Monday 6 September 2021

BAB 2 - MY SWEET JODOH

 

Bab 2 

“PUTRA. Kamu dekat mana? Kamu jadi tak pergi ‘Family Daykompeni mama ni?” Suara seorang wanita kedengaran jelas di sebalik talian. Sebabnya Putra sengaja membuka loud speaker untuk menjawab panggilan itu.

On the way, ma.”

“Pergi dengan siapa? Sorang?”

“Berdua.”

“Dengan siapa?” suara di sebalik talian agak teruja.

“Kekasih hatilah. Kenapa? Mama tak percaya?”

“Biar betul kamu ni?”

“Ya, ma. Nanti kat sana Putra kenalkan dengan mama eh.”

“Okay. Mama nak tengok.”

Suri yang mendengar perbualan itu sudah berkerut dahi. Lain macam pula rasanya. Kekasih hati? Adakah dia ‘kekasih hati’ yang dimaksudkan itu? Sebabnya, hanya dia yang sedang bersama lelaki itu sekarang ini. Oh, tidak! Macam ada bayang-bayang kena jadi pelakon tambahan aje ni.

Panggilan telefon lelaki itu bersama mamanya sudah dimatikan.

 “Awak. Kat sana nanti awak berlakon jadi kekasih saya, boleh?” Selamba lelaki itu buat permintaan.

Seperti yang di duga Suri…Haa, kan betul!

“Tak naklah. Apasal tiba-tiba libatkan saya pula. Kita ni dahlah baru aje kenal beberapa minit. Tak sampai satu jam pun lagi.” Hati Suri mula dilanda resah gelisah. Permintaan lelaki itu agak berlebihan berbanding dengan tempoh perkenalan mereka. Tak payahlah nak ikut scene drama Korea sangat Encik Putra oii. Senang-senang aje suruh heroin berlakon jadi pasangan.

             “Awak single kan?” Tiba-tiba soalan status pula yang ditanya.

            “Mana awak tahu single?”

            “Saya rasa, saya dengar aje apa yang awak bualkan dengan Mak Su awak tadi. Awak suruh Mak Su awak reject pinangan orang kan? Siap suruh kasi alasan awak dah ada calon. Tu bukan bermakna awak single ke?”

            Suri ketap bibir bawah.

            “Kalau saya single pun, apa kena mengenanya dengan awak?”

“Adalah kena mengenanya. Singlelah senang. Tak terikat dengan sesiapa? So, bolehlah awak berlakon jadi kekasih saya.” Senang betul lelaki itu menjawab.

“Eh. Kenapa saya pula yang jadi mangsa ni? Agaknya awak tumpangkan saya sebab ni ke?” Kini Suri mula merasakan itulah niat sebenar lelaki itu berbaik hati menumpangkannya. Punya agenda tersirat yang akan memaksa dirinya menjadi mangsa.

“Eh, taklah. Saya tumpangkan awak tak ada kena mengena pun dengan apa yang saya minta sekarang ni.  Awak janganlah anggap saya jadikan awak mangsa keadaan. Saya cuma minta pertolongan kecil aje. Awak jangan risau. Saya pun single and available lagi. So, tak ada masalah. Cuma sekarang ni saya nak minta tolong awak jadi kekasih saya untuk saya kenalkan pada mama. Itu aje. Please…”

“Eh, tak naklah. Awak pandai-pandai cakap tadi siapa suruh.”

“Alah, awak. Acah-acah aje. Bukan serius pun.  Mama saya confirmlah nak tengok saya datang berdua dengan seorang perempuan. Sebab saya dah janji tadi. Boleh tau.”

Suri garu kepala yang tidak gatal. Tak memasal pula nak kena berlakon jadi kekasih orang. Memanglah dia single, tapi….

“Boleh tak?” Lelaki itu bertanya kembali.

“Awak turunkan ajelah saya dekat sini. Tak nak saya berlakon jadi kekasih awak. Dahlah baru kenal. Tak memasal nanti berjangkit ke kes suruh jadi bini pula. Ingat saya ni nak ke kat awak ni walaupun kategori have…have…” Suri sudah kecutkan diri sambil peluk begnya. Meletus terus tawa lelaki itu melihat gaya dan luahan rasa si gadis itu.

“Awak ni kelakarlah. Jauh sangat fikir tu.” Sekilas, wajah itu kembali dipandang. “Awak. Tolonglah saya. Sekali ni aje.” Putra sudah menunjukkan isyarat jari telunjuknya yang mewakili sebagai simbol satu kali.

“Tak naklah.”

“Bolehlah…” Putra terus memujuk.

“Tak nak.”

“Bolehlah. Sekali ni aje. Please..Please..Please….Saya ni dah biasa bergurau dengan mama saya. Biasanya dia tahu saya ni main-main aje. Tapi kali ni saya saja nak beri surprise kat dia. Awak tolong eh.”

Suri geleng kepala. Dia tak mahu terjebak dengan permainan lelaki itu.

“Sekali ni aje. Tolonglah Suri. Awaklah perempuan pertama yang saya merayu tau.”

“E’eh, ayat. Ingat hati saya ni boleh cair ke?”

“Anggap pertolongan awak ni sebagai ucapan terima kasih awak kat saya.”

Suri lepas keluh nipis. Pandai betul lelaki ni nak perangkap hati dia. Tahulah yang dia menumpang kereta lelaki itu. Berfikir sejenak, dia akhirnya beri kata putus.

Emm. Okey. Saya tolong. Tapi setakat tu aje lah ya. Jangan sampai mama awak ingat saya serius dengan awak.” Mahu tak mahu, dia bersetuju juga.

“Okay, thanks. Saya akan cakap kat mama yang kita ni kawan biasa aje. Don’t worry. Saya janji.”

            Suri menerima jaminan lelaki itu. Jika lelaki itu langgar janjinya, siaplah dia kerjakan nanti.

        Perjalanan diteruskan dengan masing-masing mengunci bicara. Cuma sesekali mereka saling mencuri pandang. Tatkala terkantoi sesama sendiri, yang sorang muka jadi memerah, yang sorang lagi tenang menyimpul senyum sendiri.

“AWAK nak tahu tak. Semalam saya ada bermimpi tau. Awak nak tahu saya mimpi apa?” Putra kembali bersuara setelah untuk beberapa waktu tadi mereka berdua masing-masing mengunci bicara, Nak terus senyap hingga ke akhirnya, rasa tak seronok pula. Sudahlah perjalanan masih jauh lagi.

Aii, orang sebelah ni. Mimpi pun nak cerita kat aku ke?’ Hanya itu kata yang bermain di hati Suri. Namun dia cuba maniskan mulut layankan bicara orang di sebelahnya itu.

“Mimpi apa? Mimpi bagi cincin kat kekasih hati ke?” Suri saja meneka. Niatnya sekadar untuk berseloroh. Mungkin orang yang sedang memandu itu sudah mula mengantuk, jadinya saja buka topik yang boleh menyegarkan mata.

Putra serta-merta berkalih wajah memandangnya.

“Eh? Macam mana awak tahu?”

Err…Betul ke? Eh, saya teka ajelah.” Suri sendiri terkejut kerana tekaannya benar sama sekali. “So, apa yang awak nak cerita fasal mimpi awak tu?”

“Sebenarnya sejak kebelakangan ni saya dapat mimpi yang sama, hampir tiga kali berturut. Awak tahu tak apa maksud mimpi tu?”

“Eh, manalah saya tahu. Tapi mungkin juga tak lama lagi awak bertemu jodoh kut.” Suri sekadar menyatakan pendapatnya. Mimpi-mimpi ni pun bukan boleh percaya sangat. Kadang tu mainan tidur atau gangguan syaitan aje. Dia pun selalu aje bermimpi. Terkadang tu perjalanan mimpinya tak logik langsung, mengarut, sampai dia pun tergelak sendiri. Sesekali mimpi seram, berpeluh juga. Yalah, kena kejar hantu.

“Kalau awak kata berkaitan jodoh, rasanya sekarang ni saya dah pun bertemu jodoh hati saya.” Putra tenang memberitahu sambil bibirnya mengukir senyuman manis.

Wait! Kenapa saya rasa ayat awak tu macam ada kena mengena dengan saya. Awak nak cakap sayalah ni jodoh hati awak, kan? Awak jangan macam-macam, eh.”

“Eh, kenapa awak perasan ni? Awak rasa saya nak kahwin dengan awak ke?” Putra jungkit kening. Sejurus itu dia melepas tawa.

Terus Suri rasakan darah panasnya menyerbu ke segenap muka. Memerahlah mukanya macam udang kena goreng. Demi menenangkan hati dan mukanya yang dah terlajak malu itu, maka terus dibawa pandangannya ke luar tingkap. Rasa tak bertabah nak hadap muka lelaki itu. Hai, Suri oii. Kenapalah kau malukan diri sendiri. Mulut ni pun…Haishh…Buat angkara betullah.

Kini, Putra hanya kulum senyum, menyimpan baki tawanya. Kesian pula kat si gadis itu dek tawa lepasnya. Bila dicuri-curi pandang, comel pula rasanya gadis di sebelahnya ini. Muka merah dia tu, aihhh…rasa macam nak cubit-cubit aje.

“Awak…” Putra memanggil lembut. Sebagai responnya, Suri sengaja tidak menyahut apatah lagi menoleh kepada lelaki itu. Dia rasa malunya masih menebal. Dia perlu tempoh bertenang untuk kembali menghadap lelaki itu.

So…rry.” Putra pinta kata maaf. Rasanya dia memang bersalah sebab mentertawakan gadis itu.

Suri berbuat tidak tahu walaupun dia rasa comel saja ton suara lelaki itu meminta maaf. Rasanya lelaki ni mesti jenis yang pandai memujuk.  Jika tidak, mengapa dia seakan terpujuk hanya dengan sebaris kata itu.

Suasana jadi hening. Putra terus memandu tenang ditemani lagu-lagu yang dipilih oleh DJ yang bertugas. Gadis di sebelahnya itu dibiarkan tenang sendiri.

Suri hela nafas lembut. Kini dia kembali cuba selesakan diri. Rasa malunya tadi terpaksa dicampak jauh-jauh. Dalam banyak-banyak malu, malu ni paling memalukan.

“Awak. Sebenarnya tak salah pun apa yang awak cakap tadi tu. Sejujurnya, apa yang saya nak cakap memang ada kena mengena dengan diri awak. Saya dapat rasakan, awaklah jodoh yang ditakdirkan untuk hati saya. Umpama inilah jawapan mimpi saya tu. Kita bertemu hari ini dalam pertemuan yang sangat unik. Jumpa kat stesen minyak. Kes salah naik kereta. Lepas tu kebetulan, kita nak ke destinasi yang sama. Pada saya, aturan tu sangat cantik dan manis. Awak tak rasa macam drama Korea ke kisah kita ni?”

Sorry. Saya tak layan K-Drama.” Suri sebenarnya malas nak layanlan bicara lelaki itu. Yalah. Daripada mimpi, siap terlajak ke kisah jodoh hati. Lepas tu nak pula kaitkan kisah mereka dengan drama Korea yang sweet-sweet tu. Haru betullah mamat ni.

“Ya ke tak layan?”

Suri tidak menjawab. Sebenarnya, debar di hatinya sangat mengganggu tika ini. Sejujurnya, dia pun macam nak percaya juga apa yang berlaku sekarang ni takdir jodoh mereka. Tapi, rasa macam tak mungkinlah kut. Dirasakan dirinya tak padan dengan lelaki itu. Maka sebaiknya spekulasi soal takdir dan jodoh ini perlu dibuang jauh.

“Agaknya, saya ni ada ciri-ciri pilihan awak tak?”

Suri menggeleng. Padanya tak harus dilayan soalan lelaki itu.

Oh, man! Tak sangka pula saya ni langsung tak ada ciri-ciri yang awak idamkan. So, kreteria lelaki pilihan awak macam mana?”

“Dahlah awak. Cerita hal lain boleh tak?” Suri mengharap lelaki mengubah topik bicaranya.

“Kenapa? Awak tak suka ke cerita bab-bab jodoh ni? Pada saya okey je. Lagi-lagi kita yang memang ‘single’ dan tengah mencari jodoh ni.”

Suri hanya telan liur. Makin tak senang perasaannya mendengar bicara lelaki itu.

“Relakslah Suri. Kita kenal-kenal. Tak salah pun kan. Hurmm…Apa kata mulai saat ni kita berkawan. Manalah tahu lepas ni hubungan kita jadi lebih serius. Sekarang ni awak jadi ‘kekasih’ olok-olok saya. Manalah tahu lepas ni awak boleh jadi ‘kekasih’ betul-betul saya pula. Lebih indah kalau saya dapat iktiraf awak jadi ‘kekasih halal’ saya. Tak mustahil pun semua tu boleh berlaku. Sebabnya, I feel something bila bersama awak sekarang ni.”

Errkk…Terkesima Suri jadinya. Apa maksud lelaki tu? Lelaki tu ‘rasa’ apa bila bersama dia?

“Saya rasa lebih yakin yang awak ni takdir jodoh saya. Rasa macam nak ajak awak bercintalah. Jom.”

“Maaf. Saya tak boleh nak hadam kata-kata awak. Kenapa awak nak kaitkan hidup awak dengan saya hanya kerana mimpi awak tu? Nonsense tau tak!” Suri agak bengang. Tahu tak perasaan hatinya semakin tak keruan apabila lelaki itu menyebut nak mengiktiraf dia sebagai kekasih halal. Lelaki tu memang tak kisah ke nak kahwin dengan dia? Siap nak ajak bercinta bagai. Kenal pun tak sampai satu hari lagi kut?

“Awak marah eh? Janganlah marah. Sorry, okay. Saya janji tak cakap fasal ni lagi. Sekarang ni, awak nak saya buat apa agar awak maafkan saya. Nak saya belanja KFC ke?” Putra segera memujuk ‘kekasih’nya itu.

“Amboi. Nak beli jiwa saya dengan KFC. Sorrylah ya. Sekarang ni saya rasa saya terpaska cancel jadi ‘kekasih’ awak. So, berhentikan saya dekat sini, sekarang!” Nampaknya Suri sudah nekad. Dia tidak harus terjebak dengan lelaki itu. Itu yang terbaik.

“Takkan nak berhenti dekat sini?”

“Peduli apa saya.”

Sejurus itu…Screeettt…

Terus Putra tekan brek keretanya. Terdorong juga tubuh mereka ke hadapan kerana berhenti secara mengejut sebegitu. Mujur tiada kenderaan di belakang. Jika tidak, pasti kenderaan di belakang sudah mencium bontot kereta itu. Jika tak cium pun entah-entah dengan mereka sekali sudah disodok jauh ke depan.

 “Betul awak nak turun kat sini? Okay, fine. Turunlah.” Putra ikutkan sahaja kehendak si gadis. Saja nak tengok sejauh mana gadis itu nekad dengan kata-katanya.

Suri terus buka pintu dan turun dari perut kereta itu. Padanya itulah tindakan bijaknya. Selajur itu dia lihat kereta yang dipandu lelaki itu meluncur pergi.

Bersendiri, Suri terkedu sendiri. Kanan dan kiri jalan hanya ada belukar yang tebal. Keadaan jalan raya juga lengang. Hanya ada beberapa kereta yang lalu lalang. Ah, sudah! Rasa menyesal juga meminta lelaki itu berhenti di situ. Jika di perhentian bas lainlah. Atau lebih dekat dengan kawasan perkampungan, mungkin lebih selamat. Kalau ada ‘orang kuat’ keluar ni, mahunya dia mati kena pijak. Uit, Suri. Mulut kau…Celopar!

Dalam takut-takut, dia terus berjalan dan berjalan. Lelah rasanya apabila tiada bekalan air dibawa bersama. Tiba-tiba rasa nak menangis. Sudahlah awal tadi ditinggalkan Kak Hanis. Kini ditinggal pula oleh ‘kekasih’ tak relanya itu. Tapi, dia tak boleh nak salahkan lelaki yang bernama Putra itu. Sebabnya, dia sendiri yang minta diberhentikan di situ. Nak menyesal pun tak berguna dah. Lelaki tu dah jauh tinggalkan dirinya.

Suri kini mengambil telefon bimbit di dalam begnya. Namun saat ini dia sendiri tidak tahu mahu menghubungi siapa. Lagilah apabila dilihat pada isyarat telconya yang hanya menujuk garis satu bar. Itu pun kejap ada, kejap tak ada. Dah macam biskut LebihChips.

Langkahnya terus diatur. Dia tidak tahu sejauh mana lagi langkahnya mampu pergi. Destinasi yang seharusnya dituju memang dia tahu masih agak jauh ke hadapan. Sebabnya tak ada bayang-bayang nak nampak laut pun lagi. Alaa…Ni yang rasa nak nangis ni. Mamat tu memang dah tinggal dia ke? Tak nak patah balik semula ke? Huwaaaa…Rasanya dah menitik juga air matanya tika ini.

 

 

No comments:

Post a Comment