Friday 4 September 2020

BAB 4 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG





Ya Allah,

 Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, permudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah

 

FATEHAH baru selesai bersolat sunat Dhuha. Itulah yang diamalkan setiap hari. Doanya moga limpah rezeki dari Allah sentiasa terbuka untuknya dan keluarga. Sejurus melipat telekung dan sejadah, deringan telefonnya menggamit pendengaran. Lantas telefon pintarnya yang berada di tepi bantal dicapai. Melihat pada nombor yang terpapar, dia sendiri tidak dapat mengagak panggilan itu dari mana. Terus saja dia pilih butang hijau menyambung panggilan itu.

“Assalamulaikum. Selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik Fatehah binti Abdul Fattah?” suara seorang lelaki kedengaran di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ya, saya Fatehah binti Abdul Fattah.” Dalam rasa debar Fatehah menjawab panggilan itu. Hatinya jadi tidak keruan saat ini.

“Cik ni adik Encik Iftitah ke?”

Err…Tak. Saya tak ada abang. Encik silap nombor ni.” Lembut Fatehah memberitahu.

“Tak. Saya memang tak silap nombor. Saya memang nak menghubungi awak, Cik Fatehah. Sebenarnya saya ni Encik Nazam dari IE- Iftira Empire.” Suara itu memberitahu lagi.

Iftira Empire? Adakah ….

Empunya diri di hujung talian akhirnya menyampaikan amanat kata.

“Jadi Cik Fatehah boleh datang lapor diri hari Isnin minggu depan nanti ya. Sila bawa surat tawaran kerja. Cik boleh print terus dari email.”

“Ba..Baik. Terima kasih ya.”

Setelah talian dimatikan, Fatehah lekapkan tangan di dada. Rupanya panggilan masuk kerja. Ya Allah! Syukur, Alhamdulillah!

Keluar dari bilik, Fatehah ketawa kegembiraan.

“Kak. Kau dah kenapa? Mak tengok akak ni. Kenapa entah. Dah tak betul agaknya. Terjerit-jerit keluar dari bilik.” Si adik sudah mengadu kepada si emak. Yalah, pelik tengok kakaknya keluar dari bilik tiba-tiba macam orang terputus wayar.

Fatehah segera ke bilik air. Si adik dan si emak saling berpandangan. Tidak mengerti apa-apa. Agaknya dah teruja sangat terus nak terkencing gamaknya.

“Kak. Kau dah kenapa?” Si adik masih bertanya soalan yang sama tika kakaknya keluar dari bilik air.

“Akak nak solat dulu. Nanti akak cerita,” ujar Fatehah setelah keluar dari bilik air.

“Eh, bukan tadi dah solat ke?”

“Memang dah solat Dhuha tadi. Ni nak solat lain pula. Tadi excited sangat sampai terlepas gas beracun,” ujar Fatehah dalam tawa sambil membetulkan lipatan lengan bajunya. Masuk ke bilik, dia melakukan solat sunat syukur. Alhamdulillah, ya Allah atas segala kurniaan-Mu. Doaku, kau perkenankan.

Seperti yang dijanjikan, Fatehah mendapatkan emak dan adiknya yang sudah duduk di dapur menyediakan rencah masakan tengahari walaupun tika itu baru jam 10.00 pagi. Sememangnya itu rutin harian di rumahnya. Sekitar jam 12.00 tengahari biasanya mereka sudah kenyang menikmati hidangan tengahari.

“Mak…Mak nak tahu tak. Teha dah dapat kerja. Minggu depan dah kena lapor diri. Tadi orang pejabat tu telefon. Patutlah sejak pagi tadi dada Teha ni berdebar semacam. Malam tadi pun siap mimpi dapat cincin. Mimpi nak dapat rezekilah tu agaknya.” Sungguh teruja Fatehah menyampaikan berita gembira tu.

“Alhamdulillah. Mak tumpang gembira. Lepas ni merasalah mak gaji kamu. Bolehlah ajak mak melancong,” ujar Fatimah dalam senyum melebar.

“Kan, mak kan. Melancong pergi pulau Tioman pun jadilah kan mak. Dalam negara aje.” Si adik menambah kata.

“Amboi! Akak masuk kerja pun belum, dah ada yang tempah tiket ke Tioman. Matilah nakkk…” Fatehah sudah membuat mata juling ke atas. Emak dan adiknya mengekek gelak.

“Duit gaji tu akak nak bayar hutang pinjaman PTPTN. Berapa tahun nak habis bayar tu.”

“Yalah. Tapi takkanlah semua akak nak guna bayar hutang. Paling tak akak belanja top-up Syira RM10.00 sebulan pun jadilah. Kan, mak kan? Lepas tu beri mak dan abah sikit. Sebab tu lebih berkat. Sebab mak dan abah dah banyak bersusah payah untuk akak.”

“Itu akak tahu. InshaAllah. Selagi hayat dikandung badan, akak takkan lupakan jasa mak dan abah pada akak.” Bila mengenangkan jasa kedua mereka, hatinya jadi tersentuh. Kasih sayang dan pengorbanan yang mereka berikan sungguh tidak ternilai dan tidak dapat dibayar dengan jutaan wang ringgit.

“Nanti beritahulah abah berita ni. Abah pasti gembira.” Beritahu emaknya sambil tangannya kembali licah mengunting lada kering untuk menu masakan tengahari nanti.

Apabila abahnya pulang dari memotong rumput di tanah wakaf perkuburan, Fatehah sudah siap sedia menyediakan minuman panas untuk ayahnya.

“Abah…Teha ada berita gembira untuk abah.” Nampaknya Fatehah sungguh tidak sabar untuk memberitahu. Kerusi di sebelah abahnya ditarik dan punggungnya dilabuhkan.

“Cuba abah teka.”

“Abah dah tua kau nak main teka-teka nak buat apa Teha. Kalau teka-teki, teka-tekuk ular mati atas pokok tu abah tahulah.” Abdul Fattah tertawa sendiri. Saja berseloroh dengan anak daranya itu.

“Alah, abah. Tak mainlah teka-teki tu. Abah tekalah apa yang Teha nak cakap dekat abah. Mana tahu abah terror macam Nujum Pak Belalang tu.” Nampaknya Fatehah memang sangat manja dengan abahnya.

“Anak kau ni dah kenapa Mah? Lain macam aje aku tengok. Berita gembira apa yang dia nak beritahu,” soal Abdul Fattah kepada Fatimah yang sedang menumis sambal petai di kuali.

“Dia dah suruh teka tu abahnya teka ajelah.”

“Ni kalau teka betul dapat apa? Dapat duit satu juta ke?” Abdul Fattah memang suka bergurau dengan anak daranya yang sulung itu.

“Abah nii…” Fatehah sudah tarik muncung ala-ala merajuk.

“Cakap macam tu pun dah jadi cencurut. Hmm..Kalau suruh teka, ni mesti Teha nak beritahu abah yang Teha nak kahwin kan?”

Mendengar tekaan abah, makin panjanglah muncung Fatehah. Kahwin??

“Kerja pun belum, bah. Takkan nak kahwin. Calon pun tak ada.”

“Dah tu kamu suruh abah teka. Abah tekalah. Jadi berita apa yang kamu nak beritahu abah. Excited benar abah tengok.” Abdul Fattah mencicip sedikit air kopi panas di cawan lalu meletakkan kembali di atas piring.

Of courselah excited bah. Teha sebenarnya dah dapat….kerja. Minggu depan dah kena lapor diri.” Dari raut wajah Fatehah, jelas terpancar nur yang membahagiakan.

“Oh, ya ke? Alhamdulillah. Patutlah suka sangat gayanya. Apa nama tempat kerja kamu tu?”

“Iftira Empire, bah. Tapi nama glamour dia orang panggil IE je.”

 “Oh. Syukurlah Teha kamu dah dapat kerja. Apa pun abah tumpang gembira untuk kamu. Pastikan amanah dalam bekerja. Jangan kerja main-main. Biarlah setiap kerja yang kita buat tu mendapat keberkatan daripada-Nya. Barulah hasil yang kamu terima tu berkat.” Abdul Fattah menitip pesan sebaiknya.

“InshaAllah, abah. Teha akan sentiasa ingat pesanan abah.”

“Nak dijadikan cerita, dan..dan pula anak lelaki pemilik syarikat tu berkenan dekat akak. Wah! Dapat menantu kayalah abah.” Si adik sibuk nak mencelah.

“Abah tengok bah. Budak ni kalau merepek entah apa-apa. Pengaruh dramalah tu. Klise sangatlah tu weh.”

“Mana tahu kalau dah jodoh. Abah terima aje.” Abdul Fattah hanya menyengih. Saja nak menyakat si anak dara. Yalah. Kalau ikutkan umur dah layak nak berkahwin pun. Dia pun teringin juga nak ada menantu.

“Abah ni. Sokong pula apa yang Syira cakap tu. Tak naklah kahwin dengan orang kaya, bah. Takut. Cari yang sekufu sudah. Hidup sederhana. Ada karang yang bawak mulut cakap anak abah ni kahwin anak orang kaya sebabkan harta. Tak naklah. Selisih malaikat 44.”

“Tapi kak, kalau anak orang kaya tu yang terhegeh-hegeh nakkan akak macam mana?”

Fatehah hanya jungkit bahu. Tak nak komen apa-apa. Sebabnya soal rezeki, jodoh,dan maut itu semua di tangan Tuhan.

Itulah topik bicara anak-beranak. Mula aje cerita pasal kerja. Lepas tu mulalah melalut cerita kahwin-kahwin. Versi dramalah, versi novellah. Yang penting sekarang ni bukan waktu dia nak fikir pasal kahwin. Dia nak kerja. Nak cari duit. Nak bayar hutang. Nak beri emak dan abah. Nak beli emas banyak-banyak buat aset. Pelaburan demi masa depanlah kata kan. Lagilah memang dia dah sedia maklum harga emas makin hari makin naik di pasaran. Jadi untuk jangka panjang adalah keuntungan di situ. Satu perkara yang perlu diingat, kalau emas dah cukup haul, pastikan bayar zakat emas. Okey…Dan..Dan lah melalut pasal emas pula. Walau apa pun apa yang dia melalut tu tetap fakta, bukan auta. Betul tak?

 

 

No comments:

Post a Comment