Friday, 16 August 2013

Cerpen - Nilai Cintamu



SEBUAH kereta Proton Preve telah berhenti betul-betul di hadapan Ainan. Ainan terkejut. Dia berhenti menyapu sampah. Peluh yang jatuh dilap dengan hujung lengan baju kurungnya.Dia tidak berganjak dari tempatnya sambil menanti siapakah gerangan orang yang memandu kereta terbaru keluaran negara Malaysia itu.
Seseorang telah keluar dari kereta itu, lalu menapak langkah menghampiri Ainan yang masih setia memegang penyapu lidinya.
“Assalamualaikum...” Sapa lelaki itu.
“Waalaikumussalam…” Jawab Ainan lembut. Namun, dia masih tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu.
“Kalau boleh saya tahu, awak ni Ainan Zafira ke?”
“Hmm..ye.Macam mana encik tahu nama saya? Encik  ni siapa?”
Lelaki itu hanya tersenyum. Dia tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya memperkenalkan namanya. “Saya, Amsyar.”
Ainan mengangguk. “Err..Ada apa encik Amsyar cari saya?”Ainan meminta jawapan.
“Tak perlu berencik..encik dengan saya. Panggil aje abang Syar. Sebenarnya, abang datang sini atas permintaan abang Amran Omar.”
“Abang Amran Omar??” Ainan terdiam. Siapa Amran Omar tu? Dia berbisik menyoal diri sendiri.
“Ye..Dia minta abang jemput Ainan untuk berbuka puasa bersama di rumah hari ni.”
Bicara lelaki itu nyata mengejutkan Ainan Zafira.“Hah??Tapi,kenapa?”Ainan kehairanan.
“Rasanya, Ainan kena bertemu dia dahulu baru Ainan dapat jawapannya.” Amsyar  menguntum senyum.
“Err..Maaflah, bang. Rasanya, saya tak dapat penuhi jemputan tu. Keadaan kesihatan ibu saya tidak mengizinkan.Lagi pula, saya tak kenal siapa dia abang Amran Omar tu. “
“Oh, ye ke.Tak mengapalah kalau macam tu. Abang akan sampaikan berita ni kepada abang Amran.”
“Abang pun..saya tak kenal siapa sebenarnya.” Ainan menggaru tengkuknya. Pelik juga dengan kedatangan lelaki itu ke rumahnya.
“Abang ni, abang Syarlah. Hamba Allah juga.” Lelaki itu tersenyum lagi. “Hmm..Kalau Ainan tak keberatan, boleh abang tengok ibu Ainan?”
Ainan serba salah. Namun akhirnya dia mengangguk. Jarang ada orang yang tidak dikenali berkunjung  ke rumahnya. Lagipula, dia malu akan keadaan rumahnya yang diibaratkan seperti pondok buruk. “Tapi, Ainan minta maaf sebab keadaan rumah Ainan mungkin tidak selesa untuk abang.”
“Tak mengapa Ainan.” Amsyar mengiringi langkah Ainan. Tingkah gadis kecil molek itu sungguh bersopan.
Amsyar melangkah masuk ke rumah itu. Walaupun ia serba kekuranagan, namun ada sesuatu yang membuatkan Amsyar teruja.
“Wah! Banyaknya bendera.”
“Bendera kita. Lambang negara kita. Kita kenalah jaga bendera kita sebagai bukti kita sayangkan negara kita.”Ujar Ainan seraya tersenyum.
Ainan sudah mendapatkan ibunya.“Sejak kebelakangan ni ibu sakit teruk.Tak larat nak bangun.”
“Ainan tak bawa ibu pergi hospital ke?”tanya Amsyar sambil melihat ibu Ainan yang sudah terlena.
“Pernah juga bawa.Tapi, ibu disahkan menghidap barah usus. Ainan tak ada duit nak bayar perubatan ibu. Sekarang ni, kesihatan ibu semakin teruk. ”
“Hmm..Kalau macam tu biar abang bawa ibu Ainan pergi hospital. Ainan jangan risau pasal kos perubatan. Semuanya akan ditanggung.”
“Tapi, bang….Nanti Ainan tak mampu nak bayar balik.”
“Jangan risau, okey. Jangan fikirkan pasal duit. Apa yang penting kesihatan dan keselamatan ibu Ainan.” Lembut Amsyar berbicara.
Ainan akhirnya mengangguk. Dia rasa berterima kasih. Dia sebenarnya rasa terharu. Ada juga orang yang sudi menghulurkan bantuan saat ini. Tika di bulan rahmat Ramadahan Al-Mubarak. Ye..Bulan yang mulia.
‘Ya Allah..Balaslah segala kebaikan abang ini yang telah menolong kami. Sesungguhnya Kaulah Tuhan Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.’Ainan menyeka air matanya yang gugur. Dia terharu.
*****
“AINAN…Sementara ibu Ainan berada di hospital, Ainan duduklah dengan abang. Ainan jangan risau. Abang bukan duduk sorang. Mama dan Papa abang pun ada sama. Nanti Ainan boleh kenal abang Amran juga.”
“Tapi, bang…Ainan nak jaga ibu kat sini.” Sayu suara Ainan tika ini. Tangan ibunya dipegang kejap-kejap.
“Ainan….Ainan juga perlu jaga kesihatan. Ainan jangan risau. Kat sini ada jururawat yang akan jaga ibu Ainan.Kita balik dulu. Esok, Ainan boleh datang tengok ibu lagi.” Pujuk Amsyar.
Ainan akhirnya mengangguk.
*****
AINAN berasa teruja apabila kenderaan yang dipandu Amsyar sudah masuk ke perkarangan sebuah rumah banglo mewah. Dengan rasa takut-takut, dia membuntuti juga langkah Amsyar. Dia merasakan dirinya tidak layak untuk berada di situ.
Ainan diperkenalkan dengan Puan Asni dan Encik Harun Kassim, iaitu Mama dan Papa Amsyar. Puan Asni memeluk erat gadis yang bertubuh kecil molek itu. Sayu dia melihat wajah gadis itu setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Amsyar.
Tidak lama kemudian, hadir seseorang mendapatkan mereka di ruang tamu.
“Ainan…Ni abang kenalkan, abang Amran Omar,” ujar Amsyar seraya memperkenalkan akan lelaki itu. Empunya diri yang menjadi tanda tanya Ainan sebelum ini.Wajah Amran Omar dipandang.Pada padangan Ainan, lelaki itu berada dalam lingkungan umur awal 30-an.
Amran Omar membalas pandang wajah itu.
Ainan berasa agak takut-takut. Namun dia cuba untuk bersikap tenang.
“Ainan…Ainan takut dengan abang ke?” soal Amran Omar seraya tersenyum melihat tingkah Ainan. Mungkin, Ainan takut melihat wajahnya.
Ainan hanya mendiam diri.
“Ainan jangan risau pasal kos perubatan ibu Ainan ye. Abang akan tanggung semua,” ujar Amran Omar lembut.
Ainan masih tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu yang sebenar.Mengapa lelaki itu bermurah hati untuk membantunya. Ada sebab, kah? Atau…itu sifat semulajadinya yang pemurah. “Terima kasih, encik.” Ucap Ainan perlahan.
“Janganlah panggil encik. Panggil abang ajelah ye. Macam panggil abang Syar. Abang ni pun muda lagi. Belum kahwin pun. Tak ada calon lagi.” Amran Omar berseloroh. Sememangnya dia masih bujang.
Ainan memandang Amsyar. Amsyar di sebelah sudah tersenyum.
“Hmm..Kenapa Ainan berhenti sekolah ye?” soal Amran Omar.
Ainan nyata terkejut. Bagaimana lelaki itu tahu tentang dirinya. Dia terdiam sejenak sebelum bersuara.
“Ainan…nak jaga ibu.Ibu sakit.Ibu dah tak larat nak bergerak. Jadi, Ainan buat keputusan untuk jaga ibu. Ainan memang sedih sebab terpaksa berhenti sekolah.Tapi, keutamaan Ainan adalah ibu.”
“Ayah Ainan…”
Ainan menggeleng.“Ayah Ainan dah lama meringkuk di penjara.”Suara Ainan jadi sayu. Dia sedih ayahnya terlibat dalam sindiket pengedaran dadah. Dadah yang merosakkan anak bangsa Malaysia yang merdeka.
Amran Omar dan Amsyar mengangguk.Mengerti.
“Kalau ada orang yang jaga ibu Ainan, Ainan akan bersekolah semula ke?”
“Ainan memang nak, tapi…Ainan nak jaga ibu.”
“Tapi, Ainan juga ada cita-cita, kan. Ainan nak didik anak bangsa supaya jadi insan berguna, kan.”
Ainan mengangguk. Bagaimana lelaki itu juga boleh mengetahui akan cita-citanya itu. Memang dia ingin menjadi seorang guru. Guru yang mendidik anak bangsa.
“Ainan jangan risau. Abang akan carikan orang untuk jaga ibu Ainan.  Apa yang penting, Ainan bersekolah semula.  Abang tahu Ainan sayang ibu. Tapi, Ainan juga sayangkan anak bangsa Ainan, kan.  Abang tahu Ainan hidup susah. Tapi, ilmu itu juga penting. Ainan kena belajar.Kalau tak, bagaimana Ainan nak capai cita-cita Ainan.”
“Ainan tahu…Tapi…”
“Untuk berjaya kita perlu berkorban, Ainan.”
“Kenapa abang nak tolong Ainan. Sedangkan Ainan bukan siapa-siapa. Rasanya ada orang yang lebih tidak bernasib baik dari Ainan.”
“Ainan janganlah fikir macam tu. Ainan anggaplah ini rezeki dari Allah untuk Ainan.”
Ainan hanya mampu memandang lelaki di hadapannya itu.
“Ainan….sebenarnya Ainan banyak mengingatkan abang pada arwah Nissa. Nissa begitu istimewa bagi abang,” ujar Amran Omar.
Ainan nyata tidak mengerti.
Amsyar kemudian bangun dan mengambil beberapa keping  gambar. Ia diberikan kepada Ainan.
Ainan melihat gambar-gambar itu. Dia nyata terkejut. Itu adalah gambarnya. Gambarnya sedang mengutip ‘Jalur Gemilang’ yang terbiar di tanah.  Gambarnya yang sedang berusaha mendirikan sebatang tiang kayu ‘Jalur Gemilang’ yang tumbang di tepi jalan, serta gambarnya yang sedang membersihkan ‘Jalur Gemilang’ yang kotor terkena lumpur. Semua itu adalah gambarnya.
Ainan memandang Amran Omar dan Amsyar. Dia menggeleng. Langsung tidak mengerti. Mengapa mereka berdua itu menyimpan gambar-gambarnya. Bilakah waktunya mereka mengambil gambar-gambar itu. Ainan keliru.
“Abang dapat rasa semangat Ainan...Cinta Ainan…dan kasih Ainan. Sebab tu abang ikhlas nak bantu Ainan.”
Ainan terdiam.
“Bila melihat Ainan, abang teringatkan Nissa. Dia juga seperti Ainan. Punya rasa semangat, kasih dan cinta yang tulus sehingga hati abang tersentuh.”
******
Imbauan kisah lalu…..
NISSA sedang menyelongkar tong sampah. Bersama-samanya ada sebuah karung plastik. Dia berusaha mencari tin-tin kosong untuk dijual. Setelah penat, dia duduk berehat seketika. Peluhnya yang gugur dilap dengan lengan baju. Bajunya dikibas-kibas agar aliran udara melaluinya memberi rasa nyaman. Setelah itu, dia kembali menyambung kerjanya. Itulah rezekinya.Dia mengharapkan agar banyak tin kosong dapat dikumpulkan untuk dijual.
Dia berpindah ke tempat lain. Dia berjalan sambil membawa karung plastiknya.Tin-tin kosong terus dicari.Tiba-tiba, anak matanya terpandangkan sesuatu di bawah bungkusan karung sampah hitam besar di tepi tong sampah. Dia akhirnya bersusah-payah mengalihkan karung sampah yang agak berat kandungannya itu. Dia terkejut. Apa yang dilihat itu adalah sebatang bendera Malaysia kecil yang sudah kotor warnanya  terlekat tanah.
“Kenapa dia orang buang bendera ni. Ni,kan bendera kita.” Nissa akhirnya mengambil dan membersikan sisa-sisa kotoran tanah yang sudah melekat pada bendera itu. Dikibar-kibarkan bendera itu.
Bendera berkibar di angkasa..
Lambang negara gagah..

Dinyanyikan bait lagu itu penuh semangat. Dia tersenyum gembira. Rasa puas di hati. Kerjanya untuk mencari tin terhenti di situ. Dia berjalan kaki pulang ke rumah.Tangan kirinya membawa karung tin yang telah dikumpul, manakala tangan kanannya setia mengibarkan bendera kecil yang dijumpai tadi.
Jalur gemilang di bawah naunganmu..
Jalur gemilang kami semua bersatu….

Lagu ‘Jalur Gemilang’ pula menjadi mainan di bibirnya.

Dalam pada masa yang sama, ada seseorang telah merakamkan peristiwa itu.

“Adik…” Panggil seseorang.
Nissa menghentikan langkah lalu memusingkan badan melihat gerangan orang yang memanggilnya. Seorang lelaki berbaju putih berseluar jeans biru kian menapak menghampirinya. Di tangan lelaki itu ada sebuah kamera perakam video.
“Hmm…Ada apa bang?” Soal Nissa.
“Hmm..Boleh abang tahu, nama adik ni siapa ye?”
“Nissa.” Jawab Nissa pendek. Dia melihat tingkah lelaki itu bersama perakam video di tangnnya.
“Abang buat apa tu?” Nissa sekadar bertanya.
“Hmm..Abang nak rakam gambar Nissa.” Jawab lelaki itu seraya tersenyum.
Nissa tersenyum sambil mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di tangannya. Dia memandang kamera perakam video milik lelaki itu. Agak teruja  sebenarnya.
“Boleh tak Nissa nyanyi lagu ‘Jalur Gemilang’ tadi tu. Lepas tu kibarkan bendera ni. Abang nak rakam ni. Boleh, kan?”
Nissa mengangguk.Dia kemudian bernyanyi penuh semangat sambil mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di tangannya.Nampaknya dia menghafal lirik lagu tersebut.
Lelaki itu tersenyum melihat telatah Nissa.
“Cita-cita Nissa bila dah besar nak jadi apa?”Lelaki itu terus bertanya sambil merakam perbualannya dengan Nissa.
“Pembawa Jalur Gemilang.”Jawab Nissa bangga.
Lelaki itu tertawa. Pelik dengan jawapan anak kecil itu. Kebanyakan budak apabila ditanya soalan seperti itu jawapannya sudah pasti ingin menjadi tentera, cikgu, doktor, jurutera dan sebagainya.Nampaknya Nissa ada jawapannya yang tersendiri.
“Hmm..Nissa nak bawa Jalur Gemilang pergi mana?”
Nissa tersenyum. “Seluruh dunia. Nanti bendera kita berkibar. Cantik..” Nissa menggayakan tangannya. Menggambarkan ia adalah dunia yang besar.
“Seluruh dunia tu kat mana?”
“Banyak tempatlah. Hmm..Gunung Everest…Kutub Utara…Hmm…Dekat  angkasa…” Nissa begitu bangga memberi jawapan.
“Bijaknya Nissa. Pasti Nissa suka membaca, kan?”
Nissa mengangguk.
“Nissa umur berapa tahun?”Soal lelaki itu lagi.
“Sepuluh tahun.” Nissa memberitahu sambil memandang wajah lelaki di hadapannya itu.
“Sepuluh tahun? Owh...Selalu Nissa pergi sekolah naik apa?”
“Nissa tak sekolah dah.”
“Tak sekolah??”Lelaki itu agak terkejut.
Nissa mengangguk.
“Kenapa?”
Nissa tertunduk.Kemudian dia bersuara.“Nissa tak ada duit. Ibu sakit.”
“Owh..Kasihannya.Rumah Nissa dekat mana? Boleh abang pergi rumah Nissa? Boleh abang tengok ibu Nissa sekali.”
Nissa mengangguk dan membenarkan lelaki itu mengiringi langkahnya.Nissa kembali memikul karung tin yang telah dikumpul, manakala tangan kanannya setia bersama bendera kecil yang dijumpai tadi.
“Err..Nissa. Abang nak tanya boleh?”
Nissa memandang.
“Err…Nissa buat apa tadi dekat tempat sampah tu?”
“Nissa cari tin kosong nak jual. Tapi tadi baru jumpa sikit. Ni,haa..Yang Nissa bawa ni.” Nissa tersenyum.
Lelaki itu memerhatikan pakaian Nissa. Nissa hanya memakai sehelai baju t-shirt buruk bewarna merah. Seluar pula hanya separas betis. Juga sudah lusuh warnanya.Tersentuh hatinya.Nissa kemudian mengelap peluhnya yang jatuh dengan hujung baju. Kasihannya.
Lelaki itu kemudian  mengeluarkan sehelai sapu tangan. Dia menghulurkan pada anak kecil itu.
“Tak apa, bang.Tangan Nissa kotor. Nanti kotor pulak sapu tangan abang tu.”
Lelaki itu terdiam.“Abang lapkan peluh kat dahi Nissa tu, boleh?”
Nissa menggeleng.Dia terus mengesat peluh itu dengan hujung bajunya.
“Sejak bila Nissa tak pergi sekolah?”Lelaki itu bertanya.
“Dah..hmm…sejak awal masuk sekolah hari tu. Dulu Nissa sekolah.Tapi ibu selalu sakit.Tak ada siapa nak jaga. Ibu tak boleh kerja. Jadi Nissa tolong ibu. Tapi, sebenarnya…Nissa memang nak pergi sekolah. Cuma…Nissa kasihankan ibu.” Riak wajahnya menjadi sedih.
Hati lelaki itu terusik sebak.‘Kasihannya anak ini.’
Nissa terus berjalan sambil mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di tangannya.
Merahmu bara semangat waja…
Putihmu bersih budi pekerti..
Kuning berdaulat payung negara..
Biru perpaduan kita semua…

Gembira suara Nissa menyanyikan bait lagu itu. Mungkin dengan menyanyi begitu dia memujuk hatinya sendiri.
Lelaki itu menitiskan air mata. Namun, segera diseka.Dia terus merakam tingkah anak kecil yang bernama Nissa itu. Begitu anak ini mempunyai  semangat patriotik yang tinggi dalam jiwanya. Dia sendiri tidak tahu mengapa tingkah dan cerita Nissa terasa begitu menyentuh jiwa sensitifnya.
“Nissa…Nissa nyanyi lagu apa tu?”Lelaki itu  sekadar bertanya.
“Lagu Jalur Gemilang.”Jawab Nissa pendek. Dia juga tersenyum. Bait lagu itu diulang lagi.
*****
AMRAN OMAR kini sudah berada di hadapan rumah Nissa. Nyata dia tekejut. Inikah tempat tinggal  Nissa. Amran Omar kembali mengalirkan air mata.Bagaimana keluarga Nissa betah tinggal di pondok seperti ini. Pondok yang terlalu uzur dan menanti waktu untuk rebah ke bumi. Sudahlah jauh di ceruk kampung, berdekatan pula dengan hutan belukar di belakangnya.
Nissa masuk ke rumahnya.“Ibu..oo..Ibu..Nissa dah balik.”
“Ce…patnya ka..mu baa..lik Nis..sa.”Terdengar satu suara dari dalam. Agak tersekat-sekat bicaranya. Pastinya itu ibunya Nissa.
“Hmm…Tadi Nissa jumpa bendera kita kat tempat sampah tu, bu. Lepas tu Nissa rasa penat pulak nak cari tin lagi. Nissa balik rumah nak basuh bendera ni. Siapa entah buang. Sedih Nissa tengok.Koyak sikit pun dia orang buang.”
Amran Omar yang masih berdiri diluar rumah memegang dada. Bicara kata anak kecil itu menyetap jiwanya. Tiba-tiba hatinya jadi sebak.
“Hmm..Ibu..Emm..Sebenarnya ada orang ikut Nissa balik. Dia kata nak tengok rumah kita ni. Nak tengok ibu juga sebab tadi Nissa kata ibu sakit.”
“Sia..pa Nissa?” soal ibunya.
“Hmm..Entah  ibu. Nissa lupa tanya nama dia. Tapi, Nissa rasa abang ni bukan orang jahat.”
“Su..ruh..dia..ma..suk Nissa.” Tersekat-sekat suara itu kedengaran.
“Abang…Ibu kata masuklah.”Panggil Nissa seraya mempersilakan Amran Omar masuk ke rumah mereka.
Sekali lagi hati Amran Omar tersentuh. Inikah hamparan mereka selama ini. Lantai papan yang telah dimamah usia dan hanya sehelai tikar yang menjadi alas tidur mereka.Begitu daif.
Amran Omar menghulurkan salam kepada ibu Nissa yang sedang terbaring di situ. Dia juga memperkenalkan namanya.Namun, tangannya tidak bersambut.
“Hmm..Abang. Ibu Nissa sebenarnya buta. Jadi dia tidak nampak.” Nissa akhirnya memegangkan tangan ibunya untuk bersalam dengan Amran Omar. Amran Omar hanya mampu menahan sebak di dada yang kian memukul hebat.
“Nama mak cik siapa?”lembut  Amran Omar bertanya.
“Ju..baidah”
“Hmm..Ayah Nissa di mana?”soal Amran Omar ingin tahu. Dia baru terperasan, Nissa tidak berbicara tentang ayahnya.
“Hmm..Ayah Nissa dah meninggal. Ayah kena patuk ular tedung.” Nissa memberitahu.
Amran Omar mengangguk.‘Ya Allah.Sungguh kasihan anak ini. Dia sudah tidak punya ayah. Dia jugalah yang membela ibunya.’ Hati Amran Omar jadi sayu. Sebak.
Pandangan mata Amran Omar tertancap pada dinding rumah yang sudah uzur itu. Beberapa helai bendera ‘Jalur Gemilang’sedia tergantung di dinding rumah itu.Ada yang besar dan ada juga yang kecil.Ada juga yang sudah terkoyak jalurnya.
“Mak cik….Boleh saya minta izin nak rakamkan gambar rumah mak cik ini.Begitu juga gambar bendera yang tergantung di dinding rumah ini.”
“Bo..leh, nak. Tapi, anak ni..nak buat..apa?” Begitu sukar puan Jubaidah menuturkan bicaranya. Dia kini terbatuk-batuk.
“Hmm…Macam ni mak cik. Sebenarnya..saya sedang buat satu tugasan. Apabila saya terjumpa Nissa tadi, baru saya dapat idea nak buat tugasan saya ni. Jadi, saya nak minta izin mak ciklah. Saya juga ada rakam gambar Nissa sekali.” Amran Omar memberi penjelasan. Dia kemudian merakamkan gambar itu.
“Dari mana Nissa dapat bendera ni semua?” soal Amran Omar.
“Hmm..Ada orang kasi.Tapi, ada juga yang Nissa jumpa kat tempat sampah. Kat tepi jalan pun ada. Nissa ambik bawa balik. Lepas tu Nissa basuh. Itukan bendera kita. Nissa sayang. Nissa tak tahu kenapa dia orang buang. Ada koyak sikit pun dia orang buang. Kalau ada yang tercicir pun tiada siapa nak ambik. Jadi, Nissa ambillah.Tadi pun Nissa ada jumpa juga.Cantik lagi.Tapi dah kotor. Nanti Nissa basuh, Nissa gantung kat dinding ni. Ayah kata, jangan buang bendera kita. Ia lambang negara kita yang berdaulat. Sebab orang dahulu dah bersusah payah untuk merdekakan negara kita.”
Amran Omar rasa sedikit terkejut. Begitu pandai Nissa berbicara. Tentang ‘MERDEKA’.
“Nissa tahu kita merdeka bila?” soal Amran Omar sekadar menguji.
Nissa mengangguk.“31 Ogos 1957. Masa tu, Tunku Abdul Rahman laungkan perkataan ‘MERDEKA’.
“Merdeka! Merdeka! “ Ujar Nissa bersama gayanya.
Bicara dan tingkah Nissa dirakam Amran Omar. Ia adalah bahan penting untuknya.
“Lagi apa yang Nissa tahu pasal merdeka.”
“Hmm…Nissa tak tahu sangat.Tapi, ayah kata orang dahulu berperang mati-matian untuk menjaga negara ni. Mereka berjuang untuk dapatkan kemerdekaan negara daripada tangan penjajah. Ayah kata, pada 31 Ogos 1957 tu, bendera kita dinaikkan dan berkibar. Ayah kata, negara kita negara yang berdaulat dan merdeka. Ayah pesan supaya Nissa jaga bendera kita. Ayah kata, kalau bendera kita jatuh, kita kena dirikan semula. Itulah maruah kita. Maruah negara kita. Jangan biarkan ia dibuang. Jangan biarkan ia dipijak. Jangan biar ia dibakar. Sebab ayah kata, nilai kemerdekaan tu sangat tinggi.Nissa pun tak tahu macam mana.Nissa cuma ingat pesan ayah. Ayah kata kita pewaris negara kita.  Kalau kita tak jaga negara kita, nanti orang ambik. Ayah kata lambang negara kita, bendera kita. Bendera Malaysia. Lepas tu…lagu Negaraku, lagu kebangsaan kita.”
Amran Omar mengangguk.Terpegun juga dia dengan bicara Nissa.
“Nissa tahu Rukun Negara?”
“Tahu.”Nissa mengangguk.“Dulu masa Nissa sekolah, tiap-tiap hari Isnin kena baca.” Nissa kemudian terus berdiri. Dia menghadap gantungan bendera Malaysia di dinding rumahnya itu.Tangan kanannya di angkat separas bahu seperti seorang yang berikrar janji setia.
Maka kami, rakyat Malyasia berikrar
Akan menumpukan seluruh tenaga
dan usaha kami untuk mencapai
cita-cita atas prinsip-prinsip berikut:-

Kepercayaa kepadaTuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan.


Begitu tersusun  dan bersemangat Nissa membacakan turutan Rukun Negara itu.

Amran Omar terus merakam tingkah Nissa. Begitu Nissa anak kecil yang luhur hatinya. Jiwanya tersemat kasih untuk negara Malaysia yang tercinta. Bila dikenangkan, ketika dia berumur seperti Nissa, rasanya dia tidak ambil endah langsung. Hanya mengikut aktiviti sekolah. Berdiri beramai-ramai sambil menyanyi dan mengibarkan bendera Malaysia. Tapi Nissa…..hatinya begitu luhur dengan kecintaannya kepada negara.

Nissa kemudian duduk kembali.

“Nissa…Ibu..nak..air..” Pinta puan Jubaidah ditempatnya. Dia terbatuk pula. Agak keras batuknya.Terlihat juga oleh Amran Omar akan wanita itu mengesat air matanya. Mungkin terharu dengan semangat anaknya.

Nissa kemudian mengambilkan air untuk ibunya.Di suapkan sesudu demi sesudu air tersebut ke mulut wanita itu. Apabila airnya meleleh, di lapkan dengan hujung kain.Penuh kasih dia melayan ibunya.

Amran Omar kembali bergenang air mata. Hatinya terpukul sebak. Keluhuran kasih si anak pada si ibu itu juga di rakam.

Puan Jubaidah kini tenang kembali.  “Terima kasih nak, sebab datang tengok mak cik.” Puan Jubaidah  terbatuk lagi. Dia mengurut dadanya sendiri.

Telefon bimbit Amran Omar berbunyi. Dia segera menjawab panggilan..

“Mak cik..Saya balik dulu.Esok saya datang lagi. Nissa..Abang balik dulu ye,” ujar Amran Omar sambil menghulurkan not lima puluh sebanyak dua keping kepada Nissa.

“Nissa…tak boleh terima. “

“Nissa ambillah. Buat belanja. Abang ikhlas nak kasi Nissa dengan mak Nissa.”

Nissa menggaru kepala. “Hmm…Ibu..Oh..Ibu..Abang ni kasi duit. Nissa boleh ambik, tak?”Nissa bertanya kepada ibunya.

Ibunya mengangguk perlahan.Huluran itu di terima.

“Terima kasih, abang.Abang memang baik.”

Amran Omar menahan air mata daripada gugur tatkala Nissa menyalami tangannya. Di luar rumah Nissa, air mata yang di tahan akhirnya gugur jua ke pipi.

‘Ya Allah..Hari ini kau memperlihatkan aku dengan cinta dan kasih sayang yang hebat.’

*****

“KAMU ni kenapa Am? Lain macam je Papa tengok? Mama kata tadi, kamu buat tugasan untuk video kemerdekaan tu. Hmm, macam mana? Kamu dah dapat ideanya,” soal Papanya, Harun Kassim.

Amran Omar mengangguk.Dia terus menyuap tanpa bicara. Dia teringatkan Nissa. Mungkinkah waktu ini, Nissa sudah makan. Mungkinkah waktu ini, Nissa sedang menyuapkan ibunya makan. Atau.. mungkinkah waktu ini Nissa dan ibunya sudah terlena dalam kesejukan malam.

Malam itu, Amran Omar kembali melihat rakamannya siang tadi. Adakalanya dia menitiskan air mata. Dia mesti membantu Nissa dan ibunya.

“Abang..Kenapa abang nangis?” soal Amsyar adiknya yang tiba-tiba muncul di bilik.

“Tak ada apa-apalah, Syar. Abang okey je.”

*****

NAFAS puan Jubaidah kian kencang. Ombak dadanya turun naik.“Sa..kit…Sa..kit..”Rintihnya sambil mengurut dadanya.“Nis..sa…Nis..sa…Ibu sa..kit..To..long...nak…Ibu…Sa…kit…” Rintih puan Jubaidah lagi.Nissa mendekati ibunya. Ibunya dipeluk erat. Diurut-urut juga dada ibunya. Dia tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Selalunya ibunya tidak seperti ini. Kenapa malam ini keadaan ibunya kian teruk.

“Ibu..Ibu…Sabar, bu…” Ujar Nissa dalam tangis. Dia sudah tidak tahan menahan rasa sedih melihat keadaan ibunya.

“Nis…sa..Ibu….dah..tak..kuat. Nis…sa…Ibu…takkkk…laa..ratttt..” Begitu sukar puan Jubaidah berbicara.

“Ibu…Jangan tinggalkan Nissa, bu…Jangan tinggalkan Nissa….” Nissa terus menangis dan menangis. Mungkinkah ibunya juga akan pergi. “Ibu….Jangan tingalkan Nissa …bu…” Rintihnya lagi.

“Nissa…Janji pada ibu, nak…Nissa akan jadi orang yang berguna…Ibu minta… maaf..sebab..tak dapat sekolahkan Nissa. Ibu… minta maaf….Ibu tak… mampu Nissa…Nissa janji.. dengan ibu ye.. Nissa mesti jadi orang pandai….Ingat ..pesan..ibu…Ingat..pe..san..ayah…Sembahyang ja..ngan tinggal…”

“Nissa..janji bu…Nissa pun nak jadi orang pandai….Nissa nak jaga negara kita. Nissa nak jadi budak baik.” Nissa terus berteman air mata.

“Nissa..Sini nak..Ibu nak peluk Nissa…”Nissa juga erat memeluk ibunya. Diharap ia bukan dakapan kasih yang terakhir.Dia akhirnya lena dalam dakapan ibunya.

Menjelang pagi, Nissa merasakan tangan ibunya sudah terkulai. Sejuk. Bibir ibunya juga sudah pucat. “Ibuuuuuuuuu….” Nissa menjerit nyaring. “Ibu..Kenapa tinggalan Nissa, bu…”

******
AMRAN OMAR tersentak. Tiba-tiba dadanya berdebar .“Nissa.” Nama itu terpacul dari bibirnya.
Di awal pagi itu dia keluar rumah. Dia pergi ke rumah Nissa. Dia nyata terkejut.Puan Jubaidah yang di kenali semalam sudah meninggal dunia.Nissa pula sudah terpuruk sayu di sisi jenazah ibunya.Dia menangis dan terus menangis. ‘Nissa..Hebatnya dugaan hidupmu, Nissa.’

******
“SEBENARNYA, ibu bapa Nissa bukanlah penduduk kampung ni. Mereka hanya perantau dan saya membenarkan mereka membuat rumah di kebun saya itu. Sebab itu rumah mereka agak terpencil ke dalam.”
“Saya sangat kasihankan Nissa. Dia hanya seorang anak kecil, namun dia pandai berdikari.Dia berkorban keinginannya untuk ke sekolah kerana ibunya. Saya juga membantu apa yang perlu, namun, saya juga bukan orang senang. Jika ada rezeki lebih, barulah saya dapat menghulur bantuan.”
“Nissa berkerja mencari tin kosong. Kadang kala, dia ambil upah menyapu sampah di kawasan ni. Banyak kerja dia dah buat. Setiap hari apabila kawan-kawannya ke sekolah, dia pula pergi ke tempat sampah mencari tin kosong.Saya juga tak sanggup melihat dia begitu. Tetapi, anugerah Allah…Dia anak yang bijak. Dia pandai membaca dan menulis. Ilmu kira-kira juga dia pandai. Dia selalu pinjam surat khabar dari saya. Itu pun jika saya ada membelinya.”
“Dia kata dia nak jadi macam Datuk Sharifah Mazlina..Nak jadi macam Datuk Syeikh Muzaffar..Macam-macam lagi…Dia kata dia nak bawa bendera Malaysia ke seluruh dunia. Cita-cita dia memang tinggi.”
“Saya paling terharu apabila mengenangkan Nissa. Satu ketika, saya terasa begitu marahkan dia kerana dia bergaduh dan marahkan anak lelaki saya. Anak saya itu dua tahun lebih tua darinya. Rupanya saya sedar, dia marahkan anak saya kerana memijak-mijak surat khabar yang tertera gambar bendera Malaysia. Dia marah sangat.
“Dia kata, kenapa awak pijak bendera kita. Awak tak sayang negara kita ke?Awak tak nak jaga negara ke? Nanti negara kita kena ambil, awak nak duduk mana? Waktu itu hati saya juga tersentuh dan menangis. Saya sendiri marahkan anak saya. Saya mengerti. Nissa begitu istimewa. Terlalu sukar untuk berjumpa dengan anak-anak kecil seperti Nissa. Di hatinya, tersemat kasih pada negara yang begitu dalam.” Pak Suffian menyeka tubir matanya.
Amran Omar juga mengalirkan air mata sebak mendengar bicara Pak Suffian.
“Pak cik..Rasanya biarlah saya yang jaga Nissa. Biar keluarga saya uruskan persekolahannya. Rasanya ia lebih terjamin.”
“Baik juga kalau begitu, nak. Pak cik tak menghalang. Ia adalah baik untuk Nissa. Biarlah dia dapat belajar dan penuhi cita-cita dia. Dia itu anak yang bijak. Sayang andai kebijaksanaannya dipersiakan.”

*****
AMRAN OMAR membawa Nissa ke rumah keluarganya setelah dipersetujui Mama dan Papanya.
Nissa sering termenung dan menangis. Dia masih merasa kehilangan ibunya.
“Sayang…Kenapa ni?”Pujuk puan Asni. Dipeluk anak itu menzahirkan kasih sayang.
“Nissa rindukan ibu dengan ayah.”Nissa mengesat air matanya dengan tangannya.
“Nissa kena redha. Nissa tahukan…Allah S.W.T  sayangkan ibu dan ayah Nissa. Nissa kena doalah untuk mereka. Nissa anak yang baik. Biar mereka gembira di sana. Doa, supaya Allah ampunkan dosa mereka. Doa, supaya Allah masukkan mereka ke dalam Syurga. Ye..Nissa.Nissa janganlah nangis.Nissa sekarang ada Mama…Ada Papa…Ada abang Am…Ada abang Syar…Kami semua sayang Nissa tau.”
“Minggu depan…Nissa dah boleh sekolah. Papa dah daftarkan Nissa. Nissa suka, kan.  Nissa boleh belajar. Nanti Nissa dah besar, Nissa boleh harumkan nama negara. Nissa boleh bawa bendera Malaysia ke seluruh dunia. Nanti ibu dan ayah Nissa pasti gembira.”
Nissa mengangguk .Air matanya yang masih gugur terus kesat.Dia bersemangat kembali.
“Mak cik…” panggil Nissa.
“Laa…panggil mak cik ke..Janganlah panggil mak cik. Panggil Mama…” Puan Asni cuba beseloroh. Dia membuat mimik muka. Dia hatinya biar Nissa gembira.Biar Nissa ketawa.
“Opsss..Maaf. Nissa terlupa.” Nissa juga tersenyum.“Hmm..Mama…Nissa nak..minta tolong boleh?”
“Hmm…Tolong apa sayang.”
Nissa kemudian bangun dan menyelongkar begnya. “Mama tolong Nissa jahitkan bendera ni boleh? Bendera ni dah koyak. Nissa nak gantung kat bilik ni. Macam kat rumah dulu.” Itulah bendera yang menjadi semangatnya di rumah dahulu. Ia di bawa bersama.
Puan Asni terasa jiwanya sebak. Terasa bergenang air mata di kelopak matanya. Benar kata Amran Omar, Nissa anak yang begitu luhur hatinya. Anak yang jiwanya penuh dengan rasa cinta kepada negara.
“Nanti Mama jahitkan. Nanti Mama belikan bendera baru untuk Nissa juga ye.” Dicium dahi anak itu penuh kasih. Itulah permata yang tidak ternilai.

*****
NISSA kini sudah kembali bersekolah. Kebetulan, di sekolahnya sedang sibuk membuat latihan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara. Sebenarnya latihan itu adalah untuk persembahan kemerdekaan di sebuah universiti tempatan. Walaupun baru dua minggu menjadi pelajar di situ.Nissa telah dipilih untuk menjadi salah seorang penyanyi utama di samping seorang pelajar Cina dan India.Dia rasa teruja.

*****
AMRAN OMAR pula sedang sibuk mengedit videonya. Ia adalah proses terakhirnya sebelum menghantarnya esok. Sebenarnya, tugasannya itu adalah untuk pertandingan video kemerdekaan anjuran universitinya.Sedang leka dengan kerjanya, dia mendengar suara Nissa menyanyikan lagu ‘Warisan’ nyanyian Sudirman.
Dia akhirnya pergi ke bilik Nissa dan merakamkan suara itu sebagai latar muzik videonya. Suara anak yang berjiwa patriotik. Dia tersenyum puas.

*****
MALAM 30 Ogos….Malam ambang kemerdekaan.
Malam ini akan diumumkan juara pertandingan video kemerdekaan yang disertai Amran Omar secara individu. Amran Omar tidak mengharapkan apa-apa. Tujuan dia menyertai pertandingan ini bukanlah untuk menang, tetapi untuk berkongsi satu semangat yang luhur kepada negara. Semangat anak merdeka.
            “Pemenang ketiga dan kedua telah pun di umumkan. Kini, tibalah untuk kita mengetahui pemenang atau johan untuk pertandingan ini.” Suara pengacara majlis bergema di seluruh dewan.
“Johan Pertandingan Video Kemerdekaan pada tahun ini jatuh kepada……”
Muzik iringan sudah berbunyi. Debaran menunggu keputusan menanti mereka yang menyertai termasuklah Amran Omar.
“Lailatul Badariah binti Kassim….Tajuk video beliau ialah Semangat Anak Merdeka…” Sorakan bergema di segenap ruang.
Johan pertandingan telah pun di umumkan, dan video itu juga ditayangkan untuk tontonan.
“Kini..Kita pertontonkan pula video khas pilihan juri. Video ini dianggap yang terbaik oleh pihak juri. Video ini mengisahkan seorang anak kecil yang bernama Nissa. Anak kecil yang luhur jiwanya pada tanah air tercinta. Anak kecil yang sangat menyanjung bendera kita Jalur Gemilang. Bersama ini, kita selami cinta anak kecil ini dalam video yang dipersembahkan oleh Amran Omar, dengan tajuk ‘Nilai Cintamu.”
Amran Omar terkejut. Serta-merta air matanya gugur ke pipi. Sebak menendang jiwanya. Hatinya membisikkan nama Nissa. Video kini dipertontonkan. Rententan peristiwa ditayangkan. Ada juga mereka yang di dalam dewan itu terusik sebak dan mengalirkan air mata. Ya..Mereka mengakui cinta dan semangat anak itu.
Setelah video itu selesai dipertontonkan, pengacara majlis mempersilakan Amran Omar naik ke pentas untuk menyampaikan ucapannya. Amran Omar hilang kata-kata. Hanya air matanya yang jatuh. “Saya..tak boleh nak kata apa-apa..Cuma..saya nak berterima kasih pada Nissa. Nissa buatkan saya lebih sayangkan negara saya.”Ucap Amran Omar dalam sebak.
Selepas itu, satu persembahan khas di datangkan dari sekolah berhampiran, iaitu sekolah tempat Nissa belajar.
Beberapa orang murid sekolah rendah telah mengambil tempat di atas pentas. Nissa, Wei Yee, serta Rajesh sudah berdiri di barisan paling hadapan. Manakala di barisan belakangnya hampir sepuluh orang murid sudah siap sedia untuk menyampaikan persembahan mereka. Nissa berbaju kebaya dengan kombinasi warna bendera Malaysia. Dia sendiri yang memilih baju itu.Memang cantik.
Lagu nyanyian mereka adalah lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Begitu ceria ia dinyanyikan beramai-ramai oleh murid-murid itu sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
Setelah lagu itu habis diperdengarkan, Nissa melangkah ke hadapan. Dia akan menyanyikan lagu ‘Warisan.’ Entah mengapa dia telah dipilih untuk menyanyikan lagu itu. Apa yang penting, dia akan menyampaikan lagu itu dengan sebaik mungkin.Ia adalah satu kebanggaan buat dirinya.

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan
Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini
Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki
Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini
Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan

Nissa menyanyi dengan penuh semangat. Namun, dalam masa yang sama dapat dilihat dia menyeka hujung matanya. Dia begitu menghayati lirik lagu tersebut. Adakalanya lagu yang dinyanyikan lari temponya kerana dia menyanyi dengan hati yang sebak. Air matanya juga gugur ke pipi.
Wajahnya yang terpampang di skrin besar dewan membuatkan seluruh isi dewan juga terasa sebak. Anak kecil itu menyayikan lagu itu dengan penuh perasaan dari hatinya yang tulus. Seluruh isi dewan juga akhirnya bangun dan turut sama menyanyikan lagu itu. Nyanyian semangat itu meresap ke jiwa mereka. Memang begitu berbeza perasaan yang dirasa. Mereka benar-benar merasakan nyanyian itu meruntuh hati setiap yang mendengarnya. Itulah Nissa. Anak berjiwa luhur dan patriotik.
Hampir kesemua mereka menyeka tubir mata merasai perasaan itu. Syahdu dan meremangkan bulu roma.  Bait lagu itu sampai ke jiwa mereka.

*****
31 Ogos….
Di sebelah pagi, Nissa begitu seronok melihat kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan Negara di Dataran Merdeka. Dia begitu teruja.
Di pagi itu juga dia masih gembira menyanyikan lagu yang dinyanyikan semalam. Lagu ‘Warisan.’ Lagu itu sudah lekat di bibirnya.
Petang itu, Nissa keluar berjalan-jalan bersama Wei Yee, Sivagami dan Siti Fatimah. Itulah teman barunya setelah berpindah mengikut Amran Omar. Lagipula, mereka jiran tetangga.Di hari itu juga dia begitu bangga melihat indahnya bendera Malaysia berkibar di merata tempat.Nampak megah dan gemilang.
Sedang leka berjalan, Nissa terperasankan sesuatu yang berada di atas jalan raya.Pesanan ayahnya bermain di minda.“Jangan biarkan bendera kita jatuh. Kalau jatuh kita kena naikkan semula. Itulah maruah kita. Maruah negara kita.”Nissa segera meluru mendapatkannya.
Tiba-tiba….
Screeettttttttt..Dummm….
Sekujur tubuh Nissa sudah tercampak dan terkulai di atas jalan raya. Di tangannya masih memegang Jalur Gemilang.
“Nissaaaaaa!!!.” Jerit kawan-kawannya.
Ramai orang sudah berkerumun di situ.
“Nissa nak ambil bendera tu,” ujar Wei Yee sambil menangis.
“Kami  tak sempat nak halang dia,”ujar Sivagami pula. Dia juga sudah menagis.
Amran Omar sudah tidak mampu berkata-kata.`Sekujur tubuh yang berdarah itu di peluk erat. “Nissaaaaa…Jangan tinggalkan abang Nissa.”Amran Omar sudah menangis.
Di penghujung nyawanya Nissa masih ingin meletakkan negara sebagai yang utama di hatinya. Tangannya tetap ingin mendirikan kedaulatan panji negara. Panji negara ‘Jalur Gemilang.’ Itulah cita-citanya. Dia ingin melihat Jalur Gemilang terus berkibar. Dia bukanlah berjuang dengan senjata.Tetapi, dia berjuang dengan hatinya. Perasaannya. Semangat dan cintanya.
“Nissa…Pada abang Nissa adalah seorang pahlawan. Pahlawan kecil yang bersemangat waja. Pewaris negara Malaysia yang gemilang. Nissa..Perjuanganmu abang akan ingat sampai bila-bila. Walaupun dikau tidak memegang senjata, tetapi dikau punya semangat cintakan negara yang luhur.Begitu tinggi nilai cintamu, Nissa.”

*****
AINAN melekapkan tangan ke dada. Dia juga merasa sebak dan terharu dengan apa yang telah diceritakan oleh Amran Omar kepadanya. Perjuangan anak kecil yang bernama Nissa itu begitu mengharukan. Air matanya juga jatuh ke pipi.
“Kerana itu, apabila abang melihat Ainan abang teringatkan luhurnya cinta Nissa. Ia benar-benar menyentuh hati abang. Kerana itu jugalah abang ingin membantu Ainan. Abang nak Ainan berjaya capai cita-cita Ainan.” Amran Omar menyeka tubir matanya. Sememangnya apabila dia menyentuh perihal Nissa, pasti air matanya mengalir ke pipi.
Ainan mengangguk.Dia mengerti kini.
“Sebenarnya, abang tak sengaja ambil gambar Ainan. Ia hanya satu kebetulan. Namun selepas itu, abang dan Syar sering mengekori Ainan tanpa Ainan sedar. Kami ada juga bertanya kepada orang di sekitar siapakah Ainan…dan akhirnya kami menjejak rumah Ainan. Abang minta, Syar yang pergi kerana abang agak sibuk sedikit kebelakangan ini.  Janji abang, abang akan bantu Ainan.”
Ainan melihat sebuah potret gambar di satu sudut dinding. Dia yakin itulah gadis kecil yang bernama Nissa.Nissa yang tersenyum memegang Jalur Gemilang.
“Ainan…Kita berbuka sama-sama ye.”
Ainan mengangguk. Dia mengukir senyum.“Terima kasih, abang.” Akhirnya permintaan lelaki itu dapat juga dipenuhi.
******
“AINAN..Mari Mama tunjukkan bilik Ainan.”
            “Tapi mak cik….Ainan tak nak susahkan mak cik.”
“Ainan…Panggil aje Mama ye. Ainan tak susahkan Mama pun. Mama lagi suka kalau Ainan duduk sini tinggal dengan Mama. Sejak Nissa pergi, Mama benar-benar rasa kehilangan. Ainan tinggal jelah kat sini. Nanti Ainan senang nak lawat ibu Ainan.”
“Terima kasih, mak cik…er..Mama.”
“Ainan..Dulu, inilah bilik Nissa.” Ujar Puan Asni.
Ainan rasa teruja apabila masuk ke bilik itu.Di dalamnya tergantung bendera Malaysia di dinding. Dia teringat akan rumahnya.  Dia merasa bangga apabila jalur semangat itu menghiasi dinding rumahnya.
“Bendera kita…Maruah kita..” Itulah antara kata-kata ayahnya dahulu.

******
Di hospital…
AINAN baru sahaja tiba ke bilik wad ibunya. Dia ingin berkongsi cerita dengan ibunya. Dia juga ingin menyampaikan berita gembira bahawa ada orang yang sudi membantu mereka.
Tika itu, seorang jururawat baru ingin mencuci najis ibunya.
“Oh, tak apa kak. Biar sahaja saya yang buat. Terima kasih kak ye,”ujar Ainan kepada jururawat muda itu.
Jururawat muda yang bernama Hayatun itu mengukir senyum.“Tak apa dik. Ini dah jadi tugas akak.”
“Tak apa, kak. Ia hanya tugas akak. Tapi, ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak.”Balas  Ainan seraya menguntum senyum.
Hayatun mengangguk.“Tak apa. Biar akak bantu sama ye.” Ujar Hayatun mesra.
“Terima kasih, kak.”
Amsyar yang kebetulan berada di luar bilik wad itu mendengar bicara kedua mereka. Dia menguntum senyum. Rasa bersyukur .Ainan anak yang baik. Kasihnya tak pernah luntur untuk ibunya.
Amsyar kemudian masuk setelah Ainan dan jururawat tadi selesai menguruskan najis ibunya Ainan.
“Assalamualaikum, mak cik .Apa khabar?”Amsyar menyapa mesra seraya meraih dan mencium tangan wanita itu.
“Baik, nak. Terima kasih nak sebab bantu makcik.” Jamilah menguntum senyum untuk anak muda itu.Dia rasa berterima kasih.“Semoga Allah merahmati kamu, nak.”
“Sebenarnya, ia hajat abang saya. Saya hanya membantu apa yang perlu sahaja.”
“Oh..Sampaikan salam mak cik buat abang kamu ya, nak. Kami berterima kasih pada dia.”
“In Sha Allah, mak cik.Semuanya rezeki dari Allah.”
“Ainan…” Panggil Jamilah.
“Ya, ibu.”
“Ainan…Kamu ada pergi tengok ayah kamu ke? Ibu dah lama tak dengar khabar ayah kamu tu.” Ujar Jamilah tiba-tiba.
Ainan tetunduk. Dia sedih. Dia kecewa kerana ayahnya adalah salah seorang penghuni penjara. Mengapa ayahnya memilih jalan yang salah untuk mendapatkan wang. Dia malu. Kisah lalu…Oleh kerana tidak tahan dicemuh oleh orang kampung, mereka dua beranak membawa diri. Mereka memulakan hidup baru. Kesusahan yang dirasa, memaksa Ainan menjadi matang.
Ainan menggeleng.“Takde, bu.” Sayu suara Ainan kedengaran.
“Ibu rindu ayah kamu, Ainan. Agaknya sempat tak ibu nak lihat wajah dia untuk kali terakhir.”Sayu juga suara Jamilah.
“Ibu..Kenapa ibu cakap macam tu. Ibu janganlah cakap macam tu lagi.” Mata Ainan sudah bergenang air mata.Dia tidak sanggup jika ibunya pergi.Pada siapa lagi dia ingin mengadu.
Amsyar juga rasa terusik.
“Ainan…Ainan jangan risau ye. Abang akan temankan Ainan pergi lawat ayah Ainan.”Ujar Amsyar.
“Terima kasih, abang.”

*****
AINAN melihat wajah ayahnya. Dia menangis sendiri. Wajah itu terlalu dirinduinya. Ayahnya juga sudah mengalirkan air mata.Dipeluk erat anaknya itu. Dia juga rindu akan Ainan.
“Ayah minta maaf, Ainan… Ayah minta maaf. Ayah dah insaf. Ayah rindukan kamu dan ibu kamu Ainan. Ayah rindu… Ayah nak hidup seperti dulu. Ayah tak nak tinggal di sini lagi. Ayah tak nak. Ayah nak keluarga ayah.” Umar berbicara berteman linangan air mata.
“Ainan dah lama maafkan ayah. Ainan juga nak ayah balik rumah kita. Ainan bukan sengaja tak nak lawat ayah, tapi Ainan banyak guna duit untuk rawatan ibu. Ibu sakit ayah. Ibu sakit. Ainan tak pernah lupakan ayah. Takkan lupa. Walau siapan pun ayah, Ainan tetap sayang ayah…Sayang sangat.” Air mata Ainan sudahlaju  gugur ke pipi.
Semakin erat pelukan dua beranak itu. Hati Amsyar juga terusik. Diseka tubir matanya melihat kasih antara dua beranak itu.
“Ayah…Ibu kirim salam. Ibu rindu sangat dengan ayah.”
“Ainan….Ayah juga rindu dengan ibu kamu, nak. Rindu sangat. Andai ayah tak sempat jumpa ibu kamu lagi, kirimkan salam sayang ayah untuk ibu kamu, nak. Ayah sayang sangat ibu kamu. Cakap dengan ibu, ayah minta maaf untuk segalanya. Ayah tak mampu jalankan tanggungjawab ayah sebagai seorang ketua keluarga. Ayah minta maaf ye, nak.” Luluh hati Ainan saat ini.Air matanya tidak mampu diseka lagi. Ia terus berguguran jatuh ke pipi.
“Ainan…Ayah rindu sangat nak dengar suara Ainan nyanyi lagu yang ayah suka tu. Ainan nyanyi untuk ayah, boleh.” Pinta Umar terhadap anaknya itu.
Ainan menekup mulut menahan rasa sebak yang kian menendang di hati. Dia mengangguk memenuhi permintaan ayahnya. Dia menyanyikan juga lagu itu dalam suara sebak dan tangis yang tertahan-tahan.


Inilah..
Barisan kita…
Yang ikhlas berjuang..
Siap sedia berkorban..
Untuk ibu pertiwi

Itulah lagu ‘Perajurit Tanah Air’ atau lebih sinonim dengan lagi ‘Inilah Barisan Kita’ yang menjadi lagu semangat dirinya. Dahulu, lagu itulah yang sering dinyanyikan oleh ayahnya untuk dirinya.Lagu semangat tentera. Dahulu ayahnya juga pernah berkata..“Hiduplah seperti seorang pejuang, ikhlaskan diri, jangan mudah putus asa, dan berkorbanlah demi agama, bangsa dan negara.” Ainan memang ingat akan kata-kata itu. Namun, dia kecewa. Kerana desakan hidup, ayahnya tertewas.Ayahnya terpengaruh dan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sehingga memaksa ayahnya meringkuk di dalam penjara untuk sekian lama.
“Kamu harus berjuang untuk hidup kamu, nak.Kamu kena kuat.Kamu jangan jadi macam ayah. Ayah ini perosak bangsa. Kamu jadilah insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara kita, nak. Berbaktilah pada negara kita, nak. Negara kita ini milik kita. Jangan biarkan ia tergadai.Ingatlah darah pejuang dahulu, nak. Tanpa mereka kita tak punya ini semua.”
Ainan mengangguk bersama air mata yang deras gugur ke pipi. Itulah amanat keramat ayahnya.
Pertemuan itu terasa begitu singkat. Sebelum berpisah, ayahnya sempat berbicara kepada pegawai penjara yang mengawal mereka. Ayahnya kemudian meminta sesuatu dari pegawai tersebut.
“Ainan….Inilah bendera kita. Maruah kita. Bendera ini jugalah tanda cinta ayah buat ibu kamu.Berikanlah bendera ini pada ibu kamu. Katakanlah pada dia, selamanya ayah cintakan dia.” Umar memberikan sebatang bendera yang bergulung yang berikat getah kepada Ainan.Kemudian, dia memeluk erat anaknya itu bersama air mata. Seakan mereka tidak akan bertemu lagi selepas ini.
“Ayah….”
“Jaga diri kamu baik-baik, nak. Ibu kamu juga… Amsyar, tengokkan juga anak pak cik ini ye.” Itulah pesanan terakhir Umar sebelum pergi meninggalkan Ainan dan Amsyar.

*****
“IBU…Ayah berikan ini kepada ibu.” Ainan memberikan bendera itu kepada ibunya. “Ibu..Ainan nak pergi solat dulu, ye.”Ainan meminta diri dari ibunya.
Sepeninggalan Ainan, barulah Jamilah membuka gulungan bendera itu. Ada titipan kertas di dalam gulungan bendera itu.
‘Maafkan aku, Milah. Selamanya aku sayang dan cintakan kamu. Selagi bendera ini berkibar, selagi itulah sayang dan cintaku untuk kamu.’
Itulah coretan Umar buat Jamilah. Jamilah terusik hiba. Dia tahu cinta suaminya mekar untuknya.Ia tetap ingat akan janjinya suaminya dahulu. “Jika kau terima bendera ini, aku anggap kau menerima diriku. Sayang dan cinta aku pada kau juga adalah sepertima aku sayang dan cintakan negaraku ini.” Jamilah akhirnya menangis. “Abang…Milah juga sayang dan cintakan abang sepertimana Milah sayang dan cintakan negara kita ini.” Jamilah terus menangis tersedu-sedan sambil melekapkan bendera itu ke dadanya.“Tiada siapa yang boleh memisahkan hati kita melainkan Allah Yang Maha Agung.”
Selepas menunaikann solat, Ainan kembali mendatangi ibunya. Dia tersenyum melihat ibunya telah tertidur sambil melekapkan‘Jalur Gemilang’ pemberian ayahnya itu di atas dada. Namun, riak wajahnya tiba-tiba berubah apabila melihat bibir ibunya seakan pucat. Dipegang tangan ibunya kejap-kejap.Dirasakan dadanya berdebar.
“Ya Allah! Takk mungkin…”
“Ibuuuu……Ibuuuu…Bangun, bu….” Ainan sudah hampir menangis.
“Nurse…Tolong nurse..Ibu saya…..” Ainan sudah berlari keluar mendapatkan jururawat.
Jiwa Ainan kian lemah apabila diberitahu ibunya sudah tiada.
Amsyar sudah mendapatkan Ainan. “Sabar, Ainan…Sabar…” Amsyar cuba menenangkan hati gadis itu.
“Ibu saya…..” Ainan tidak mampu menahan tangisnya. Dia memeluk Amsyar melepaskan tangis. Ainan dibiarkan tenang.
Amsyar mengambil bendera yang dilihat telah terjatuh ke lantai. Bersama-sama itu adalah coretan kertas yang dititipkan oleh Umar. Dibaca coretan itu di dalam hati. Hatinya tersentuh hiba.
Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Dia menjawabnya. Ada perkhabaran dukacita yang diterima.
“Ainan….aa..yah awak….Ayah awak dah tak ada Ainan…” Begitu payah Amsyar menuturkan bicara itu.
“Ayahhhh!!!”  Ainan sudah meraung. “Ibu! Ayah! Kenapa tinggalkan Ainan. Kenapa tinggalkan Ainan…” Ainan terus meraung kesedihan.
Hari ini, Ainan telah kehilangan kedua-dua orang yang tersayang. Dia terpuruk sayu. Semangatnya hilang. Dia hanya menangis dan menangis.
“Ainan..Sabarlah, nak.Ainan kena kuat.Ainan doakanlah untuk mereka.Doa Ainan adalah doa yang terbaik buat mereka.”Ujar Puan Asni seraya memeluk erat gadis yang dalam kesedihan itu.

*****
AINAN melihat coretan kata-kata yang tertulis di atas meja. Ia adalah coretan tulisan tangan peninggalan Nissa.
Aku anak ibu dan ayah…
Cintaku..Kasihku..Sayangku untuk ibu dan ayah…
Ibu bergadai nyawa dan bertumpah darah melahirkanku..
Ayah juga menghempas keringat untuk hidupku…
Demi cinta ini…aku adalah pewaris ibu dan ayah…
Tegaknya aku berdiri sebagai anugerah..
Andaiku jatuh pasti ku bangun semula..
Kerana  aku akan berjuang dan berkorban  untuk ibu dan ayah..

Aku anak Malaysia…
Cintaku..Kasihku…Sayangku untuk negaraku Malaysia yang merdeka..
Pejuang dahulu bergadai nyawa dan bertumpah darah untuk memerdekakan negara..
Perajurit juga menghempas keringat mengawal negara..
Demi cinta ini…aku adalah pewaris negara..
Andaiku jatuh pasti ku bangkit semula..
Kerana aku akan berjuang dan berkorban untuk negaraku Malaysia yang merdeka..

Tegaknya aku berdiri sebagai khalifah…
Sekali ku jatuh, takkan mungkin ku rebah..
Tegaknya bendera berdiri sebagai maruah…
Sekali benderaku jatuh, tak bermakna ku mengaku kalah..
Aku adalah pewaris..
Janjiku, perjuanganku takkan terhenti hingga ke titisan darahku yang terakhir

Ainan terasa matanya bergenang air mata. Coretan kata itu meruntun hatinya.Tidak terjangkau oleh fikirannya, itulah kata-kata yang ditulis seorang budak yang berumur sepuluh tahun. Sungguh..Itulah anugerah yang Nissa miliki.
Ainan mendapat semangatnya semula. “Demi ibu..ayah..dan negara ini. Aku berjanji aku akan menjadi pewaris yang takkan mudah mengaku kalah. Akanku capai cita-citaku demi anak bangsaku yang merdeka.”
Amsyar yang mendengar kata-kata itu mengucap syukur kepada Allah.
“Ainan…Sebenarnya kata-kata itu jugalah yang membuatkan abang Amran bersemangat semula. Selepas kemalangan dan kehilangan sebelah kakinya dahulu, abang Amran sudah berputus asa. Dia merasakan dia sudah tidak berguna lagi. Lagipula wajahnya juga cedera terbakar semasa kemalangan itu. Kerana itu, dia hampir membunuh diri. Tetapi, selepas membaca tulisan Nissa itu, abang Amran menangis. Dia sedar dia tidak boleh kalah dan berputus asa. Demi ibu dan ayah..Demi negara…Dia harus berjuang.”
“Sekarang ni, abang Amran adalah pemilik syarikat Nissa Enterprise yang mengeluarkan produk makanan halal…dan abang Syar membantunya. Dengan semangat yang dia ada, dia kini berjaya.”

*****
Jam  12 malam -31 Ogos 2013…
            Merdeka! Merdeka! Itulah laungan yang bergema di setiap pelusuk bumi Malaysia.Malaysia kini telah mencapai kemerdekaan negara yang ke-56 tahun.Alhamdulillah.
            Ainan juga kini genap berumur 17 tahun. Dia adalah anak merdeka yang lahir pada 31 Ogos pada 17 tahun yang lalu. Dia juga mengucap syukur. Alhamdulillah.
            Dia bermunajat kepada Allah S.W.T .Bersolat sunat tahajjud dan membasahkan bibirnya dengan zikrullah.
“Subhanallah…”
“Alhamdulillah…”
“Allahu Akbar..”
Setelah itu dia berdoa kepada Penguasa Langit dan Bumi, Allah yang Maha Agung.
“Ya Allah…HambaMu ini bermohon padaMu Ya Allah. Ampunilah dosaku Ya Allah…Dosa Kedua ibu bapaku, Ya Allah…Tempatkanlah mereka di syurgaMu, Ya Allah…Ya Allah..Ya Rahman..Ya Rahim..Jadikanlah diriku anak yang solehah, Ya Allah…Anak yang taat pada agamaMu, Ya Allah… Anak yang cinta pada kalamMu, Ya Allah…Anak yang akan mempertahankan agamaMu, Ya Allah..serta anak yang akan menjaga kedaulatan bangsa serta negaraku ini, Ya Allah. “
“Ya Allah…Berikanlah keampunan kepada pejuang-pejuang agamaMu, juga pejuang-pejuang negaraku ini, Ya Allah.  Semoga mereka dicucuri rahmatMu , Ya Allah.”
Setelah bersembahyang, Ainan membasahkan bibir dengan membaca Kalam Allah. Dia kini lebih tenang.Dia redha dengan pemergian ibu dah ayahnya.
Ainan melekapkan ‘Jalur Gemilang’ yang menjadi lambang cinta ayah dan ibunya ke dada.Tika itu dia hanya membiarkan air matanya jatuh ke pipi. Dia rindu kepada kedua-dua insan itu. “Ayah…Ibu…Cinta dan sayang Ainan pada ayah dan ibu juga seperti cinta dan sayangnya Ainan pada negara kita. Ainan janji akan capai cita-cita Ainan demi ayah dan ibu. Ainan akan berbakti pada negara kita. Ainan nak jadi pendidik kepada anak bangsa kita. Ibu..Ayah..Doakanlah Ainan berjaya.”

*****
31 Ogos 2020
Ainan berasa bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak muridnya. Bergema lagu ‘Warisan’ dan lagu ‘Wawasan 2020’ di dataran itu.Meremang juga bulu romanya merasakan semangat dari nyanyian lagu itu.
“Tahniah, cikgu Ainan kerana membuat persembahan ini berjaya.”
Ainan menerima ucapan tahniah itu dari Dato’ Rashid selaku pengelola majlis sambutan kemerdekaan.“Rasanya tadi ada orang cari awak. Dia kata dia tunggu dekat tiang bendera hujung sana tu.”
Ainan kemudiannya meminta diri. Dia pasti abang Amran ingin berjumpa dengannya. Seketika tadi lelaki itu ada menghantar mesej kepadanya.
“Assalamualaikum, cikgu Ainan.” Satu suara menyapa.
“Waalaikumsalam… Err..Abang ke yang cari Ainan?”Dia terkejut kerana Amsyar yang berada di situ, bukan Amran.
“Hmm…” Amsyar mengangguk. “Abang nak berikan ini pada Ainan.” Ujar Amsyar dengan senyuman seraya memberikan satu gulungan bendera kecil yang masih cantik tersimpan di dalam plastik kepada Ainan.Pemberian itu diterima.
Gulungan  bendera itu buka. Ada satu coretan di atas kertas dititipkan bersama.
‘Assalamualaikum, cikgu Ainan. Sudikah kiranya cikgu Ainan menjadi srikandi hati ini. Srikandi yang mencari cinta Ilahi. Srikandi yang cintakan agama Islam yang suci dan negara kita yang merdeka ini.’
Ainan terkejut membaca coretan yang dititipakan itu.Dia memandang wajah Amsyar.
“Selagi bendera kita ini berkibar, selagi itulah adanya cinta dan sayangku untuk kamu Ainan.”
Ainan tersenyum. Rasa terharu.
“Err..Abang Amran mana?”
“Lah..Kenapa tanya abang Amran pula. Abang yang kat sini tak nak tanya. Kecik hati, tau.”
“Tak adalah. Sebenarnya….” Ainan mengeluarkan sesuatu dari begnya.Ia juga gulungan bendera yang masih tersimpan kemas di dalam plastik.
“Err…untuk abang Amran ke?” soal Amsyar.
“A’ah.”
Amsyar terdiam.
Tika itu Amran Omar sudah datang berjalan menghampiri mereka.Wajahnya mengukir senyum.
“Abang….” Panggil Ainan seraya memberikan bendera tersebut  kepada Amran Omar.
Amran Omar membuka gulungan bendera itu.Dia tersenyum.
Saya terima lamaran awak. Itulah coretan yang tertulis.
Amsyar juga membaca coretan itu. Riak wajahnya berubah.Dia memandang Ainan di sisi.
“Aii, kenapa muka abang semacam je ni…” Ainan dapat menduga. Dia kemudian tersenyum.
“Abang jangan risau. Ainan terima abanglah. Yang tu orang lain minta sampaikan kat abang Amran.”
“Owh..Macam tu ke.”Amsyar akhirnya tersenyum.Malu. Ainan dan Amran Omar hanya ketawa.
Seseorang telah datang kepada mereka. Itulah Cikgu Nissa. Nur Khairunnissa. Seorang gadis yang penuh dengan ciri kemelayuan yang berjaya menambat hati Amran Omar.Sebelum ini, Amran Omar meminta Ainan menyampaikan lamarannya. Kini, Cikgu Nissa telah pun memberikan jawapan itu.
Petang itu, mereka menziarahi pusara Nissa, serta ayah dan ibu Ainan. Doa dikirimkan agar roh mereka tenang di alam sana.

*****
AINAN meletakkan bendera pemberian Amsyar di dalam pasu bersama dengan bendera cinta ayah dan ibunya. Di sebalik berdirinya Jalur gemilang itulah tersemat cintanya. Cinta buat ibu..cinta buat ayah..cinta buat bakal suaminya..serta cinta buat negaranya. Namun apa yang pasti ialah cinta kepada Allah dan Rasul adalah keutamaannya.

TAMAT

~ Sekadar coretan hati menjelang Hari Kemerdekaan  Negara Malaysia yang ke-56 tahun. Semoga Negara Malaysia terus merdeka. Semoga rasa cinta kepada negara kekal ada dalam diri kita.

~Andai hati miliki cinta dan kasih sayang, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk pejuang agama Islam dan juga pejuang negara kita, Malaysia yang telah gugur di medan pertempuran.

Hidup Biar Patriotik,
ISME_ANA 2013
P/S: Terima kasih kerana sudi membaca. Berikanlah komen sekiranya sudi…Terima Kasih





2 comments:

  1. best sangat...meleleh airmata baca cerpen ni rasa terharu dengan semangat diorang..semangat cintakan bendera Malaysia dan negara...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas komennya..
      pastinya awak juga berjiwa patriotik sebab mampu menghayati cerita ni..
      susah nak jumpa orang yang baca cerita ni boleh meleleh air mata...

      Delete