Sunday, 28 July 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 39


TELEFON BIMBIT Ilham di tepi bantal bernyanyi riang. Semakin bingit bunyinya. Dengan rasa malas, Ilham mencapai jua telefon bimbitnya itu. Hanya nombor yang tertera di skrin.

 “Siapa pulaklah ni?”

“Helo, siapa ni?” Nada suaranya sedikit menekan. Panggilan itu agak mengganggu moodnya.
Empunya diri di sebalik talian tidak bersuara.

“Kalau tak nak cakap, buat apa telefon.” Ilham sedikit angin. Entah mengapa sejak kebelakangan ini hatinya cepat panas. Mungkin kerana masih marahkan Iman. Dia segera mematikan talian.

Telefon bimbitnya kembali bernyanyi. Dengan rasa terpaksa dia mengangkat kembali.

“Helo. Ni siapa, huh! Jangan main-main boleh tak. Kalau nak cakap, cakap ajelah!” Ilham merengus marah. Hatinya terasa panas. Si pemanggil di hujung talian masih juga mendiamkan diri seolah-olah sengaja berbuat begitu. Ilham bengang. Telefon bimbitnya terus di off. Biarlah panggilan itu tidak mengganggunya lagi. Dia kembali terbaring di katil. Keluhan kasar dilepaskan. Fikirannya buntu. Dia berpusing ke kanan dan  ke kiri. Rasa tidak selesa. “Apa aku nak buat ni. Grr..Boringnya.”

Ilham kemudian bangun dan mengambil gitar. Namun, dia sepertinya hilang mood untuk terus melayan petikan gitarnya.

Telefon bimbitnya kembali dicapai dan di ‘on’ semula. Tertera 10 panggilan tidak di jawab.

“Siapa pulaklah yang missed calls aku ni. Ni mesti ‘makhluk’ tadi ni. Orang angkat, tapi tak jawab. Entah siapa, entah.” Dia akhirnya menghubungi nombor tersebut. Ingin juga dia tahu siapa orang yang menghubunginya tadi. Mungkin panggilan penting. Namun, panggilannya masih juga tidak bersambut.

“Hish! Siapalah yang main-main ni. Angin aku. Misscall banyak kali. Bila aku call balik tak nak angkat pulak. Tapi, ringtone sama macam Mai punya je. Takkanlah Maisarah yang kedekut kredit telefon aku.” Ilham terfikir sendiri. “Tapi, nombornya lain. Takkan Mai guna nombor lain kut. Hmm..Tak mungkin. Mai tu setia sangat dengan nombor kesayanganya tu. Habis tu, siapa pulaklah yang nak kacau aku ni.”

Ilham terus membuat misscall ke atas nombor tersebut. 10 kali juga misscalls yang dibuat. Kasi adil. Seketika kemudian, telefon bimbitnya memberi isyarat ada mesej yang masuk. Ilham segera membuka peti masuk mesejnya.

+Ni Ilham ke?

“Aii.Siapa pulak ni? Kenal aku pulak tu. Tadi miss call tak sudah. Ni mesej pulak dah.”

- Siapa ni?

Ilham membalas.Dia menantikan jawapan balas.

+ Nak kenal boleh?

“Aii..Aku tanya siapa, tak jawab. Sibuk nak kenal aku pulak. Tapi, kalau lelaki ada ke nak kenal-kenal macam ni. Hai, geli geleman pulak aku rasa. Takkan awek kut. Hihi…Layankan ajelah.”

-Awak siapa?

+M.I.A

Ilham menerima jawapan pendek. Oh, Mia. Mia Saralah ni kut. Mesti comel. Ilham tersenyum sendiri. Terpujuk sedikit hatinya yang panas. ‘Daripada boring, baik aku layankan aje si MIA ni.’

- Sebenarnya ada apa ye Mia. Kenapa tiba-tiba mesej saya.

+Saya nak berkawan dengan awak. Boleh ke?

Ilham tertawa sendiri. Apa-apa ajelah perempuan ni. Ni mesti nak usha-usha aku.

-Okey. No problem. Macam mana boleh dapat nombor saya ni.

+Dari seseorang.

-Siapa?

+Maaflah. Saya tak boleh beritahu.

-Hmm..Okey. Lelaki ke perempuan.

+Perempuan.

-Siapa?

+Maaflah. Saya tak boleh beritahu.

-Awak beritahu je kat saya. Saya tak marahlah. Saya just nak tahu je.

+Dari ummi.

-Ummi? Ummi mana?

+Maaf. Saya boleh beritahu tu je. Takpelah kalau awak tak boleh nak berkawan dengan saya. Saya cuma rasa sunyi je. Takde kawan. Sorry kacau awak.

Ilham tersenyum sendiri.

-Saya tak cakap pun tak nak kawan awak. Okey. Kita kawan. Saya pun tengah boring ni.

Ilham terus melayan mesej. Sekurang-kurangnya dia punya teman untuk menghilangkan kebosanannya.  Dia tersenyum-senyum sendiri.

+Okeylah. Saya stop dulu ek. Nak gi makan ni.

-Makan sorang je ke Mia. Tak nak ajak saya sekali ke.

+Jomlah join.

-Takpelah. Saya pun nak turun makan ni. Okey. See you.

Ilham masih terbaring. Dia tersenyum. “Mia?? Hmm..Aku ni sebenarnya jarang nak melayan orang. Tapi si Mia ni…Entahlah. Layankan ajelah. Kesian pulak dengarnya bila dia kata dia sunyi tak ada kawan.”

Iman baru keluar dari biliknya untuk untuk turun ke bawah menikmati makan malam. Namun, dia tidak terus turun. Dia sengaja menanti Ilham.

Tika waktu yang sama, Ilham sengaja membiarkan Iman turun dahulu. Bunyi pintu bilik Iman yang kembali tertutup, membuatkan dia yakin Iman telah turun ke bawah. Sejurus itu barulah dia keluar dari biliknya.

“Am…” panggil Iman.

Ilham berbuat tidak tahu. Dia terus menuju ke tangga dan turun ke bawah.
 
‘Eii, dia ni. Ingatkan dah turun. Sibuk je nak tunggu aku.’

Iman hanya menggeleng kepala. Namun, kemudian dia tersenyum.

Keesokan harinya…
 “UMMI, Iman tu nak ke mana?” soal Ilham sambil membuka peti sejuk. Seketika tadi dia melihat abangnya telah keluar bersama kereta Honda milik ummi.

“Bercuti.” Jawab Sofea Jasmin yang pada waktu sedang memotong beberapa biji buah naga untuk di hidangkan pada petang itu.

“Sorang aje? Tak ajak ummi.” Soal Ilham seraya menuang jus oren Tropicana Twister ke dalam gelasnya. Di teguknya air sejuk itu menghilangkan rasa dahaga di tambah dengan cuaca alam yang agak panas kini.

“Biarlah dia pergi sorang. Dia kata nak tenangkan diri. Ummi pun tak nak ganggu dia. Sejak kebelakangan ni, selalu juga ummi tengok dia termenung. Adalah yang difikirkan tu. Lagipun sejak Iman balik, ummi tengok Am macam kurang mesra aje dengan Iman. Kenapa? Takkanlah sampai sekarang Am masih tak nak maafkan dia. Agaknya pasal tu kut dia terasa hati. Tak baik macam tu Am. Dia tu abang. Saudara sedarah sedaging. Ummi tengok Iman tu selalu nak berbual dengan Am, tapi Am buat tak tahu aje. Ingat Am, selagi dia ada bagilah peluang untuk dia tebus kesalahan dia. Ummi tak nak Am menyesal.”

Ilham sedikit tersentak dengan ayat terakhir umminya. ‘Selagi dia ada….’ Ayat itu benar-benar menyentuh jiwa sensitifnya.

“Apa maksud ummi?”

“Ummi cakap aje. Ajal maut kita, memanglah kita tak tahu bila. Am tu cubalah berbaik dengan Iman tu. Ummi tahu Am tu pun dah lama nak berbual mesra dengan Iman, tapi sengaja keraskan hati. Ummi ni yang bela korang dari kecil. Ummi faham sangat perangai anak-anak ummi. Dulu Am juga yang cakap rindu dekat Iman, bila dia dah balik Am pula buat perangai.” Sofea Jasmin berbicara panjang. Dia bukan bersyarah, tetapi sekadar menyatakan perkara yang betul.
Ilham terdiam seketika.

“Am..Kita ni tak lari dari buat kesilapan. Am tahu ke..kenapa selama ni Iman tak balik? Am pernah ada tanya Iman ke?” Sofea Jasmin menyoal Ilham.

Ilham hanya menggeleng.

“Ummi pun sampai sekarang tak tahu sebab apa. Iman memang tak nak beritahu.Tapi ummi tahu, dia bukan sengaja lupakan kita. Dia pasti ada sebab. Tapi dia rahsiakan. Ummi perasan, sejak dia balik dia memang tak seperti dulu. Kurang bercakap. Banyak termenung. Ummi rasakan ada yang tidak kena pada Iman tu.” Sofea Jasmin menyeka tubir matanya. Dia terasa sebak sendiri dengan bicaranya.

“Ummi…Kenapa ummi?” tegur Ilham apabila melihat umminya menyeka tubir mata. ‘Ummi menangis. Aku telah membuatkan ummi menangis.’ Hati Ilham terkesan.

Sofea Jasmin hanya menggeleng. “Lepas ni ummi tak nak Am bermasam muka dengan Iman lagi. Janji dengan ummi.” Pinta Sofea Jasmin dalam suara serak-serak menahan rasa sedih. Sayu sahaja suara itu beralun ke telinga Ilham.

“Am minta maaf ummi. Memang Am yang salah. Am janji dengan ummi. Am minta maaf sebab buat ummi menangis. Padahal dulu Am pernah janji takkan buat ummi menangis lagi, tapi hari ni…Am…..” Ilham tidak mampu menghabiskan bicaranya. Dia bangun dan memeluk umminya dari belakang. Pipi umminya di cium. Matanya juga sudah mula bertakung air mata.

“Maafkan Am, ummi.” Air matanya jatuh jua.

Sofea Jasmin mengangguk. Air mata Ilham basah ke pipinya. Sebaknya semakin mencengkam hati dan perasaan.

“Dahlah, Am. Kamu pula yang nangis.” Sofea Jasmin menepuk-nepuk pipi anaknya itu. Dia juga menyeka air matanya yang sudah mula gugur.

“Ummi minta maaf dengan Am sebab ummi dah terpecahkan hadiah yang Am bagi tu.”

Ilham menggeleng. “Ummi..Kenapa ummi minta maaf dengan Am. Ummi tak salah. Hadiah tu tak seberapa nilainya berbanding pengorbanan dan kasih sayang ummi selama ni. Jika tak kerana ummi, mungkin sekarang Am dan Iman tak ada dekat sini. Kami tak jadi anak ummi. Ummi…Ummi jangan minta maaf dengan Am….Am yang seharusnya minta maaf dengan ummi. Am minta maaf sebab dah buat ummi menangis dan kecil hati. Am minta maaf…Am minta maaf…” Air mata Ilham terus jatuh berjujuran jatuh ke pipi. Hari ini air mata lelakinya jatuh kerana kesucian kasih seorang ibu. “Ummi….Maafkan Am. Am janji takkan buat ummi menangis lagi.”

Sebenarnya, Sofea Jasmin adalah ibu angkatnya. Mengikut apa yang telah di ceritakan, mereka berdua ditinggalkan di bawah bangku sebuah tasik terbiar. Sewaktu itu suara kecil mereka menangis dalam kesyahduan. Mereka masih berdarah dan bertali pusat. Dan kasih sayang Allah telah menemukan mereka dengan Sofea Jasmin dan Badrulhisham yang baru kehilangan anak kembar yang meninggal kedua-duanya ketika waktu bersalin. Nama Iman dan Ilham itu juga sebenarnya adalah nama yang di pilih oleh Sofea Jasmin untuk anaknya dahulu.

ILHAM menuju ke bilik Iman. Lama juga dia berdiri di muka pintu. Dia tidak tahu sama ada ingin masuk ke bilik itu atau tidak. Tombol pintu dipusing. Nampaknya, pintu bilik itu tidak berkunci.

Sebaik sahaja pintu di buka, haruman Lavender menerjah hidungnya. Sudah lama dia tidak dibuai dengan haruman itu. Ilham melihat persekitaran bilik itu. Bilik yang di cat warna ungu lembut itu memang tenang dan mendamaikan. Lukisan karikatur wajah Iman di dinding ditatap lama. Dia tersenyum seketika sebelum senyumannya kembali tawar. Itu adalah lukisan hasil tangannya yang di hadiahkan kepada Iman dan Iman pula menghadiahkannya sebuah gitar yang kini menjadi teman setianya. Ilham mengeluh perlahan menamatkan lintasan memori terindah itu.    

Ilham terbaring di katil Iman. Termenung untuk seketika. Menyesal juga dengan apa yang telah dilakukan. Dia tahu Iman berkecil hati. Sama juga dengan hatinya. Dia juga berkecil hati dengan abangnya itu. Memang betul kata ummi. Dia tidak pernah bertanya akan sebab yang sebenar kepada Iman.

Dia melihat ke atas sebuah meja di sebelah katil Iman. Ada beberapa buah buku tersusun di situ. Salah satu yang menjadi perhatiannya ialah buku bersaiz mini yang terletak paling atas di antara buku-buku itu. ‘La Tahzan, Don’t be Sad, Jangan Bersedih.’ Itulah tajuknya. Buku itu kemudiannya di letakkan kembali ke tempat asalnya. Mungkin benar abangnya bersedih hati. Bersedih hati kerananya.

‘Tapi, kenapa dia tak nak balik rumah lebih awal. Sedangkan aku dah nak nampak dia sebelum dia balik sini. Ummi juga kata pernah terlihat dia.’ Ilham melepaskan keluhan nafas kasar. Dia masih menyalahkan abangnya.

Ilham kemudian mencari sesuatu di bilik itu. Dia menjumpai diari milik Iman. Belum pun sempat ia di baca, dia dikejutkan dengan suara adiknya.

“Abang…apa abang buat dekat sini?” Farisya sudah muncul di muka pintu bilik Iman. Mungkin tadi dia lupa untuk menguncinya.

“Isya. Meh sini jap.” Panggil Ilham.

Farisya datang kepada Ilham lantas duduk di sebelah abangnya itu. “Ada apa? Abang cari apa dekat bilik abang Iman.”

“Isya. Abang Iman ada cerita apa-apa tak kat Isya?” Ilham cuba mengorek rahsia daripada adiknya.

“Cerita apa?”tanya Farisya.

“Apa-apa ceritalah.”

Farisya menggeleng.

 “Isya, abang Iman cakap tak dia nak pergi mana?”tanya Ilham lagi.

“Dia kata nak pergi jalan-jalan. Tempatnya abang Iman kata, rahsia. Jauh. Abang Iman kata dia nak pergi lama. Dia kata lagi, Isya jangan nangis kalau dia tak ada.” Isya memberi jawapan. Budak kecil memang tidak menipu.

Ilham terdiam.

“Abang…Abang nak tahu tak. Hari tu kan, Isya nampak ummi nangis.” Bicara adiknya itu mengejutkan Ilham.

“Kenapa ummi nangis?” Pandangannya terarah kepada Farisya.

“Tak tahu. Tapi kan, Isya nampak ummi ada pegang benda. Lepas tu ummi simpan balik dalam laci abang Iman. Isya masa tu ngendap dekat pintu je.”

“Betul ke?” Ilham inginkan kepastian adiknya.

“Betullah. Isya tak tipu. Tipu kan dosa.”

Ilham menguntum senyum kepada adiknya.

Kebetulan kedengaran suara ummi memanggil Farisya.

“Dah pergi turun. Ummi panggil tu.” Ujar Ilham sambil mengelus kepala adiknya.

“Okey.”

Selepas adiknya keluar, Ilham membuka kembali diari milik Iman. Berdasarkan tarikh, nampaknya coretan yang tertulis masih baru.

+Aku tak tahu apa yang berlaku. Rasanya aku kena belasah. Siapa yang belasah aku, aku tak tahu. Rupanya aku koma beberapahari dekat hospital. Perghh..Teruk juga rupanya aku kena.

+Kepala aku selalu sakit. Mungkin kesan kena pukul kut. Selalu saja minda aku terbayang wajah-wajah indah. Aku tidak tahu siapa. Aku betul-betul tak ingat.

+Aku selalu bermimpi. Aku dapat rasakan itulah Ummi..Ayah…dan Am…Aku menangis sendiri. Selama ni, aku masih punya keluarga ke? Habis tu selama ini, aku di mana. Aku ni sebenarnya hilang ingatan ke. Ya Allah. Bantulah hambaMu ini.

+Aku nak balik…Aku nak balik pada ummi..ayah dan keluargaku..Aku dah ingat. Aku ingat mereka semua. Cuma selama ni aku tak tahu apa yang terjadi pada aku…Ummi..Ayah..Am…Maafkan Iman..

+ Harini hari ibu. Selamat Hari Ibu ya UMMI. Love U.Rindu sangat-sangat. Ummi, Ayah, Am…Iman dah balik. Aku ingin menggembirakan keluargaku kembali.

+Kenapa Am macam tak suka je bila aku balik. Confirm tak rindu aku. Apa punya kembarlah. Tak kisahlah. Aku tengok dia pun busy je…

+ Kenapa makin hari Am menjauhkan diri dari aku. Dia ni marah aku ke? Pasal apa? Aku nak borak pun takde chance. Pelik betul. Siap nak gaduh dengan aku pulak tu. Takpelah. Adalah yang tak kena tu…Esok-esok okey lah kut.

+ Ni dah dekat sebulan aku balik. Si Am ni buat tak tahu je dengan aku. Tak suka aku balik ke? Keciknya hati aku. Takpe-takpe…Karang aku dah takde baru menyesal.

+Macam mana nak berbaik dengan Am ni ek. Pening aku dengan budak sekor ni.

Ilham terdiam sendiri. Luahan hati abangnya itu menyentuh hatinya. Dia kemudian meminta nombor Iman daripada ummi. Dia tidak dapat menyambung panggilan kepada Iman kerana Iman bertindak mematikan telefon bimbitnya. Pastinya Iman juga merajuk hati dengannya.

Kini mesejnya berbunyi. Sangkanya Iman.

 “Eh, Mia.”

Mia mengadu sesuatu. Nampaknya Mia dalam kesedihan dan mempunyai masalah. Ilham bertindak membantu. Dia memberi idea. Dia kasihkan Mia yang dipinggirkan adik sendiri kerana salah faham.

+Idea ni mungkin tak berapa bijak. Tapi boleh je cuba. Awak kena berlakon.
-Berlakon?

+Ye. Awak kena berlakon olok-olok sakit ke….Masuk hospital…Part ni mesti dia kalah…

+Aci ke macam tu...Tapi sekarang ni saya memang tengah sakit pun.

-Awak sakit ke? Sakit apa?

+Sakit hati.

-Kalau sakit hati baik tak payah cakap.

+Saja buat lawak. Saya sebenarnya memang sakit pun.

-Sabarlah. Saya akan doakan awak sihat-sihat selalu.

+Terima kasih. Saya cuma harap saya dapat berbaik dengan adik saya tu sebelum apa-apa terjadi.

-In ShaaAllah. Suatu hari hatinya akan lembut untuk terima awak. Adik beradik ikatannya kuat. Mungkin nanti dia akan menyesal kalau tahu apa yang berlaku kepada awak sebenarnya.

+Saya tak nak dia menyesal. Saya tak nak buat dia rasa bersalah. Saya nak dia tahu selama ni saya ingat semua keluarga saya termasuk dia.

-Adik awak harus tahu apa yang berlaku. Kalau tak selamanya dia akan salahkan awak.

+T.Q . Okey. Saya nak rehat. Sorry kacau.

-O.K. May Allah bless you.

Ilham terfikir sendiri. Mungkin begitu juga situasi yang dihadapi Iman. Apakah perasaannya jika situasi yang di hadapi Mia kini sama seperti Iman. Kalau itu yang berlaku, sudah pastinya dia menyesal.  

“Aku kena cari Iman. Tapi, nak cari dekat mana?”

Petang itu, Ilham cuba menjejak Iman di tempat yang mungkin abangnya itu pergi. Kebetulan dia melalui kawasan rumah sewa Maisarah. Sambil itu dibawa juga sekotak rojak buah sebagai buah tangan.

“Pergh! Rojak buah. Sedapnya. Terliur aku. Terima kasih. Jomlah. Kita duduk dekat bangku bawah pokok tu. Redup. Boleh kita makan sama-sama.”

“Aii, kau ni. Asyik nak kongsi-kongsi makan dengan aku aje. Karang, meresap ke jiwa, aku tak tahu.” Ilham sudah ketawa.

“Aii, ayat kau. Tak boleh blah. Maksudnya kita bahagi dualah. Kau ni pun.”

“Tak apalah Mai. Aku dah makan dah. Eh, Mai. Aku nak tanya ni. Kau kenal Mia tak?”soal Ilham.

“Mia?? Siapa Mia.”

“Kawan kaulah.”

“Kawan aku mana ada nama Mia.”

“Cuba kau ingat betul-betul. Dia kata nama dia Mia. Dia kenal kau. Dia mesej aku.” Ujar Ilham lagi.

“Hmm..Kau dah salah orang ni.” Maisarah membalas kata.

Ilham akhirnya menceritakan apa yang berlaku. Maisarah hanya tertawa. Padanya Ilham sengaja mereka-reka cerita. Buat lawaklah Ilham ni.

“Ni nombor dia. Kau ingat aku buat-buat cerita ke.”

“Betul.Aku tak ada kawan nama Mia. Kau ni pun. Nama Maisarah bukan nama aku sorang aje tau. Entah Maisarah mana entah. Apalah kau ni Am. Lagipun kau kata, dia dapat nombor dari ummi. Ummi mana?”

“Memanglah. Tapi, aku yakin Maisarah yang dia maksudkan tu kau. Sebab dia tanya pasal hubungan aku dengan kau. Siapa lagi? Aku je pakwe kacak yang berkawan dengan kau, kan? Nah. Kau ambik nombor ni. Mana tahu kau tetiba nak telefon atau mesej dia ke. Dia ni macam kesunyian je aku rasa. Sakit pulak tu. Aku melayan je. Macam kesian pulak dekat dia. Aku ni pun bukan senang tau nak melayan mesej perempuan. Tetiba dengan Mia ni, rasa lain pulak…Entahlah.”

“Oh.Macam tu eh. Tak apalah. Kau layankan ajelah. Untung-untung cepat sikit aku makan nasi minyak kau.”

“Ek’eleh. Ke situ pulak dia. Nah. Ambik ni!” Ujar Ilham sambil menghulurkan telefon bimbitnya.

‘MIA BUDAK BAIK.Wah..Bestnya kau rename dia.”

“Saja. Macam kau rename aku jugak. Ilhamku Sayang.” Ilham tergelak sendiri.

Maisarah sudah menjeling sambil membuat muka.

“Huh! Hodoh!”

“Kau ni kan…”

“Kenapa? Kacak?”

“Malas nak layan kau.”

Maisarah akhirnya akur juga dengan saranan Ilham. Nombor itu diambil dan di save dalam telefon bimbitnya. Namun dalam fikirannya masih keliru. ‘Siapa Mia? Mia Sara ke? Aku mana ada kawan nama Mia. Haish, mamat sorang ni. Ni, nak telefon sekarang ke? Eh, aku mana ada kredit sekarang ni. Lupa pulak.’





No comments:

Post a Comment