Sunday 24 November 2013

Novel - Cucu VS Cucu Menantu Nek Kalsum - Bab 4


Beberapa bulan kemudian…
IRFAN FARIS kini sudah kembali ke tanah air setelah tamat pengajian. Dia disambut oleh mama, papa dan neneknya, Nek Kalsum.
“Ala, cucu nenek. Nenek rindu sangat dengan Irfan. Dah lama nenek tunggu Irfan balik tau.” Nek Kalsum sudah memeluk cium cucunya itu. Kanan kiri pipi cucunya itu dicium kasih. Muah..Muah..lagi. Irfan Faris hanya tegak mengeraskan badan. Hilang machonya dipeluk cium begitu. Dahlah ramai orang kat situ.
Gedebukk..
Belakang Irfan Faris mendapat hadiah buku lima dari Nek Kalsum.
“Kenapa ni nek? Tiba-tiba tumbuk Irfan.”
“Huh! Irfan memang tak sayang nenek. Nenek peluk cium rindukan Irfan, Irfan bukan nak peluk cium nenek juga. Dahlah. Pergilah balik tempat belajar Irfan sana tu. Tak payah balik sini. Nenek malas nak rindukan Irfan lagi!” Nek Kalsum merajuk. Dia berkecil hati dengan sikap Irfan Faris yang tidak mengendahkan dirinya.
Irfan Faris tersenyum. Tergelak-gelak juga menampak baris giginya. Dia kemudian merapati neneknya yang sudah masam mencuka.
“Huh, jangan dekat nenek!” Nek Kalsum membuat muka. Dikalihkan tubuhnya daripada Irfan Faris.
Alalala..Nenek comel..Nenek merajuk eh? Tak comellah nenek ni. Irfan sajalah nek. Irfan saja nak uji, nenek ni betul-betul rindukan Irfan ke tak. Meh sini. Biar Irfan sayang nenek pulak. Takkanlah Irfan tak rindu nenek. Mehlah nek..Janganlah merajuk dengan Irfan. Tak nak genglah dengan nenek kalau macam ni. Sikit-sikit nak merajuk.” Irfan Faris kemudian memeluk nenek dari belakang.
“Sini. Irfan nak muah…muah..sayang dekat nenek.”
“Tak nak! Irfan dah kecilkan hati nenek. Nenek tak nak kawan dengan Irfan.”
“Alah, nek. Janganlah macam ni. Tak sportinglah nenek ni. Okey. Irfan minta maaf sangat dekat nenek. Dahlah nek. Jangan merajuk dengan Irfan. Kalau tak malam ni Irfan tak nak dodoikan neneklah.” Irfan Faris bijak memujuk.
“Dah. Mehlah sini pandang Irfan.” Irfan Faris kemudian memeluk cium Nek Kalsum. Terus sahaja berguguran air mata wanita pertengahan usia itu. Pelukan mereka berbalas.
“Nenek rindukan Irfan.” Suara Nek Kalsum lirih dan sayu.
“Tahu. Irfan pun rindu dengan nenek. Rindu sangat.” Irfan Faris mengeratkan pelukan.
Datin Kirana dan Dato’ Zamrud saling berpadangan dan tersenyum. Sememangnya Nek Kalsum sangat rapat dengan cucunya yang seorang itu sejak kecil lagi walaupun sebenarnya dia juga masih ada seorang lagi cucu lelaki iaitu Idham, abang kepada Irfan.
Kini barulah perhatian Irfan Faris jatuh pada mama dan papanya. Sememangnya, dia perlu menggembirakan hati neneknya dahulu kerana jika tidak, neneknya itu akan tarik muncung sedepa. Dia sudah biasa dengan ragam neneknya yang mahukan lebih perhatian daripadanya.
“Apa khabar Ma? Mama makin cunlah.” Puji Irfan Faris sambil mencium tangan mamanya dan kemudian memeluk wanita itu.
“Ada-ada aje kamu ni Irfan.” Gembira hati Datin Kirana apabila anaknya itu telah selamat kembali ke tanah air.
“Papa apa khabar? Sihat?”
“Sihat. Alhamdulillah.”
“Tapi, kenapa muka papa makin tak handsome?”
“Ewah,ewah mulut kamu.  Nak handsome macam mana lagi. Ni dah kira tahap handsome dan bergayalah ni. Cuma rambut dah nak botak.” Seloroh Dato’ Zamrud. Mereka kemudian sama-sama ketawa.
“Kamu sorang aje ke? Bukan kata hari tu nak balik sama dengan Zack? Nak juga papa kenal dengan si Zack tu.”
“A’ah. Zack tak jadi balik sama. Dia balik lambat sikit. Kebetulan sepupu dia pergi melancong ke sana. Jadinya, dia balik sama dengan sepupu dialah.”
Dato’ Zamrud mengangguk mengerti.
“Jom, nek. Irfan pimpin nenek.”
Mereka baru berjalan beberapa langkah.
“Nek. Jap nek. Nak pergi toiletlah.” Ujar Irfan Faris.
“Nak nenek teman ke?”
“Nekkk..Janganlah buat Irfan ni macam budak kecil, nek. Kalau ada awek dengar, jatuhlah saham Irfan macam ni. Nenek jalan dengan mama dengan papa dulu tau.” Sejurus itu, Irfan Faris pergi.
Dalam pada masa yang sama….
Irsya Natasya dan Lyla sedang menantikan Zuraidai anak Wak Bidin, teman mereka. Rasanya sudah satu jam lebih mereka menunggu. Duduk, bangun dah berapa kali. Penat. Memang tak best menunggu orang yang tak kunjung tiba.
“Lyla. Aku nak ke toilet jap. Tak tahanlah. Tunggu minah sorang tu, jenuh. Tengok ramai dah orang masuk, dia tak muncul-muncul pulak. Takkan tercicir kut. Ke.. dia yang jadi pilot. Tak pun, dia jumpa pakwe handsome ala-ala Dean Supernatural tu sampai lupa yang kita ni dok menunggu dia. Minah sorang tu bukan betul sangat. Pantang nampak mamat handsome. Cepat aje mengayat.”
“Dahlah, mak cik oii. Kalau kau nak pergi toilet tu, pergi ajelah. Tak payah nak membebel tot..tet..tot..tet…macam mak nenek. Tadi pun kau bebel benda yang sama juga.Tepu dah telinga aku dengar ni, weh. Dah, pergi. Karang meladung air kat sini, kau nak lap ke?”
“Wah, mulut kau. Tak ada insuran langsung. Aku sumbat dengan penumbuk aku ni baru kau tahu!”
Lyla hanya tergelak.
Irsya Natasya kemudian berlalu pergi. Di pertengahan jalan, langkahnya terhenti. Dia memegang dadanya yang tiba-tiba terasa berdebar. Dup..dap..dup..dap..
‘Alahai, tak gemarnya aku bila ada rasa macam ni. Rileks, Sya..Rileks. Makin kuat pulak tu. Ni apa petanda ni?’
Irsya Natasya kemudian menoleh ke kiri dan kanan melihat sekitar. Dia sendiri tidak tahu tujuan dia berbuat demikian. Saja. Mana tahu terpandang jodohnya tanpa sengaja. Hihi..Ayat tak boleh blah.
Irsya Natasya kemudian terus berjalan menuju ke tandas dan menyempurnakan hajatnya. Sewaktu kembali menuju ke tempat Lyla, tanpa disangka berlaku insiden yang tidak di duga.
“Opocot kau Irfan Faris aku. Eh, kau. Eh..aku!” Irsya Natasya sudah melatah spontan. Dia terkejut apabila dia terlanggar seseorang yang tiba-tiba berada di hadapannya. Habis panjang berjela tutur kata, tonggang-terbalik jadinya. Eh..eh..semuanya.
Eh..Eh..lah semua kau ni.” Empunya tergelak. “Apa-apa pun, sorry ya. Tak sengaja” Kedengaran ucapan maaf dari empunya diri. Hakikatnya dia memang tidak sengaja dan tanpa sedar telah menghalang jalan Irsya Natasya menyebabkan gadis itu terlanggarnya.
Irsya Natasya mampu menelan liur. Muka bengangnya di cover. Dia terus berjalan pergi tanpa menoleh kepada empunya diri. Malas nak marah-marah menyalahkan lelaki itu. Malas juga nak ada sesi mata bertentang mata. Karang dari mata turun ke hati, siapa nak menjawab. Kalau cerita drama, bolehlah. Ni, realiti. Tak ada maknanya nak berlaku macam tu. Lagipun, muka tengah bengang. Melatah pulak macam mak nenek. Takkan nak tunjuk muka kut. 
Irsya Natasya menampar pipi sendiri. “Hai, aku ni. Entah nama siapa aje aku sebut. Tapi sedap juga nama tu. Eh, nama Irfan Faris ni, aku macam pernah sebut dulu. Kalau tak silap, masa aku tergolek lastik cicak dulu tu. Alamak! Keluar lagi nama mamat ni. Haishh…Tak gemar betul aku.”
Irfan Faris melihat langkah empunya diri yang kian menjauh pergi. “Siapalah budak tu. Boleh pulak melatah sebut nama aku. Macam mana nama aku boleh popular pulak ni? Nak kata artis, sah-sahlah aku ni bukan artis. Ke..Jodoh? Ni yang tak nak ni. Budak latah pulak tu. Karang, dah kahwin dia melatah siap bawa parang habislah aku kena tetak. Mampus aku macam tu. Eh, yang aku ni dah kenapa? Tiba-tiba masuk bab jodoh, kahwin-kahwin ni. Haishh..Mengong!”
Irfan Faris memegang dada tiba-tiba. “Tengok tu. Siap berdebar-debar pulak yang dalam ni. Cubalah cool aje. Sibuk aje nak berdebar-debar. Semput aku macam ni. Makin laju pulak tu. Eii…Tak sukanya!” Irfan Faris kemudian menarik nafas sedalam mungkin dan menghembuskannya. Ia sedikit lega.
Irfan Faris baru tersedar yang keluarganya sedang menanti. Dia segera pergi.
“Lamanya Irfan, oii.” Nek Kalsum sudah mengeluh.
Sorry, nek. Irfan singgah beli majalah kejap. Tadi kan Irfan suruh nenek jalan dengan mama dulu. Kenapa tunggu kat sini.”
“Kamu ni macam tak biasa dengan nenek kamu ni. Kalau ada kamu, dia nak kamu yang pimpin. Dengan mama, nenek bukannya nak.”
Irfan Faris sudah ketawa. “Apalah nenek ni. Kalau Irfan dah kahwin nanti macam mana. Irfan naklah pimpin isteri Irfan. Takkan nak pimpin nenek.”
“Sebab tu sekarang ni, nenek nak Irfan yang pimpin nenek. Sebab nanti nenek tahu, Irfan dah tak nak pimpin nenek lagi.”
“Tak adalah macam tu nek. Tengok keadaanlah. Hmm..Papa mana?”
“Papa dah dekat kereta. Dia dah bawa beg kamu sekali.”
            “Dah. Meh sini. Irfan pimpin nenek.” Mereka kemudian berjalan bersama menuju ke tempat parkir.
Di tempat parkir kereta…
Irfan Faris kembali terasa debaran di dadanya.
“Alamak. Yang dalam ni dah kenapa? Nak juga dia debar-debar. Nak beri petunjuk apalah agaknya ni,” bisik Irfan Faris sendiri sambil menoleh ke arah sekitar, ke kiri dan ke kanan. Dia kemudian terperasankan seseorang. Walaupun tidak dapat melihat raut wajah itu, dia yakin dan pasti itu adalah perempuan yang melatah menyebut namanya tadi. Ia berdasarkan pakaian yang dipakai oleh perempuan itu. Berbaju cardigen bewarna hitam, berseluar jeans biru gelap dan bertudung warna pelangi. Jaraknya hanya selang tiga buah kereta dari tempatnya berdiri.
“Tengok apa tu Irfan, oii. Cepat naik.”
“Rilekslah nek. Baru aje nak tengok-tengok awek.”
“Tak payah, tak payah. Nanti nenek carikan isteri untuk Irfan. Tak payah nak berawek-awek. Nak bercouple-couple. Kahwin aje terus.”
“Hish, nenek ni. Tak rocklah macam tu. Irfan nak juga bercinta dengan isteri Irfan. Biar Irfan cari sendiri.”
“Kalau orang yang kamu pilih tu minat dan pandai nyanyi lagu klasik macam nenek, baru nenek setuju. Kalau tak, nenek tak nak. Bukan ke nenek dah beritahu sebelum ni.”
“Apa ni nek, tetapkan syarat macam tu. Irfan yang nak kahwin, bukannya nenek. Biarlah ikut hati Irfan.”
“Kamu memang tak sayang nenek.” Suara Nek Kalsum jadi kendur.
“Alah, nenek ni. Merajuk pulak dia.”
“Dah, naik. Karang kamu balik sendiri naik teksi.”
“Yalah, nek comel. Kiss karang.”
Nek Kalsum akhirnya ketawa.  Pandai cucunya itu memujuk kata.
Sewaktu ingin masuk ke dalam kereta, Irfan Faris sempat memandang kereta yang lalu di sebelahnya. Kereta Perodua Myvi bewarna merah. Itu adalah kereta yang dinaiki perempuan tadi. Dia sempat menghafal nombor flat kereta itu.
“Aku rasa teringin nak jumpa perempuan tu. Aku nak tanya juga macam mana dia boleh latah sebut nama aku? Dia kenal aku ke? Atau…ada telepati antara aku dengan dia?” Bisikan itu hanya terlafaz di hati.
“Irfan. Apa lagi tu?”
“Ya, mama. Sorry. Terberangan sekejap.”
Poyolah kamu ni Irfan.” Ujar Nek Kalsum.
“Aii, nek. Nenek pun dah pandai cakap poyo-poyo ni. Gempaklah nenek ni.”
“Nenek ni ikut perkembangan juga Irfan oii. Budak-budak muda sekarang ni bahasanya dah macam tu.”
Irfan Faris hanya tersenyum dan kemudian masuk ke dalam perut kereta. Tidak lama kemudian, kereta Toyota Harrier bewarna putih itu meluncur pergi.







No comments:

Post a Comment