Thursday 7 February 2013

Cerpen - Doaku Untukmu




Hari ini merupakan hari pertama Amira memulakan kerjanya. Walaupun hanya bekerja sebagai tea lady, dia amat bersyukur.Sekurang-kurangnya dia mempunyai pekerjaan dan akan beroleh wang untuk keperluannya dan juga simpanan untuk hari mendatang. Amira baru sahaja habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dan kini dalam ruang masa menanti keputusannya keluar. Ruang waktu yang agak panjang membuatkan dia terasa kebosanan. Dia meminta izin ibu bapanya untuk bekerja. Puan Misah dan Pak Hamid akur walaupun pada mulanya mereka seakan tidak bersetuju.
“Mak, Abah. Izinkan Mira kerja, ye. Mira janji akan jaga diri. Mira ingin berdikari. Mira sedar, Mira tidak sempurna seperti orang lain, tapi kecacatan Mira ni takkan mempengaruhi Mira. Kecacatan Mira ni cuma sedikit je. Niat Mira nak bantu keluarga kita je. Boleh ye, Mak…Abah,”pinta Mira bersungguh-sungguh.
Amira bersyukur kerana dia diterima bekerja. Dia tetap diberi kesempatan walaupun cacat. Dia tersenyum sendiri. Terasa hidupnya begitu bererti. Ia menganggapnya sebagai cabaran. Lagipun tempat kerjanya tidak terlalu jauh dari rumahnya, kira-kira 45 minit perjalanan dengan pengangkutan awam. Dia memanjat syukur ke atas rezeki Allah S.W.T kepadanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.
Imran yang baru hadir segera mendapatkan Amira, seakan mengetahui si empunya diri adalah pengganti Amy, tea lady sebelum ini. Amy kembali ke kampungnya di seberang lautan. Amira dan Imran saling memperkenalkan diri. Amira tidak lokek menghadiahkan senyumannya. Senyumannya berbalas. Imran kelihatannya seorang yang mesra.
“Assalamualaikum, Encik Imran,”ujar Amira lembut. Ucapan salamnya bersambut. Sesungguhnya ucapan salam itu merupakan satu doa dan senyuman itu adalah sedekah yang terindah.
“Amira. Sekejap lagi encik Amir sampai. Nanti awak hidangkan air untuk dia. Okey, Amira. Selamat bekerja.”
“Baik, encik Imran. Saya faham.” Amira menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.
Amira mengucapkan salam kepada encik Amir yang baru memunculkan diri di ruang pejabat. Dia yakin itulah empunya diri yang bernama Amir Asraf yang menduduki posisi kedua tertinggi di organisasi berkenaan, manakala Imran yang baru dikenali tadi merupakan pembantunya. Amira menguntum senyuman manisnya. Dia memang tidak lokek dengan senyuman, kerana dengan senyuman itulah dia dapat menggembirakan hatinya setiap kali bertemu orang lain.
Amira terdiam, tidak bersuara menanti reaksi majikannya itu. Dia sedikit hampa kerana ucapan salamnya tidak bersambut. Begitu juga senyumannya tidak berbalas. Namun Amira tetap mempamerkan wajahnya yang ceria. Mungkin encik Amir menjawab salamnya di dalam hati. Lelaki itu juga berkemungkinan sukar untuk mempamerkan senyumannya. Amira hanya meneka sendiri di dalam hati. Dia tidak berasa kecil hati.
“Eii, awak. Tolong buatkan saya air. Apa yang tercegat lagi kat sini!” Ujar Amir kedengaran sedikit kasar. Dia terus melangkah meninggalkan Amira. Amira menurut perintah. Segera dia ke pantry membancuh minuman.
Amira menghidangkan minuman seperti yang di minta. Diletakkan secawan minuman tersebut dengan berhati-hati, namun agak malang baginya apabila air tersebut tertumpah sedikit di atas meja.
“Hei,..Macam mana awak kerja ni. Awak ni nak kerja ke tak nak. Buat kerja tu betul-betul la. Kalau tumpah dekat dokumen saya ni macam mana. Lap cepat,”herdik Amir. Dia mendengus marah.
Amira terkejut. Dia segera mengucapkan kata maaf atas kecuainnya itu Dia tidak sangka diherdik begitu. Kasar benar bicara Amir padanya. Segera di lap air yang tertumpah itu. Jelingan tajam Amir menerpa seraut wajah Amira yang sedikit ketakutan. Amira tertunduk. Hatinya kesal.
Amira kembali meminta maaaf. Amir memaafkannya, namun dengusan nada suaranya jelas menunjukkan dia tidak ikhlas. Dia terus berbicara dengan penuh kesombongan, langsung tidak mesra. Perintahnya agar Amira membersihkan biliknya setiap hari. Susun atur barang-barangnya juga mesti sama seperti sebelumnya, jangan di ubah sesuka hati. Dia tidak suka barang-barangya di ubah susun aturnya. Hakikatnya, tugasan itu bukanlah di bawah tanggungjawab Amira. Amira akur menerima arahan itu.
“Awak boleh keluar sekarang.” Amir mengisyaratkan tangannya meminta Amira keluar. Wajah Amira tidak di pandang langsung. Ketegasan suara Amir dan caranya itu membuatkan Amira kecewa. Amira menapak keluar. Kakinya terdengkut-dengkut mengatur langah. Dia menutup pintu kaca itu dengan sesenyap bunyi.
Amira kembali meneruskan tugasnya. Dia menarik nafas mencari kelegaan. Dia menerima apa yang berlaku sebagai ujian dan cabaran untuknya. Dia mengukir senyuman sendiri sebagai kekuatan dan penawar untuk menghadapi kesedihannya. “Semoga hatinya tidak sekeras batu.” Dalam hatinya dia berdoa agar encik Amir berubah sikap. Teringin dihatinya untuk melihat wajah itu mengukir senyuman. Pasti wajah itu kelihatan lebih menarik dan mendamaikan hati.
Di suatu ketika, Amira terlihat lelaki itu melirik senyuman sewaktu berbual dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Kalbunya meruntun kasih. Dia tidak tahu mengapa perasaanya begitu, walaupun tadi dia telah diherdik kasar oleh Amir.
****
Sudah hampir sebulan Amira bekerja di organisasi itu. Hatinya gembira, walaupun terpalit sedikit kekecewaan. Namun kekecewaan itu tidak pernah ditunjukkan, sebaliknya kecerian wajah senantiasa menemani langkah hidupnya. Hatinya ikhlas mendoakan yang terbaik untuk orang yang berada di sisinya.
Setiap hari apabila mengemas bilik encik Amir, Amira akan menitipkan cebisan kertas putih  bercoretkan ucapan salam. “Selamat sejahtera ke atas kamu, semoga dirahmati Allah.” Titipan doa itu sengaja di selitkan di bawah bekas pena milik encik Amir. Majikannya itu tidak pernah langsung mempersoalkan tindakannya itu.  Dia pasti encik Amir menyimpan titipan itu kerana dia tidak pernah langsung menjumpai cebisan kertas itu di dalam bekas sampah di bilik kecil itu. Cuma dia kecewa, majikannya itu sering menyalahkannya atas perkara yang remeh-temeh.
Di suatu hari yang damai, terpalit kelukaan yang membawa kepada episod sedih kehidupan. Amira melangkah keluar dari bilik Amir sambil memegang pipinya yang masih terasa hangat dek tamparan yang tidak di duga itu. Tidak tersangka olehnya encik Amir tergamak menampar pipinya gara-gara dia terlambat masuk ke pejabat. Permata hangat hadir menemani perasaan hatinya yang sedih bercampur kecewa itu. Di sekanya permata itu agar tidak terus berguguran.
Imran terkejut apabila telinganya menangkap suara kemarahan Amir. Dia segera mendapatkan Amira yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut, tetapi gadis itu terus melangkah pergi.  Imran tercengang. Dia segera masuk menagih jawapan daripada Amir.
Imran bertanyakan situasi sebenar. Mengapa Amir sanggup menampar Amira dan atas kesilapan apa gadis itu diperlakukan sedemikian rupa. Sebesar mana kesilapannya sehingga penampar hinggap ke pipi gadis yang mulus itu. Adakah ia tindakan yang wajar. Imran mempersoalkan.
Amir berang dalam berbicara. Dia mempersoalkan akan kelewatan Amira ke ruang pejabatnya. Sedangkan Amira sepatutnya hadir lebih awal daripadanya. Namun dari nada bicara Amir, dia sepertinya tidak menunjukkan rasa bersalah akan kekasaran sikapnya itu. Dia masih menatap komputer riba di hadapannya, menekan papan kekunci menaip sesuatu. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Imran berasa marah dengan tindakan Amir. Padanya cara Amir melampaui batas, kerana tindakan itu bukan hukuman yang beretika. Hukuman itu tidak tersenarai langsung dalam undang-undang dan peraturan di dalam organisasi itu. Dia tahu Amir menghukum Amira dengan emosi.
Imran menjelaskan situasi sebenar Amira. Amir harus tahu akan sebab kelewatan gadis itu ke pejabat. Kesihatan Amira agak kurang baik, maka dengan itu dia meminta izin untuk pergi ke klinik tidak jauh dari pejabat berkenan. Sungguh pun begitu, Imran memberikan pelepasan kepada Amira supaya pulang ke rumah, namun gadis itu tetap berkeras.
Wajah Imran bertukar kelat. Dia kecewa kerana Amir seakan sengaja acuh tidak acuh mendengar bicaranya. Harapannya agar lelaki itu mengakui kesilapannya.
 “Yelah tu. Kau sengaja nak membela dia. Aku tak heranlah kalau dia tak kerja kat sini. Tak rugi pun. Setakat tea lady je. Dahlah jalan tempang.” Hina Amir dengan kebencian hatinya.
Imran beristighfar. Tak tersangka olehnya Amir sanggup berkata sekasar itu. Amir sanggup menghina makhluk ciptaan Allah yang indah itu, walaupun secara zahirnya tidak sempurna pada mata yang melihatnya. Imran sedaya upaya mempertahankan Amira. Sejak Amira bekerja di sini, dia dapat mempelajari banyak perkara dari gadis itu.  Walaupun dia hanya gadis belasan tahun, tetapi kematangannya berfikir melebihi orang yang lebih berusia darinya.
“Kau jangan hina dia sebegitu, Mir. Walaupun dia tu cacat, tapi hati dia baik. Dia tabah menempuh hidup dia. Sepatutnya kau sokong dia. Bukan hina dia. Mir. Kecacatan dia kau nampak, hakikatnya kita semua ni tak sempurna, Mir. Kau jangan ingat diri kau tu baik sangat, sempurna walaupun kau berharta. Itu bukan jaminan hidup kita di dunia ni. Di sisi Allah, kita tetap sama. Kita hanya hambaNya yang kerdil. Kau sedarlah, Mir.”
Amir terus memekakkan telinga.
 “Kau tahu tak Mir, Amira tu selalu doakan yang baik-baik untuk kau. Kau pula maki dia tak tentu pasal. Aku tak tahu apa yang kau fikirkan. Aku perasan kau sepertinya tidak suka dengan Amira tu, tapi aku pelik, kau tak pula pecat dia. Kalau kau tak suka, mesti kau dah singkirkan dia sejak awal-awal lagi, kan.”
“Lagi satu aku perasan, cara kau berubah selepas kehadiran Amira di sini. Kenapa Mir? Kenapa kau sering marah-marah dia, tapi tidak pula dengan orang lain. Amira pula selalu bersabar dengan kau. Tidak pula dia buruk-burukkan kau. Apa yang selalu dia kata pada aku, dia akan doakan yang terbaik untuk orang berada di sisinya termasuk kau kerana kita semua bersaudara. Kau cubalah buka hati kau.  Hilangkan kebencian tu.” Imran berbicara panjang lebar.
Amir merengus marah. Telinganya terasa panas dengan bebelan Imran yang semakin panjang. Pandangannya kini di lempar pada Imran dengan sisa kemarahan.
Imran kini duduk di kerusi berhadapan Amir tanpa di pelawa. Dia mesti menasihati kawannya itu. Tidak mungkin dia akan membiarkan kawannya itu terus-terusan membeci seorang insan yang cacat seperti Amira. Di mana hak Amira jika dia sebagai saudara sesama Islam tidak mempertahankan.
Nada suara Imran berubah. Ia lebih kendur berbanding tadi. Dia mengharapakan bicaranya dapat memujuk hati Amir yang masih diseliputi bara yang masih bernyala walaupun sedikit. Semoga bicaranya menjadi air yang lama-kelamaan akan berupaya memadam bara itu.
“Aku tak bermaksud nak tinggikan suara dengan kau, Mir. Aku hormat kau sebagai majikan dan kawan. Aku kecewa dengan sikap kau. Cuma nak beritahu kau. Aku harap kau sedar apa yang kau dah buat pada Amira. Minta maaf dengan dia. Harapan aku sama seperti Amira. Harapannya agar kau berubah sebab dia percaya seseorang itu boleh berubah kalau dia mahu.” Imran berbicara lembut. Harapannya tinggi, setinggi harapan Amira.
Amir merengus marah. Tangannya kuat menghentak meja. Imran terkejut. Gara-gara Amira, mereka berdua bertegang urat.
“Aku tak tahu apa jampi budak Amira, si cacat tu dekat kau, sampai kau terpengaruh dengan dia. Kau jangan nak nasihatkan aku, Im. Kau, kalau dah jatuh cinta dengan budak tu cacat tu, kau pergilah bercinta dengan dia. Aku tak kisah pun. Tapi, kau ingat. Jangan cari aku lagi,” marah Amir. Dengus nafasnya kasar. Dia keluar meninggalkan bilik pejabatnya itu meninggalkan Imran keseorangan terpinga-pinga.
“Mir…”pangil Imran.
Amir tidak mengendahkan. Dia keluar. Pintu biliknya di hempas kuat.
****
Amir memecut laju keretanya. Kelopak matanya bergenang. Hakikatnya, bicara Imran mengusik hati kecilnya. Namun dia terlalu ego untuk mengakui kesilapannya.Nama Amira di sebut berulang kali. Terasa menyesal dengan tindakannya. Namun apabila di pertengahan jalan dia terpandang kelibat seorang gadis perempuan terdengkut-dengkut menyusun langkah kakinya yang tempang. Dia yakin itulah Amira. Dia sangat mengenali susuk tubuh yang genit itu. Apabila terlihat akan Amira, bisikan jahat kembali mengatasi sekutum rasa kasih yang mula berputik di hatinya. Bisikan syaitan itu kembali menyuntik kebenciannya pada Amira. Hatinya keras kembali, memaksa terus membenci.
“Ooo, budak cacat ni rupanya. Kau terimalah padahnya. Di sebabkan kau, aku bergaduh dengan kawan baik aku sendiri.”
 Amir menekan pedal minyaknya. Keretanya menluncur laju. Namun tatkala itu kepalanya terasa sakit yang amat. Pandangannya kian kabur. Muncul wajah Amira mengukir senyum. Bibirnya berbicara. “Selamat sejahahtera ke atas kamu, encik Amir.” Ungkapan Amira itu membuatkan Amir terkejut. Kakinya pantas menekan brek.
“Screeeet…..”berdecit bunyi tayar keretanya.
Pandangannya gelap.
Amir meracau-racau memanggil nama Amira. Berulangkali nama itu meniti di bibirnya. Setelah itu baru dia tersedar dari pengsannya. Dia memerhati sekeliling dengan pandangan yang masih berbalam-balam. Kabur. Pandangannya kian jelas.
“Im…”ucapnya perlahan. Imran mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana Amir selamat.
Amir berterus-terusan bertanyakan Amira tanpa mempedulikan dirinya yang masih berkeadaan lemah. Imran berusaha menenangkan sahabatnya itu. Amira baru di pindahkan dari unit kecemasan, ICU. Itulah jawapan terkini yang di terima dari Dr. Zain yang juga merupakan temannya.
Keadaan Amir kian tidak tenteram. Dia memeluk tubuhnya yang terasa mennggigil. Di peluk tubuhnya erat-erat. “Aku dah langgar dia, Im. Aku dah langgar Amira.” Ujar Amir separuh menjerit. Wajahnya kian takut. Imran terkejut.
“Apa yang kau cakapkan ni, Mir. Kau tu yang kena langgar, kau tahu tak. Selamatlah kau tak apa-apa.” Wajah gusar Amir di pandang,
“Habis tu Amira. Siapa yang langgar Amira?” Amir masih merintih jawapan. Suaranya terketar-ketar hampir menangis.
Imran menjelaskan cerita sebenarnya. Hakikatnya bukan Amir yang melanggar Amira, namun kejadian malang itu berpunca dari sebuah kereta Honda yang di percayai terbabas memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar kereta yang di pandu Amir. Dalam pada itu, kereta terbabit berpusing beberapa kali sebelum melanggar Amira di bahu jalan.
Amir menangis tiba-tiba. “Tapi, aku memang ada niat nak langgar dia, Im. Tapi, aku….”kendur Amir meluahkan kata-kata. Dia tidak mampu menghabiskan bicaranya. Dia kembali menangis.
“Astaghfirullahalazim, Mir.” Imran mengucap panjang. Hanya itu yang mampu terlafaz dari bibirnya tatkala mendengar niat Amir itu.  “Mungkin ini petunjuk Allah kepada kau, Mir,”ujar Imran seraya memandang wajah nan sayu yang masih berbaki air mata itu.
Amir berlari menuju ke wad yang menempatkan Amira. Masih ternanti di situ seorang perempuan di pertengahan usia senja bersama seorang gadis belasan tahun. Dia yakin itulah ibu dan adik kepada Amira.
“Mak cik ni ibu Amira ke? tanya Amir sambil menatap wajah sugul di hadapannya. Perempuan tua itu mengangguk perlahan.
“Maafkan saya, mak cik…Sa..ya..saya…bersalah pada Amira…” Amir berterus-terang.Nada suaranya kendur melempiaskan rasa kesedihan di hati. Hatinya turut berduka.
Wajah yang sugul itu kini berubah wajah. Air mukanya seakan terkejut dan marah.”Kau..Kau…Sampai hati kau…” Suara Puan Misah tersekat-sekat.Perasaannya bergoncang marah.  
“Ampunkan saya makcik...ampunkan saya. Saya yang bersalah.”rayu Amir memohon pengertian dan kemaafan.
“Pergi…Pergi. Jangan kau datang sini. Aku tak nak tengok muka kau. Pergi…Kau nak apa lagi. Kau bunuh anak aku…Kau bunuh anak aku. Tergamak kau. Pergi…aku tak nak tengok muka kau dekat sini….Pergi…Pergi…” jerit Puan Misah. Lama-kelamaan suaranya kian sayu ditenggelami suara tangisannya.
Suara sayu itu menyentap hati dan perasaan sesiapa yang mendengarnya. Hatinya remuk bercampur marah. Dia tidak dapat menahan emosinya. Kelukaan hatinya dihambur kepada Amir. Tangisannya meruntun perasaan. Hancur hati seorang ibu apabila anak yang disayangi kini terbaring kaku namun masih belum putus nafas. Koma dia atas katil.
“Mak cik ampunkan saya, mak cik. Saya benar-benar minta maaf,”rayu Amir lagi. Puan Misah memaling muka. Tidak sanggup melihat orang yang membuatkan anaknya hampir hilang nyawa.
 “Pergi..Aku takkan maafkan kau..” ujar Puan Misah lagi. Parut lukanya tidak mungkin sembuh sesingkat waktu itu.
“Mak cik, ampunkan saya..Saya rayu pada mak cik. Saya sedar saya yang salah. Saya yang salah, mak cik..Ampunkan saya makcik.” Amir melutut di situ meminta belas kasihan ibu tua itu agar memaafkannya. Dia tidak mempedulikan pandangan orang lain yang melihatnya. Imran cuba menenangkannya, namun Amir seakan tidak mempedulikannya.
“Aku kata pergi…pergi…”suara Puan Misah hampir tidak kedengaran. Suara tangisannya masih terhambur seakan sukar untuk diempang. Dia memeluk anak gadisnya yang masih setia menemaninya di situ. Gadis itu tetap berusaha memujuk ibunya. “Sabarlah, bu. Kita doakan kakak selamat.”
Tolonglah makcik. Kalau mak cik tak maafkan saya, sekurang-kurangnya izinkanlah saya berjumpa Amira. Saya ingin minta maaf dengan Amira.”Amir masih merayu.
Kini, terdengar derapan kaki yang kian menghampiri. Seorang lelaki berkopiah putih merenung wajah sugul nan sayu yang masih melutut di situ. Wajah tua itu kelihatan suram, namun bibirnya masih mahu menguntum sebaris senyuman kepada Amir. Tangan tua itu mengelus lembut bahu Amir. “Bangun nak. Bangunlah.” Suara lembut itu membuatkan Amir terkesima. Sentuhan kasih lelaki itu membuatkan hatinya sayu.
Amir bangun dan menatap wajah tua di hadapannya itu. “Saya bersalah pak cik…Saya yang menyebabkan Amira jadi begini..Ampunkan saya, pak cik. Kalau apa-apa terjadi dengan Amira,pak cik hukumlah saya.” Suara Amir sayu. Dia dicengkam rasa bersalah. Dia pasti akan menyalahkan dirinya sendiri dengan kejadian yang berlaku.
Lelaki tua itu menggeleng perlahan. “Anak…Mintalah ampun dengan Allah. DIA itu Maha Pengampun. Pak cik ni juga hanya manusia biasa. Pak cik tidak punya kuasa nak hukum kamu. Memang pak cik kesal dengan apa yang berlaku, tetapi pak cik yakin dengan kamu. Pak cik yakin kamu dah sedar dan insaf. Kamu berani berterus terang dengan kami itu pun sudah memadai. Pak cik maafkan kamu, nak. Pak cik maafkan.”
“Terima kasih, pak cik. Terima kasih..”ucap Amir. Dia merangkul erat tubuh lelaki tua yang kian melidi itu.Tidak tersangka olehnya keikhlasan lelaki tua itu memaafkannya. Kolam matanya kembali bertakung. Rasa sungguh terharu.
“Tapi,mak cik….”Amin sedih dalam bicara. Rasa bersalah masih bersarang di hati. Dia juga perlu mendapatkan kemaafan dari Puan Misah.
“Biarkanlah dulu. Mak cik pasti maafkan kamu, nak. Sekarang ni dia masih tidak boleh terima dengan apa yang berlaku pada Amira. Dia masih terkejut. Bersabarlah nak, ye.” Ujar Pak Hamid seakan memujuk hati anak muda yang masih menanti kemaafan itu.
Amir mengangguk mengerti. Dia sangat mengharapkan kemaafan itu. Kemaafan dari seorang wanita yang bergelar ibu serta Amira sendiri dan yang paling utama ialah keampunan daripada Allah. “Ya Allah….ampunkanlah dosa hambaMu ini.. Ya Allah… HambaMu ini khilaf, Ya Allah…”Doa dari sekeping hati yang mengharapkan keampunan. Mutiara jernih kembali  menemani perasaan sayu di hatinya.
“Pak cik…Boleh saya bertemu dengan Amira.”Pinta Amir sambil meyeka titisan air matanya yang masih berbaki.
“Boleh nak. Nanti. Sekejap lagi waktu melawat ye, nak. Anak duduklah dulu,” ujar Pak Hamid lembut.
Pak Hamid melangkah perlahan-lahan dan mengambil posisi bersesebelahan isterinya. Langkahnya yang tempang mengejutkan Amir. Sedari tadi dia tidak perasan akan kecacatan lelaki tua itu. Sebegitu insan yang cacat, namun mempunyai hati yang murni. Amir meraup muka.
“Ya Allah…ampunkan hambaMu ini, Ya Allah.” Rintihnya berkali-kali. Selama ini dia terlalu memandang hina insan yang cacat, terutamanya Amira.
“Amira, maafkan saya Amira” ucapnya dalam kesedihan.
Amir melihat sekujur tubuh yang ‘terlena’ di pembaringan. Lenanya begitu panjang. Semangat juangnya untuk bangkit seakan terkulai. Dia tidak mampu. Hanya mampu untuk terlena  dan terus terlena. Amira koma setelah kejadian malang itu menimpanya.
Air mata Amir berguguran. Sebak. Di sekanya berulang kali, namun ia masih terus gugur. Tatkala menatap sayu wajah yang lesu itu, Bibirnya tidak jemu memohon kemaafan dari Amira. Dia sedar dia yang bersalah.
“Salam sejahtera ke atas kamu, Amira.” Ucap Amir perlahan dalam sebaknya yang tertatahan-tahan. “Saya rindukan doa kamu Amira.”sambungnya lagi.
Tubuh lesu Amira tidak memberi sebarang tindak balas. Kekal kaku seakan memencilkan diri dan tidak mahu diganggu.
Amir mengalirkan air mata. Hatinya sebak. Dia sangat mengharap agar Amira sembuh seperti sedia kala. Suatu yang penting ialah kemaafan dari insan itu. Dia pasti hidupnya tidak akan tenang selagi kesalahannya tidak dimaafkan. Suara sebak nan sayu Amir kembali memenuhi ruang wad kecil itu.
“Doakanlah untuk dia, nak. Dia mengharap doa kamu. Semoga dengan berkat doa kamu, dia akan kuat untuk terus berjuang demi hidupnya.” Pujuk Pak Hamid terhadap anak muda yang berduka itu.
Hampir setiap hari Amir datang melawat Amira. Kadang kala dia di temani Imran. Sahabatnya itu setia menemani.  Ucapan pertama Amir untuk Amira adalah doa untuk kesejahteraan insan itu, sama seperti titipan doa Amira untuknya.
“Salam sejahtera ke atas kamu, Amira. Semoga dirahmati Allah.” Itulah ucapan yang terzahir dari mulutnya setiap kali dia menziarahi dan menatap sayu wajah yang lesu itu. Empunya diri masih terlena dalam mimpi yang panjang.
****
“Abang…”Panggil satu suara. Suara lembut nan sayu itu membuatkan Amir terkesima. Dia mencari-cari empunya suara itu. Namun tiada sesiapa di situ. Hanya dia keseorangan. Dia memeluk dirinya yang kedinginan. Dia terus berjalan mencari arah suara yang masih memangggil-manggilnya. Kayuhan kakinya semakin perlahan. Dia terhenti. Kakinya tidak mampu untuk terus berjalan. Akhirnya dia melutut jua di bumi Allah. Nafasnya tercungap-cungap. Terasa kehangatan manik-manik jernih berguguran dalam kesyahduan hatinya. Amir terasa sebak.
“Abang…”panggil suara itu lagi. Suara itu kian jelas dipendengaran Amir. Dia mendongak melihat empunya diri yang hadir di hadapannya. Seorang gadis. Dia sama sekali tidak mengenali wajah itu kerana terlidung di sebalik kain kerudung yang dipakainya.
“Selamat sejahtera ke atas kamu, Abang.” Tutur empunya diri. Sebaris senyuman indah di hadiahkan kepada Amir.
“Aaa…mira.” Ucap Amir perlahan. Tangannya ingin mengapai huluran yang masih belum bersambut itu. Namun, ia kian kelam dan hilang dari pandangan. Amir sebak. Air matanya tidak tertanggung kini. Ia terus berguguran membasahi pipi.
Kini, seruan azan Isyak berkumandang sayu di corong radio, menuntut Muslimin dan Muslimat menghambakan diri kepada Maha Penguasa Alam. Amir terjaga. Rupanya dia bermimpi. Setelah terlena selepas sembahyang Maghrib.
Terasa kolam matanya masih bersisa syahdu air mata. Dadanya berdebar kencang berbaki sebak. “Astaqfirullahal’azim.”Ucapnya berulang kali. Mukanya di raup perlahan mencari kelegaan.
“Ya Allah, ampunkan hambaMu ini, Ya Allah.” Amir merintih dalam kesyahduan emosi. Air matanya terus gugur.
Suara azan masih berkumandang. Amir masih membeku diri. Dia memeluk tubuh di sofa. Bibirnya terkunci bicara. Hanya mendengar seruan azimat itu sehingga ke penghujungnya.
Amir kini duduk di tikar sembahyang. Dia baru selesai merendahkan diri kepada Yang Maha Esa, tuhan Pencipta Alam Semesta. Sudah lama rasanya dia tidak bersembahyang. Mindanya masih menginggati bait-bait suci Kalam Allah, namun kadang kala lidahnya seakan kelu untuk melafazkannya. Dia berdoa mengharapkan keampunan Allah.
****
“Abang…”suara Amira kedegaran perlahan. Air matanya mengalir perlahan dari kelopak matanya. Dia baru tersedar dari lenanya yang panjang. Keadaanya terlalu lemah. Matanya memerhatikan keadaan sekeliling. Wajah-wajah orang yang disayang setia menanti di sisinya. Dia mencari seseorang. Namun tidak kelihatan walaupun dirinya selalu mendengar suara itu mengucapkan salam padanya.
Amir menerima panggilan daripada hospital. Berita menggembirakan. Amira telah sedar. Amir mengucapkan syukur. Bergegas dia menuju ke hospital. Dikala itu hujan turun renyai-renyai membasahi bumi.
Amir memecut laju keretanya. Dia ingin segera sampai ke hospital. Lama-kelamaan pandangannya terasa kabur dan kian gelap.
“Allah…Allah...” Ucapnya berkali-kali. Nafasnya terhenti. Kemalangan yang berlaku itu benar-benar mengerikan.
Amira hanya mampu menangis dan menangis. Wajahnya mendung tatkala menerima diari Amir yang diserahkan oleh Imran. Dia membaca coretan itu dengan linangan air mata. Sebak hatinya tidak mampu ditahan. Mendung diwajahnya kini mula mengundang hujan yang kian lebat. Murah benar air matanya dikala itu. Helain corertan itu basah dihujani air mata. Ia cuab diseka, namun masih juga gugur. “Abang…”ucapnya dengan penuh kesyahduan.

Amira…
Terasa ingin benar mendengar Amira memanggil diri ini Abang. Andai diberi kesempatan untuk memilih, pasti Abang akan memilih Amira menjadi adik abang. Pasti Abang jaga Amira sebaiknya. Adik yang baik, mentaati perintah Allah dan Rasul serta ibu bapa. Harapan Abang agar Amira menjadi insan yang solehah. Itulah doa abang untukmu, Amira.

Abang gembira setiap kali menerima titipan doa Amira setiap pagi. Doa Amira sentiasa menemani hidup abang setiap hari. Setiap titipan doa Amira  abang simpan.“Salam sejahtera ke atas kamu, encik Amir. Semoga dirahmati Allah.”Itulah titipan doa Amira untuk abang.

Kini, disaat kamu terlena dalam pembaringan, terasa sedih dihati ini, Abang bersalah pada kamu, Amira. Abang menafikan kasih abang pada kamu, dan sebaliknya memilih kebencian yang membawa luka di hati. Abang berdosa kerana pernah berniat untuk membunuh kamu. Abang khilaf…Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Abang kini sedar dan insaf.
Abang akan senantiasa mendoakan kamu sepertimana kamu senantiasa mendoakan abang. Abang sangat berharap agar kamu kuat untuk sembuh dan sihat seperti dahulu.“Salam sejahtera juga ke atas kamu, Amira. Semoga Allah memberkati kamu.”

Ucapan salam itu mungkin biasa, namun pada Abang ucapan itu amat bermakna. Ucapan salam itu adalah doa yang ideal. Ucapan yang saling mendoakan antara satu sama lain. Ucapan yang mengikat kasih sesama Islam, sama seperti ungkapan cinta yang berbalas. Indahnya jika setiap hati menghayati ucapan salam itu, seperti menghayati indahnya cinta.

Adikku, Amira…
Abang rindukan senyuman kamu kerana membuatkan hati ini damai. Namun setiap kali abang berhadapan dengan kamu, senyuman abang menjadi kelat. Maafkan Abang, Amira. Semoga dikau segera sembuh dan kembali membahagiakan hati ini. Hati ini benar-benar merindukan kamu. Maafkan Abang. Semoga doa Abang akan sentiasa mengiringi hidup kamu.

Coretan itu sebenarnya adalah luahan hati Amir di dalam diari miliknya. Imran menjumpainya di dalam laci di bilik Amir, di pejabat. Bersama diari itu adalah helaian-helain titipan coretan doa Amira untuknya. Amira terus menangis. Kini, insan yang ingin di panggil abang itu telah bersemadi di perut bumi.

****
Sekeping foto lama yang masih tersimpan kemas di dalam diari Amir membuka satu rahsia baru. Coretan diarinya amat menyentuh kalbu, iaitu keinginannya untuk berjumpa ibu kandungnya yang telah terpisah. Ternyata Puan Misah, ibu Amira amat mengenali wajah di dalam foto itu. Dia terduduk lemah. Hanya air matanya yang mengalir. Dia yakin Amir adalah anak kandungnya.
Kisah dahulu, Khamisah telah melahirkan seorang bayi lelaki. Namun bayinya itu telah di bawa pergi oleh suaminya meninggalkan dirinya terkontang-kanting seorang diri. Akhirnya dia dipertemukan dengan Hamid seorang lelaki tempang yang sangat baik hati dan banyak menolongnya. Akhirnya mereka bernikah. Amira lahir cacat seperti bapanya. Amiralah menjadi pengubat sedih di hatinya setelah kehilangan anak lelaki yang tidak langsung diketahui namanya.
Amir pula telah dibawa pergi oleh ayah dan neneknya berhijrah ke luar negara.  Amir kembali ke tanah air dengan tekad untuk menjejak ibu kandungnya. Namun, hasratnya masih belum tercapai.
“Amira… Amir itu abang kamu, nak.” Kata-kata ibunya itu membuatkan Amira terkejut. Tidak mampu berkata-kata. Adakah ia suatu berita gembira atau menyedihkan.
“Seandainya abang Amir masih ada, dia pasti gembira mendengar berita ini. Bertemu dengan insan yang ingin dibelai dan dikasihi, serta seorang insan yang ingin di panggil adik.” Amira hanya mampu berbicara dalam hatinya. Namun dia redha. Itu adalah takdir.
Amira menadah tangan berdoa ke hadrat Ilahi. Dia mendoakan kesejahteraan insan-insan yang disayangi. Tidak terkecuali untuk Amir.“Ya Allah. Ampunilah dosa abangku. Semoga dia di tempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.”
“Abangku Amir. Adikmu ini akan sentiasa mengirimkan doa untukmu.”  

TAMAT
Hak Cipta Terpelihara : Isme_Ana Nur
 Karya 2 tahun lepas. Hihi…

 

1 comment:

  1. heheee ok gak la cter ni.. hehee.. 2thun lps?? ptt la jln cter cm pusing2 sket.hehee.. ganbatte2

    ReplyDelete