Tuesday 11 October 2022

EBOOK - (TEASER 1) - MIA, MY DARLING


 TEASER 1


“Amboi, orang gaji. Acah-acah macam tuan rumah nampak?”

Mia terus tersedak. Orang gaji? Dia ke ‘orang gaji’ yang dimaksudkan?

Wajah empunya diri di sebelahnya dipandang. Rambut agak panjang. Agak berserabai, macam tak bersikat.

“Apa pandang-pandang? Mana nasi ayam? Kata mama ada nasi ayam tadi. Jadi orang gaji tu tolong hormat sikit kat tuan rumah. Ingatkan muda lebih berotak. Tengok macam Mak Nah tu. Tak ada nak naik tocang. Ni tidak. Pantang tuan rumah tak ada depan mata, makan pun tak pandang kiri kanan.”

Berasap aje Mia mendengar kata-kata empunya diri.

‘Ni ke anak Datin Aripah yang nama ‘Shark’ yang dia orang duk bersembang tadi tu? Heh! Garang bebenor.’ Mia mengomel di hati. Sebenarnya tadi, sambil memasak dia memasang telinga. Saja mendengar cerita-cerita terkini dan sahih termasuk umpatan mak cik bawang. Sememangnya ada nama ‘Shark’ dibangkitkan.

“E’eh, orang gaji ni kan. Dia buat dek aje? Mana nasi ayamnya?” Suara itu membingit lagi bersama cerlungan mata ala-ala nak makan orang.

“Err…ba-baik. Nanti saya hidangkan untuk tuan ya?” Terpaksalah Mia layan aje drama ‘Tuan Rumah vs Orang Gaji’ itu tanpa membantah. Namun otaknya masih tak boleh terima dipanggil ‘orang gaji’ tanpa usul periksa. Sudahlah ayat tumacam.. . eii.. rasa nak aje cucuk mata mamat tu dengan garfu yang berada di mangkuk laksanya.

“Saya nak sekarang. Bukan nanti. Tahu tak saya dah lapar ni?” Tajam saja ton itu masuk ke pendengaran. Nampak macam dah kelaparan sangat.

“Ya, tuan. Baik. Saya hidangkan sekarang.”

Mia berhenti dari menikmati hidangan laksanya. Lalu dia bangun menghidangkan set lengkap nasi ayam kepada ‘tuan’nya itu. Mujurlah tadi beberapa set pinggan, mangkuk dan sudu sudah dikeluarkan Mak Nah. Mungkin memang sudah disediakan untuk si tuan muda. Jadi tidaklah dia blur nak mencari semua itu. Takkan nak selongkar laci dan rak kabinet rumah orang. Buruk sangat perangai.

“Ni tuan. Silalah menjamu selera,” ucap Mia sebaiknya lagak si orang gaji. Tidak lupa siap dihidang juga nasi tambah. Manalah tahu ‘tuan’nya itu berselera nak menambah.

Empunya diri diam menikmati hidangannya. Mia pula jadi serba salah untuk duduk kembali. Takkan nak duduk di sebelah ‘tuan’nya itu. Habislah nanti dia kena maki. Dilihat saja laksanya yang masih berbaki di dalam mangkuk. Walaupun tidak banyak, tapi rasa rugi juga sebab tidak habis. Laksa tu sedap kut. Kalau dapat bungkuskan untuk emaknya pasti emaknya suka. Eh, eh. Mia. Sesedap rasa kau nak membungkus ya. Memanglah Datin ada beri keizinan, tapi janganlah kau buat muka tak malu. Lagilah kau nak membungkus depan ‘Tuan Jerung’ yang seekor ni. Mahunya kau kena maki berganda-ganda.

“Emm..sedap..” puji empunya diri tanpa mengetahui tukang masak hidangan itu ada di sebelahnya.

Mendengar pujian itu, lega Mia mendengar. Tersenyum juga dia di hati. Tak sangka ‘Tuan Jerung’ puji masakannya.

“Awak terpacak kat sebelah ni buat apa? Teman saya? Heh. Ingat acah-acah bini mithali teman suami makan ke? Pergilah sana buat kerja. Hesy, orang gaji ni kan! Ni pakai wangi-wangi ni apa hal? Nak pikat saya?”

Sentap Mia mendengar.

‘Eh! Melebih-lebih pula ayat ‘Tuan Jerung’ ni kan. Ingat aku ni kemaruk sangat ke sampai nak pikat dia. Sombong dan berlagak macam ni, ingat aku ingin sangat ke? Lagi aku rasa nak hempuk belakang kau tu ada lah. Takkanlah si jerung ni yang Dato’ Mansur nak kenalkan kat aku? Kalau betul, aku pun tak hingin. Patutlah tak laku. Perangai…berlagak sungguh!’

Tangan Mia sudah  mengenggam buku lima. Sikit masa lagi kalau hati tak sabar, memang dia hempuk juga belakang mamat tu.

“Tuan.. sebenarnya saya..” Mia cuba hendak menyatakan kebenaran. Dia harus jelaskan salah faham itu dari berterusan. Dia bukan orang gaji okey? Dia cuma mewakili emaknya untuk datang memasak sahaja.

“Ambil mangkuk awak ni, alih. Menyemak pula dekat sini!” Ayat pedas terus memanaskan telinga Mia.

Malas nak terus bercakap, Mia ambil mangkuk laksanya. Ia dibawa ke sinki dan dicuci bersih sebelum dilap dan disusun di atas rak yang tersedia.

“Awak ni nak suruh tuan awak tercekik ke? Tak ada hidangkan air pun. Agak-agaklah. Ni baru masuk kerja bila. Hari ni ke? Kalau macam ni, petang ni juga saya suruh mama berhentikan. Cari orang lain lagi bagus!”

Mia terbatuk-batuk kecil. Tersedak. Amboi, dia punya sound tu. Tak beragak langsung.

Sejenak itu juga…

Jerung..oo…jerung…mengapa kau berlagak? (Melodi asal lagu katak..oo..katak)

Mia seakan terdengar-dengar akan lagu itu sedang bernyanyi di hujung telinganya. Memang kena dengan waktu. ‘Jerung’ di hadapannya ini memang nampak berlagak.

“Maaf ya, tuan. Saya terlupa.” Secepat itu dia ambil gelas di rak dan penuhkan gelas itu dengan air yang sudah sedia ada di tepi meja makan itu. Air itu tadi dibancuh Mak Nah.

“Ini airnya, tuan. Maaf sekali lagi.” Segelas jus oren sejuk dihidang untuk tuannya itu.

Dalam pada itu Mia kembali terbatuk-batuk. Tika ini tekaknya juga perlukan air dek rasa kesat selepas makan laksa tadi. Maka, segan tak segan dia ambil gelas kosong dan diisi dengan sedikit air jus itu.

“Maaf, tuan. Saya ambil air sedikit. Tekak saya dah kering.” Terpaksa dia buat tak nampak akan tenungan tajam lelaki itu kepadanya.

“Tekak kering sebab tadi kau mengumpat aku lah tu kan?”

No comments:

Post a Comment