Sunday 29 August 2021

BAB 1 - MY SWEET JODOH

 

Bab 1

“SURI…Sorry. Akak dah gerak ni. Nanti kau tumpang kereta nombor plat JTR tu tau. Dia berhenti isi minyak kat situ.” Suara Kak Hanis kedengaran jelas di hujung talian.

 “Hah? Tapi kenapa kak? Bukan ke tadi kita muat je naik satu kereta?” soal Suri sambil garu tengkuk. Tadi dia sakit perut dan terpaksa meminta Kak Hanis berhenti di stesen minyak itu. Apa yang pasti dia mengambil masa yang agak lama untuk melepaskan hajat. Apabila dia keluar, kelihatan kereta wanita itu telah tiada di parkir tadi. Melilau juga pandangannya mencari. Lantas dia menelefon wanita itu. Tak sangka pula itu jawapan yang keluar dari mulut seniornya itu. Alasanya…

“Adik akak tiba-tiba nak ikut. Ni akak terpaksa patah balik. Kau naik aje kereta tu. Beg kau jangan bimbang, akak bawa sekali. Okay bye!” Tanpa sempat bertanya lagi, talian sudah dimatikan.

Suri sedikit mengeluh. Terus dia membawa langkah ke kereta yang dimaksudkan yang sedang berada di parkir mengisi minyak. Sememangnya ada seorang pekerja yang sedang mengisikan minyak kereta itu. Tuan empunya diri masih tidak kelihatan, mungkin masuk ke kedai stesen itu untuk membeli sesuatu. Selajur pintu dibuka, dia terus masuk memboloskan tubuh ke perut kereta mewah itu. Mungkin betullah kut orang itu menantikan dirinya sebab kereta tu tak dilock.

‘Dengan siapalah Kak Hanis suruh aku tumpang ni? Lelaki ke perempuan? Tengok gaya kereta macam pemiliknya lelaki. Hurmm…Nasib kaulah, Suri. Tapi kiranya untung juga. Bukan calang-calang kereta ni. BMW kut. Bukan senang nak dapat peluang ni. Kira langkah kanan jugalah ni.’ Suri hanya berbisik dengan hati kecilnya.

Tidak lama kemudian, kelihatan seorang lelaki mendatangi kereta itu sambil mencibit beg plastik berisi minuman dan bungkusan makanan ringan. Ah, pastinya itulah pemilik kereta tersebut. Nampak bergaya santai dengan t-shirt putih berkolar dan berseluar jeans biru tua. Wajah, kacak oii. Terus bergetar hati nurani seorang Suri.

Entah mengapa, Suri mula rasa tidak sedap hati. Persoalan demi persoalan mula bermain di fikirannya. Mengapa hanya dia seorang yang menumpang kereta lelaki itu? Tidak boleh ke Kak Hanis meminta agar Fatin turut bersamanya tadi. Jadi, tidaklah dia berdua sahaja dengan lelaki itu. Ada misi khas ke sampai dia terpaksa ditinggal berdua dengan lelaki itu? Ah, pening kepala nak memikir.

Pintu kereta kini dibuka. Empunya diri membolos diri ke dalam perut kereta. Namun dia terkejut akan kehadiran seorang gadis yang sedia duduk di bahagian penumpang di sebelahnya. Lantas itu dia bertanya,

“Awak ni siapa? Kenapa ada dalam kereta saya? Awak nak mencuri ke apa ni?” Agak tegang lelaki itu pamer wajah. Senyum, apatah lagi. Mungkin tidak menyangka akan kehadiran seorang gadis yang tiba-tiba sudah duduk di dalam perut keretanya itu.

Suri telan liur payau. Aduh! Tak memasal dituduh mencuri pula.

“Eh, tak...tak…Sebenarnya Kak Hanis yang minta saya naik dengan encik. Kereta dia dah penuh sebab last minit adik dia nak ikut. Jadi nak tak nak, saya terpaksalah naik dengan encik.” Suri jujur memberitahu.

 “Kak Hanis? Kak Hanis mana, eh? Saya tak kenal pun sesiapa nama Hanis,” ujar empunya diri masih keliru. Suaranya kini tidak terlalu menekan. Berkerut juga dahinya memikir siapa gerangan si Hanis yang dimaksudkan oleh gadis itu. Memang tiada sesiapa pun menelefonnya untuk menumpangkan seseorang di stesen minyak itu. Lagilah ‘Hanis’ yang diperkatakan gadis itu. Kenal pun tidak.

Ah, sudah! Nampaknya jawapan yang diberikan lelaki itu membuatkan perasaan Suri bertambah tidak tenang. Jika lelaki ini memberitahu bahawa dia tidak kenal Kak Hanis, adakah ini bermakna….

Kini di belakang kereta itu sudah ada kenderaan lain yang menunggu. Jadinya empunya diri terus menghidupkan enjin keretanya.

“Maaf ya, encik. Saya rasa, saya tersalah naik kereta kut. Saya keluar dulu ya. Maaf sangat.” Suri terpaksa tebalkan muka. Tak boleh dibayangkan perasaan malunya kini. Buka pintu kereta, dia terus melulu keluar. Apa lagi, berderap laju saja dibawa langkah ke bilik air. Bukan nak lepas hajat untuk kali ke dua, tetapi nak buang rasa malu dan debar yang datang menderu. Rasa merah betul mukanya tika ini. Dia bukannya apa. Tiba-tiba dia teringkatkan bicara Kak Hanis tadi. Kak Hanis kata tadi naik kereta plat JTR, tetapi tidak pula diberitahu jenis kereta itu. Saga ke…Axia ke… Tup..tup yang dia naik BMW kut. Adoiimak! Malunya. Malu sangat. Sudahnya, dia menepuk-nepuk pipi sendiri.

‘Suri, oii. Lepas ni kau janganlah cuai sangat sampai tersalah naik kereta macam ni lagi, Lain kali tanya dulu. Ni tak. Kau main masuk aje. Mana nak letak muka kau yang comel kemerah-merahan ni. Dahlah masuk kereta orang have..have…Mesti mamat tu gelakkan kau tadi.’

Keluar dari bilik air, Suri nekad mencari kereta berplat JTR yang sepatutnya. Mungkin kereta yang dimaksudkan Kak Hanis masih ada menunggu di situ. Namun hampa. Apa yang dia lihat pemilik kereta tadi sedang mengepam tayar keretanya di tempat yang disediakan.

Suri hilang arah tuju. Dia harus ke mana tika ini. Dia kemudian berjalan menuju ke sebuah bangku batu tidak jauh dari situ. Sebenarnya agak berdekatan dengan tempat lelaki tadi mengepam tayar. Harapnya lelaki itu tidak terperasankannya kerana sedang mencangkung mengepam tayar. Tak sanggup dia nak tayang muka bengang kemerah-merahannya itu.

Bangku yang sedikit kotor itu dibersihkan dengan tisu basah yang sedia ada. Lalu punggungnya dilabuhkan. Mujurlah ada bangku. Jika tidak, mereputlah dia berdiri di stesen minyak itu menantikan sesuatu yang tak pasti.

Walaupun masih diselubungi rasa malu atas kejadian tadi, entah mengapa retina matanya tetap berdegil nak mencuri pandang kepada lelaki itu. Nampaknya si dia itu masih belum pergi walau telah selesai mengepam tayar. Kelihatannya kini sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Dalam leka dia memandang, empunya diri turut memandang ke arahnya. Lantas itu dia terus berkalih wajah seolah-olah tidak terperasankannya. Terpaksalah dia olok-olok melihat telefon yang sememangnya berada di tangan.

Sejenak itu, dia terfikir untuk kembali menelefon Kak Hanis. Dia harus tahu siapa gerangan sebenar orang yang harus ditumpang, dan juga nombor plat penuh kereta itu. Jadi, mudahlah dia nak mencari. Setakat JTR…berlambak plat sebegitu walaupun di stesen itu hanya kereta lelaki itu yang dia perasan berplat sedemikian.

Nombor Kak Hanis dihubungi. Namun malangnya talian itu tidak bersambut. Suri sedikit mengeluh. Kenapa tak angkat? Sengaja atau tak perasan? Nombor Fatin pula cuba dihubungi, namun hampa.

Sementara itu…

“Kak…Kesian kat Suri tu. Kenapa akak buat macam tu kat dia?” Fatin meluah rasa kesal. Kesian mengenangkan Suri yang ditinggal begitu saja. Lepas tu Kak Hanis sengaja pedajal teman baiknya itu dengan memintanya menaiki kereta mewah berplat JTR itu. Sedangkan, wanita itu sendiri tidak mengenali siapa gerangan empunya pemilik kereta itu. Tak terfikir ke andai pemilik kereta itu berkemungkinan seorang penculik, atau juga perogol bersiri. Tak ke naya tu. Hesy…Selisih malaikat 44. Apa yang termampu Fatin buat hanyalah berdoa untuk temannya itu agar sentiasa selamat dan dilindungi.

“Eh, suka hati akulah. Ke…kau pun nak kena tinggal?” Suara lagak Kak Hanis mula kedengaran.

Mendengar kata-kata itu, Fatin terus terdiam. Begitu juga Nia dan Pia yang turut sama berada di dalam kereta itu. Masing-masing turut mengunci mulut. Mereka juga tak mahu menjadi mangsa ‘hati busuk’ Kak Hanis.

Seawal tadi Fatin fikirkan Kak Hanis mengundur kereta hanya untuk mengubah tempat parking, tetapi rupanya terus memandu pergi meninggalkan temannya itu sendirian. Bila dia nak menelefon, kebetulan telefonnya pula kehabisan bateri. Beriya aje pasang charger, tapi tak tekan suis. Makanya, tak sampai satu jam perjalanan, telefonnya sudah ‘mati’.

“Kau tak payah nak telefon dia. Tahulah dia pergi nanti!” Kak Hanis memberi amaran.

Berbalik kepada Suri…

Dia masih duduk di bangku. Cuba berfikir sebaiknya, akhirnya dia buat keputusan untuk balik sahaja. Lagipula stesen bas tidaklah terlalu jauh dari stesen minyak itu. Maka, dia boleh berjalan kaki sahaja ke sana.

Kini dia bangkit dari duduknya. Baru jalan beberapa tapak, dia sudah jatuh tersungkur. Jejak juga kepala lututnya ke bumi.

Eee…Batu ni. Macam mana kau boleh nyorok kat sini.” Mulutnya membebel sendiri. Batu yang agak besar itu diambil dan dilempar ke tepi. Lutut seluarnya yang sedikit kotor ditepuk-tepuk bagi menyingkirkan kekotoran dedaun rumput kering yang melekat.

Sewaktu bangun, retina matanya bertembung pandang dengan si dia, lelaki kacak tadi. Terlihat lelaki itu sedikit tergelak sambil tangannya masih melekapkan peranti nipis itu di telinga. Pastinya belum selesai lagi bertelefon dengan seseorang.

‘Huh! Tengah bertelefon pun sempat gelakkan orang.’ Omel Suri di dalam hati.

Terus dia tegakkan badan dan melangkah pergi. Dahlah rasa malunya dengan lelaki tadi tak habis lagi. Kini, percuma pula lelaki itu melihat dia jatuh tersungkur. Double malu dia dapat. Apalah nasib kau, Suri..Suri..

 

SURI kini membawa langkah menuju ke perhentian bas. Ikut perkiraan masa, ia mengambil masa lingkungan lima minit sahaja berjalan kaki. Sedang berjalan di bawah terik panas mentari petang itu, dia dikejutkan dengan bunyi hon. Menoleh, sebuah kereta dilihat berhenti di bahu jalan, berposisi di sebelah kanannya. Langkahnya dihentikan. Fikirnya, pasti pemandu itu ingin bertanyakan arah. Melihatkan kereta itu, terdetik di hati bahawa itulah kereta yang dia naik sekejap tadi. Sejenak itu juga, pemilik kereta itu menurunkan cermin tingkapnya di sebelah kiri yang agak gelap itu.

“Awak…” panggil lelaki itu dari dalam kereta. Mahu tak mahu Suri pandang juga wajah itu walau dia masih terasa malu dengan apa yang berlaku.

“Kalau boleh saya tahu, awak ni sebenarnya nak ke mana?” soalnya berbahasa. Riaknya biasa saja.

“Saya nak balik. Kenapa ya?” Suri menjawab sekadarnya.

“Habis tadi kat stesen minyak tu awak buat apa?” soal lelaki itu lagi. Mungkin ada sesuatu yang berlaku kepada cik gadis itu yang dia tidak tahu. Jadinya, sebagai rakyat yang perihatin dia harus ambil tahu juga. Manalah tahu jika memerlukan sebarang bantuan. Bolehlah dia tolong jika tidak membebankan.

Suri rasa serba salah untuk memberitahu. Takkan nak cakap yang dia memang saja pergi ke situ sekadar cuci mata sambil menghidu bau petrol dan diesel. Lepas tu duduk lepak kat bangku di bawah terik mentari, dah bermandi peluh baru balik rumah. Mesti orang tu ingat dia gila.

Err…Saya sebenarnya ada program kat Leman Seri Beach Resort. Tapi saya dah tertinggal sebab tadi saya ke bilik air. Jadi, saya buat keputusan nak balik saja. Lagipun bas mungkin sekejap lagi sampai.” Mulut terpaksalah cakap berlapik. ‘Tertinggal’. Hakikatnya yang dia rasa, dia memang sengaja ‘ditinggalkan’ oleh Kak Hanis.

EmmFamily Day Naufa ke?”

“Aah.”

“Oh. Jadi samalah tujuan kita. Tak apalah. Awak naik aje dengan saya.”

Suri terdiam sejenak. Takkan dia nak tumpang lelaki tu. Sedangkan dia masih terasa segan dengan kes tersalah naik kereta tadi.

“Naiklah. Tak payah segan.” Lelaki itu mempelawa untuk kesekian kalinya. Macam tahu pula yang dia tengah ada perasaan sedemikian.

Err…Tak apa ke saya tumpang kereta encik ni?” Terluah juga pertanyaan itu dari mulutnya.

“Tak apa. Saya pun sorang aje ni. Ada awak, ada juga teman nak berbual. Naiklah.”

Mendengar pelawaan empunya diri yang nampak sangat ikhlas, pintu kereta itu akhirnya dibuka. Kini dia masuk ke perut kereta itu buat kedua kalinya. Okey. Terus cancel niat nak balik tadi.

“Terima kasih, encik.” Pastinya dia sangat berterima kasih kepada lelaki itu. Padanya lelaki itu amat bertimbang rasa. Nampak have…have…tapi hati suci murni.

Small matter. Tak payah berencik-encik. Panggil aje, Putra.” Lelaki itu memperkenalkan diri.

“Saya Suri.” Suri turut memperkenalkan dirinya.

Sorry, berkenaan hal tadi tu. Bukan apa. Saya terkejut bila tiba-tiba ada awak kat dalam kereta saya. Ingatkan nak mencuri ke apa. Lagipun tak ada sesiapa pun mention saya suruh bawa orang.” Empunya diri kini menyambung pemanduannya bertemankan si gadis yang baru dikenali itu.

 “Maaflah awak. Silap saya. Orang suruh naik JTR, saya terus aje naik. Lupa nak tanya kereta apa. Tup..Tup naik kereta awak sebab nampak plat JTR. Bila dah termalu sendiri, cepat-cepat turun pergi bilik air. Haish…Bengang betullah.” Suri membuka cerita atas apa yang berlaku sekejap tadi.

Mendengarkan cerita itu, Putra jadi tersenyum. Kelakar pula mendengar luahan rasa si gadis yang baru dikenalinya itu. Nampak tadi malu-malu, tapi boleh pula selamba menceritakan apa yang berlaku tadi.

“Perkenalan tak dirancang macam ni lah kan. By the way, selamat berkenalan.”

“Ya. Selamat berkenalan juga.”

“Kaki awak okey ke?” soal Putra sambil memandang sekilas wajah itu di sisi.

“Hah?” Suri tiba-tiba jadi blur.

“Jatuh tadi tu.” Putra mengingatkan kejadian yang disaksikan tadi.

“Oh. Tak sakit apa pun. Okey aje.”

Sorry. Tergelakkan awak tadi.”

Tiba-tiba Suri terasa pipinya memerah sendiri. Ah, malu kut bila lelaki itu lihat dia jatuh tersungkur. Jatuh saham dia sebagai gadis acah-acah ayu.

Dalam pada itu telefon bimbit Suri mula berlagu Hindustan. Segera dia mencari peranti itu di dalam beg. Melihat pada nama yang terpapar di skrin, segera dia menjawab panggilan itu.

“Ya, Mak Su. Ada apa?”

“Suri. Ada orang hantar rombongan meminang Suri ni? So, macam mana?” Suara Puan Rosiah kedengaran di hujung talian.

“Hah? Meminang? Biar betul Mak Su. Siapa?” suara Suri sedikit terjerit. Terlupa pula dia bersama seseorang di dalam kereta itu. Kini suaranya terpaksa direndahkan dalam mode separa berbisik. Takkan nak kasi orang sebelah pasang telinga mendengar perbualannya. Hal peribadi kut.

“Keluarga Haji Dollah. Katanya untuk anaknya Kamal Ariffin.”

“Hah? Dia tu? Tak naklah. Mak Su tolaklah. Mak Su cakap je Suri dah ada kawan. Tak pun Mak Su cakap yang Suri dah ada calon sendiri. Mak Su cari aje apa-apa alasan. Yang penting Suri tak nak dia tu.” Suri terpaksa memberikan alasan bagi menolak pinangan itu.

“Yalah, yalah. Mak Su tahu. Mak Su pun tak berkenan dengan budak tu. Suri dekat mana dah ni? Dah sampai ke?”

“Belum. On the way lagi ni. Entah tak pasti dah kat mana ni.”

“Okey. Mak Su pun tak boleh nak cakap lama ni. Cuma nak tahu jawapan kamu aje. Nanti tahulah Mak Su jawab macam mana dekat Haji Dollah dengan Hajah Som tu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Talian dimatikan. Suri lepas keluhan berat. Terkejut juga apabila tiba-tiba ada rombongan meminangnya sampai ke rumah. Kamal Ariffin pula tu. Budak paling gangster kat sekolah. Memang dia paling anti dengan ‘malaun’ sorang tu. Nak terima…hmm…memang taklah. Sudahlah sejak dua menjak ni dia ada bermimpi terima cincin dari seseorang yang tak dikenali. Hesy…Janganlah terkait hidupnya dengan si mamat tu. Macam mimpi ngeri.

Suri sempat jeling tuan empunya kereta yang sedang memandu. Lelaki itu juga seakan menoleh kepadanya berteman segaris senyum. Rasanya lelaki dah dengar semuanya walau dia cuba berbicara dalam mode yang paling perlahan. Ah, lantaklah kalau lelaki tu dengar sekali pun. Dia harus berbuat apa. Sudahlah dia tumpang kereta lelaki itu.

Lelaki itu dilihat kembali fokus kepada pemanduannya. Radio yang kini memutarkan lagu irama Hindustan sengaja dikuatkan sedikit. Suri senyum saja. Mungkin lelaki di sebelahnya itu dapat menganggak irama lagu yang dia minat setelah mendengar ringtone telefon bimbitnya tadi. Layan lagu Hindustan memang syok kut. Lagilah yang ke udara sekarang salah satu lagu kegemarannya – Kaho Naa Pyaar Hai. Perghh…Terus terasa macam dialah heroin dalam cerita tu versi tak seksi. Kalau tiba-tiba lelaki di sebelahnya itu menyelit jadi watak hero pun dia okey aje. Kacak weh. Sesuai sangat jadi pasangan berangannya.