Wednesday 19 August 2020

BAB 1 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



HARI ini cuaca agak panas. Lebih panas dan membahang berbanding selalu. Peluh yang merecik di dahi, Fatehah lap saja dengan hujung kain tudungnya. Air mineral yang dibawa tadi diteguk saja menghilangkan rasa haus ditekaknya. Ekor matanya melihat ada sebuah kereta berlambang BMW sudah berhenti dan memakir di bahu jalan tidak jauh dari gerainya. Model apa memang dia tidak arif. Melihat empunya diri yang keluar dari kereta dan mendatangi kedainya, dia jadi tersenyum.

“Beli bang..Cempedak goreng ada.. Pisang goreng ada..Keledek ada..Panas-panas lagi ni bang.” Seperti biasa itulah dialog menarik pelanggan. Sementara belum mendapat kerja tetap selepas tamat belajar, dia gembira menolong abahnya berniaga di tepi jalan.

 “Beri saya cempedek goreng ni lima ringgit,” ujar lelaki berparas wajah elok itu. Jari telunjukknya sudah menujuk kepada longgokan gorengan cempedak di dalam dulang yang tersedia. Sememangnya aroma cempedak goreng itu sangat menggoda nafsu. Memang sedap dimakan panas-panas.

Fatehah tetap memberi senyum walaupun pelanggannya itu macam tak ada hati pun nak senyum. Kacak juga sekali pandang dengan penampilan berkemeja dilipat hingga ke paras siku. Siap berkaca mata hitam lagi. Nampak smart. Kalau padang dua kali, emm..memang terserlah kekacakannya kut. One more..Berjambang. Tidak tahu sejak bilalah dia asyik dipertemukan dengan lelaki berjambang. Dan..Dan juga dia mula jatuh minat kepada lelaki ada jambang. Tapi yang berjambang pun yang nipis-nipis aje, bukan yang tebal macam bhai jual karpet tu.

First time ke abang singgah sini? Tak pernah nampak pun sebelum ni.” Fatehah ramah bertanya walaupun tengok pada cara lelaki tu macam tak ada gaya nak berbual dengannya. Boleh dikatakan dia dapat mengecam pelanggan yang sering hadir. Jadi yang seorang ni rasanya memang baru pertama kali dia nampak. Lagilah dengan muka yang tak reti nak senyum tu. Siap gaya berpeluk tubuh bagai.

 Hmm..” Hanya menjawab sekadarnya, retina mata yang terlindung di sebalik kaca mata hitam itu seakan tidak ralit memandang wajah gadis di hadapannya itu.

Fatehah terus saja membungkus sejumlah cempedak goreng seperti yang diminta pelanggannya itu. Walaupun tidak mendapat jawapan yang diharapkan, it’s okay. Biasalah. Pelanggan ni ada bermacam-macam ragam. Mungkin juga baru pulang dari kerja, penat. Tambahan pula dengan perut yang lapar. Memang mood nak berbual pun tak ada.

“Ni bang cempedaknya.” Bungkusan itu sudah dihulurkan berteman segaris senyuman. Namun, lelaki di hadapannya itu seakan terleka. Ya. Terleka dengan keindahan ciptaan makhluk tuhan yang nampak suci raut wajahnya itu. Juga senyuman yang dirasakan mampu menggocang hati seorang lelaki.

“Bang..” panggil Fatehah lagi.

Tersedar dari kelekaan, not lima ringgit terus dikeluarkan dari dompet sebagai bayarannya. Lelaki itu kemudian terus berlalu pergi sambil mencangking bungkusan cempedak goreng yang telah dibeli.

Fatehah hanya memerhati langkah lelaki itu menuju ke keretanya yang terpakir tidak jauh dari situ. Walaupun kian menjauh, namun empunya diri masih dipandang tanpa leka. Melihatkan kereta yang dinaiki lelaki itu nyatalah lelaki itu bukan biasa-biasa. Namun dia rasa bersyukur, lelaki itu sudi untuk singgah membeli cempedak goreng di gerainya yang tak seberapa itu. Cuma itu lah. Muka taraa senyum. Kalau senyum tu confirm melting habis.

Sementara itu…

“Teha..Kok berangan. Ada pelanggan lagi tu.” Teguran si ayah membuatkan Fatehah tersedar. Terleka kerana asyik memerhati empunya diri yang kini sudah pun memandu keretanya pergi.

Opss..Maaf, kak. Akak nak beli apa?” Terus dia melayan pelanggan yang datang sambil berbual mesra. Pelanggan terus datang dan pergi. Rasa sekejap sahaja berjual hari ni. Jualannya laku keras.

“Alhamdulillah. Sukanya Teha hari ni, bah. Makanan kita jual hari ni semuanya habis. Licin!” Fatehah berasa puas hati. Sambil itu tangannya lincah membantu abahnya mengemas kembali pekakas jualan ke dalam van milik abahnya.

“Alhamdulillah. Rezeki Allah.”

 

IFTITAH termangu. Sesekali dia mengeluh. Betulkah apa yang dia rasa? Dia dah terjatuh hati kepada si gadis gerai? Ah..Tak mungkin! Takkanlah hanya melihat sekejap waktu, dia boleh terjatuh hati. Namun, itulah persoalan yang bermain di benaknya sejak di dalam kereta petang tadi. Hakikatnya dia merasakan ada debaran hebat yang menyinggah perasaannya, malah, retina matanya juga seakan nakal dan terleka untuk terus memerhati wajah comel nan ayu itu. Tidak pernah pula dia berperangai sebegitu sebelum ini tatkala melihat perempuan-perempuan lain di luar sana.

        Raut wajah si gadis kembali terlayar di mata. Juga ukiran senyuman itu. Ya. Senyuman yang tenyata telah menggocang dan menggugat hati lelakinya. Malah tika membayangkan kini juga hatinya terasa bergetar. Ya Tuhan. Memang hebat kuasa senyuman gadis itu. Cuma sedikit dikesalkan, dia tidak mampu membalas senyuman itu. Mungkin kerana otot senyumnya belum sempat diajar untuk bertindak pada waktu yang sepatutnya. Ah..Pasti si gadis itu sempat mengutuk dirinya sombong sebab tak reti nak senyum.

Kembali termenung, soalan yang sama terus dipersoalkan. Serius ke dia dah terjatuh hati?

Nampaknya dia masih tidak percaya. Tetapi untuk menafikan, dia tidak tegar. Rasanya memang dia dah terjatuh hati kepada empunya diri. Buktinya, sekeping hati miliknya kini tidak memberontak sama sekali apabila dia cuba mengakuinya.

Dia kini bersandar di sofa sambil kedua belah tangannya menjadi alas kepala.

So…nak buat apa ya?” Soalan cepuemas itu terpacul keluar dari bibirnya.

Tacklelah. Bisik hatinya memberi jawapan.

Tackle?” Perkataan itu cuba dihadam sebaiknya.

Terus ingatannya terbang mengingat peristiwa di AzaCafe sebulan yang lalu. Ternyata kata-kata si gadis berbaju merah jambu itu masih melekat di kotak ingatannya. Tika itu juga dia sudah memberi ingatan kepada diri sendiri. Nak tackle awek jangan tayang muka ketat sangat der. Nanti awek tak suka.

Ya. Itulah yang akan dilakukan kini. Dia harus tackle gadis itu agar hati mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Syaratnya..Jangan tayang muka ketat.

Jemari Iftitah kini bermain dengan jambang nipisnya. Untuk menjayakan misi hatinya, langkah pertama yang seharusnya dia buat ialah dengan cuba melatih otot senyumnya menjadi lebih mesra. Padanya, senyuman edisi terhad a.k.a killer smilenya itu mampu menjadi kunci pemula kepada sesi perkenalan dua hati. Lalu dia bawa diri ke hadapan cermin, melihat biasan diri sendiri yang nampak kacak dan sedap mata memandang. Tapi kenyataannya, wajah itu tiada seri memikat kerana hilangnya segaris senyum. Nampak sombong dan berlagak. Ya..memang dia akuinya.

Beberapa kali Iftitah cuba melentur senyum di bibir. Senyum segaris dua saat, senyum manis sekadarnya, malah senyuman lebar hingga ke telinga juga cuba dipraktikkan. Namun rasa janggal. Ahh..Bagaimanakah senyuman sebenar yang di damba oleh si gadis?

Akhirnya dia ketuk kepala berkali-kali. Aneh dengan sikap sendiri yang tiba-tiba terkeluar dari norma kehidupan biasa. Agaknya beginilah ragam seorang lelaki apabila jatuh hati kepada seorang perempuan. Nampak impossible. Tapi itulah kenyataan.

Tekadnya esok dia akan kembali ke gerai itu atas dua sebab. Satu, kerana tekaknya memang menginginkan cempedak goreng gadis itu. Dan satu sebab lagi pastilah untuk misi hatinya. Andai debaran itu tetap ada, dia takkan lepaskan peluang itu.

 

 

 






No comments:

Post a Comment