Thursday 15 October 2020

BAB 8 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



“ASSALAMUALAIKUM. Selamat pagi.” Teguran lunak itu membuatkan Fatehah berkalih pandang. Tika itu dia sedang bertinggung memberi beberapa ekor kucing makanan yang di bawa daripada rumah. Sambil itu dibelai-belai juga makluk comel yang berbulu itu.

“Waalaikumussalam. Eh! Abang rupanya. Ingatkan siapa tadi,” ujar Fatehah kepada lelaki yang kian menghampirinya itu. Itulah lelaki sama yang pernah menegurnya sebelum ini tika dia memberi kucing-kucing di situ makan. Nampaknya hari ini mereka berjumpa lagi.

“Dah bertambah ke adik angkatnya tu. Hari tu tiga ekor aje. Ni dah jadi lima pula.”

“A’ah. Biasalah bang. Dia panggil geng. Emm..Nama abang siapa ya? Hari tu jumpa lupa pula nak tanya nama abang. Tahu-tahu kita borak aje.” Hakikatnya memang dia terlupa untuk bertanyakan nama lelaki itu.

Bicara Fatehah membuatkan lelaki itu mengukir senyum. Suka dia melihat keperibadian Fatehah walaupun secara mata kasar.

“Nama abang, Fayyad. Panggil aje Abang Yad. Nama adik?” Dia juga ingin tahu nama si gadis berparas ayu dan comel yang bersamanya kini.

“Nama saya Fatehah. Panggil aje, Teha.”

“Oh, Teha. Comelnya nama seperti tuannya juga.” Bibir Fayyad mengulas senyum. Kini, dia sudah mengetahui akan nama si gadis kecik molek itu. Sememangnya dia ingin mengenali gadis itu sejak pertemuan kelmarin. Cuma waktu tidak mengizinkan kerana si gadis ingin bergegas ke tempat kerja.

 “Awal sampai pagi ni?”

“Kebetulan bas cepat, cepatlah sampai.”

Mereka kemudian berborak sekadarnya.

“Teha..Tengahari nanti lunch dengan abang jom. Saja nak borak-borak dengan Teha. Kenal Teha. Boleh tak?”

“Tak naklah.”

“Kenapa? Takut dengan abang ke?”

“Taklah takut, tapi..” Fatehah sudah garu kening. Serba salah nak menjawab.

So, kira tak bolehlah ni. Tak boleh tak apalah. Abang faham. Ni ada kuih sikit. Abang dah sarap tadi. Alang-alang ada lebih ni Teha ambillah. Ke…takut juga nak ambil?” Fayyad ukir senyum. Wajah Fatehah dipandang seadanya. Dia sebenarnya cuba membuat penilaian kepada gadis itu.

Fatehah balas senyum memaniskan roman wajah. Huluran itu disambut.

“Terima kasih. Pasal lunch tu, sorrylah. Saya tak biasa nak lunch berdua dengan lelaki. Kalau ada yang teman, saya tak kisah sangat. Lagilah saya baru kenal dengan abang.”

It’s okay. Baguslah Teha ada pendirian macam tu. Abang saja test.” Fayyad hanya tersenyum.

Fatehah sedikit terkejut. Oh, rupanya dia sedang diuji. Tapi tu lah. Nak kata takut, dia tidak rasa begitu. Sebab dia rasa si Fayyad ni kategori orang baik-baik.

“Saya pergi kerja dululah. Karang lambat pula.” Fatehah meminta diri.

“Okey. Jalan hati-hati. Kerja baik-baik. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Fatehah lalu berjalan pergi. Fayyad hanya memerhati langkah yang pergi itu dengan senyuman.

Fatehah..Pastinya selepas ni kita bertemu lagi. I know you’re very special. Fayyad kemudian menyambung kerjanya. Menyapu dan membersihkan kawasan sekitar. Terkadang dia aneh dengan sikap manusia. Membuang sampah sesuka hati. Sudah disediakan tong sampah pun, sepertinya ia tidak berfungsi. Masih juga bersepah sana sini.

 

IFTITAH sudah melangkah masuk ke bilik pejabatnya. Sebelum masuk dia sempat menegur setiausahanya, Nori. Kini dia duduk di kerusi empuk miliknya. Terdapat dua fail telah sedia ada di atas mejanya. Fail pertama diambil, diselak dan dibaca sebaiknya. Dia tersenyum. Mungkin berpuas hati dengan apa yang dilaporkan. Kini dia beralih kepada fail kedua. Sama seperti tadi. Ia dibaca satu persatu. Helaian pertama, kedua dan ketiga tiada masalah baginya. Namun apabila tiba di helaian keempat, matanya tertancap pada sehelai kertas memo kecil bewarna merah jambu dilekatkan di situ.

~ SAYA SUKA AWAK, ENCIK IFTITAH ~

 

Membulat terus matanya apabila membaca coretan kata yang tertulis itu. Nafasnya terus mendengus kasar. Siapalah yang berani sangat menulis kata sedemikan dan membiarkan dia membacanya. Memang nak kena penampar agaknya. Tak tulis nama pula tu. Semerta itu hati rasa panas. Tapi, kalau difikirkan secara logik kenapa perlu marah? Normallah kalau ada orang yang suka kepadanya? Betul tak? Lagilah muka terlajak handsome, confirm ada yang minat. Bukan tak pernah kena ngorat pun. Zaman sekolah, zaman universiti banyak je dapat surat. Tapi memang semua masuk tong sampahlah jawabnya.

‘Aah! Tak ada, tak ada. Nak marah juga. Aku dahlah paling menyampah benda macam gini. Ni pula siap tulis dekat kertas, lepas tu tepek dalam fail kerja macam ni. Tak ada etika langsung! Konon nak jadi secret admirelah tu. Huh!’ Kata itu berbuku di hati Iftitah. Lantas butang interkom di sisi meja ditekan.

“Nori. Masuk bilik saya sekarang!” Melengking suara Encik Iftitah di hujung talian interkom membuatkan Nori terkejut. Padahal sewaktu datang tadi tengok ‘mood’ nampak baik sahaja. Tanpa lengah, Nori bergegas bangun dan menuju ke bilik bosnya itu. Takut pula jika lambat dia pula yang dimarahi. Bukan tak kenal dengan perangai bosnya yang sorang ini.

“Ada apa ya, Encik Iftitah? Apa yang boleh saya bantu?” soal Nori tatkala memandang wajah itu.

“Siapa hantar fail ni?” Fail bewarna biru yang dipegang itu diitunjuk kepada Nori. Riak wajahnya agak tegang. Nampak sangat ada yang tidak kena dengan fail tu.

“Oh, fail tu. Cik Tasya yang hantar tadi. Dia sendiri yang masuk hantar ke dalam bilik encik. Ada apa-apa masalah ke Encik Iftitah?” Nori berbicara sebaik mungkin. Dia tahu jika tiada sebab yang munasabah, lelaki itu tidak akan marah membuta tuli.

“Awak panggilkan Tasya. Suruh dia masuk bilik saya sekarang!” Tajam sahaja bicara Iftitah sepertinya ada sesuatu yang dia sangat tidak puas hati. Lagilah kalau betul yang tulis kata-kata tu memang Tasya. Hmm..Memang kena makan tapak kasutlah gamaknya.

Nori masih terkaku.

I said, now!” Iftitah menghempas terus fail itu ke atas meja.

Err..Ya. Saya panggil Cik Tasya sekarang.”

Nori segera keluar. Dia luar bilik, dia mengurut dada. Sebelum ini dia tidak pernah lagi melihat lelaki itu naik angin sebegitu rupa. Apalah agaknya yang tak kena? Dalam perjalanan itu dia terserempak dengan Fatehah yang baru keluar dari bilik fail.

“Teha. Cik Tasya ada di bilik dia tak?”

“Tak adalah kak. Dia baru aje keluar tadi. Dia tak cakap pula ke mana.”

Nori sudah melepaskan keluhan.

“Kenapa kak? Macam ada yang tak kena aje.”

“Encik Iftitah tengah naik angin tu. Dia cari Cik Tasya.”

“Pasal apa kak?” Fatehah cuba mengambil tahu.

“Tak tahulah. Tiba-tiba naik angin. Tapi rasanya ada kaitan dengan laporan yang dia terima tu. Takut juga akak tengok muka dia tu. Yalah. Tak pernah lagi tengok dia marah macam tu.”

“Kenapa dengan laporan tu kak? Salah ke? Sebab laporan tu saya yang buat. Tapi ikut contoh yang sebelum ni. Cik Tasya yang suruh saya buat.”

“Tak tahulah Teha. Tak apa. Teha jangan risau. Encik Iftitah nak jumpa Cik Tasya. Tak ada kena mengena dengan Teha.”

“Tapi kak, Teha risau. Laporan tu, Teha yang buat. Entah-entah salah.”

“Tak apa Teha. Kalau ada tersilap tu adatlah. Kalau betul salah, Cik Tasya mesti dah tegur Teha untuk betulkan semula sebelum hantar. Okeylah, Teha. Akak pergi dulu. Nanti kalau Cik Tasya dah masuk, tolong beritahu dia ya.” Nori kembali ke bilik Iftitah dan menyampaikan kata. Lelaki itu mengeluh berat.

Selajur Nori keluar, Iftitah kembali melihat coretan kata yang tertulis di kertas merah jambu itu.

Huh! Siapalah yang tulis ni? Tak suka betul aku!” Iftitah merengus kasar. Kertas itu akhirnya dironyokkan dan dibaling ke dalam tong sampah. Jangan difikir. Makin difikir, makin sakit hati. Jiwanya ditenangkan dan dia kembali memberi fokus untuk membaca laporan fail biru itu sehingga ke muka surat terakhir. Dia sangat berpuas hati dengan angka-angka yang ditunjukkan juga komentar yang diberi.

 Beberapa waktu kemudian..

Pintu bilik diketuk dan dikuak. Maka muncullah si Tasya dengan penuh gaya gedik dan menggodanya.

“You nak jumpa I ke If? You dah baca laporan yang I hantar? Ada masalah ke?” Tanpa dipelawa, Tasya terus tarik kerusi dan melabuh punggung di hadapan lelaki itu.

Iftitah hanya berpeluk tubuh menyandar di kerusi empuknya. Hanya tenungan tajam menerpa ke wajah yang berias tebal dan bergincu merah menyala itu.

“I tak nak cakap pasal laporan tu. You tolong ambil kertas warna merah jambu dalam tong sampah tu!”Arah Iftitah dengan lagak gayanya.

Tasya sedikit tersentak. Mahu tidak mahu, dia akur juga memandangkan wajah Iftitah tidak seperti biasa. Bukan mendung, tapi mencuka. Kerana takut dimarahi maka terpaksalah dia bangun dan mengambil kertas merah jambu yang dimaksudkan itu di dalam tong sampah. Dah macam kuli batak dah rasanya.

“Kenapa dengan kertas ni?” Tasya tunjuk kertas yang berada di tangannya.

“I nak you baca!”

“Ada masalah apa ni If. Cuba beritahu I. Janganlah marah-marah macam ni.” Tasya sudah bersuara ala-ala manja. Kononnya nak menggoda jugalah tu.

“I kata baca. You tak faham bahasa ke?” Tegang suara Iftitah merobos masuk ke pendengaran Tasya. Mahu tak mahu, kertas ronyok yang diambil itu dibuka agar coretannya dapat dibaca. Kemudian coretan yang tertulis di atas kertas itu dibaca perlahan.

“You nak jelaskan apa pada I pasal kertas tu Tasya?” soal Iftitah dengan nada tidak puas hati. “Mesti you yang buat kerja ni kan? Kenapa you diam? You tak nak mengaku ke?” Riak wajah Iftitah masih tegang.

Tasya tidak cepat melatah. Malah tersenyum seolah-olah sedang mencapai kemenangan.

“You salah faham ni If. Ni bukan I yang tulis tau. Tulisan I dan sah-sahlah lain. Kalau you nak tuduh I sekalipun, you fikirlah logik. Daripada I tulis macam ni, baik I cakap live aje depan you.  I like you..I love you..,” ujarnya dengan lenggok suara menggoda.

Tenungan mata Iftitah mencerun tajam. Merenyam aje mendengar suara gedik begitu.

“Huh! Kalau bukan you siapa? Kertas tu I jumpa dalam fail ni!” Iftitah kembali menghempas fail biru yang dimaksudkan. Tak pasal-pasal fail itu yang menjadi mangsa dihempas sana sini. Kalau boleh bersuara, pasti sudah mendengar suara tangisan fail itu.

“Nori kata you sendiri yang hantar fail ni ke bilik I, so you nak beri alasan apa lagi Tasya. Tolonglah jangan buat perkara bodoh macam ni. I tak suka!”

“If..Janganlah marah. You memang dah salah faham ni. Sebenarnya I dah perasan memo ni masa I semak laporan tu. Tapi I buat tak tahu aje. I malaslah nak ambil tahu kalau ada orang nak tackle hati you. Yalah. Setakat tepek memo cinta macam tu. Ingat you akan jatuh cinta ke? So, funny!” Tasya sudah gelak perlahan dengan gayanya.

Wait! Siapa yang buat laporan ni?” ulah soalan Iftitah membuatkan Tasya mengulum senyum. Yes! Inilah masanya.

“Fatehah.” Sebaris nama itu jelas disebut Tasya.

“Fatehah? Siapa Fatehah?” Iftitah inginkan kepastian dalam nada yang masih tegang. Rasanya sebelum ni dia memang tak pernah dengar akan nama Fatehah dalam syarikatnya.

“Alah..Staf baru I lah. Rasanya you ada jumpa dia sebelum ni. I tak pasti you ingat ke tak. Rasanya pernahkan ada seorang budak perempuan terlanggar you depan bilik I sebelum ni? Yang gaya macam budak kampung tu. Pakai cermin mata, berbaju kurung. Dia pun baru aje kerja dekat sini.”

Iftitah masih berdiam diri. Mungkin cuba mencerna setiap baris kata Tasya untuk mengenalpasti akan empunya diri bernama Fatehah itu.

“You ingat tak pasal kes kopi kelmarin. Haa..Budak tu jugalah punya kerja. Tak pasal-pasal you minum kopi beracun dia tu. Ni dia buat angkara lagi. Tak sedar dek untung.”

“Oh, budak tu!” Sebenarnya berkenaan kes kopi hari tu dia langsung tidak melihat empunya diri. Jadi kini dia cuba mengimbas fikirannya beberapa waktu ke belakang tatkala insiden ‘oh, abang kau hijau’ itu terjadi. Ya, rasanya dia ingat. Sebab waktu tu dadanya tak semena-mena berdebar hebat apabila mereka saling bertentang mata walaupun hanya untuk seketika.

“You panggil dia suruh datang jumpa I… sekarang!” Iftitah terus memberi arahan.

“Okey. You basuh dia cukup-cukup. Tak patut dia buat macam ni pada you tau, If. Kesian dekat you. Dia tu siapa? Dahlah budak baru. Setahun jagung pula tu. Berani pula beri memo cinta dekat you macam ni. Otak tak betul agaknya. Memang kurang ajar. Sungguh biadab!” Tasya terus membakar hati Iftitah.

Tajam jelingan Iftitah jatuh pada Tasya. “Itu urusan I. Tak ada kena mengena dengan you. I nak basuh ke..I nak bilas ke..itu I punya suka. Tadi you sendiri yang cakap you tak nak ambil tahu pun pasal hal ni. Sepatutnya you buang kertas tu jangan bagi I nampak. Bukan you tak tahu I tak suka semua ni. So, sekarang ni I nak you panggil dia. Don’t waste my time!”  Suara itu bertegas sambil tangan sudah menepuk meja.

Tasya sedikit terperanjat. Cepat-cepat dia keluar. Takut. Pelik pula angin Iftitah ni. Baru nak jadi batu api. Tak pasal-pasal dirinya disambar sekali. Tapi, tak apa. Yang penting lepas ni Fatehah yang kena sembur. Bagus! Padan muka kau Fatehah. Puas hati aku! Tasya sudah melepas tawa di hati. Rasa memang berbaloi dia cuba meniru bentuk tulisan itu semalam.