Thursday, 24 September 2020

BAB 6 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG

 



FATEHAH hanya fokus membaca buku-buku yang diberi Cik Tasya. Ngantuk satu hal. Sorang-sorang pula tu. Mujur waktu rehat tadi dia keluar bersama Qistina dan Roselly. Memang syok aje telinganya mendengar celoteh mereka berdua. Bukan kisah pejabat aje yang keluar, kisah artis kawin cerai pun boleh jadi topik cerita.

            Kini telefon pintarnya berbunyi. Melihatkan nama si pemanggil dia jadi tersenyum. Wah! Abang Jambang Hensem telefonlah. Mata yang layu terus segar jadinya. Rasanya inilah pertama kali lelaki itu menelefon dirinya setelah seminggu tak muncul membeli di gerainya.

            “Gerai buka tak hari ni?” soal suara di sebalik talian.

            “Buka. Tapi saya tak jaga gerai dah.”

            “Lah. Kenapa?”

            “Saya dah dapat kerja. Baru je mula hari ni. Jadi, mulai sekarang adik saya yang tolong jaga di gerai tu.”

        “Hurmm.. Seminggu abang pergi KL, balik sini terus tak dapat jumpa awak. Baru abang nak kenal-kenal.”

           Fatehah telan liur yang terasa kelat. Statement tu macam pelik pula. Nak kenal-kenal? Ah..Tak memasal perasaannya jadi berdebar. Laju pula tu. Macam terasa bagai kompang di palu mengiringi lagu selamat pengantin baru.

            “Err..Ni abang call nak order cempedak ke?” Fatehah ubah topik bicara. Takut pula andai tiba-tiba masuk ke sesi perkenalan dari hati ke hati. Sebab nak kenal ni bukan semestinya kena bertemu muka, dalam panggilan begini pun kalau mulut tu melencong topik menjadi juga sesi perkenalan tu.

          “A’ah. Abang nak cempedak dan pisang goreng, dua-dua tu lima ringgit. Abang nak ke opis kejap. Tu yang call dulu. Balik nanti abang singgah ambil. Dalam jam 5.00 gitu, boleh?”

“Oh, okey boleh. Nanti saya beritahu adik saya.”

“Okay. Thanks, Dik Fa.”

Setelah membalas kata, talian dimatikan. Fatehah hela nafas panjang. Aneh pula rasa bila mana ada feeling debar-debar menyinggah. Waktu bertentang mata, tak ada pula rasa tu. Eh, chupps. Adalah sekali tu dia rasa berdebar juga bila mamat tu beri senyuman. Tapi taklah over sangat debarnya macam yang sekarang ni. Ah..Tiba-tiba teringat pula akan senyuman memikat lelaki tu. Haihh…Nampaknya tak dapatlah dia melihat senyuman Abang Jambang Hensem tu lagi.

Lupakan tentang itu, Fatehah kembali menelaah buku yang ada. Difahamkan sebaiknya isi yang terkandung dalam buku-buku itu. Dibuat juga nota ringkasan agar mudah dia fahami. Dikerling jam di tangan, nampaknya sudah menghampiri waktu yang sepatutnya dia masuk ke bilik Cik Tasya.

“Cik Tasya ni nampak moody aje dengan aku. Hmm..Agaknya macam mana nak buat dia bermood baik dengan aku ya.” Sejenak itu terlintas satu idea di benaknya. Lalu dia mengambil sehelai kertas memo pad bewarna yang sedia ada bersamanya. Dia menulis sesuatu di atas kertas itu. Kebetulan ada satu fail yang perlu diserahkan kepada Cik Tasya nanti. Jadi kertas itu sengaja dilekatkan di dalam fail itu. Harapnya nanti Cik Tasya bacalah apa yang dia tulis.

 

Hai, Cik Tasya yang cantik manis dan ayu. Sila beri tujuk ajar pada saya ya.

Terima kasih.

#FatehahBudakBaru

 

Masuk ke bilik Cik Tasya, Fatehah serahkan kembali fail yang dibawa bersamanya tadi, Namun fail itu langsung tidak diselak sama sekali. Ia hanya dibiar di atas meja. Cik Tasya kemudian menjalankan sesi soal jawab. Nampaknya Fatehah bijak saja menjawab segala pertanyaannya itu.

Soalan Cik Tasya terhenti apabila dia terlihat kelibat seseorang lalu di luar biliknya. Fatehah toleh juga ke arah pintu kaca itu. Gerangan siapa yang lalu? Kenapa ia seolah-olah sangat menarik perhatian Cik Tasya?

“Dahlah. You boleh balik tempat you. Mulai esok you dah boleh start kerja dekat meja you tu. Tugasan pertama you nanti esok I beri.”

“Terima kasih, Cik Tasya.” Fatehah jadi tersenyum. Rasa lega. Dia lalu bangun meminta diri dan membawa langkah kaki menuju ke pintu. Keluar saja dari situ, pintu segera ditutup dengan berhati-hati. Namun saat berpaling tubuh, dia tidak sengaja berlaga tubuh dengan seseorang. Maka, mulutnya tak sengaja melatah.

“Oh, abang kau hijau!”

“What?” Empunya diri terus membutang mata.

Mata mereka bersabung pandang untuk seketika.

Sesaat..

Dua saat..

Tiga saat..

Berlanjut pula sampai ke sepuluh saat.

Fatehah menelan liur payah. Wajah di hadapannya itu tenyata merah dan mencuka. Apa tidaknya, muka handsome dikatakan hijau. Mahunya naik angin satu badan.

“Err..Sorry, bang. Tak sengaja.” Terus Fatehah tepuk mulutnya berkali-kali. Mengakui kesilapan. Namun apa yang dia dapat adalah rengusan kasar dan jelingan tajam dari lelaki itu.  Lelaki itu dilihat terus berlalu pergi.

‘Aduhhh…Apasal boleh termelatah abang kau hijau pula ni. Tak memasal kena jelingan maut.’

Selajur itu juga Cik Tasya sudah terjongol di tepi pintu.

“Why?” soalnya.

“Err..Saya terlanggar lelaki tadi tu. Lelaki tu siapa ya Cik Tasya?” soal Fatehah sambil menunding jari ke arah lelaki yang sedang berjalan pergi itu. Ya. Lelaki yang baru saja mendapat gelaran ‘abang kau hijau’ daripadanya. Ke mana langkah tujunya lelaki itu dia tidak pasti. Tetapi sosok tubuh lelaki itu kelihatan segak juga walau hanya dilihat dari pandangan belakang.

“You terlanggar dia? Serius? Oh, so bad! For your information, he is our boss. Iftitah namanya.”

“Hah? Bos?” Fatehah sudah pekup mulut. Apa yang pasti dia memang terkejut apabila mendapat tahu gerangan sebenar lelaki itu. Sudahlah tadi dia termelatah abang kau hijau kepada empunya diri.

 “Get readylah kalau tiba-tiba dia panggil you nanti. Kalau tak kena panggil tu kira bernasib baiklah.” Cik Tasya sudah berpeluk tubuh. Bibirnya pula mengherot senyum sinis.

Fatehah tertelan liur. Kenapa cara Cik Tasya bercakap tentang lelaki itu sepertinya lelaki itu seorang yang sangat menakutkan? Lantas dia teringat bicara Roselly tentang lelaki yang bernama Iftitah itu. Ah, mampus! Jangan kena panggil sudahlah.

 

Malam itu…

 “KAK. Abang Jambang Hensem kirim salam.” Insyirah sudah melabuhkan punggung di sofa sambil menyampaikan amanah lelaki idaman Malaya yang baru dikenalinya itu.. Disebabkan petang tadi dia yang menjaga gerai, maka pesanan itu dikirimkan kepadanya. Tidak ralit juga matanya memandang wajah empunya diri. Nampak macam susah nak senyum, tapi cara cakap nampak lembut dan bersopan aje.

“Oh, waalaikumusssalam.” Fatehah menjawab sekadarnya sambil anak matanya tidak ralit dari menonton filem Tamil yang sedang bersiaran di televisyen.

“Handsome kan dia. Nampak macho dan maskulin gitu. Fuhh! Body mantap.” Insyirah sudah membuat tanda ‘thumbs up’.

“Wekk! Apa benda kau merepek ni Syira oii.” Fatehah malas nak bukak topik tentang Abang Jambang Hensem. Keropok ikan yang digoreng sebelum cerita bermula terus dikunyah rakus. Krap..Krup..Karp..Krupp bunyinya.

 “Orang kaya kak. Dia naik BMW.”

“Tahu.”

“Dia tak sombong.”

“Tahu.”

“Amboi. Semua kau tahu kak. Kau memang tahu semua tentang dia ke?”

“Tahu..”

“Ohh..Pakwe kau ke kak?”

“Tak.”

“Oh..Ingatkan pakwe baik benar semua tahu. Next time kalau dia singgah lagi, Syira nak tanyalah dia dah berpunya belum. Kalau belum bolehlah ushar. Tak jadi pakwe, jadi abang ipar pun boleh juga.” Insyirah sudah menyengih gatal.

Fatehah terus tersedak.

“Eee..Aje gila kau ni. Mengarut. Dahlah Syira oii. Aku nak tengok cerita ni pun tak senang,” ujar Fatehah sambil mengambil air teh O yang turut sama disediakan tadi. Ia terus membilas tekaknya yang gatal dek tersedak tadi. Tapi entah mengapa tatkala Syira menyebut ayat ‘abang ipar’ tu dia terasa debar yang dekat dalam tu mula nak berirama Dum Dum Cak. Memang kacau jiwa betullah ayat si Syira ni.

“Agaknya apa nama dia kan kak? Muka handsome nama mesti sedap.”

“Samdol kut.”

“Tak kena dengan mukalah kak. Paling tak ada Khan belakang nama dia.”

“Hmm..Samdol Khan. Okeylah tu. Kau nak sangat ada Khan kan. Dahlah. Pergi tidur sana. Kacaulah orang nak tengok cerita ni.” Fatehah seakan menghalau adiknya.

“Yalah. Syira pergi tidur. Nak mimpikan Abang Jambang Hensem. Tak minatlah nak layan cerita akak ni. Tak kena dengan jiwa.” Insyirah sudah angkat punggung.

“Pergilah. Aku memang tunggu cerita ni. Dah lama tak tayang. Best woo..”

Sementara iklan sedang ke udara, fikiran Fatehah terbang melayang ke sekitar waktu di pejabat tadi. Memori melatah ‘oh abang kau hijau’ mengganggu benaknya. Hesy..Memang memalukan betul!

Apa yang penting sekarang, dia harus dikuburkan saja angan-angan nak panggil si empunya diri yang bernama Iftitah tu ‘abang’ dek kerana nama bapa sama. Dah sah-sah lelaki itu bosnya. Gila apa nak panggil bos sendiri  ‘abang’. Tapi, itulah. Dan..Dan terpanggil juga ‘abang kau hijau’. Tu yang dapat jelingan free of charge tu.

Akhirnya Fatehah hanya mampu mengeluh sendiri. Hari pertama kerja aje dah macam-macam hal terjadi. Bertabah ajelah Fatehah ya. Cerita yang sedang bersiaran kembali di tonton. Sesekali tergelak juga apabila ia memaparkan kisah yang kelakar dan mencuit hati. 

Friday, 4 September 2020

BAB 5 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG



“SELAMAT PAGI. Saya Fatehah binti Abdul Fattah. Saya datang untuk melapor diri. Saya perlu berjumpa dengan siapa ya, cik? Ni surat tawaran yang saya dah print dari email.” Fatehah sudah menyerahkan surat yang dimaksudkan kepada wanita penjaga kaunter penyambut tetamu di lobi pejabat yang bernama Wany. Itu pun setelah dia tilik tag nama yang dipakai empunya diri.

“Sebentar ya. Cik boleh duduk dulu.” Wanita itu mempersilakan dia duduk dan kemudian meninggalkan dirinya sebentar. Beberapa waktu kemudian empunya diri kembali datang kepadanya.

“Cik Fatehah. Cik boleh ikut cik yang berbaju merah tu ya.” Wany sudah menunjuk arah kepada empunya diri yang dimaksudkan. Kelihatan wanita yang ditunjuk Wany itu berfizikal tinggi ala-ala model. Disamping itu empunya diri mengenakan blouse bewarna merah dengan skirt separas bawah lutut, menampakkan karisma si pemakai. Setelah mengucapkan terima kasih, Fatehah bangun dan membetulkan penampilannya. Fuh! Berdebar betul rasa.

 “Hey, you. Come here!” Wanita itu sudah memanggil. Air mukanya kelihatan agak serius dan suaranya juga agak lantang.

 “Cik Fatehah. Cepat. Cik Tasya Andar panggil tu. Dia tu jenis tak suka orang lambat,” beritahu Wany sedikit berbisik.

“Oh, okey. Err..Apa nama dia tadi. Saya tak berapa dengar.” Fatehah kembali bertanya kepada Wany akan nama wanita itu.

“Cik Tasya Andar,” ulang Wany dengan senyuman. Fatehah akhirnya berjalan menuju kepada empunya diri. Langkah Cik Tasya Andar dibuntuti laju menuju ke arah pintu lif. Butang lif ditekan dan sekejap itu pintu terbuka. Lalu mereka berdua masuk ke dalamnya. Melihat wanita itu berdiam diri, Fatehah juga turut mengunci bicara. Tak reti pula nak berbual dalam keadaan begitu.

“You kerja di tingkat empat. Sekarang ni you kena lapor diri ke bahagian Sumber Manusia di tingkat tiga.” Suara empunya diri bernada serius sambil gayanya memeluk tubuh. Fatehah hanya mengangguk tanda faham. Aduhai…Serius semacam pula dia ini. Mesti cerewet. Huhu..Bertabahlah Fatehah. Hanya itu yang terbisik di hati kecilnya. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke tingkat tiga. Pintu lif kembali terbuka dan Fatehah membuntuti langkah Cik Tasya menuju ke ruangan pejabat itu.

‘Wah, cantiknya pejabat ni!’ Puji Fatehah di dalam hati apabila retina matanya melilau melihat sekitar pejabat itu. Suasananya pula nyaman. Wangi.

“Hey, you tengok apa tu? I dekat sini tunggu you!” Terkejut Fatehah dibuatnya apabila ditegur dengan nada suara yang agak kurang menyenangkan. Segera diatur laju langkah kakinya mendapatkan wanita ala model itu yang sudah jauh ke depan. Mungkin dia tercicir sebab terleka melihat itu dan ini.

Salah satu yang dia tengok ialah carta organisasi syarikat. Tiba-tiba dia teringatkan nama Iftitah. Nama yang sebelum ini disebut wakil syarikat itu ketika menelefonnya. Bukan apa, nama itu agak unik kut. Lagilah apabila dia dikatakan adik si Iftitah tu? Atas sebab apa? Nama bapa sama ke? Emm..Kalau betul syok juga kalau dapat bertemu orangnya. Bolehlah panggil abang. Haha…Acigiteww..Tapi itulah, tak sempat pun dia nak tilik lama dah kena panggil. Aduhai..Teha..Teha.. Belum mula kerja dah berangan lebih.  

“Maaf, Cik Tasya Andar. Saya tak sengaja.”

“What? You panggil I apa?” Terus tubuh wanita itu berpaling dengan pakej ton suara yang sedikit meninggi.

“Cik Tasya Andar.” Fatehah mengulang jawapannya. Selembut bicara.

Tiba-tiba Cik Tasya menunjal dahi Fatehah. Dek kerana itu tubuh Fatehah sedikit terdorong ke belakang. Mujurlah dia tak terjatuh. Terbayang juga andai tika ini dia pakai kasut tumit 5 inci, mahunya dah tergolek dog dekat situ.

“You jangan bersikap kurang ajar dengan I! Tolong hormat sikit!”

Gulp! Fatehah telan liur kesat. Apa hal? Fatehah tidak mengerti. Tiba-tiba dahinya ditunjal sebegitu rupa. Di hadapan pekerja lain pula tu. Tebal juga mukanya menahan malu. Kelihatan mereka yang ada di situ tersenyum-senyum melihat dirinya dilayan sebegitu. Apabila Cik Tasya memandang mereka, segera mereka mematikan senyum. Muka ala-ala takut. Terus kembali fokus membuat kerja. Kenapa semua orang macam takut dekat dia ni? Garang ke? Ke…Gila kuasa? Apa yang pasti, persoalan dahinya ditunjal kekal tidak berjawab.

“You. Come here!” Empunya diri sudah berpeluk tubuh. Aduh, gaya lagaknya. Sama seperti dalam lif tadi. “Ni bahagian Sumber Manusia. Pergi jumpa Encik Nazam. Selesaikan urusan kamu dengan dia. Lepas tu naik tingkat atas jumpa I.”

Arahan yang diberi diterima sebaiknya. “Ba..Baik. Terima kasih, Cik Tasya.”

Setelah itu Cik Tasya meninggalkan dirinya seorang diri. Terus dia bertemu muka dengan Encik Nazam menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Kedatangnnya disambut mesra. Lelaki itu kemudiannya menyerahkan surat penerimaan jawatan dan meminta Fatehah membacanya terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan. Dibuka juga ruang Q & A kepada Fatehah jika ada sebarang persoalan yang perlu dijawab.

Setelah menandatangani surat setuju terima, ia kembali diserahkan kepada Encik Nazam.

“Okey. Selamat bekerja di IE, Cik Fatehah. Semoga komited menjadi sebahagian daripada keluarga IE,” ujar empunya diri berteman senyuman.

“Terima kasih, Encik Nazam.” Fatehah turut mengukir senyum. Alhamdulillah. Lega rasanya. Dia kemudian minta diri.

Kini harus bertemu Cik Tasya. Kebetulan dia terlihat wanita itu masih ada di ruangan sekitar itu sedang berbual dengan seseorang. Mungkin ada sesi perbicangan tidak rasmi di situ. Maka, dia segera mendapatkan empunya diri dan memberitahu bahawa urusannya dengan Encik Nazam telah pun selesai.

Fatehah kembali membuntuti langkah wanita itu. Pastinya ke tingkat empat di mana dia akan ditempatkan bekerja. Masuk ke ruangan di tingkat empat itu, ia lebih membuatkan Fatehah teruja. Leka membelek segenap ruang, namanya di seru Cik Tasya.

“Hey! Apa lagi yang you jalan terkedek-kedek tu? Tempat you dekat sebelah sini. Nak kerja dekat sini jangan nak main-main!”

Terus laju langkah Fatehah mendapatkan wanita itu. Sebuah workstation kosong ditunjukkan kepadanya.

‘Hesy. Garangnya Cik Tasya ni. Relakslah kak oii. Saya budak baru kut. Cakap lembut-lembut sudahlah.’ Kata itu hanya digumam di hati.

 Fatehah datang mendekat. Fail peribadi dan beg tangannya sudah diletak dia atas meja. Kerusinya juga sudah ditarik untuk melabuh punggung. Namun, belum pun sempat dia berbuat demikian suara tajam berbisa Cik Tasya sudah kedengaran.

“Hey! I dah tunjuk meja you, you tak reti nak ucap terima kasih ke?”

‘Omak hai…Berlagaknya cik kak sorang ni.’ Sekali lagi di hatilah tempat dia berkata-kata.

“Oh, ya. Terima kasih, Cik Tasya Andar.”

“Damn you!” Dahi Fatehah ditunjal untuk kedua kalinya. Kali ini lebih kuat sehingga Fatehah terduduk di atas kerusi yang sudah ditarik tadi. Selamatlah atas kerusi, kalau terduduk di lantai, huhu…mahunya dia tanggung malu sebulan dengan mereka yang menyaksikan drama sebabak itu.

‘Dah ucap terima kasih pun kena tunjal juga ke? Aneh-aneh ajelah cik kak sorang ni.’ Fatehah memang tak faham apa yang sedang berlaku.

“Jaga sikit mulut you tu kalau you nak kerja lama dekat sini. Faham?!” Cik Tasya dilihat terus menonong pergi. Fatehah angguk saja. Buat-buat faham sajalah.

Fatehah memandang staf di sebelah workstationnya. Seorang lelaki. Diberikan senyuman perkenalan sebelum memberi salam.

  “Assalamualikum. Saya Fatehah,” ujarnya selembut bicara. Terpaksa juga dia tahan malu atas kes tunjal kepala yang berlaku sebentar tadi.

“Waalaikumussalam. Hai. Saya Roselly. Salam kenal.” Empunya diri juga membalas mesra dengan gaya farvouritenya. Oh, lembut rupanya. Siap ada gaya lagi tangannya tu. Lambai-lambai comel macam sotong. Ahakkss..

 Fatehah kini berkenalan dengan empunya diri. Amboi mak, ramah benar. Bila borak, macam dah kenal lama. Padahal baru bertentang mata sesaat kut.

“You. Kenapa you panggil dia Cik Tasya Andar?” Roselly bertanya dengan lenggok suaranya. Suaranya agak terkawal ala-ala berbisik.

“Laa..Bukan tu nama dia ke?”

“You nak tau sebab apa dia tunjal kepala you?” Nampaknya memang dia melihat apa yang berlaku tadi walaupun cuba buat-buat tak nampak apabila Cik Tasya ada di situ.

Fatehah menggeleng. Sememangnya dia ingin tahu sebabnya.

“You dah buat dia marah tau. Sebenarnya…” Roselly berbisik kepada Fatehah.

Fatehah terdiam dan membulat mata apabila mendengar apa yang diperkatakan Roselly. Patutlah kena tunjal. Dua kali pula tu. Dushhh! Andar tu rupanya Andartu. Patutlah marah benar cik kak tadi tu. Ingatkan itu memang nama dia.

“Siapa yang beritahu you part Andar tu?”

“Wany yang jaga di kaunter bawah tu.”

“Kenapalah dia dengki you. Tak baik tau. Lepas ni you berhati-hati ya bila cakap dengan Cik Tasya tu. Jangan terlepas cakap part Andar tu. Dia memang sensitif.” Kecewa juga Roselly dengan sikap Wany yang bertindak begitu terutama kepada Fatehah yang baru melapor diri di situ.

Fatehah mengangguk. Kalau dia tahu Andar tu merujuk kepada perkataan Andartu, memang tidaklah dia jahat mulut menyebutnya. Tapi dalam kes ni dia memang tidak tahu. Eee..Jahat betullah si Wany tu. Mentang-mentang dirinya budak baru, sengajalah tu biar dia dimarahi. Terbuku juga rasa marah di hati Fatehah dengan sikap tak profesional empunya diri.

Daripada kisah Cik Tasya Andar, Roselly buka cerita pula berkenaan bos mereka.

“Kalau you nak tahu bos kita namanya Iftitah bin Abdul Fattah.”

“Iftitah bin Abdul Fattah?” Fatehah berkerut dahi apabila sebaris nama itu disebut.

“Kenapa? Kenal ke?”

“Oh, tak adalah. Tak kenal pun. Cuma hari tu masa Encik Nazam call saya, dia tanya saya ni adik Encik Iftitah ke? Saya memang kata taklah. Saya fikir juga sebabnya? Rupanya betul sebab nama bapa tu sama. Sebenarnya saya cuba tilik juga di carta organisasi tadi cari nama dia. Tak sangkalah pula orang yang dimaksudkan tu sebenarnya orang penting syarikat ni.”

“Oh, gitu ke. Sekarang ni you tak kenal dia lagi. Biar I beritahu you serba sedikit berkenaan bos kita ni. Yang paling utama dia ni, handsome. Bujang lagi. Kalau you tengok mesti you pun jatuh hati tau.”

Fatehah hanya tersenyum. Tahap handsome macam mana tu? Agak-agak ada tak se’handsome’ Abang Jambang Hensem peminat cempedak goreng di gerai abahnya itu?

“Cuma itulah. Dia ni kategori bos handsome muka ketat, susah sikit nak senyum.” Beritahu Roselly lagi.

Fatehah angguk saja sebagai memahami. Hai..Memang dia tak berkenan betul kalau bab muka ketat ni walaupun muka handsome. Terasa macam orang tu spesis berlagak.

“And then, dia ni garang juga tau.”

“Hah? Garang sangat ke?”

“Tengok mood  dialah. Kadang tu okey je.”

Fatehah angguk. Mengerti. Biasalah tu kut. Ada waktu mood okey, adakalanya tidak.

“But….” Roselly sudah dengan lenggok suara dan gayanya. “I minat tau dekat dia.” Fatehah terkebil-kebil mendengar penyataan si Roselly.

‘Minat dekat lelaki? Biar betul? Jiwa song….sang ke? Ya Allah! Aku mohon kepadaMu, berikanlah taufik dan hidayah kepada kawan yang baru aku kenal ini. Jangan biarkan dia terpesong dari jalanMu, Ya Allah. ‘Sempat Fatehah berdoa di hati.

Dalam pada itu..

“Eham..Budak baru ke?” Ton suara itu membuatkan Fatehah terkedu. Kasar sangat bunyinya. Apabila ditoleh kepada empunya diri…

‘Alamak hai..Mak buyung ni siapa pula? Dahlah muka tak ada senyuman langsung. Siap bercekak pinggang pula tu.’ Bisik Fatehah di hati.

“Err..ya kak. Err..maaf puan. Saya..Fa..tehah.” Fatehah jadi tergagap-gagap. Sebabnya bila tengok muka tu mak aii, macam nak makan orang aje. Lagi serius dari wajah Cik Tasya. Mesti garang ya amat ni. Lalu tanpa disangka, empunya diri menghulurkan salam perkenalan.  Fatehah menyambut tangan itu.

“Nama akak, Qistina. Panggil aje Kak Qis. Kenapa macam takut aje? Cuak ke tengok muka akak yang ala-ala garang ni?” Empunya diri bersuara sambil memperkenalkan diri dalam suara-suara serak basahnya.

“Dah you buat muka singa, memanglah dia takut. You ni kan…Tak baik tau takut-takutkan dia. Kesian dia. Dahlah tadi kena marah dengan Cik Tasya tu.” Tangan Roselly sudah hinggap lembut di lengan Qistina.

Qistina tersenyum. Fatehah juga membalas senyum. Salah persepsi. Tengok muka macam nak makan orang ingatkan tak mesra rakyat. Rupanya mesra alam. Haila..Tiba-tiba teringatkan si Abang Jambang Hensem. Pertama kali bersua muka nampak aje serius. Susah nak senyum. Sekali esok dia datang beri senyum, fuhh…terbayang-bayang terus senyumannya tu.

“Kak Qis ni saja kenakan you. Dia ni mak cik kepoh bergosip. Kalau dia ni garang macam  mak cik singa, memang tak adalah geng yang nak bergosip dengan dia. I pun lari tau.” Roselly berbicara berteman gelak dan gayanya.

Fatehah juga jadi tergelak tanpa sengaja. Nampak okay rakan sekerjanya ini. Alhamdulillah..

“Eham..Ehamm…”

‘Aii..Apasal semua nak eham..eham..aje. Tak reti beri salam ke? Ke.. dekat sini memang amalan cara tegur dengan ucapan eham..eham? Pelik!’

Sekali toleh…

Erkk..Cik Tasya rupanya. Dia siap berpeluk tubuh sambil buat muka ketat. Patutlah Kak Qis pun laju aje terus duduk di tempatnya. Rupanya Kak Qis pun takut dengan dia.

“Fatehah. Jangan nak menyembang. Ikut saya!” Suara tegas Cik Tasya terus meresap ke pendengaran. Laju terus Fatehah angkat punggung dan mengatur langkah membuntuti langkah  wanita itu. Dia dibawa masuk ke sebuah bilik. Sepertinya ia adalah bilik mesyuarat. Di atas meja itu tersedia beberapa buah buku yang agak tebal.

“You duduk sini, khatamkan baca buku-buku ni semua. I tak nak you menyembang dengan dia orang. Faham?!” Suara itu agak bertegas.

Fatehah angguk menerima arahan. “Err.. Cik Tasya. Saya nak minta maaf pasal panggilan nama tadi tu. Saya tak tahu.” Terus Fatehah menutur kata maaf walaupun dia tahu ia bukan salah dirinya. Cik Tasya tidak membalas kata, sebaliknya hanya jelingan tajam singgah ke wajah Fatehah. Dia lalu beredar pergi. Walaupun tidak mendapat respon yang diharapkan, tapi pada Fatehah dia sudah minta maaf.

Sebelum menolak pintu bilik itu, Cik Tasya kembali menoleh kepada Fatehah. “One more. Dua jam sebelum balik I nak you masuk bilik I untuk I soal apa yang you dah baca. Jadi, jangan cuba curi tulang dan tidur dalam bilik ni. Faham?!”

Keluar saja Cik Tasya dari bilik itu, Fatehah hela nafas kasar. Harapnya bertabahlah dia bekerja dengan wanita itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

BAB 4 - PENAKLUK HATI ABANG JAMBANG





Ya Allah,

 Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, permudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah

 

FATEHAH baru selesai bersolat sunat Dhuha. Itulah yang diamalkan setiap hari. Doanya moga limpah rezeki dari Allah sentiasa terbuka untuknya dan keluarga. Sejurus melipat telekung dan sejadah, deringan telefonnya menggamit pendengaran. Lantas telefon pintarnya yang berada di tepi bantal dicapai. Melihat pada nombor yang terpapar, dia sendiri tidak dapat mengagak panggilan itu dari mana. Terus saja dia pilih butang hijau menyambung panggilan itu.

“Assalamulaikum. Selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik Fatehah binti Abdul Fattah?” suara seorang lelaki kedengaran di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ya, saya Fatehah binti Abdul Fattah.” Dalam rasa debar Fatehah menjawab panggilan itu. Hatinya jadi tidak keruan saat ini.

“Cik ni adik Encik Iftitah ke?”

“Err…Tak. Saya tak ada abang. Encik silap nombor ni.” Lembut Fatehah memberitahu.

“Tak. Saya memang tak silap nombor. Saya memang nak menghubungi awak, Cik Fatehah. Sebenarnya saya ni Encik Nazam dari IE- Iftira Empire.” Suara itu memberitahu lagi.

Iftira Empire? Adakah ….

Empunya diri di hujung talian akhirnya menyampaikan amanat kata.

“Jadi Cik Fatehah boleh datang lapor diri hari Isnin minggu depan nanti ya. Sila bawa surat tawaran kerja. Cik boleh print terus dari email.”

“Ba..Baik. Terima kasih ya.”

Setelah talian dimatikan, Fatehah lekapkan tangan di dada. Rupanya panggilan masuk kerja. Ya Allah! Syukur, Alhamdulillah!

Keluar dari bilik, Fatehah ketawa kegembiraan.

“Kak. Kau dah kenapa? Mak tengok akak ni. Kenapa entah. Dah tak betul agaknya. Terjerit-jerit keluar dari bilik.” Si adik sudah mengadu kepada si emak. Yalah, pelik tengok kakaknya keluar dari bilik tiba-tiba macam orang terputus wayar.

Fatehah segera ke bilik air. Si adik dan si emak saling berpandangan. Tidak mengerti apa-apa. Agaknya dah teruja sangat terus nak terkencing gamaknya.

“Kak. Kau dah kenapa?” Si adik masih bertanya soalan yang sama tika kakaknya keluar dari bilik air.

“Akak nak solat dulu. Nanti akak cerita,” ujar Fatehah setelah keluar dari bilik air.

“Eh, bukan tadi dah solat ke?”

“Memang dah solat Dhuha tadi. Ni nak solat lain pula. Tadi excited sangat sampai terlepas gas beracun,” ujar Fatehah dalam tawa sambil membetulkan lipatan lengan bajunya. Masuk ke bilik, dia melakukan solat sunat syukur. Alhamdulillah, ya Allah atas segala kurniaan-Mu. Doaku, kau perkenankan.

Seperti yang dijanjikan, Fatehah mendapatkan emak dan adiknya yang sudah duduk di dapur menyediakan rencah masakan tengahari walaupun tika itu baru jam 10.00 pagi. Sememangnya itu rutin harian di rumahnya. Sekitar jam 12.00 tengahari biasanya mereka sudah kenyang menikmati hidangan tengahari.

“Mak…Mak nak tahu tak. Teha dah dapat kerja. Minggu depan dah kena lapor diri. Tadi orang pejabat tu telefon. Patutlah sejak pagi tadi dada Teha ni berdebar semacam. Malam tadi pun siap mimpi dapat cincin. Mimpi nak dapat rezekilah tu agaknya.” Sungguh teruja Fatehah menyampaikan berita gembira tu.

“Alhamdulillah. Mak tumpang gembira. Lepas ni merasalah mak gaji kamu. Bolehlah ajak mak melancong,” ujar Fatimah dalam senyum melebar.

“Kan, mak kan. Melancong pergi pulau Tioman pun jadilah kan mak. Dalam negara aje.” Si adik menambah kata.

“Amboi! Akak masuk kerja pun belum, dah ada yang tempah tiket ke Tioman. Matilah nakkk…” Fatehah sudah membuat mata juling ke atas. Emak dan adiknya mengekek gelak.

“Duit gaji tu akak nak bayar hutang pinjaman PTPTN. Berapa tahun nak habis bayar tu.”

“Yalah. Tapi takkanlah semua akak nak guna bayar hutang. Paling tak akak belanja top-up Syira RM10.00 sebulan pun jadilah. Kan, mak kan? Lepas tu beri mak dan abah sikit. Sebab tu lebih berkat. Sebab mak dan abah dah banyak bersusah payah untuk akak.”

“Itu akak tahu. InshaAllah. Selagi hayat dikandung badan, akak takkan lupakan jasa mak dan abah pada akak.” Bila mengenangkan jasa kedua mereka, hatinya jadi tersentuh. Kasih sayang dan pengorbanan yang mereka berikan sungguh tidak ternilai dan tidak dapat dibayar dengan jutaan wang ringgit.

“Nanti beritahulah abah berita ni. Abah pasti gembira.” Beritahu emaknya sambil tangannya kembali licah mengunting lada kering untuk menu masakan tengahari nanti.

Apabila abahnya pulang dari memotong rumput di tanah wakaf perkuburan, Fatehah sudah siap sedia menyediakan minuman panas untuk ayahnya.

“Abah…Teha ada berita gembira untuk abah.” Nampaknya Fatehah sungguh tidak sabar untuk memberitahu. Kerusi di sebelah abahnya ditarik dan punggungnya dilabuhkan.

“Cuba abah teka.”

“Abah dah tua kau nak main teka-teka nak buat apa Teha. Kalau teka-teki, teka-tekuk ular mati atas pokok tu abah tahulah.” Abdul Fattah tertawa sendiri. Saja berseloroh dengan anak daranya itu.

“Alah, abah. Tak mainlah teka-teki tu. Abah tekalah apa yang Teha nak cakap dekat abah. Mana tahu abah terror macam Nujum Pak Belalang tu.” Nampaknya Fatehah memang sangat manja dengan abahnya.

“Anak kau ni dah kenapa Mah? Lain macam aje aku tengok. Berita gembira apa yang dia nak beritahu,” soal Abdul Fattah kepada Fatimah yang sedang menumis sambal petai di kuali.

“Dia dah suruh teka tu abahnya teka ajelah.”

“Ni kalau teka betul dapat apa? Dapat duit satu juta ke?” Abdul Fattah memang suka bergurau dengan anak daranya yang sulung itu.

“Abah nii…” Fatehah sudah tarik muncung ala-ala merajuk.

“Cakap macam tu pun dah jadi cencurut. Hmm..Kalau suruh teka, ni mesti Teha nak beritahu abah yang Teha nak kahwin kan?”

Mendengar tekaan abah, makin panjanglah muncung Fatehah. Kahwin??

“Kerja pun belum, bah. Takkan nak kahwin. Calon pun tak ada.”

“Dah tu kamu suruh abah teka. Abah tekalah. Jadi berita apa yang kamu nak beritahu abah. Excited benar abah tengok.” Abdul Fattah mencicip sedikit air kopi panas di cawan lalu meletakkan kembali di atas piring.

“Of courselah excited bah. Teha sebenarnya dah dapat….kerja. Minggu depan dah kena lapor diri.” Dari raut wajah Fatehah, jelas terpancar nur yang membahagiakan.

“Oh, ya ke? Alhamdulillah. Patutlah suka sangat gayanya. Apa nama tempat kerja kamu tu?”

“Iftira Empire, bah. Tapi nama glamour dia orang panggil IE je.”

 “Oh. Syukurlah Teha kamu dah dapat kerja. Apa pun abah tumpang gembira untuk kamu. Pastikan amanah dalam bekerja. Jangan kerja main-main. Biarlah setiap kerja yang kita buat tu mendapat keberkatan daripada-Nya. Barulah hasil yang kamu terima tu berkat.” Abdul Fattah menitip pesan sebaiknya.

“InshaAllah, abah. Teha akan sentiasa ingat pesanan abah.”

“Nak dijadikan cerita, dan..dan pula anak lelaki pemilik syarikat tu berkenan dekat akak. Wah! Dapat menantu kayalah abah.” Si adik sibuk nak mencelah.

“Abah tengok bah. Budak ni kalau merepek entah apa-apa. Pengaruh dramalah tu. Klise sangatlah tu weh.”

“Mana tahu kalau dah jodoh. Abah terima aje.” Abdul Fattah hanya menyengih. Saja nak menyakat si anak dara. Yalah. Kalau ikutkan umur dah layak nak berkahwin pun. Dia pun teringin juga nak ada menantu.

“Abah ni. Sokong pula apa yang Syira cakap tu. Tak naklah kahwin dengan orang kaya, bah. Takut. Cari yang sekufu sudah. Hidup sederhana. Ada karang yang bawak mulut cakap anak abah ni kahwin anak orang kaya sebabkan harta. Tak naklah. Selisih malaikat 44.”

“Tapi kak, kalau anak orang kaya tu yang terhegeh-hegeh nakkan akak macam mana?”

Fatehah hanya jungkit bahu. Tak nak komen apa-apa. Sebabnya soal rezeki, jodoh,dan maut itu semua di tangan Tuhan.

Itulah topik bicara anak-beranak. Mula aje cerita pasal kerja. Lepas tu mulalah melalut cerita kahwin-kahwin. Versi dramalah, versi novellah. Yang penting sekarang ni bukan waktu dia nak fikir pasal kahwin. Dia nak kerja. Nak cari duit. Nak bayar hutang. Nak beri emak dan abah. Nak beli emas banyak-banyak buat aset. Pelaburan demi masa depanlah kata kan. Lagilah memang dia dah sedia maklum harga emas makin hari makin naik di pasaran. Jadi untuk jangka panjang adalah keuntungan di situ. Satu perkara yang perlu diingat, kalau emas dah cukup haul, pastikan bayar zakat emas. Okey…Dan..Dan lah melalut pasal emas pula. Walau apa pun apa yang dia melalut tu tetap fakta, bukan auta. Betul tak?