Monday 24 August 2020

BAB 2 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 


BIBIR Fatehah automatik mengoyak senyum apabila melihat gerangan empunya diri yang keluar dari kereta Audi yang terpakir berdekatan dengan gerainya. Nampaknya ia lelaki yang sama semalam. Cuma kali ini naik kereta lain pula. Wah! Memang kayalah ni kut. Bertukar-tukar kereta. Alhamdulillah. Pastinya cempedak goreng semalam membawa ke igauan mimpi lelaki itu. Makanya hari ini datang mencari lagi. Of courselah kan. Cempedak goreng yang dijual memang umphhh rasanya. Lagilah dengan kerangupan tepung bancuhan emaknya. Sekali cuba pasti nak lagi!

          “Assalamualaikum..” Iftitah datang dan memberi salam. Untuk menjalankan misi hatinya dia harus menjadi sedikit mesra walupun dia rasa otot senyumnya masih tidak memberi kerjasama.

“Waalaikumussalam..” Salam itu dijawab Fatehah sebaiknya berteman segaris senyuman. Wow! Rasa lain pula aura lelaki ini berbanding semalam. Positif! Bisik Fatehah sendiri. Mungkin semalam tengah bad mood, sebab tu nak tak nak saja menjawab pertanyaannya. Sempat juga ditilik penampilan lelaki itu. Kali ini kelihatannya hanya bert-shirt dan berseluar jeans. Oh, pastinya kerana hari ni adalah hari cuti. Jadi santai sahaja.

“Abang nak beli cempedak ke?” soalnya ramah. Sekadar mengagak akan apa yang ingin dibeli lelaki itu. Seperti biasa senyuman tetap tidak lekang di bibirnya.

Iftitah mengangguk tanpa suara. Lidahnya rasa terkelu. Mungkin terpana dek senyuman yang terhidang di depan matanya. Otot senyumnya…emm nampaknya juga ikut terpana. Kejung. Kerana tu masih tak mampu membentuk senyum balas.

“Boleh tunggu sekejap? Dalam kuali lagi ni. Tengah goreng.” Berbahasa Fatehah menutur bicara.

Iftitah mengangguk lagi. Dah macam ayam belatuk. Bila ditanya, mengangguk saja. Hakikatnya dia masih terkelu bahasa. Nak menjawab ‘hmm’ atau ‘ya’ pun terasa susah. Untuk menunggu, memang dia tidak kisah. Mungkin satu bonus untuknya. Dikesempatan itu bolehlah dia mencuri-curi pandang wajah comel nan ayu itu. Sejak semalam, dirasakan ada aura daripada gadis itu yang membayanginya sehingga dia menyakini hatinya telah jatuh hati kepada empunya diri. Kerana itu, hari ini dia kembali datang ke sini. Ya. Demi sekeping hati.

Wajah itu terus menjadi santapan. Walaupun gadis itu nampak tidak bersolek, namun keaslian kecantikan itu sangat terserlah. Kulit nampak bersih dan gebu. Suara pula, aduh lemak merdu rasanya. Senyuman..Lagilah. Dup..Dap..Dup..Dap..Itulah rentak irama percuma yang dia dapat sejak semalam. Ingatkan tengok untuk kali ke dua ini tiada lagi irama itu. Namun semakin rancak pula rentaknya bermain di dada. Maka, dia semakin yakin untuk menjalankan misi hatinya.

Retina matanya terus melatari melihat sekitar itu. Nampaknya gadis itu hanya berseorangan. Sebab semalam rasanya ada seorang lelaki yang agak berumur bersama gadis itu. Kalau dia tidak salah meneka, pastinya lelaki semalam itu adalah bapa kepada si gadis. Ringan terus mulutnya untuk bertanya. Takkan nak terus berdiam diri pula. Rugi pula rasanya.

“Awak berjual sorang aje ke hari ni?”

Mendengarkan pertanyaan itu semerta Fatehah toleh wajah kepada empunya diri.

“Berdua dengan abah saya. Tapi abah saya pergi ke klinik atas tu sekejap ambil ubat dia.” Fatehah jujur dengan jawapannya. Sambil itu tangannya lincah membalikkan gorengan cempedak di kuali.

“Oh. Abah awak sakit apa?” Iftitah mula tunjuk sikap prihatin.

“Semput.” Fatehah jawab sekadarnya.

Iftitah hanya mengangguk. Arwah papanya juga menghidap penyakit yang sama. Namun sewaktu meninggal arwah disahkan terkena serangan jantung.

Fatehah kemudian mengangkat gorengan cempedak yang telah masak lalu diletakkan di dalam dulang yang tersedia. Panas dari kuali.

“Abang nak berapa ringgit ya?” soal Fatehah kepada pelanggannya itu. Di tangannya sudah bersedia dengan penyepit dan kertas pembungkus makanan.

“Lima ringgit cukuplah. Untuk makan sendiri aje pun.”

 Fatehah membungkus sejumlah cempedak yang diminta. Seringgit dua biji, maka lima ringgit sepuluh biji. Lalu not kertas lima puluh ringgit diterima daripada lelaki itu sebagai bayaran.

“Tak ada duit kecil ke bang? Besar sangat ni.” Dengan nilai sebesar itu agak sukar baginya untuk memulangkan baki bayaran. Lagi pula lelaki itu adalah pelanggan pertama yang berkunjung ke gerai mereka pada petang itu. Duit yang sedia ada pun tidak mencukupi untuk memulangkan baki sebanyak itu. Abahnya pula kebetulan tiada ketika ini.

“Tak adalah awak.”

“Abang tak boleh pecahkan dulu ke?”

“Duit ni duit kertaslah awak. Macam mana nak pecahkan. Kalau koyakkan, bolehlah.” Mesra saja Iftitah bergurau kata berteman segaris senyuman edisi terhadnya. Okey. Nampaknya otot senyumnya dah mula nak beri kerjasama.

Fatehah turut membalas senyuman itu. Melting sangat senyuman yang diberi. Haaa..Kan betul. Dah cakap dah semalam. Confirm senyuman tu boleh cairkan hati. Haihh..Saja nak kasi hati ni terpesona ke wahai encik jejaka yang kacak? Berdebar juga yang di dalam ini.

“Maaf, bang. Sebabnya duit yang ada ni tak cukup lagi nak pulangkan baki duit abang. Esok ajelah abang bayar,” ujar Fatehah sebaik kata.

“Tak apa. Abang tak nak berhutang. Awak simpan aje dulu bakinya. Esok-esok dan hari-hari seterusnya abang akan singgah ke sini dan ambil cempedak goreng dengan awak. Boleh ke macam tu?” Iftitah memberi saranan. Sebenarnya sengaja dia menggunakan taktik itu agar esok dan hari seterusnya dapatlah dia datang ke situ dan menjamu matanya melihat cik gadis. Tidaklah gadis itu terperasan apa-apa. Bernas tak ideanya? Dia pun tanpa sedar telah membahasakan dirinya abang. Tak tahulah si gadis di hadapannya itu perasan atau tidak.

“Nanti tulis dalam buku 555. Abang dah beli berapa ringgit. Senang sikit nak kira,” ujar Iftitah lagi.

“Okey. Tapi nama abang ni siapa ya?”

Panggil aje Abang Jambang Hensem.” Iftitah menguntum senyum yang paling menawan. Waktu inilah dia perlu ambil kesempatan untuk perkenalkan diri. Lagilah dengan nama ala-ala sweet sebegitu walaupun bukan nama sebenar. Harapnya ia mampu menarik perhatian cik gadis. Lagipun dia memang dianugerahkan rupa paras yang elok. Kategori terlajak handsome. Part ni dia memang tak menipu. Acilah kut kalau sesekali dia nak tunjuk perasan sikit. Sebenarnya dia guna nama tu pun sebab secara tak sengaja teringatkan nama yang pernah disebut oleh si gadis berbaju merah jambu sebelum ini. Macam syok juga guna nama tu. Sesuai sangat dengan dirinya.

Fatehah angguk berteman ukiran senyum di bibir. Dengar macam kelakar, ala-ala angkat bakul juga, tapi abang jambang tu tak tipu. Wajahnya memang handsome kut. Boleh bawa ke igauan mimpi juga. Lagilah bila dia bergurau dengan pakej senyum begitu. Terus ada debar-debar nak menyinggah di dada. Wait! Sebenarnya apabila bercakap pasal Abang Jambang Hensem dia secara tak sedar teringat kisah lebih sebulan lalu di AzaCafe. Rasanya dia pernah sebut akan nama itu. Macam manalah si abang kacak ni boleh guna nama tu juga ya. Eh..Jangan-jangan Abang Jambang Hensem ni….

OMG! Dia ke? Terus Fatehah pandang tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu. Menilik sebaiknya sambil cuba mencari kembali gambaran wajah di masa lalu. Tanpa sedar beberapa saat telah berlalu.

“Awak…” Iftitah petik jari di hadapan wajah ayu itu, cuba mematikan pandangan yang sukar dimengertikan itu. Kenapa gadis itu tilik wajahnya? Di dalam hati terus dia melebar senyum. Dirasakan gadis itu memang sudah terpesona dengan wajah dan senyuman membunuhnya. Maka wajah kacaknya menjadi ratahan mata si gadis. Emm..Tertelan liur dibuatnya.

Fatehah merah muka. Namun tetap bertindak selamba untuk cover muka bengang.

Hehe..Sorry…Teringatkan wajah seseorang.” Fatehah sudah garu hujung keningnya.

“Siapa?” Iftitah menyoal sambil jungkitkan kening. Juga berteman lorekan senyum.

“Rahsia.” Fatehah hanya tersenyum. “Emm..Kalau macam tu duit abang ni saya simpan dulu ya.” Terus Fatehah kembali kepada topik asal. Kepingan not lima puluh itu terus disimpan di dalam bekas duit.

“Okey, terima kasih. Hmm…Sekejap. Boleh abang minta nombor telefon awak tak? Mana tahu kalau lepas ni abang nak order banyak, abang telefon aje awak terus. Mudahkan macam tu. Orang kata waktu mesyuarat petang sedap juga makan cempedak atau pisang goreng ni semua kan?”

“Boleh.” Fatehah lalu memberikan nombor telefonnya. Sememangnya ada saja orang yang meminta nombor telefonnya untuk tujuan yang sama.

“Nama awak?” soal Iftitah yang masih menanti dengan iPhonenya di tangan. Itulah yang paling diharapkan. Dia ingin tahu nama si gadis.

Dalam masa yang sama…

“Kak Fa…Ibu suruh beli cendawan tiga ringgit.” Suara Fariha si anak kecil yang baru datang itu lebih dulu menusuk ke gegendang telinga lelaki itu.

“Oh, nama awak Fa. Okey. Abang save nama awak Dik Fa ya.”

Fatehah hanya tersenyum sahaja. Terus dilayankan Fariha yang membeli. Sememangnya dia telah lama mengenali si anak kecil itu kerana setiap hari pasti si ibunya akan menyinggah di situ.

 “Okey, terima kasih Dik Fa. Jumpa lagi.” Iftitah kemudian berlalu pergi sambil mencangking bungkusan cempedak goreng yang telah dibelinya.

Fatehah sempat memandang kepada langkah yang kian pergi itu. Terasa comel pula dipanggil Dik Fa? Haha..Dik Fa pun Dik Fa lah. Sedap juga bunyinya. Lagilah orang kacak yang memberi gelaran itu. Berbunga juga rasa hati.


TANGAN kanan Iftitah masih melekap di dada. Helaan nafas juga dikawal sebaiknya. Cuba ditenangkan degup jantungnya yang berirama tanpa iringan lagu itu. Apa yang pasti ia berdegup dengan kadar yang tidak normal dari kebiasaan.

Bibirnya kini meleret senyum. Nampaknya sejak tadi hingga kini otot senyumnya berfungsi dengan baik. Dirasakan gadis itu juga sudah tertarik dengannya. Ah…Bahagia rasanya. Lagilah apabila dapat berbalas senyum begitu. Seumpama hati saling merasa.

‘Abang Jambang Hensem.’ Mengenangkan nama itu, senyuman kembali mekar. Macam poyo aje kan kenalkan nama sebegitu kepada si gadis. Paling tak disangka, senang pula lidahnya nak membahasakan dirinya ‘abang’. Wah! Nampaknya dia harus beri kredit kepada diri sendiri. Good job, Iftitah!

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment