ZAHRAH ALWANI merenung
sepi pada sekeping foto lama di dalam album gambar miliknya.Gambar tersebut
dikeluarkan dan ditatap tanpa rasa jemu. Wajah seorang perempuan muda
berselendang kuning keemasan menyerlahkan keayuan rupa parasnya. Zahrah Alwani
tersenyum menampakkan lekukkan di sudut pipi kanannya.Lesung pipitnya terserlah.
“Cantiknya
ibu semasa anak dara ya, Mak Long. Tapi kenapa muka Ara tak macam muka ibu.Kulit
ibu putih, kulit Ara ni gelap,” ujar Ara sambil melentok manja di bahu Mak
Longnya. Mak
Long Piah hanya tertawa mendengar bicara anak saudaranya itu.
“Mak Ara tu suka
sangat minum air soya.Sebab tulah kulit dia putih bersih aje. Si Ara pula suka
sangat makan kicap.Tu yang gelap, tak cerah-cerah,” gurau Mak Long Piah sambil
mencubit lembut pipi mulus Ara. Ara tertawa gembira.
“Betul
ke Mak Long? Tapi, kicap juga diperbuat
daripada soya, kan. Ara pun suka makan tempe. Soya juga tu,” jawab Ara kembali.
Kepalanya masih tersandar dibahu Mak Longnya. Itulah tempat bermanjanya.
“Isy,
budak ni. Ada saja jawabnya.”
Ara
hanya tersengih-sengih.
“Tapi,
ibu dah lama pergi. Ara masih rindu nak bermesra dan bermanja dengan ibu.” Suara
Ara bertukar nada. Kedengaran sayu dipendengaran. Mak Long Piah terdiam. Dia
tahu kesedihan hati anak saudaranya itu. Ara adalah anak satu-satunya kepada
adiknya yang bongsu, Siti Musliha yang telah meninggal dunia hampir 0 tahun
lalu. Sejak itu dialah yang membesarkan Ara seperti anak sendiri.
“Arakan
masih ada Mak Long, Pak Long dan Kak Anis. Mak Long pun sedih apabila ibu Ara
meninggal.Tapi Mak Long redha. Mak Long tak sanggup nak lihat penderitaan ibu
Ara. Ara pun kena redha. Arakan dah belajar. Kita mesti yakin dengan Qada’ dan
Qadar Allah,” jelas Mak Long Piah sambil mengelus lembut rambut Ara yang kian
terjuntai menutupi sebahagian dahinya yang agak luas itu.
Ara
mengangguk. Kini dia sememangnya mengerti dan tidak sekali-kali menyalahkan
takdir. Cuma dahulu dia masih belum mencapai tahap untuk mengerti akan semua
itu. Ibunya pergi sewaku dia masih bersekolah darjah satu sekolah
rendah.Hidupnya pada waktu itu masih asyik dengan dunia kanak-kanak. Dia juga
tidak langsung mengetahui derita yang ditanggung ibunya. Akibat menanggung
derita barah hati, ibu si ratu hatinya, akhirnya pergi meninggalkan dirinya
untuk selama-lamanya. Dia menangis dan terus menangis.Menangisi pemergian insan
tersayang.Hampir setiap hari hanya mutiara panas jatuh ke lembah pipinya.
Ara
menyeka kelopak matanya yang bergenang. Peristiwa lalu mengusik jiwanya.Sebelum
sempat mutiara panas itu gugur ke pipi, pantas tangannya menyeka dengan hujung
jari.
Ara
mula terkenangkan satu nama. “Ayah.”
Ya..Dia
langsung tidak mengenali wajah insan yang bergelar ayah kandungnya sendiri.
Apabila ditanya kepada ibu sewaktu hayatnya, di mana ayah, ibunya pasti akan
menyepi diri. Suram wajah ibu setiap kali soalan itu diajukan kepadanya. Wajah
comel Ara pasti dicium lembut. Pelukannya erat merantai dua hati. Kadang-kala
wanita kesayangannya itu menangis, dia akan turut menangis.
“Ayahmu telah pergi jauh. Dia telah meninggal
kita, nak.” Seringkali pertanyaan itu diajukan, dia pasti menerima jawapan yang
sama daripada ibunya. Mak Long juga bilang begitu. Akhirnya Ara mengerti.Dia
sudah tidak punya ayah.
“Muka Ara tak iras arwah ibu, agaknya muka Ara ni pasti
mirip ayah, ya Mak Long?” Bicara Ara sedikit menyentuh hati tua Mak Long Piah.
“Betul
ke ayah dah meninggal, Mak Long ?” aju Ara kepada insan tua yang sudah meniti
usia itu.“Dulu, Ara yakin dengan apa yang ibu cakap, tapi sekarang ni Ara rasa
macam ada sesuatu. Ara dapat rasakan, ayah masih ada. Hati Ara selalu menjerit
memberitahu yang ayah masih ada, cuma…” Wajah tua di sisinya dipandang. Terkelu
lidah wanita itu. Dia juga tidak punya kata untuk dibicarakan.Jernih renungan mata
Ara meminta secebis pengertian. Riak wajah wanita lebih separuh abad itu nyata berubah.
Sedikit mendung. Mata Mak Long Piah jadi berkaca. Hatinya turut dijentik rasa
sebak.Dia tahu anak saudaranya terlalu merindu. Merindu insan yang berpertalian
kasih dengannya.
Lembaran
sejarah lalu dibuka menjadi ingatan.Kisah duka terpalit dalam kamus kehidupan. Badai
ombak menjadi sumpahan. Perginya sang suami tanpa pesan. Anugerah cinta pula
masih baru berusia dua bulan di dalam kandungan. Terpanah hati si isteri dengan
seribu kelukaan yang dalam.
Sejuk
sang angin seawal pagi mengiringi kudrat seorang lelaki turun ke laut bersama
kolek nan uzur sebagai teman berjuang. Lautan terbentang menjadi sumber mata
pencarian. Namun, rencana takdir tiada siapa mampu menghalang. Hari itu membawa
kepada suara tangisan seorang insan bergelar isteri dan juga bakal ibu kepada
anak yang dikandungnya kini. Detik waktu bermula dengan suram wajah alam yang tiba-tiba
berubah. Ribut melanda. Samudera pula menggila. Namun, ia bukan tsunami yang
meragut ribuan nyawa. Si nelayan disahkan karam di lautan. Lebih memilukan
hati, mayatnya tidak dijumpai walaupun banyak usaha telah di akukan.Logik akal
memberitahu tiada yang bisa selamat akibat kejadian itu.
Si
isteri bernama Siti Musliha menanggung derita. Doanya kepada Maha Pencipta Alam
tidak pernah putus.Dia sangat berharap agar suaminya masih hidup dan kembali
kepadanya.Hampir setiap hari dia akan pergi menanti suaminya di pesisir lautan.
Dia tidak berputus asa dan tidak akan menerima kematian suaminya selagi
jasadnya tidak bersemadi di tanah. Namun, penantian dan harapannya hanya
tinggal mimpi. Semangatnya kian pudar. Dia sangat terkilan. Tangisannya syahdu
berkumandang mengenangkan anaknya lahir
ke dunia tanpa sempat mengenali bapa kandung. Setulus kasihnya tumpah pada
insan comel yang menjadi pengikat cinta mereka.Hanya air mata duka menemani
saban waktu, sehinggalah pintu hatinya terbuka menerima hakikat takdir. Siti
Musliha sedar dan meyakini suaminya telah meninggal dunia dan tidak mungkin
akan kembali lagi. Dia redha dengan qada’ dan qadar Allah.
Dugaannya
bertambah berat apabila rumahnya pula terlibat dalam kebakaran. Mujurlah
anaknya selamat. Siti Musliha membawa puterinya berpindah mengikut Sapiah,
kakak sulungnya. Di sana dia membina hidup baru. Dia bekerja keras, cuba
melupakan kisah sedihnya. Namun, rencana takdir tidak mampu diduga dek akal
manusia.Dugaan menjadi ujian kepada orang-orang yang diuji olehNya. Siti
Musliha telah disahkan menghidap penyakit barah hati. Sewaktu Siti Musliha
pergi mendapatkan rawatan penyakitnya di hospital bandar, dia telah tersua
dengan seorang lelaki mirip suaminya.Dia adalah insan yang paling dirindui
dalam hayatnya.Wajah itu takkan mudah hilang dari lipatan ingatannya walaupun
lapan tahun telah memisahkan mereka.Namun hatinya kecewa.
Langkahnya
laju ingin mendapatkan insan itu.Namun langkahnya mati tatkala melihat lelaki
itu berjalan diiringi seorang wanita di sisi sambil memimpin seorang budak
lelaki.Sewaktu langkah mereka berselisih dan pandangan mereka bertemu, lelaki
itu hanya bereaksi biasa. Dari riak wajahnya, lelaki itu seperti langsung tidak
mengenalinya.Hampa hati Siti Musliha. Mungkin wajah itu hanya pelanduk dua
serupa. Namun, tiada yang mampu menipu hatinya.Dia yakin bahawa lelaki itu
adalah suaminya berdasarkan tanda lahir yang ada di hujung kening lelaki itu.
Sapiah
puas memujuk. Mungkin Siti Musliha tersilap orang kerana derita jiwanya terlalu
merindui.Siti Musliha terduduk menangisi. Akhirnya dia pergi jua menghadap
Ilahi.
Ara
tenang mendengar lembaran kisah lalu yang diceritakan oleh Mak Long Piah.
“Semasa
kejadian dahulu, mayatnya memang langsung tidak dijumpai. Mungkin dia
terselamat sewaktu kejadian tu dan hanyut ke tempat lain. Wajah orang yang Siti
Musliha jumpa di hospital itu sebenarnya memang mirip ayah Ara.” Bicara Mak
Long Piah bersandar harapan. Sepertinya sekarang dia juga meyakini dan berharap
ayah Ara masih hidup.
"Mungkin
waktu itu ayah mengalami masalah ingatan.” Ara membuat andaian. Dia cuba
membina harapan sendiri.Dia menyimpan tekad. Andai benar ayahnya masih
hidup,pasti dia akan menjejaki lelaki itu. Dia ingin ayahnya mengenali bahawa
dirinya adalah lambang kasih antara ibu dengan ayahnya.Doanya dipinta kepada
Penguasa Alam Yang Maha Agung.
****
ARA mengambil buku
lukisannya.Dia tersandar di kerusi sambil merenung foto arwah ibunya. Foto itu
menjadi subjek untuk dilukis. Foto arwah ibunya ditenung, cuba memahami dan
menghayati keayuan wajah itu untuk dlukis di atas kertas lukisan yang masih
putih bersih. Tangannya mula melentur perlahan.Lakaran asas mula terpalit
sediki demi sedikit.
Ara
terus memberi fokus. Lentikan alis, keredupan pandangan mata yang bundar,
hidung yang sedikit mancung, lirikan senyuman bibir yang mendamaikan perasaan terus
dipandang tanpa terkalih. Raut wajah ayu itu dihayati mendalam.Tangannya bergerak
seiring pandangannya.Dia bersungguh-sungguh melukis persis pelukis professional.
Dia tenang melukis.Ketelitiannya dalam melukis amat mengkagumkan.Apabila ada
kesilapan, ia pasti diperbaiki sehingga dia berpuas hati.
Ara
tersandar sejenak. Nafasnya ditarik panjang. Dia menggeliat merehatkan ototnya
yang mula menegang.Tangannya terasa lenguh. Ruas jari-jemarinya dipicit hingga
berbunyi. Dia kemudian bangun dan berjalan menuju ke jendela. Matanya direhatkan.Pepohon
hijau di luar jendela menjadi santapan mata untuk seketika. Liuk lentok angin
yang damai seakan menjadi irama kepada pepohon hijau menari-nari mengikut
temponya. Ara kembali menarik nafas, mencari kedamaian hati.
Ara
kembali melabuhkan punggungnya di kerusi. Potret separuh siap yang dilukisnya ditenung.
Dia tersenyum sendiri. Foto arwah ibunya diambil dan diletakkan sebelah
menyebelah dengan lukisan hasil seni tangannya.Dibandingkan sejenak agar
kelihatan serupa. Dia mengeluh perlahan. Lirikan senyuman arwah ibunya itu
masih sukar diterjemahkan oleh lenggok seni tangannya. Masih kelihatan kaku. Dia
tersandar. Foto arwah ibunya kembali ditatap.Hatinya meruntun sayu.Wajah kaku
di dalam foto itu kekal merenung dengan pandangan yang redup dan lirikan
senyuman yang menzahirkan perasaan hatinya, penuh cinta dan kasih sayang.
“Ibu…Ara
rindukan ibu. Ara sangat sayangkan ibu.Tapi Ara tahu, Tuhan lebih menyayangi
ibu.” Ara hanya berbicara dengan hati. Suaranya tidak terzahir keluar.Terasa
sebak bertandang.
“Ara,
mari makan cekodok ni,” laung Mak Long Piah dari dapur.Panggilan itu mematikan
monolog hatinya.
“Sekejap
lagi ya, Mak Long,” sahut Ara. Foto arwah ibunya kembali diletakkan di atas
meja. Tangannya pantas mengambil pensil nan sebatang yang terbaring di sebelah
getah pemadam. Dia kembali menyambung lukisannya.Dia terus mencuba mengekspresikan
lirikan senyuman ibunya. Beberapa kali dipadam apabila kelihatan canggung pada
pandangan mata. Lama kelamaan, sentuhannya menjadi juga. Sentuhan seni
tangannya begitu yakin, menjadikan lukisan potret itu tampak iras dengan gambar
di dalam foto. Ara tersenyum sendiri.Terasa girang di hati. Pensil nan sebatang
dipusing-pusingkan dicelah jari-jemari. Bermain seketika dengan pensil, terasa
begitu asyik.
Ruas
jari-jemarinya kembali dipicit-picit mencari kelegaan.Raut wajah bujur sireh
milik ibunya terus menjadi tatapan mata. Jalinan rambut yang kehitaman serta
lentukan kain kerudung yang dipakai terus dilukis dengan penuh ketelitian. Andai
tersilap , pasti dipadam dengan penuh hati-hati agar tidak terjejas bahagian
yang lain. Dia ingin menghasilkan potret wajah ibunya dengan sepenuh hati,
semurni perasaan cinta dan kasih sayang pada si ratu hatinya itu.
“Tak
siap lagi ke melukis, Ara? Jenuh Mak Long tengok. Tak berhenti sejak tadi.” Suara
Mak Long Piah menerjah ke cuping telinga.Ara menoleh pada wajah si tua yang
datang kian menghampirinya. Mak Long Piah membawa bersamanya sepinggan cekodok
berserta secangkir air teh O, beralaskan dulang kecil. Hidangan itu diletakkan
di atas meja berhampiran tempat Ara menyiapkan kerjanya.
“Rehatlah
dulu Ara, oii. Makan cekodok yang Mak Long dah buat ni sementara panas. Nanti
dah sejuk tak sedap pula.” Ujar Mak Long Piah lembut. Dia berdiri di sebelah
Ara. Lirikan matanya jatuh pada seraut wajah yang dilukis oleh anak saudaranya
itu.
“Terima
kasih, Mak Long. Sekejap lagi Ara makan. Tinggal sikit sahaja lagi.Lagipun esok
dah nak kena hantar. Hmm..Iras tak Ara lukis muka ibu?”soal Ara inginkan
pandangan wanita yang kini menjadi tempat dirinya menumpang kasih.
“Hmm.
Cantik. Ada iras. Tapi, hidungnya nampak macam kemek aje.Tak mancung pun macam
dalam gambar. Bahagian lain Mak Long tengok okey aje. Kira jadilah.” Komen Mak
Long Piah, memberi pandangan. Dia tahu Ara begitu bersungguh-sungguh melukis.
“Ye
ke, Mak Long. Itu nanti Ara ubah sikit. Lagipun ni tak siap lagi. Pembayangnya
pun Ara belum buat lagi. Lepas ni kalau dah siap, Mak Long berilah markah.
Agak-agaknya berapa percent Ara
dapat,” balas Ara dalam senyuman.Dia mengambil keputusan berhenti seketika. Aroma
cekodok pisang begitu menggoda tekak dan perutnya.
Air
di cangkir diteguk sedikit menghilangkan rasa haus. Cekodok pisang yang masih
terasa hangat diambil dan dikunyah perlahan. Satu persatu menjadi habuan
perutnya.Apabila dihintung hampir sepuluh butir kesemuanya.Air di cangkir dihabiskan
tanpa bersisa.Terasa kenyang.Alhamdulillah, ucapnya.
Ara
kembali mengambil pensil nan sebatang. Mata pensil yang kian tumpul itu diasah mejadikannya
tajam sebelum kembali menyambung lukisannya.Bahagian yang kelihatan canggung
seperti kata Mak Longnya, diperbaiki sebaik mungkin.Bahagian yang memerlukan
pembayang, diletakkan pembayang agar tampak lebih berekspresi seperti di dalam
foto.Digosok perlahan-lahan dengan hujung jari agar kelihatan rata dan tidak
comot. Akhirnya potret ibunya siap dilukis. Ara tersenyum bangga. Tidak sangka dia mampu
melukisnya dengan baik.
*****
“CANTIKNYA lukisan awak,
Ara. Lepas ni bolehlah awak lukis gambar saya,” ujar Durratul Aini sambil
menatap lukisan temannya itu.Lukisan potret yang dilukis Ara turut menjadi
perhatian teman-teman sekelas.
“Awak
ni.Ada-ada sajalah.Sengaja nak puji saya lebih-lebih. Tapi, saya pun tak sangka
dapat lukis sebaik ni,”balas Araterhadap sahabat barunya itu.Baru sebulan lebih
Durratul Aini berpindah ke sekolahnya dan mereka bersahabat baik.
“Ni
gambar siapa, Ara?” soal Durra cuba mengorek rahsia. Ara membalas dengan
senyuman.“Gambar ibu saya. Ni gambar sewaktu dia masih anak dara dulu,” tutur
Ara tanpa selindung. Durra mengangguk mengerti. Dia berdiam diri seketika.Terkenang
juga nasib dirinya yang tidak langsung mengenali siapakah ibu dan ayah
kandungnya.Hanya menumpang kasih di rumah anak yatim sebelum diambil menjadi
anak angkat keluarga Puan Eliza dan Encik Razlan.
Ara
sengaja menyigung siku sahabatnya itu apabila melihat reaksi Durra yang tiba-tiba
berdiam diri. “Kenapa Durra?” soal Ara inginkan kepastian.Terasa aneh dengan
tingkah sahabatnya itu.Durra hanya menggeleng kepala.Dia melirik senyuman.
Di dalam kelas, Zahrah Alwani memang dikenali sebagai
pelajar ‘tangan seni.’ Dia adalah antara pelajar yang mempunyai bakat melukis
yang boleh dibanggakan. Bagi teman-teman sekelas, mereka memang tidak hairan
jika Ara dapat melukis dengan baik sekali. Ara pernah beberapa kali menyertai
pertandingan melukis sama ada di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri.
Pernah sekali Ara menyertai pertandingan melukis landskap peringkat Negeri Joho
rbagi kaegori Menengah Rendah. Walaupun hanya mendapat tempat ketiga, namun ia
cukup membanggakan kerana ia turut menaikkan nama sekolahnya.
Ara memang dianugerahkan bakat seni dalam melukis. Namun
begitu, dia kurang berminat dalam melukis potret wajah kerana ia lebih rumit
dan memerlukan ketelitian serta kesabaran yang cukup tinggi. Dia lebih
cenderung melukis citra pemandang alam yang mendamaikan jiwa dan perasaannya. Jika
tidak kerana tugasan PSV (Pendidikan Seni Visual) yang diberi Cikgu Hamzah,
pasti dia juga tidak punya waktu untuk meluangkan masa melukis seperti itu.Namun
sekarang dia mula menyemai cinta terhadap lukisan potret wajah.
Mengikut
kata Cikgu Hamzah, tujuannya adalah untuk mengasah bakat pelajar bagi menyertai
pertandiang melukis potret wajah-wajah pejuang kemerdekaan bersempena dengan
sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menyusul akan datang. Maka, untuk tugasan,
dia meminta agar pelajar-pelajarnya melukis potret tanpa mengira siapa subjek
yang menjadi pilihan, sama ada diri sendiri, artis mahupun sesiapa sahaja. Ara
telah memilih untuk melukis potret ibunya di kala muda belia. Dia begitu teruja.
Secara tidak langsung ia juga sebagai latihan unuk mengasah bakatnya yang masih
mentah. Oleh itu dia membuatnya dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya tampak
cantik dan menyakinkan.
Lukisan
beberapa rakan yang lain turut mendapat pujian daripada Cikgu Hamzah. “Okey,
Ara. Lepas ni awak boleh bingkaikan poret ni kat rumah. Manalah tahu, suatu
hari nanti awak punya galeri seni sendiri.” Seloroh Cikgu Hamzah. Ara pula
hanya tersenyum.
Tengahari
itu..
“Ara,
saya nak mintak tolong awak sikit boleh tak?” ujar Durra sewaktu berjalan
mengiringi langkah sahabatnya itu menuju ke perpustakaan. Pandangan Ara jatuh
pada Durra. Durra terus sahaja meluahkan hasratnya hatinya.Niatnya meminta jasa
baik Ara untuk melukis potret kedua ibu bapanya.Dia ingin menghadiahkan lukisan
potret itu bersempena ulangtahun perkahwinan mereka.
Ara
terdiam seketika. Akhirnya dia tersenyum. Dia menyatakan persetujuannya. “Baiklah.
Lagipun secara tak langsung bolehlah saya practise
tangan ni. Tapi kalau tak berapa menjadi, saya minta maaflah. Saya ni bukannya professional.
Baru sahaja nak berjinak-jinak melukis potret wajah ni,” balas Ara seraya
menguntum senyuman. Mereka berdua terus melangkah menuju ke
perpustakaan.Kebetulan Ara bertugas dan Durra pula berpuasa.
Di
waktu pulang..
“Okey,
Durra. Esok jangan lupa bawa gambar tu. In Shaa Allah, saya pasti siapkan
sebelum dateline,” ujar Ara. Di luar
pagar sekolah, Durra sempat memperkenalkan Ara dengan abangnya, Ilham yang
kebetulan menjemputnya pada hari itu.
****
ARA menetapkan
frekuensi radio yang sedikit terganggu. Dia mencari hiburan untuk santapan halwa
telinganya.Kemudian, dia mengambil posisi di tempat belajarnya.Kerja sekolahnya
sudah terhidang di atas meja, hanya menanti masa untuk disiapkan. Ara menguap
beberapa kali.Terasa mengantuk walaupun masih belum memulakan apa-apa kerja.Dia
menyelongkar sesuatu dari dalam begnya. Gambar yang diserahkan oleh Durra, ditatap
seketika.Dia tersenyum.
“Hmm.
Terasa gian pula nak melukis. Tapi, banyak pula kerja sekolah.” Gumam hatinya
sendiri. Ara mematikan niatnya.Kerja sekolah menjadi keutamaan. Dia tahu, andai
ditangguhkan pasti ia lebih membebankan. Dia juga tahu, andai dia telah mula
melukis, pasti tumpuannya tidak terkalih pada yang lain.
Setelah
disiapkan segala kerja sekolahnya, Ara mengambil buku lukisannya. Diselak
bahagian yang masih kosong. Pensil nan sebatang dan getah pamadam berjenama
‘Faber Castell’ menjadi keutamaannya. Lakaran asas menjadi titik mula. Gambar
sepasang suami isteri itu menjadi tatapan matanya.Gambar si suami yang berkaca
mata dan si isteri yang bertudung litup.Cuba dihayati wajah itu. Terasa agak
rumit untuk dipotretkan di atas kertas. Ara termangu seketika. Terfikir-fikir
akan kemampuannya. Namun dia telah berjanji dengan Durra. Rasa bersalah andai
memungkiri janji. Pasti Durra kecewa. “Belum cuba, belum tahu.Kalau tak cuba,
mana nak lihat hasilnya,” gumam Ara sendirian. Dia cuba menaikkan semangatnya
sendiri.
Ara
mula melakar.Subjek pertamanya ialah wajah si ayah.Riak wajahnya sedikit garang
mengambarkan ketegasan empunya diri. Sorotan matanya juga agak menggerunkan. Ara
terus memberi fokus.Pandangan mata dan gerakan tangannya kian seiring. Apabila
melukis gambar ayahnya Durra, dia
terkenang andai wajah yang dilukis itu adalah wajah ayahnya sendiri.Terasa
begitu asyik. Lenturan tangannya terasa mudah.Diperincikan setiap bahagian
dengan teliti.Perut jari telunjukknya kian kehitam-hitaman apabila dia
memperhalusi setiap sudut yang memerlukan pembayang.Begitu teliti dia dengan
karya seninya. Dia tidak akan berpuas hati selagi lukisannya tidak mempunyai feel untuk dihayati. Dia akan berusaha
supaya potret yang dilukis mirip dengan gambar. Andai tidak, dia akan berusaha
memperbaikinya.
Hari-hari
seterusnya…
Ara
bijak mengurus masanya. Dia akan melukis apabila terdapat kelapangan waktu.
Kerja sekolahnya pasti diurus lebih awal, tidak mahu ia mengganggu
konsentarasinya melukis. Setelah wajah si ayah siap dilukis, wajah si ibu pula
menjadi taruhan bakatnya. Dia merasa lega apabila dapat menyiapkannya sebelum dateline.
Ara
mencari-cari gambar Durratul Aini dalam album gambarnya. Hanya ada beberapa
keping dalam simpananya, iaitu gambar semasa mereka pergi keluar ke bandar. Ara
berniat untuk melukis gambar Durra dan menghadiahkan kepada temannya itu. Dia
pasti Durra akan gembira. Dia akan menyerahkannya bersama-sama tempahan potret
yang diminta Durra sebagai hadiah sebuah persahabatan.
“Hai,
Ara. Apa lagi yang dilukis tu. Khusyuk benar Mak Long tengok. Dah sembahyang ke
belum ni?” tanya Mak Long Piah tatkala melihat anak saudaranya masih tidak
berganjak sejak tadi.
“Terkejut
Ara, Mak Long. Ara dah sembahyang tadi. Ni baru aje mula nak ambil feel. Belum lukis pun lagi.”
“Lukis
gambar siapa? Kelmarin kata dah siap lukis?” ujar Mak Long Piah lagi.
“Kelmarin
tu gambar yang Durra suruh lukis. Sekarang ni, Ara nak cuba lukis gambar Durra
pula. Nak beri surprise pada dia,”
jawab Ara kembali.
Dalam kekhusyukannya melukis, dia diganggu dengan
panggilan telefon dari seseorang.Dia terkejut kerana pemanggil tersebut adalah
Ilham, abang Durra. Tujuannya ingin berkenalan dan sekadar ingin berbual kepada
teman adiknya. Ara hanya acuh tidak acuh melayan.
****
“ARA, terima kasih, ya.
Saya sayang awak sangat-sangat,” ucap Durra dengan penuh kegembiraan.Dipeluk
sahabatnya itu erat.
“Kenapa
ni Durra.Terharu saya dibuatnya. Kenapa awak gembira sangat ni,”soal Ara
mencari jawapan. Terasa pelik dengan tingkah sahabatnya.
Durra
menyeka air matanya yang gugur. “Saya gembira sangat Ara. Ayah…Ayah suka dengan
hadiah saya. Saya bahagia sangat. Awak tahu, selama ni saya sering terpinggir
dari kasih ayah. Saya tahu selama ni, ayah tak dapat terima saya. Tapi semalam,
ayah dah berubah. Awak tahu Ara, sejak kecil lagi saya tak dapat perhatian
ayah. Entahlah Ara. Mungkin selama ni saya salah anggap pada ayah. Mungkin ayah
tak tunjukkan kasih sayang dia pada saya.Semalam impian dan doa saya
termakbul.”
Ara
mengangguk mengerti.Dia tahu sahabatnya itu gembira, dan dia pasti tumpang
gembira.Hatinya terharu.Sebaknya bertandang.Tanpa disedari air matanya turut berguguran
ke pipi.Terkenang dia pada si ayah. Apabila mengenangkan Durra, dia tahu
dirinya lebih beruntung.
Jika
tidak kerana abang Ilham yang bercerita, dia pasti tidak akan tahu perihal
sahabatnya itu. Durra seorang yang pandai menyimpan rahsia. Dia sentiasa
menujukkan keceriaan dalam hidupnya, seakan tiada kesedihan yang dirasa. Hati
Ara turut menangis apabila diberitahu bahawa Durra penghidap penyakit barah
hati, penyakit sama yang meragut nyawa ibunya. Air mata Ara kembali gugur. Dia
tidak sanggup kehilangan sahabatnya itu. Namun dia tahu, ajal maut di tangan
Tuhan. Dia pastikan akan mendoakan agar sahabatnya itu segera sembuh.
Durra
adalah anak yatim piatu yang menumpang kasih di rumah kebajikan.Dirinya tiada
mengenal siapakah ayah dan ibu kandungnya.Nasib dirinya begitu sedih untuk
dikenang, kerana sejak dirinya masih bayi, di tepi tong sampahlah tempat dia
ditinggalkan. Mujurlah dirinya masih bernyawa dan dia diserahkan kepada rumah
kebajikan. Apabila dia menginjak usia lima tahun, dirinya diambil menjadi
sebahagian daripada keluarga Abang Ilham. Namun, ayah angkatnya seakan sukar
menerima dirinya.Dia sukar menerima insan kecil itu atas kemungkinan lahir dari
hubungan terlarang.Mungkin itu adalah penyebabnya.Namun, dia terpaksa akur
dengan keinginan isterinya yang telah disahkan tidak boleh mengandung lagi.Hanya
Puan Eliza dan Ilham yang menjadi penjalin kasih sayang kepada Durra.
“Durra,
saya sangat terharu dengar kisah awak. Syukurlah. Setiap manusia yang disayangi
pasti akan diuji sebelum mendapat sesuatu yang lebih baik untuk dirinya.
Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penyayang dan Dialah yang berhak mencatur takdir
hamba-hambaNya.” Ara kembali memeluk erat sahabatnya itu.Jalian kasih antara
mereka bertaut erat dan tidak mungkin dapat dipisahkan andai itu bukan kehendak
takdir.
Kelopak
mata Durra masih berbaki air mata. “Ayah dan ibu saya puji lukisan awak. Mereka
kata sentuhan tangan awak penuh dengan nilai kasih sayang. Mungkin begitu juga perasaan
ayah sewaktu saya memberikannya hadiah itu. Tak sangka hati ayah tersentuh
dengan hadiah potret itu.Terima kasih, Ara. Saya pun tak sangka awak hadiahkan untuk
saya juga.” Terang Durra. Bicaranya masih bertemankan suara yang tersekat-sekat
kerana menahan sebak. Jernih matanya menggambarkan kegembiraan hatinya saat
ini. Ara tersenyum.Sentuhan potret kasihnya membawa kepada kebahagiaan seorang
teman.
Ara
duduk di serambi sambil melempias kasih pada buku lukisannya.Tangannya pantas
melakar sesuatu.Pokok jambu air yang merendang menjadi penyeri di sisi rumahnya
menjadi subjek lukisannya.Pandangannya terganggu apabila sebuah kereta memasuki
perkarangan rumahnya.Dia terkejut kerana tetamunya itu adalah Durra dan
abangnya.
Khabar
gembira itu segera disampaikan kepada Mak Long dan Pak Long yang kebetulan ada
di rumah. Rupanya kedatangan mereka membawa kejutan untuk ulangtahun hari
lahirnya. Ara menerima gambar potret daripada Durra dan Abang Ilham.Dia
tersenyum.Gembira merantai jiwa.
“Cantik.”
Puji Ara ikhlas.
“Gambar
ni bukan saya yang lukis, Ara. Saya suruh Abang Am. Saya ni tiada bakat
melukis. Kaku.Kalau saya yang lukis, nanti awak terkejut. Rupa siapa pun saya
tak tahu.”Ujar Durra dalam tawa.Tidak tersangka oleh Ara, Abang Ilham juga
berbakat seni.
Durra
berbisik sesuatu kepada Ara. “Abang memang pandai lukis. Tetapi, dia selalu
sahaja sibuk. Tidak punya masa katanya.Tapi, apabila saya suruh lukis gambar
awak, dia terus sahaja terima tanpa banyak alasan.Saya tak tahulah kalau dia
sebenarnya suka pada awak.” Ara yang mendengar
hanya tergelak kecil.
Ilham
tidak dapat mendengar butir bicara mereka.Dia hanya menjadi pemerhati terhadap
keakraban dua orang sahabat itu, yang nyata seperti isi dengan kuku
****
“ARA, awak tak teringin
ke nak berjumpa dengan ayah kandung awak. Awak tak boleh samakan kes awak
dengan saya. Kes saya ni lain. Saya pun tak tahu mereka tu masih ada atau
tidak. Andai mereka ada, saya tak pasti sama ada saya boleh terima mereka atau
tidak. Macam awak, Mak Long awak pernah kata dia pernah jumpa ayah awak tu. Awak
juga pernah beritahu tentang naluri hati awak. Awak sendiri dapat rasakan dia
masih hidup, kan. Besar kemungkinan memang ayah awak masih ada, cuma kita tak
tahu dia ada di mana.” Bicara Durra menusuk ke cuping telinga sebelum pergi di
bawa angin bayu. Ara hanya berdiam diri. Tidak berkata-kata.Pandangannya
dilemparkan pada gulungan semangat ombak Tanjung Leman yang menghempas ke
pesisiran.Nafasnya ditarik panjang.
Sejak
sekian lama, ini barulah pertama kali dia pergi menghadap seluas lautan yang
terbentang.Dulu dia seakan fobia.Dia sering terbayangkan kerakusan ombak yang
membelah lautan telah memisahkan dirinya dari ayah.Namun tidak sekarang.
Mengapa dia perlu prejudis pada ombak dan lautan sedangkan ia juga mengikut
percaturan alam. Suatu kerugian baginya kerana selama ini tidak membuka hati
untuk menghayati dan menyelami keindahan ciptaan Tuhan ini.
Deruan
ombak adalah alunan irama bagi pantai. Tanpa ombak, pantai beralun sepi.Tanpa
pantai sebagai sandarannya, ke mana ombak ingin menghempas diri. Ombak dan
pantai tak mungkin dapat dipisahkan.
Setelah
berdiam diri agak lama, Ara mula berbicara. Wajah Durra dipandang. “Saya memang
teringin Durra. Saya sangat berarap agar ayah masih ada.Tapi, saya tidak tahu
nak cari di mana.Dari mana patut saya mula, saya pun tidak tahu.Mak Long pun
tiada simpan sebarang alamat atau gambar ayah saya.Dulu rumah kami terbakar,
tiada apa yang tinggal. Sekarang ni saya mengharapkan keajaiban sahaja, Durra.”
Ara berbicara dalam suara yang sayu.Dia kembali menghadap irama pantai.
****
Beberapa tahun kemudian..
ARA dan Durra kini
menyambung pengajian mereka. Rezeki berpihak kepada mereka berdua apabila dapat
belajar di universiti yang sama, cuma berbeza bidang pengajian. Kesibukan
belajar sedikit sebanyak mengubat penantian Ara kepada hadirnya sang ayah. Dia
selalu berdoa, andai ayahnya masih hidup, pertemukanlah mereka dan andai benar
ayahnya telah tiada, dia redha menerimanya.
Ara
kini di tahun akhir pengajiannya.Dia agak sibuk, dan destinasi pilihannya
selepas kuliah ialah perpustakaan. Dia perlu mencari rujukan untuk tesisnya.Dia
berjalan laju membelah rintik gerimis yang mula berguguran.
“Opsss..Maaf,
Kak Long.” Ujar Arman yang nyata tidak sengaja terlanggar Ara.
“Tidak
mengapa. Saya tahu awak tak sengaja,” balas Ara memaniskan bicara.Dari riak
wajah lelaki itu, Ara seperti dapat menduga sesuatu.Dia perasan budak lelaki
itu kelihatan agak kalut dan seperti mencari sesuatu.
“Err..Kak.
Boleh saya tanya? Bangunan perpustakaan di sebelah mana ya? Rasanya tadi saya
tersilap turun.” Ujarnya tersengih-sengih.
Ara
tersenyum. Dia menunjukkan arah.
Sememangnya bangunan perpustakaan mempunyai warna yang hampir sama
dengan warna bangunan fakultinya. Kadang-kala memang ada pelajar baru yang tersilap.
“Awak
pelajar baru ya?”soal Ara kembali.
“Ya.
Saya junior baru.Pelajar second intake.Baru sahaja masuk semalam.
Saya tidak biasa lagi kawasan di sini.Itu yang jadi kelam-kabut,” jawabnya
sedikit mesra.
Akhirnya
mereka menuju ke sana bersama-sama. Dapat juga dia berbual dan menunjukkan
serba sedikit kepada Arman kawasan-kawasan di universiti itu.
Sejak
hari itu mereka bersahabat. Ara tertawa sendiri apabila Arman memanggilnya
dengan gelaran Kak Long.Namun, lama-kelamaan dia sendiri sudah terbiasa.Dia
lebih selesa dengan gelaran itu apabila bersama Arman.
****
Beberapa tahun
kemudian…
HARI ini merupakan hari
bersejarah buat Zahrah Alwani dan Durratul Aini. Acara berkembar, pembukaan
galeri seni Alwani dan pelancaran novel sulung Durra, Potret Kasih bakal
berlangsung.Riak gembira wajah mereka jelas terpancar.Setelah sekian lama
merancang, kini impian yang dibina terealisasi sudah. Rata-rata mengucapkan
tahniah atas kejayaan mereka berdua. Acara yang diatur berjalan lancar. Mereka
mendedikasikan penghargaan dan kejayaan kepada insan-insan yang tersayang. Mereka
yang banyak membantu dan menyokong sehingga kejayaan itu dikecapi bersama.
Ara
mempertaruhkan pelbagai lukisan seninya untuk tatapan pengunjung termasuklah
karya yang paling disayangi, iaitu ‘Potret Kasih’. Novel Durra juga berjudul
Potret Kasih yang sengaja diilhamkan bersandarkan kisah hidup mereka berdua.Ia
berkisahkan kerinduan seorang anak mencari bapa kandung yang hilang ditelan
ombak. Bersama dengannya seorang sahabat yang sentiasa menjadi pencetus
semangat.Kebahagian akhirnya menjadi milik mereka berkat sentuhan potret kasih.
Ara
mengucap syukur tidak terhingga kerana nilai sentuhannya turut mendapat
perhatian dan penghargaan.Ada juga yang menawar harga untuk membeli hasil
seninya.Dia begitu teruja.Ara turut menerima pujian melabung dari ‘sifu’nya,
Cikgu Hamzah.Tidak tersangka lelaki itu hadir bersama keluarga memberi
sokongan.Dia sangat berterima kasih kerana bakatnya banyak diasah oleh insan
itu.Andai memiliki bakat, tetapi tidak diasah sebaik mungkin, pasti
tidakmenjadi juga.
“Tahniah,
Kak Long.” Ara tersenyum lebar tatkala bertemu muka dengan insan itu.Siapa lagi
gerangannya kalau bukan Arman, satu-satunya orang yang memanggil dengan gelaran
itu.
“Maaf,
terlambat datang. Man datang dengan ayah. Ayah teringin nak ikut sama. Nanti Man
kenalkan Kak Long dengan ayah,” ujar Arman seraya melempar pandang mencari
kelibat ayahnya di antara hadirin yang hadir.
Ara
turut melempar pandangan mencari, walaupun langsung tidak mengenali raut wajah
dan susuk tubuh insan itu.Pandangan Ara jatuh pada seorang lelaki tua yang
berkemeja batik berwarna biru. Dia tidak dapat melihat wajah itu kerana
menghadap karya ‘Potret Kasih’, iaitu nama khas yang diberi kepada lukisan potret
wajah ibunya. Potret itu adalah hasil
karya pertamanya dibangku sekolah. Potret yang dihasilkan dengan sepenuh jiwa
dan raga dan jalinan kasih sayang yang begitiu mendalam seorang anak kepada si
ratu hati.
Kelihatan
Arman menghampiri susuk tua itu. Ara yakin itulah ayah Arman.Dia menyusun
langkah merapati mereka berdua.Tangan tua itu mengelus lembut wajah yang
terlukis itu dengan sentuhan yang sukar dimengertikan.Seakan menghayati
pandangan dan riak wajahnya.Jantung Ara berdegup kencang, seakan merasakan
sesuatu.
“Liha…”
ujar lelaki itu sayu. Ara tersentak. Terkejut mendengar nama yang di sebut itu.
Begitu juga Arman. “Ayah kenal ke orang ni?” soal Arman.
“Liha.” Itulah jawapan yang kembali didengar
oleh Ara. Hatinya jadi sebak. Mana mungkin ayah Arman mengenali ibunya.Liha itu
memang panggilan ibunya.
“Pak
cik.” Panggil Ara. Pandangan mereka bertemu. “Benarkah pak cik kenal perempuan
ni. Siapa Liha itu pak cik.” Ara cuba mencungkil rahsia. Perasaannya
berdebar.Dia ingin menagih jawapan dari insan tua itu kerana mengenali Musliha,
ibunya.
Lelaki
itu terdiam seketika. Mata bundar milik Ara direnung sayu seakan menyampaikan
suara hatinya. “Musliha. Wajahnya seindah purnama. Senyumannya mendamaikan
jiwa. Matanya bersinar bak mentari pagi.” Itulah kata-kata yang keluar dari
bibir tua itu.
“Pak
cik kenal dia?”soal Ara lagi.
“Dia…Dia
ada dihati pak cik, nak. Dia pernah menjadi sebahagian dari hidup pak cik.Tetapi,
pak cik tidak tahu mengapa kami tidak bersama kini.Pak cik terkejut mengapa
wajahnya dipotretkan di sini. Anak tahu siapa yang lukis gambar ni? Kenapa dia
lukis gambar ini? Pak cik ingin jumpa dia.” Tutur bicaranya penuh pengharapan.Ia
semakin sayu dipendengaran. Kelopak mata tua miliknya kelihatan bergenang air
mata.
“Ayah..Inlah orangnya.Semua lukisan di sini dialah yang
lukis.Inilah Kak Long yang selalu Man ceritakan kepada ayah.” Arman memandang wajah
ayahnya. Begitu juga wajah Ara. Dari riak wajahnya, dia juga seakan keliru
dengan situasi yang sedang berlaku.
Nyatalah
riak wajah lelaki itu terkejut. Orang yang melukis gambar Musliha ada
bersamanya sejak tadi. “Adakah anak kenal perempuan dalam gamabar ni? Anak ini
siapa sebenarnya?” Soalan lelaki itu seakan membawa kepada sebuah solusi. Andai
kenal, apakah kaitan antara mereka.
Ara
terdiam. Jiwanya semakin sebak. Matanya mula berkaca. Seakan permata jernih
bakal gugur ke pipi. Perasaannya dapat merasakan sesuatu yang sukar
digambarkan. Benarkah…benarkah lelaki ini ayah kandungku.Nafasnya di tarik
dalam sebelum memberi jawapan.
“Ya saya kenal. Saya memang mengenali wanita
ini.Dia ada di dalam hati saya sejak dahulu dan untuk selamanya. Tidak mungkin
saya akan lupakan dia di sepanjang hayat saya. Sebab itu saya lukis gambar dia,
dan saya beri nama ‘Potret Kasih’ sebagai lambang kasih saya kepada dia.” Air
mata Ara sudah gugur. Dia tidak dapat menahan perasaan hatinya. Dia seakan yakin
siapa gerangan orang yang kini berdiri di hadapannya.
“Aaa..anak
ini….” Tutur bicara lelaki tua itu tidak bersambung.
“Saya…anak
kepada perempuan dalam gambar ini, pak cik. Saya anak Siti Musliha.” Ucap Ara
penuh emosi. Mak Long Piah sudah datang menghampiri.Bisikan suara Mak Long
menyakini hati Ara. Lelaki dihadapannya kini mempunyai tanda lahir dihujung
kening, sama seperti gambaran Mak Long Piah tentang ayahnya. Air mata Ara sudah
mula merintik gugur.
“Benarkah
kau anak Liha? Benarkah?”
Ara
mengangguk tidak menafikan. “Adakah benar kau ini anak pak cik?” Jari tuanya
yang kasar mengelus lembut pipi mulus Zahrah Alwani yang telah dibasahi air
mata. Zahrah Alwani menyerahkan cincin peninggalan arwah ibunya. Ia kembali
membawa kepada lipatan sejarah lalu.
“A..ayah.”
Ujar Ara. Air matanya jatuh tanpa empangan. “Ayah…Saya Ara, ayah. Saya anak
ayah.” Ujar Ara lagi dalam sayup-sayup suara tangisan.Naluri hatinya
membenarkan keyakinan itu.Tanda lahir di hujung kening lelaki itu juga menjadi
satu bukti, mengukuhkan keyakinannya.
“Aku
yakin kau anak Liha, nak.” Lelaki itu lantas memeluk erat gadis yang diyakini
adalah darah dagingnya sendiri.Cincin peninggalan Musliha yang ditunjukkan Ara
memaksa dia tidak menafikan hubungan yang terjalin antara mereka.Tautan kasih
terikat erat.Simpulan silaturrahim kembali bersatu.
“Maafkan
ayah,nak..Maafkan ayah..”Ucapnya ayahnya berulang kali. Air mata mereka terus
gugur.Pertemuan kasih itu turut mengundang sebak bagi mereka yang hadir di
situ.Jejak kasih dua beranak itu berlangsung penuh emosi.Ciuman dan pelukan
kasih antara mereka, melempias kasih dan kerinduan yang tidak terucap.
“Ayah…Kak
Long.” Hanya itu yang mampu di ucapkan oleh Arman.Kelopak matanya turut
bergenang air mata. Dia sendiri tidak percaya. Apakah yang berlaku di
hadapannya kini adalah ilusi atau realiti?Seorang perempuan yang gemar dipanggil
Kak Long, nyatalah saudaranya sendiri.Kehadiran dirinya pada hari ini bersama
ayahnya telah membawa kepada pertemuan yang tidak diduga.
“Ya
Allah.HambaMu ini mengucapkan syukur. Dikau makbulkan doa hambaMu ini. Kami
bersatu kembali atas limpah kasih sayangMu, Maha hebat rencanaMu, Ya
Allah...Sesungguhnya KAU berhak ke atas setiap hamba-hambaMu.
Pertemuan
jejak kasih itu menjadi detik bahagia di dalam hidup Ara.Ternyata pertemuan itu
membawanya mengenali seisi keluarga yang baru.Ibu tirinya, Arman, dan dua orang
lagi adiknya.Dia bersyukur kerana kehadirannya diterima dengan hati terbuka.
****
“HAI, KAK LONG. Jauhnya
menung.Teringatkan siapa tu? Orang jauh, ya?”usik Durra apabila terlihat Ara
tersenyum sendiri.
“Kak
Long? Awak panggil saya Kak Long. Awak buang tebiat ke Durra?” balas Ara. Namun
dia tidak marah kerana tahu Durra hanya bergurau.
“Sedap
pula bila dengar si Arman tu panggil awak, Kak Long. Saya pun teringin nak
panggil awak macam tu. Salah ke?”Durra membuat muka. Ara tertawa.
“Terasa
pelik bila awak panggil saya macam tu. Saya ni sebaya awak. Bila awak panggil saya
Kak Long, terasa tua pula. Pelik tahu tak.” Balas Ara sambil menepuk lembut
pipi temannya itu.
“Tapi,
bila Ara kahwin dengan abang, memang patut pun Durra panggil Ara, Kak Long.”
Celah satu suara dari belakang. Ara spontan menoleh kepada empunya suara.Dia
terkejut.Wajahnya terus jadi merah padam.Durra sudah tertawa.
“Zahrah
Alwani. Saya, Zaril Ilham ingin melamar awak menjadi suri hidup saya dan ini
adalah ‘Potret Kekasih’ bukti cinta saya,” ujar Ilham lancar. Seakan skrip itu
telah lama disimpan dalam kotak fikirannya.Lukisan potret ittu diberikan kepada
Ara. Ara tertunduk tersipu-sipu malu.
“Setuju
ajelah, Kak Long. Jangan hampakan hati orang. Ayah memang restu hubungan kamu
berdua. Nanti bolehlah ayah timang cucu pula.”
Bicara Pak cik Hamid mengundang tawa seisi keluarga.Muka Zahrah Alwani
merona merah.Dia tersenyum bahagia.
“Tahniah untuk awak Kak Long.” Usik Durra
berteman tawanya.
“Epp..Awak
ni Durra..”
“Tak
payahlah nak malu-malu Ara..”
Lukisan
dan hati punya rantaian. Lukisan tampak hidup apabila ia dilukis setulus hati.
Setiap yang memahami pasti dapat menterjemahkan perasaan hati si pelukis di
dalam lukisan yang dihasilkan.Potret Kasih merungkai cinta dan kasih
sayang.Nilailah ia dengan sejernih pandangan setulus hati nurani, bukan hanya
dengan pandangan mata kasar yang hanya melirik sepi.
TAMAT
No comments:
Post a Comment