Saturday 21 November 2020

BAB 9 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



“AWAK ni ke budak yang nama Fatehah tu?” Lontaran suara Iftitah kedengaran tegang. Tenungan tajam matanya memang tunjuk rasa tidak puas hati. Angin marah seakan menguasai diri. Namun hakikatnya sewaktu Fatehah masuk ke bilik pejabatnya tadi perasaannya berdebar tak tentu pasal. Tak tahu kenapa. Tetapi, dia cuba abaikan saja.

Err..Ya saya, Encik Iftitah. Saya Fatehah.” Fatehah menjawab sambil tegak berdiri ala-ala menerima arahan ketika perbarisan kawad. Tergagap-gagap juga dia jadinya apabila terpaksa berhadapan dengan lelaki itu. Nampaknya inilah kali kedua dia masuk ke bilik itu.

Tatkala Tasya datang memanggilnya tadi dia sudah tak senang duduk. Mengapa lelaki itu memanggilnya? Apakah kesalahannya?

 “Ada hal apa ya Cik Tasya saya kena panggil?” sempat juga Fatehah bertanya tatkala wanita itu datang ke mejanya. Manalah tahu dia boleh bersedia lebih awal jika di soal jawab.

I don’t know. Sendiri buat, sendirilah tanggung. Dah, pergi. Karang I pula yang kena.” Hanya itu yang dijawab Cik Tasya sebelum berlalu meninggalkan dirinya terkontang-kanting. Apa yang pasti dia terperasan jelingan dan senyum sinis wanita itu.

Fatehah kini tundukkan wajah. Tidak mampu rasanya nak terus mengangkat kepala menghadap wajah kacak yang masam mencuka itu. Debar di dada kini sangat menyeksakan. Tubuh pula rasa seram sejuk. Dia masih tidak tahu alasan apa yang membawanya ke sini. Berkenaan laporan yang dia buat kah? Kalau silap, memang terpaksalah dia menerima teguran daripada lelaki itu.

Fatehah tarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak mahu lelaki itu melihatnya gelabah. Apa yang pasti kedua-dua telapak tanganya sudah rasa berpeluh.

 “Awak tahu sebab apa awak kena panggil ke sini?” Iftitah tetap pamer gaya lagaknya. Tangan bersilang ke dada sambal menyandar di kerusi empuknya dengan gaya megah.

Fatehah menggeleng.

“Boleh awak jawab pasal kertas ni?”

Kertas ronyok berwarna merah jambu kini dicampak di atas meja di hadapan Fatehah. Fatehah tersentak. Lalu tanpa mengerti akan apa yang sebenarnya berlaku, dia mendekati meja itu. Mengambil kertas yang telah ronyok itu lalu dibaca isi tulisannya. Ia hanya dibaca di dalam hati. Matanya terus membulat.

“Saya nak awak baca apa yang tertulis atas kertas tu.”

Fatehah telan liur. Wajah Iftitah dipandang.

“Tengok saya kenapa? Saya kata baca!”

Fatehah sedikit terkejut apabila dijerkah begitu.

“Baca!” Iftitah menghentak meja.

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Terus laju Fatehah membaca. Namun perlahan sahaja suaranya.

“Kuat sikit!”

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Kini suara Fatehah lebih kuat berbanding tadi.

One more! Baca sambil pandang saya.”

Gulpp! Rasa kering terus tekak Fatehah mendengar arahan yang tak masuk akal itu. “Saya..Saya..” Memang rasa tak terkeluar suara apabila memandang wajah yang mencuka itu. Tangan pula tu bersilang ke dada.

“Awak dengar tak arahan saya!” Sekali lagi suara tu menerjah tajam ke pendengaran.

“Ya..Ya..Saya dengar.” Fatehah kemudiannya membetulkan sedikit kedudukan cermin mata di puncak hidung. Nafasnya ditarik dalam cuba mencari sedikit kelegaan. Seperti yang diarah, terpaksa juga dia mengulang baca ayat yang tertulis sambil anak matanya memandang wajah ketat dan tegang di hadapannya itu. Ternyata itu bukanlah sesuatu yang mudah baginya.

“Saya.. suka awak, Encik Iftitah.” Ton suara Fatehah lembut sahaja.

Iftitah memandang balas wajah Fatehah.  Fatehah pula terus tertunduk memandang lantai.

“Saya nak cakap ni, tolong padang saya!”

Mendengar suara itu cepat-cepat Fatehah angkat kembali wajah memandang empunya diri.

“Sekarang ni saya nak awak jelaskan apa tujuan sebenar awak tulis memo tu dan beri kepada saya! Awak nak tackle hati saya ke?” Tenungan mata Iftitah menyambar mata bundar di sebalik cermin mata itu. Fatehah lantas menggeleng.

“Jawab dengan suara!”

“Maaf, Encik Iftitah. Ni bukan saya yang tulis. Saya tak tahu apa-apa.” Sedaya upaya Fatehah bersuara cuba memberi penjelasan.

“Jangan nak menipu!” Iftitah sudah tepuk meja. Berdentum juga bunyinya. Fatehah agak terperanjat sehingga memaksa bahunya terangkat sedikit.

“Saya..Saya cakap yang betul Encik Iftitah. Ni bukan tulisan saya. Nampak hampir sama, tapi bukan saya yang tulis. Tulisan saya tak bulat-bulat sangat macam ni.” Berani juga Fatehah menjawab walau dalam takut-takut. Sememangnya bentuk tulisan yang tertulis itu berbentuk sedikit bulat. Tidak sama seperti tulisannya.

“Berani betul awak menjawab depan saya ya!” Anak mata Iftitah kian mencerlung memandang wajah Fatehah.

“Saya tak bermaksud melawan encik. Saya cakap yang benar. Lagipun saya memang tak suka dekat encik. Takkan saya nak tulis macam ni. Sumpah!” Fatehah tunjuk keberanian sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu, bukti dia bersumpah.

Jadi, awak tak suka saya?” Timbul juga kerutan di dahi lelaki itu.

“Tak.” Fatehah menjawab sambil menggeleng kepala.

Iftitah jadi terdiam sambil hembus nafas kasar. Pincingan anak matanya masih merenung wajah si gadis yang bercermin mata di hadapannya itu.

“Sebab apa awak tak suka saya?”

Kini giliran Fatehah pula terdiam. Terkelu untuk menjawab soalan itu.

“Saya tanya sebab apa awak tak suka saya?” ulang Iftitah lagi dalam jerkahan suaranya.

Fatehah terpaksa tarik nafas lagi. Kali ini lebih dalam.

“Jawab!”

“Dia orang kata encik ni garang.” Keluar juga ayat dari mulut Fatehah. Jujur dan berani.

“Garang? Saya ni garang ke?” Renungan tajam Iftitah masih jatuh pada seraut wajah cuak Fatehah.

Fatehah jongket bahu.

Jadi, awak dengar orang lain cakap saya garang awak pun tak suka sayalah.”

Fatehah diam lagi. Tak reti nak menjawab. Hanya terpaksa telan liur sendiri sambil kepala kembali tertunduk menekur lantai. Sedih rasa hati. Apalah nasib. Baru seminggu masuk kerja, dah kena marah-marah dengan bos sendiri. Rasa nak menitik juga air matanya saat ini. Namun ia ditahan sahaja. Dia tidak mahu dilihat cenggeng oleh lelaki itu.

Suasana jadi sepi.

Iftitah hela nafas kasar. Ditenangkan diri seketika. Kemudian dia mengambil kertas memo pelbagai warna di dalam laci mejanya. Dia meleraikan bahagian yang bewarna merah jambu dan ditolak ke hadapan Fatehah. Fatehah hanya memandang. Keliru.

 Iftitah kemudian meneliti setiap inci tulisan yang ditulis Fatehah.

Hurmm.. Rasanya ada satu lagi yang saya nak awak tulis atas kertas ni.” Kesemua kertas bewarna itu kembali ditolak ke hadapan Fatehah. “Saya nak awak tulis…Hastag nama awak. Tak kisahlah nak tulis nama panjang ke…nama pendek ke…Pastikan awak tulis di setiap helaian kertas. Itu aje. Tak susah kan?”

Fatehah sudah telan liur. Nak kena tulis lagi ke? Aduhai. Kenapalah tak cakap awal-awal tadi. Kan senang. Tak jadi dua kali kerja.

“Kenapa? Ada sebarang bantahan ke, Cik Fatehah?” Iftitah menyoal sambil menjungkit kening.

Fatehah diam. Malas untuk memanjangkan kata. Dia akur saja dengan arahan itu. Pen yang berada di atas meja itu kembali diambil dan tangannya mula menulis seperti yang dikehendaki. Apabila dibaca kembali apa yang telah ditulis dia terasa bulu romanya meremang sendiri. Sebabnya ada nama dia dia bawa ayat itu.

 

SAYA SUKA AWAK, ENCIK IFTITAH

#Teha

 

‘Ya ampunnn…Macam betul-betul terasa aku yang kasi memo cinta ni pada dia. Dia ni pun satu. Apa motif suruh tulis nama dekat bawah tu pula.’ Lagilah bila part lirik yang tersesat satu tu.

 

JANGAN PISAHKAN AKU DAN DIA

TUHAN TOLONGLAH KU CINTA ENCIK IFTITAH

#Teha

 

Ah, dengki betullah dia ni!

Setelah selesai, Fatehah menyerahkan kesemua helaian kertas itu kepada empunya diri.

Lelaki itu melihat setiap helaian secara rawak sahaja.

So, Teha ni nama manja awak? Hmm..Nice.” Sempat dia memuji. Rasanya nama panggilan itu memang comel pun. “Confirm awak dah tulis semua?”

“Ya. Tapi apa tujuan encik suruh saya tulis nama saya? Saya tak bersalah tau dalam hal ni.” Fatehah masih mempertahankan dirinya.

“Rasanya awak tak perlu persoalkan tindakan saya ni. Lagipun awak dah tulis banyak-banyak tu tak rasa membazir ke bila tak letak nama awak. Sekurang-kurangnya saya tahulah semua ni daripada awak.”

Fatehah berkerut dahi. Keliru. Opss..Mungkin saja Encik Iftitah suruh tulis nama tu untuk bezakan mana yang dia tulis dengan suspek seterusnya. Boleh jadi macam tu kut. Tiba-tiba Fatehah berfikir sebegitu. Harapnya macam itulah.

 “Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dululah encik.”

“Okey. Tapi ingat. Apa yang berlaku di dalam bilik ini, dan apa hukuman awak terima ini adalah rahsia. Kunci mulut awak. Kalau orang lain tanya, cakap aje saya tegur laporan awak. Jangan nak buka apa-apa cerita. Sebab kes ni dalam siasatan. Kalau dia orang tahu, siaplah awak!” Iftitah kembali tujuk ketegasannya.

Fatehah mengangguk. Dia sangat berharap agar lelaki itu mampu menyiasat siapakah dalang di sebalik apa yang berlaku. Kalaulah dia tahu siapa yang buat angkara, pastinya diganyang-ganyang orang tu sampai lumat. Tak pun tomoi aje sampai pengsan. Puas hati!

Selepas dia bangkit dari kerusi dan melangkah pergi, Fatehah tiba-tiba menghentikan langkah dan kembali berpaling wajah mengadap lelaki itu. Dia ingin berbicara sesuatu.

Err..encik…”

“Ya. Kenapa?” Tangan Iftitah masih bersilang di dada menghadap empunya diri.

“Maaf ya fasal termelatah abang kau hijau hari tu.”

Tenungan tajam Iftitah kembali tepat menikam ke wajah Fatehah. Fatehah cepat-cepat mengatur langkah pergi. Ah, lantaklah. Janji dah minta maaf untuk kesekian kalinya. 

            “Nanti!”

        Terhenti terus langkah Fatehah apabila suara itu tepat menyapa gegendang telinga. Dia kembali pusingkan tubuh.

            “Ya, encik.”

Iftitah kekal memerhatikan gadis itu untuk seketika sambil mengelus jambang nipisnya.

          “Saya terima permohonan maaf awak tu. Tapi ada syarat.”

            “Err..Apa syarat tu encik?”

“Saya nak awak bancuhkan kopi untuk saya. Perlu diingat. Saya tak nak kopi bunuh orang yang macam awak bancuh hari tu.” Lelaki itu berbicara sinis.

         Fatehah telan liur. Nampaknya lelaki itu sudah tahu bahawa dia adalah gadis pembancuh kopi itu.

            “Baik. Ada apa-apa lagi encik?”

            “No.”

           Fatehah terus keluar dari bilik itu dan menuju ke pantri. Sejak kes hari tu banyak pula stok kopi tu di kabinet almari. Jadi dia bancuh saja. Lalu dibawa kepada Kak Nori yang berada di mejanya.

       “Kak..Minta tolong ya hantar kepada Encik Iftitah. Terima kasih.”

           Memang taklah dia nak masuk bilik tu lagi. Abang Jambang Hensem berlagak. Malas nak layan. Huh! Benci! Tak jadi dah nak suka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment