Monday 25 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 6


MINGGU ini Maisarah pulang lagi ke kampung setelah hampir dua minggu pemergian Siti Khadijah.Dia mengambil cuti beberapa hari sambil merehatkan fikirannya.
Maisarah bangun agak lewat pagi ini. Dia keletihan dalam perjalanan semalam. Perjalanan selama 5 hingga 6 jam terpaksa ditempuh untuk pulang ke kampung halaman.. Selepas sembahyang Subuh dia terlelap semula, walhal niatnya ingin turut sama membantu ibunya di dapur. Mujur adiknya Balqis turun membantu.
 “Hai, kak oii. Baru bangun ke? Sedapnya tidur,” tegur Balqis tatkala melihat kakaknya itu baru sahaja muncul di muka pintu ruangan dapur.
“Ngantuklah.” Maisarah terkulat-kulat menuju ke bilik air membasuh muka. Perutnya lapar. Niatnya ingin bersarapan bersama, tetapi akibat kelewatannya, terpaksalah dia bersarapan seorang diri. Biasalah, lepas sembahnyang Subuh tidur balik. Confirm bangunnya lambat.
“Tu jelah yang tinggal. Siapa suruh bangun lambat. Kalau nak, pergi goreng sendiri,”beritahu Balqis.
Maisarah bersila ditikar mengkuang. Air kopi yang masih berbaki dituangnya ke cawan. Maisarah membuka tudung saji. Cekodok pisang yang terhidang, hanya tinggal beberapa butir. Dengan senyuman dan rasa syukur, dia mengambil dan mengunyah cekodok pisang itu dengan nikmatnya. Sesekala air kopi diteguk sebagai selingan menghilangkan rasa tercekik ditekaknya.
“Cukup ke tu, Mai?”tegur ibunya yang baru masuk ke ruang dapur setelah keluar memberi makan kepada ayam ternakannya di belakang rumah.
“Tak cukuplah, mak. Lapar ni. Sedap pula jemput-jemput ni. Balqis gorengkan untuk kak Mai boleh tak?”pinta Maisarah.
“Balqis, pergi gorengkan jemput-jemput untuk kakak tu,”perintah ibunya.
“Malaslah mak. Kak Mai tu saja je. Ngada-ngada. Suruhlah dia goreng sendiri. Siapa suruh bangun lambat,”kata Balqis. Tangannya masih bersabun, kerana sedang mencuci pinggan.“Takpelah mak.Saja je. Mai dah kenyang pun,” beritahu Maisarah sambil ketawa. “Abah mana mak?” tanya Maisarah lagi. Sejak tadi ayahnya tidak kelihatan.
“Abah kau tu pagi-pagi lagi dah keluar pergi ladang,”jawab Puan Nafisah.
“Ooo..ye ke. Kenapa tak kejutkan Mai pagi-pagi. Kalau tak bolehlah Mai tolong abah
kutip buah lerai.” Dia membawa cawan dan pinggan kosong ke sinki meminta Balqis membasuhnya.
“Eleh, cakap je lebih. Orang kejutkan dari tadi pun tak bangun-bangun.Selamat orang  ni baik. Kalau tak, orang simbah je air tau,”perli Balqis. Maisarah hanya ketawa.
Tikar mengkuang digulung dan diletakkan di sudut dapur.  Kemudian dia ringan tangan mengambil penyapu lidi yang tergantung di sebalik pintu. Dia menyapu di ruang dapur. Sempat juga dia membuka siaran radio Suria FM. Lagu-lagu yang berkumandang menjadi santapan halwa telinganya.
 Balqis memasuki bilik setelah selesai mencuci pinggan mangkuk. Kebetulan telefon bimbit milik Maisarah bernyanyi riang. Hanya nombor telefon yang terpapar di skrin.
Balqis mengambil dan menjawabnya.
“Assalamualaikum…”Balqis memberi salam.
“Err…Waalaikumussalam. “Jawab suara di hujung talian teragak-agak.
“Hmm..Boleh tak saya bercakap dengan Maisarah,” sambung suara itu lembut.
“Ni siapa ye? “tanya Balqis.
“Saya Ilham..Ni Maisarah ke?”soal suara itu lagi.
“Taklah, ni adik dia. Ni siapa ye? Boyfriend kak Mai ke?” tanya Balqis tanpa segan silu. Saja serkap jarang. Manalah tahu mengena. Dia ingin mencungkil rahsia Maisarah, kerana setahunya jarang ada lelaki yang menelefon kakaknya itu.
“Saya kawannya.”Bohong Ilham.
“Okey…Sekejap ye.” Balqis menjerit memanggil nama kakaknya. Sementara menanti Maisarah tiba, Balqis sempat berbual dengan Ilham.
“Betul ke abang ni bukan pakwe kak Mai?” Selamba sahaja Balqis bertanya.
“A’ah. Kawan je. Kenapa? Kak Mai belum ada pakwe ke?” Ilham dihujung talian hanya tersenyum melayan. Kalau betul, baguslah.Hmm..Ada chance. Eh,tiba-tiba menjiwang pula dia.
“Hmm..Takdelah kut. Tapi rasanya memang takde. Okey,bang. Ni kak Mai dah sampai.”
“Siapa?” soal Maisarah inginkan kepastian.
“Pakwe akak lah. Siapa lagi. Oo..Tak beritahu pun ye. Cakap kat mak,” usik Balqis.
“E’eh budak ni, kan.”
“Jangan cakap lama-lama dengan kak Mai tau. Nanti dia malas nak buat kerja,”usik Balqis tanpa mengetahui siapa sebenarnya Ilham.Ilham yang berada di hujung talian hanya tertawa gelihati. Yang penting dia sudah mengetahui satu rahsia. Maisarah masih belum berpunya. Cantikkk…Maksudnya, rancangan boleh diteruskan dengan jayanya.
Telefon bimbit Sony Erricson J100i itu kini bertukar tangan. Maisarah segera menutup pintu biliknya. Tidak biasa perbualannya didengar orang lain.
“Assalamualaikum…siapa ni?”tanya Maisarah lembut.
“Waalaikumsalam. Saya ni pakwe awaklah. Takkan pakwe sendiri pun tak kenal kut. Nak merajuklah macam ni,” jawab suara di hujung talian agak mesra dan manja. Ada tawa di hujung bicaranya. Hanya bergurau.’Ish, manja juga aku ni rupanya. Habislah, tiba-tiba jadi jiwang pula.’ Ilham berbicara di dalam hati. Dia tersenyum menilai dirinya.
“Siapa ni. Sorry, aku tak kenal kau. Baik kau beritahu siapa kau sebenarnya, kalau tak aku putuskan talian sekarang.” Nada suara Maisarah seakan marah. Dia memang tidak mengenali siapakah gerangan yang empunya suara itu. Lebih-lebih lagi mengaku sebagai pakwenya dan bermanja-manja begitu. Geli geleman rasanya. Sememangnya dia malas dan tidak suka melayan panggilan orang yang tidak dikenalinya. Padanya ia seperti mahluk asing yang baru datang ke bumi. Tidak mengerti etika dan susila.
“E’eh, garangnya dia. Saya ni bakal pakwe awaklah.” Suara dihujung talian mula bernada serius walaupun masih menyelit kata guruan.
“Kau jangan main-main dengan aku boleh tak. Sorry, aku tak kenal kau.” Maisarah mula naik berang dengan tindakan lelaki tersebut. Talian diputuskan.
“Hisy..siapa yang mengaku bakal pakwe aku ni. Suara..hmm..boleh tahan. Sedap. Tapi…” Maisarah mengurut dada. Tiba-tiba rasa berdebar pula jantungnya.
Tidak lama kemudian telefon bimbitnya berdering lagi. Maisarah melihat nombor yang tertera di skrin. Sememangnya dia tidak mengenali milik siapakah nombor itu. Dia membiarkan saja telefonnya itu terus bernyanyi riang. Terasa malas menjawabnya.
‘Nak angkat ke..tak..Nak angkat ke tak…’Maisarah membilang dengan jari sepuluh. ‘Hmm..’ Dia masih terfikir-fikir.Telefon bimbitnya masih terus bernyanyi tanpa henti. Maisarah serba salah untuk menjawabnya. Kalau tidak dijawab, takut pula kawannya.Manalah tahu mereka saja ingin mengenakannya.Mahu tak mahu, akhirnya Maisarah mengambil keputusan untuk menjawab saja panggilan itu. Nafasnya ditarik dalam. Melegakan sedikit perasaan marahnya tadi.
Hello, siapa ni?” Suara Maisarah kendur. Seakan malas melayan panggilan itu.
Hello, Maisarah. Sorrylahganggu. Kau sihat tak?” Suara Ilham di hujung talian kedengaran agak mesra dan peramah.Agak lembut sahaja nadanya seakan menggoda.
“Hmm..Baik.” Jawab Maisarah acuh tak acuh. Dia masih tidak mengenali empunya diri tersebut. Hanya mendengar suara yang merdu bak buluh perindu.
“Kau ni siapa sebenarnya? Nak apa?” Maisarah menekan sedikit suaranya. Dia bertegas. Dia tidak pasti mengapa saat ini jantungnya semakin berdegup kencang. Pelik.
“Tekalah. Agak-agak, siapa?” Ilham mula mesra melayan bicara. Nada suara Maisarah yang seakan marah itu tidak dipedulikan sama sekali.
“Siapa ni?”Maisarah cuba berfikir.
“Tekalah.”
“Eh, aku malaslah nak teka-teka. Baik kau cakap je kan senang. Kalau tak aku letak sekarang.”
“Janganlah. Itu pun nak marah ke?” Ilham membalas kata.
“Eh, cakaplah siapa.” Maisarah mula rasa geram. Terdegar suara tawa di sebalik talian.
“Kau ni ketawa pula. Kau rasa aku kenal kau ke?” soal Maisarah inginkan kepastian. Sepertinya si pemanggil begitu mesra dengannya. Adakah orang di sebalik talian itu dikenali.
“Kenal kut.” Ilham masih bermain kata.
“Kenal ke? Siapa ek?” Maisarah masih menyoal. Jika dia kenal, siapakah gerangan orang itu.
“Cuba teka.” Ilham masih menduga. Saja suka-suka. Entah mengapa, senang juga dia melayan kata dengan Maisarah.
Maisarah duduk memikir sambil menggaru kepala.
“Ntahlah. Tak tahu. Hmm..cakaplah siapa. Tapi, suara kau ni aku macam pernah dengarlah.”
“Memanglah. Kita pernah jumpa.”
“Oh, ye ke. Eh, baik kau cakap, kau ni siapa. Kalau tak, aku malas nak layan. Aku ada kerja ni.” Suara Maisarah yang sedikit kendur kembali bergetar.
“Oh, ye ke. Rajinnya awak ek.” Puji Ilham dihujung talian.
“Eh, cepatlah beritahu. Ni main-main pulak.” Maisarah mula berangin. Geram juga rasa hatinya melayan empunya diri yang tidak di kenali itu.
“Teka dulu.”Ilham di hujung talian masih bermain tarik tali.
“Iman ea.” Maisarah hanya menyebut satu nama yang mungkin takkan dilupakan. Dia sangat pasti orang dihujung talian itu sememangnya bukan Iman. Dia kenal akan suara Iman. Cuma selama ini dia sangat berharap agar lelaki itu menghubunginya.
“Owh…Salah. Iman tu pakwe awak ke?” Ilham sempat menjadi ‘pak sibuk.’
“Kenapa sibuk nak tahu. Aku cuma nak tahu kau ni siapa? Mahluk asing ke?” Kini Maisarah pula membalas kata.
“A’ah. Aku  ni Son Goku. Budak yang rambut pacak tu.” Ilham menjawab selamba sambil bergurau. Sengaja memanaskan hati Maisarah yang da sendiri tidak kenal secara jelas.
Maisarah segera memutuskan talian. Berang. Panas hatinya melayan pemanggil yang tak dikenalinya itu. Telefonnya di off.“Siapalah yang nak main-main dengan aku ni. Son Goku konon.”
Maisarah menutur bicara sendiri. Dia sangat berharap agar orang yang tidak dikenali itu tidak menghubunginya lagi. Dia kemudian keluar dari bilik dan menyambung kembali kerjanya yang tertangguh.
Masiarah memasang CD audio lagu kegemarannya. Kebanyakan lagu adalah dari siri anime Jepun. Dia lebih gemar membuat kerja di iringi soundtrack lagu. Lebih selesa begitu.Rasa tenang. Kadang-kala bibirnya dengan senang hati menyanyi mengikuti bait-bait kata lagu yang terpasang walaupun tidak memahami makna lagu tersebut secara jelas.
Lagu yang terpasang terus beralun merdu, namun ia masih tidak dapat menenangkan fikiran Masiarah. Fikirannya masih terganggu. Dia sedaya upaya cuma memikirkan gerangan orang yang menelefonnya tadi. Tetapi dia tetap tidak punya jawapan. Kemudian dia tersenyum sendiri. Sejak bila pulalah Son Goku datang kat Malaysia ni. Kalau tak mesti dah kecoh orang jumpa kapal angkasa orang Saiya tu. Hai..Mai..Mai..Apa yang kau merepek ni.
Ilham kembali menelefon untuk yang kesekian kalinya. “Hisy, budak ni. Ada ke dia off  telefon. Tak sporting langsung. Aku baru je nak bermesra-mesra dengan dia. Ni bila dia nak on kan balik ni. Yang aku ni pun satu. Gatal sangat nak kacau-kacau dia siapa suruh. Kan lebih baik cakap direct je senang. Takdelah prasangka bukan-bukan. Budak tu mesti ingat aku ni menggatal nak ngurat dia.” Ilham berbicara dengan hati sendiri. Dia terus bermalas-malasan bermain dengan Si Tuah, kucing kesayangannya.
Selepas mengemas, Maisarah membantu emaknya memasak. Masakan tengahari itu adalah ayam masak kicap kegemarannya. Usai makan tengahari, dia kembali ke biliknya.Telefon bimbit Sony Ericssonnya itu di on kembali. Kemudian beberapa miscall telah berbunyi masuk. Semuanya nombor yang sama. Nombor milik Son Goku tadi. Nombor panggilan tu segera di delete. Rasa menyemak di dalam peti panggilan tidak di jawab. Dia sudah duduk di birai katil.
Maisarah menaip sesuatu di telefon bimbitnya. Dia ingin meminta bantuan Ibtisam, temannya untuk menyiasat siapakah pemilik nombor tersebut. Baru sahaja menaip beberapa patah, dia telah menerima panggilan daripada lelaki tadi. Mahu tidak mahu, dia menekan punat hijau dan menjawab panggilan tersebut.
“Kau ni siapa.” Maisarah terus menyergah tanpa mukadimah.
“Assalamualaikum.” Ilham di talian mengucapkan doa kesejahteraan.
Maisarah menjawab juga salam itu walaupun hatinya galau.
“Aku nak tahu, kau ni siapa sebenarnya. Kenapa nak main-main.” Maisarah meluah kata. Bicaranya agak lembut sedikit berbanding tadi.
Sorry sebab tadi aku saje je nak main-main.Kau nak tahu ke aku ni siapa?” Ilham di hujung talian menyoal. Sengaja dia berbuat demikian untuk mengetahui reaksi Maisarah.
“Iyalah. Cepatlah cakap.” Maisarah seakan mendesak. Hatinya sudah menggerutu melayan kata. Kalau ikutkan kata hatinya ingin saja dia mematikan talian pada waktu itu juga.
“Ilham. Kenal tak?” Ilham berteus terang.
“Siapa?” ulang Maisarah. Dia sepertinya tidak dapat menangkap butir bicara Ilham dengan jelas.
“Ilham. I.L.H.A.M.” Ilham mengulang kata. Dieja juga satu persatu namanya.
“Ilham? Ilham mana pulak ni? Aku rasa macam takde kawan nama Ilham. Kau ni Ilham mana ek? Kau ni dapat nombor aku dari mana pulak?” Maisarah menyoal lagi. Setahunya dia memang tiada kawan bernama Ilham.
“Kau yang beri pada aku?” Suara di hujung talian tenang menjawab. Dia tidak menipu. Cuma, pemberian itu adalah secara paksa.
Maisarah mengeluh sendiri. “Aku yang beri nombor pada dia? Siapa ea? Aku ada ke kasi nombor kat orang.” Maisarah terfikir-fikir sendiri. Sepertinya dia mula mengingati sesuatu.
“Kau ni…”
Belum pun sempat menghabiskan bicaranya, Ilham lebih dahulu menyambung kata.
“Aku Ilhamlah. Aku telefon kau ni nak tuntut ganti rugi. Takkan dah lupa kut. Jangan nak buat-buat lupa pula ea, cik Maisarah.” Terus suara itu bertukar nada. Nadanya tegas. Tidak lagi bermesra dan bermanja seperti sebelumnya. Maisarah menelan liur sendiri. Dia dapat mengingati siapakah orang yang sedang bercakap dengannya walaupun wajah orang itu tidak dapat diingati dengan jelas. Apa yang masih jelas diingatnnya, orang itu pernah kena penamparnya.
“Err.. Maaf, awak. Saya.. tak dapat bayar ganti rugi tu buat masa ni. Tunggulah saya ada duit baru saya bayar..” Bicara Maisarah tergagap-gagap. Suaranya terus menjadi perlahan, seakan berbisik. Dia bimbang adiknya mencuri dengar perbualannya. Suaranya yang tadi tegang, kini menjadi kendur.
Sorry, aku tak boleh tunggu lama.” Suara disebalik talian itu sengaja ditekankan menambahkan keseriusan kata-katanya.
“Tolonglah…Saya tiada duitlah nak bayar sekarang,” rayu Maisarah mohon pengertian. Hatinya mula tidak senang apabila mengetahui gerangan orang yang menghubunginya.
No way!!” Ilham sekan tidak memberi peluang.
“Aku minta tolong sangat ni. Beri aku tempoh. Tak pun, kurangkanlah sikit. Aku ni bukan orang kaya. Tolonglah…Aku merayu ni. Aku nak cari duit kat mana. Sekarang ni aku nak korek kat mana.” Maisarah terpaksa merayu. Dia sudah kebuntuan.
“Itu masalah kau. Bukan masalah aku.” Ilham sengaja menambah tekanan.
“Tolonglah…Aku merayu ni.” Masiarah terpaksa merayu lagi.
“Okey. Kalau macam tu, aku ada syarat untuk kau. Kau boleh pilih,”syor Ilham. Dia mula bermain kata. Itulah yang di tunggu. Dia punya rancangan tersendiri. Sebenarnya dia memang berharap agar Maisarah tidak membayar ganti rugi tersebut, tetapi Maisarah mesti memenuhi permintaanya. Jadi, dia punya percaturan sendiri.
“Hmm..Okey, okey. Apa syarat tu?” tanya Maisarah segera ingin tahu. Dadanya sudah berdegup kencang. Bicara mereka kini telah berubah simfoninya. Ilham menjadi serius, dan Maisarah pula tersepit dengan keadaan.
“Sabarlah sikit. Jadi orang tu biarlah bersabar.” Tempelak Ilham di hujung talian. Nampaknya dia sudah mula menjadi sedikit garang.
“Okey..okey.” Maisarah terpaksa akur. Takut juga dia apabila mendengar suara garau itu di hujung talian. Selamat hanya di dalam talian, jika dia berhadapan dengan lelaki itu saat ini, pasti wajah lelaki itu sudah menyeringai bak seekor singa. Lagilah menakutkan.
“Aku ada dua syarat. Aku nak kau pilih salah satu. Syarat yang pertama, aku akan anggap kau tak berhutang dengan aku, tapi cincin kesayangan kau ni aku jadi milik aku seratus peratus….”
“Eh, mana boleh macam tu,” pintas Maisarah. Dia tidak sanggup kehilangan cincin tersebut.
“Aku belum habis cakap lagilah. Ada syarat yang kedua.” Suara itu mula menekan tegas.
 Maisarah hanya mampu menelan liur. Dia tahu Ilham kini benar-benar serius.
“Okey…Apa syarat kedua?”pinta Maisarah segera.Dia tidak ingin menerima syarat pertama kerana dia akan kehilangan cincin yang istimewa itu walaupun dia tidak perlu membayar ganti rugi. Dia mengharapkan syarat kedua yang bakal diberitahu Ilham mampu untuk dipenuhi.
“Syarat yang kedua, aku anggap hal ni settle kalau kau sudi….Hmm..Kalau kau sudi…” Ilham juga teragak-agak dalam bicaranya.
Tiba-tibanya pintu biliknya dibuka. Ilham terkejut.
“Ehemmm..Telefon siapa tu Am. Ummi panggil pun tak dengar.” Suara Sofea Jasmin menusuk cuping telinganya. Wanita itu sudah datang menghampiri. Ilham kaget.
‘Gulp.’ Ilham meneguk liur sendiri. Dahinya berpeluh. “Err..Okey, Mai.. Nanti Bi telefon semula.”Taliannya diputuskan.
“Fuhh. Bahaya. Selamat aku belum sempat cakap lagi, kalau tak habis program aku.” Ilham berselindung supaya tindakannya tidak dapat dikesan umminya. Tetapi, dia sendiri tidak menyangka itulah butir bicara yang keluar dari mulutnya. Perghh…Gila jiwang. Romantik seh.Muka terpaksa control cool.
Maisarah yang berada di hujung talian terbungkam seketika. Tekejut dengan apa yang didengarnya. “Gila ke mamat ni,” bisik hatinya. Dia melekapkan tangan ke dada. Dadanya terasa berdebar laju.“Apa hallah pulak ni.” Dia terfikir sendiri. Hatinya mula bimbang. Apakah syarat kedua yang ditetapkan Ilham. Aduhai… Kenapalah aku boleh ter’accident’ dengan mamat ni hari tu.. Menyusahkan betul.
“Apa yang Mai..Bi..Mai..Bi..tu Am. Am tengah telefon Maisarah ke?”serkap Sofea Jasmin. Kalau benar, tak sangka juga anaknya seromatik itu. Dingin tak semestinya beku, Dingin itu mungkin lebih nyaman. Cool.Hmm..kalau macam nilah gayanya, cepatlah dia dapat menantu.
“Eh, takdelah ummi. Si Erry kawan sekerja tu. Sibuk benar promote kat Am, Myvi Special Edition yang baru keluar tu. Tu yang Myvi..Myvi je. Ummi nak ke mana, cantik-cantik macam ni?” Ilham berdalih dalam bicaranya. Dia malas menjawab seandainya umminya bertanya lanjut hal Maisarah. Ilham tetap berlagak selamba, seperti tiada apa-apa yang berlaku tadi. Coollah katakan.
Sofea Jasmin hanya tersenyum.
“Ummi nak pergi rumah Aunty Hasmah. Hari ni anak dia nikah. Dia jemput ummi. Am tolong hantarkan ye.”
            “Anak Aunty Hasmah yang mana, ummi?” Ilham olok-olok bertanya. Biar dia bertanya, daripada dia yang di tanya. Soalan ummi kadang kala cepuemas, susah nak menjawabnya.
            “Sazzy.”Jawab Sofea Jasmin pendek. Pernah dulu dia berniat ingin menyatukan Ilham dengan Sazzy anak temannya itu, tetapi Sazzy pula sudah punya teman istimewa. Jika tidak sekarang  ni pasti mereka sudah berbesan.
            “Oh... Dapat orang mana?”
            “Utara, nun. Hmm..Mai tu budak mana.” Sengaja Sofea Jasmin memerangkap kata. Ingin juga dia tahu tentang gadis bernama Maisarah itu.
            “Haa..Siapa?” soal Ilham kembali. Dia seakan tidak mendengar butir bicara umminya. Terleka untuk seketika.
            “Mai…”
            “Hmm..Ayah mana? Selalukan ummi pergi dengan ayah?” Ilham segera mengalih topik bicara. Dia tidak dapat memberikan jawapan untuk soalan cepuemas umminya itu.
            “Aii.. Kenapa alih topik bila ummi tanya pasal Mai?” Sofea Jasmin tersenyum lebar. Saja bergurau dengan anak terunanya itu.
            “Rahsia.” Ilham menjawab pendek. Dia tersenyum. Dia juga tidak tahu perihal Maisarah. Takut pula tersalah ‘tembak’ jawapannya itu.Karang, susah pula jadinya. Berdebar juga dadanya tatkala itu.
            “E’eh. Dengan ummi pun nak berahsia ye. Hmm..budak ni.”
            “Rilekslah, ummi. Ayah mana?” Ilham menyoal kembali.
“Ayah kau dah keluar dengan Pak Long. Katanya nak tengok ladang. Ayah kau tu mana nak lekat dekat rumah,” bebel Sofea Jasmin.
“Oh, okeylah.Hari ini Am akan jadi driver ummi.” Ilham memeluk erat uminya. Wajahnya jelas gembira.
“Ni, macam ada apa-apa je. Selalu takdenya nak bermanja-manja dengan ummi macam ni. Jangan-jangan ni mesti happy pasal Maisarah.”Sofea Jasmin sepertinya dapat merasakan aura Maisarah yang banyak mempengaruhi Ilham. Walaupun belum mengenali, dia pasti gadis itu seorang yang istimewa.
Senyuman Ilham bertukar kelat. Pelukannya di leraikan.
“Kenapalah ummi asyik sebut pasal Maisarah je. Maisarah..Maisarah..Maisarah…Takde nama lain ke?? Sebelum ni Maira je tak sudah.” Ilham berbisik sendiri.Cuping telinganya terasa panas, apabila nama itu di bangkitkan. Namun begitu, dia tidak menafikan hatinya juga terasa berdebar apabila nama di sebut-sebut.Ilham terfikir sendiri, agaknya sudah berapa kali Maisarah tersedak kerana umminya asyik menyebut nama gadis itu. Ilham akhirnya tersenyum sendiri. Hmm..Popular nama kau Maisarah.
Malam itu…
+Aku nak jumpa kau esok. Nanti aku beritahu syarat yang kedua tu.
Jari Ilham pantas menekan punat-punat telefon bimbitnya. Dia ingin menyelesaikan masalah itu secepatnya. Saat ini di terpaksa mendapatkan khidmat Maisarah untuk berlakon sebagai watak utama dalam cerita Lavendernya. Tempoh sebulan yang diberi umminya, sudah berlalu dua minggu. Maka terpaksalah dia berlakon baik untuk memujuk Maisarah walhal dia sendiri masih belum mengenali Maisarah secara jelas.
Cuma saat ini dia mengharapkan Maisarah akan bersetuju, kerana selagi cincin Lavender itu masih dalam simpanannya, maka kerjanya dapat berjalan dengan lancar. Dia pasti Maisarah akan berusaha mendapatkan cincin itu kembali walaupun ia hanya sebentuk cincin platinum. Dia pasti cincin itu amat istimewa untuk gadis itu.Dia tidak teragak-agak untuk menggunakan kekerasan selagi rancangannya tidak berjaya. Namun begitu hatinya bukan sejahat itu. Dia hanya terdesak dengan keadaan.
Maisarah sedang khusyuk melayan cerita Hindustan ‘Dil Hai Tumhara’. Pelakon utama, hero kegemarannya, Arjun Rampal. Syok betul melayan.
“Akak, telefon akak tu berbunyi.”
“Hah, ye ke. Tak dengar pun.”
“Hmm..mana nak dengar. Lagu tu kuat sangat.”
“Please, ambikkan.”
“Ewah, sedapnya perintah orang. Huh, pemalas. Tau la hero dia kat TV tu. Terus malas nak bangun.” Balqis datang menghulurkan telefon bimbit Maisarah.
“Eleh, minta tolong sikit pun tak boleh. Berkira betul.”
“Akak, apa cerita pakwe akak hari tu.”
“Pakwe mana pula. Mana ada. Jangan buat cerita bohonglah.”
“Ye la tu. Ntah-ntah tu dia yang mesej.”
“Sibuk jelah kau ni.” Maisarah membuka peti masuk mesejnya. Terkejut juga dia membaca mesej tersebut. Berubah juga riak air mukanya. Namun selamatlah Balqis tidak perasan. Memang ‘pakwe’nya yang hantar mesej.
“Hisy..manalah budak ni. Ni dahlah emergency kes. Tak balas pulak dia. Takkan takde kredit kut. Hampeh punya budak.” Ilham mengomel sendiri. Tidak lama kemudian, mesejnya berbunyi.
“Hmm..balas pun. Penat dah aku tunggu.’” Ilham membaca bait kata yang tertulis.
-Maaf. Saya masih kat kampung. Lusa baru saya balik.
+Okey, takpe. Aku nak jumpa kau selepas kau dah balik..Hmm, kampung kat ne ea.

Sibuk juga dia ingin tahu. Dah alang-alang mesej.
“E’eh, mamat ni. Sibuk pula dia tanya aku punya kampung kat mana. Jangan harap aku nak beritahu.” Maisarah tidak membalas. Takut. Dia takut Ilham akan menjejak dirinya sampai ke kampung. Lagi masalah.
“Siapa kak?” Balqis sibuk ingin tahu.
“Sam”. Jawab Maisarah pendek. Terpaksa dia menipu. Balqis tahu siapa Sam. Kawan kakaknya itu semasa di universiti. Maka dengan itu dia tidak banyak menyoal.
Maisarah termenung.‘Hmm..Lantaklah. Buat apa fikir pasal dia. Tengok Arjun lagi best.’
“Hmmm..Confirm tak balas budak ni. Okey. Tak kisah pun. Nanti aku tahu juga.”Ilham bangun menuju ke jendela. Menghirup udara segar yang beralun lembut menampar pipi. Dia tersenyum sendiri.“Maisarah…Apa aku nak buat dengan kau ni ea. Hari tu senang-senang je kau tampar aku. Sekarang ni, aku nak suruh kau pulak menyamar jadi awek aku. Biar betullah kau ni Am.” Ilham mengeluh panjang. Awek tak awek…kan berlakon je. Janji aku bawa jumpa ummi sudah. Pastu pandai-pandailah…
Ilham kemudian bangun mengambil gitar kesayangannya. Dia mula memetik gitar melayan lagu-lagu kegemarannya.







No comments:

Post a Comment