Sunday, 31 March 2013

NOVEL - Dengarkanlah Permintaan Hati Ini - 32

ILHAM termenung sendiri. Sesekali dia terseyum sendiri. Fikirannya melayang kepada Maisarah yang nun jauh di mata. Walau jauh di mata, ia tetap dekat di hati. Ilham menaip sesuatu di skrin laptopnya.
~Bismillahhirrahmannirrahim. Ya Allah..Sampaikanlah salam rinduku kepada dia, Izzati NurMaisarah binti Muhammad  sehingga aku menjadi kerinduannya. Amin Ya Rabbalalamin.~
Dia tersenyum.‘Moga diperkenankan.’ Doanya di dalam hati.

MAISARAH  kini sedang bermain dengan robot Transfomers yang dihadiahkan oleh Ilham kepadanya. Kini, dia telah berjaya mencari kunci untuk mengubah robot itu kepada sebuah trak.
‘Apa khabar Ilham agaknya yek?’
Maisarah kini membuka ‘beg azimat’nya. Di dalam beg itu tersimpan pelbagai titipan atau kad yang diterima. Ia dicampur menjadi satu.
Maisarah kini membaca akan titipan yang diberi Ilham. Dia tersenyum sendiri. Dia mengenang kisah mereka. Banyak juga kenangannya bersama Ilham, seorang lelaki yang kadang-kala menyesakkan hatinya. Tentang lamaran Ilham…Maisarah hanya mampu melepaskan keluhan. Tidak harus lagi dia memikir kerana hatinya masih setia menanti untuk orang yang masih tidak muncul di hadapan matanya. Dia redha.
Kini, perhatiannya jatuh pada satu titipan kad yang diberikan I-Man. Dia kembali membaca titipan itu. Rasanya sudah hampir sebulan titipan di simpan.
‘Sejak titipan ni aku terima sehinggalah kini, hati aku rasa tidak keruan. Aku tidak tenang. Apa yang sebenarnya berlaku pada dia?’
‘Sepertinya sekarang aku meraskan bahawa dia itu memang Iman Ahlamku. Mungkinkah apa yang aku fikirkan ini benar? Tapi, caranya dia….Sangat berbeza. Mungkinkah dalam tempoh tiga tahun ini dia telah berubah laku. Tidak lagi mengingati aku? Adakah aku harus pasrah?’
Lamunannya terhenti apabila Zulaika menelefonnya dan memberitahu bahawa esok dia bakal bertemu bos barunya. Sebenarnya, bos barunya itu telah mula bertugas minggu lepas, namun dia masih tidak bertemu kerana mengikuti kursus dan kemudian pulang ke kampung. Maka, esok adalah hari pertama untuk dia bertemu muka dengan lelaki itu.Menurut kata Zulaika nama bos baru mereka itu Iman. Erkk? Iman?? Entah-entah I-Man. Dekat sebulan dah dia tak muncul, entah-entah esok jadi bos aku pulak.

SEJAK awal pagi Maisarah terasa dadanya berdebar. Mungkin kerana dia bakal bertemu bos barunya. 
‘Kenapalah tiba-tiba aku cuak macam ni.’ Bisik Maisarah sendirian. Tangannya masih terlekap di dada. Maisarah terus berpura-pura menghadap komputer di hadapanya apabila kedengaran langkah kaki itu semakin hampir dengannya. ‘Calm down jantung…Calmdown..Kenapa aku cuak semacam je ni.’
“Selamat pagi,” sapa suara itu tatkala lalu di hadapan Maisarah.
“Selamat pagi, en..cik...” jawab Maisarah seraya memandang wajah lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Pandangan mereka bertemu. ‘Alamak..Muka macam pelakon Aqashalah.’ Maisarah sudah meneguk liur sendiri.
“Hmm, kak. Tolong bancuhkan Nescafe untuk saya ye. Hantar dengan biskut sekali. Hari ni Amy takde.” Perintah lelaki itu sebelum berlalu pergi ke biliknya. Mukanya kelihatan serius.
“Erk…” Terkesima Maisarah seketika.
“Cepat sikit tau.” Lelaki itu mengarah. Suaranya tidak mesra.
“Ba..baik.” Balas Maisarah tergagap-gagap.
Lelaki itu berlalu pergi ke biliknya. Maisarah membuat muka. ‘Eii..Apa ni. Datang-datang je terus suruh buat air.’ Maisarah bergegas ke pantry melakukan apa yang di suruh. Dirinya seakan terpaksa. Hatinya mengomel sendiri.
‘Perghhh..Aku pulak yang kena bancuh air untuk dia. Macam berlagak je mamat ni. Baru je kerja dekat sini dah berlagak. Ingat dia anak bos ke. Rasa macam nak cekik-cekik pun ada. Ada ke panggil aku akak. Tolonglah. Tahulah muka aku ni klasik, tapi tengoklah MyKad aku. Umur berapa. Baru je 26 tahun. Bukannya tua sangat pun. Lepas tu senang-senang je perintah aku buatkan air untuk dia. Ehh..Banyak cantik. Tak pasal-pasal aku jadi kakak pembancuh Nescafe harini.’
Maisarah mengetuk pintu sebelum mendapat keizinan untuk masuk. Dia menghidangkannya apa yang di minta oleh bosnya itu dengan berhati-hati. Dia sempat menjeling bosnya itu. Pandangan mata lelaki itu masih tertumpu pada laptopnya. “Thanks.” Ucapnya tanpa menoleh. Mungkin terlalu sibuk.
“Yelah tu sibuk. Entah-ntah sibuk layan chatting je,” gumam Maisarah di dalam hati. Dia masih berasa kurang senang dengan sikap bosnya itu. Rasa macam berlagak je.
Maisarah baru sahaja ingin menapak keluar, namun namanya di panggil.
“Awak tolong kemaskan bilik saya ni, boleh? Sorrylah bersepah sikit. Kelam-kabut sikit minggu ni. Biasalah baru lagi.” Iman kini menyandarkan tubuhnya di kerusi.Tangannya lembut bermain dengan pen yang diselitkan di antara jari-jarinya. Matanya memandang wajah Maisarah yang sudah berdiri di muka pintu. Maisarah terkedu namun masih berlagak selamba.
            ‘Apa keslah mamat ni pandang aku macam ni. Macam tak pernah tengok orang. Buat gaya macam tu, macholah tu konon. Eii..Menyampah pulak aku tengok dia ni. Aku ‘sekeh’ baru tahu.’ Maisarah kemudian membuat apa yang dipinta.
Iman Ilyas menghirup air yang telah sedia terhidang dihadapannya. Dia tiba-tiba terbatuk. Tersedak. Maisarah yang sedang sibuk menyusun fail sempat menjeling tingkah bosnya itu. ‘Kenapalah mamat ni.  Tersedak bagai. Aku buat air tak sedap ke?’Maisarah berbicara dengan hati sendiri.
“Sedap air awak buat ni.” Puji Iman Ilyas seakan mendengar persoalan di hati Maisarah.
 Maisarah tersenyum di dalam hati.‘Tau takpe. Aku memang sedap kalau buat air.Apa yang penting tak terlalu manis dan tak terlalu tawar. Manis-manis buah gitu.’
“Tapi, kenapa air Nescafe awak buat rasa Neslo?”soalan Iman Ilyas membuatkan muka Maisarah terasa merah padam. ‘Errkk..Aduhai, aku tersalah bancuh ke tadi. Mampus.’Maisarah mengetap bibir. Dia sedar, dia tersilap.
“Opss, maaf. Saya tersalah bancuh,”ujar Maisarah tanpa memandang bosnya. Tangannya terus pantas menyusun fail. Dia ingin segera keluar dari bilik itu. Aduhai…Bengang.
“Mesti berangan je tadi, kan. Hmm..siapa nama awak? Lupa nak tanya,” ujar Iman Ilyas  berbasa-basi. Masih tersandar selesa di kerusi empuknya. Lagaknya seperti dia bos besar.
“Maisarah.”
“So, awak nilah Maisarah.”
Maisarah terdiam. Nada lelaki itu agak janggal dipendengarannya. Macam dah lama nak kenal  je. Alahai..Sempat perasanlah pula.‘Eh, jangan-jangan dia tunang aku masa kecik. Oh, nehi. Takkanlah. Nama orang tu pun aku tak tahu. Eh, bukan tak tahu. Tapi tak ingat. Memori dah hilang.’
“Maaf, encik Iman. Saya dah siap kemaskan. Saya keluar dulu ye.” Maisarah segera melangkah keluar. Tidak mampu dia berlama-lama di dalam bilik itu. Berpeluh dibuatnya.
“Hmm..Jap..Jap..Macam mana tahu nama saya?” Nada suara itu masih tidak mesra. Tangannya masih bersilang di dada.
“Ika dah beritahu saya. Maaf encik Iman. Saya minta diri.”
“Hmm. Okey. Awak boleh keluar.”
Maisarah sudah membuat muka. ‘Kenapalah macam berlagak sangat dia ni. Anak bos ke anak raja ni.’
Maisarah kembali ke mejanya. Ada mesej di peti masuk telefon bimbitnya. Zulaika yang mengirim mesej. Maisarah sepertinya sudah maklum akan kehadiran mesej itu. Sudah pastinya Zulaika ingin bertanya tentang pandangan Maisarah tentang bos barunya. “Minah ni mesti kelentong aku. Dia kata encik Iman ni baiklah, peramahlah, suka senyum…tapi bila aku jumpa lain je. Tak macam apa yang dikata. Hmmm…entahlah. Nasiblah dapat bos yang macam ni. Tak suka..tak suka..”
Maisarah menekan-nekan punat membalas mesej Zulaika. Sudah pastinya dia mengumpat bosnya itu. Maisarah kemudian menyambung kerjanya.
Pada waktu makan tengahari, Maisarah tidak turun ke kafeteria. Sama seperti sebelumnya, dia lebih suka membawa bekal. Bukan masak sendiri pun, tapi beli dekat kedai Kak Yah je. Murah dan jimat.
            “Aii…Sorang je ke?” Sapa satu suara yang mula dikenali. Maisarah hampir tersedak disergah begitu. Siapa lagi kalau bukan bos barunya itu. Dia menjeling tajam dan membuat muka kepada bosnya yang tatkala itu sedang membelakangkannya. Iman Ilyas kemudian melabuhkan punggung menghadap Maisarah. Dia membawa bersama akhbar The Star dan matanya khusyuk membaca berita yang terhidang di dada akhbar. Jantung Maisarah kembali berdebar.
‘Apa keslah mamat ni duduk kat sini. Kalau setakat nak baca paper tu dekat bilik pun boleh. Ni tak. Nak juga dia port kat sini. Hilang terus selera makan aku. Tapi sayang pulak kalau tak habis. Membazir je.Kalau dengan Am, aku dah suruh dia habiskan semua ni.’ Maisarah mengomel sendiri. Dia masih meneruskan suapan nasi ke mulutnya. ‘E’eh. Tetiba teringat dekat Am pulak ea.’
Suasana yang hening dan sunyi itu semakin tidak mententeramkan hati Maisarah. Dia juga terperasan akan tingkahnya diperhatikan oleh lelaki itu.
“Encik Iman tak makan ke?” tanya Maisarah sekadar ingin menunjukkan sedikit kemesraan.
“Ada ke awak nampak saya makan?” Iman Ilyas menjawab tanpa memadang sambil tangannya menyelak helaian akhbar.Berdesing kata-kata itu kedengaran di telinga Maisarah.
‘Perghh…bengkek gila aku dengan bos ni. Aku tanya baik-baik, boleh pulak dia jawab macam tu. Tune tu tak mesra langsung. Bajet bagus. Nasiblah kau ni bos. Kalau Am dah lama aku tampar muka dia.’
Selepas habis minum, Iman  Ilyas kembali ke bilik pejabatnya.
“Bagus…Lega sikit.” Bisik Maisarah. Dia kembali menyuap makanannya sehingga habis. Errkkk..Alhamdulillah.
Selepas bersolat Zohor Maisarah kembali ke mejanya. Biasalah baru lepas makan tengahari, pasti mengantuk. Namun Maisarah menahan keinginan matanya. Maisarah meneruskan kerjanya. E-mail yang baru diterima daripada Zulaika dan Azidy memintanya untuk membuat analisa data. Maisarah tanpa lengah pantas membuat kerjanya. Kalau sempat dia ingin menyiapkan semuanya di pejabat. Malas untuk dibawa pulang. Tiba-tiba ada seseorang hadir dan duduk di tempat Zulaika. Terkedu Maisarah seketika.
“Air-cond dekat dalam bilik saya tu rosak. Tolong call orang suruh betulkan,” ujar Iman Ilyas sambil memasang plug laptopnya. Maisarah hanya mengangguk. ‘Aduh makin berpeluhlah aku dibuatnya. Jantung aku ni pun makin tak stabil je dengupnya. Laju semacam. Pulak tu duduk berdua macam ni.Parah. Dia orang semua pergi DC. Budak department sebelah pun takde. Grr..Aku juga kena tinggal dekat sini dengan makhluk sorang ni. Ya Allah. Lindungilah diri ini Ya Allah.’
Iman Ilyas khusyuk membuat kerjanya. Sepertinya Maisarah tidak wujud di sebelahnya. Maisarah pula tidak senang duduk. Apa yang di taipnya selalu sahaja salah. Banyak kali dia membetulkannya lebih-lebih lagi berhubung dengan figure.
“Ish..apa kes asyik salah je ni,” rungut Maisarah perlahan. Namun kata-katanya itu didengar oleh Iman kerana kedudukan mereka berdua bukanlah terlalu jauh.
“Tak fokuslah tu. Mesti fikiran ingat ke lain.” Berdesing telinga Maisarah menendengar bicara itu.
Maisarah mengetap bibir. ‘Apa ke hal mamat sebelah ni. Macam sengaja nak cari pasal dengan aku.’ Sempat juga dia menjeling tajam lelaki itu.
“Sarah. Tolong ambilkan saya fail ACM July last year,”perintah suara itu.
‘Sarah?? Hmm..Saja nak mengingatkan aku pada Iman.’
Terbongkok-bongkok Maisarah mencari fail yang dimaksudkan di rak sebelahnya itu.Namun sewaktu dia bangun, kepalanya terhantuk sedikit pada bucu meja.
“Aduh…kau 12,13,14…” Maisarah sudah menepuk-nepuk mulut seakan memarahi mulutnya yang terlepas cakap. Hehe..Melatah. Dia sendiri tidak mengerti mengapa sindrom latah itu ada padanya. Bukannya apa. Muda-muda lagi dah melatah
“Apa latah-latah ni. Muda-muda pun melatah.” Tajam suara itu menusuk pendengaran. Ternyata memerli.
Maisarah mengurut dada. ‘Sabar Mai..Sabar…Ni ‘cobaan’ je.’
Fail yang telah di ambil diberikan kepada Iman.Seketika itu pandangan mata mereka bertemu.
“Apa yang 12,13,14…tu. Nilai wang hantaran ke? Taklah tinggi sangat kut.” Kini Tangannya menerima huluran fail dari tangan Maisarah.Dia mengukir senyum. Namun senyuman itu beriak sinis.
Maisarah terpaksa bersikap selamba untuk berbual dengan bos barunya itu. Dia perlu mencari keserasian dan kesefahaman dengan lelaki itu kerana ia melibatkan soal kerja.
“Err..Encik Iman..Boleh tanya tak?” Maisarah mengatur bicara sebaik mungkin. Wajahnya sudah memandang lelaki yang duduk berdekatan dengannya itu.Terasa berdebar sahaja jantungnya tatkala melihat wajah lelaki itu. ‘Perghh…Rasa macam tak mampu bersuara je sekarang ni.’
“Hmm..” Iman Ilyas mengangguk memberi kebenaran. Namun dia tidak memandang Maisarah.
“Err..Kenapa encik.. panggil saya Sarah?”
“Soalan awak ni jenis apa, Sarah?” Iman Ilyas masih tidak memandang. Fokus matanya masih pada skrin laptop.
“Entah. Saya pun tak tahu jenis apa.” Maisarah tiba-tiba membuat lawak selamba.“Sebenarnya saya rasa janggal pula bila encik panggil saya Sarah. Biasanya dekat pejabat ni orang panggil saya Mai je.” Maisarah mula menunjukkan kemesraan.
“Saje.Kenapa? Tak boleh ke. Bukan ke tu nama awak juga. Ke nak saya panggil awak akak? Atau nama tu untuk orangspecial je boleh panggil.”Iman Ilyas membalas kata.
Maisarah terdiam sejenak. ‘Sebelum ini hanya Iman je yang panggil aku Sarah. Ilham pula suka panggil Sarahku. Hmm..I-Man..Hmm..Dia tu panggil aku Sarah macam dah kenal lama je. Okeylah gak. Tak kisah pun. Tapi dia ni…’
“Hurmm..Memanglah boleh. Cuma tak biasa je. Terasa janggallah pulak.”
“Janji ia mewakili awak, kan. Kalau awak tak suka saya panggil macam tu, tak kisah. Saya akan panggil awak Mai. Okey..Puas hati!” Iman Ilyas memandang wajah Maisarah. Nada suara itu tidak disenangi.
Maisarah menelan liur payau. ‘Alahai dia ni. Tak friendly langsung. Aku rasa dah tanya bebaik dah. Ada ke jawab macam tu. Entah-entah soalan aku ni, tak logik kut untuk ditanya.’
“Any question?”soal Iman Ilyas.
Maisarah menggeleng.
“Sekarang saya nak tanya awak pulak.”
Maisarah mengangguk. Berdebar pula dadanya.
“Nama penuh awak?”
“Izzati…NurMaisarah.”
“Umur?”
“26 tahun.”
“Dah kahwin?”
Maisarah terdiam. Tidak menjawab.
“Kalau nak kenal dengan orang, tak payah tanya pelik-pelik. Direct je. Cakap jelah awak nak kenal dengan saya. Kan senang.”
Maisarah mencebik. ‘Perasan mamat ni.’
“Kalau macam tu…errr..Nama penuh encik Iman..” Maisarah inginkan jawapan.
“Iman Ilyas bin Salahuddin.” Jawab Iman Ilyas lembuh penuh berhemah.
“Iman…Ilyas?”
“Kenapa? Nama boyfriend awak sama macam saya ke?” Wajah Iman Ilham masih serius walaupun kata-katanya seakan gurauan.
“Eh, takdelah.” Maisarah sekadar menjawab sambil menjongket bahu. Dia tersenyum sendiri. ‘Okey jugalah dia ni kut. Ingatkan tak mesra rakyat langsung.’ Dia kemudian menyambung kembali kerjanya. Kembali mencari fokus. Iman Ilyas di sisi hanya tersenyum. Sempat juga dia menjeling Maisarah yang kembali khusyuk membuat kerja.
Maisarah termenung seketika. “Err..Encik Iman. Saya nak tanya lagi boleh tak?”
“Nak tanya apa lagi Sarah..Nak tanya saya ni dah kahwin ke belum? Jawapannya belum. Calon takde lagi. Nak jadi calon boleh juga.” Laju sahaja bicara itu.
Maisarah mencebik bibir. ‘Sengal mamat ni. Tadi semacam je. Dia buat lawak pulak ke apa.’
“Awak nak tanya apa?”
“Hmm..Dah tak ingat.”
“Aii, tak ingat dah. Awak ni mesti banyak makan semut ni. Rumah family dekat mana?” soal Iman Ilyas tiba-tiba. Dia masih dengan caranya. Matanya masih tertumpu pada skrin laptopnya. Hanya mulutnya yang berbicara.
Maisarah sempat menjeling Iman Ilyas. Dia tidak menjawab.
“Tak beritahu sebab takut saya datang rumah ke?”
Maisarah rasa terkejut. ‘Semacam je dia ni. Baik tak payah layan.’
Iman Ilyas hanya tersenyum di hati.
Hari ini terasa begitu panjang bagi Maisarah. Terpaksa dia ‘berdating’ dengan bosnya sehari suntuk hingga ke petang. Namun, kemesraan di antara mereka masih belum terjalin mesra.
            “Ingat, Izzati NurMaisarah. Jangan awak hanya menilai orang lain hanya melalui pandangan luaran. Bak kata orang, kalau tak kenal maka tak cinta.”Itulah pesanan Iman Ilyas sebelum dia beredar.
“Ye, bos. Tapi saya tak nak jatuh cinta dengan bos.” Kata-kata itu hanya terzahir di hati Maisarah.










No comments:

Post a Comment