Tuesday 11 October 2022

EBOOK - (TEASER 2) - MIA, MY DARLING


TEASER 2


 “Kau ni sendukkan aku nasi sampai menggunung macam ni dah kenapa? Kau nak perli aku? Nak cakap aku ni kebulur ke? Macam jerung kelaparan?”

Mia tersentak. Dalam dia bermonolong di dalam hati, dia terleka. Tak disangka nasi yang disenduk sudah setinggi Gunung Everest. 

“Maaf. Saya tak sengaja. Saya nampak tuan sangat berselera tadi. Jadi saya sendukkan banyak-banyak. Dengan keenakan rasa nasi ayam ni, rasanya tuan mampu habiskan.” Mia cuba beri jawapan terbaik untuk menyelamatkan diri. “Tapi kalau tuan tak habis tak mengapa, saya boleh tolong habiskan.” Entah apa mulutnya menjawab lagi.

“Oh. Ada hati nak berkongsi makan dengan aku rupanya. Sini, duduk. Aku suapkan kau!”

Mia baru tersedar patah bicaranya sendiri. Dia terus menggeleng laju. Tak ingin dia disuapkan lelaki itu.

“Duduk!” Ia berbaur arahan tegas.

Dengan cerlungan mata itu, Mia terpaksa duduk di bangku sebelah lelaki itu.

“Nganga…”

Mia patuh jua.

Zupp.. terus mulutnya disuap dengan nasi. Sesudu, dua sudu dan tiga sudu. Ternyata, ia bukanlah suapan yang penuh romantik, tapi suapan nak kasi dia tercekik. Bersusah payah Mia habiskan kunyahan itu. Dek rasa nak tercekik, Mia sambar saja gelas air milik lelaki itu. Lantaklah. Yang penting tekaknya rasa lega. Siapa suruh suapkan dia rakus begitu.

“Sedap kan kena suap? Lain kali jangan nak menggatal berkongsi makanan dengan aku. Dah. Bangun. Jangan nak duduk menyemak sebelah aku pula. Sekarang, garukan belakang aku ni. Gatal!”

“Hah?” Terkejut betul Mia dengan permintaan itu. Sudahlah belum habis terkejut dek kena suap, sekarang ni kena garu belakang si ‘Tuan Jerung’ tu pula? Seriuslah? Takkanlah ini termasuk dalam skop kerja orang gaji kat rumah ni. Agaknya Mak Nah pun selalu jadi tukang garu mamat ni ke?

“Be.. betul ke ni nak suruh saya garu?” Mia soal kembali. Takut dia tersalah dengar. Takut juga andai tadi dia berhalusinasi. Karang tiba-tiba dia duk menggaru belakang lelaki itu, mahunya dia kena ngap dengan ‘si jerung’ tu. Yalah. Mestilah nikmat kena garu kan. Karang dia syok menggaru hingga ke tengkuk, pasti ‘si jerung’ rasa lain macam dan teringin nak ngap dia terus.

Mia pandang kanan kiri. Tengok line clear atau tidak. Harapnya juga tiada CCTV di dapur itu. Rasa seram jadi orang gaji tak berdaftar kepada ‘Tuan Jerung’ ni. Karang kalau Dato’ atau Datin terlihat, mahunya mereka ingat dia sedang memikat ‘jerung’ di dapur. Silap hari bulan kena kahwinkan terus.

“Oii. Cepatlah garu!”

Mia lihat dahulu jari-jemari gemuknya. Dalam keterpaksaan, terpaksalah dia korbankan jari-jemarinya untuk menggaru belakang si jerung. Mujurlah garu tak bersentuh kulit. Jika tidak dia sudah dikira menodai belakang tubuh lelaki itu. Ah, seram!

“Kuatlah sikit!”

Mia turutkan juga. Apahal pula dia jadi tukang garu ni? Asal datang sebagai tukang masak aje kut. Tak terfikir dek akal langsung.

“Okay, good! Aku suka kau garu. Aku tak rasa geli. Syok adalah. Sekarang, urut bahu aku pula.”

“Urut?”

“Dah tu kau dengan aku cakap apa? Cium?”

Mia mencebik. Ayat lencong jauh betul.

‘Oh, Mia. Sekarang kau jadi tukang urut pula. Good job!’

Mia kemudiannya selak rambut panjang itu. Sebenarnya taklah panjang sangat. Bawah bahu sikit aje. Bahu itu Mia urut lembut saja. Sambil itu dia menikmati haruman rambut itu. Walau nampak berserabai tetapi tetap wangi. Alalala, syoknya.

“Kuatlah sikit. Macam tak makan aje. Mama aku bayar kau kerja kat sini kut. Buat kerja tu biarlah ikhlas sikit!”

“Sebenarnya tuan. Saya..”

“Saya apa? Saya.. saya..” Dibentak begitu Mia jadi terkejut. “Kau nak aku suapkan kau lagi ke? Kau jangan nak melebih. Kau tu orang gaji aku aje. Tadi tu kira dah speciallah tu kau merasa aku suapkan kau.”

“Tak. Bukan. Saya… saya rasa tuan kena potong rambut ni.” Tup..Tup…Lain pula yang keluar dari mulutnya.

“Amboi, kau! Sesedap aje nak suruh aku potong rambut. Rambut aku, aku punya sukalah. Dahlah. Pergi sambung kerja kau.” Empunya diri meraup rambut ke belakang. Sayang dengan rambutnya.

Fuhhh! Mia hela nafas lega. Dia kemudian kembali ke tempatnya di tepi kabinet dapur. Dalam pada itu dia lihat empunya diri itu kembali menikmati hidangannya. Tidak lama itu Mak Nah baru keluar dari bilik air dari sudut belakang. Pasti sudah lega melepas hajat yang tertangguh.

“Haa, Mia. Dah siap makan ke? Maaflah. Mak Nah lama kat dalam tu.”

“Sudah, Mak Nah. Ni saya nak minta diri dulu.” Cepat-cepat Mia minta diri. Tak nak dia terus berhadapan dengan Tuan Jerung seorang itu.

“Oh, yalah. Kirim salam kepada emak kamu. Ni, bawa sekali ya? Datin dah pesan. Mak Nah dah bungkuskan siap-siap untuk kamu masa kamu solat tadi.” Satu bungkusan di atas meja dapur dihulur oleh Mak Nah kepada Mia.

“Terima kasih Mak Nah. Nanti sampaikan juga salam saya kepada Datin. Seganlah saya nak ke depan sana tu.” Seusai bersalaman, Mia bergerak menuju ke pintu dapur itu. Menyarung kasut, dia kemudian beransur pergi dari pintu belakang itu.

Shakry yang masih menikmati hidangannya hanya terdiam dan memandang. Otaknya cuba menghadam bicara yang didengar. Namun untuk mendapat jawapan yang tepat tanpa keraguan, sebaiknya ditanya kepada Mak Nah orang gajinya itu.

“Siapa tu Mak Nah?” soal Shakry sambil mengelap bibirnya dengan kertas tisu. Nampaknya dia sudah selesai makan. Kenyang pastinya. Yalah. Makan bertambah-tambah.

“Eh, Shak. Bila masa kamu ada di sini? Mak Nah tak perasan langsung. Tadi tu Mia, anak Mak Diah. Dia datang sini tolong masak, gantikan mak dia. Masak nasi ayam yang mama kamu nak tu. Kamu nak makan ke? Mak Nah boleh hidangkan sekarang.”

“Tak apa, Mak Nah. Saya dah siap makan pun. Kenyang sangat dah ni. Sedap nasi ayamnya, Mak Nah. Bertambah-tambah saya makan.”

“Mia tu memang pandai masak. Sama macam mak dia. Eh, dah siap makan? Siapa hidangkan?” Terkeliru Mak Nah seketika. Setahunya, anak majikannya itu memang jenis orang yang nak makan kena berhidang dulu. Tak adanya dia nak ambil sendiri. Manja sangat.

“Mia.” Sebaris nama itu disebut bersama senyuman. 

Tak mungkin dia bercerita yang dia dah tersalah anggap gadis itu sebagai orang gaji. Mahunya kena gelak dengan Mak Nah. Kalau mamanya tahu, habislah dia. Silap-silap kena bebel agaknya. Menuduh tanpa usul periksa, begitulah jadinya. Tak memasal si Mia tu dapat gelaran orang gajinya. Siap dibantainya jadi tukang garu dan urut bahunya juga.

‘Haila, Cik Mia sayang. Sorry. Abang Shak minta maaf sangat. Tak sengaja. Tapi, abang rasa syok sangat bila kena garu dan urut dengan Mia. Next time, bolehlah abang kasi job ni kat Mia lagi.’ Shakry meleret senyum. Pheww.. angin gatalnya tiba-tiba datang.

“Kenapa tersenyum-senyum aje tu Shak? Berkenan ke dengan si Mia tu?” Mak Nah sengaja mengusik.

“Eh, Mak Nah ni. Tak ada hatilah saya kat dia. Entah-entah si Mia tu kut yang ada hati kat saya.”

“Serabai macam kamu ni ingat dia nak ke? Kalau orang tak kenal, memang dia orang ingat gelandangan mana entah tersesat kat rumah ni.”

“Mak Nah ni. Sedap aje kutuk saya kan. Gelandangan tak adalah kulit flawless macam saya ni. Setakat rambut aje serabai, tu dah kira macam fesyen tau. Bau still wangi kut.”

“Potonglah rambut tu. Biar kemas. Nampaklah kacak sikit.”

“Mak Nah ni dah macam si Mia tu juga. Sibuk nak suruh saya potong rambut. Mama saya tak kompelin apa pun.”

“Yalah, yalah. Mak Nah tak cakap apa-apa lagi.” Mak Nah kembali menyambung kerjanya. Shakry pula naik semula ke biliknya. Malas nak jumpa kawan-kawan mamanya. Karang sibuk mamanya nak perkenalkan dia dengan anak gadis dari kawan-kawannya itu. Sebenarnya dia memang sengaja berpenampilan serabai begitu. Kalau dia dipaksa turun nanti, biar mereka tak selera memandang dia. Lantaklah apa mereka nak cakap. Kalau ada yang tak puas hati, tahulah dia nak menjawab. 

Sedangkan anak Mak Ngahnya sendiri yang cantik ala-ala model pun dia tolak mentah-mentah, inikan pula anak-anak kawan mamanya. Kasi ajelah sedas dua ayat patah hati. Memang confirm tak nak dekat dia.

No comments:

Post a Comment