Thursday 24 September 2020

BAB 7 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG



SAMBIL berjalan menuju ke tempat kerja, bibir Fatehah ringan mengalunkan lagu selawat ke atas Nabi.Muhammad  S.A.W. Sememangnya itulah yang diamalkan sejak kecil. Pergi ke sekolah atau ke mana-mana, selawat itulah lagu pembasah bibir. Dan itulah yang diajarkan abahnya. Selawat itu untuk mendapat Syafaat Nabi di akhirat kelak. Maka, rajin-rajinlah berselawat.

“Selamat pagi, dik. Beri ‘adik-adik’ makan ke?” ujar seseorang lelaki yang tidak dikenali.  Tiba-tiba aje muncul dan menegurnya. Baju yang dipakai bercorak kotak-kotak dan nampak luntur warnanya. Namun begitu wajahnya kelihatan macho dengan jambang nipis sambil rambut yang agak panjang diikat kemas. Pakai juga topi ala-ala pak cik tukang kebun. Bersamanya ada sebatang penyapu dan skoop sampah. Okey. Sudah pastinya lelaki itu bekerja sebagai tukang sapu sampah. Kenapalah sejak kebelakangan ni asyik bertemu mata dengan lelaki berjambang aje. Pelik! Handsome pula tu.

“A’ah, bang. Kesian. Saya beri apa yang mampu aje abang. Tak banyak mana pun.” Pada pertama kalinya mereka bertemu, anak-anak kucing itu datang meleset di kakinya, namun tika itu dia tiada membawa bekal makanan. Maka dengan rasa ihsan, keesokan harinya dia membawa sedikit bekalan makanan untuk anak-anak kucing itu. Lagipun di rumahnya juga ada membela kucing. Jadi tak hairanlah dia ada stok bekalan makanan untuk mahluk bulus itu. Sehinggalah dia menjadikan ia rutin. Bagi Fatehah, dia hanya memberi sekadar yang mampu. Walaupun dia tahu ia tidak mencukupi untuk mereka, namun sekurang-kurangnya dia tahu mereka tidak kelaparan.

“Mulianya hati adik. Sejuk perut ibu mengadung. Hmm..Sebelum ni abang tak pernah nampak pula adik ni di sini?” soal lelaki itu memanjangkan perbualan antara mereka.

“Saya baru aje dapat kerja di kawasan sini bang. Baru nak masuk tiga hari,” ujar Fatehah sambil membelai-belai salah seekor kucing comel itu.

“Patutlah. Kerja di kompeni apa?”

“Iftira Empire .” Jawab Fatehah jujur.

“Oh, IE. Bangunan biru tu ya.” Nampaknya lelaki itu seperti arif benar dengan kawasan sekitar situ.

“A'ah.” Fatehah mengangguk berteman senyuman. “Abang memang kerja area sini ke?” Fatehah sekadar bertanya ramah.

“Merata. Sekejap sini. Sekejap sana. Tukang sapu jalanan aje dik. Sukarela. Tapi sebelah pagi aje. Lepas tu bawa grab. Selain tu ada jugalah buat kerja sampingan lain.” Empunya diri juga membalas kata dengan selembut bicara.

“Janganlah merendah diri sangat bang. Abang buat kerja murni kut. Sebab tu tengok kawasan sini bersih sentiasa. Sejuk perut ibu mengandung.” Fatehah juga memberi pujian.

Lelaki itu hanya tersenyum mendengar pujian itu. Pagi-pagi lagi dah bertemu orang yang positif. Jadi bersyukurlah. Itu juga rezeki dan nikmat.

“Okeylah, bang. Saya pergi dulu. Takut lambat pula. Kalau ada masa kita sembang-sembang lagi ya. Assalamualaikum.” Fatehah meminta diri sebaiknya.

“Waalaikumussalam. Baik-baik jalan tu.” Empunya diri sempat menitipkan pesan. Sambil itu diperhatikan Fatehah yang berjalan pergi. Dia tersenyum.

Fatehah berjalan sendirian. Tempat kerjanya tidak jauh mana pun dari perhentian bas itu. Berjalan lebih kurang lima minit aje sudah sampai.

 

FATEHAH terkejut apabila Cik Tasya muncul dan berdiri di sebelah ruangan kerjanya. Tika itu tangannya sedang licah menaip di papan kekunci menyiapkan tugasan pertama yang diberi wanita itu.

“I nak you bancuhkan kopi. Tapi I tak nak kopi sembarangan. Hanya mineral coffee.” Sambil berpeluk tubuh tayang lagak, suara itu tajam saja menusuk ke pendengaran.

Fatehah berhenti menaip. Otaknya berfikir sesaat. Mengapa dia ada kerja tambahan membancuh kopi, sedangkan sudah ada Kak Pah yang membuat kerja itu. Padanya Cik Tasya memang sengaja nak membuli dirinya kerana dia budak baru. Oh, mungkin Kak Pah cuti kut. Sebab sejak tadi dia memang tidak nampak kelibat wanita itu.

“Dah. Cepat. Pergilah pantri tu. Jangan nak jadi malas!” Cik Tasya sudah memekik sambil bercekak pinggang.

Fatehah mengangguk. Patuh. Dia kemudian bangun dan berjalan menuju ke pantri. Namun mulutnya tetap mengomel sendiri. Pagi-pagi lagi dah nak memekik cik kak sorang ni. Jiwa kacaulah tu gamaknya. Gaduh dengan boyfriendlah tu kut.

Di pantri, Fatehah mencari mineral coffee yang dimaksudkan.

Mineral Coffee tu kopi yang macam mana? Tak ada nampak pun nama mineral coffee dekat dalam kabinet pantri ni?” Fatehah sudah garu dagu yang tidak gatal. Namun dia berusaha mencarinya. Diselongkar kabinet atas dan bawah.

Tika waktu itu, ada seorang masuk ke ruang pantri.

“Awak cari apa tu?” soal empunya diri. Empunya diri itu adalah Wany, penjaga kaunter di tingkat bawah. Dia datang meletakkan dua tin biskut di situ. Mungkin Wany juga bertindak sebagai penjaga stok makanan di setiap aras bangunan itu. Kalau diikutkan hati ada sedikit rasa tidak puas hati dengan Wany. Sebabnya Wanylah yang membuatkan dia dimarah oleh Cik Tasya di hari pertamanya melapor diri. Mungkin waktu itu Wany hanya mahu bergurau, namun sememangnya ia tidak patut berlaku. Gurauan itu agak melampau.

“Oh, Kak Wany. Kak..Nak tanya. Dekat pantri ni mana letaknya mineral coffee ya. Dari tadi saya cari tak jumpa.”

“Awak minum mineral coffee ke?”

“Taklah. Cik Tasya yang suruh saya bancuhkan.”

“Oh, Cik Tasya suruh. Kopi tu kopi biasa aje, tapi letak garam sikit. Sebab tu namanya mineral coffee. Itu pun tak tahu ke?” Setelah memberitahu, Wany kemudian berlalu pergi meninggalkan Fatehah berteman senyuman sinis. Melihat perilaku Wany, Fatehah getus rasa geram di hati. Huh! Berlagak juga si minah kaunter ni. Ni mesti kroni Cik Tasya juga ni. Sepesen aje perangai tu.

Fatehah sudah mengambil kopi uncang yang sedia ada.

“Kopi letak garam? Sedap ke? Kalau tak cuba, takkan tahu. Tapi kalau air kelapa letak garam jadi sedap berlemak, inikan pula kopi. Mesti kaw-kaw kut rasanya.” Fatehah kemudian mengambil mug yang bertutup di atas rak. Dia mula membancuh kopi yang sedia ada. Letak gula secukup rasa. Tetapi kemudian ditambah dengan sedikit garam dan dikacau perlahan. Cuba dirasa sedikit di hujung sudu. Emm..Okay. Sedap rupanya. Kopi itu kemudian dihantar ke bilik Cik Tasya. Selajur ia diletak di atas meja, dia diminta keluar.

Baru melabuh punggung di atas kerusi, dia lihat Cik Tasya sudah keluar dari bilik sambil membawa minuman yang dibancuh tadi. Tak tahulah nak dibawa ke mana. Ah, lantaklah. Yang penting dia dah buat apa yang disuruh.

Sedang kembali asyik kepada kerja yang perlu disiapkan, dia dikejutkan dengan suara tegang Cik Tasya. “Fatehah. Sini kau!”

“Ya, Cik Tasya. Kenapa?” Fatehah sudah berdiri. Seakan tindakan refleks untuk menerima arahan.

“You buat air apa ni, huh?” Cik Tasya sudah memetir sambil meletakkan mug kopi itu di atas meja Fatehah.

“Mineral kopilah. Macam yang cik minta.”

“Macam mana you buat kopi ni? You ambil kopi ni dekat mana?” soal Cik Tasya sambil menjegilkan mata.

“Kopi uncang yang sedia ada tu saya buat macam biasa aje.  Lepas tu letaklah mineral sikit.”

“Mineral apa yang you guna?” soal Cik Tasya ingin tahu. Berkerut juga dahinya.

“Garamlah.”

“Garam apa?” Mata Cik Tasya kian membulat.

“Garam yang ada dalam pantri tu.”

“Huh, garam putih yang ada dalam pantri tu? Kalau macam tu, I nak you minum air ni se..ka..rang! I said now!” Nampaknya marah Cik Tasya sudah memuncak. Tangannya sudah bercekak pinggang.

Tanpa banyak bicara, Fatehah mencicip sedikit air yang dibancuh itu. Apa yang tak kenanya? Rasa okey je.

“Habiskan!”

“Maaf, Cik Tasya. Kopi ni panas lagi. Nanti saya habiskan. Apa yang tak kena dengan air ni Cik Tasya. Saya rasa sedap aje airnya.”

 “Oh, berani ya menjawab. You jangan cuba nak permainkan I. Sedar sikit you tu budak baru. Jangan nak tunjuk lagak dekat sini!” Nada itu berbentuk amaran.

“Maaf, Cik Tasya. Saya tak faham apa maksud Cik Tasya sebenarnya.” Fatehah bertanya sebaiknya. Dia tidak ingin mewujudkan salah faham dengan wanita itu. Sudahlah dia baru bekerja di situ. Jika salah faham ini berpanjangan maka rasa tidak seronok untuk bekerja. Boleh mengganggu emosi.

“Sekarang I nak you pergi masuk bilik Encik Iftitah, pergi minta maaf dengan dia.” Kini Cik Tasya memberi arahan.

“Hah? Encik Iftitah? Tapi apa kena mengena dengan kopi yang saya buat ni.” Ternyata Fatehah tidak mengerti sama sekali. Ale-ale dia yang kena masuk bertemu empunya diri. Dah kenapa?

“Untuk pengetahuan you, kopi yang you bancuh ni tadi untuk dia. You sedar tak yang kopi you bancuh tu rasa entah apa-apa. Memang you sendiri yang cari nahas. I suruh you bancuh mineral coffee. Tapi yang you bancuh tu kopi apa? So, silalah jumpa dia ya, Cik Fatehah. Jawab sendiri dengan dia!” Tasya tunjuk lagak yang menjengkelkan.

Fatehah jadi terdiam. Rupanya itulah sebab wanita itu beriya sangat marah padanya. Pastinya tadi dia dimarahi oleh empunya diri. Jadi sekarang dilepaskan pula rasa tak puas hati itu kepada dirinya. Huh! Sekarang ni dia pula disuruh masuk berjumpa lelaki itu. Ini bermakna dia juga bakal di’sembur’ lelaki itu. Oh, tidak!

“Dah. Tunggu apa lagi. Pergi sekarang!” Tegang benar suara itu kedengaran. Mata-mata yang memerhati terpaksa berbuat tidak tahu dan tak mahu masuk campur. Silap-silap mereka juga dimarah secara berjemaah oleh wanita itu.

“Ba..Baik, Cik Tasya.” Fatehah terpaksa akur. Kakinya terus terasa lemah untuk melangkah ke bilik empunya diri. Untuk pertama kalinya dia akan masuk ke bilik itu. Memang bercampur baur perasaannya. Dia berselawat sebanyak mungkin bagi menenangkan perasaannya itu. Lagilah apabila mengenangkan insiden yang berlaku dengan lelaki itu sebelum ini.

Setibanya di situ, Kak Nori selaku setiausaha lelaki itu tiada ditempatnya. Fatehah jadi serba salah. Boleh ke dia ketuk pintu dan masuk terus ke bilik itu tanpa kebenaran? Hampir lima minit dia berdiri di situ, namun Kak Nori masih tidak muncul. Mungkin ke bilik air barangkali.

Mahu tak mahu, Fatehah ketuk saja pintu bilik itu. Itu pun berteman debaran hebat di dada. Sesaat itu kedengaran suara di dalam membenarkannya masuk.

Masuk ke bilik itu dia rasa debar dadanya semakin menyeksakan sehingga dia sendiri rasa berpeluh. Walaupun bilik itu terasanya nyaman dan berbau harum, namun ia tidak mampu membuat perasaannya lega.

Who are you?” Empunya diri yang duduk membelakangkan dirinya itu mula bersuara. Nada suara itu memang terasa tidak menyenangkan. Tidak mesra malah kedengaran angkuh dipendengaran.

“Saya Fatehah, encik.” Fatehah menjawab sebaiknya dengan wajah sedikit tertunduk.

“Siapa suruh awak datang sini?”

“Cik..Cik Tasya.” Tergagap-gagap juga Fatehah memberitahu.

“Untuk?”

Err..Saya datang nak minta maaf. Pasal…air kopi tadi tu,” ujar Fatehah agak takut-takut.

“Oh. Kopi tu. Kopi nak bunuh orang tu!” Suara jerkahan itu mengejutkan Fatehah. Sinis benar bicara empunya diri.

“Saya minta maaf ya, encik. Saya janji perkara ni tak berulang lagi.” Fatehah memohon maaf sebaiknya.

“Anything else?” Suara itu sedikit menjengkelkan.

 “Tak ada, encik.”

So, silalah keluar ya. Tak ada hati saya nak hadap muka awak!” Empunya diri masih tidak berpaling wajah. Malah masih sibuk dengan iPhone di tangan. 

“Terima kasih, encik.” Mendengarkan bicara itu terus Fatehah berpaling dan bawa langkah laju ke pintu. Buka pintu, dia terus keluar. Fuhh! Terasa lepas azabnya di bilik itu.

Tidak lama selepas Fatehah keluar, Iftitah turut keluar. Sempat dia memincing anak mata pada tubuh kecil molek itu daripada belakang.

“Gaya macam gadis Melayu sangat. Bancuh kopi pun tak reti. Apa daa. Memang rejectlah kalau nak buat bini.” Dengan wajah yang masih kelat Iftitah terus berjalan pergi.

Kembali ke mejanya, Fatehah duduk dan mencicip kembali kopi yang dibancuh itu. Beracun ke? Sedap aje air tu masuk ke tekaknya. Orang kata jangan buang rezeki. Jadilah orang yang bersyukur. Dekat negara yang susah, secawan air pun orang boleh berebut tau. Tak kisahlah kopi tu campur garam ke gula. Yang penting nikmat air itu memang tiada tolok bandingnya.

Sekembali ke mejanya, Qistina sudah buka mulut bertanyakan apa yang terjadi. Sebabnya tadi dia ada urusan di tingkat tiga. Tahu-tahu aje Fatehah sudah pergi menuju ke bilik Encik Iftitah. Akhirnya Fatehah bercerita saja. Buat apa diselindung, sebabnya ada mata-mata lain yang telah pun menyaksikan kejadian itu. Kalau bukan dia sendiri yang bercerita, wanita itu pastinya akan bertanya kepada mereka yang lain.

Mineral Coffee tu kopi ni Teha. Kopi ni campuran garam buluh. Kak Qis memang minum kopi ni. Tapi sekarang namanya dah berubah. Min Kaffe.” Qistina sudah tunjuk sepaket kecil kopi itu. “Nah, ambillah. Cuba rasa. Sedap ke tidak. Kalau berminat boleh order dengan akak. Akak ni ejen.” Sempat juga Qistina mempromosikan kopi tersebut.

“Oh, terima kasih kak.” Sepeket kecil kopi itu kini bertukar tangan.

 

Malam itu…

FIKIRAN Fatehah kembali mengingat drama ‘kopi garam’ yang berlaku. Memang menyumpah juga dia dengan si Wany kerana empunya diri itulah punca segalanya. Dahlah dia kena sembur dengan Cik Tasya, ditambah pula bicara berbisa Encik Iftitah. Memang menggelegak juga perasaannya. Tetapi sekarang ni bukan Wany jadi persoalan, sebaliknya Encik Iftitah. Kalau ya pun janganlah nak menyombong sangat. Air kopi yang dia buat tu boleh pula dikata kopi nak bunuh orang. Jadi orang tak reti nak bersyukur langsung.

Eee..Tak suka. Berlagak!”

“Kak. Kau dah kenapa? Cakap sorang-sorang?” Insyirah yang kebetulan masuk ke bilik kakaknya itu sedikit terkejut. Apahal kakaknya itu bercakap sendiri seolah-seolah sedang marahkan seseorang.

“Apa yang tak suka? Siapa yang berlagak?” soal Insyirah lagi.

“Tak ada apa-apalah. Dah. Aku nak keluar tengok cerita apa yang best hari ni.”

“Pergilah. Kak…Aku nak pinjam novel. Yang semalam dah habis baca.”

“Ambillah. Lepas tu susun elok-elok. Hilang satu siap kau.” Sememangnya banyak juga koleksi novel dalam simpanannya. Semua dibeli semasa zaman belajar di universiti dulu. Pantang ada pesta buku, memang rajin dia memborong. Sekarang ni aje terpaksa ‘berpuasa’ membeli novel. Kewangan menipislah katakan. Sudahlah baru mula bekerja. Faham-faham ajelah sendiri.

Selepas mengambil novel di bilik kakaknya, Insyirah menuju ke ruang tamu. Nak tahu juga cerita apa yang ditonton kakaknya. Kelihatan kakaknya sedang mengelamun jauh. Televisyen yang sedang bersiaran umpama terbiar sepi. Dahlah buka volume suara macam dalam kelambu.

“Baik tak payah buka siaran televisyen tu kak oii. Membazir elektrik aje. Nak mengelamun pergilah duduk dekat beranda luar tu. Sambil tengok bulan mengambang. Manalah tahu jodoh jatuh datang tergolek dari bulan.” Sinis betul sindiran si adik.

Fatehah hanya mencebik dengan pakej jelingan. Huh, sibuk aje! Baru acah-acah nak fikir fasal Abang Jambang Hensem. Sebabnya hari ni lelaki itu tak pula menelefon bertanyakan cempedak goreng kepadanya. Puasa kut. Duga Fatehah sendiri.

“Tapi, kenapa aku rasa Abang Jambang tu seiras wajah dengan Encik Iftitah. Orang yang sama ke? Atau…Pelanduk dua serupa? Tapi kalaulah dia tu orang yang sama….huiihh….tak tahu aku nak komen apa. Harap-haraplah bukan. Baru nak acah-acah suka dekat Abang Jambang tu.” Fatehah mengukir senyum sambil menepuk lembut kedua-dua belah pipi sendiri.

 

 

 

No comments:

Post a Comment