Thursday 24 September 2020

BAB 6 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



FATEHAH hanya fokus membaca buku-buku yang diberi Cik Tasya. Ngantuk satu hal. Sorang-sorang pula tu. Mujur waktu rehat tadi dia keluar bersama Qistina dan Roselly. Memang syok aje telinganya mendengar celoteh mereka berdua. Bukan kisah pejabat aje yang keluar, kisah artis kawin cerai pun boleh jadi topik cerita.

            Kini telefon pintarnya berbunyi. Melihatkan nama si pemanggil dia jadi tersenyum. Wah! Abang Jambang Hensem telefonlah. Mata yang layu terus segar jadinya. Rasanya inilah pertama kali lelaki itu menelefon dirinya setelah seminggu tak muncul membeli di gerainya.

            “Gerai buka tak hari ni?” soal suara di sebalik talian.

            “Buka. Tapi saya tak jaga gerai dah.”

            “Lah. Kenapa?”

            “Saya dah dapat kerja. Baru je mula hari ni. Jadi, mulai sekarang adik saya yang tolong jaga di gerai tu.”

        Hurmm.. Seminggu abang pergi KL, balik sini terus tak dapat jumpa awak. Baru abang nak kenal-kenal.”

           Fatehah telan liur yang terasa kelat. Statement tu macam pelik pula. Nak kenal-kenal? Ah..Tak memasal perasaannya jadi berdebar. Laju pula tu. Macam terasa bagai kompang di palu mengiringi lagu selamat pengantin baru.

            Err..Ni abang call nak order cempedak ke?” Fatehah ubah topik bicara. Takut pula andai tiba-tiba masuk ke sesi perkenalan dari hati ke hati. Sebab nak kenal ni bukan semestinya kena bertemu muka, dalam panggilan begini pun kalau mulut tu melencong topik menjadi juga sesi perkenalan tu.

          “A’ah. Abang nak cempedak dan pisang goreng, dua-dua tu lima ringgit. Abang nak ke opis kejap. Tu yang call dulu. Balik nanti abang singgah ambil. Dalam jam 5.00 gitu, boleh?”

“Oh, okey boleh. Nanti saya beritahu adik saya.”

Okay. Thanks, Dik Fa.”

Setelah membalas kata, talian dimatikan. Fatehah hela nafas panjang. Aneh pula rasa bila mana ada feeling debar-debar menyinggah. Waktu bertentang mata, tak ada pula rasa tu. Eh, chupps. Adalah sekali tu dia rasa berdebar juga bila mamat tu beri senyuman. Tapi taklah over sangat debarnya macam yang sekarang ni. Ah..Tiba-tiba teringat pula akan senyuman memikat lelaki tu. Haihh…Nampaknya tak dapatlah dia melihat senyuman Abang Jambang Hensem tu lagi.

Lupakan tentang itu, Fatehah kembali menelaah buku yang ada. Difahamkan sebaiknya isi yang terkandung dalam buku-buku itu. Dibuat juga nota ringkasan agar mudah dia fahami. Dikerling jam di tangan, nampaknya sudah menghampiri waktu yang sepatutnya dia masuk ke bilik Cik Tasya.

“Cik Tasya ni nampak moody aje dengan aku. Hmm..Agaknya macam mana nak buat dia bermood baik dengan aku ya.” Sejenak itu terlintas satu idea di benaknya. Lalu dia mengambil sehelai kertas memo pad bewarna yang sedia ada bersamanya. Dia menulis sesuatu di atas kertas itu. Kebetulan ada satu fail yang perlu diserahkan kepada Cik Tasya nanti. Jadi kertas itu sengaja dilekatkan di dalam fail itu. Harapnya nanti Cik Tasya bacalah apa yang dia tulis.

 

Hai, Cik Tasya yang cantik manis dan ayu. Sila beri tujuk ajar pada saya ya.

Terima kasih.

#FatehahBudakBaru

 

Masuk ke bilik Cik Tasya, Fatehah serahkan kembali fail yang dibawa bersamanya tadi, Namun fail itu langsung tidak diselak sama sekali. Ia hanya dibiar di atas meja. Cik Tasya kemudian menjalankan sesi soal jawab. Nampaknya Fatehah bijak saja menjawab segala pertanyaannya itu.

Soalan Cik Tasya terhenti apabila dia terlihat kelibat seseorang lalu di luar biliknya. Fatehah toleh juga ke arah pintu kaca itu. Gerangan siapa yang lalu? Kenapa ia seolah-olah sangat menarik perhatian Cik Tasya?

“Dahlah. You boleh balik tempat you. Mulai esok you dah boleh start kerja dekat meja you tu. Tugasan pertama you nanti esok I beri.”

“Terima kasih, Cik Tasya.” Fatehah jadi tersenyum. Rasa lega. Dia lalu bangun meminta diri dan membawa langkah kaki menuju ke pintu. Keluar saja dari situ, pintu segera ditutup dengan berhati-hati. Namun saat berpaling tubuh, dia tidak sengaja berlaga tubuh dengan seseorang. Maka, mulutnya tak sengaja melatah.

“Oh, abang kau hijau!”

What?” Empunya diri terus membutang mata.

Mata mereka bersabung pandang untuk seketika.

Sesaat..

Dua saat..

Tiga saat..

Berlanjut pula sampai ke sepuluh saat.

Fatehah menelan liur payah. Wajah di hadapannya itu tenyata merah dan mencuka. Apa tidaknya, muka handsome dikatakan hijau. Mahunya naik angin satu badan.

Err..Sorry, bang. Tak sengaja.” Terus Fatehah tepuk mulutnya berkali-kali. Mengakui kesilapan. Namun apa yang dia dapat adalah rengusan kasar dan jelingan tajam dari lelaki itu.  Lelaki itu dilihat terus berlalu pergi.

‘Aduhhh…Apasal boleh termelatah abang kau hijau pula ni. Tak memasal kena jelingan maut.’

Selajur itu juga Cik Tasya sudah terjongol di tepi pintu.

Why?” soalnya.

Err..Saya terlanggar lelaki tadi tu. Lelaki tu siapa ya Cik Tasya?” soal Fatehah sambil menunding jari ke arah lelaki yang sedang berjalan pergi itu. Ya. Lelaki yang baru saja mendapat gelaran ‘abang kau hijau’ daripadanya. Ke mana langkah tujunya lelaki itu dia tidak pasti. Tetapi sosok tubuh lelaki itu kelihatan segak juga walau hanya dilihat dari pandangan belakang.

“You terlanggar dia? Serius? Oh, so bad! For your information, he is our boss. Iftitah namanya.”

“Hah? Bos?” Fatehah sudah pekup mulut. Apa yang pasti dia memang terkejut apabila mendapat tahu gerangan sebenar lelaki itu. Sudahlah tadi dia termelatah abang kau hijau kepada empunya diri.

 “Get readylah kalau tiba-tiba dia panggil you nanti. Kalau tak kena panggil tu kira bernasib baiklah.” Cik Tasya sudah berpeluk tubuh. Bibirnya pula mengherot senyum sinis.

Fatehah tertelan liur. Kenapa cara Cik Tasya bercakap tentang lelaki itu sepertinya lelaki itu seorang yang sangat menakutkan? Lantas dia teringat bicara Roselly tentang lelaki yang bernama Iftitah itu. Ah, mampus! Jangan kena panggil sudahlah.

 

Malam itu

 “KAK. Abang Jambang Hensem kirim salam.” Insyirah sudah melabuhkan punggung di sofa sambil menyampaikan amanah lelaki idaman Malaya yang baru dikenalinya itu.. Disebabkan petang tadi dia yang menjaga gerai, maka pesanan itu dikirimkan kepadanya. Tidak ralit juga matanya memandang wajah empunya diri. Nampak macam susah nak senyum, tapi cara cakap nampak lembut dan bersopan aje.

“Oh, waalaikumusssalam.” Fatehah menjawab sekadarnya sambil anak matanya tidak ralit dari menonton filem Tamil yang sedang bersiaran di televisyen.

Handsome kan dia. Nampak macho dan maskulin gitu. Fuhh! Body mantap.” Insyirah sudah membuat tanda ‘thumbs up’.

Wekk! Apa benda kau merepek ni Syira oii.” Fatehah malas nak bukak topik tentang Abang Jambang Hensem. Keropok ikan yang digoreng sebelum cerita bermula terus dikunyah rakus. Krap..Krup..Karp..Krupp bunyinya.

 “Orang kaya kak. Dia naik BMW.”

“Tahu.”

“Dia tak sombong.”

“Tahu.”

“Amboi. Semua kau tahu kak. Kau memang tahu semua tentang dia ke?”

“Tahu..”

“Ohh..Pakwe kau ke kak?”

“Tak.”

“Oh..Ingatkan pakwe baik benar semua tahu. Next time kalau dia singgah lagi, Syira nak tanyalah dia dah berpunya belum. Kalau belum bolehlah ushar. Tak jadi pakwe, jadi abang ipar pun boleh juga.” Insyirah sudah menyengih gatal.

Fatehah terus tersedak.

Eee..Aje gila kau ni. Mengarut. Dahlah Syira oii. Aku nak tengok cerita ni pun tak senang,” ujar Fatehah sambil mengambil air teh O yang turut sama disediakan tadi. Ia terus membilas tekaknya yang gatal dek tersedak tadi. Tapi entah mengapa tatkala Syira menyebut ayat ‘abang ipar’ tu dia terasa debar yang dekat dalam tu mula nak berirama Dum Dum Cak. Memang kacau jiwa betullah ayat si Syira ni.

“Agaknya apa nama dia kan kak? Muka handsome nama mesti sedap.”

“Samdol kut.”

“Tak kena dengan mukalah kak. Paling tak ada Khan belakang nama dia.”

Hmm..Samdol Khan. Okeylah tu. Kau nak sangat ada Khan kan. Dahlah. Pergi tidur sana. Kacaulah orang nak tengok cerita ni.” Fatehah seakan menghalau adiknya.

“Yalah. Syira pergi tidur. Nak mimpikan Abang Jambang Hensem. Tak minatlah nak layan cerita akak ni. Tak kena dengan jiwa.” Insyirah sudah angkat punggung.

“Pergilah. Aku memang tunggu cerita ni. Dah lama tak tayang. Best woo..”

Sementara iklan sedang ke udara, fikiran Fatehah terbang melayang ke sekitar waktu di pejabat tadi. Memori melatah ‘oh abang kau hijau’ mengganggu benaknya. Hesy..Memang memalukan betul!

Apa yang penting sekarang, dia harus dikuburkan saja angan-angan nak panggil si empunya diri yang bernama Iftitah tu abang dek kerana nama bapa sama. Dah sah-sah lelaki itu bosnya. Gila apa nak panggil bos sendiri  ‘abang’. Tapi, itulah. Dan..Dan terpanggil juga ‘abang kau hijau’. Tu yang dapat jelingan free of charge tu.

Akhirnya Fatehah hanya mampu mengeluh sendiri. Hari pertama kerja aje dah macam-macam hal terjadi. Bertabah ajelah Fatehah ya. Cerita yang sedang bersiaran kembali di tonton. Sesekali tergelak juga apabila ia memaparkan kisah yang kelakar dan mencuit hati. 

No comments:

Post a Comment