Sunday 19 September 2021

BAB 3 - MY SWEET JODOH


 Bab 3

SEPERTI mengulang cerita di awal tadi, sebuah kereta sudah memperlahankan kereta di sebelah Suri. Kerana tahu gerangan lelaki itu, maka Suri sengaja berbuat tidak tahu. Dia cuba keraskan hati, menyombongkan diri. Langkahnya terus diatur.

Kereta yang dipandu Putra turut bergerak perlahan, cuba bergerak seiring dengan langkahnya.

“Sajalah tu. Tunjuk baik nak pujuk.” Dalam membebel sendiri, kakinya sudah terpelecok. Maka dia terus jatuh terduduk. Mungkin juga kerana kakinya sudah terlalu penat. Namun disebabkan dia tahu lelaki itu sedang mengekori, terus dia serta-merta bangun. Maka, malulah untuk kesekian kalinya. Entah mengapa lelaki itu juga yang ditakdirkan menjadi saksi tika dia terjatuh. Apalah nasib.

Putra kini memberhentikan keretanya sedikit ke hadapan. Dia terus keluar dari perut kereta dan berjalan laju mendapatkan si gadis.

“Okey tak ni awak?” soal Putra dengan riak wajah sedikit risau.

Suri buat sombong lagi. Sengaja tidak menjawab pertanyaan itu.

“Jomlah. Naik dengan saya. Lupakan hal tadi, okey. Saya minta maaf. Saya tahu salah saya.” Putra tidak mahu hal tadi menjadi masalah yang berpanjangan.

“Pergilah sana. Saya tak harapkan bantuan awak pun. Yang awak patah balik ni dah kenapa?”

“Awak merajuk, eh?” Putra kini mula tersengih sinis. Rasanya memang gadis itu tengah merajuk dengannya. Nada itu dia boleh kenal. Okey, comel! Itu aje yang dia nak kata.

“Merajuk? Sorrylah. Tak kuasalah nak merajuk, lagi-lagi dengan orang yang saya tak kenal macam awak ni.”

“Kalau awak kata awak tak merajuk, saya nak tengok awak senyum and then ikut saya naik kereta. Tu kalau betul-betul awak tak merajuklah.” Putra mula bermain helah kata. Hakikatnya dia mesti membawa gadis itu bersamanya. Tak mungkin ditinggalkan sendirian di tempat sebegitu. Terlalu berbahaya. Kalau diculik, siapa ingin bertanggungjawab. Lagilah dia orang yang terakhir bersama gadis itu. Silap-silap hari bulan dia pula yang dipersalahkan.

“Tak ingin pun. Ingat saya tak boleh sampai ke kalau jalan kaki ni.” Nampaknya Suri masih terus mempertahankan egonya. Dia tidak mahu lelaki itu memandang rendah kepadanya.

“Saya rasa memang takkan sampai pun. Tak payahlah nak buat sombong kalau kaki tu dah sakit. Kejap lagi terus krem kaki tu macam mana? Tak boleh jalan terus. Nak macam tu? Dah. Jom. Saya kira sampai tiga. Kalau tak, saya dukung awak.” Putra mula pandai nak mengugut. Itu sebenarnya satu trick untuk buatkan gadis itu menyerah kalah.

Zasss…Tajam terus anak mata Suri menikam pandangan mata lelaki itu. Lelaki itu pula selamba membalas tenungan itu berteman pakej senyuman.

“Kalau pun nak tikam mata saya, janganlah tikam sampai ke hati saya juga Cik Suri. Sakit tau tak. Dahlah tak sudi nak jadi kekasih saya.” Putra lepas tawa. Terus Suri kalih pandang ke arah lain sambil menggigit bibir bawahnya menahan geram. Lelaki itu memang boleh tahan juga dalam bab-bab menjawab.

“Dah, jom.” Ajak lelaki itu untuk kesekian kalinya.

Suri masih cuba untuk tidak kalah dengan lelaki itu. Dia tetap melangkah pergi.

“Betul awak nak jalan kaki ni? Tak nak naik dengan saya?”

“Ya. Saya nak jalan kaki.”

Putra hanya geleng kepala. Ego betul si gadis ni.

“Rasanya kaki awak tu dah tak larat dah pun. Saya ni tengah tunggu time aje awak jatuh terduduk kat situ. Waktu tu, free of charge saya dukung awak masuk dalam kereta. Barulah sweet macam scene drama Korea kan?”

“Hey! Awak perli saya ke apa ni?”

“Eh, taklah. Awak terasa ke? Saya cakap yang betul aje. Kaki awak dah penat sangat tu. So, sebelum saya berhati mulia nak dukung awak, dipersilakanlah masuk ke kereta tu. Saya kira sampai tiga, kalau awak tak nak masuk sendiri, saya dukung awak secara paksa!” Kali ni Putra tunjuk sedikit ketegasannya.

Eee…Sakit jiwalah cakap dengan awak ni.” Suri mendengus geram. Rasa menyampah pula rasa hatinya dengan sikap lelaki itu.

“Lah. Marah kita pula. Dahlah, Suri. Jom. Membazir masa aje kita gaduh-gaduh ni. Tak dapat apa pun. Baik kita berkenalan secara baik. Tak mahulah gaduh-gaduh macam ni. Orang yang lalu lalang tengok aje kut. Mesti dia orang fikir yang bukan-bukan.”

“Awak yang mula dulu.”

“Saya ke?”

“Yalah, awak.” Suara Suri sudah mula kendur. Mungkin sebenarnya dia terpaksa mengaku kalah dengan lelaki itu. Sebenarnya dia dah touching juga sebab lelaki tu datang memujuk.

“Okey. Saya minta maaf. Rasa dah banyak kali juga saya minta maaf kat awak.” Putra terus pinta kata maaf andai itu yang boleh memujuk hati si gadis.

“Itu pun nak berkira.”

Putra hanya mampu ketawa. Kelakarlah Suri ni.

“Dah. Jom naik kereta. Takkanlah saya sampai hati nak tinggalkan jodoh hati saya dekat sini.”

“Awak ni kannn….” Suri sudah tidak tahu membalas apa. Biarlah. Biarlah lelaki itu terus bermain dengan kata-katanya. Dia pun malas nak terus bergaduh. Dia dah letih.

Masuk ke dalam kereta, terus lelaki itu berinya air.

“Nah, minum. Saya tahu awak dah kehausan. Jangan cakap tak nak pula. Karang pengsan saya tak tahu. Memang saya jugalah yang kena angkat awak nanti. Cumanya air tu ada bekas mulut saya. Sorrylah sebab tu aje yang ada.”

Air mineral yang dihulur itu, diambil jua. Ia terus diteguk sehingga habis. Alhamduliilah. Segar rasanya.

Kini Putra kembali menyambung pemanduannya yang terhenti tadi. Dilihat gadis di sebelahnya itu pun sudah kembali tenang.

“Awak nak tahu tak Suri. Cara awak gaduh, merajuk manja dengan saya tadi kan, macam gaya awak ni dah couple lama aje dengan saya. Comel sangat.”

Terus Suri terbatuk-batuk. Mujur air dah habis diminum. Jika tidak pasti tersembur keluar. Hai, mamat sorang ni. Sajalah tu nak malukan dia lagi.

“Awak memang saja nak malukan saya kan?”

“Taklah. Saya cakap apa yang saya rasa. Nampak sebenarnya kita ni mesra. Tak gitu?”

“Mesra ke?”

Yup. Mesra macam couple-couple. Yalah. Awak merajuk, saya pujuk. Mesralah tu.”

“Ikut awaklah. Mesra, ke tak mesra ke. Saya, no comment.” Suri malas dah nak ambil peduli. Menjeling sekilas, dia perasan bibir lelaki itu terhias segaris senyum.

“Kenapa awak senyum?”

“Sedekah untuk awaklah, jodoh hati saya.”

Suri tayang muka bengang. Tak habis-habis lagi lelaki tu nak bercakap fasal jodoh. Hurmm…Cakap fasal jodoh, adakah pertemuan mereka ini terkait juga dengan mimpinya sebelum ini? Memang diakah orangnya? Detik hati seakan mengiyakan, namun akal tetap bertegah menentang kenyataan yang cuba diyakini itu.

Hela nafas, Suri cuba tenangkan perasaannya kembali.

“Suri. Awak masih sudikan tolong saya, kan?”

“Tolong apa?”

“Berlakon jadi kekasih saya.”

“Yalah, yalah. Saya tolong.” Suri malas nak cakap banyak. Rasanya kalau dia menolak pun tetap kena paksa juga. Tak apalah. Harini kasilah peluang lelaki itu jadi kekasih hatinya. Nak sangat kan.

Thanks. Okey. Sekarang ni minta awak tolong bukakan kacang tu untuk saya, boleh?” Putra pinta sebaiknya. Tanpa banyak soal, Suri turutkan saja. Bukan jadi masalah pun nak bukakan bungkusan kacang itu. Diilihat lelaki itu sudah menadah tangan. Lalu dia tuangkan beberapa butir kacang gajus madu di atas telapak tangan lelaki itu.

“Awak makanlah juga. Tadi awak pun dah kehabisan tenaga. Makan ni, okey. Dia ada madu, manis. Support untuk tenaga awak. Ni kalau awak nak tahu, kacang ni favourite saya tau.”

“Tak tanya pun.”

“Dah agak dah. Mesti awak nak cakap macam tu.” Putra hanya kulum senyum. Dan dia terperasan gadis itu turut mengukir senyum. Mungkin mood dah kembali okey. Sudahnya, mulalah dia nak menyakat kembali.

“Tapi manis madunya tak boleh nak lawan manisnya senyuman awak tu. Manis meleting.”

Mendengarkan kata-kata itu terus Suri matikan senyum.

“Awak ni memang sengaja kan.” Lelaki itu dijeling. Sambil itu kacang yang berada di tangannya terus disumbat ke dalam mulut dan dikuyah penuh rakus. Dia dah tak kesah siapa lelaki itu.

‘Suri…Suri… Kenapalah comel sangat ni.’ Putra yang melihat senang memuji. Namun pujiannya hanya di hati. Di saat ini dirasakan hatinya berbunga-bunga penuh gembira. Seakan ada getar di hati lelakinya.

Kebetulan lagu irama Hindustan kembali berlagu di radio. Terus dikuatkan sedikit volumenya agar suasana di dalam kereta itu lebih manis.

“Nah. Your favourite song.” Sememangnya lagu ‘Janam Janam’ sedang bernyanyi. Dan itulah lagu yang menjadi ringtone telefon bimbit Suri yang didengar tadi. Gadis itu dilihat kembali tersenyum. Mungkin gembira melayan lagu di dalam hati.

Muzik terus berlagu indah. Namun Putra sibuk juga nak menyanyi. Ala-ala hero Korea nak cuba nyanyi lagu Hindustanlah gamaknya. Aduh! Bukan ‘Janam Janam’ dah. Jahanam terus lagu jadinya.

 

PUTRA sudah memakir keretanya di sebelah Toyota Velfire bewarna hitam, milik ayahnya. Memang mereka pergi berasingan kerana dia tidak tinggal serumah dengan kedua orang tuanya. Sejak membuka perniagaan sendiri, dia senang untuk duduk di rumah berasingan. Dekat sedikit dengan tempat kerjanya. Lagipun dia nak hidup berdikari. Kalau dah bertemu jodoh dan berumahtangga, mudahlah dia.

Seawal tadi pun dia pergi singgah ke kedai perniagaan miliknya dahulu.  Uruskan apa yang perlu. Sebab tu dia bergerak agak lewat sedikit berbanding mama dan ayahnya.

“Awak okey ke ni? Senyap aje,” soal Putra sambil memandang wajah gadis di sisinya itu. Terlihatnya seperti resah-gelisah.

“Dah nak sampai ni, tiba-tiba rasa makin nervous pula.” Suri sudah lekapkan tangan ke dada. Memang debaran di dalam itu tak menyenangkan rasa. Rancaknya seperti dipalu gendang bertalu-talu.

“Okey, faham.” Putra ukir senyum sekadarnya. Pasti gadis di sebelahnya itu rasa tidak tenang saat ini. Hakikatnya, dia juga rasa hal yang sama. Memang ada debar menemani perasaannya kini. Sebenarnya, seawal si gadis itu masuk ke dalam kereta dan duduk berdua bersamanya dia mula rasakan sesuatu. Ya. Sesuatu yang menggocang hati dan perasaan lelakinya. Namun, terpaksa dia abaikan rasa itu dan cuba berlagak tenang, setenang-tenangnya.

Tika waktu ini, terasa juga nak salahkan diri sendiri. Yalah. Tadi degil sangat mulut tu bergurau cakap dengan mamanya nak datang dengan kekasih hati. Sampai waktu, pun dia rasa ‘seram sejuk sendiri’. Mujurlah si Suri bersetuju juga untuk membantunya walaupun terpaksa rela. Yang tak menahan, siap ada drama sebabak lagi antara mereka berdua. Haila…Mencabar juga rupanya ujiannya yang ditempuh semata-mata untuk membawa kekasih hati bertemu mamanya itu. Apa yang pasti, ia akan menjadi satu memori terindahnya bersama gadis itu.

Suri sudah mengibas tudungnya beberapa kali. Rasa bahang mula melanda diri dek jantungnya terlalu bekerja keras merancakkan debar di dada. Renek peluh juga mula timbul di dahi. Cepat-cepat dia lap dengan hujung tudungnya. Sedikit gelabah tindak-tanduknya.

“Kenapa awak? Berpeluh-peluh saya tengok. Nak kata saya dah matikan air-cond, rasanya tak lagi. Nervous sangat eh. Okey. Kita relaks kejap. Tarik nafas awak tu dalam-dalam. Lepas tu, lepas perlahan-lahan. Tarik...lepas…Tarik...lepas.”

Suri hanya mengikut apa yang disuruh. Hai. Dah macam cikgu Pendidikan Jasmani pula lelaki tu jadinya. Tak kisahlah. Yang penting dia harus tenangkan diri. Dia harus buang rasa gelabah dan gementarnya. Tapi, ahh…debar dalam tu tetap tak nak hilang. Makin berdebar dan berkocak jadinya. Maka dadanya diurut-urut lembut sambil matanya dipejam seketika. Calm down Suri…Calm down…

Putra kini ambil kesempatan memandang wajah itu. Terpesona dirinya apabila melihat segenap wajah itu. Alis yang hitam, bulu mata yang lentik, hidung yang agak mancung, serta bibir merah yang agak basah. Dapat menikmati keindahan itu, bergerak-gerak juga halkumnya.  

Suri celikkan mata. Terus Putra kaburkan pandangan si gadis dengan olok-olok membetulkan duduk letak jam Rolex di pergelangan tangannya. Jika terkantoi dengan si gadis akan tingkahnya tadi, malulah dia.

“Awak. Rasanya macam tak jadilah nak tolong awak. Awak carilah orang lain.”

“Hey, awak. Saya nak cari siapa pula waktu ni. Dah sampai dah kut. Awak janganlah macam-macam.” Suara Putra tiba-tiba bernada tinggi sedikit. Yalah, takkan nak batalkan rancangan last minute. Dia dah janji dengan mama kut.

“Tolonglah, awak. Saya tak boleh. Sekarang kat sini pun saya dah gigil, kalau depan mama awak macam mana?”

“Suri. Relaks, okey. Awak janganlah gelabah sangat. Buat macam tadi. Tarik nafas dalam-dalam, lepas tu hembus. Buat sampai awak rasa betul-betul okey.” Putra merendahkan sedikit oktaf suaranya itu. Rasa kesian pula nak marah tak tentu pasal pada gadis di sebelahnya itu. Bukan apa, takut si gadis itu benar-benar lari nanti. Lagi susah dia jadinya.

 “Kalau awak tak percaya awak tengok tangan saya ni. Menggigil tau tak.” Suri terus tayang tangannya ke hadapan wajah Putra. Memang nampak tangannya agak menggigil.

“Betul-betul nervous awak ni. Agaknya kalau saya nak kenalkan awak sebagai bakal isteri, mahunya sekarang ni awak dah pengsan.” Putra tertawa perlahan. Lalu tangan itu diraih dan dipegang kejap.

“Sejuknya tangan awak.”

Gulp! Suri terkelu. Selamba badak pula lelaki itu pegang tangannya. Sedar keterlanjuran itu, terus Suri menarik tangannya kembali. Takut pula jika tindakan lelaki itu kian berlebih-lebihan.

Sorry..Sorry..Ter…” ucap Putra dengan rasa bersalah. Dia kemudian menggosok-gosok kedua-dua tangan sendiri. Sepertinya membersihkan rasa sentuhan tadi. Mungkin agak malu juga dengan tindakan sendiri yang agak tersasar itu.

“Okey. Saya beri tempoh lima minit lagi. Pastikan awak lebih relaks.”

Suri kembali pejam mata dan tarik nafas dalam. Nafasnya dihela perlahan. Kedua belah tangannya kemudian dirapatkan dan digosok lembut sebelum ia dilekap ke pipi. Kiranya sebagai memberi semangat kepada diri sendiri. Macam ni ke perasaan sebenar nak jumpa bakal mertua? Haihhh…Seram!

“Okey dah ke?”

“Okeylah kut.” Jawapan diberi acuh tak acuh.

Putra matikan air-cond. Juga enjin keretanya. Sebelum keluar dari perut kereta itu dia sempat membetulkan sedikit penampilannya rambutnya. Hanya mengunakan jari rambutnya kembali tersisir rapi.

“Dah, jom. Kita turun.” Putra terus membuka pintu dan turun. Suri pula baru kelam kabut membuka seat beltnya. Tak sempat dia nak touch up make-up yang sudah cair dek peluh. Ah, lantaklah! Dia pun segera membuka pintu lalu turun dari perut kereta itu. Kemudian dibetulkan baju blousenya yang sedikit tersingkap ke atas.

 Putra kini datang mendekat kepada si gadis. Berdiri di hadapan gadis itu, dia mula tersenyum. Wajah polos gadis itu dipadang penuh minat. Mungkin kini lebih puas menatap segenap inci wajah itu berbanding di dalam kereta. Lagilah jarak tubuh mereka yang hanya berjarak beberapa jengkal.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal Suri yang terasa wajahnya menjadi perhatian lelaki itu. Mulalah debar yang dah nak reda kembali datang beraksi.

“Tak make-up ke?” soal Putra kepada si gadis. Mungkin itulah yang menjadi perhatian pandangan matanya setelah menilik segenap wajah polos itu.

Tak. Saya tak biasa nak bermake-up. Selalu tonyoh bedak compact aje pun. Bibir pun pakai pelembap aje. Kenapa? Buruk sangat ke muka saya?”

“Taklah. Cantik. Natural beauty.” Bibir itu tersenyum lagi. Saja memberi pujian kepada pemilik wajah indah itu. Suri terus terasa mukanya berbahang dan memerah. Liurnya tertelan terus. Tak pernah-pernah orang memujinya cantik. Lagilah ayat itu keluar dari mulut seorang lelaki yang baru dikenali. Rasa putus nafasnya sekejap.

Emm…Tudung awak senget.” Kini tudung si gadis pula menjadi perhatian lelaki itu.

“Aa, senget? Tang mana sengetnya.” Suri cuba membetulkan tudung bawal yang dipakainya. Kelepet di tepi diadjust sedikit. Begitu juga di bahagian atas. “Okay tak?” soalnya kepada lelaki di hadapannya itu. Seharusnya dia kena juga menjaga penampilannya untuk berhadapan dengan ibu dan bapa kepada lelaki itu. Takkan nak pakai tudung senget-benget.

Putra tersenyum lagi. Lalu tangannya membantu membetulkan kelepet tudung si gadis polos itu. Layanan itu terasa aneh di mata Suri. Dia meneguk liur untuk kesekian kali. Terkejut benar dengan tindakan lelaki itu. Yalah. Siap tolong betulkan tudung. Bukannya apa, alangkan kawannya yang perempuan pun kalau ditanya pasal tudungnya yang senget, tak adalah sampai tolong macam tu. Pandai-pandailah kau cari cermin sendiri.

Err…Awak. Awak tunggu kat sini boleh? Saya pergi bilik air sekejap ya.” Suri terus bawa langkah mencari bilik air. Biarlah dia hadap mukanya di cermin bilik air berbanding dihadap lelaki itu. Bukan apa. Debaran perasaannya begitu tidak menyenangkan hati tatkala kedua mata milik lelaki itu bermain tepat ke segenap lekuk wajahnya. Rasa berdebar tu macam nak tercabut jantung, Kalau suami tak apalah. Boleh feeling romantik apabila dilayan begitu. Silap-silap dia pun duk bermanja-manja betulkan butang baju lelaki itu. Masalahnya, dia kenal lelaki ni tak sampai satu hari pun lagi. Ni, tiba-tiba nak buat scene romantik ala-ala K-Drama. Kat tepi kereta pula tu. Nampak manis, tapi menjurus kepada fitnah dan zina. Astaghfirullah…Dia akhirnya beristighfar panjang.

Selajur si gadis pergi, Putra mengukir senyum sendiri. Dia terbayang kembali apa yang dilakukan tadi. Pertama…Memegang tangan si gadis yang sejuk dan menggigil itu. Dan kedua, tindakan dia membetulkan tudung si gadis sambil mata mereka bersabung pandang untuk seketika. Uiii, dia punya debar. Macam nak melompat jantungnya keluar.

Kedua-dua tangannya kini digosok-gosok sesama sendiri. Sepertinya membersihkan tangannya yang telah membuat khilaf.  Keluhan nipis dilepas pergi.

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment