Friday 4 September 2020

BAB 5 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG



“SELAMAT PAGI. Saya Fatehah binti Abdul Fattah. Saya datang untuk melapor diri. Saya perlu berjumpa dengan siapa ya, cik? Ni surat tawaran yang saya dah print dari email.” Fatehah sudah menyerahkan surat yang dimaksudkan kepada wanita penjaga kaunter penyambut tetamu di lobi pejabat yang bernama Wany. Itu pun setelah dia tilik tag nama yang dipakai empunya diri.

“Sebentar ya. Cik boleh duduk dulu.” Wanita itu mempersilakan dia duduk dan kemudian meninggalkan dirinya sebentar. Beberapa waktu kemudian empunya diri kembali datang kepadanya.

“Cik Fatehah. Cik boleh ikut cik yang berbaju merah tu ya.” Wany sudah menunjuk arah kepada empunya diri yang dimaksudkan. Kelihatan wanita yang ditunjuk Wany itu berfizikal tinggi ala-ala model. Disamping itu empunya diri mengenakan blouse bewarna merah dengan skirt separas bawah lutut, menampakkan karisma si pemakai. Setelah mengucapkan terima kasih, Fatehah bangun dan membetulkan penampilannya. Fuh! Berdebar betul rasa.

 “Hey, you. Come here!” Wanita itu sudah memanggil. Air mukanya kelihatan agak serius dan suaranya juga agak lantang.

 “Cik Fatehah. Cepat. Cik Tasya Andar panggil tu. Dia tu jenis tak suka orang lambat,” beritahu Wany sedikit berbisik.

“Oh, okey. Err..Apa nama dia tadi. Saya tak berapa dengar.” Fatehah kembali bertanya kepada Wany akan nama wanita itu.

“Cik Tasya Andar,” ulang Wany dengan senyuman. Fatehah akhirnya berjalan menuju kepada empunya diri. Langkah Cik Tasya Andar dibuntuti laju menuju ke arah pintu lif. Butang lif ditekan dan sekejap itu pintu terbuka. Lalu mereka berdua masuk ke dalamnya. Melihat wanita itu berdiam diri, Fatehah juga turut mengunci bicara. Tak reti pula nak berbual dalam keadaan begitu.

“You kerja di tingkat empat. Sekarang ni you kena lapor diri ke bahagian Sumber Manusia di tingkat tiga.” Suara empunya diri bernada serius sambil gayanya memeluk tubuh. Fatehah hanya mengangguk tanda faham. Aduhai…Serius semacam pula dia ini. Mesti cerewet. Huhu..Bertabahlah Fatehah. Hanya itu yang terbisik di hati kecilnya. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke tingkat tiga. Pintu lif kembali terbuka dan Fatehah membuntuti langkah Cik Tasya menuju ke ruangan pejabat itu.

‘Wah, cantiknya pejabat ni!’ Puji Fatehah di dalam hati apabila retina matanya melilau melihat sekitar pejabat itu. Suasananya pula nyaman. Wangi.

Hey, you tengok apa tu? I dekat sini tunggu you!” Terkejut Fatehah dibuatnya apabila ditegur dengan nada suara yang agak kurang menyenangkan. Segera diatur laju langkah kakinya mendapatkan wanita ala model itu yang sudah jauh ke depan. Mungkin dia tercicir sebab terleka melihat itu dan ini.

Salah satu yang dia tengok ialah carta organisasi syarikat. Tiba-tiba dia teringatkan nama Iftitah. Nama yang sebelum ini disebut wakil syarikat itu ketika menelefonnya. Bukan apa, nama itu agak unik kut. Lagilah apabila dia dikatakan adik si Iftitah tu? Atas sebab apa? Nama bapa sama ke? Emm..Kalau betul syok juga kalau dapat bertemu orangnya. Bolehlah panggil abang. Haha…Acigiteww..Tapi itulah, tak sempat pun dia nak tilik lama dah kena panggil. Aduhai..Teha..Teha.. Belum mula kerja dah berangan lebih.  

Maaf, Cik Tasya Andar. Saya tak sengaja.”

What? You panggil I apa?” Terus tubuh wanita itu berpaling dengan pakej ton suara yang sedikit meninggi.

“Cik Tasya Andar.” Fatehah mengulang jawapannya. Selembut bicara.

Tiba-tiba Cik Tasya menunjal dahi Fatehah. Dek kerana itu tubuh Fatehah sedikit terdorong ke belakang. Mujurlah dia tak terjatuh. Terbayang juga andai tika ini dia pakai kasut tumit 5 inci, mahunya dah tergolek dog dekat situ.

“You jangan bersikap kurang ajar dengan I! Tolong hormat sikit!”

Gulp! Fatehah telan liur kesat. Apa hal? Fatehah tidak mengerti. Tiba-tiba dahinya ditunjal sebegitu rupa. Di hadapan pekerja lain pula tu. Tebal juga mukanya menahan malu. Kelihatan mereka yang ada di situ tersenyum-senyum melihat dirinya dilayan sebegitu. Apabila Cik Tasya memandang mereka, segera mereka mematikan senyum. Muka ala-ala takut. Terus kembali fokus membuat kerja. Kenapa semua orang macam takut dekat dia ni? Garang ke? Ke…Gila kuasa? Apa yang pasti, persoalan dahinya ditunjal kekal tidak berjawab.

“You. Come here!” Empunya diri sudah berpeluk tubuh. Aduh, gaya lagaknya. Sama seperti dalam lif tadi. “Ni bahagian Sumber Manusia. Pergi jumpa Encik Nazam. Selesaikan urusan kamu dengan dia. Lepas tu naik tingkat atas jumpa I.”

Arahan yang diberi diterima sebaiknya. “Ba..Baik. Terima kasih, Cik Tasya.”

Setelah itu Cik Tasya meninggalkan dirinya seorang diri. Terus dia bertemu muka dengan Encik Nazam menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Kedatangnnya disambut mesra. Lelaki itu kemudiannya menyerahkan surat penerimaan jawatan dan meminta Fatehah membacanya terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan. Dibuka juga ruang Q & A kepada Fatehah jika ada sebarang persoalan yang perlu dijawab.

Setelah menandatangani surat setuju terima, ia kembali diserahkan kepada Encik Nazam.

“Okey. Selamat bekerja di IE, Cik Fatehah. Semoga komited menjadi sebahagian daripada keluarga IE,” ujar empunya diri berteman senyuman.

“Terima kasih, Encik Nazam.” Fatehah turut mengukir senyum. Alhamdulillah. Lega rasanya. Dia kemudian minta diri.

Kini harus bertemu Cik Tasya. Kebetulan dia terlihat wanita itu masih ada di ruangan sekitar itu sedang berbual dengan seseorang. Mungkin ada sesi perbicangan tidak rasmi di situ. Maka, dia segera mendapatkan empunya diri dan memberitahu bahawa urusannya dengan Encik Nazam telah pun selesai.

Fatehah kembali membuntuti langkah wanita itu. Pastinya ke tingkat empat di mana dia akan ditempatkan bekerja. Masuk ke ruangan di tingkat empat itu, ia lebih membuatkan Fatehah teruja. Leka membelek segenap ruang, namanya di seru Cik Tasya.

Hey! Apa lagi yang you jalan terkedek-kedek tu? Tempat you dekat sebelah sini. Nak kerja dekat sini jangan nak main-main!”

Terus laju langkah Fatehah mendapatkan wanita itu. Sebuah workstation kosong ditunjukkan kepadanya.

‘Hesy. Garangnya Cik Tasya ni. Relakslah kak oii. Saya budak baru kut. Cakap lembut-lembut sudahlah.’ Kata itu hanya digumam di hati.

 Fatehah datang mendekat. Fail peribadi dan beg tangannya sudah diletak dia atas meja. Kerusinya juga sudah ditarik untuk melabuh punggung. Namun, belum pun sempat dia berbuat demikian suara tajam berbisa Cik Tasya sudah kedengaran.

Hey! I dah tunjuk meja you, you tak reti nak ucap terima kasih ke?”

‘Omak hai…Berlagaknya cik kak sorang ni.’ Sekali lagi di hatilah tempat dia berkata-kata.

“Oh, ya. Terima kasih, Cik Tasya Andar.”

Damn you!” Dahi Fatehah ditunjal untuk kedua kalinya. Kali ini lebih kuat sehingga Fatehah terduduk di atas kerusi yang sudah ditarik tadi. Selamatlah atas kerusi, kalau terduduk di lantai, huhu…mahunya dia tanggung malu sebulan dengan mereka yang menyaksikan drama sebabak itu.

‘Dah ucap terima kasih pun kena tunjal juga ke? Aneh-aneh ajelah cik kak sorang ni.’ Fatehah memang tak faham apa yang sedang berlaku.

“Jaga sikit mulut you tu kalau you nak kerja lama dekat sini. Faham?!” Cik Tasya dilihat terus menonong pergi. Fatehah angguk saja. Buat-buat faham sajalah.

Fatehah memandang staf di sebelah workstationnya. Seorang lelaki. Diberikan senyuman perkenalan sebelum memberi salam.

  “Assalamualikum. Saya Fatehah,” ujarnya selembut bicara. Terpaksa juga dia tahan malu atas kes tunjal kepala yang berlaku sebentar tadi.

“Waalaikumussalam. Hai. Saya Roselly. Salam kenal.” Empunya diri juga membalas mesra dengan gaya farvouritenya. Oh, lembut rupanya. Siap ada gaya lagi tangannya tu. Lambai-lambai comel macam sotong. Ahakkss..

 Fatehah kini berkenalan dengan empunya diri. Amboi mak, ramah benar. Bila borak, macam dah kenal lama. Padahal baru bertentang mata sesaat kut.

“You. Kenapa you panggil dia Cik Tasya Andar?” Roselly bertanya dengan lenggok suaranya. Suaranya agak terkawal ala-ala berbisik.

“Laa..Bukan tu nama dia ke?”

“You nak tau sebab apa dia tunjal kepala you?” Nampaknya memang dia melihat apa yang berlaku tadi walaupun cuba buat-buat tak nampak apabila Cik Tasya ada di situ.

Fatehah menggeleng. Sememangnya dia ingin tahu sebabnya.

“You dah buat dia marah tau. Sebenarnya…” Roselly berbisik kepada Fatehah.

Fatehah terdiam dan membulat mata apabila mendengar apa yang diperkatakan Roselly. Patutlah kena tunjal. Dua kali pula tu. Dushhh! Andar tu rupanya Andartu. Patutlah marah benar cik kak tadi tu. Ingatkan itu memang nama dia.

“Siapa yang beritahu you part Andar tu?”

“Wany yang jaga di kaunter bawah tu.”

“Kenapalah dia dengki you. Tak baik tau. Lepas ni you berhati-hati ya bila cakap dengan Cik Tasya tu. Jangan terlepas cakap part Andar tu. Dia memang sensitif.” Kecewa juga Roselly dengan sikap Wany yang bertindak begitu terutama kepada Fatehah yang baru melapor diri di situ.

Fatehah mengangguk. Kalau dia tahu Andar tu merujuk kepada perkataan Andartu, memang tidaklah dia jahat mulut menyebutnya. Tapi dalam kes ni dia memang tidak tahu. Eee..Jahat betullah si Wany tu. Mentang-mentang dirinya budak baru, sengajalah tu biar dia dimarahi. Terbuku juga rasa marah di hati Fatehah dengan sikap tak profesional empunya diri.

Daripada kisah Cik Tasya Andar, Roselly buka cerita pula berkenaan bos mereka.

“Kalau you nak tahu bos kita namanya Iftitah bin Abdul Fattah.”

“Iftitah bin Abdul Fattah?” Fatehah berkerut dahi apabila sebaris nama itu disebut.

“Kenapa? Kenal ke?”

“Oh, tak adalah. Tak kenal pun. Cuma hari tu masa Encik Nazam call saya, dia tanya saya ni adik Encik Iftitah ke? Saya memang kata taklah. Saya fikir juga sebabnya? Rupanya betul sebab nama bapa tu sama. Sebenarnya saya cuba tilik juga di carta organisasi tadi cari nama dia. Tak sangkalah pula orang yang dimaksudkan tu sebenarnya orang penting syarikat ni.”

“Oh, gitu ke. Sekarang ni you tak kenal dia lagi. Biar I beritahu you serba sedikit berkenaan bos kita ni. Yang paling utama dia ni, handsome. Bujang lagi. Kalau you tengok mesti you pun jatuh hati tau.”

Fatehah hanya tersenyum. Tahap handsome macam mana tu? Agak-agak ada tak se’handsome’ Abang Jambang Hensem peminat cempedak goreng di gerai abahnya itu?

“Cuma itulah. Dia ni kategori bos handsome muka ketat, susah sikit nak senyum.” Beritahu Roselly lagi.

Fatehah angguk saja sebagai memahami. Hai..Memang dia tak berkenan betul kalau bab muka ketat ni walaupun muka handsome. Terasa macam orang tu spesis berlagak.

And then, dia ni garang juga tau.”

“Hah? Garang sangat ke?”

“Tengok mood  dialah. Kadang tu okey je.”

Fatehah angguk. Mengerti. Biasalah tu kut. Ada waktu mood okey, adakalanya tidak.

But….” Roselly sudah dengan lenggok suara dan gayanya. “I minat tau dekat dia.” Fatehah terkebil-kebil mendengar penyataan si Roselly.

‘Minat dekat lelaki? Biar betul? Jiwa song….sang ke? Ya Allah! Aku mohon kepadaMu, berikanlah taufik dan hidayah kepada kawan yang baru aku kenal ini. Jangan biarkan dia terpesong dari jalanMu, Ya Allah. ‘Sempat Fatehah berdoa di hati.

Dalam pada itu..

Eham..Budak baru ke?” Ton suara itu membuatkan Fatehah terkedu. Kasar sangat bunyinya. Apabila ditoleh kepada empunya diri…

‘Alamak hai..Mak buyung ni siapa pula? Dahlah muka tak ada senyuman langsung. Siap bercekak pinggang pula tu.’ Bisik Fatehah di hati.

Err..ya kak. Err..maaf puan. Saya..Fa..tehah.” Fatehah jadi tergagap-gagap. Sebabnya bila tengok muka tu mak aii, macam nak makan orang aje. Lagi serius dari wajah Cik Tasya. Mesti garang ya amat ni. Lalu tanpa disangka, empunya diri menghulurkan salam perkenalan.  Fatehah menyambut tangan itu.

Nama akak, Qistina. Panggil aje Kak Qis. Kenapa macam takut aje? Cuak ke tengok muka akak yang ala-ala garang ni?” Empunya diri bersuara sambil memperkenalkan diri dalam suara-suara serak basahnya.

“Dah you buat muka singa, memanglah dia takut. You ni kan…Tak baik tau takut-takutkan dia. Kesian dia. Dahlah tadi kena marah dengan Cik Tasya tu.” Tangan Roselly sudah hinggap lembut di lengan Qistina.

Qistina tersenyum. Fatehah juga membalas senyum. Salah persepsi. Tengok muka macam nak makan orang ingatkan tak mesra rakyat. Rupanya mesra alam. Haila..Tiba-tiba teringatkan si Abang Jambang Hensem. Pertama kali bersua muka nampak aje serius. Susah nak senyum. Sekali esok dia datang beri senyum, fuhh…terbayang-bayang terus senyumannya tu.

“Kak Qis ni saja kenakan you. Dia ni mak cik kepoh bergosip. Kalau dia ni garang macam  mak cik singa, memang tak adalah geng yang nak bergosip dengan dia. I pun lari tau.” Roselly berbicara berteman gelak dan gayanya.

Fatehah juga jadi tergelak tanpa sengaja. Nampak okay rakan sekerjanya ini. Alhamdulillah..

Eham..Ehamm

‘Aii..Apasal semua nak eham..eham..aje. Tak reti beri salam ke? Ke.. dekat sini memang amalan cara tegur dengan ucapan eham..eham? Pelik!’

Sekali toleh…

Erkk..Cik Tasya rupanya. Dia siap berpeluk tubuh sambil buat muka ketat. Patutlah Kak Qis pun laju aje terus duduk di tempatnya. Rupanya Kak Qis pun takut dengan dia.

“Fatehah. Jangan nak menyembang. Ikut saya!” Suara tegas Cik Tasya terus meresap ke pendengaran. Laju terus Fatehah angkat punggung dan mengatur langkah membuntuti langkah  wanita itu. Dia dibawa masuk ke sebuah bilik. Sepertinya ia adalah bilik mesyuarat. Di atas meja itu tersedia beberapa buah buku yang agak tebal.

“You duduk sini, khatamkan baca buku-buku ni semua. I tak nak you menyembang dengan dia orang. Faham?!” Suara itu agak bertegas.

Fatehah angguk menerima arahan. “Err.. Cik Tasya. Saya nak minta maaf pasal panggilan nama tadi tu. Saya tak tahu.” Terus Fatehah menutur kata maaf walaupun dia tahu ia bukan salah dirinya. Cik Tasya tidak membalas kata, sebaliknya hanya jelingan tajam singgah ke wajah Fatehah. Dia lalu beredar pergi. Walaupun tidak mendapat respon yang diharapkan, tapi pada Fatehah dia sudah minta maaf.

Sebelum menolak pintu bilik itu, Cik Tasya kembali menoleh kepada Fatehah. “One more. Dua jam sebelum balik I nak you masuk bilik I untuk I soal apa yang you dah baca. Jadi, jangan cuba curi tulang dan tidur dalam bilik ni. Faham?!”

Keluar saja Cik Tasya dari bilik itu, Fatehah hela nafas kasar. Harapnya bertabahlah dia bekerja dengan wanita itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment