jejak kasih itu menjadi detik bahagia di dalam hidup Ara.Ternyata pertemuan itu membawanya mengenali seisi keluarga yang baru.Ibu tirinya, Arman, dan dua orang lagi adiknya.Dia bersyukur kerana kehadirannya diterima dengan hati terbuka.
****

“HAI, KAK LONG. Jauhnya menung.Teringatkan siapa tu? Orang jauh, ya?”usik Durra apabila terlihat Ara tersenyum sendiri.
“Kak Long? Awak panggil saya Kak Long. Awak buang tebiat ke Durra?” balas Ara. Namun dia tidak marah kerana tahu Durra hanya bergurau.
“Sedap pula bila dengar si Arman tu panggil awak, Kak Long. Saya pun teringin nak panggil awak macam tu. Salah ke?”Durra membuat muka. Ara tertawa.
“Terasa pelik bila awak panggil saya macam tu. Saya ni sebaya awak. Bila awak panggil saya Kak Long, terasa tua pula. Pelik tahu tak.” Balas Ara sambil menepuk lembut pipi temannya itu.
“Tapi, bila Ara kahwin dengan abang, memang patut pun Durra panggil Ara, Kak Long.” Celah satu suara dari belakang. Ara spontan menoleh kepada empunya suara.Dia terkejut.Wajahnya terus jadi merah padam.Durra sudah tertawa.
“Zahrah Alwani. Saya, Zaril Ilham ingin melamar awak menjadi suri hidup saya dan ini adalah ‘Potret Kekasih’ bukti cinta saya,” ujar Ilham lancar. Seakan skrip itu telah lama disimpan dalam kotak fikirannya.Lukisan potret ittu diberikan kepada Ara. Ara tertunduk tersipu-sipu malu.
“Setuju ajelah, Kak Long. Jangan hampakan hati orang. Ayah memang restu hubungan kamu berdua. Nanti bolehlah ayah timang cucu pula.”  Bicara Pak cik Hamid mengundang tawa seisi keluarga.Muka Zahrah Alwani merona merah.Dia tersenyum bahagia.
 “Tahniah untuk awak Kak Long.” Usik Durra berteman tawanya.
“Epp..Awak ni Durra..”
“Tak payahlah nak malu-malu Ara..”
Lukisan dan hati punya rantaian. Lukisan tampak hidup apabila ia dilukis setulus hati. Setiap yang memahami pasti dapat menterjemahkan perasaan hati si pelukis di dalam lukisan yang dihasilkan.Potret Kasih merungkai cinta dan kasih sayang.Nilailah ia dengan sejernih pandangan setulus hati nurani, bukan hanya dengan pandangan mata kasar yang hanya melirik sepi.

TAMAT